Category: JNJ-MEDIA

  • ‘Kena ada tiga benda ini, tuntut insurans kereta kena banjir di Thailand’

    ‘Kena ada tiga benda ini, tuntut insurans kereta kena banjir di Thailand’

    PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang memandu ke Thailand boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans sekiranya kenderaan terjejas banjir di negara itu dengan tiga syarat penting dimasukkan dalam polisi mereka.

    Menerusi perkongsian wakil insurans VFMajuSinar di TikTok, dalam masa sama, pelan insurans tersebut perlu dibeli di Malaysia kerana pelan insurans di negara jiran tidak akan melindungi kenderaan bagi tuntutan banjir.

    “Pelan yang boleh ‘cover’ (lindung) kereta kita jika kemalangan dan banjir di Thailand adalah pelan insurans Malaysia. Macam mana nak ‘cover?’, kena ada tiga benda ini dalam polisi insurans.

    “Nombor satu ialah pelan komprehensif, ‘add on’ (tambahan) bencana alam atau ‘special perils’. Seterusnya kena buat ‘extension to Thailand’. Tak mahu susah-susah, buat setahun terus dan sekalikan dalam polisi,” katanya menerusi video tersebut.

    Jelas wakil insurans itu, pelan komprehensif tersebut dilanggan ketika pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan.

    “Untuk (tambahan perlindungan) bencana alam ini, boleh beli setahun (tempoh) semasa buat (perbaharui) cukai jalan, tak boleh masa kena banjir di Hatyai, baru buat. Itu tak boleh.

    “Lepas itu (untuk syarat) ‘extension to Thailand’ nak buat setahun terus, boleh atau buat semasa hendak masuk Thailand pun boleh. Tapi setiap kali masuk Thailand, kena buat. Menyusahkan sedikit, tapi murah sikit berbanding buat setahun,” katanya.

    Untuk membuat tuntutan insurans, katanya, ia boleh dibuat dengan membawa kenderaan keluar yang terjejas banjir dari Thailand ke Malaysia.

    “Tarik kereta ke sempadan Malaysia, hubungi pihak insurans dan bawa kenderaan ke bengkel panel. Jangan buat tuntutan dengan pomen (mekanik) bawah pokok rambutan, tak ada resit, menyusahkan hangpa (kalian).

    “‘Special perils’ mahal ke? Biasa 0.2 daripada harga kereta. Contoh Perodua Myvi berharga RM50,000, kena tambah RM100 setahun untuk bencana alam. Kalau tak ada, memang tak boleh tuntut. Benda ini kena ada dalam polisi insurans,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/video-kena-ada-tiga-benda-ini-tuntut-insurans-kereta-kena-banjir-di-thailand/

  • ‘Bawa nama Malaysia’ – Hael Husaini teruja beraksi lagi di ATA

    ‘Bawa nama Malaysia’ – Hael Husaini teruja beraksi lagi di ATA

    PETALING JAYA – Terus terbang tinggi, penyanyi Hael Husaini teruja bakal mengadakan persembahan di Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-30 di Jakarta, Indonesia, esok.

    Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 38, mengakui berbesar hati menerima jemputan khas daripada penganjur ATA dan stesen televisyen Indosiar buat kali kedua di acara berprestij itu.

    “Saya amat terharu dan bersyukur kerana diberikan peluang sekali lagi untuk berdiri di pentas ATA. Ini bukan sahaja fasal persembahan saya tetapi membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

    “Setiap kali naik pentas, saya ingin menzahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia yang menunjukkan bakat tempatan mampu meninggalkan jejak tidak dapat dilupakan,” katanya.

    Bagi penyanyi lagu Jampi itu, peluang diajukan pihak pengelola ATA merupakan pengiktirafan terhadap usaha serta dedikasinya dalam industri muzik.

    Bersama pengalaman yang memberikan impak besar pada tahun lalu sebagai rujukan, Hael bertekad memberikan persembahan lebih dramatik agar meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

    Katanya, bagi penampilan pada edisi ATA kali ini, penyanyi merangkap komposer itu mempersiapkan persembahan medley rangkaian seleksi terbaiknya.

    Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee berkata, pencapaian luar biasa Hael yang membanggakan turut mendapat pengiktirafan daripada pihaknya secara kolektif.

    “Hael contoh anak Malaysia yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berdedikasi dan profesional.

    “Prestasinya di ATA tahun lalu bukan sekadar meninggalkan kesan mendalam, malah memperkukuh kedudukan muzik Malaysia di pentas global.

