Category: JNJ-MEDIA

  • KDN fokus laksana arahan mahkamah dalam kes kehilangan Pastor Raymond Koh

    KDN fokus laksana arahan mahkamah dalam kes kehilangan Pastor Raymond Koh

    PUTRAJAYA 10 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa semua arahan mahkamah berkaitan kes kehilangan paderi Raymond Koh akan dilaksanakan sepenuhnya, termasuk membuka semula siasatan terhadap insiden tersebut.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fokus utama beliau ketika ini adalah mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi yang menggariskan dua arahan jelas kepada pihak polis.

    “Jumaat lepas saya telah bertemu pasukan dari Pejabat Peguam Negara (AGC) yang menguruskan kes ini. Saya perlu mendapatkan taklimat mereka terlebih dahulu untuk memahami sepenuhnya kronologi peristiwa tersebut.

    “Tumpuan saya sekarang adalah terhadap arahan mahkamah yang menghendaki polis melakukan dua perkara iaitu membuka semula siasatan dan mengemukakan keberadaan Pastor Koh. Itu dua perkara yang menjadi fokus saya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan bersama AGC bagi mendapatkan penjelasan lanjut susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.

    Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau akan mendapatkan maklumat lengkap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum memberikan sebarang kenyataan terperinci mengenai kes membabitkan Indira Gandhi.

    Sebelum ini, media melaporkan bahawa pemeriksaan terhadap platform bantuan Sara dan BUDI95 menggunakan nombor kad pengenalan yang dikaitkan dengan bekas suami Indira, Riduan Abdullah, mendapati kedua-dua bantuan itu telah digunakan sepenuhnya termasuk bantuan tunai Sara berjumlah RM100 serta sebahagian kuota subsidi petrol BUDI95 sebanyak 300 liter.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12401

  • UPKO umum keluar PH serta-merta, tegaskan perjuangan Sabah First

    UPKO umum keluar PH serta-merta, tegaskan perjuangan Sabah First

    KOTA KINABALU 10 Nov – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan penarikan diri daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu diadakan pada Isnin bagi membincangkan hala tuju perjuangan berteraskan agenda Sabah First.

    Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Agang berkata, mesyuarat itu turut menyokong sepenuhnya keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman berkaitan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan Sabah Law Society (SLS).

    Menurut Nelson, sepanjang empat tahun berada dalam PH, UPKO kekal memperjuangkan agenda Sabah First dalam rundingan manifesto pilihan raya serta dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Namun, wujud jurang tafsiran yang ketara antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional berhubung isu pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.

    Beliau berkata, kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah juga tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah, selain UPKO turut menerima kecaman walaupun pemilihan dibuat secara sah.

    Katanya, UPKO membuat penilaian semula dan mendapati hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami aspirasi, keperluan dan masa depan rakyat negeri ini, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung hak 40 peratus hasil Sabah.

    Nelson menegaskan UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus hasil Sabah merupakan hak berasingan yang tidak boleh disamakan dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan.

    UPKO juga bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang memperjuangkan agenda Sabah First bagi memastikan pelaksanaan sebenar MA63 dapat direalisasikan.

    Beliau menambah, hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan wajar diteruskan, namun mestilah berasaskan semangat dan pelaksanaan sebenar MA63.

    Katanya, keputusan keluar daripada PH akan dimaklumkan kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponennya, manakala dua Ahli Parlimen UPKO, Ewon dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan kerajaan dikekalkan sehingga tamat penggal ini.

    Ewon meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Sabtu lalu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12400

  • Zus Coffee rehatkan staf terbabit insiden tular pelanggan warga China simbah minuman panas

    Zus Coffee rehatkan staf terbabit insiden tular pelanggan warga China simbah minuman panas

    KUALA LUMPUR, 10 Nov – Rangkaian minuman popular Zus Coffee memaklumkan sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden melibatkan salah seorang pekerjanya dengan seorang pelanggan yang dipercayai warga China, pada Ahad.

    Dalam kenyataan rasmi hari ini, pihak Zus Coffee menegaskan bahawa syarikat itu tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan tidak menghormati dalam komuniti mereka.

    “Kami telah mengambil langkah sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan sentiasa berada di sisi Zurista (staf Zus) kami.

    “Bekerja dalam industri perkhidmatan bukanlah mudah, dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia yang sedang mencuba melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

    Zus Coffee turut mengesahkan bahawa kakitangan terlibat kini diberi tempoh rehat selepas insiden berkenaan tular di media sosial.

    Syarikat itu dalam masa sama menggesa orang ramai agar tidak berkongsi atau menyiarkan semula video yang memaparkan individu terlibat tanpa kebenaran serta tidak menyebarkan kenyataan palsu berhubung kejadian tersebut.

