Category: JNJ-MEDIA

  • Usul gantung Takiyuddin enam bulan ditangguhkan ke sesi Dewan Rakyat akan datang

    Usul gantung Takiyuddin enam bulan ditangguhkan ke sesi Dewan Rakyat akan datang

    KUALA LUMPUR 4 Dis – Usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat ditangguhkan ke sesi persidangan akan datang.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ketika menggulung perbahasan usul berkenaan hari ini berkata keputusan menangguhkan usul tersebut dibuat selepas mengambil kira semua hujah yang dikemukakan Ahli Parlimen.

    “…kita memahami selepas dengar hujah daripada semua Ahli Parlimen dan menimbang hujah-hujah yang diutarakan. Maka bagi pihak kerajaan, kami mohon usul ini ditangguhkan dan dibawa ke sesi akan datang,” katanya.

    Usul berkenaan dibentangkan susulan kenyataan Takiyuddin yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Marang dengan peristiwa Memali.

    Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan beliau akan membuat keputusan sama ada pengundian terhadap usul tersebut perlu dijalankan atau tidak pada sesi akan datang.

    “Sekarang usul ditangguhkan. Insya-Allah saya akan tentukan nanti sama ada pengundian diteruskan atau tidak. Tapi isunya, usul berkenaan ditangguhkan,” katanya.

    Terdahulu, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) menuntut supaya usul penggantungan itu dipinda dan dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Beliau menegaskan haknya sebagai ahli Parlimen untuk membela diri di hadapan jawatankuasa tersebut.

    Sesi Dewan Rakyat sebelum itu turut kecoh apabila beberapa wakil pembangkang membantah tindakan membawa usul tersebut, yang didakwa tidak mengikut peraturan mesyuarat.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bersama Ahli Parlimen PN lain termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut), turut mempertikaikan peraturan mesyuarat yang digunakan untuk membolehkan usul itu dibentangkan.

    Ronald turut mempersoalkan mengapa Takiyuddin tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebelum usul penggantungan dibawa ke Dewan.

    Berdasarkan usul yang terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan disiarkan di laman web Parlimen sejak semalam, Takiyuddin dicadangkan digantung enam bulan berhubung kenyataannya yang mengaitkan kejadian membabitkan Maritim Malaysia di Masjid Rusila, Marang dengan peristiwa Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada 1985.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12913

  • Seorang rakyat Malaysia hilang di Aceh selepas banjir, tiga lagi berjaya dikesan

    Seorang rakyat Malaysia hilang di Aceh selepas banjir, tiga lagi berjaya dikesan

    PUTRAJAYA 4 Dis – Seorang wanita warga Malaysia berusia 64 tahun masih belum ditemui susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 November lalu.

    Kementerian Luar dalam kenyataan berkata usaha mengesan mangsa sedang giat diteruskan menerusi kerjasama rapat antara Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, pihak berkuasa tempatan serta rangkaian komuniti setempat.

    Rakyat Malaysia yang mempunyai maklumat bagi membantu pencarian diminta segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.

    Dalam perkembangan berasingan, tiga rakyat Malaysia berusia antara 63 hingga 64 tahun yang sebelum ini gagal dihubungi sejak 27 November telah berjaya dikesan. Mereka dibawa keluar dari kawasan yang terputus hubungan akibat banjir dan diterbangkan oleh Tentera Udara Indonesia dari Lapangan Terbang Rembele, Takengon ke Medan.

    “Mereka tiba di Lapangan Terbang Kualanamu pada petang semalam. Konsulat Jeneral sedang mengatur kepulangan mereka ke Malaysia secepat mungkin,” katanya.

    Menurut Wisma Putra, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan wanita Malaysia yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang kini memasuki hari ketujuh.

    “Usaha mencari diteruskan di kawasan tebing sungai dan zon tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar. Konsulat Jeneral bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia serta memberikan bantuan kepada keluarga mangsa yang berada di lokasi bagi urusan pengecaman dan pengesahan,” jelas kenyataan itu.

    Kementerian turut memaklumkan bahawa situasi banjir dan tanah runtuh masih dipantau, dengan operasi SAR serta kerja-kerja pemulihan diteruskan.