    ‘Jemputan semula ini sebagai bukti bakatnya terus diiktiraf dan dihargai. Kami berbangga dapat menyokong perjalanan ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

    Terkini, Hael baru sahaja melancarkan video muzik terbaharu berjudul Peluk bergandingan dengan penyanyi, Nadeera. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/bawa-nama-malaysia-hael-husaini-teruja-beraksi-lagi-di-ata/

  • ‘Iklan pencarian sudah disiarkan, harap dia hadir ke mahkamah’

    ‘Iklan pencarian sudah disiarkan, harap dia hadir ke mahkamah’

    KUALA LUMPUR – Selepas gagal mendapatkan kerjasama, pengacara Raja Azura meneruskan tindakan penyampaian ganti dengan menyiarkan iklan pencarian bekas suaminya, Adzmin Osman dalam akhbar bagi menyelesaikan tuntutan tunggakan nafkah tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

    Menurut Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, tindakan tersebut merupakan prosedur yang perlu diambil susulan Adzmin enggan menerima dokumen afidavit selain meminta dia menghadirkan diri ke mahkamah pada 3 Disember depan.

    “Sebelum ini, penyerahan afidavit tidak berjaya sebab tidak mahu memberi maklum balas, jadi saya terpaksa memohon penyampaian ganti.

    “Iklan pun disiarkan hari ini (semalam) dan saya berharap dia dapat hadir serta menjelaskan kepada mahkamah mengenai tunggakan nafkah anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis pengumuman malam Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 di sini, semalam.

    Ujarnya, tiada harapan besar yang diletakkan sebaliknya hanya meminta Adzmin hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan tuntutan tunggakan nafkah tiga anak mereka.

    “Bila iklan sudah keluar, barulah saya boleh beritahu umum kerana itu perintah mahkamah. Harap dia hadir dan selesaikan isu tunggakan nafkah ini.

    “Dia kena datang sendiri dan membuat pengakuan tentang hutang nafkah yang tertunggak sebelum kes boleh diteruskan ke peringkat seterusnya,” jelasnya.

    Raja Azura bagaimanapun menegaskan tidak akan sesekali merayu untuk bekas suaminya muncul bahkan sehingga kini lokasi keberadaan Adzmin juga masih belum diketahui.

    “Saya tidak akan merayu tetapi meminta dia hadir.

    “Saya pun tak tahu dia di mana sehingga sekarang dan kalau saya cari sendiri, nanti jadi gaduh, kalau boleh nak selesaikan secara damai,” tuturnya.

    Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 6 November lalu turut menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh baru bagi penyerahan laporan penyampaian ganti yang dilakukan pihak plaintif.

    Terdahulu, Raja Azura pada 10 September lalu memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak 15 tahun lalu.

    Raja Azura mendirikan rumah tangga dengan Adzmin pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.

    Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 23, Megat Luqman Haqim, 22, dan Puteri Mia Maizura, 20. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/iklan-pencarian-sudah-disiarkan-harap-dia-hadir-ke-mahkamah/

  • Dulu sehari sekotak sekarang sekotak seminggu – Que Haidar

    Dulu sehari sekotak sekarang sekotak seminggu – Que Haidar

    PETALING JAYA – Nekad meninggalkan tabiat buruk, pelakon Que Haidar mengakui dalam fasa mengurangkan pengambilan rokok sebagai usaha mengamalkan gaya hidup sihat.

    Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, 46, berkata, dia kini hanya merokok sekotak seminggu berbanding sebelum ini menghabiskan 12 batang rokok dalam sehari.

    “Sudah seminggu, tapi masih ada enam batang rokok lagi. Hebat juga saya boleh bertahan. Kadang-kadang ada hari yang saya terlupa nak merokok.

    “Ini perkembangan yang sangat baik untuk diri saya sebab memang niat nak berhenti merokok. Dulu sehari sekotak, sekarang sekotak seminggu.

    Perlahan-lahan insya-Allah akan okey,” kongsinya dalam hantaran video di TikTok

    Kata bintang filem Rock Oo! itu lagi, buat masa ini fokus utamanya adalah memberi perhatian terhadap perkembangan diri tanpa sebarang tekanan.

    “Saya tak boleh bandingkan diri dengan hidup orang lain. Yang saya lihat hanya perkembangan diri saya berbanding sebelum ini.

