Category: JNJ-MEDIA

  • PDRM perketat operasi sulit banteras kartel dadah antarabangsa

    PDRM perketat operasi sulit banteras kartel dadah antarabangsa

    TAWAU 18 NOV – Operasi mematahkan rangkaian kartel dadah antarabangsa dilaksanakan secara tersusun dan sulit bagi memastikan sindiket tidak dapat menghidu pergerakan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara, Seri Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

    Beliau berkata, operasi melibatkan jaringan kartel antarabangsa sentiasa berjalan tanpa perlu didedahkan kepada umum bagi mengelakkan strategi risikan terdedah kepada pihak musuh, selari dengan penegasan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

    “Penugasan polis sama seperti yang disebut Tan Sri Razarudin. Operasi menggempur kartel dadah antarabangsa sentiasa berjalan tanpa perlu digembar-gemburkan, dan kerjasama PDRM dengan ‘friendly services’ dari negara berkaitan sentiasa berterusan.

    “Sebab itu kita berjaya membanteras banyak kes membabitkan dadah sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak,” katanya pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua Polis Negara bersama petugas PDRM sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Dewan Sri Tawau, hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Cawangan Khas, Datuk Ibrahim Darus dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

    Mohd Khalid berkata, kerjasama erat dengan negara sahabat termasuk Australian Federal Police turut meningkatkan keberkesanan operasi, sekali gus memastikan setiap rangkaian sindiket dapat dikenal pasti, dikesan dan ditumpaskan.

    Semalam, Razarudin menjelaskan bahawa kebanyakan operasi membanteras kartel antarabangsa telah lama dijalankan namun dilaksanakan secara sulit bagi mengelakkan sindiket mengubah taktik dan mengelakkan risikan pihak berkuasa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12566

  • Lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    Lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    GEORGE TOWN 18 Nov – Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Ahad akhirnya ditemui lemas selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir dua hari melibatkan pelbagai agensi keselamatan.

    Mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemukan terapung berhampiran jeti pelayaran di Pengkalan Weld pada jam 9.35 pagi Isnin, kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.56 petang Ahad selepas menyaksikan mangsa terjatuh di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang arah pulau ke tanah besar.

    Beliau berkata, operasi SAR digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai pada jam 7.06 malam, dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Bagan Jermal dan BBP Butterworth.

    “Operasi mencari diteruskan secara bersepadu bersama Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    “Pada Selasa, pencarian bersambung pada jam 8.30 pagi dengan kekuatan dua bot penyelamat JBPM, dua bot Polis Marin dan dua bot APM,” katanya.

    Menurut beliau, penemuan mayat mangsa dilaporkan Polis Marin pada jam 9.35 pagi sebelum anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membawa mayat ke atas bot.

    Mayat kemudian dibawa ke Jeti Jabatan Laut Batu Uban sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga.

    Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.45 pagi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12563

  • Tersentuh lihat kepayahan murid ke sekolah terapung, Fadhlina komited tangani keciciran pendidikan anak Orang Asli

    Tersentuh lihat kepayahan murid ke sekolah terapung, Fadhlina komited tangani keciciran pendidikan anak Orang Asli

    HULU PERAK 18 Nov – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak Orang Asli selepas meninjau sendiri perjalanan ke sekolah terapung di Tasik Banding, Hulu Perak.

    Fadhlina berkata, perjalanan kira-kira satu jam menaiki bot ke kawasan pedalaman itu membuka ruang untuk beliau memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat setempat, khususnya berkaitan akses pendidikan formal.

    “Seribu satu pertanyaan bermain di minda. ‘Mengapa perjalanan ini terlalu jauh?’ ‘Bagaimana anak-anak di daerah ini bersekolah?’ Semua persoalan itu terjawab sebaik saya sampai ke Kampung Charuk Bus,” katanya menerusi kenyataan.