    “Pihak berkuasa Indonesia telah membuka semula beberapa laluan darat di pedalaman, membolehkan penghantaran bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas dilakukan secara lebih teratur. Usaha membaik pulih jalan utama juga giat dijalankan dengan sasaran memulihkan laluan penting menjelang pertengahan Disember,” kata kementerian.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12914

  • Bung Moktar masuk hospital, dinasihatkan rehat sepenuhnya

    Bung Moktar masuk hospital, dinasihatkan rehat sepenuhnya

    KOTA KINABALU 4 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini dilaporkan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di sini susulan nasihat perubatan agar beliau berehat dan mendapatkan rawatan lanjut.

    Menurut sumber, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah sebelum ini telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan semasa kempen pilihan raya dan kini dimasukkan ke hospital untuk rawatan susulan.

    “Beliau sebelum ini, semasa kempen pilihan raya, sudah membuat pemeriksaan di hospital tetapi kini sedang menerima rawatan dan diminta diberi ruang untuk berehat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

    Sebelum itu, akaun Facebook BN Comms Sabah dalam satu hantaran menzahirkan doa agar beliau dikurniakan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.

    Hantaran yang dimuat naik kira-kira tiga jam lalu itu turut menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang sama-sama mendoakan kesihatan beliau.

    “Semoga YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Amin,” menurut hantaran tersebut.

    Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan maklumat lanjut daripada Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin masih belum berhasil setakat ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12915

  • Lelaki ditahan dalam serbuan spa di Chow Kit trauma, mahu saman kerajaan

    Lelaki ditahan dalam serbuan spa di Chow Kit trauma, mahu saman kerajaan

    KUALA LUMPUR 4 Dis – Sekumpulan lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa di Jalan Raja Laut pada 28 November lalu kini mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa, susulan kesan psikologi, sosial dan reputasi yang mereka dakwa berdepan sejak operasi tersebut.

    Seorang individu yang enggan dikenali mendakwa penahanan itu telah menyebabkan mereka dihukum awam sebelum sebarang keputusan mahkamah dibuat.

    “Ramai orang kata bahawa kerana kami berada di situ, bermakna kami terlibat secara langsung dalam kes ini. Orang ramai sudah menjatuhkan hukuman terhadap kami, walaupun bukti belum mencukupi.

    “Muka kami sudah pun didedahkan kepada umum. Bolehkah kami saman pihak berkuasa?” katanya kepada portal berita dalam talian, Malaysiakini.

    Individu itu turut mendakwa video tanpa penapisan yang memaparkan mereka semasa serbuan tersebar di media sosial, sekali gus mendedahkan identiti dan mencabuli privasi.

    “Kami kini berada dalam trauma. Ramai orang tidak dapat tidur, ada yang kehilangan keluarga atau pekerjaan,” tambahnya.

    Menurut laporan media, seramai 201 lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan selepas pihak berkuasa menerima maklumat awam dan menjalankan risikan sebelum operasi dijalankan.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azani Omar dipetik berkata siasatan risikan mendapati terdapat “aktiviti tidak bermoral” membabitkan lelaki gay di premis itu.

    Antara yang ditahan dilaporkan termasuk 80 lelaki beragama Islam serta warga asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.

    Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan reman terhadap semua individu terbabit.

    Dalam pada itu, pertubuhan hak asasi Justice for Sisters (JFS) mengecam operasi tersebut dan menyifatkannya sebagai satu bentuk diskriminasi, selain mendakwa serbuan itu dibuat berdasar persepsi terhadap pelanggan premis berkenaan.

    Pertubuhan itu turut mengecam kehadiran media semasa serbuan kerana didakwa menyebabkan pencabulan privasi individu yang ditahan.

    Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan polis dengan menegaskan operasi tersebut dijalankan secara sah dan tidak melanggar privasi.

    “Privasi kalau seorang diri di rumah, ini premis awam dengan 201 orang, privasi apa lagi…

    “Itu perbuatan tak bermoral, tak boleh dipertahankan oleh mana-mana agama,” katanya.

    Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menegaskan kenyataan itu tidak wajar kerana siasatan kes masih berjalan dan dakwaan terhadap individu yang ditahan belum dibuktikan di mahkamah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12916

  • Kuala Lumpur sesak teruk, beberapa laluan utama dinaiki air hingga paras pinggang

    Kuala Lumpur sesak teruk, beberapa laluan utama dinaiki air hingga paras pinggang

    KUALA LUMPUR 4 Dis – Hujan lebat yang melanda ibu negara sejak petang tadi mengakibatkan kesesakan luar biasa di beberapa laluan utama sekitar pusat bandar, khususnya di kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur termasuk sekitar KLCC.

