Category: JNJ-MEDIA

  • ‘Orang panggil saya Ringgit Malaysia’

    ‘Orang panggil saya Ringgit Malaysia’

    TANJUNG MALIM – Seorang pesara guru cukup dikenali dalam kalangan penduduk tempatan ekoran namanya yang unik iaitu Rosni (Malaysia) Buyong, sehingga dia sering disapa dengan panggilan RM atau Ringgit Malaysia. Rosni, 62, berkata, dia bertuah kerana dilahirkan pada tanggal 16 September 1963 di hospital tentera di Padang Tembak, Kuala Lumpur, bersamaan dengan tarikh pembentukan negara Malaysia. Katanya, nama tersebut diberikan oleh arwah bapanya sempena tarikh tersebut. “Ketika kecil, sukar juga untuk menyesuaikan diri dengan nama sebegitu, tetapi lama-kelamaan teruja kerana……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/orang-panggil-saya-ringgit-malaysia/

  • Klinik bola sepak cungkil bakat muda

    Klinik bola sepak cungkil bakat muda

    Dalam dunia moden yang semakin dipenuhi gajet dan hiburan digital, usaha menarik minat kanak-kanak untuk aktif di padang sememangnya menjadi satu cabaran. Namun syarikat telekomunikasi, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) tampil dengan inisiatif segar untuk memastikan generasi muda terus membesar dengan gaya hidup sihat dan aktif menerusi sukan, khususnya bola sepak. Baru-baru ini, CelcomDigi telah mengadakan Klinik Bola Sepak Kanak-kanak CelcomDigi (CelcomDigi Kids Football Clinic) iaitu satu inisiatif untuk memupuk kemahiran bola sepak dalam kalangan kanak-kanak. Inisiatif itu dilaksanakan menerusi platform Arena……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/klinik-bola-sepak-cungkil-bakat-muda/

  • EPL: Liverpool belum mengaku kalah

    EPL: Liverpool belum mengaku kalah

    LIVERPOOL – Ketua pasukan Liverpool, Virgil Van Dijk percaya pasukan itu masih belum bersedia untuk mengakui kalah dalam perjuangan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

    Biarpun berdepan isu prestasi yang serius, pemain antarabangsa Belanda itu melaungkan keyakinan bahawa mereka mampu untuk memberikan saingan dalam perebutan trofi bersama Arsenal dan Manchester City musim ini.

    Awal pagi kelmarin, Liverpool menanggung kekalahan kelima musim ini apabila dimalukan 0-3 oleh Manchester City pada aksi di Etihad sekali gus menyaksikan mereka berada di kedudukan kelapan saingan apabila hanya mengutip 18 mata.

    “Ia adalah mengenai usaha mendapatkan tahap konsisten, kemudian mengekalkannya. Kami akan ke pasukan kebangsaan dan kembali semula ke kelab dengan keyakinan yang lebih baik.

    “Kami tidak akan berputus asa dan mengaku kalah. Kita masih di bulan November dan musim ini masih panjang. Kami bersedia untuk pertarungan lebih hebat,” katanya.

    Sementara itu, bekas pemain pertahanan Liverpool yang kini bertugas sebagai pengulas, Jamie Carragher menamakan Ibrahima Konate sebagai pemain dianggap gagal beraksi dengan baik dan menjadi punca kekalahan kepada City sebelum ini.

    “Saya tidak faham apa yang dia (Konate) cuba lakukan. Apabila Liverpool bolos atau benteng pertahanan mereka berdepan masalah, Konate berada dalam situasi itu. Ia terlalu kerap berlaku musim ini dan saya anggap dia tidak ada bersama pasukan musim ini,” jelasnya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/epl-liverpool-belum-mengaku-kalah/

  • KPM nafi soalan Ujian Bertutur BM, BI SPM 2025 bocor

    KPM nafi soalan Ujian Bertutur BM, BI SPM 2025 bocor

    KUALA LUMPUR, 11 Nov — Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

    Dalam kenyataan hari ini, KPM menjelaskan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat dakwaan berkenaan, termasuk meneliti kandungan sebaran yang dikongsi dalam talian.