    Menurutnya, beliau berpeluang menyantuni masyarakat di situ dan melihat sendiri persiapan awal pagi anak-anak Orang Asli sebelum ke sekolah, selain menyertai perjalanan menaiki bot ke sekolah terapung berdekatan.

    Program Sekolah Terapung Tasik Banding merupakan inisiatif KPM bagi menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan anak-anak Orang Asli dari Kampung Charuk Bus, Kampung Tebang dan Kampung Chiong.

    Fadhlina berkata, sebahagian besar kanak-kanak di kawasan terbabit tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, malah terdapat murid berusia 13 tahun yang baru pertama kali mengikuti sesi pembelajaran.

    “Menerusi program ini, pendidikan disampaikan secara fleksibel, sesuai dengan konteks geografi serta keperluan masyarakat setempat,” katanya.

    Beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat bermakna dan menjadi cerminan tekad KPM untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat peluang pendidikan yang wajar tanpa mengira lokasi.

    “Kami akan kembali ke mari lagi,” katanya, sambil menegaskan usaha berterusan kerajaan dalam memenuhi agenda pendidikan inklusif di bawah kerangka Malaysia Madani.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12562

  • ‘AI perdaya kanak-kanak’ – Ahmad Zahid beri amaran risiko siber semakin kritikal

    ‘AI perdaya kanak-kanak’ – Ahmad Zahid beri amaran risiko siber semakin kritikal

    KUALA LUMPUR 18 Nov – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran bahawa ancaman alam siber semakin berbahaya, dengan kanak-kanak serantau termasuk di Malaysia menjadi mangsa pelbagai jenis jenayah, khususnya kesalahan seksual.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, jaringan keselamatan dalam talian kini berada pada tahap genting berikutan kemunculan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) yang digunakan pemangsa untuk memperdaya kanak-kanak.

    Beliau berkata, dunia digital memang menawarkan peluang besar, namun risiko yang timbul bergerak lebih cepat daripada kemampuan kerajaan dan masyarakat untuk bertindak balas.

    “Di seluruh rantau ASEAN, kita sedang melihat tanda-tanda amaran, antaranya Singapura, sebagai contoh, 74 peratus pengguna internet berusia 15 tahun ke atas dilapor berdepan dengan kandungan berbahaya dalam talian pada tahun 2024 manakala di Malaysia, satu tinjauan menunjukkan bahawa sekitar 33 peratus anak muda menjadi mangsa buli siber.

    “Ia bukan sekadar angka tetapi adalah isyarat bahawa jaringan keselamatan sedia ada kita sedang berada pada tahap genting kerana AI kini membolehkan pemangsa mencipta suara, pemalsuan wajah, manipulasi identiti kanak-kanak. Ini dilakukan dari belakang skrin, tanpa perlu berada dalam bilik yang sama.

    “Di Malaysia, realiti harian amat jelas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mencatatkan sekitar 9,000 aduan buli siber pada tahun 2024, dengan purata 27 kes setiap hari,” katanya ketika berucap pada pelancaran Forum ICT ASEAN 2025 mengenai Perlindungan Online Kanak-Kanak di sini, hari ini.

    Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; serta Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei, Robert Gass.

    Dalam majlis sama, Ahmad Zahid melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) yang menurut beliau akan memperkukuh pendekatan ‘whole-of-government’ dalam meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital.

    Beliau berkata, pelaksanaan dasar berkenaan akan dibuat melalui kerjasama rentas sempadan, kolaborasi rapat dengan industri teknologi, memperkasa keluarga dan komuniti, serta membina daya tahan digital dalam kalangan kanak-kanak.

    “Usaha ini bukan sahaja bertujuan mengawal internet, tetapi memastikan kanak-kanak dapat meneroka, belajar dan meluahkan diri mereka dengan selamat dan penuh keyakinan,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata dasar dan pelan tindakan baharu itu merupakan transformasi sistem perlindungan kanak-kanak negara, yang dirangka untuk menjawab cabaran semasa termasuk risiko keganasan, pengabaian, eksploitasi, kesihatan mental, jurang digital dan ancaman siber.