    Keadaan trafik mula mengalami kesesakan teruk kira-kira jam 5 petang dan berlarutan sehingga kini, dengan ratusan kenderaan dilaporkan tidak bergerak atau bergerak terlalu perlahan di beberapa persimpangan penting.

    Di Jalan Ampang, aliran trafik dari arah Bukit Nanas menuju ke Jalan Jelatek dilaporkan terhenti sejak jam 6 petang, dengan kesesakan semakin buruk apabila kenderaan dari arah Jalan P. Ramlee dan Jalan Yap Kwan Seng turut memasuki laluan sama.

    Situasi turut diperburuk apabila ratusan kenderaan keluar dari kawasan parkir bangunan serta tempat letak kereta berbayar sekitar KLCC serentak, sekali gus menyebabkan kesesakan di laluan utama.

    Rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan kenderaan yang melalui hadapan KLCC khususnya di Wisma Getah dilaporkan tidak bergerak hampir setengah jam.

    Keadaan sama turut dilaporkan di Jalan Tun Razak di kedua-dua arah, iaitu dari Sungai Besi dan dari Jalan Pahang, dengan aliran trafik dilihat sesak teruk.

    Lebih memburukkan keadaan, paras air turut dikesan naik ke atas jalan di Jalan Pahang, yang dipercayai menjadi antara punca kesesakan ketara di laluan tersebut.

    Kesesakan juga dilaporkan berlaku di Lebuhraya Bertingkat Kuala Lumpur–Ampang (AKLEH), namun kenderaan masih boleh bergerak secara perlahan.

    Setakat ini, pihak media masih menunggu pengesahan dan maklumat lanjut daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berhubung perkembangan semasa dan sebarang penutupan laluan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12917

  • Dua beradik hilang dikhuatiri hanyut arus deras ketika ambil bola dalam longkang di Kajang

    Dua beradik hilang dikhuatiri hanyut arus deras ketika ambil bola dalam longkang di Kajang

    KAJANG 4 Dis – Detik mencemaskan berlaku petang tadi apabila dua beradik lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang besar dan dihanyutkan arus deras semasa cuba mengambil bola di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, di sini.

    Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat menyebabkan aliran air di dalam longkang utama menjadi deras, sekali gus menyukarkan mangsa menyelamatkan diri.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira jam 6.32 petang.

    “Seramai enam orang anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang bergegas ke lokasi yang jaraknya sejauh lima kilometer,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

    Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati dua mangsa lelaki berusia 12 dan 14 tahun sudah dihanyutkan arus deras.

    “Ketika ini, kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan di kawasan longkang utama,” katanya.

    Operasi mencari mangsa masih diteruskan setakat berita ini ditulis dan orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri kawasan kejadian bagi membantu kelancaran kerja penyelamatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12918

  • EPL: Haaland cipta rekod di EPL

    EPL: Haaland cipta rekod di EPL

    LONDON – Penyerang Manchester City, Erling Haaland melakar sejarah baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjadi pemain terpantas yang menjaringkan 100 gol dalam saingan tersebut.

    Pemain Norway itu melakar sejarah tersebut selepas menjaringkan satu gol ketika membantu City mencatat kemenangan 5-4 ke atas Fulham pada aksi liga yang berlangsung di Craven Cottage awal pagi semalam.

    Melakukan pencapaian itu hanya menerusi 111 perlawanan, Haaland berjaya meleburkan rekod terpantas sebelum ini dipegang oleh legenda England, Alan Shearer yang melakukannya dalam 124 perlawanan.

    “Pencapaian ini cukup besar dan saya sangat bangga. Sudah tentu ia bukan satu pencapaian yang biasa, dapat masuk ke dalam ‘kelab 100’ merupakan perkara cukup bersejarah dan sangat cemerlang.

    Selain satu gol yang dijaringkan Haaland, gol City turut hadir menerusi dua jaringan Phil Foden selain masing-masing satu gol Tijani Reijnders serta gol sendiri Sandar Berge.

    Menerusi kemenangan itu, The Citizens terus mengekori rapat pendahulu liga, Arsenal tetapi Haaland menegaskan, mereka hanya perlu fokus pada perlawanan sendiri dan tidak terlalu mengejar The Gunners.

