Category: JNJ-MEDIA

  • Guru mengaku tidak bersalah tuduhan amang seksual terhadap pelajar lelaki

    Guru mengaku tidak bersalah tuduhan amang seksual terhadap pelajar lelaki

    SEREMBAN 7 Nov – Seorang guru sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pada tahun lalu.

    Tertuduh, Nazrulhisham Mahmud, 46, yang juga warden asrama di sebuah sekolah di Batu Kikir, Jempol, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Mengikut pertuduhan, Nazrulhisham didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di bilik rehat warden pada 18 Mei dan 12 Jun 2024, manakala satu lagi kejadian berlaku di bilik sukan ragbi pada 25 Mei 2024.

    Bagi kesalahan tersebut, tertuduh berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nabila Hamzah memohon jumlah jaminan direndahkan atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak kecil dan menanggung ibu bapa yang uzur.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk semua pertuduhan dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan pada 16 Disember depan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12352

  • Kadar pengangguran belia menurun kepada 6.5 peratus tahun lalu

    Kadar pengangguran belia menurun kepada 6.5 peratus tahun lalu

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Kadar pengangguran belia berumur antara 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan kepada 6.5 peratus tahun lalu berbanding 6.7 peratus pada 2023, menurut laporan Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

    Penurunan itu turut selari dengan kadar pengangguran nasional yang menyusut kepada 3.2 peratus daripada 3.4 peratus bagi tempoh sama.

    Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, meskipun kadar pengangguran belia dilihat tinggi, ia merupakan trend biasa di kebanyakan negara memandangkan golongan tersebut baru menamatkan pengajian dan berdepan kesukaran mendapat pekerjaan kerana kurang pengalaman.

    “Kerajaan sentiasa proaktif dan berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk golongan belia serta menyokong pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

    Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN–Pasir Puteh) mengenai strategi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam mengurangkan pengangguran belia yang masih lebih tinggi berbanding kadar nasional, terutama dalam konteks keperluan tenaga berkemahiran tinggi untuk sektor kecerdasan buatan.

    Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, Kesuma melalui agensi di bawahnya turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan setaraf kelayakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    Selain itu, Kesuma melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) turut menyediakan program Insentif Latihan Amali (ILHAM) bagi membantu bakat baharu serta merancakkan pertumbuhan sektor pekerjaan.

    TalentCorp juga memberi tumpuan kepada pembangunan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara.

    Pada masa sama, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menawarkan 112 program sepenuh masa di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan di 33 institusi latihan jabatan tenaga manusia (ILJTM) seluruh negara. JTM turut memperluaskan program separuh masa melalui kursus jangka pendek (KJP) secara bersemuka, dalam talian dan hibrid bagi memberi peluang latihan kepada pekerja sedia ada serta komuniti setempat termasuk belia.

    “Kesuma komited mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua sektor ekonomi negara, selaras dasar kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menetapkan penggajian pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara pada 2025.

    “RMK-13 pula menetapkan jumlah pekerja asing dikurangkan kepada 10 peratus pada 2030, dan sehingga 5 peratus menjelang 2035,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12351

  • Anwar ucap tahniah sempena ulang tahun keputeraan Sultan Nazrin

    Anwar ucap tahniah sempena ulang tahun keputeraan Sultan Nazrin

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menyampaikan ucapan tahniah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-69, hari ini.

    Dalam catatan di Facebook, Anwar mendoakan agar baginda serta Raja Permaisuri Perak dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lindungan Allah.

    “Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

    “Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja dianugerahkan keafiatan, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya,” katanya.

    Perdana Menteri turut mendoakan agar baginda kekal diberi ketenangan, kebijaksanaan serta keadilan dalam memerintah negeri Perak Darul Ridzuan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12349

  • Enam lelaki warga India ditahan, bantu siasatan kes bunuh di Puchong

    Enam lelaki warga India ditahan, bantu siasatan kes bunuh di Puchong

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Polis menahan enam lelaki warga India bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki senegara yang ditemukan mati di tangga sebuah rumah kedai di Pusat Bandar Puchong, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata semua suspek yang ditahan merupakan rakan serumah kepada suspek utama yang telah dikenal pasti dan kini sedang diburu polis.

    “**Suspek utama dalam kes ini ialah seorang lelaki warga India dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

    “Setakat ini, empat saksi termasuk pengadu kes sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,**” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan terdapat rakaman yang boleh membantu siasatan.

    Menurutnya, mangsa yang berusia 49 tahun bekerja sendiri sebagai juru elektrik dan telah menetap di Malaysia kira-kira 19 tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222.

    Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga India yang juga pemegang status pemastautin tetap ditemukan maut di tangga sebuah rumah kedai di kawasan sama, kira-kira jam 8.30 malam, sebelum pihak berkuasa tiba untuk tindakan lanjut.

    Difahamkan, mangsa menyewa bilik di rumah kedai berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12345

  • RELA ingatkan tindakan menghalang atau mengugut anggota boleh disiasat

    RELA ingatkan tindakan menghalang atau mengugut anggota boleh disiasat

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengingatkan orang awam bahawa sebarang tindakan menghalang, mengugut atau menengking anggotanya ketika bertugas boleh disiasat mengikut peruntukan undang-undang.

    Dalam satu kenyataan, RELA menegaskan bahawa anggotanya merupakan penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.

    Jabatan itu turut memandang serius kejadian tular pada 4 November lalu melibatkan seorang anggotanya yang sedang bertugas di Terminal Bas Johor Bahru Sentral, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

    Menurut kenyataan itu, insiden berlaku ketika anggota berkenaan sedang membantu mengawal kelancaran pergerakan orang awam serta keselamatan kawasan terminal, sebelum ditegur secara kasar oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila diminta mematuhi laluan ditetapkan untuk menggunakan perkhidmatan bas.

    RELA pada masa sama menghargai profesionalisme dan kesabaran anggota yang terbabit dalam menangani situasi tegang tersebut tanpa mencetuskan sebarang provokasi.

    Bagi memastikan keberkesanan tugas anggota, RELA memaklumkan latihan dan bimbingan berterusan akan terus diberikan bagi meningkatkan tahap kompetensi serta keyakinan orang awam terhadap perkhidmatannya.

    Semalam, tular sebuah video memaparkan kekecohan antara seorang lelaki dan anggota RELA di Terminal Bas BSI.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 11.13 pagi Selasa lalu, selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu keselamatan.

    Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek berusia 31 tahun itu pada Khamis, dan semakan mendapati dia mempunyai satu rekod lampau, manakala ujian saringan urin pula didapati negatif dadah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12344

  • Pasangan kekasih belajar tanam ganja dari YouTube dicekup polis di Bangsar

    Pasangan kekasih belajar tanam ganja dari YouTube dicekup polis di Bangsar

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Tindakan sepasang kekasih menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Bangsar selepas mempelajari cara menanamnya melalui YouTube membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata dalam serbuan sekitar jam 11.30 malam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan pasangan berusia 40 dan 48 tahun itu di kediaman mereka.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemui dua pokok ganja setinggi 48 sentimeter (sm) serta tumbuhan kering disyaki dadah ganja seberat 27 gram, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,210.

    “Lelaki terbabit menyewa rumah itu hampir setahun bersama teman wanitanya dan pokok itu mula ditanam sejak tujuh minggu lalu selepas mempelajari caranya dari YouTube.

    “Polis turut merampas dua telefon bimbit, empat utas rantai leher, seutas rantai kaki, seutas gelang tangan, dua cincin dan empat loket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak bekerja dan lelaki berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan dadah sebelum ini.

    Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah, manakala teman wanitanya negatif.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12342

  • Memalukan! Wanita Russia buat laporan polis selepas dirakam ketika ‘live’ di restoran, jadi bahan sembang lucah influencer

    Memalukan! Wanita Russia buat laporan polis selepas dirakam ketika ‘live’ di restoran, jadi bahan sembang lucah influencer

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Seorang wanita warga Russia tampil membuat laporan polis selepas videonya dirakam tanpa kebenaran ketika siaran langsung seorang pempengaruh lelaki di sebuah restoran baru-baru ini.

    Wanita terbabit, Alice Kasimova, berkata laporan dibuat selepas menerima nasihat rakan-rakan yang bimbang terhadap keselamatannya.

    “Saya pergi ke balai polis bukan kerana marah, tetapi berdiam diri hanya melindungi individu yang menyakitkan orang lain. Tiada wanita patut berasa takut untuk mempertahankan diri,” katanya menerusi hantaran di Threads.

    Alice memaklumkan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.37 pagi tadi dan dia kini menunggu tindakan lanjut daripada pegawai penyiasat.

    Terdahulu, tular rakaman siaran langsung pempengaruh lelaki berkenaan yang bersembang lucah dengan pengikutnya sambil menjadikan wanita itu sebagai bahan perbualan tanpa kebenaran.

    Difahamkan, insiden berlaku di sebuah restoran, namun lokasi sebenar tidak dinyatakan.

    Tindakan pempengaruh itu mencetuskan kecaman warganet yang menuntut agar privasi individu dihormati serta mengingatkan bahawa merakam atau menyiarkan video seseorang tanpa izin adalah satu kesalahan.