    Katanya, strategi perlindungan dalam talian turut memberi penekanan kepada pendidikan literasi digital, kerjasama industri teknologi serta penyesuaian undang-undang selaras piawaian antarabangsa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12561

  • FIFA kemuka alasan terperinci tolak rayuan FAM, arah dedah segera dalang pemalsuan dokumen

    FIFA kemuka alasan terperinci tolak rayuan FAM, arah dedah segera dalang pemalsuan dokumen

    KUALA LUMPUR 18 Nov – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mendedahkan alasan terperinci berhubung keputusan menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi yang dikenakan hukuman berat akibat isu pemalsuan dokumen.

    Menurut alasan bertulis setebal 63 muka surat yang dikeluarkan hari ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan asal selepas mendapati pemain terbabit menandatangani dokumen naturalisasi tanpa membaca kandungan, selain gagal mengambil langkah asas bagi mengesahkan kewujudan keturunan Malaysia.

    Dalam dokumen itu, FIFA turut menegaskan keperluan untuk mendedahkan dalang sebenar yang bertanggungjawab memalsukan dokumen tujuh pemain berkenaan.

    Jawatankuasa Rayuan mengarahkan Sekretariat FIFA melancarkan satu siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam proses pemalsuan, sekali gus menilai keberkesanan tadbir urus serta mekanisme pematuhan badan induk itu.

    FIFA menyatakan siasatan perlu memberi tumpuan awal terhadap peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA, Nicolás Puppo dan Frederico Moraes, yang dikatakan menimbulkan keraguan serius sepanjang prosiding berlangsung.

    Dalam pada itu, FAM dijangka akan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai usaha meneruskan proses rayuan terhadap hukuman tersebut.

    FAM sebelum ini dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

    Tujuh pemain yang digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12560

  • Siasatan semula kes kematian pelajar tahfiz bermula, 68 saksi dipanggil – Saifuddin

    Siasatan semula kes kematian pelajar tahfiz bermula, 68 saksi dipanggil – Saifuddin

    KUALA LUMPUR 18 Nov – Siasatan berhubung kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman kini digerakkan semula secara menyeluruh apabila polis telah merekodkan keterangan daripada 68 saksi setakat ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha membuka semula kes berkenaan dibuat bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi dengan telus serta menjawab kebimbangan keluarga mangsa dan masyarakat.

    “Polis menjalankan siasatan semula ini secara profesional, bebas dan mematuhi undang-undang sepenuhnya.

    “Setiap langkah yang diambil adalah bagi memastikan keadilan ditegakkan, hak keluarga mangsa dihormati dan keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang terus terpelihara,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen hari ini.

    Saifuddin berkata, siasatan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

    Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) yang meminta penjelasan mengenai status terkini siasatan semula itu serta menekankan pentingnya ketelusan agar tidak timbul keraguan terhadap tindakan pihak berkuasa.

    Kes ini bermula pada Disember 2013 apabila Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, ditemui tergantung di dalam tandas asrama oleh penyelia selepas mengesan bau busuk.

    Bedah siasat ketika itu mengesahkan kematian sebagai kes mengejut tanpa unsur jenayah. Namun Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan sebaliknya — kematian pelajar itu disebabkan oleh tindakan individu tidak dikenali.

    Keputusan itu mendorong keluarga mangsa mengambil langkah lanjut termasuk mengemukakan rayuan kepada Jabatan Peguam Negara, polis dan Pejabat Perdana Menteri.

    Menurut Ruhani, pihak keluarga menerima surat pada Julai tahun lalu yang memaklumkan kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai NFA sejak 2020.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12552

  • Lelaki Orang Asli hilang hampir seminggu di Bentong

    Lelaki Orang Asli hilang hampir seminggu di Bentong

    BENTONG 18 Nov – Seorang lelaki Orang Asli dilaporkan hilang hampir seminggu selepas kali terakhir dilihat di sebuah kebun getah di Kampung Sungai Gapoi, Telemong pada 12 November lalu.

