Category: JNJ-MEDIA

  • Bergambar dengan 3 juara dunia, TMJ beri bayangan sesuatu yang besar bakal berlaku

    Bergambar dengan 3 juara dunia, TMJ beri bayangan sesuatu yang besar bakal berlaku

    JOHOR BAHRU 19 Nov – Spekulasi mengenai perkembangan besar dalam sukan Johor kembali hangat apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan jelas mengenai perubahan penting yang bakal berlaku.

    Menerusi hantaran di media sosial, baginda bertitah bahawa sesuatu yang signifikan akan menjadi titik perubahan, terutama dalam beberapa bulan mendatang.

    “Tiga juara dunia. Lelaki sejati. Lelaki dengan prinsip dan nilai. Bermula hari ini, banyak perkara akan berubah, terutama dalam beberapa bulan mendatang.

    “Ketika peningkatan bertemu dengan kehebatan. Ini takdir. Alhamdulillah,” tulis Tunku Mahkota Ismail.

    Baginda turut berkongsi gambar bersama tiga ikon sukan dunia — bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov; bekas pemain ragbi New Zealand yang kini bergiat dalam sukan tinju, Sonny Bill Williams; dan bekas juara MMA Australia, Soa ‘The Hulk’ Palelei.

    Bagaimanapun, baginda tidak memperincikan bentuk perubahan yang dimaksudkan, namun hantaran itu tetap menarik perhatian penyokong sukan Johor dan pengikut baginda di media sosial.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12581

  • FIFA dedah FAM, pemain warisan patut terima hukuman lebih berat

    FIFA dedah FAM, pemain warisan patut terima hukuman lebih berat

    KUALA LUMPUR 19 Nov – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya sebenarnya berdepan risiko hukuman lebih berat, susulan keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang dikekalkan pada September lalu.

    Dalam alasan bertulis yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA semalam, badan induk itu menjelaskan bahawa isu kadar hukuman turut dibincangkan semasa prosiding rayuan yang berlangsung bulan lepas.

    Menurut kenyataan itu, FAM dan para pemain berhujah bahawa hukuman terhadap mereka terlalu tinggi, namun selepas menilai semula semua bukti dan fakta baharu, jawatankuasa yakin bahawa hukuman asal sepatutnya jauh lebih berat.

    Namun, FIFA menjelaskan bahawa prinsip “non reformatio in pejus” di bawah Artikel 63.4 FDC—yang melarang hukuman diperberatkan semasa proses rayuan—menghalang mereka daripada mengenakan tindakan tambahan.

    Sementara itu, FIFA turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan pemain warisan yang tidak berusaha mendapatkan penjelasan daripada FAM, ejen atau keluarga mereka selepas isu pemalsuan dokumen terbongkar.

    Menurut jawatankuasa, sikap pemain yang terus mendakwa datuk nenek mereka berasal dari Malaysia, walaupun bukti menunjukkan sebaliknya, menggambarkan mereka sedar prosedur berkaitan tidak dilakukan dengan betul. Mereka juga gagal memberikan alasan kukuh mengapa mereka percaya layak mewakili Malaysia tanpa hubungan perundangan atau pertalian yang sah dengan negara ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12580

  • JAINJ cekup pasangan rakan sekerja berkhalwat di hotel

    JAINJ cekup pasangan rakan sekerja berkhalwat di hotel

    KLUANG 19 Nov – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan pasangan rakan sekerja, seorang lelaki dan seorang wanita berstatus isteri orang, selepas mereka didapati berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini semalam.

    Menurut kenyataan JAINJ, serbuan dilakukan pada pukul 10 pagi selepas penguat kuasa mendapati televisyen dalam bilik dipasang kuat sehingga boleh didengar dari luar.

    Pintu bilik hanya dibuka lebih lima minit kemudian oleh seorang lelaki berpakaian jeans dan t-shirt. Lelaki itu juga cuba menutup semula pintu apabila mengetahui kehadiran penguat kuasa, namun pintu berjaya ditolak dan anggota memasuki bilik tersebut.

