Category: JNJ-MEDIA

  • Wartawan Malaysia meninggal dunia selepas buat liputan mangsa banjir di Hatyai

    Wartawan Malaysia meninggal dunia selepas buat liputan mangsa banjir di Hatyai

    KANGAR 25 Nov – Seorang wartawan yang baru selesai menjalankan tugasan liputan banjir di Hatyai ditemui meninggal dunia awal pagi ini di Perlis ketika dalam perjalanan pulang.

    Allahyarham Mohamad Asri Shafii, 49, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di Jalan Behor Pulai, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia.

    Menurut isteri Allahyarham, Norhanani Ahmad, kali terakhir beliau berhubung dengan suaminya adalah menerusi aplikasi WhatsApp apabila arwah menyatakan hasrat untuk segera pulang kerana bimbang keadaan rumah yang dinaiki air.

    Katanya, ketika dalam perjalanan, kereta yang dipandu arwah dipercayai terperangkap banjir dan gagal dihidupkan.

    “Arwah dikatakan cuba turun dari kereta untuk menolak kenderaan itu tetapi tiba-tiba dia rebah, mungkin akibat serangan jantung dan lemas. Dia juga ada sejarah sakit jantung sebelum ini,” katanya hari ini.

    Sebagai rekod, Allahyarham pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia sebelum menjadi wakil Astro Awani di Perlis.

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12751

  • Dr Fie menang hak jagaan tetap tiga anak, syukur Nubhan beri kerjasama

    Dr Fie menang hak jagaan tetap tiga anak, syukur Nubhan beri kerjasama

    SHAH ALAM 25 Nov – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan hak hadanah atau penjagaan tetap tiga anak pasangan penyanyi Nubhan Ahmad dan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek (Dr Fie), diberikan kepada Dr Fie.

    Keputusan itu membawa kelegaan besar kepada Dr Fie, 35, yang menyifatkan penantian dan proses perundangan berkenaan akhirnya membuahkan hasil memihak kepadanya.

    “Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dan amat gembira hari ini. Apa-apa pun keutamaan saya tetap pada anak. Alhamdulillah, semua anak akan kembali dengan sayalah.

    “Selama ini pun, untuk kes (hadanah) ini membabitkan perbincangan antara peguam saja,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Nubhan yang memberi kerjasama sepanjang proses tuntutan berlangsung.

    Peguam syarie mewakili Dr Fie, Datuk Akberdin Abdul Kadir, berkata faktor kestabilan kerjaya dan kemampuan ibu menguruskan kehidupan anak-anak menjadi pertimbangan mahkamah.

    “Pada pandangan saya, pihak ibu pun mempunyai kerjaya yang baik dan semestinya layak untuk penjagaan anak. Mungkin pandangan itu diambil kira.

    “Pihak bapa pula, selalu keluar bekerja dan sebagainya. Kecuali kalau ada kekurangan di pihak ibu, tetapi ini kosong (tiada). Jadi sebab itu semua berjalan lancar dan hari ini adalah prosiding perbicaraan pertama dan kita sudah selesaikan semuanya,” katanya.

    Pada September lalu, Nubhan memfailkan tuntutan hadanah penuh dan interim terhadap tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, selepas sebelum itu mengemukakan permohonan pengesahan perceraian serta lafaz rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

    Pasangan itu bernikah pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayillle, 3.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12750

  • Lelaki Nepal didakwa bunuh dua beranak dalam keadaan mengerikan di Juru

    Lelaki Nepal didakwa bunuh dua beranak dalam keadaan mengerikan di Juru

    BUKIT MERTAJAM 26 Nov – Seorang lelaki warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh seorang wanita dan anak angkatnya dalam kejadian tragis di Kampung Sekolah Juru pada 18 Oktober lalu.

    Tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hindi oleh jurubahasa mahkamah. Tiada pengakuan direkodkan.

    Menurut pertuduhan, Dinesh didakwa membunuh Sariya Che Hin, 51, serta anak angkat mangsa, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, dalam tempoh antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam di sebuah rumah di kampung berkenaan.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung.

    Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli, memaklumkan mahkamah bahawa tiada tawaran jaminan diberikan memandangkan ia kes bunuh. Mahkamah kemudian menolak jaminan dan menetapkan 26 Januari tahun depan bagi penyerahan laporan forensik, kimia dan bedah siasat.

    Pada 18 Oktober, negara dikejutkan dengan pembunuhan kejam dua beranak itu. Sariya ditemukan mati di dapur dengan kecederaan parah pada leher sehingga hampir putus, manakala mayat Nur Afrina ditemukan tertiarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.

