Category: JNJ-MEDIA

  • Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru siap 4 tahun lagi

    Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru siap 4 tahun lagi

    KUALA LUMPUR 30 Nov – Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

    Beliau memaklumkan, pihak kementerian akan memantau rapi pelaksanaan pembangunan projek itu bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual seperti yang dijanjikan oleh pihak pemaju.

    Katanya, dalam tempoh dua bulan akan datang, proses cabutan unit kediaman akan dibuka kepada penduduk yang layak, sekali gus memastikan pengagihan unit dilakukan secara adil dan telus.

    “Cabutan ini dilakukan secara undian, jadi penduduk tidak boleh memilih unit. Unit yang diberikan bergantung kepada keputusan cabutan nanti.

    “Saya menjangka pembangunan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Sungai Baru, malah menjadi pemangkin pembangunan kepada keseluruhan kawasan Kampung Baru,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru di sini, hari ini.

    Menurutnya, kediaman baharu yang disediakan nanti adalah lebih luas dan selesa, dengan keluasan antara 900 kaki persegi hingga mencecah lebih 1,200 kaki persegi, merangkumi tiga bilik tidur dan tiga bilik air.

    “Hari ini kita buka peluang kepada penduduk untuk melihat sendiri keselesaan rumah baharu ini dan saya percaya ia menjadi detik yang amat menggembirakan buat mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya, pihak pemaju turut bersetuju memberikan beberapa insentif kepada penduduk, termasuk menanggung sepenuhnya kos penyelenggaraan bagi tahun pertama dan memberikan diskaun sebanyak 70 peratus bagi tempoh tahun kedua hingga tahun ke-10.

    Selain itu, setiap unit juga akan dilengkapi dengan peralatan seperti pendingin hawa dan perabot asas, dengan nilai keseluruhan insentif dianggarkan mencecah RM2 juta.

    Beliau turut memaklumkan, projek itu juga akan menyediakan laluan akses terus ke Lebuh Raya AKLEH yang dibiayai sepenuhnya oleh pemaju dengan kos keseluruhan sekitar RM15 juta.

    “Ini antara nilai tambah yang kita anggap sebagai satu ‘hadiah’ kepada penduduk yang telah begitu lama menantikan pembangunan ini menjadi kenyataan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12828

  • Bukti tak cukup, polis akui sukar dakwa penganjur kelab songsang di Chow Kit

    Bukti tak cukup, polis akui sukar dakwa penganjur kelab songsang di Chow Kit

    KUALA LUMPUR 30 Nov – Polis mengakui berdepan kekangan perundangan yang serius untuk mendakwa penganjur sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit yang disyaki menjadi lokasi aktiviti seksual songsang, susulan ketiadaan bukti kukuh dan mangsa untuk menyokong pertuduhan.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata sehingga kini penganjur premis terbabit masih bebas memandangkan dapatan siasatan tidak mencukupi untuk tindakan pendakwaan.

    “Penganjur nampak masih bebas. Kita tidak boleh bertindak kerana tiada sufficient evidence (bukti mencukupi). Dari sudut undang-undang sedia ada, sukar untuk tuduh mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru.

    Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

    Menurut Fadil, permohonan reman terhadap 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pada 28 November lalu ditolak oleh mahkamah kerana dikemukakan lewat.

    “Kelewatan berlaku kerana tangkapan terlalu ramai dan setiap individu perlu dikelaskan satu persatu. Oleh sebab itu, majistret menolak permohonan reman,” jelasnya.

    Bagaimanapun, katanya, reman selama dua hari hanya dibenarkan terhadap warga asing.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan, namun polis berdepan kebuntuan.

    “Tiada bukti yang boleh membantu siasatan ke arah pendakwaan. Setiap kes eksploitasi, pelacuran atau luar tabii mesti ada mangsa, tetapi tiada siapa tampil sebagai mangsa. Maka kes tidak dapat diteruskan,” katanya.

    Fadil turut mengakui penguatkuasaan dari sudut undang-undang syariah juga berdepan kekangan dalam konteks Wilayah Persekutuan.

    “Dari segi undang-undang syariah, di Kuala Lumpur ada keterbatasan. Setakat ini, yang boleh dibuat ialah memanggil mereka untuk diberi ceramah,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menggesa pindaan undang-undang bagi mengekang kejadian serupa daripada terus berulang.