    Pemeriksaan mendapati tingkap bilik terbuka, dua bungkus nasi lemak serta kopi panas belum disentuh, manakala katil dan selimut dalam keadaan berselerak.

    Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu tandas yang berkunci sambil meminta penghuni keluar. Selepas dipujuk oleh lelaki tersebut, seorang wanita keluar dengan berpakaian t-shirt, seluar panjang dan kain menutup kepala.

    Siasatan mendapati lelaki berusia lingkungan 50-an itu merupakan suami orang dan mempunyai anak, manakala wanita berusia 30-an juga berstatus isteri orang. Mereka bekerja di tempat yang sama dan mengenali pasangan masing-masing.

    JAINJ memaklumkan kedua-duanya mengambil cuti pada hari kejadian tanpa pengetahuan pasangan masing-masing. Mereka masuk ke hotel sekitar pukul 8 pagi dan dijadualkan keluar pada 12 tengah hari.

    Pasangan itu ditahan atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12579

  • ‘Mahligai cinta’ Batu Rakit kembali dibadai ombak besar

    ‘Mahligai cinta’ Batu Rakit kembali dibadai ombak besar

    KUALA NERUS – Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula sejak seminggu kembali membuatkan tidur malam seorang pesara tidak lena memikirkan nasib banglo kediamannya yang dianggap sebagai ‘mahligai cinta’ didedikasi buat arwah isterinya di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini.

    Mohd. Yazit Idris, 66, berkata, hempasan ombak kuat yang mencecah hampir tiga meter disebabkan MTL menyebabkan kediaman kesayangannya kerap bergegar sejak akhir-akhir ini.

    “Ombak besar kerap menghempas kawasan rumah saya sehingga pukul 3 pagi sejak seminggu lalu.

    “Setiap kali rumah bergegar dihempas ombak, saya akan terbangun dan terus keluar untuk memantau keadaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini hari ini.

    Mohd. Yazit berkata, biarpun sering dibadai ombak, buat masa ini, struktur banglonya dilihat masih kukuh ekoran pembinaan benteng baru yang siap sepenuhnya pada bulan Mei lalu.

    Begitupun, beliau mengakui hatinya tetap resah memandangkan musim tengkujuh masih panjang dan hanya akan berakhir pada bulan Mac tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/mahligai-cinta-batu-rakit-kembali-dibadai-ombak-besar/

  • Jakarta makin tenggelam di bawah paras laut

    Jakarta makin tenggelam di bawah paras laut

    JAKARTA – Garis pantai Jakarta semakin jelas tenggelam di bawah paras laut, dengan air laut di Pantai Mutiara, Jakarta Utara kini lebih tinggi daripada daratan di sekitarnya, lapor portal berita Jakarta Globe.

    Pemerhatian di lapangan Isnin lalu menunjukkan paras air laut di Pantai Mutiara melebihi ketinggian tanah berhampiran yang hanya ditahan oleh benteng. Tanpa benteng tersebut, air laut dijangka mengalih jauh ke kawasan pedalaman.

    Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) berkata, beberapa bahagian di Jakarta kini tenggelam antara 10 sehingga 30 sentimeter (sm) setiap tahun yang didorong oleh pemadatan tanah semula jadi serta penggunaan air bawah tanah berlebihan selama beberapa dekad oleh rumah, perniagaan dan industri.

    Kadar penurunan itu adalah antara terpantas daripada mana-mana bandar raya utama di dunia.

    Seorang penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Oseanografi BRIN, Johan Risandi berkata, paras air yang lebih tinggi di sepanjang pantai mencerminkan gabungan impak air pasang ekstrem, angin bermusim, ombak tinggi dan paling kritikal, penurunan tanah yang pantas.

    “Lonjakan air pasang boleh berlaku dua kali dalam sebulan, manakala angin kencang akan menambahkan lebih banyak air.