    Mangsa, Rosli Aman, 41, memaklumkan kepada adiknya bahawa beliau mahu menjual getah beku kira-kira pukul 10 pagi sebelum meninggalkan kawasan kebun berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, berkata adik perempuan Rosli yang berusia 36 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Telemong pada pukul 1.40 tengah hari semalam (17 November).

    “Beliau merupakan individu terakhir yang melihat Rosli pada hari kejadian ketika mangsa keluar untuk menjual getah.

    “Rosli mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter dan berat sekitar 70 kilogram. Ketika hilang, beliau memakai sweater hitam, kemeja-T hijau, seluar panjang celoreng hijau, kasut getah hitam serta membawa sebilah parang dalam sarung berwarna coklat,” katanya dalam kenyataan.

    Zaiham meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Rosli supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2231999 atau balai polis berhampiran.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12558

  • Selangor FC harap FAM pertimbang rayuan sebelum aksi separuh akhir

    Selangor FC harap FAM pertimbang rayuan sebelum aksi separuh akhir

    KUALA LUMPUR 18 Nov – Selangor FC berharap rayuan terhadap hukuman berkaitan insiden panas melibatkan kelakuan penyokong pada suku akhir kedua Piala FA 2025-26 menentang Negeri Sembilan FC bulan lalu dapat dipertimbangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum aksi timbal balik separuh akhir menentang Sabah FC pada 30 November ini.

    Dalam kenyataan, Selangor menegaskan mereka tidak menyokong sebarang tingkah laku yang mengancam keselamatan sepanjang perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

    Kelab itu turut memperincikan empat insiden yang membawa kepada tindakan disiplin oleh FAM.

    Bagi insiden pertama, Selangor menegaskan penyokong mereka tidak terlibat membakar atau melempar mercun di dalam stadium.

    Bagi insiden kedua, kelab menjelaskan penyokong tuan rumah tidak merosakkan atau melontar bangku tempat duduk hingga mencederakan penyokong pelawat. Kerusi yang rosak hanya ditemui di kawasan penyokong pelawat.

    “Insiden ketiga, tiada tetamu berstatus VVIP Selangor FC melontar bekas minuman plastik ke arah kawasan keluarga pasukan pelawat.

    “Insiden keempat, penyokong Selangor FC tidak melakukan provokasi sehingga mencetuskan kekecohan. Kekecohan berlaku selepas penyokong pelawat membakar dan melempar mercun ke arah tempat duduk penyokong Selangor FC,” menurut kenyataan itu.

    Selangor turut memaklumkan bahawa 170 pegawai keselamatan dan anggota polis ditugaskan semasa perlawanan dan sentiasa bersedia menangani insiden tidak diingini.

    Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, berkata Selangor akan beraksi tanpa penonton pada separuh akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC pada 30 November, serta perlawanan pertama di gelanggang sendiri musim berikutnya.

    Selangor FC turut dikenakan denda RM100,000 atas kesalahan berulang mengikut Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12556

  • Perbelanjaan pengurusan banduan cecah hampir RM500 juta tahun lalu

    Perbelanjaan pengurusan banduan cecah hampir RM500 juta tahun lalu

    KUALA LUMPUR 18 Nov – Kerajaan membelanjakan hampir RM500 juta bagi pengurusan banduan sepanjang tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Beliau berkata, rekod Jabatan Penjara Malaysia menunjukkan sebanyak RM490.2 juta telah dibelanjakan pada tahun 2024, manakala RM433.6 juta lagi digunakan sehingga 26 September tahun ini.

    “Perbelanjaan tersebut merangkumi kos pengurusan, utiliti, keperluan asas, makanan, perkhidmatan kesihatan, pengiring ke mahkamah dan hospital serta pelaksanaan program pemulihan dan reintegrasi,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.

