Category: JNJ-MEDIA

  • Mayat wanita warga emas ditemui terapung di kolam tadahan air di Bukit Bandaraya

    Mayat wanita warga emas ditemui terapung di kolam tadahan air di Bukit Bandaraya

    SHAH ALAM 9 Jan – Penemuan mayat seorang wanita warga emas terapung di sebuah kolam tadahan air hujan di Seksyen U11, Bukit Bandaraya di sini, pada Rabu lalu, mencetuskan siasatan pihak polis.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada jam 11.30 pagi hasil laporan seorang pemancing.

    “Siasatan awal mendapati wanita warga tempatan berusia lingkungan 70-an dan dipercayai penduduk yang tinggal di taman berhampiran lokasi kejadian.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pada hari sama kira-kira jam 6 petang, polis dihubungi ahli keluarga mangsa yang memaklumkan wanita berkenaan adalah kakak mereka dan tinggal bersendirian di kawasan berhampiran.

    “Identiti mangsa disahkan dan jenazah telah dituntut oleh pihak keluarga. Punca kematian masih menunggu laporan lengkap makmal,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13507

  • Nahas ragut nyawa penuntut UniSZA: Pemandu Honda Jazz direman 4 hari

    Nahas ragut nyawa penuntut UniSZA: Pemandu Honda Jazz direman 4 hari

    KUALA TERENGGANU 9 Jan: Lelaki yang memandu Honda Jazz dalam kemalangan maut yang mengorbankan seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di simpang empat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, Isnin lalu, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Yuhanis Mohd Roslan, selepas membenarkan permohonan polis untuk melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, suspek lelaki berusia 32 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu kira-kira jam 9.45 pagi dengan berpakaian lokap dan tangan bergari.

    Dalam kejadian sekitar jam 1.38 tengah hari Isnin lalu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, tersepit di dalam kereta Perodua Viva yang dipandunya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Mangsa yang merupakan penuntut Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA, difahamkan sedang dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Terengganu bagi mendapatkan permit mengajar untuk menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah di negeri ini yang dijadualkan bermula Mac depan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Deputi Komisioner Azli Mohd Noor, dipetik berkata siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu mangsa berhenti di lampu isyarat di simpang empat berkenaan.

    Namun, ketika kenderaan itu membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, ia dilanggar sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.

    Kemalangan berkenaan turut menyebabkan pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri serta kecederaan di bahagian tengkuk, dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

    Selain itu, Azli turut dipetik memaklumkan suspek disahkan menghidap major depressive disorder (MDD) dan mempunyai rekod rawatan psikiatri di HSNZ sejak Januari 2025.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13508

  • DAP gesa AGC jelaskan keputusan NFA kes 47 pertuduhan babit Zahid Hamidi

    DAP gesa AGC jelaskan keputusan NFA kes 47 pertuduhan babit Zahid Hamidi

    KUALA LUMPUR 9 Jan – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan jenayah yang sebelum ini dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terus mengundang kritikan dan persoalan berhubung ketelusan serta integriti proses pendakwaan.

    Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh, berkata AGC perlu memberi penjelasan terperinci berhubung keputusan itu kerana ia bukan sahaja gagal menyuntik keyakinan awam, malah menimbulkan persoalan serius mengenai proses siasatan dan pembuatan keputusan.

    Dalam kenyataan, Ramkarpal yang juga bekas timbalan menteri undang-undang berkata, walaupun AGC menyandarkan keputusan tersebut kepada semakan menyeluruh terhadap keterangan sedia ada, agensi itu tidak menjelaskan sama ada ia menilai semula dapatan prima facie Mahkamah Tinggi pada 2023.

    “Dengan segala hormatnya, ini bukan suatu kes di mana tiada sebarang penemuan dibuat,” katanya sambil menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi sebelum ini mendapati wujud kes prima facie terhadap Presiden Umno itu pada akhir kes pendakwaan.

    Beliau berkata, dapatan prima facie tersebut bermakna Ahli Parlimen Bagan Datuk itu secara sah dikehendaki membela diri.

    Pada 4 September 2023, pihak pendakwaan memohon agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kesemua 47 pertuduhan yang dihadapinya.

    Hakim perbicaraan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, kemudian membenarkan DNAA bagi 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

    Ramkarpal mengingatkan bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang bermula pada 2019 itu telah berlangsung hampir empat tahun dan melibatkan keterangan ramai saksi pendakwaan.

