Category: JNJ-MEDIA

  • Kami okey, tak rasa status itu ditujukan untuk saya – Nora Danish

    Kami okey, tak rasa status itu ditujukan untuk saya – Nora Danish

    KUALA LUMPUR – “Hubungan saya dengan dia (Nedim) okey, jadi saya tak nak komen panjang.”

    Demikian kata pelakon Nora Danish menjawab persoalan kononnya dia adalah wanita yang dimaksudkan bekas suami, Nedim Nazri menerusi untaian status berbaur perlian di platform Threads.

    Nora yang kini muncul dengan telefilem terbaharu berjudul Saling Tak Terlihat berkata, dia sangat menghormati Nedim walaupun kini sudah tidak lagi bersama sebagai suami isteri.

    “Saya tak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini ditambah pula saya sudah tidak lagi bersama dengannya.

    “Saya hormati hak dan privasi dia dan saya memang tak nak komen apa-apa sebab (apa yang dikongsinya), tak ada kena-mengena dengan saya,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

    Ujar Nora lagi, dia juga tidak tahu akan kewujudan status daripada Nedim atau Boss Ned di media sosial yang dikatakan ditujukan kepadanya.

    “Saya tak juga tak baca sangat ciapan yang dibuat sebab saya sedang sibuk uruskan restoran saya.

    “Saya tak ‘aware’ (perasan) dan tak rasa ciapan itu ditujukan kepada saya sebab saya mempunyai hubungan yang baik dengan dia.

    “Saya mengharapkan hubungan yang baik-baik dengan semua pihak. Seperti yang saya tekankan dari awal lagi, saya memang menitik beratkan hubungan baik untuk membesarkan anak saya dengan sihat,” ujarnya.

    “Jangan main (tentang) dengan anak saya, kalau mainkan dia, saya bantai sampai kurus.

    “Saya tak akan ‘bantai’ kalau saya rasa anak tak diketepikan. Kalau nak cuba marilah hantar ke sini, kita lawan. Anak saya adalah segala-segalanya,” katanya menerusi Threads.

    “Ingat, jangan ‘up’ melampau manusia tetapi itu yang kalian akan kena kalau cari fasal dengan anak saya.

    “Sasaran saya terhadap seseorang tidak pernah tersasar dan mereka tahu mengenainya,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/04/kami-okey-tak-rasa-status-itu-ditujukan-untuk-saya-nora-danish/

  • PGIRM persoal keberkesanan Akaun Fleksibel, lebih sejuta pencarum masih terdesak

    PGIRM persoal keberkesanan Akaun Fleksibel, lebih sejuta pencarum masih terdesak

    KUALA LUMPUR 4 Nov – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap laporan media bertajuk “Pendekatan Fleksibel Untuk Hari Tua” yang disiarkan Sinar Harian pada 2 November lalu, kerana didakwa menggambarkan seolah-olah sistem Akaun Fleksibel KWSP mampu menyelesaikan keperluan mendesak rakyat ketika ini.

    Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir, berkata realitinya lebih sejuta pencarum masih bergelut dengan komitmen hidup, hutang tertunggak dan tekanan ekonomi, sambil menegaskan:

    “Setiap hari, ribuan pencarum terus menunggu harapan yang belum pasti; bukan untuk hidup mewah, tetapi untuk meneruskan kehidupan.”

    Menurut PGIRM, pendekatan fleksibel yang dipromosikan sebagai solusi jangka panjang masih gagal menjawab kekangan tunai harian rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi dan peluang kerja yang tidak stabil.

    Sejak 21 Julai 2021, PGIRM telah menggerakkan pelbagai usaha menyampaikan suara pencarum kepada kerajaan termasuk penyerahan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri, Parlimen dan Istana Negara, kenyataan media berkala, solidariti aman di lokasi strategik, penghantaran e-mel rasmi kepada 222 Ahli Parlimen, serta pengumpulan lebih 320,000 respon kaji selidik yang merakamkan rintihan rakyat.

    Namun, menurut pertubuhan itu, suara berkenaan masih belum diberi perhatian sewajarnya.

    Azmi berkata rakyat tidak menolak konsep simpanan hari tua, namun dasar tersebut mesti bersifat lebih manusiawi dan fleksibel dalam menghadapi tekanan hidup semasa.

    PGIRM berpandangan kerajaan perlu menilai semula keseimbangan antara “menjaga hari tua” dan “menyelamatkan kehidupan hari ini”, kerana masa depan yang stabil tidak bermakna jika rakyat hidup dalam tekanan sekarang.

    Pertubuhan itu turut menyeru agar kerajaan menilai semula mekanisme Akaun Fleksibel, termasuk mempertimbangkan pengeluaran terkawal daripada Akaun 1 sebagai langkah khas demi keadilan sosial.

    PGIRM juga berharap liputan media pada masa depan dapat memberi ruang lebih seimbang kepada suara rakyat di lapangan supaya pandangan pencarum tidak tenggelam dalam satu naratif sahaja.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12279