    Menurutnya, sebanyak 355,604 kemasukan banduan direkodkan pada tahun 2024, terdiri daripada 263,412 warganegara dan 92,192 bukan warganegara. Bagi tempoh hingga 24 September tahun ini pula, sebanyak 278,272 kemasukan direkodkan, melibatkan 199,463 warganegara dan 78,809 bukan warganegara.

    Saifuddin memaklumkan bahawa kebanyakan banduan berusia antara 31 hingga 40 tahun, dengan majoritinya menjalani hukuman antara satu hingga enam tahun.

    Daripada jumlah keseluruhan kemasukan 2024, seramai 225,961 merupakan banduan reman manakala 129,643 adalah banduan sabitan. Dalam kategori reman, 176,625 adalah warganegara dan 49,336 bukan warganegara; manakala bagi sabitan, 86,787 adalah warganegara dan 42,856 bukan warganegara.

    “Bagi tahun 2025, setakat ini seramai 174,356 adalah banduan reman dan 103,916 banduan sabitan,” katanya.

    Saifuddin menegaskan bahawa Jabatan Penjara komited memastikan kebajikan, kesihatan dan pengurusan banduan dilaksanakan secara berkesan.

    “Fokus bukan hanya kepada penyediaan keperluan asas, tetapi juga pengukuhan pemulihan, pembangunan sahsiah, kesejahteraan mental serta peluang reintegrasi yang berkesan.

    “Pendekatan holistik ini amat penting bagi memastikan banduan kembali ke masyarakat dengan lebih bersedia, produktif dan bertanggungjawab, seterusnya menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12555

  • Sumber pencemaran Sungai Perak di Kampung Sungai Papan masih belum dikenal pasti

    Sumber pencemaran Sungai Perak di Kampung Sungai Papan masih belum dikenal pasti

    IPOH 18 Nov – Punca sebenar pencemaran air di kawasan hulu Sungai Perak, Kampung Sungai Papan, Gerik, yang tular bulan lalu apabila air sungai bertukar kebiruan, masih belum dapat dipastikan.

    Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, laporan siasatan terakhir yang diterima kerajaan negeri setakat ini belum memberikan keputusan muktamad mengenai sumber pencemaran berkenaan.

    Menurutnya, walaupun berlaku limpahan air yang berubah warna, punca kepada perubahan itu tidak dapat dikesan kerana sumber sebenar pencemaran belum dikenal pasti.

    “Laporan siasatan terakhir itu tiada keputusan dan kita tidak tahu sumber sebenar pencemaran. Namun siasatan masih diteruskan. Buat masa ini, tiada apa-apa yang hendak diumumkan.

    “Disebabkan air yang melimpah itu sudah tidak dapat dikesan, laporan yang kita terima juga tiada hasil yang konklusif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Inovasi Peringkat Perak 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

    Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman.

    Pada 5 November lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa kenyataan rasmi mengenai kejadian itu hanya akan dikeluarkan selepas semua agensi termasuk JPS, JMG, PTG dan JAS menyelesaikan siasatan masing-masing.

    Ditanya mengenai tahap keselamatan air sungai untuk diminum, Kok Lim berkata, ia selamat pada masa ini kerana kesan pencemaran tidak lagi kelihatan.

    Beliau turut mengesahkan bahawa tiga operator perlombongan termasuk sebuah operasi perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang sebelum ini disyaki berkaitan pencemaran, masih diarahkan menghentikan operasi sementara sehingga hasil siasatan lengkap diperoleh.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar sebelum ini tidak menolak kemungkinan wujudnya saliran baharu atau tindak balas kimia tertentu yang menyebabkan air sungai bertukar biru, namun tiada bukti pelepasan efluen melebihi parameter dikesan.

    Pada 21 Oktober lalu, tular video dan gambar menunjukkan air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan bertukar kebiruan seperti air laut, kira-kira lima kilometer dari Kampung Air Ganda.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12554