Category: JNJ-MEDIA

  • Pasangan kekasih belajar tanam ganja dari YouTube dicekup polis di Bangsar

    Pasangan kekasih belajar tanam ganja dari YouTube dicekup polis di Bangsar

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Tindakan sepasang kekasih menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Bangsar selepas mempelajari cara menanamnya melalui YouTube membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata dalam serbuan sekitar jam 11.30 malam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan pasangan berusia 40 dan 48 tahun itu di kediaman mereka.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemui dua pokok ganja setinggi 48 sentimeter (sm) serta tumbuhan kering disyaki dadah ganja seberat 27 gram, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,210.

    “Lelaki terbabit menyewa rumah itu hampir setahun bersama teman wanitanya dan pokok itu mula ditanam sejak tujuh minggu lalu selepas mempelajari caranya dari YouTube.

    “Polis turut merampas dua telefon bimbit, empat utas rantai leher, seutas rantai kaki, seutas gelang tangan, dua cincin dan empat loket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak bekerja dan lelaki berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan dadah sebelum ini.

    Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah, manakala teman wanitanya negatif.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12342

  • Memalukan! Wanita Russia buat laporan polis selepas dirakam ketika ‘live’ di restoran, jadi bahan sembang lucah influencer

    Memalukan! Wanita Russia buat laporan polis selepas dirakam ketika ‘live’ di restoran, jadi bahan sembang lucah influencer

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Seorang wanita warga Russia tampil membuat laporan polis selepas videonya dirakam tanpa kebenaran ketika siaran langsung seorang pempengaruh lelaki di sebuah restoran baru-baru ini.

    Wanita terbabit, Alice Kasimova, berkata laporan dibuat selepas menerima nasihat rakan-rakan yang bimbang terhadap keselamatannya.

    “Saya pergi ke balai polis bukan kerana marah, tetapi berdiam diri hanya melindungi individu yang menyakitkan orang lain. Tiada wanita patut berasa takut untuk mempertahankan diri,” katanya menerusi hantaran di Threads.

    Alice memaklumkan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.37 pagi tadi dan dia kini menunggu tindakan lanjut daripada pegawai penyiasat.

    Terdahulu, tular rakaman siaran langsung pempengaruh lelaki berkenaan yang bersembang lucah dengan pengikutnya sambil menjadikan wanita itu sebagai bahan perbualan tanpa kebenaran.

    Difahamkan, insiden berlaku di sebuah restoran, namun lokasi sebenar tidak dinyatakan.

    Tindakan pempengaruh itu mencetuskan kecaman warganet yang menuntut agar privasi individu dihormati serta mengingatkan bahawa merakam atau menyiarkan video seseorang tanpa izin adalah satu kesalahan.

    “Tindakan yang bagus, inilah cara mengajar lelaki yang suka berborak lucah supaya hormat wanita,” tulis pengguna @Vader_joe.

    “Kamu buat perkara yang betul. Harap lelaki itu dikenakan tindakan,” komen Damien.

    “Komen mereka sangat tidak beradab. Harap awak jaga keselamatan selepas ini,” kata @Redrai68.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12346

  • Remaja perempuan hilang di Nilai Perdana

    Remaja perempuan hilang di Nilai Perdana

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Seorang remaja perempuan, Noor Arlyana Khairul Alief, dilaporkan hilang di Nilai Perdana, Negeri Sembilan sejak dua hari lalu.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim, berkata remaja berusia 15 tahun itu dilihat kali terakhir di Blok 7, G6 PSN Nilai Perdana, Taman Nilai Perdana, pada kira-kira 11 malam.

    Noor Arlyana mempunyai kulit sawo matang, bentuk muka tirus, berbadan kurus, dan berketinggian sekitar 150 sentimeter.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Raid Aiman Norzamri di talian 019-4440996 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 bagi membantu siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12340

  • Penganggur ditahan cabul ibu tunggal di Kluang

    Penganggur ditahan cabul ibu tunggal di Kluang

    KLUANG 7 Nov – Seorang penganggur ditahan selepas disyaki mencabul seorang ibu tunggal dalam kejadian di dua lokasi berasingan sekitar bandar ini pada Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata laporan mengenai kejadian diterima pada pukul 3.36 petang semalam daripada mangsa berusia lewat 40-an.

    “Berdasarkan laporan, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2 petang di dalam kereta milik mangsa.

    “Sebelum itu, mangsa dan suspek yang kedua-duanya tidak bekerja berkenalan menerusi media sosial sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan suspek pada pukul 4 pagi semalam.

    Suspek lelaki tempatan berusia 49 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, selain ujian saringan air kencingnya didapati negatif daripada pengaruh dadah.

