Category: JNJ-MEDIA

  • PDRM jamin proses lantikan dan kenaikan pangkat bebas diskriminasi kaum

    PDRM jamin proses lantikan dan kenaikan pangkat bebas diskriminasi kaum

    KUALA LUMPUR 20 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa proses lantikan dan kenaikan pangkat dalam pasukan keselamatan itu bebas daripada sebarang unsur diskriminasi terhadap kaum bumiputera, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Shamsul menjelaskan bahawa PDRM tidak menetapkan sebarang kuota khusus bagi bumiputera atau bukan bumiputera. Sebaliknya, pengambilan dibuat berdasarkan merit, kelayakan akademik, kecergasan fizikal serta kelulusan proses tapisan keselamatan.

    Beliau turut memaklumkan bahawa PDRM melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan penyertaan bukan bumiputera, termasuk memberi kelonggaran terhadap syarat lantikan fizikal dan akademik serta mempergiatkan promosi dan libat urus di institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti setempat.

    “Langkah ini bertujuan memberi maklumat dan membuka lebih banyak ruang penyertaan tanpa menjejaskan tahap profesionalisme serta integriti pasukan. PDRM sentiasa menggalakkan lebih ramai bukan bumiputera menyertai pasukan supaya komposisinya mencerminkan kepelbagaian rakyat Malaysia,” katanya.

    Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai jumlah individu baharu yang diserap sejak 2022, peratusan bukan bumiputera dalam pasukan PDRM, serta ketetapan kuota bagi individu bumiputera dan bukan bumiputera pada masa kini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12616

  • Genggam kaki, angkat sebelum hentak badan bayi OKU berusia dua bulan hingga maut, bapa kekal ke tali gantung

    Genggam kaki, angkat sebelum hentak badan bayi OKU berusia dua bulan hingga maut, bapa kekal ke tali gantung

    KUCHING 20 Nov – Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh bayi lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia dua bulan dengan menghentak tubuh mangsa dalam kejadian pada 2016.

    Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azimah Omar, yang mendapati tiada kesilapan dibuat Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan dalam menilai bukti perbicaraan.

    Hakim Azizah berkata, keterangan saksi utama termasuk isteri perayu serta bukti perubatan yang dikemukakan pakar patologi adalah konsisten dan menyokong dapatan bahawa Vincent Marcos, 39, menyebabkan kecederaan maut terhadap mangsa.

    Menurut rekod kes, kejadian berlaku pada 28 April 2016 apabila Vincent menggenggam kaki bayi itu sebelum mengangkat dan menghentak tubuh mangsa ke permukaan sofa selepas menuduh isterinya curang.

    Mangsa tidak bergerak selepas hentakan berkenaan namun perayu gagal mendapatkan rawatan segera walaupun diminta isteri, dengan bayi hanya dibawa ke hospital keesokan paginya dalam keadaan sudah meninggal dunia dan terdapat kesan gigitan semut.

    Hasil bedah siasat menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan kepala teruk termasuk pendarahan subdural, edema otak dan kontusi akibat hentakan kuat pada permukaan tumpul.

    Pemeriksaan turut menemui kecederaan lama pada tulang rusuk, klavikel dan femur yang berlaku beberapa minggu sebelum kematian, menggambarkan penderaan berulang.

    Mahkamah Tinggi Bintulu pada 2 Ogos 2018 mensabitkan Vincent atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Mahkamah Rayuan pada 26 April 2022 mengekalkan keputusan itu. Mahkamah turut menyatakan tindakan menghentak bayi berusia dua bulan dengan kekerasan adalah perbuatan yang secara lazimnya menyebabkan kecederaan serius atau kematian, sekali gus memenuhi elemen niat atau pengetahuan di bawah peruntukan berkenaan.

    Dalam prosiding hari ini, peguam lantikan mahkamah, Louis Jarau, memaklumkan representasi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pengecualian hukuman mati sejajar Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz berhujah bahawa berdasarkan fakta kes dan keseluruhan keadaan, hukuman di bawah Seksyen 302 adalah yang paling wajar, sambil menegaskan perayu tidak menunjukkan belas kasihan terhadap bayi tidak berdaya berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12615

  • Dua ‘katak’ disita, seorang lagi diburu kerana minta sedekah di jalan raya

    Dua ‘katak’ disita, seorang lagi diburu kerana minta sedekah di jalan raya

    KUALA LUMPUR 20 Nov – Tindakan tiga individu memakai kostum ‘katak’ berwarna kuning, merah dan hijau meminta sumbangan di tengah jalan lampu isyarat di laluan Semabok–Bukit Senjuang, Melaka membawa padah apabila dua daripada mereka dikenakan sitaan semalam.