    “Melihat kepada keadaan ini, AGC perlu menjelaskan mengapa mereka kini berpendapat bahawa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi tidak lagi relevan, terutamanya apabila dapatan tersebut adalah berdasarkan keterangan mereka sendiri yang dikemukakan di mahkamah,” katanya.

    Beliau memberi amaran bahawa kegagalan memberikan penjelasan yang telus hanya akan menghakis lagi kepercayaan rakyat terhadap AGC dan menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang “tidak wajar”.

    Dalam pada itu, peguam Rajesh Nagarajan turut menggesa AGC menjelaskan alasan di sebalik kenyataan bahawa keterangan terhadap Ahmad Zahid kini didapati “tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan” selepas penelitian terhadap hasil siasatan lanjut dan bahan tambahan.

    Rajesh berkata, meskipun keterangan sebelum ini cukup kukuh sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan wujudnya kes untuk dijawab, selain mewajarkan perbelanjaan awam selama bertahun-tahun, AGC kini mendakwa kes yang sama tidak lagi mampan untuk diteruskan.

    “Percanggahan ini menjejaskan teras keyakinan awam terhadap sistem keadilan. Apa yang lebih membimbangkan, ketiadaan sebarang penjelasan bermakna mengenai apa yang sebenarnya telah berubah,” katanya.

    Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengapa kes berkenaan diteruskan sejauh ini jika sejak awal lagi tiada niat untuk menyelesaikannya.

    “Apabila mahkamah sudah sampai ke peringkat ini, keadilan tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing tanpa sebarang tempoh pasti,” katanya.

    Beliau turut berpandangan situasi berkenaan berpotensi mencetuskan persepsi bahawa wujud keengganan untuk melengkapkan proses perundangan apabila tertuduh merupakan tokoh politik berpengaruh.

    Terdahulu hari ini, AGC mengumumkan bahawa pihaknya mendapati keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid susulan siasatan lanjut, sekali gus memuktamadkan kes yang telah lama berlarutan itu.

    Presiden Umno itu sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah membabitkan pelbagai projek ketika menjawat jawatan menteri dalam negeri antara 2013 hingga 2018.

    AGC sebelum ini juga menafikan dakwaan bahawa reputasi dan kredibilitinya terjejas akibat perintah DNAA terhadap Ahmad Zahid, dengan Peguam Negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Salleh, menegaskan bahawa keputusan sedemikian boleh dibuat walaupun selepas kes prima facie dibuktikan di mahkamah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13509

  • KPM segera kaji keperluan kembalikan UPSR, PT3

    KPM segera kaji keperluan kembalikan UPSR, PT3

    PUTRAJAYA 9 Jan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti semula keperluan untuk mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) susulan perbahasan berterusan dalam kalangan masyarakat berhubung pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diarahkan untuk menjalankan kajian berhubung keperluan mengembalikan peperiksaan berkenaan.

    “Peperiksaan yang disebut itu maknanya yang (masih) berada dalam polemik masyarakat.

    “Saya minta Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad akan memberikan pandangan dan kepercayaan. Ahli-ahli majlis penasihat itu nanti akan membincangkan,” katanya pada sidang medianya selepas menyampaikan amanat Tahun Baru di KPM.

    Fadhlina berkata, hasil kajian itu kemudiannya akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk pertimbangan dan keputusan lanjut.

    Sebelum ini, terdapat desakan daripada beberapa pihak supaya KPM mengembalikan UPSR dan PT3 yang dimansuhkan pada 2022, dengan dakwaan ketiadaan peperiksaan berkenaan menyumbang kepada keciciran pelajar serta memberi kesan terhadap prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Bagaimanapun, pada 22 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 dimansuhkan.

    Menurut beliau, analisis keputusan SPM bagi dua tahun berturut-turut, iaitu 2023 dan 2024, menunjukkan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu tidak memberi sebarang impak negatif terhadap prestasi pelajar.

    Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut mengulas jangkaan kenaikan tambang bas sekolah dengan memaklumkan perkara itu akan dibincangkan di peringkat Kabinet.

    “Itu baru jangkaan. Saya akan bawa dan bincang dalam Kabinet nanti dan kita lihat secara keseluruhan,” katanya.

    Terdahulu, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan tambang bas sekolah berkemungkinan dinaikkan susulan peningkatan kos operasi termasuk insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.

    Presidennya, Amali Munif Rahmat, berkata sebarang kenaikan tambang bergantung sepenuhnya kepada keputusan pengusaha bas sekolah memandangkan kerajaan sejak 2015 memutuskan untuk tidak mengawal selia atau menetapkan had siling tambang.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13510

  • ‘Rakyat berhak rasa kecewa apabila pihak berkuasa salah guna kedudukan, berasuah’ – Agong

    ‘Rakyat berhak rasa kecewa apabila pihak berkuasa salah guna kedudukan, berasuah’ – Agong

    KUALA LUMPUR 9 Jan – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dipelihara serta dipertahankan.

    Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah kedua-dua aspek dalam Rukun Negara itu amat penting kerana memberi kesan secara langsung terhadap tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.

    “Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah Sultan Ibrahim.

    Titah berkenaan dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Sri Azalina Othman Said di ibu negara hari ini.

    Pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu-isu semasa mengenai perundangan dalam negara selain usaha pengukuhan tatakelola serta pelaksanaan reformasi institusi ke arah memerangi rasuah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13511

  • Osteoporosis lazim disedari hanya setelah tulang patah

    Osteoporosis lazim disedari hanya setelah tulang patah

    TULANG pinggul patah kerana tergelincir ketika ingin membetulkan langsir.

    Itulah situasi yang dihadapi oleh seorang warga emas, Rokiah Hashim.

    “Saya hanya tergelincir sedikit, kemudian terjatuh, dan impaknya tidak terlalu kuat.

    “Tetapi saya tidak boleh bangun semula pada waktu itu dan berasa sakit pada bahagian pinggul,” ujar wanita berusia 60-an itu.

    Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa tulang pinggul Rokiah patah dan dia perlu menjalani pembedahan memasukkan besi bagi membolehkannya berjalan semula.

    Tulang pinggulnya patah disebabkan masalah osteoporosis ataupun penyakit tulang rapuh.

    Sering digelar ‘penyakit senyap’, osteoporosis tanpa disedari melemahkan tulang dari semasa ke semasa.

    Ia tidak menunjukkan sebarang tanda sehinggalah berlaku patah, selalunya akibat terjatuh yang kelihatan seperti tidak berbahaya.

    Pakar Perunding Geriatrik di Pusat Bandar Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Edward Chong Kah Chun berkata, osteoporosis tidak menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran yang ketara.

    Menurutnya, kebanyakan pesakit didiagnosis hanya selepas mengalami kepatahan ‘fragiliti’ (fragility fracture) disebabkan oleh jatuh atau impak kecil yang biasanya tidak akan mencederakan tulang sihat.

    “Ketika itu, penyakit tersebut sudah pun menyebabkan kerosakan.

    “Kepatahan yang paling lazim berkaitan osteoporosis atau kepatahan fragiliti berlaku pada pinggul, tulang belakang, dan pergelangan tangan, di mana setiap satunya mempunyai kesan serius,” katanya.

    Tambahnya, kepatahan pinggul adalah yang paling teruk kerana sering menyebabkan ketidakupayaan bergerak berpanjangan.

    Dalam pada itu, kepatahan tulang belakang pula boleh menyebabkan sakit belakang yang berterusan dan kerengsaan saraf.

    Ia kadangkala berlaku akibat pergerakan yang sangat ringan seperti duduk terlalu cepat.

    Sementara itu, biarpun kurang mengancam nyawa, namun kepatahan pergelangan tangan boleh menyukarkan tugas harian seperti berjalan, memakai pakaian atau mandi, terutamanya jika tangan dominan yang terjejas.

    Dr. Edward menjelaskan, selain kesakitan fizikal, osteoporosis juga boleh memberi kesan emosi.

    “Ramai pesakit mengalami ‘ketakutan jatuh’ atau fear of falling.

    “Mereka akan hilang keyakinan untuk berjalan atau keluar rumah, sekali gus membawa kepada kelemahan otot dan pengasingan diri,” ujarnya.

    Tambahnya, masalah itu akan bertambah mudarat kerana semakin kurang bergerak, semakin lemah keadaan mereka.

    Untuk makluman, masalah osteoporosis semakin meningkat di Malaysia disebabkan oleh perubahan diet dan gaya hidup.

    Dr. Edward berkata, diet tempatan beraneka jenis dan enak, tetapi tidak seimbang.

    “Ramai tidak mengambil makanan dengan kalsium yang mencukupi seperti susu, keju, yogurt, tauhu atau sayur-sayuran.

    “Kekurangan vitamin D juga semakin meningkat kerana kita mengelak daripada cahaya matahari meskipun Malaysia beriklim tropika,” katanya.

    Kurang pendedahan kepada cahaya matahari bermaksud kurangnya vitamin D yang penting untuk penyerapan kalsium.

    Makanan seperti salmon, tuna, ikan bilis dan cendawan boleh membantu, tetapi cahaya matahari di waktu pagi kekal sebagai sumber semula jadi vitamin D yang terbaik.

