Category: JNJ-MEDIA

  • Ribut Tropika Senyar ‘mengamuk’ di Port Dickson

    Ribut Tropika Senyar ‘mengamuk’ di Port Dickson

    PETALING JAYA – Beberapa rakaman video tular di media sosial sejak malam tadi memaparkan keadaan laut di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan yang bergelora teruk susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

    Menerusi rakaman berdurasi 21 saat itu, kelihatan ombak besar menghentam kawasan pantai dengan angin kuat seakan Ribut Tropika Senyar ‘mengamuk’ sehingga menyebabkan air laut melimpah ke bahagian pesisir.

    Keadaan cuaca ekstrem itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan ada yang berkongsi keadaan rumah mereka rosak susulan ribut kuat malam tadi.

    “Rumah saya dekat Port Dickson habis bumbung banyak bocor. Tak tidur dari semalam fikirkan rumah penuh air. Doakan saya,” kata Atie MJ.

    “Melaka pun ribut teruk dengan aingin kuat, hujan lebat lagi. Memang tak boleh tidur semalaman. Kuat sangat bunyi angin,” kongsi Hajinah.

    Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut mengingatkan para nelayan agar menangguhkan sebarang aktiviti menangkap ikan atau turun ke laut buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

    “Jangan ada yang degil ke laut, bahaya sangat. Takut ada kes orang hilang, bot karan atau sebagainya,” pesan Mukriz.

    Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan Ribut Tropika Senyar dikesan berada pada Latitud 3.6 darjah Utara dan Longitud 100.4 sarjah Timur, iaitu kira-kira 94 kilometer ke Timur Laut Tanjung Balai, Indonesia, dan dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan 9km/j selain boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 46 km/j.

    Kata MetMalaysia, keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Pantai Barat Semenanjung Malaysia bermula malam tadi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/video-ribut-tropika-senyar-mengamuk-di-port-dickson/

  • Lelaki berkain pelekat biru ‘rembat’ dua beg jemaah wanita ditahan

    Lelaki berkain pelekat biru ‘rembat’ dua beg jemaah wanita ditahan

    BESUT – Seorang lelaki diberkas polis bagi membantu siasatan dakwaan mencuri barangan peribadi sewaktu ahli kariah sedang mendirikan solat berjemaah di sekurang-kurangnya dua masjid di daerah ini.

    Suspek berusia 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Dor, Jerteh di sini pada pukul 7.20 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, tangkapan tersebut berikutan aduan dibuat ahli kariah Masjid Gong Mak Som, Kampung Raja di sini pada pukul 8.27 malam, Selasa lalu.

    “Dua beg milik ahli kariah wanita yang bersolat isyak secara berjemaah di masjid terbabit didakwa telah dilarikan suspek pada hari tersebut.

    “Sewaktu kejadian, beg-beg berkenaan telah diletakkan di belakang mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

    Azamuddin berkata, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) masjid tersebut berjaya mengesan kelibat lelaki dipercayai suspek.

    Beliau berkata, berdasarkan rakaman CCTV terbabit, suspek telah memasuki ruangan solat jemaah wanita sebelum mencuri beg milik mangsa.

    “Soal siasat awal suspek mengaku terlibat mencuri bukan sahaja di Masjid Gong Mak Som malah sebuah masjid lain di Jerteh.

    “Serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Dor berjaya menemui dua beg tangan, seutas tasbih, satu beg kecil berzip, empat buah buku dan tiga rangkai kunci,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/lelaki-curi-beg-dua-wanita-bersolat-jemaah-diberkas/

  • Ular hitam gergasi muncul masa banjir

    Ular hitam gergasi muncul masa banjir

    BANGKOK – Satu klip video tular memaparkan seekor ular gergasi berwarna hitam menyusur di dalam banjir dalam kejadian yang mencetuskan kebimbangan penduduk, lapor portal berita Free Press Journal.

    Kejadian itu dirakam di daerah Hatyai, wilayah Songkhla, selatan Thailand, baru-baru ini.

    Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @joe_black317 menunjukkan reptilia itu ‘berenang’ dengan santai ketika melalui jalan yang ditenggelami air.

    Air banjir dilihat mencapai paras pinggang orang dewasa.

    Penduduk tempatan berkata, ular akan mencari tempat berlindung termasuk kawasan perumahan apabila habitat asalnya dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.

    Rakaman itu mencatatkan lebih 1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.

    “Setiap haiwan juga mahu hidup,” kata seorang netizen.