    Laporan bedah siasat mengesahkan kedua-dua mangsa maut akibat tetakan pada belakang leher menggunakan senjata tajam, dipercayai pisau pemotong daging. Polis turut menemui pisau yang dibuang di kawasan semak berhampiran.

    Kes kini disiasat lanjut sementara tertuduh ditahan reman sehingga tarikh sebutan semula.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12749

  • Nasi Kandaq Fest 3.0 himpun sembilan ‘lejen’ di Datum Jelatek November ini

    Nasi Kandaq Fest 3.0 himpun sembilan ‘lejen’ di Datum Jelatek November ini

    KUALA LUMPUR 26 Nov – FriedChillies mengumumkan penganjuran Nasi Kandaq Fest 3.0 yang akan berlangsung pada 29 hingga 30 November 2025 di Datum Jelatek Shopping Centre, bersempena ulang tahun ketiga pusat beli-belah tersebut.

    Edisi kali ini menampilkan barisan vendor paling besar sejak festival itu dianjurkan, dengan sembilan lejen nasi kandar dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor. Penganjuran turut mendapat sokongan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan komuniti Facebook Nasi Kandaq Hunters (NKH).

    Menurut penganjur, festival tersebut menawarkan hujung minggu yang penuh dengan hidangan warisan, demonstrasi masakan, aktiviti komuniti dan hiburan keluarga.

    Sorotan festival

    Nasi kandar RM3 pada jam 3.33 petang untuk 333 pengunjung terawal pada Sabtu dan Ahad

    Pertandingan pakaian terbaik

    Pertandingan makan

    Pertandingan mewarna dan aktiviti keluarga

    Persembahan pentas dan demonstrasi memasak

    Rakan jenama rasmi: Able Farm (krimer), Jasmine Rice (beras), dan ECOSAFA (minyak masak)

    Sembilan lejen paling ‘Surrr’

    FriedChillies dan NKH memilih barisan vendor legenda termasuk:

    Deens Maju (Jalan Gurdwara, Pulau Pinang)

    Nasi Kandar Kampung Melayu (Pulau Pinang)

    Pelita (Chai Leng Park)

    Kudu

    Hameediyah

    LC (Line Clear) Kampung Baru

    Nasi Kandaq Talam (Johor)

    Nasi Kandar Bawah Pokok (Pulau Pinang)

    Ibramsha, kini beroperasi di lokasi baharu

    Setiap vendor akan menyajikan lauk signature serta beberapa hidangan eksklusif sempena festival.

    FriedChillies yakin sambutan luar biasa

    Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal, berkata penganjuran tahun ini membawa barisan vendor paling kuat setakat ini.

    “Tahun ini kami membawa sembilan vendor nasi kandar kegemaran rakyat dari Penang, KL dan Johor — ini sememangnya line-up paling Surrr setakat ini,” katanya.

    Beliau berkata pemilihan Datum Jelatek sebagai lokasi memberikan kemudahan kepada pengunjung, termasuk akses terus melalui LRT dan kemudahan parkir.

    Datum Jelatek sambut ulang tahun ke-3

    Ketua Pegawai Eksekutif Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim, berkata acara tersebut selari dengan peranan pusat beli-belah itu sebagai ruang komuniti dan budaya.

    “Himpunan sembilan lejen nasi kandar di bawah satu bumbung adalah pengalaman yang jarang berlaku, dan kami bangga membawanya kepada pengunjung,” katanya.

    Sokongan PRESMA dan komuniti NKH

    Presiden PRESMA, Datuk Mohamed Mosin, menyifatkan nasi kandar sebagai simbol warisan Muslim-India Malaysia dan memuji inisiatif penganjur mengangkat identiti kulinari negara.

    Sementara itu, pengasas NKH, Pandai Othman, berkata komuniti yang kini melebihi 275,000 ahli sangat teruja untuk kembali menyokong festival tersebut.

    “Dengan sembilan nama besar yang dipilih bersama FriedChillies, peminat akan mendapat pilihan hebat serta rasa autentik,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12748

  • Kereta terjerlus dalam lubang, warga emas korban kedua dalam banjir di Kelantan

    Kereta terjerlus dalam lubang, warga emas korban kedua dalam banjir di Kelantan

    TANAH MERAH 26 Nov – Hasrat seorang anak untuk membawa ibunya berpindah ke rumah saudara-mara akibat banjir bertukar tragedi apabila kereta dinaiki mereka terjerlus ke dalam lubang sebelum dihanyutkan arus deras di Kampung Batu 5, Jalan Jedok, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Siti Gayah Zakaria, 70, ditemukan lemas selepas dihanyutkan ke arah anak Sungai Batu 5, manakala anaknya, Shamila Suzie Ahmad Basharuddin, 48, terselamat selepas bergelut menyelamatkan diri.