    “Tindakan yang bagus, inilah cara mengajar lelaki yang suka berborak lucah supaya hormat wanita,” tulis pengguna @Vader_joe.

    “Kamu buat perkara yang betul. Harap lelaki itu dikenakan tindakan,” komen Damien.

    “Komen mereka sangat tidak beradab. Harap awak jaga keselamatan selepas ini,” kata @Redrai68.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12346

  • Remaja perempuan hilang di Nilai Perdana

    Remaja perempuan hilang di Nilai Perdana

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Seorang remaja perempuan, Noor Arlyana Khairul Alief, dilaporkan hilang di Nilai Perdana, Negeri Sembilan sejak dua hari lalu.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim, berkata remaja berusia 15 tahun itu dilihat kali terakhir di Blok 7, G6 PSN Nilai Perdana, Taman Nilai Perdana, pada kira-kira 11 malam.

    Noor Arlyana mempunyai kulit sawo matang, bentuk muka tirus, berbadan kurus, dan berketinggian sekitar 150 sentimeter.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Raid Aiman Norzamri di talian 019-4440996 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 bagi membantu siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12340

  • Penganggur ditahan cabul ibu tunggal di Kluang

    Penganggur ditahan cabul ibu tunggal di Kluang

    KLUANG 7 Nov – Seorang penganggur ditahan selepas disyaki mencabul seorang ibu tunggal dalam kejadian di dua lokasi berasingan sekitar bandar ini pada Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata laporan mengenai kejadian diterima pada pukul 3.36 petang semalam daripada mangsa berusia lewat 40-an.

    “Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2 petang di dalam kereta milik mangsa.

    “Sebelum itu, mangsa dan suspek yang kedua-duanya tidak bekerja berkenalan menerusi media sosial sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan suspek pada pukul 4 pagi semalam.

    Suspek lelaki tempatan berusia 49 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, selain ujian saringan air kencingnya didapati negatif daripada pengaruh dadah.

    Menurut Bahrin, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Mahkamah Majistret Kluang turut membenarkan suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad bagi membantu siasatan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-3656822 (tablet DCC).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12338

  • Menu RAHMAH capai 3,137 penyertaan premis di seluruh negara – Armizan

    Menu RAHMAH capai 3,137 penyertaan premis di seluruh negara – Armizan

    PUTRAJAYA 7 Nov – Sebanyak 3,137 premis makanan di seluruh negara, merangkumi restoran, kafe, restoran makanan segera, medan selera, penjaja dan trak makanan, kini menyertai program Menu RAHMAH MADANI, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

    Menurut beliau, Menu RAHMAH merupakan salah satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang diperkenalkan KPDN sejak 2023 bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dengan menawarkan hidangan seimbang pada harga serendah RM5.

    Armizan menjelaskan, program itu dilaksanakan sepenuhnya secara private driven, iaitu pengusaha mengambil bahagian secara sukarela tanpa menerima insentif tunai daripada kerajaan.

    “Sambutan yang diterima sejak pelancaran amat menggalakkan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membuka ruang promosi serta peluang pasaran baharu kepada pengusaha.

    “Selari aspirasi Kerajaan MADANI, Menu RAHMAH kini bukan sahaja ditawarkan di restoran dan medan selera, malah diperluas ke fasiliti kesihatan, institusi pendidikan dan pelbagai peringkat komuniti bagi memastikan akses makanan berpatutan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

    Menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN–Kepala Batas) berhubung status terkini program berkenaan, Armizan berkata sambutan positif pengusaha di bandar dan luar bandar menunjukkan keberkesanan peluasan inisiatif tersebut secara inklusif.

    Mengulas mengenai bentuk bantuan terhadap pengusaha Menu RAHMAH, beliau memaklumkan bahawa KPDN melaksanakan beberapa langkah sokongan bukan kewangan bagi memastikan kelestarian program.

    Antara langkah tersebut termasuk:

    Pengiktirafan dan penjenamaan rasmi melalui label RAHMAH bagi meningkatkan keyakinan pengguna serta nilai komersial kepada premis yang menyertai program.

    Penyertaan dalam program kerajaan yang memberi ruang promosi tambahan kepada pengusaha.

    Kolaborasi strategik bersama industri serta kerjasama merentasi kementerian.

    Sesi libat urus berterusan bagi memperkukuh pemahaman dan keupayaan pengusaha.

    “Melalui pendekatan ini, walaupun tanpa insentif tunai, pengusaha tetap mendapat manfaat daripada segi pengiktirafan, promosi, akses pasaran baharu dan jaringan kolaborasi strategik.

    “Pendekatan ini memastikan Menu RAHMAH kekal sebagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat sambil menyokong kelangsungan pengusaha makanan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12337