    Pakaian maskot milik ‘katak’ kuning dan merah disita oleh anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Taman Semabok, manakala ‘katak’ hijau kini diburu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata siasatan mendapati kegiatan meminta sumbangan dengan memakai kostum itu dilakukan oleh warga tempatan dan warga asing.

    “Ada bukan warganegara, ada warganegara dewasa, ada warganegara bawah umur 16 tahun. Pergilah cari rezeki di tempat yang tak bahayakan orang lain. Mohon permit dan cari lokasi selamat, selesai,” katanya dalam hantaran di Facebook.

    Beliau berkata, tidak dapat dipastikan sama ada ketiga-tiga individu berkenaan beroperasi atas arahan sindiket atau sebaliknya.

    “Tak tahu. Rasanya adalah tokey tu. Sebab takkan datang dari negeri utara ke sini buat kerja macam ni (rujukan pada kad pengenalan).

    “Yang menjaja dan pengemis lain tak tangkap? Menjaja urusan pihak berkuasa tempatan. Lokasi bahaya tindakan serta-merta.

    “Isu paling utama adalah keselamatan. Berapa banyak kemalangan dan nyaris kemalangan berlaku kerana perbuatan mereka. Semoga kita semua terselamat daripada bahaya,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12614

  • Tak mampu, 50 peratus jemaah haji 2025 terpaksa tolak tawaran tunai haji

    Tak mampu, 50 peratus jemaah haji 2025 terpaksa tolak tawaran tunai haji

    KUALA LUMPUR 20 Nov – Separuh daripada jemaah haji yang menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji tahun ini didapati menolak peluang berkenaan, dengan faktor kewangan dikenal pasti sebagai sebab utama.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata semakan menunjukkan 50 peratus jemaah yang layak mengerjakan Rukun Islam kelima itu memilih untuk tidak meneruskan tawaran berikutan kekangan kewangan.

    Beliau turut mendedahkan bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) hanya mempunyai simpanan kurang RM1,300.

    Menurutnya, jumlah itu menyebabkan ramai pendeposit tidak layak menunaikan haji kerana simpanan sedia ada tidak mencukupi bagi menampung kos ibadah tersebut.

    “Ini kerana TH kini kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten biarpun ia ditubuhkan dengan dua matlamat utama, iaitu sebagai institusi penabungan dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.

    “Peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH, termasuk peruntukan kewangan yang sudah dimuktamadkan.

    Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata TH perlu melaksanakan strategi baharu termasuk peremajaan jenama bagi memastikan ia kekal relevan dan kembali menarik minat umat Islam untuk menabung secara konsisten.

    “Ini terutama dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji, selain matlamat inisiatif itu bertujuan menyusun semula strategi untuk meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.

    “Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan dan bukan secara organik,” katanya.

    Mengenai kos penjenamaan semula, Mohd Na’im menjelaskan peruntukan bagi perkhidmatan konsortium perunding bernilai RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun seperti dimaklumkan pada 16 Ogos lalu.

    Setakat ini, TH telah membelanjakan RM1.9 juta, selari dengan kemajuan semasa projek tersebut.

    “Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai, setakat ini.

    “Peruntukan ini juga mengguna pakai bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12611

  • Teka-teki kehamilan isteri Shuib terjawab

    Teka-teki kehamilan isteri Shuib terjawab

    KUALA LUMPUR 20 Nov – Teka-teki peminat mengenai kehamilan isteri pelawak Shuib akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan perkara tersebut.

    Memetik OhBulan, usahawan itu berkata Watie Hanifiah kini hamil dan usia kandungan telah melepasi trimester kedua. Bapa kepada empat cahaya mata itu mengakui hatinya sarat dengan emosi bercampur-baur, mengenangkan arwah Siti Sarah ketika mengandungkan anak bongsu mereka serta kehamilan pertama Watie yang sebelum ini gugur.

    “Alhamdulillah, seperti mana yang orang nampak, isteri saya memang sudah hamil lima bulan.

    “Masa mula-mula dia hamil yang pertama sebelum ini, kami tahu (positif hamil) ketika berada di Madinah.

    “Semasa itu saya rasa sangat sayu kerana teringatkan arwah Siti Sarah yang kali terakhir hamil anak bongsu kami.

    “Jadi, bila Watie hamil kali ini, perasaan itu datang semula, macam dejavu. Sebenarnya rasa sayu dan takut sedikit, tetapi kehamilan pertama bukan rezeki kami,” kongsi Shuib.

    Dengan penuh rendah hati, pemilik nama Shahmira Muhamad, 41, itu turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk menimang cahaya mata. Beliau turut memaklumkan kehamilan kali ini dirancang sejak awal.