    “Memang penting untuk kami menang kerana Arsenal juga menang di sini. Bagaimanapun, kami perlu fokus pada diri sendiri dan tidak terlalu fikirkan Arsenal kerana perlawanan hari ini (semalam) bukan yang terbaik,” ujarnya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/04/epl-haaland-cipta-rekod-di-epl/

  • SUKAN SEA: Skuad B-23 kempunan khidmat Tierney

    SUKAN SEA: Skuad B-23 kempunan khidmat Tierney

    SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara bakal berdepan kesukaran apabila penyerang Sabah, Fergus Tierney sah tidak dapat sertai pasukan bagi menghadapi saingan Sukan SEA.

    Pengesahan itu dibuat sendiri oleh Pengurus Besar Sabah, Mohd. Joh Wid dan keputusan untuk mengekalkan Tierney dalam kem The Rhinos dibuat selepas berbincang dengan jurulatih pasukan, Jean-Paul de Marigny.

    “Cadangan kami (pengurusan) adalah supaya Tierney dilepaskan untuk satu perlawanan iaitu berdepan Laos dan selepas itu dia kembali bersama kelab. Namun, jurulatih tetap mahu Tierney bersama pasukan dan fokus kepada aksi final (Piala FA).

    “Bagi urusan final ini beliau (jurulatih) sudah maklumkan awal bahawa jika Sabah ke final, Tierney tidak akan dilepaskan. Ia bukan tanggungjawab saya sebab kami sudah meletakkan kepada ketua jurulatih satu sasaran.

    “Jadi, itu salah satu apa yang jurulatih mahu dan oleh kerana ini adalah komitmen beliau, maka saya tidak mahu masuk campur soal keputusannya. Bagi kami, pasukan negara dan kelab kedua-duanya penting, tetapi apa pun dia (jurulatih) pun ada sasaran sendiri dan kami menghormai keputusannya,” katanya.

    Berdasarkan ketetapan, temasya Sukan SEA dilangsungkan di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kelab memiliki hak untuk tidak melepaskan pemain sekali gus menyukarkan pengendali pasukan, Nafuzi Zain bagi menyediakan skuad terbaik.

    Namun, Nafuzi mahu ambil pendekatan positif untuk menyediakan ‘ramuan’ sokongan sekiranya tidak dapat menurunkan skuad terbaik bagi memastikan keputusan positif ke atas Laos.

    “Siapa pun yang saya ada, saya percaya siapa pun yang diberi peluang bermain akan berikan cabaran untuk raih kemenangan pada perlawanan pertama. Tiga mata cukup penting, walaupun ada kekurangan, fokus kita adalah untuk siap sedia sehabis baik,” kata Nafuzi.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/04/sukan-sea-skuad-b-23-kempunan-khidmat-tierney/

  • ‘Wartawan rakyat’ lebih pantas salur info banjir

    ‘Wartawan rakyat’ lebih pantas salur info banjir

    Dalam era digital hari ini, media sosial bukan lagi sekadar platform hiburan, tetapi telah berkembang menjadi sumber maklumat utama terutama ketika berlakunya situasi kecemasan seperti bencana alam. Platform seperti TikTok, X, Facebook dan Instagram kini memainkan peranan besar dalam penyampaian maklumat secara pantas, interaktif dan meluas. Peranan ini jelas dapat dilihat ketika kejadian banjir besar di Perlis termasuk beberapa negeri lain baru-baru ini, Ketika itu, orang awam bukan sahaja berkongsi keadaan banjir di lokasi masing-masing, malah bertindak sebagai ‘wartawan rakyat’……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/04/wartawan-rakyat-lebih-pantas-salur-info-banjir/

  • International Monsoon Casting Tournament ke pentas dunia

    International Monsoon Casting Tournament ke pentas dunia

    Monsun Timur Laut datang lagi, ini bermaksud Laut China Selatan tidak lagi sesuai untuk aktiviti memancing. Namun di Tasik Kenyir, Terengganu, ia merupakan musim yang ditunggu-tunggu kerana inilah masa terbaik untuk memburu ikan-ikan pemangsa. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pancingan bukan sahaja dapat dinikmati oleh pemancing tempatan, malah pengilat luar khususnya melalui penyertaan dalam International Mon- soon Casting Tournament (IMCT). Sekitar awal millenium, ia bermula hanya sekadar trip-trip memancing di musim hujan yang dirancang oleh beberapa orang pemancing ‘gila’. Mereka……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/04/international-monsoon-casting-tournament-ke-pentas-dunia/