    “Kami berharap semua pihak dapat memberi ruang dan masa sementara kami meneliti perkara ini dengan penuh perhatian. Kami kekal komited untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan saling menghormati untuk semua,” tambah kenyataan itu.

    Terdahulu, tular di laman sosial satu rakaman video berdurasi singkat menunjukkan seorang staf wanita Zus Coffee disimbah minuman panas oleh pelanggan wanita ketika berada di hadapan kaunter.

    Insiden itu turut memaparkan pertengkaran mulut antara kedua-dua individu, dengan pelanggan berkenaan dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat.

    Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan netizen yang menuntut Zus Coffee supaya mengambil tindakan tegas dan melindungi pekerjanya daripada sebarang bentuk gangguan atau buli pelanggan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12398

  • PGIRM tegas cadangan bayaran bulanan KWSP umur 55 tahun tidak sesuai untuk pencarum

    PGIRM tegas cadangan bayaran bulanan KWSP umur 55 tahun tidak sesuai untuk pencarum

    KUALA LUMPUR 10 Nov – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menegaskan bahawa cadangan pakar berkaitan pengeluaran KWSP pada umur 55 tahun yang mencadangkan penggantian pengeluaran penuh dengan bayaran bulanan hanyalah pendapat dan bukannya kenyataan rasmi KWSP.

    Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir, menekankan cadangan itu tidak mencerminkan realiti sebenar pencarum Malaysia, terutamanya mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau tidak aktif mencarum, memerlukan simpanan KWSP untuk keperluan mendesak seperti perubatan, pendidikan atau kos sara hidup, serta mereka yang bergantung sepenuhnya kepada simpanan KWSP sebagai sandaran kewangan.

    Sebagai organisasi yang memperjuangkan hak asasi dan kesejahteraan rakyat, PGIRM menegaskan bahawa sebarang perubahan dasar perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan hak pencarum, bukan hanya statistik atau teori.

    Libat urus menyeluruh dengan pencarum, pihak berkuasa, dan pakar juga dianggap penting sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.

    Azmi juga menegaskan cadangan itu harus difahami sebagai pandangan pakar semata-mata dan tidak seharusnya dijadikan dasar tanpa pertimbangan menyeluruh.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12397

  • Anwar anggap peletakan jawatan Ewon terlalu awal, kerajaan belum buat keputusan rayuan

    Anwar anggap peletakan jawatan Ewon terlalu awal, kerajaan belum buat keputusan rayuan

    TAWAU 10 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan sebagai terlalu awal.

    Anwar berkata, keputusan sama ada kerajaan akan merayu atau tidak terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih belum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

    “Peguam Negara baru sahaja merujuk perkara ini tiga hari lalu. Mesyuarat Jemaah Menteri akan diadakan esok untuk meneliti dan memuktamadkan pendirian kerajaan,” katanya selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, hari ini.

    Ewon mengesahkan peletakan jawatannya pada 8 November lalu menerusi kenyataan di Facebook.

    Menurut Anwar, kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana setiap langkah perlu mengikut proses perundangan yang betul.

    “Pandangan peribadi saya cenderung untuk elak daripada merayu, tapi kita kena dengar dulu penjelasan Peguam Negara dan baca penghakiman yang baru diterima tiga hari lalu,” katanya.

    Beliau menegaskan tindakan kerajaan tidak boleh dipengaruhi sentimen atau tekanan politik semasa dan mesti berpaksikan fakta serta undang-undang.

    Anwar turut menegaskan kerajaan MADANI kekal komited terhadap pelaksanaan dasar berasaskan undang-undang serta memastikan peruntukan kepada Sabah lebih terjamin berbanding sebelum ini.

    Perdana Menteri juga mengesahkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok tidak akan membincangkan rombakan Kabinet seperti yang diperkatakan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12396

  • Sepasang suami isteri maut motosikal rempuh lori rosak di Jalan Pan Borneo

    Sepasang suami isteri maut motosikal rempuh lori rosak di Jalan Pan Borneo

    MUKAH 10 Nov – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah lori rosak yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 97 Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias memaklumkan, kejadian berlaku pada pukul 7.45 malam.

    Menurut beliau, pasangan berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri dari arah Bintulu menuju Selangau. Sebaik tiba di lokasi, motosikal tersebut hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Polis juga menggesa saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau 084-871222, atau mana-mana balai polis berdekatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12395

  • Jalan Masjid India ditutup sementara akibat mendapan permukaan jalan

    Jalan Masjid India ditutup sementara akibat mendapan permukaan jalan

    KUALA LUMPUR 10 Nov – Jalan Masjid India ditutup sementara kepada laluan kenderaan selepas berlaku insiden mendapan permukaan jalan di Jalan Bonus kira-kira pukul 8.39 pagi tadi.