    Menurut Bahrin, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Mahkamah Majistret Kluang turut membenarkan suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad bagi membantu siasatan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-3656822 (tablet DCC).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12338

  • Menu RAHMAH capai 3,137 penyertaan premis di seluruh negara – Armizan

    Menu RAHMAH capai 3,137 penyertaan premis di seluruh negara – Armizan

    PUTRAJAYA 7 Nov – Sebanyak 3,137 premis makanan di seluruh negara, merangkumi restoran, kafe, restoran makanan segera, medan selera, penjaja dan trak makanan, kini menyertai program Menu RAHMAH MADANI, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

    Menurut beliau, Menu RAHMAH merupakan salah satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang diperkenalkan KPDN sejak 2023 bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dengan menawarkan hidangan seimbang pada harga serendah RM5.

    Armizan menjelaskan, program itu dilaksanakan sepenuhnya secara private driven, iaitu pengusaha mengambil bahagian secara sukarela tanpa menerima insentif tunai daripada kerajaan.

    “Sambutan yang diterima sejak pelancaran amat menggalakkan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membuka ruang promosi serta peluang pasaran baharu kepada pengusaha.

    “Selari aspirasi Kerajaan MADANI, Menu RAHMAH kini bukan sahaja ditawarkan di restoran dan medan selera, malah diperluas ke fasiliti kesihatan, institusi pendidikan dan pelbagai peringkat komuniti bagi memastikan akses makanan berpatutan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

    Menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN–Kepala Batas) berhubung status terkini program berkenaan, Armizan berkata sambutan positif pengusaha di bandar dan luar bandar menunjukkan keberkesanan peluasan inisiatif tersebut secara inklusif.

    Mengulas mengenai bentuk bantuan terhadap pengusaha Menu RAHMAH, beliau memaklumkan bahawa KPDN melaksanakan beberapa langkah sokongan bukan kewangan bagi memastikan kelestarian program.

    Antara langkah tersebut termasuk:

    Pengiktirafan dan penjenamaan rasmi melalui label RAHMAH bagi meningkatkan keyakinan pengguna serta nilai komersial kepada premis yang menyertai program.

    Penyertaan dalam program kerajaan yang memberi ruang promosi tambahan kepada pengusaha.

    Kolaborasi strategik bersama industri serta kerjasama merentasi kementerian.

    Sesi libat urus berterusan bagi memperkukuh pemahaman dan keupayaan pengusaha.

    “Melalui pendekatan ini, walaupun tanpa insentif tunai, pengusaha tetap mendapat manfaat daripada segi pengiktirafan, promosi, akses pasaran baharu dan jaringan kolaborasi strategik.

    “Pendekatan ini memastikan Menu RAHMAH kekal sebagai inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat sambil menyokong kelangsungan pengusaha makanan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12337

  • Munoz anggap kemenangan JDT ke atas Shanghai Shenhua sebagai ‘kemenangan besar’

    Munoz anggap kemenangan JDT ke atas Shanghai Shenhua sebagai ‘kemenangan besar’

    ISKANDAR PUTERI 7 Nov – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kejayaan membenam gergasi China, Shanghai Shenhua 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin sebagai satu kemenangan besar buat skuad Harimau Selatan.

    JDT yang turun dengan semangat membara memperagakan disiplin tinggi serta karakter luar biasa apabila mendominasi permainan dan menghiburkan lebih 20,000 penyokong di laman sendiri.

    “Saya sangat gembira dengan prestasi pemain. Mereka berjuang habis-habisan, tunjuk karakter, rentak serta kapasiti yang menakjubkan. Ini satu kemenangan besar buat kami,” katanya.

    Kemenangan itu turut menyaksikan JDT melonjak ke tangga kedua Kumpulan A Zon Timur dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

    Mengulas strategi pasukan, Munoz berkata, JDT kini memiliki fleksibiliti taktikal yang membolehkan mereka beraksi dalam pelbagai sistem permainan tanpa menurunkan intensiti.

    “Kami boleh bermain bola pantas, hantaran pendek dan mengawal ruang pertahanan dengan baik biarpun serangan datang dari pelbagai posisi.

    “Kami bertahan dengan baik, cuma penalti sahaja membolehkan lawan menjaringkan gol,” jelasnya.

    Munoz turut memuji aksi cemerlang Jonathan Silva yang meledak dua gol sekali gus dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, manakala satu lagi gol JDT dijaringkan Oscar Arribas.

    “Saya sangat gembira untuk Jonathan. Dia mahu dedikasikan kejayaan ini kepada penyokong, rakan sepasukan dan keluarganya. Penyokong sering memberikan segalanya untuk kami, jadi kami akan terus membalasnya dengan kemenangan,” ujarnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12336

  • 1,417 aduan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sejak 2020

    1,417 aduan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sejak 2020

    KUALA LUMPUR 17 Nov– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima dan menyiasat sebanyak 1,417 aduan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sejak 1 Januari 2020 hingga 31 Oktober lalu.

    Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kesalahan di bawah peruntukan itu melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

    Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan aduan tersebut, 61 kes telah didakwa di mahkamah, manakala 40 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM727,500.

    “Sebanyak 167 kes dikeluarkan Notis Amaran, manakala 1,149 kes selebihnya merupakan kes yang masih dalam siasatan serta kes yang tidak diambil tindakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mengenai jumlah individu yang disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 233 dari 2020 hingga 2025.

    Seksyen 233 memperuntukkan hukuman terhadap penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian termasuk penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, tidak sopan serta komunikasi yang mengancam.

    Mengulas perkembangan semasa, Fahmi memaklumkan bahawa 545 kes direkodkan setakat 31 Oktober tahun ini, manakala 315 kes dicatatkan pada 2024 dan 155 kes pada 2023.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12335

  • Nahas UPSI: Syarikat bas didenda RM20,000 sewa permit kepada pengendali pelancongan tanpa lesen

    Nahas UPSI: Syarikat bas didenda RM20,000 sewa permit kepada pengendali pelancongan tanpa lesen

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Sebuah syarikat bas, Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd, didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah menjual bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewa permit bas tersebutkepada Noreen Maju Trading, sebuah entiti yang menjalankan perniagaan pengendalian pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

    Bas persiaran berkenaan sebelum ini terbabit dalam kemalangan maut di Gerik, Perak, ketika membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampus di Tanjong Malim pada 9 Jun lalu.

    Mahkamah Majistret Gerik pada 3 November lalu mensabitkan syarikat itu atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 6(1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992, kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang sebarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen.

    Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dan kegagalan membayar denda boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Zulaikha Mahadi bersama Pegawai Pendakwa MOTAC Nurul Hidayah Aman.

    “MOTAC komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan integriti industri pelancongan negara,” menurut kenyataan itu.

    MOTAC turut menegaskan bahawa pelanggaran Akta 482 dan peraturannya merupakan kesalahan jenayah seriusyang boleh menjejaskan keselamatan pengunjung dan reputasi industri pelancongan negara.

    Dalam tragedi awal pagi 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB)berhampiran Tasik Banding, Gerik.

    Kejadian itu turut mengakibatkan 33 individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12333

  • Dr Zaliha arah JWP fokus isu warga asing, tanah di kampung tradisi KL

    Dr Zaliha arah JWP fokus isu warga asing, tanah di kampung tradisi KL

    KUALA LUMPUR 7 Nov – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diarahkan untuk memberi tumpuan segera terhadap pelbagai isu yang membelenggu kampung tradisi di ibu negara, termasuk melibatkan kehadiran warga asing, penyelenggaraan infrastruktur serta status guna tanah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata perhatian juga perlu diberikan terhadap tanah pertanian yang telah dibina struktur kediaman tanpa kelulusan.

    “Saya mengarahkan JWP memberi perhatian khusus kepada isu-isu yang membelenggu kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Dr. Zaliha berkata, arahan itu diberikan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan yang diadakan di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

    Beliau menjelaskan, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus tanah serta memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan dijalankan dengan teratur, berasaskan data dan berfokus kepada kesejahteraan komuniti.

    Pada mesyuarat sama, beliau turut memaklumkan bahawa aplikasi Mobil e-Tanah akan dilancarkan secara rasmi pada 11 November ini, bagi memudahkan orang ramai mengakses maklumat serta perkhidmatan berkaitan tanah di Wilayah Persekutuan dengan lebih mudah dan telus.

    Selain itu, agensi-agensi di bawah JWP juga membentangkan perkembangan inisiatif meningkatkan kecekapan tenaga dan pengurusan aset menggunakan teknologi tenaga baharu, bagi menyokong pensijilan bangunan hijauserta mengurangkan kos elektrik kerajaan, selaras dengan agenda Bandar CHASE. – Media Telus

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12332

  • Lebih 1.2 hektar hutan di Bukit Taman Seri Timah terbakar, bomba kerah 4 balai padam api marak

    Lebih 1.2 hektar hutan di Bukit Taman Seri Timah terbakar, bomba kerah 4 balai padam api marak

    BALAKONG 6 Nov – Kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.214 hektar dilaporkan berlaku di Bukit Taman Seri Timah di sini, pada Khamis malam.

    Menurut Peniolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.02 malam.

    “Seramai 14 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta bantuan daripada BBP Seri Kembangan, BBP Serdang dan dua Pasukan Bomba Sukarela bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

    Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.25 malam dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan di atas bukit berkenaan.

    “Anggota bomba sedang melakukan pemadaman di lokasi kejadian,” ujarnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12331