    “Jika tiada pindaan undang-undang, perkara ini akan berlaku lagi, bahkan lebih teruk. Kami ambil tindakan, tetapi tiada keberhasilan,” katanya.

    Dalam serbuan bersepadu itu, seramai 202 individu ditahan termasuk 31 warga asing dan 17 penjawat awam.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Azani Omar sebelum ini memaklumkan operasi dijalankan hasil risikan selama dua minggu menerusi kerjasama PDRM, JAWI dan DBKL.

    Premis dua tingkat itu dipercayai beroperasi selama lapan hingga 10 bulan, bermula jam 5 petang hingga 11 malam pada hari bekerja, dan 3 petang hingga 11 malam pada hujung minggu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12831

  • Arsenal ada rekod hebat lawan Chelsea

    Arsenal ada rekod hebat lawan Chelsea

    LONDON – Arsenal menggalas misi cukup penting menjelang derbi London menentang Chelsea di Stamford Bridge tengah malam ini dalam usaha mereka terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

    Ketika ini, Chelsea yang merupakan juara dunia adalah pencabar terdekat The Gunners apabila berada di tangga kedua dengan perbezaan enam mata selain mempamerkan aksi konsisten.

    Kemenangan ke atas musuh setempat itu bakal meletakkan Arsenal dalam kedudukan lebih selesa, sekali gus mencerahkan peluang menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak lebih dua dekad.

    Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui, pertemuan itu akan menjadi salah satu perlawanan paling besar musim ini apabila mengambil kira prestasi semasa dipamerkan kedua-dua pasukan tersebut.

    “Bagi saya, Chelsea berhak untuk berada di kedudukan sekarang, ditambah pula dengan barisan pemain yang dibawa masuk dalam tempoh beberapa tahun ini. Mereka memiliki pemain serta barisan kejurulatihan yang sangat berkualiti.

    “Memang ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat menarik kerana ia adalah aksi derbi London. Kami sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi, oleh itu semua pemain sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

    Atas kertas, Arsenal tetap menjadi pasukan pilihan pada perlawanan itu meskipun bermain di Stamford Bridge memandangkan Chelsea hanya mencatat satu kemenangan dalam 10 pertemuan terakhir berbanding enam memihak The Gunners.

    Selain mengesahkan pemain sayap, Leandro Trossard cergas untuk bertemu Chelsea, pengendali dari Sepanyol itu turut menyuarakan rasa gembira apabila memiliki barisan pemain yang boleh diturunkan pada bila-bila masa.

    “Saya gembira kerana kami memiliki pemain-pemain yang boleh diharap apabila diturunkan. Saya harap mereka dapat mengekalkan rentak konsisten apabila turun berdepan Chelsea nanti,” ujar Arteta. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/arsenal-ada-rekod-hebat-lawan-chelsea/

  • Aisha Retno nyanyi lebih sedap, Daiyan okey

    Aisha Retno nyanyi lebih sedap, Daiyan okey

    SEBELUM ini, video Aisha Retno menyanyi pelbagai jenis lagu kerap tular dalam media sosial dan meraih pujian ramai.

    Tetapi sebaliknya pula berlaku kepada Daiyan Trisha selepas dia memuat naik video menyanyikan lagu Where Is My Husband milik Raye.

    Masih mendapat pujian tetapi nyanyian Daiyan dibanding-bandingkan pula dengan Aisha. Macam-macam hal netizen, semuanya serba tak kena.

    “Saya setuju dia (Aisha) penyanyi yang bagus dan kawan yang baik, kami saling menyokong.

    “Kami juga penyanyi yang seronok menyanyi dalam TikTok,” katanya.

    Alahai, sabar sahajalah Daiyan. Teruskan menyanyi dan muat naik dalam media sosial, tak perlu layan sangat komen negatif netizen.

    DIVA: Ramai luah tak puas hati dengan konsert GenKRU tempoh hari. Kenapa ya?