    “Kalau saya, saya takkan turun daripada bumbung,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/ular-hitam-gergasi-muncul-masa-banjir/

  • Hujan 150 mm mula tenggelamkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus

    Hujan 150 mm mula tenggelamkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus

    KUALA TERENGGANU – Hujan lebat melebihi 150 mililiter (mm) yang berterusan sejak malam tadi menyebabkan banyak taman perumahan dan perkampungan di bandar raya ini dan Kuala Nerus dilanda banjir.

    Antara kawasan terjejas ialah Taman Alamanda 3, Kampung Laut, Manir dan Losong di sini, manakala di Kuala Nerus pula melibatkan Kampung Wakaf Tengah, Kampung Pak Katak, Tok Jiring dan Gong Badak.

    Seorang penduduk Taman Alamanda 3, Zainon Zulkifli, 47, berkata, rumahnya mula dinaiki air pada pukul 8.20 pagi.

    “Kami ingatkan tahun ini bebas banjir sebab taman perumahan ini tidak terjejas tahun lalu.

    “Saya dan keluarga kelam-kabut mengalihkan perabot dan barangan berharga ke tingkat atas,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

    Sementara itu, Abdul Malik Muhamad, 49, yang menetap di Taman Desa Tanjung Damai di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini pula berkata, mereka kini dalam keadaan berjaga-jaga berikutan paras air meningkat sejak awal pagi.

    “Kami sebenarnya sudah letih berpindah ke PPS hampir saban tahun. Sudah sembilan kali rumah dinaiki air sejak

    menduduki pada tahun 2011.

    Suhairah Mohd Saidi, 27, dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus pula berkata, dia risau bilik jahitan kakaknya yang penuh dengan tempahan pelanggan terjejas jika rumah mereka ditenggelami banjir.

    “Cepat-cepat kami alih kain tempahan pelanggan itu ke tingkat atas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/hujan-150-mm-mula-tenggelamkan-kuala-terengganu-kuala-nerus/

  • Jeti platform di Port Dickson runtuh, 8 pekerja selamat

    Jeti platform di Port Dickson runtuh, 8 pekerja selamat

    PORT DICKSON – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengesahkan terdapat lapan pekerja terkandas di kawasan platform akibat runtuhan di platform jeti tersebut selepas dibadai Ribut Tropika Senyar, awal pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kira-kira pukul 1.05 pagi kejadian di Jeti Platform Petron membabitkan lapan mangsa warganegara tempatan berusia lingkungan 20an hingga 50an.

    “Komander Operasi Bomba melaporkan terdapat lapan orang mangsa terkandas di kawasan platform akibat runtuhan di platform jeti tersebut. Lima orang daripada mangsa telah berjaya menyelamatkan diri di dalam bot tunda milik petron.

    “Manakala dua orang mangsa berada di Rescue Boat pasukan Emergency Respond Petron dan seorang mangsa terkandas di atas jeti. Kesemua mangsa tidak dapat balik ke darat disebabkan keadaan laut yang bergelora dan angin kuat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

    PGO memaklumkan, susulan kejadian itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah bertindak ke lokasi insiden untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan kira-kira pukul 2.15 pagi, Ketua Zon 2 Negeri Sembilan, PgKB II Muhammad Khairul Nizam Mardi telah membuat penilaian operasi bersama pihak pengurusan Petron untuk melaksanakan operasi menyelamat.

    “Pada pukul 3.55 pagi, Komander Operasi melapor mangsa yang terkandas di jeti telah berjaya diselamatkan oleh Rescue Boat Pasukan Emergency Respond Petron,” katanya.-KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/jeti-platform-di-port-dickson-runtuh-8-pekerja-selamat/

  • Malaysia tak cukup hakim, ada yang urus 800 kes – Ketua Hakim Negara

    Malaysia tak cukup hakim, ada yang urus 800 kes – Ketua Hakim Negara

    GEORGETOWN 27 Nov – Sistem kehakiman negara kini berdepan tekanan berganda susulan kekurangan hakim serta peningkatan ketara jumlah kes, sekali gus menyebabkan beberapa prosiding mengambil masa lebih panjang untuk diselesaikan.

    Menurut laporan Berita Harian, Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, keadaan itu sudah mencapai tahap membimbangkan apabila terdapat hakim yang mengendalikan jumlah kes jauh melebihi kapasiti munasabah.

    Bercakap kepada media selepas pelancaran Persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, hari ini, beliau mendedahkan seorang hakim di Johor Bahru kini mengendalikan sehingga 800 kes aktif, iaitu lebih tiga kali ganda daripada beban kerja ideal.