    “Namun, faktor utama adalah penurunan tanah. Di beberapa kawasan, tanah tenggelam sehingga 30sm setahun,” kata Johan.

    Beliau menjelaskan bahawa tanah aluvium Jakarta yang lembut secara semula jadi akan memadat dari semasa ke semasa tetapi pengekstrakan air bawah tanah yang berlebihan masih diamalkan secara meluas. Ia berpunca daripada perkhidmatan air paip yang tidak mencukupi sekali gus mempercepatkan penurunan tanah.

    “Pemadatan semula jadi ini diburukkan lagi dengan penggunaan air bawah tanah secara besar-besaran daripada isi rumah dan industri. Semakin banyak kita mengepam, semakin cepat tanah itu tenggelam.

    “Tembok laut perlu dinaikkan secara rutin untuk menyamai kenaikan paras laut dan tanah yang tenggelam. Kita perlu mengira berapa banyak air meningkat akibat air pasang dan ombak untuk menentukan ketinggian yang sesuai,” katanya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/jakarta-makin-tenggelam-di-bawah-paras-laut/

  • ‘Maafkan kami rakyat Malaysia, kami juga tersepit’

    ‘Maafkan kami rakyat Malaysia, kami juga tersepit’

    PETALING JAYA – Tular di media sosial satu hantaran video memaparkan seorang petugas ambulans memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas mendakwa mereka ‘tersepit’ dengan sistem baharu panggilan kecemasan, Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).

    Perkara tersebut diluahkan menerusi satu hantaran dimuat naik seorang penolong pegawai perubatan di akaun TikTok @Dressamodern.u5.

    Dia mendakwa, banyak kesusahan berlaku apabila beralih ke sistem baharu sehingga pesakit terpaksa menunggu ambulans terlalu lama.

    “Sejak berubah ke sistem NG999 semua serba tak kena. Bila sampai rumah pesakit rupanya dah tiga jam lebih pesakit menunggu ambulans tiba. Rasa bersalah dan sedih lihat keadaan pesakit.

    “Maafkan kami rakyat Malaysia. Jika kami lewat respons bila kalian memerlukan perkhidmatan ambulans. Kami juga tersepit diantara sistem baru yang diperkenalkan,” tulisnya sambil menyertakan tanda pagar #NG999 #ambulansberdua #kkm #burnout.

    NG999 atau Next Generation 999 merupakan sistem panggilan kecemasan baharu yang diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan platform lama MERS999.

    Ia berasaskan teknologi rangkaian generasi baharu yang membolehkan maklumat lokasi dan data tambahan seperti teks, gambar atau video dihantar bersama panggilan kecemasan, selain menyelaras respons pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Sementara itu tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati seorang pengguna TikTok menggunakan nama @Are-Ngah–93 mendakwa berdepan insiden tragik apabila menelefon talian 999 berkali-kali.

    “Aku dah kena semalam. Kesian ‘aunty’ India tu. Sampai meninggal ibunya dekat rumah. Berpuluh kali telefon 999 tak angkat. Akhirnya dia telefon ambulans swasta. Kami sampai ibunya dah meninggal,” komennya.

    Selain itu, seorang lagi lelaki yang menggunakan nama Miki mendakwa kakitangan di bawah KKM sendiri turut bergelut dengan NG999.

    Katanya, masalah muncul khususnya di kawasan Sabah dan Sarawak yang berdepan masalah liputan rangkaian untuk mengakses sistem, selain dakwaan berlaku kesilapan lokasi panggilan.

    “Jangan kan rakyat, yang kerja bawah KKM pun pening guna NG999 ni, terutama kawasan Sabah Sarawak, guna aplikasi kena ada talian, tapi kebanyakan kawasan tiada talian untuk akses sistem.