    “Yang kedua ini memang kami ada merancang. Alhamdulillah, lekat (hamil). Watie pun sangat teruja dan berjanji akan menjaga kandungan sebaiknya kerana sebelum ini dia kuat bekerja,” katanya.

    Shuib turut mendedahkan bahawa tidak ramai yang mengetahui mengenai kehamilan Watie dan mereka masih belum bersedia untuk berkongsi jantina bayi.

    “Sekarang saya tak kisah, janji bayi sihat, itu sudah memadai buat kami berdua,” ujarnya.

    Untuk rekod, Watie dan Shuib diijab kabul pada 23 Jun 2023. Pasangan itu pernah mengalami keguguran pada 11 Mei lalu.

    Shuib sebelum ini memiliki empat cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 14; Dzahira Talita Zahra, 12; Ariq Matin, 9; dan Ayash Affan, 4.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12612

  • Selamba bawa budak naik bas sekolah tanpa lesen, ‘roadtax’ mati

    Selamba bawa budak naik bas sekolah tanpa lesen, ‘roadtax’ mati

    HULU SELANGOR 20 Nov – Sebuah kenderaan perdagangan yang dijadikan bas sekolah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas didapati melakukan sejumlah kesalahan berat dalam pemeriksaan sempena Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Persiaran Kemboja, Bukit Beruntung, semalam.

    Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata siasatan mendapati kenderaan itu bukan sahaja beroperasi tanpa permit yang sah, malah turut gagal mematuhi beberapa aspek keselamatan penting.

    “Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, ketiadaan insurans, pemeriksaan Puspakom tamat tempoh, tiada lesen memandu kelas CDL, tiada lesen PSV serta beberapa kesalahan teknikal lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, JPJ komited meneliti setiap aduan awam dan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutama membabitkan kenderaan yang membawa pelajar.

    Susulan pemeriksaan itu, kenderaan berkenaan dibawa ke Stor Penyimpanan Kenderaan Kalumpang untuk tindakan lanjut.

    JPJ dalam pada itu menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesalahan lalu lintas supaya menyalurkannya melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform e-Aduan, lengkap dengan butiran pengadu dan aduan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12609

  • Lelaki maut ditembak ketika makan di restoran di Seremban

    Lelaki maut ditembak ketika makan di restoran di Seremban

    SEREMBAN 20 Nov – Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditembak di sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan, di sini, lewat malam Rabu.

    Menurut saksi yang ditemui kira-kira jam 1 pagi, mangsa dikatakan sedang makan sebelum dua kenderaan tiba di lokasi.

    Mangsa kemudian dilihat berlari menyeberangi jalan, sebelum beberapa das tembakan kedengaran dan dia rebah sejurus selepas itu.

    Anggota polis dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal berhubung kejadian tragis tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 11.23 malam.

    “Semasa anggota bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah terima penggilan MERS 999 daripada sorang lelaki memaklumkan satu kes bunuh telah berlaku di sebuah restoran di lokasi.

    “Kes masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12608

  • Safee Sali gesa FAM selamatkan bola sepak negara dahulu

    Safee Sali gesa FAM selamatkan bola sepak negara dahulu

    PETALING JAYA 20 Nov – Bekas pemain kebangsaan dan bekas Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya “menyelamatkan bola sepak negara terlebih dahulu” ketika badan induk itu membawa kes berkaitan pemain kacukan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

    Safee menyuarakan kebimbangan terhadap kesan buruk yang mungkin menimpa bola sepak negara di pentas antarabangsa sekiranya keputusan lebih berat dikenakan.

    “Kita tidak boleh ‘membunuh’ bola sepak begitu sahaja,” katanya.

    Beliau menegaskan bahawa sebarang penggantungan atau krisis tambahan akan memberi kesan kepada ramai pihak di luar isu utama tersebut.

    Safee, yang membantu skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, berkata para pemain tempatan sebenarnya sudah mula terkesan sejak sebelum FIFA campur tangan secara rasmi, dan sebarang komplikasi lanjut hanya akan “menambah lebih banyak masalah” kepada pemain.

    “Kita mesti cintakan bola sepak dan sukan ini, dan semuanya adalah untuk negara,” katanya.

    Safee turut mengulangi gesaannya agar semua pihak bertanggungjawab susulan keputusan penuh (“motivated decision”) yang dikeluarkan FIFA, yang memperincikan isu melibatkan pemain, FAM dan ejen.

    “Sebagai rakyat Malaysia, saya tentunya kecewa dengan keputusan ini,” katanya.

    Beliau menggesa keluarga bola sepak negara mengambil pengajaran, menekankan perlunya “bangun dan jangan ulangi kesilapan sama”.

    “Kita mesti perbetulkan perkara ini, siapa yang melakukannya perlu bertanggungjawab,” katanya sambil menekankan keperluan menangani isu sistemik yang didedahkan dalam keputusan tersebut.