    “Adalah mustahil daripada segi kemampuan manusia untuk seorang hakim mendengar 800 kes. Beban kerja munasabah sepatutnya sekitar 200 hingga 250 kes.

    “Kita tahu apa punca masalah dan sedang menanganinya,” katanya.

    Menurutnya, situasi itu menyebabkan berlaku kelewatan ketara, termasuk kes yang berlarutan bertahun-tahun namun masih belum dapat ditamatkan.

    Bagi meredakan tekanan terhadap sistem, Wan Ahmad Farid berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sedang meneliti pelantikan tambahan hakim serta pesuruhjaya kehakiman.

    Namun, beliau menegaskan penambahan sumber manusia semata-mata bukan penyelesaian mutlak kepada masalah berkenaan.

    “Kita tak mahu apa yang kita buat sekarang ini lebih kepada ‘firefighting’. Lantik lebih ramai tenaga kerja memang membantu, tetapi ia bukan satu-satunya penyelesaian.

    “Kita ada beberapa usaha lain yang sedang berjalan untuk mengurangkan beban kerja, termasuk peluasan mediasi dan kaedah penyelesaian alternatif,” katanya.

    Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar selama seminggu di Pulau Pinang kali ini merupakan antara langkah menyelesaikan kes lama, walaupun jumlah sebenar kes yang berjaya ditamatkan hanya akan diketahui selepas sesi itu berakhir pada Jumaat ini.

    Di Sabah dan Sarawak pula, badan kehakiman merancang memperluas kaedah persidangan secara litar berbanding pendekatan tradisional berpangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu.

    Antara lokasi baharu yang sedang dipertimbangkan ialah Miri dan Sandakan bagi memastikan perkhidmatan kehakiman dapat diakses oleh masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan untuk hadir ke mahkamah.

    “Kita pergi kepada mereka. Inilah yang kita sebut sebagai akses kepada keadilan,” katanya.

    Dengan gabungan pelantikan hakim baharu, peluasan mediasi, pelaksanaan sesi litar dan usaha menembusi kawasan pedalaman, beliau menegaskan pelbagai inisiatif kini sedang digerakkan bagi menangani tekanan ke atas sistem kehakiman negara.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12773

  • Mengata rakan suspek, pelajar Tingkatan 4 ditemui pengsan dipercayai dipukul dalam tandas asrama di Sungai Petani

    Mengata rakan suspek, pelajar Tingkatan 4 ditemui pengsan dipercayai dipukul dalam tandas asrama di Sungai Petani

    SUNGAI PETANI 27 Nov – Seorang pelajar tingkatan empat direman selama tiga hari bagi membantu siasatan insiden serangan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan dipukul sehingga pengsan di asrama sebuah sekolah di sini, awal pagi Isnin lalu.

    Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas oleh seorang guru sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

    Pihak sekolah telah menghubungi ibu mangsa pada jam 9.05 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada badan pelajar terbabit.

    Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.10 tengah malam dan dipercayai berpunca daripada perbuatan mangsa yang didakwa memburukkan seorang rakan kepada salah seorang suspek.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata siasatan awal mendapati seorang pelajar bertindak agresif selepas mangsa dipercayai mengaibkan rakan mereka, sebelum mengajak tiga lagi pelajar lain untuk mencari mangsa.

    Beliau berkata, empat pelajar berusia antara 16 hingga 17 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

    Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka, iaitu pelajar tingkatan empat terbabit direman selama tiga hari, manakala tiga lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sungai Petani pada Khamis.

    Menurut beliau, kejadian itu merupakan kes pertama seumpamanya di asrama berkenaan dan pihak sekolah tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12774

  • Banjir makin buruk, hampir 35,000 mangsa di 7 negeri

    Banjir makin buruk, hampir 35,000 mangsa di 7 negeri

    KUALA LUMPUR 27 Nov – Keadaan banjir di beberapa negeri terus meruncing apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat sehingga tengah hari ini.

    Setakat pukul 12 tengah hari, seramai 34,289 mangsa daripada 11,547 keluarga ditempatkan di 220 PPS di tujuh negeri, menurut Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

    Kelantan kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 10,907 orang ditempatkan di 66 PPS. Daerah Tumpatmerekodkan angka terbesar iaitu 4,421 mangsa, diikuti Kota Bharu (2,420) dan Bachok (2,051).