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/aisha-retno-nyanyi-lebih-sedap-daiyan-okey/

  • Peluang lihat dinosaur spesies Pantai Timur, Tanah Melayu

    Peluang lihat dinosaur spesies Pantai Timur, Tanah Melayu

    BUKAN saja golongan pelajar, malah ibu bapa juga teruja menantikan musim cuti sekolah yang hampir tiba tidak lama lagi. Pelbagai perancangan aktiviti mahupun destinasi percutian sudah tersenarai bagi mengisi masa sepanjang cuti persekolahan akhir tahun nanti. Salah satu destinasi terbaik untuk dikunjungi pada musim cuti sekolah nanti adalah Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kuala Terengganu. Lokasi pembelajaran komuniti yang menggabungkan sains, teknologi dan kreativiti dalam suasana santai itu menawarkan pengalaman interaktif menarik khususnya buat kanak-kanak. Menurut Pengurus Korporat……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/peluang-lihat-dinosaur-spesies-pantai-timur-tanah-melayu/

  • Chelsea sedia robek ego The Gunners

    Chelsea sedia robek ego The Gunners

    LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca enggan lagi bersembunyi apabila secara terbuka mengakui skuad kendaliannya sudah bersedia untuk mencabar takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

    Situasi itu jelas berbeza jika dibandingkan musim lalu di mana beliau tidak mahu The Blues dilabelkan sebagai pencabar takhta liga sebelum menamatkan kempen 2024/25 dalam kelompok empat teratas.

    Bagaimanapun, keadaan itu sudah berubah apabila beliau dilihat lebih berani dan yakin menjelang derbi London menentang pendahulu EPL, Arsenal di Stamford Bridge tengah malam ini.

    Maresca berkata, pasukan itu sudah menunjukkan peningkatan ketara selain menampilkan aksi lebih matang, namun beliau enggan terlalu memikirkan mengenai kejuaraan liga kerana saingan masih panjang.

    “Sudah tentu kami bersedia untuk mencabar takhta liga kerana pasukan ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan setahun yang lalu. Pemain-pemain juga sudah lama bermain bersama sebagai satu pasukan.

    “Itu adalah impian kami tetapi harus diingat bahawa kita masih berada di bulan November. Sekiranya kami boleh kekal berada di kedudukan sekarang pada Mac atau April nanti, kita tunggu dan lihat,” katanya.

    Dalam pada itu, The Blues juga mendapat suntikan motivasi apabila bintangnya, Cole Palmer dilaporkan sudah cergas sepenuhnya dan boleh diturunkan ketika melayan kunjungan The Gunners nanti.

    Mengulas kemampuan Arsenal, pengendali dari Itali itu mengakui tidak mudah untuk menembusi benteng pertahanan pasukan tersebut dan ia dapat dibuktikan apabila mereka hanya bolos enam gol setakat ini.

    “Bagi saya, mereka memiliki pertahanan yang cukup baik dan mana-mana pasukan akan bergelut untuk menjaringkan gol. Sebab itu mereka mampu berada di puncak EPL dan Liga Juara-Juara Eropah,” ujar Maresca. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/chelsea-sedia-robek-ego-the-gunners/

  • Percutian menepis stigma Pakistan tidak selamat

    Percutian menepis stigma Pakistan tidak selamat

    Penulis berpeluang berkunjung ke Lembah Hunza yang terletak di utara wilayah Gilgit-Baltistan di Pakistan, pada September lalu. Percutian ini sebenarnya tiada dalam ‘wish list’ kerana Pakistan sering kali dianggap kotor, mudah terkena cirit-birit dan bahaya untuk dikunjungi kerana ancaman pengganas selain rusuhan. Enggan berfikir panjang, penulis bersama keluarga terus menempah tiket ke Islamabad, Pakistan dan dari sana, menaiki satu lagi penerbangan untuk ke Skardu. Sebaik tiba di Skardu, semua sangkaan saya ternyata meleset. Saya berasa seolah-olah masuk ke dunia lain……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/menepis-stigma-pakistan-tidak-selamat/

  • Lima negara IQ paling rendah di dunia, ‘juaranya’ di Asia

    Lima negara IQ paling rendah di dunia, ‘juaranya’ di Asia

    Perkembangan IQ seseorang perlu dipupuk sejak kecil dengan memberi akses pendidikan meluas dan infrastruktur pendidikan terbaik yang disokong oleh sosioekonomi serta politik yang stabil. Bagi sesetengah negara, mereka masih terkebelakang dalam senarai skor purata IQ disebabkan oleh kemiskinan, cabaran sosioekonomi, ketidakstabilan politik, geografi dan lain-lain sedangkan ada negara mampu mencapai skor yang tinggi dengan skor tertinggi 106.48 iaitu Jepun.

    Minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara dengan purata skor IQ terendah sebagaimana yang dilaporkan World Population Review 2025.

    NEPAL berada pada kedudukan paling rendah dalam purata IQ iaitu 42.99 terutama disebabkan oleh kemiskinan yang meluas, kekurangan zat makanan dan kekurangan sumber pendidikan. Perkara ini diburukkan lagi oleh ketidakstabilan politik dan bencana alam yang kerap menghalang pembangunan kognitif dan infrastruktur.

    Negara itu turut kekurangan guru-guru yang terlatih begitu juga sistem kurikulum yang lemah. Nepal juga berdepan cabaran sosial iaitu kanak-kanak perempuan dikahwinkan sekali gus menghalang mereka ke sekolah kerana perlu menggalas tanggungjawab sebagai isteri pada usia sangat muda.

    PURATA IQ di Liberia adalah 45.07 yang dipengaruhi oleh berdekad-dekad perang saudara dan ketidakstabilan politik. Faktor-faktor ini sangat mengganggu sistem pendidikan dan akses penjagaan kesihatan berkualiti.

    Sehubungan itu, sistem pendidikan di Liberia berdepan cabaran sangat getir termasuk sebilangan besar kanak-kanak tidak bersekolah, kadar lebihan enrolmen tinggi dan kekurangan kritikal guru-guru berkelayakan.

    Bagi menangani cabaran ini, Liberia memerlukan pembaharuan yang menyeluruh, latihan guru yang lebih baik dan sokongan untuk pelajar yang lemah dengan memberi tumpuan kepada asas literasi serta kemahiran numerasi.

    3- Sierra Leone – 45.07

    SKOR purata IQ di Sierra Leone adalah sebanyak 45.07. Negara ini terjejas oleh perang saudara, wabak Ebola dan kemiskinan sekali gus, memberi kesan buruk kepada akses pendidikan dan penjagaan kesihatan.

    Kemiskinan menghalang ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, sebaliknya pada usia kanak-kanak mereka dihantar bekerja sebagai buruh bagi membantu kewangan keluarga. Kekurangan dana untuk pendidikan menyebabkan kualiti pendidikan sangat rendah, ini termasuklah kekurangan guru terlatih dan infrastruktur untuk belajar.

    Selain itu, jarak yang jauh dengan sekolah turut menyukarkan pelajar-pelajar mendapatkan akses pendidikan.

    4- Guatemala – 47.72

    DENGAN purata IQ 47.72, Guatemala bergelut masalah kemiskinan, kekurangan zat makanan, kekurangan sumber pendidikan, kualiti pendidikan yang rendah terutama di kawasan luar bandar, kekurangan pembiayaan dan halangan geografi (jarak jauh dari sekolah) serta ketidaksaksamaan jantina.

    Kerajaan mendedikasikan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sangat rendah untuk pendidikan sekali gus menyumbang krisis pendidikan. Banyak sekolah di luar bandar mempunyai infrastruktur yang lemah, bilik darjah yang sesak, kekurangan guru terlatih dan bahan asas seperti buku. Kemiskinan menyumbang kepada kadar keciciran yang tinggi dengan peratusan besar kanak-kanak terutama perempuan, gagal menamatkan sekolah rendah.

    5- Cape Verde – 52.5

    Kelima terendah ialah Cape Verde dengan purata IQ 52.5. Negara ini menghadapi beberapa krisis pendidikan seperti akses yang tidak saksama disebabkan kos tersembunyi, halangan geografi dan isu penyiapan infrastruktur sekolah.

    Walaupun pendidikan rendah dan menengah adalah percuma, keluarga hadapi kos tersembunyi yang ketara untuk pengangkutan, makanan dan lain-lain sehingga mewujudkan ketidaksaksamaan untuk isi rumah berpendapatan rendah. Penduduk luar bandar perlu menempuh jarak yang jauh ke sekolah.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/lima-negara-iq-paling-rendah-di-dunia-juaranya-di-asia/

  • Andalusia tawar empat pakej haji

    Andalusia tawar empat pakej haji

    PUTRAJAYA – Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan empat pakej haji bagi musim 2026 bermula pada harga serendah RM45,990 hingga RM120,990 merangkumi kemudahan penginapan lebih selesa dan bimbingan ibadah secara menyeluruh.

    Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, harga berkenaan disusun mengikut jarak penginapan antara 220 hingga 490 meter dari Masjidil Haram selain mengambil kira peningkatan kos operasi di Tanah Suci.

    “Kami menyediakan pilihan yang sesuai untuk pelbagai kategori jemaah. Mereka yang telah membuat bayaran penuh RM33,300 hanya perlu menambah sedikit kos untuk menikmati kemudahan lebih selesa,” kata­nya ketika ditemui pada Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2025 di Sepang kelmarin.

    Menurutnya, Andalusia me­nempatkan seorang mutawif bagi setiap 100 jemaah, selain menyediakan ziarah dan umrah tanpa caj tambahan serta bimbingan ibadah secara lebih menyeluruh.

    Md. Daud berkata, pemilihan awal pakej juga membolehkan para jemaah membuat persediaan rapi termasuk melepasi pemeriksaan kesihatan ketat oleh kerajaan Arab Saudi.

    Ini kerana, jemaah yang gagal saringan tidak dibenarkan menunaikan haji.

    Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan lain termasuk bas khas bagi jemaah pakej premium, penginapan di Aziziyah untuk memudahkan pergerakan antara Arafah, Muzdalifah dan

    Mina, serta lebih 30 barangan kelengkapan haji seperti beg, pakaian dan peralatan asas.

    “Kami juga menganjurkan maj­lis makan malam khas selepas pulang dari Arafah bagi meraikan semua jemaah,” katanya.

    Sementara itu, Penolong Pengurus Bahagian Haji Andalusia, Khairul Sani Zamberi berkata, empat pakej ditawarkan mengikut keperluan jemaah merangkumi jenis bilik, jarak hotel serta atur cara perjalanan sama ada bermula di Madinah atau Mekah.

    “Pakej pertama ialah Marsa-Amjad dengan harga antara RM45,990 hingga RM75,990, me­libatkan penginapan pada jarak 300 hingga 490 meter dari Masjidilharam dan perjalanan bermula di Madinah sebelum ke Mekah.

    “Pakej kedua ialah Olayan/Elaf berharga RM53,990 hingga RM78,990, dengan jarak hotel antara 220 hingga 400 meter, menawarkan pilihan bilik lebih fleksibel serta penginapan di Mina Muaissim,” katanya.

    Selain itu, Andalusia menyediakan pakej Safwa Aziziyah pada harga RM61,990 hingga RM77,990, yang bermula di Mekah terlebih dahulu, sebelum jemaah ditempatkan di Aziziyah dan kemudian dipindahkan ke Hotel Safwa.

    “Pakej tertinggi ialah Safwa Standard (Premium) yang berharga antara RM92,990 hingga RM120,990, dengan jarak penginapan 50 hingga 220 meter sahaja dari Masjidilharam, termasuk lawatan ke Madinah dan penempatan khemah yang lebih hampir di Mina bagi memudahkan pergerakan jemaah,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/andalusia-tawar-empat-pakej-haji/

  • UiTM dan lakonan, mana pilihan Natasha

    UiTM dan lakonan, mana pilihan Natasha

    Berbakat besar sejak di bangku sekolah, gadis jelita bernama Nur Alia Natasha Azizan, 21, sebenarnya sudah lama melangkah masuk ke dunia lakonan. Dia yang pernah berlakon dalam drama dan telemovie se­perti Selamat Pengantin Haru, Cinta Bersemi di Wadi Safiyyah, Jesnita, Misi Dania Cun 2 dan Cikgu Dina Pakai Prada telah menarik perhatian ramai peminat. Bagaimanapun, di sebalik si­na­ran bakatnya, gadis yang mesra dipanggil Natasha itu tetap mahu memberi tumpuan dalam pelajaran apabila tekad mene­ruskan pengajian di universiti. Natasha turut berkongsi……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/30/uitm-dan-lakonan-mana-pilihan-natasha/