    Shamila Suzie berkata, dia masih terkilan kerana gagal menyelamatkan ibunya walaupun sudah berjaya membuka pintu kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandunya ketika kenderaan itu hanyut dibawa arus.

    “Selepas banyak kali menarik tangan ibu, saya sudah hilang tenaga dan hanya dapat menyelamatkan diri sendiri. Saya ketika itu sudah penat dan hanya mampu meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari ibu yang lemas.

    “Anggota bomba menjumpai jasad ibu kira-kira pukul 7.49 pagi tadi. Kereta saya yang hanyut pula ditemukan tersangkut pada pembetung air di anak sungai itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman, berkata seramai enam anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi, sebelum jasad mangsa ditemukan pada 7.49 pagi dan diserahkan kepada polis.

    Menurut beliau, kes itu merupakan insiden kedua membabitkan mangsa lemas di Kelantan sepanjang musim tengkujuh tahun ini, selepas kematian seorang wanita warga Indonesia yang dihanyutkan kepala air di Kampung Pulai, Gua Musang pada Khamis lalu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12746

  • Anggota polis ditahan selepas pikap peronda terbabit kemalangan maut di Kangar

    Anggota polis ditahan selepas pikap peronda terbabit kemalangan maut di Kangar

    KANGAR 26 Nov – Seorang anggota polis ditahan selepas kenderaan peronda dipandunya terlibat dalam kemalangan maut di jalan persiaran wawasan, berhampiran mini putrajaya, di sini pada isnin.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, pikap polis berkenaan yang sedang menjalankan tugas rondaan bertembung dengan dua buah motosikal dari arah bertentangan di kawasan gua sami.

    Ketua polis daerah kangar, asisten komisioner yusharifuddin mohd yusop berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu pikap terbabit.

    “Tangkapan telah dibuat ke atas anggota terlibat bagi membantu siasatan lanjut. Polis turut meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tampil menyalurkan maklumat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Satu tangkap layar video tular di media sosial turut memaparkan detik motosikal dinaiki mangsa bertembung dengan pikap polis berkenaan.

    Yusharifuddin dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau membuat tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

    Sementara itu, beberapa hantaran video yang memaparkan insiden terbabit turut beredar meluas di platform media sosial sejak malam tadi..

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12742

  • FAM kecam serangan terhadap wartawan, gesa siasatan terperinci dibuat

    FAM kecam serangan terhadap wartawan, gesa siasatan terperinci dibuat

    PETALING JAYA 26 Nov – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol, sambil menyatakan sokongan penuh agar siasatan terperinci dijalankan segera.

    Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, meskipun badan induk itu kini berdepan kritikan berhubung isu pemalsuan dokumen pemain waisan, peranan dan tanggungjawab media tidak pernah dipandang ringan.

    “FAM memandang serius laporan mengenai insiden melibatkan wartawan sukan, saudara Haresh Deol, yang didakwa diserang oleh dua lelaki di Bangsar pada Selasa, 26 November 2025.

    “FAM mengecam sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap mana-mana individu, termasuk para wartawan yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan negara.

    “Sebarang tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan tidak mencerminkan semangat kesukanan serta nilai integriti yang diperjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 4 petang semalam.

    FAM berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pelaku dan memastikan keadilan ditegakkan, selain komited mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan saling menghormati antara semua penggiat sukan dan pengamal media.

    “Akhir sekali, FAM mendoakan agar saudara Haresh Deol berada dalam keadaan baik dan terus diberikan kekuatan selepas insiden yang tidak diingini ini,” jelas Mohd Yusoff.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12741

  • PM terima perletakan jawatan Shamsul Iskandar, SPRM bebas siasat

    PM terima perletakan jawatan Shamsul Iskandar, SPRM bebas siasat

    PUTRAJAYA 26 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima perletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Setiausaha Politik Kanan beliau.

    Dalam kenyataan pada Rabu, Anwar menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera terhadap segala tuduhan yang timbul.

    “Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar.

    “Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Shamsul atas khidmat beliau.

    Shamsul pada lewat petang Selasa mengumumkan bahawa beliau telah menghantar surat perletakan jawatan kepada Anwar.

    Perletakan jawatan itu dipercayai berkait beberapa pendedahan termasuk dakwaan seorang ahli perniagaan, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, yang mendakwa memberi RM629,000 kepada Shamsul selepas diyakinkan bahawa wang itu boleh diperoleh kembali melalui saluran politik di Sabah.

    Dalam masa sama, tular sepucuk surat bertarikh 6 Mei 2024 yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri, ditujukan kepada pembantu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bagi mempertimbangkan enam kontraktor untuk projek hospital di Muar.

    Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini menamakan Shamsul sebagai individu yang menulis surat sokongan tersebut.

    Pada 18 November lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau sudah menegur setiausaha politiknya berhubung tindakan yang bercanggah dengan peraturan kerajaan.

    Pelbagai pihak termasuk pembangkang kemudiannya menggesa SPRM menjalankan siasatan segera dan telus berhubung tuduhan yang dikaitkan dengan Shamsul.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12739

  • Bekas Presiden Brazil jalani hukuman 27 tahun didapati bersalah cuba rampas kuasa daripada presiden baharu

    Bekas Presiden Brazil jalani hukuman 27 tahun didapati bersalah cuba rampas kuasa daripada presiden baharu

    BRASILIA 26 Nov – Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro kini secara rasmi memulakan hukuman penjara 27 tahun selepas Mahkamah Agung negara itu menegaskan sabitan terhadapnya muktamad, sekali gus menamatkan semua ruang rayuan yang pernah difailkan beliau.

    Tokoh konservatif berusia 70 tahun itu, yang pernah menguasai politik Brazil dengan gaya lantang dan populis, kini ditempatkan di sebuah bilik kecil di ibu pejabat polis persekutuan lengkap dengan televisyen, peti sejuk mini dan penyaman udara.

    Bolsonaro disabitkan pada September lalu kerana merancang usaha untuk menghalang Presiden baharu, Luiz Inacio Lula da Silva daripada mengangkat sumpah selepas pilihan raya 2022.

    Beliau turut didapati bersalah terlibat dalam komplot untuk membunuh pemimpin berhaluan kiri itu.

    Bagaimanapun, pendakwa raya menjelaskan cubaan berkenaan gagal kerana Bolsonaro tidak mendapat sokongan kepimpinan tertinggi tentera.

    Awal bulan ini, Mahkamah Agung menolak rayuan terakhir Bolsonaro dan memutuskan semalam bahawa keputusan sabitan itu kini kekal dan muktamad. Tribunal tentera juga diarahkan menentukan sama ada Bolsonaro wajar dilucutkan pangkat ketenteraan sebagai bekas kapten tentera.

    Hakim Alexandre de Moraes berkata, terdapat petunjuk bahawa Bolsonaro merancang untuk melarikan diri semasa satu perhimpunan penyokongnya yang dianjurkan anak beliau, dengan menyebut lokasi kedutaan Amerika Syarikat yang berhampiran serta hubungan rapat Bolsonaro dengan Donald Trump sebagai faktor kemungkinan beliau cuba mendapatkan suaka politik.

    Namun Bolsonaro menafikan cubaan melarikan diri, mendakwa tindakan dan kebimbangannya dipengaruhi ubat-ubatan yang diambil.

    Pemimpin yang memerintah dari 2019 hingga 2022 itu tetap mempertahankan dirinya tidak bersalah dan mendakwa beliau menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik. – AFP

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12738

  • Simpanan pensyarah hampir RM1 juta licin akibat terpedaya skim pelaburan janji pulangan 1,000 peratus

    Simpanan pensyarah hampir RM1 juta licin akibat terpedaya skim pelaburan janji pulangan 1,000 peratus

    JASIN 26 Nov — Hasrat seorang pensyarah wanita untuk menggandakan simpanannya bertukar mimpi ngeri apabila kerugian hampir RM1 juta selepas terjerat skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan luar biasa sehingga 1,000 peratus hanya dalam beberapa minit.

    Mangsa berusia 40 tahun itu dilaporkan terpikat dengan iklan “belajar trading saham” yang tular di Instagram pada 28 Julai lalu sebelum menekan pautan dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek memperdaya mangsa dengan menjanjikan keuntungan segera dan mengarahkannya memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan kononnya bagi tujuan pendaftaran akaun pelaburan.

    “Tertarik dengan tawaran itu mangsa nekad mengeluarkan simpanan, meminjam daripada ahli keluarga dan membuat pinjaman bank kerana percaya pelaburan ini mampu memberi pulangan luar biasa.

    “Antara 1 September hingga 18 Oktober lalu, mangsa membuat 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM914,758.82,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

    Namun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dalam tempoh dua hingga lima minit.

    “Malah, suspek turut meminta bayaran tambahan RM20,000 sebagai ‘yuran suku tahun’ sebelum kononnya membolehkan keuntungan dikeluarkan.

    “Menyedari dirinya ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 November lalu dan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Lee turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat, terutama jika pembayaran diminta ke akaun persendirian yang lazimnya menunjukkan unsur penipuan.

    Beliau berkata, orang ramai boleh menyemak nombor akaun bank, nombor telefon atau syarikat meragukan melalui portal Semak Mule, dan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menjadi mangsa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12736