    Perlis pula menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 7,270 mangsa di 24 PPS, dengan trend pemindahan yang dilaporkan terus meningkat.

    Perak turut menunjukkan pertambahan kepada 5,313 mangsa, khususnya di daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

    Di Kedah, 4,270 mangsa dipindahkan melibatkan tiga daerah utama iaitu Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena. Terengganu pula merekodkan 4,013 mangsa susulan peningkatan di beberapa daerah seperti Setiu, Kuala Terengganudan Dungun.

    Selangor turut mengalami lonjakan kepada 2,497 mangsa, dengan Kuala Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 2,210 orang.

    Pahang merekodkan jumlah terendah dengan 19 mangsa di daerah Lipis.

    NDCC turut memaklumkan dua kematian dilaporkan di Kelantan, masing-masing di Tanah Merah dan Gua Musang, menjadikan jumlah kumulatif korban sejak 13 November kepada dua kes.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk (jingga) di Kelantan dan Terengganu sehingga esok, selain memaklumkan ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri lain termasuk Perak, Selangor, Sabah dan Labuan pada pagi ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12775

  • Suspek serang Haresh Deol nak pukul orang lain, mungkin tersalah sasaran – Polis

    Suspek serang Haresh Deol nak pukul orang lain, mungkin tersalah sasaran – Polis

    KUALA LUMPUR 27 Nov – Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menyerang wartawan sukan, Haresh Deol tersalah sasaran dalam insiden yang berlaku di Bangsar, kelmarin.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati motif serangan dipercayai berpunca daripada isu peribadi yang melibatkan gangguan terhadap isteri suspek, namun mangsa sebenar mungkin tidak menjadi sasaran langsung.

    “Ia (motif) seperti ada gangguan terhadap isteri dia (suspek) jadi lebih kepada peribadi namun nampak macam salah sasaran pun ada kerana dia mahu pukul yang kacau isterinya tetapi salah orang.

    “Bagaimanapun, kita akan bandingkan dengan semua keterangan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti ‘Disiplin Terjaga, Generasi Terbina’ Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH, hari ini.

    Menurut Fadil, pihak polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Tangkapan setakat ini membabitkan seorang individu yang kini direman.

    “Namun kita akan angkat kepada AGC dan kemukakan cadangan untuk tuduh,” katanya.

    Dalam pada itu, Haresh semalam menolak dakwaan polis bahawa serangan terhadapnya didorong oleh isu peribadi.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas sikap profesional dalam menjalankan siasatan, namun menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan mana-mana pihak.

    Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga penganggur pada pukul 2 pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam kejadian serangan ke atas wartawan berkenaan.

    Haresh yang juga pengasas TwentyTwo13, diserang dua individu ketika mahu masuk ke dalam keretanya di Bangsar.

    Menerusi catatan di akaun aplikasi X miliknya, beliau memaklumkan diserang oleh dua individu, dengan salah seorang daripada mereka turut merakam video kejadian tersebut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12776

  • Kerajaan cadang samakan status pelajar Tingkatan Enam dengan matrikulasi

    Kerajaan cadang samakan status pelajar Tingkatan Enam dengan matrikulasi

    KOTA KINABALU 27 Nov – Kerajaan Persekutuan bercadang menaik taraf status pelajar Tingkatan Enam supaya setaraf dengan pelajar program matrikulasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata cadangan itu dikemukakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bagi memastikan keadilan dan keseragaman kepada pelajar pascamenengah.

    “Dulu, Tingkatan Enam dianggap sebahagian daripada sekolah, manakala matrikulasi atau asasi lain ada elaun. Oleh itu, status pelajar Tingkatan Enam mesti sama dengan matrikulasi.

    “Apa saja yang diberikan kepada pelajar matrikulasi harus sama diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam,” katanya pada sesi dialog awam Program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam di sini, hari ini.

    Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan merancang menubuhkan sebuah Kolej Tingkatan Enam di Sabah yang akan dilengkapi dengan kemudahan asrama pelajar.

    Dalam Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan sedang meneliti potensi menjadikan Keningau sebagai hab pendidikan, termasuk mempertimbangkan penubuhan kolej berkenaan di daerah itu.

    Langkah tersebut sejajar hasrat kerajaan memperluas peluang pembelajaran pascamenengah kepada pelajar luar bandar.

    Anwar menegaskan, pembangunan infrastruktur pendidikan termasuk menaik taraf sekolah daif di negeri itu adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.

    Beliau berkata, anak muda Sabah perlu dilengkapi ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka mampu memajukan diri, keluarga dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12779