    “Kadangkala tersalah lokasi, pesakit telefon dari Sabah tapi ‘call card’ sampai Sarawak suruh respon kes. Sepatutnya kena ada pendedahan awal sebelum buat,” komen lelaki tersebut. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/maafkan-kami-rakyat-malaysia-kami-juga-tersepit/

  • Kanak-kanak warga Russia maut disengat ubur-ubur di Langkawi

    Kanak-kanak warga Russia maut disengat ubur-ubur di Langkawi

    ALOR SETAR – Percutian suami isteri warga Russia di Langkawi berakhir dengan kisah menyedihkan apabila anak lelaki mereka yang berusia dua tahun meninggal dunia setelah disengat ubur-ubur, Sabtu lepas.

    Kanak-kanak itu, Vladimir Lakubanets, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pukul 9.46 pagi tadi setelah menerima rawatan sejak 16 November lepas.

    Bapa kanak-kanak itu, Nikita Lakubanets, 32, dari Khabarovsk berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi ketika dia dan isteri membawa anak mereka berjalan-jalan di pantai berdekatan Dataran Pantai Chenang. “Ketika anak mandi di pantai, tiba-tiba dia menjerit dan menangis. Isteri terus mendapatkan anak kami dan mendapati ubur-ubur besar menyengat kedua-dua belah kakinya. Isteri saya juga terkena sengatan ketika menanggalkan cengkaman ubur-ubur itu dari kaki anak saya.

    “Saya berusaha memberikan CPR (bantuan pernafasan) kepada anak saya sebelum menghantarnya ke klinik dan kemudian kami dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, hari ini.

    Menurut jurutera teknologi maklumat itu, anaknya kemudian dirujuk ke HSB keesokan harinya setelah keadaannya memburuk walaupun telah menerima rawatan awal pada hari kejadian.

    “Saya diberitahu doktor anak meninggal dunia akibat keracunan daripada sengatan ubur-ubur tersebut yang mengakibatkan keadaannya kritikal,” katanya.

    Bercerita lanjut, katanya walaupun amat bersedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka, mereka reda dengan ketentuan itu.

    “Kami tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, cuma berharap pihak berkenaan melakukan sesuatu bagi mengelak insiden sama menimpa orang lain, seperti meletakkan papan tanda amaran tentang ubur-ubur ini. Itu termasuklah tindakan yang harus dilakukan apabila ada pengunjung disengat,” harapnya.

    Sementara itu, menurut isterinya, Olga Lakubanets, 32, anaknya sangat teruja dan gembira apabila mereka tiba di Langkawi pada Jumaat lepas.

    “Kami bertiga memang seronok sangat apabila dapat bercuti di Langkawi, apatah lagi anak saya yang tidak sabar untuk bercuti di sini,” katanya.

    Tambahnya, mereka berharap dapat membawa pulang abu mayat anak mereka pada 26 November ini, iaitu tarikh sepatutnya mereka pulang ke negara asal. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/kanak-kanak-warga-russia-maut-disengat-obor-obor-di-langkawi/

  • 9 negeri berdepan cuaca buruk petang sehingga malam

    9 negeri berdepan cuaca buruk petang sehingga malam

    PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

    MetMalaysia menerusi satu kenyataan berkata, amaran cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 7 malam ini.

    “Antara kawasan yang dijangka terjejas di Perak ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Terengganu melibatkan Dungun serta Kemaman.

    “Selain itu, di Pahang membabitkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan dan Bera, manakala keadaan cuaca buruk itu turut dijangka melanda Lembah Klang termasukl Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelas MetMalaysia.

    Amaran cuaca buruk itu juga dikeluarkan membabitkan Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Johor meliputi daerah Tangkak, Segamat serta Muar.

    Seterusnya, hujan lebat petang ini dilaporkan tertumpu sekitar Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sibu (Sibu), Mukah (Daro dan Matu), Kapit (Belaga), Miri (Telang Usan) dan Limbang di Sarawak turut terjejas.