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mendapan itu dikesan berlaku di hadapan sebuah kedai barang kemas, Bombay Jewellery.

    Menurut DBKL, penutupan dibuat bermula dari Lorong Masjid India 4, bersebelahan masjid, sehingga kawasan terjejas atas faktor keselamatan awam.

    “Pasukan daripada DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah berada di lapangan bagi menjalankan siasatan.

    “DBKL menegaskan bahawa keselamatan orang awam adalah keutamaan.

    “Pemantauan dan kerja teknikal akan diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

    Insiden berkenaan berlaku berhampiran lokasi kejadian lubang benam yang pernah menggemparkan orang ramai tahun lalu.

    Pada 23 Ogos tahun lalu, seorang wanita dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, G. Vijaya Lakshmi, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat kegagalan struktur paip pembetungan yang mereput serta ketidakstabilan tanah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12394

  • Polis mohon bantuan orang ramai kesan Samala Davi hilang sejak 6 November

    Polis mohon bantuan orang ramai kesan Samala Davi hilang sejak 6 November

    PETALING JAYA, 10 Nov – Polis Daerah Petaling Jaya sedang mengesan seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang dilaporkan hilang sejak 6 November lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Bin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita dikenali sebagai R. Samala Davi a/p Veera Ragayan, berbangsa India, pada 8 November sekitar jam 1.38 petang.

    Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat di kawasan Jalan Timur, Petaling Jaya, sebelum dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga.

    “Wanita berkenaan dilaporkan keluar dari rumah pada 6 November 2025 kira-kira jam 11 pagi dan sehingga kini tidak pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa memiliki ketinggian kira-kira 157 sentimeter, berwajah bulat dan bertubuh berisi (gempal). Mangsa juga mempunyai tanda inai merah di tengah dahi, berkulit cerah dan berambut hitam panjang paras pinggang.

    “Ketika kali terakhir dilihat, beliau memakai baju Punjabi berwarna merah atau ungu, berseluar panjang hitam dan berselipar hitam,” jelasnya.

    Shamsudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Baalanaagan a/l Chanderan di talian 014-8882388 / 016-3583960 / 03-79662222 bagi membantu siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12392

  • Hargai kerja keras, komitmen, Sanusi umum bonus RM2,000 untuk penjawat awam Kedah

    Hargai kerja keras, komitmen, Sanusi umum bonus RM2,000 untuk penjawat awam Kedah

    ALOR SETAR 10 Nov – Kerajaan Kedah mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan RM2,000 kepada 4,941 penjawat awam negeri dan anggota pentadbiran sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen serta dedikasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan khas itu akan disalurkan secara berperingkat pada Januari dan Mac 2026, melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM10 juta.

    “Kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran adalah kunci kejayaan kita membangunkan Kedah yang dicintai ini.

    Sebagai menghargai usaha keras ini, kerajaan negeri meluluskan bantuan khas kewangan berjumlah keseluruhan sebanyak RM10 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Muhammad Sanusi menegaskan, kerajaan negeri amat menghargai semangat dan kecekapan penjawat awam yang terus memastikan dasar pembangunan dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12391

  • Duda 70 tahun dicekup berkhalwat dengan janda muda di Johor Bahru

    Duda 70 tahun dicekup berkhalwat dengan janda muda di Johor Bahru

    JOHOR BAHRU 10 Nov – Seorang duda berusia 70 tahun ditahan bersama seorang janda dalam lingkungan 30-an selepas disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah kampung di daerah ini, kelmarin.

    Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi dijalankan sekitar jam 9 pagi selepas penguat kuasa membuat kepungan di sekeliling kediaman berkenaan.

    Menurut JAINJ, ketika pintu rumah diketuk, seorang lelaki membuka sedikit pintu namun cuba menutupnya kembali setelah menyedari kehadiran penguat kuasa. Percubaan itu gagal dan pegawai berjaya memasuki rumah selepas memperkenalkan diri.

    “Lelaki itu kelihatan ketakutan. Pemeriksaan awal menemukan seorang kanak-kanak berusia empat tahun sedang tidur di ruang tamu,” katanya.

    Pemeriksaan di dalam bilik tidak menemui sesiapa, namun setelah pintu bilik air diketuk, seorang wanita dalam keadaan berkemban keluar dalam keadaan terkejut dan dipercayai baru selesai mandi.

    Siasatan mendapati lelaki itu adalah duda kematian isteri, manakala wanita terbabit merupakan janda yang mempunyai seorang anak dan berasal dari daerah lain. Wanita berkenaan juga didapati sudah dua hari berada di rumah lelaki tersebut.

    Pasangan itu memaklumkan mereka mempunyai perancangan untuk bernikah namun masih mempunyai beberapa urusan yang belum diselesaikan.

    Kedua-duanya kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12388