    “Hasil siasatan mendapati maklumat yang ditularkan hanyalah senarai tema umum yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Senarai tersebut merupakan ramalan oleh guru dan calon peperiksaan, dan tidak menepati definisi kebocoran seperti yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” kata kenyataan itu.

    KPM menegaskan bahawa semua kertas peperiksaan awam disediakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, sekali gus tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak.

    Justeru, kementerian menasihatkan semua calon SPM 2025 supaya kekal tenang dan terus memberi tumpuan terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung.

    “KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam terpelihara, selain menjamin kepentingan serta keadilan kepada semua calon SPM 2025,” menurut kenyataan itu lagi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12434

  • Dua beranak cedera, putus jari bergelut dengan pembantu rumah di Kuantan

    Dua beranak cedera, putus jari bergelut dengan pembantu rumah di Kuantan

    KUANTAN, 11 Nov — Dua beranak cedera, termasuk seorang daripadanya putus ibu jari tangan kiri, selepas bergelut dengan pembantu rumah warga asing yang bersenjatakan pisau pemotong daging di sebuah rumah dua tingkat di KotaSAS di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi melibatkan seorang wanita berusia 57 tahun yang juga majikan dan anak lelakinya berusia 28 tahun.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati, wanita itu yang berada di bilik tidur tingkat atas terdengar jeritan anaknya di tingkat bawah sebelum bergegas turun dan mendapati anak lelakinya sedang bergelut dengan pembantu rumah di ruang tamu.

    “Ketika cuba meleraikan pergaduhan, suspek bertindak melibas pisau hingga terkena kepala mangsa. Mangsa kemudian berjaya merampas pisau berkenaan sebelum suspek berlari ke dapur dan cuba mengambil pisau lain.

    “Dua beranak itu menghalang tindakan suspek, menyebabkan berlaku pergelutan di ruang dapur. Dalam keadaan cemas, wanita berkenaan mengambil semua pisau di dapur dan mencampakkannya keluar melalui tingkap sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Akibat kejadian itu, wanita terbabit mengalami luka di kepala dan ibu jari tangan kiri, manakala anak lelakinya putus ibu jari tangan kiri serta mengalami luka di kepala dan kaki.

    Suspek berusia 44 tahun pula cedera di pergelangan tangan kiri akibat cubaan membunuh diri selepas kejadian.

    Ashari berkata, polis turut merampas enam bilah pisau dan sebilah gunting di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai mengalami tekanan bekerja di rumah berkenaan yang lebih besar berbanding tempat kerja lamanya. Suspek telah bekerja selama 10 bulan dan difahamkan hanya tinggal bersama majikan di rumah itu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12433

  • Tindakan tegas kerajaan berjaya pulihkan ketirisan bernilai RM15.5 bilion – Anwar

    Tindakan tegas kerajaan berjaya pulihkan ketirisan bernilai RM15.5 bilion – Anwar

    KUALA LUMPUR 11 Nov – Tindakan penguatkuasaan tegas dan berani oleh pelbagai agensi kerajaan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini disifatkan sebagai yang paling berkesan dalam sejarah negara, selepas berjaya memulihkan ketirisan bernilai RM15.5 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata, kejayaan besar itu hasil tindakan bersepadu tanpa kompromi oleh pasukan petugas pelbagai agensi (multi-agency task force) yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain.

    “Kalau tiada penguatkuasaan yang berkesan, mustahil kutipan RM15 bilion dapat dilakukan.

    “Setakat yang saya tahu, ini adalah penguatkuasaan paling efektif dalam sejarah. Berdasarkan rekod rampasan, penyeludupan dan lain-lain tindakan, jumlahnya memang mencapai RM15 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    20 Kes Dibawa Ke Mahkamah

    Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN–Tanjung Piai) yang mempersoalkan tindakan penguatkuasaan dan jumlah pendakwaan yang dilaksanakan.

    Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam sebarang bentuk rasuah, penyeludupan atau kegiatan penipuan dalam talian (scammer), malah setakat ini 20 kes sudah dibawa ke mahkamah, dengan tindakan susulan sedang diteruskan oleh Peguam Negara.

    “Bukan mudah, mereka berdepan syarikat besar dan kartel berpengaruh. Mereka memerlukan sokongan serta jaminan politik yang tegas.