    “Dulu sehari sekotak, lepas itu saya perlahan-lahan kurangkan. Sekarang sekotak seminggu. Lama-lama, Insya-Allah boleh berhenti terus,” ujarnya.

    Terdahulu, nama Que menjadi sebutan selepas video ‘miming’ lagu Jamilah dendangan asal Jamal Mirdad yang dikongsikan tanpa berbaju tular di laman sosial hingga mencecah lebih 6 juta tontonan.

    Duda anak dua itu kemudian menjadi rebutan jenama terkenal yang berminat melantiknya menjadi duta termasuk gedung pakaian. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/dulu-sehari-sekotak-sekarang-sekotak-seminggu-que-haidar/

  • Ribut Tropika Senyar menuju Selat Melaka, bawa hujan berterusan

    Ribut Tropika Senyar menuju Selat Melaka, bawa hujan berterusan

    PETALING JAYA – Ribut Tropika (Senyar) dikesan pada kedudukan 3.6°U 99.9°T di utara Sumatera dan 102 kilometer (km) ke barat daya Lumut, Perak, kini sedang bergerak ke arah timur tenggara memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/j.

    Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di Semenanjung Malaysia, khususnya negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung mulai hari ini.

    “Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari hari ini hingga Sabtu.

    “MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat, ramalan serta amaran cuaca terkini melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.

    Kosmo! Online hari ini melaporkan, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk (jingga) di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sehingga 29 November ini.

    Menurut MetMalaysia, negeri-negeri yang terlibat adalah seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.

    Di Kedah, kawasan yang dijangka dilanda hujan berterusan adalah di Kulim dan Bandar Baharu, manakala Pahang pula di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong.

    Amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) turut dijangka berlaku di seluruh Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan, selain Pahang di daerah Jerantut, Temerloh, Maran Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin. Di Johor pula, cuaca sama dijangka melanda Tangkak dan Segamat. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/ribut-tropika-senyar-menuju-selat-melaka-bawa-hujan-berterusan/

  • Banjir Hatyai: ‘Tanpa rakyat Thailand, mungkin kami kebuluran’

    Banjir Hatyai: ‘Tanpa rakyat Thailand, mungkin kami kebuluran’

    BUKIT KAYU HITAM – Kalangan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menghargai pertolongan rakyat Thailand sepanjang mereka terkandas di Hatyai sejak Jumaat lalu.

    Menurut pelajar, Aaisya Nor Akbar, 22, dia tidak akan sesekali melupakan kebaikan penduduk negara jiran itu yang menyediakan makanan buat mereka.

    “Saya tidak akan lupa pertolongan rakyat Thailand, saya rasa tanpa mereka memang kami akan kebuluran kerana terkandas di sana. Terima kasih kepada warga Thailand,” katanya hari ini.

    Katanya, penghargaan paling utama diberikan kepada pensyarah yang sentiasa ada bersama serta pihak UUM yang berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia bagi membantu mereka di sana.

    “Kami tahu ada banyak halangan yang menyebabkan mereka tidak dapat bantu, namun kami sangat menghargai usaha dan inisiatif dilakukan. Banyak juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang cuba nak bantu tetapi akhirnya pihak konsulat yang berjaya bantu kami.

    “Selain itu, kata-kata semangat daripada rakan-rakan di sini serta doa ibu bapa menjadi penguat semangat kami. Alhamdulillah kami termasuk rakan-rakan dan pensyarah yang tidak sihat, dapat pulang hari ini,” ujarnya.

    Seorang lagi pelajar, Abdul Hannan Abdul Halim, 20, berkata, mereka dapat mengisi perut atas ihsan rakyat Thailand.

    “Atas belas ihsan orang Thailand, mereka beri air minuman dan masak bubur setiap hari. Kami faham makanan itu juga perlu diagihkan kepada mangsa lain, jadi makanan dicatu.

    “Kami kongsi satu mangkuk dua hingga tiga orang dan apabila dapat bekalan makanan kami kongsi satu bekas untuk tiga orang. Tanpa warga Thailand, kami mungkin kebuluran kerana tiada makanan,” ujarnya.

    Selain itu, katanya, rakyat Thailand yang terdiri daripada anggota tentera, bomba dan jurutera elektrik turut membantu mereka dengan membawa bateri kereta untuk mengecas telefon bimbit berikutan tiada bekalan elektrik.

    Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pensyarah yang sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada mereka.

    “Kepada pihak UUM, terima kasih kerana sedaya upaya membantu kami dan terima kasih juga kepada semua yang mendoakan keselamatan kami,” tambahnya.

    Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kesemua 36 pelajar dan dua pensyarah UUM berjaya dipindahkan dari Hotel Wangburapa Grand di Hatyai hari ini setelah terkandas sejak Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/banjir-hatyai-tanpa-rakyat-thailand-mungkin-kami-kebuluran/

  • Banjir: Taburan hujan dua hari menyamai tempoh sebulan

    Banjir: Taburan hujan dua hari menyamai tempoh sebulan

    BAGAN DATUK – Banjir yang berlaku di beberapa negeri di Semenanjung ekoran taburan hujan luar biasa selama dua hari yang menyamai tempoh sebulan.

    Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Meor Ismail Meor Akim berkata, perkara itu menyebabkan skala banjir kali ini lebih besar berbanding sebelum ini.

    “Initermasuk kawasan-kawasan baharu yang tidak pernah dilanda bencana. Banjir besar di Perlis kali terakhir adalah pada 2010 manakala di Perak pada 1984. Jadi, memang luar biasa sikit tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kawasan banjir di sekitar Kampung Sungai Nipah Darat, di sini hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, semua sistem amaran banjir dan lebih 100 rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di kawasan berisiko bencana itu berfungsi dengan baik membolehkan urusan mitigasi mangsa dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan.

    “Setakat ini, tiada rekod, laporan sistem amaran tak berfungsi dan banyak tempat saya pergi kebanyakan mangsa dah berpindah sebelum (bencana banjir).

    “Ini menunjukkan sistem berfungsi dengan baik. Saya ada di Perlis diberitahu macam tu keadaannya, di Perak belum terima laporan dan di Kelantan pun sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/27/banjir-taburan-hujan-dua-hari-menyamai-tempoh-sebulan/

  • Hujan di Hatyai direkod paling lebat dalam tempoh 300 tahun

    Hujan di Hatyai direkod paling lebat dalam tempoh 300 tahun

    BANGKOK 26 Nov – Hujan berterusan sejak minggu lalu mencetuskan krisis banjir besar di selatan Thailand, mengakibatkan kemusnahan meluas dan kehilangan nyawa. Sekurang-kurangnya 33 orang dilaporkan maut setakat ini, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

    Situasi banjir yang semakin meruncing memaksa pihak berkuasa mengerahkan kapal-kapal tentera dan helikopter bagi mempercepatkan penghantaran bantuan kepada mangsa.

    Sepanjang minggu lalu, 10 wilayah di selatan Thailand dilanda hujan lebat, dengan bandar Hatyai merekodkan 335 milimeter hujan dalam tempoh satu hari — jumlah tertinggi dalam tempoh 300 tahun.

    Beberapa gambar yang tular menunjukkan kenderaan dan rumah ditenggelami air di bandar itu, sementara penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung menunggu pasukan penyelamat tiba.

    Lebih dua juta penduduk Thailand terjejas akibat banjir, namun hanya 13,000 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan.

    Tentera Thailand yang mengetuai operasi krisis berkata, mereka bersedia menghantar sebuah kapal pengangkut pesawat serta 14 bot yang membawa bekalan bantuan dan dapur bergerak, berupaya menyediakan sehingga 3,000 hidangan sehari.

    Pasukan perubatan di atas kapal pengangkut pesawat itu turut bersedia menukarnya menjadi hospital terapung sekiranya keadaan memerlukan.

    Gabenor Songkhla, Rattasat Chidchu, memaklumkan bot, trak berjarak tinggi dan jet ski dikerah untuk membantu pemindahan penduduk.

    Kelmarin, kabinet mengisytiharkan Songkhla sebagai zon bencana bagi membolehkan peruntukan bantuan disalurkan segera.

    Sementara itu, kumpulan penyelamat sukarelawan Matchima Rescue Center melaporkan menerima ribuan panggilan dalam tempoh tiga hari terakhir daripada orang ramai yang meminta dipindahkan. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12754

  • MITI peruntuk RM250 juta galak PMKS guna teknologi pintar, automasi

    MITI peruntuk RM250 juta galak PMKS guna teknologi pintar, automasi

    KUALA LUMPUR 26 Nov – Hampir 1,200 syarikat di negara ini sudah terlibat dalam inisiatif transformasi digital secara langsung apabila kerajaan giat menggalakkan peralihan kepada teknologi pintar dan automasi, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, penyertaan syarikat-syarikat tempatan itu dicapai menerusi pelbagai program di bawah dasar utama kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Industry4WRD.