    Bagi negeri Sabah, hujan berterusan melanda Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) dan Sandakan (Tongod) serta Labuan. –KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/9-negeri-berdepan-cuaca-buruk-petang-sehingga-malam/

  • Penduduk jumpa King Cobra eram 32 telur

    Penduduk jumpa King Cobra eram 32 telur

    JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Tabanan, wilayah Bali terkejut apabila menemui seekor ular tedung selar (king cobra) gergasi mengeram 32 biji telur ketika dia keluar mencari buluh, lapor laman berita Detik.

    Penemuan itu dibuat di Desa Gadungan pada pagi semalam.

    Yayasan Reptil Asih Tabanan (RAT) berkata, warga setempat menemukan induk tersebut ketika mencari buluh untuk perayaan Galungan bagi masyarakat Hindu.

    “Kami telah menyelamatkan reptilia sepanjang 266 sentimeter itu. Semasa operasi menyelamat, induk tersebut sedang mengeramkan 32 telur.

    “Kami segera menangkap dan membawanya ke pusat perlindungan haiwan,” kata Ketua Yayasan RAT, Ni Putu Astridayanty. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/18/penduduk-jumpa-king-cobra-eram-32-telur/

  • ‘Saya lemah, tidak lagi mampu bekerja’

    ‘Saya lemah, tidak lagi mampu bekerja’

    PONTIAN – Hidup seorang pemandu van bertukar sekelip mata apabila tubuh yang dahulunya kuat mencari rezeki kini semakin lemah susulan penyakit kanser Synovial Sarcoma yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

    Mohamed Hafiz Mohamed Tahar, 49, mengakui kehidupannya juga semakin tidak terurus selepas kanser tisu lembut yang jarang berlaku itu menyebab ketumbuhan sebesar bola tenis pada tangan kanannya sebelum merebak ke bahagian paru-paru.

    Bapa empat anak itu berkata, pada awalnya dia menyangka masalah bengkak itu hanya­lah perkara biasa, namun telah merebak sehingga dia tidak lagi mampu untuk bekerja bagi menyara keluarga.

    “Ketumbuhan itu bukan saja melemahkan tangan, malah membawa ke paru-paru. Berat badan pun jatuh mendadak, saya bukan lagi seperti dulu.

    “Dahulu saya ketua keluarga yang mencari nafkah untuk menyuap mulut anak dan isteri. Apabila diuji sebegini, saya tidak lagi mampu berdiri untuk menyara mereka,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Home Visit Laksamana Johor Cancer Foundation (TLJCF) di rumahnya di Kampung Api-Api, di sini kelmarin.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TLJCF, Mohd Ikmal Izam Zaini.

    Menurut Mohamed Hafiz, ekoran penyakit itu, dia kehila­ngan sumber pendapatan sekitar RM3,500 sebulan kerana tidak lagi mampu bekerja.

    “Mujur majikan mencarum dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Atas caruman selama 30 tahun itu, saya dapat Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM1,500 sebulan.

    “Sikit sebanyak bantuan itu meringan­kan beban kami walaupun tidak seperti pendapatan asal,” katanya.

    Katanya, Perkeso turut membantu persekolahan tiga anaknya dengan bantuan RM900 sebulan, namun jauh di sudut hati dia tetap berasa terkilan.

    Mohamed Hafiz mempunyai empat anak berusia antara dua hingga 12 tahun, tiga daripada­ mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Api-Api termasuk prasekolah.

    Sementara itu, isterinya, Jamaliah Ab. Rahman, 41, berkata, dia terpaksa berhenti bekerja demi menjaga suami serta me­nguruskan anak-anak yang masih kecil.

    “Dulu saya kerja di kilang Shimano di Pekan Nanas, tapi saya terpaksa berhenti sebab anak makin membesar, sekarang suami pula sakit, jadi saya kena kuat,” katanya.

    Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamed Hafiz (013-765 1443) atau Jamaliah (010-852 8231) atau menyalurkan sumbangan ke Maybank 101151101735.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/saya-lemah-tidak-lagi-mampu-bekerja/