    Safee turut menyentuh mengenai dapatan yang menyatakan bahawa pemain dilaporkan menyerahkan sepenuhnya urusan kepada ejen tanpa melaksanakan tanggungjawab profesional mereka sendiri.

    Bekas penyerang itu melahirkan rasa hairan bahawa terdapat pemain profesional yang tidak membaca dan memahami kontrak mereka.

    Beliau menegaskan, pemain perlu menjalankan tanggungjawab dan semakan yang sewajarnya sebagai profesional kerana “anda mesti berhati-hati dan tahu apa yang anda tandatangani”.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12607

  • Penjawat awam ditangkap selepas rakam wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh

    Penjawat awam ditangkap selepas rakam wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh

    TEMERLOH 20 Nov – Seorang penjawat awam lelaki ditangkap orang awam selepas tindakannya merakam seorang wanita tanpa keizinan di Pekan Sehari Temerloh tular di media sosial, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan pada 19 November 2025 sebelum suspek berjaya diberkas.

    “Kejadian sebenar berlaku pada 9 November lalu kira-kira jam 12.45 tengah hari apabila seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa dirinya dirakam secara curi ketika berada di lokasi berkenaan.

    “Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam serta merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk merakam mangsa tanpa keizinan,” katanya dalam kenyataan.

    Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit suspek menemui beberapa video mangsa yang dirakam secara curi dalam galeri telefon berkenaan, selain sejumlah video dan gambar lucah.

    Susulan itu, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 509A dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang serta memiliki bahan lucah.

    Sekiranya sabit kesalahan, Seksyen 509A memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 292 membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mohd Nasyim turut menasihatkan orang awam agar tidak melakukan perbuatan sama serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi mengenai kes yang masih dalam siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12606

  • Premis tanpa tandas bersih tidak lagi layak dapat lesen perniagaan mulai tahun hadapan

    Premis tanpa tandas bersih tidak lagi layak dapat lesen perniagaan mulai tahun hadapan

    KUALA LUMPUR 20 Nov – Bermula tahun hadapan, hanya premis yang memiliki tandas bersih dan memenuhi standard minimum kebersihan akan layak menerima kelulusan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu akan dilaksanakan secara berfasa sebagai usaha mengangkat imej serta standard tandas di negara ini.

    Menurutnya, pelaksanaan berfasa itu akan bermula di Majlis Bandaraya pada 2026, diikuti Majlis Perbandaran pada 2027 dan Majlis Daerah pada 2028.

    “Langkah ini bagi memastikan standard tandas ‘BMW’ (Bersih, Menawan dan Wangi) menjadi norma nasional, selain meningkatkan imej perkhidmatan awam dan pengalaman pengguna menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada Majlis Penganugerahan Tandas Terbaik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 (TOTYA 2025) di sini, hari ini.

    Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu turut menetapkan nisbah minimum kemudahan tandas di premis perniagaan dan bangunan awam, iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan, selaras dengan keperluan pengguna serta aliran trafik pelanggan.

    “Mulai tahun depan, tandas awam yang dibina perlu mematuhi garis panduan KPKT supaya dalam tempoh 10 tahun, budaya beratur panjang ketika musim perayaan tidak lagi berlaku.

    “Saya sendiri melihat wanita memerlukan lebih masa menggunakan tandas. Perkara ini turut dibuktikan melalui dapatan saintifik daripada kerajaan Jepun,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Kor Ming memaklumkan TOTYA 2025 mencatat sejarah dengan 744 penyertaan, meningkat berbanding 625 penyertaan pada 2024 dan 345 penyertaan pada 2023.

    “Peningkatan ketara ini membuktikan bahawa TOTYA kini menjadi penanda aras kebangsaan dalam penilaian standard kebersihan dan kualiti tandas awam,” ujarnya.

    Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM180 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2024 untuk tujuan pembaikan dan naik taraf tandas awam di seluruh negara.

    Pada majlis itu, pemenang bagi lapan kategori menerima hadiah RM20,000 beserta trofi dan sijil.

    Antara pemenang termasuk Masjid Tepian Putra, Kuantan (kategori rumah ibadat), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwok, Kuala Lumpur (kategori sekolah), dan Tandas Awam Terminal Putrajaya Sentral (kategori PBT).

    Kategori restoran dimenangi Sushi Tie, Bintulu; kategori stesen minyak dimenangi Shell Jalan Hospital, Ipoh; manakala kategori Rehat dan Rawat (R&R) pula dimenangi R&R Tapah (Arah Selatan), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS Berhad).

    NU Hotel, Bintulu memenangi kategori hotel, manakala Pavilion Bukit Jalil muncul pemenang kategori pusat beli-belah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12603