    “Tahap pembangunan teknologi ini diukur berdasarkan penyertaan syarikat-syarikat kita dalam program yang disediakan.

    “Melalui dana Industry4WRD, pelaburan bernilai sekitar RM150 juta telah diluluskan melalui MIDA, manakala Geran Automasi Pintar membabitkan kira-kira 120 syarikat dengan jumlah hampir RM100 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan tambahan Yuneswaran Ramaraj (PH–Segamat) mengenai jumlah syarikat yang telah melaksanakan transformasi digital termasuk penggunaan teknologi pintar, automasi dan kecerdasan buatan (AI) sejak suku akhir 2023.

    Menurut Tengku Zafrul, MITI turut menyediakan sokongan menyeluruh kepada syarikat tempatan menerusi agensi berkaitan seperti SIRIM, MATRADE dan MIDF, termasuk kemudahan pembiayaan.

    “Ini skim pinjaman mudah bagi automasi dan pemodenan, dan Insya-Allah ia akan membantu syarikat tempatan kita,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan kerajaan sedang memperkukuh bidang strategik negara melibatkan pusat data, rangkaian berprestasi tinggi serta pembangunan penyelidikan dan reka bentuk litar bersepadu (IC) sebagai usaha mempercepatkan pendigitalan industri.

    “Malaysia turut memperkenalkan Visi Silikon, yang memberi fokus kepada pembangunan cip AI buatan Malaysia. Kerjasama strategik dengan ARM Limited membolehkan syarikat tempatan mengakses harta intelek (IP) ARM, sekali gus mempercepat pembangunan cip AI tempatan.

    “Kerajaan juga terus menggalakkan pembangunan teknologi AI tempatan yang berpotensi menembusi pasaran global,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12753

  • Kaunselor motivasi eHati dedah anggota badan didenda RM4,000, menangis rayu hukuman penjara ditepikan

    Kaunselor motivasi eHati dedah anggota badan didenda RM4,000, menangis rayu hukuman penjara ditepikan

    SHAH ALAM 26 Nov – Seorang kaunselor program motivasi rumah tangga berdepan saat sukar apabila mengalirkan air mata di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini selepas didapati bersalah mendedahkan anggota badan sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, dalam kejadian September tahun lalu.

    Tertuduh, Siti Zaama Rizal Boss, 49, dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara satu bulan jika denda itu gagal dibayar.

    Dalam rayuannya, Siti Zaama memohon maaf atas perbuatannya dan mengakui kesilapan tersebut, namun menjelaskan ia dilakukan akibat rasa malu dan rendah diri yang melampau susulan masalah rumah tangga yang dihadapinya.

    “Saya ada masalah rumah tangga dan banyak trauma yang berat untuk saya tanggung. Saya mohon maaf dengan apa yang berlaku dan menjadi pengajaran yang jelas buat saya.

    “Saya hanya mampu bayar denda RM500 kerana tidak bekerja dan suami juga tidak bekerja. Mohon mahkamah mempertimbangkan keadaan saya dan mengetepikan hukuman penjara,” katanya.

    Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan mendedahkan anggota badan yang dilarang oleh hukum syarak sehingga boleh dilihat orang lain. Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah dewan di pusat konvensyen di Shah Alam antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 29 September tahun lalu.

    Bagi kesalahan itu, Siti Zaama didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Husaini Roslin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam penghakimannya, Dr Zainal Abidin menegaskan setiap Muslim wajar menunjukkan teladan yang baik sebagai duta agama, khususnya kepada masyarakat bukan Islam.

    “Islam itu sebagai ‘pakaian’ dan cara hidup kamu. Bukan secara zahir tetapi pelindung kamu.

    “Walaupun anda sakit (masalah rumah tangga dan emosi). Namun, perhitungkan halal dan haram jangan dilanggar sahaja… Kamu aibkan diri sendiri,” katanya.

    Dalam prosiding sama, dua lagi tertuduh iaitu Bushra Mohd Zaki, 41, dan Munirah Hishamshah, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa. Pengakuan itu dibuat sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

    Kedua-duanya yang masing-masing diwakili Peguam Syarie, Yusfa Hanis Yusoff dan Rezal Mazli Abdul Muin, kemudian dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh. Mahkamah menetapkan perbicaraan kes mereka pada 5 Mac 2026.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi yang sama, namun pada tarikh berbeza iaitu antara jam 2.30 petang hingga 6.30 petang pada 30 September tahun lalu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12752