    “Sebab itu dari akhir 2023 hingga 2025, kita dapat elakkan ketirisan dan rasuah – itulah yang membawa kepada kutipan RM15.5 bilion,” katanya.

    Anwar turut menegaskan, keberanian agensi terlibat menentang kartel dan kumpulan kongsi gelap hanya dapat dilaksanakan dengan dukungan politik yang jelas daripada kepimpinan tertinggi kerajaan.

    Sistem Penguatkuasaan Digital dan Canggih

    Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memperkukuh usaha membanteras rasuah, ketirisan dan penyeludupantermasuk melalui penggunaan teknologi digital di sempadan negara.

    Langkah itu merangkumi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), kamera badan, mesin pengimbas kargo, serta penubuhan Centralized Screening Complex bagi meningkatkan kawalan dan ketelusan penguatkuasaan.

    Beliau menjelaskan bahawa hasil rampasan dan pemulihan aset akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan, sebelum diagihkan kepada sektor utama termasuk pendidikan, kesihatan dan pertahanan.

    Sebahagian Hasil Rampasan Untuk Program Pemulihan Dadah

    Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan akan meneliti cadangan supaya sebahagian kecil hasil rampasan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) digunakan bagi membantu program pemulihan penagih dadah melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

    “Saya setuju dan akan beri pertimbangan… sebahagian boleh diperuntukkan untuk program pemulihan dadah,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN–Langkawi).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12430

  • ‘Saya sendiri akan jadi pegawai pemasaran Perodua di luar negara’ – Anwar

    ‘Saya sendiri akan jadi pegawai pemasaran Perodua di luar negara’ – Anwar

    RAWANG, 11 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menjadi ‘pegawai pemasaran Perodua’ secara sukarela setiap kali melakukan lawatan kerja ke luar negara, bagi mempromosikan produk automotif keluaran tempatan itu di peringkat global.

    Anwar berkata demikian ketika berucap pada sesi lawatan dan ramah mesra bersama warga kerja Perodua di kilang pengeluar kereta nasional itu di Sungai Choh, hari ini.

    “Dalam seminggu dua ini saya akan ke Afrika Selatan, Kenya dan Ethiopia. Saya sudah beri jaminan, saya akan jadi pegawai pemasaran Perodua yang pertama secara pro bono.

    “Tak ada bayaran, gaji pun saya tak ambil,” katanya yang disambut sorakan gemuruh kakitangan Perodua.

    Menurut Perdana Menteri, kunjungannya ke kilang Perodua bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi tanda sokongan penuh kerajaan terhadap usaha syarikat tempatan membuktikan kemampuan tenaga kerja Malaysia dalam industri automotif moden.

    “Saya lihat pekerja di sini datang dari seluruh negara – Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Anda semua bekerja sebagai satu pasukan dan membuktikan bahawa dengan teknologi, disiplin dan pengurusan yang baik, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya.

    Anwar turut memuji langkah Perodua yang kini berada di landasan tepat menuju era teknologi baharu, termasuk kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) serta usaha meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja.

    “Saya rasa berada di Perodua ini lebih menyeronokkan daripada menjawab soalan di Parlimen,” selorohnya.

    Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar pelancaran rasmi model EV pertama Perodua yang dijangka berlangsung hujung bulan ini dijadikan acara nasional penting.

    “Saya akan beri arahan kepada Jemaah Menteri supaya pelancaran Perodua EV baharu dijadikan satu agenda nasional besar. Ia bukan sekadar peluncuran produk, tetapi simbol keupayaan Malaysia menghasilkan kenderaan moden sepenuhnya buatan tempatan dengan harga berpatutan untuk rakyat.

    “Ia juga merangkumi aspek governance, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12429

  • Empat lelaki ditahan akibat bergaduh, rosakkan kereta dengan batang ekzos

    Empat lelaki ditahan akibat bergaduh, rosakkan kereta dengan batang ekzos

    KUALA LUMPUR 11 Nov. – Empat lelaki warga tempatan ditahan susulan insiden pergaduhan yang turut menyebabkan kerosakan sebuah kereta menggunakan batang ekzos di kawasan parkir Pangsapuri Suria Ixora, Setia Alam, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Pemangku Senior Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat awam sekitar pukul 9 malam mengenai pergaduhan membabitkan empat lelaki tersebut sebelum mereka ditahan kira-kira 15 minit kemudian.

    Kejadian itu turut dirakam orang awam dan tular di media sosial.

    Siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada hutang tatu berjumlah RM120 yang tidak dibayar oleh salah seorang suspek. Polis turut merampas beberapa senjata dan kenderaan yang digunakan, termasuk selaras senapang ikan bersama busur, sebatang kuku kambing, sebatang ekzos motosikal dan sebuah Perodua Axia.

    Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan menggunakan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan berhubung kerosakan harta benda. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda (Seksyen 148), penjara sehingga dua tahun atau denda (Seksyen 427), manakala bagi Seksyen 6 akta tersebut hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum 10 tahun serta sebatan.

    Terdahulu, video berdurasi 51 saat yang menunjukkan seorang lelaki memecahkan cermin Perodua Axia menggunakan batang ekzos tular di media sosial.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12426

  • ‘Nama Islam saya Liana Alara, bermaksud tenang dan cahaya’

    ‘Nama Islam saya Liana Alara, bermaksud tenang dan cahaya’

    PETALING JAYA – Menzahirkan kesyukuran selepas memeluk Islam, kekasih kepada pelakon Ben Amir memilih nama Liana Alara yang membawa maksud ketenangan dan cahaya.

    Wanita asal Filipina yang sebelum ini dikenali sebagai Maiya berkata, dia teruja dengan permulaan baharu dalam kehidupannya.

    “Nama Islam saya ialah Liana Alara, nama yang membawa maksud tenang dan cahaya dalam fasa baharu hidup saya.

    “Alhamdulillah untuk permulaan baru ini. Bersyukur dengan semua kasih saya pada hari istimewa ini,” katanya dalam perkongsian di InstaStory.

    Hantaran berkenaan dibuat selepas Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, memuat naik foto teman istimewanya itu mengucap dua kalimah syahadah.

    Pelakon filem Legasi Bomba The Movie itu menemani Liana ke pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur, semalam.

    Menerusi hantaran sama, wanita terbabit turut menzahirkan penghargaan buat insan sekeliling yang memberi sokongan terhadap dirinya.

    “Hari yang sangat menyenangkan dalam keadaan begitu indah. Saya dapat merasakan kasih sayang dan sokongan semua.

    “Terima kasih kerana menerima saya dalam babak baru hidup ini. Doa, ucapan dan pelukan lebih bermakna dari kata-kata yang boleh saya lafazkan,” ujarnya.

    Terdahulu, bekas peserta Hero Remaja itu mengakui hatinya sudah dimiliki wanita yang dikenalinya itu sejak dua tahun lalu.

    Bagaimanapun, mereka masih belum merancang untuk berkahwin dalam tempoh terdekat.

    April lalu, Ben memaklumkan berhijrah ke Filipina dilakukan selepas merasakan kehidupan di Kuala Lumpur terlalu terikat dengan rutin sama. — HIBGLAM

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/11/nama-islam-saya-liana-alara-bermaksud-tenang-dan-cahaya/

  • Ketua kampung jual ambulans demi langsai hutang

    Ketua kampung jual ambulans demi langsai hutang

    JAKARTA – Seorang ketua kampung di daerah Batang, wilayah Jawa Tengah mengundang kecaman ramai apabila menjual ambulans kegunaan penduduk untuk melangsaikan hutang peribadi, lapor laman berita Warta kelmarin.

    Tindakan ketua kampung dikenali sebagai Syahroni itu telah menyebabkan penduduk Kampung Menguneng tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut ketika kecemasan.

    Menurut laporan, tindakan itu mula diketahui apabila penduduk mendapati ambulans tiada di dalam garaj.

    Selepas siasatan dilakukan, mereka mendapati ambulans itu telah dijual oleh Syahroni untuk melangsaikan hutangnya.

    Keadaan itu mencetuskan kemarahan penduduk sebelum mereka melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

    Jika terbukti bersalah, Syahroni berdepan hukuman pentadbiran dan pertuduhan jenayah kerana didakwa menyalahgunakan kuasa awam dan aset untuk kepentingan peribadi. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/10/ketua-kampung-jual-ambulans-demi-langsai-hutang/