    “Wanita menghadapi risiko yang lebih tinggi selepas menopaus apabila paras estrogen menurun.

    “Bagaimanapun, lelaki juga boleh menghidap osteoporosis, terutamanya jika mereka mempunyai diet kurang baik seperti merokok atau mengambil ubat-ubatan tertentu untuk tempoh lama,” tambah Dr. Edward.

    Merujuk kepada Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia mengenai Pengurusan Osteoporosis 2022, Dr. Edward mengesyorkan saringan dalam beberapa situasi.

    “Mereka yang mengalami kepatahan trauma rendah seperti jatuh dari ketinggian berdiri, harus disaring dengan serta-merta.

    “Saringan juga dinasihatkan untuk wanita berumur 50 tahun ke atas dan lelaki berumur 70 tahun ke atas, walaupun mereka kelihatan sihat,” jelasnya.

    Biasanya, ujian standard adalah imbasan DEXA (dual-energy x-ray absorptiometry), iaitu ujian ringkas dan tidak invasif yang mengukur ketumpatan mineral tulang.

    Dr. Edward berkata, ujian itu terdapat di kebanyakan hospital dan beberapa klinik pakar.

    “Kami menggalakkan penilaian awal kerana ia membolehkan tindakan diambil sebelum kepatahan serius berlaku. Ia juga dapat meningkatkan keselamatan pesakit, kualiti penjagaan dan pemulihan jangka panjang,” jelasnya.

    Rawatan untuk osteoporosis biasanya menggabungkan pelarasan gaya hidup dengan ubat-ubatan.

    “Nutrisi adalah asas, dan kami menggalakkan pesakit mengambil kira-kira 1,000 miligram kalsium dan 800 IU vitamin D setiap hari.

    “Jika diet sahaja tidak mencukupi, suplemen boleh dipreskripsikan,” jelas Dr. Edward.

    Aktiviti fizikal yang kerap juga sama penting untuk merangsang pertumbuhan tulang.

    Kita perlu melakukan aktiviti yang kerap seperti angkat berat, berjalan, berjoging dan senaman daya tahan yang ringan.

    Bagi pesakit yang mengalami tulang rapuh teruk, ubat oral perlu diambil untuk menguatkan tulang.

    Bagi kes lebih teruk, terdapat rawatan suntikan atau infusi yang boleh diberikan secara bulanan atau tahunan bergantung kepada keadaan pesakit.

    Terapi berkenaan sangat berkesan apabila digabungkan dengan pemeriksaan susulan dan amalan gaya hidup sihat.

    Dr. Edward menjelaskan, ahli keluarga memainkan peranan penting untuk keselamatan pesakit.

    “Perubahan ringkas seperti membuang permaidani yang licin, mempertingkatkan pencahayaan dan memasang palang pemegang di bilik mandi boleh memberi perbezaan ketara.

    “Jangan halang mereka daripada bergerak kerana anda takut mereka jatuh.

    “Sebaliknya, berjalanlah bersama mereka, sediakan makanan berkhasiat, dan temani mereka ke janji temu perubatan,” katanya.

    Menurut Dr. Edward, kesedaran awam amat penting dan pencegahan osteoporosis bermula pada usia muda dengan nutrisi yang baik, pendedahan pada cahaya matahari dan pergerakan.

    “Inisiatif komuniti seperti sesi senaman berkumpulan, kelab berjalan kaki atau bengkel nutrisi boleh mendatangkan manfaat yang besar.

    “Mulakan penjagaan tulang anda sejak awal usia.

    “Apabila usia meningkat, kita perlu mengekalkan kebebasan dan mobiliti. Tulang yang kuat merupakan asas bagi tujuan ini,” katanya.

    Tambahnya, jangan tunggu sehingga terjatuh baru kita ingin menghargai tulang yang dimiliki.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/09/osteoporosis-lazim-disedari-hanya-setelah-tulang-patah/

  • Flight Mode Pesawat sudah aktif, sedia terbang tinggi

    Flight Mode Pesawat sudah aktif, sedia terbang tinggi

    LANGIT muzik tempatan kembali meriah apabila sebuah kumpulan indie rock memilih untuk tidak hanya berlegar, sebaliknya menekan butang berani menuju altitud baharu.

    Dalam dunia bunyi dan emosi, setiap penerbangan memerlukan keberanian dan Pesawat kini bersedia berlepas dengan misi lebih besar, matang dan jujur.

    Selepas dua dekad meniti perjalanan seni, kumpulan ini tampil mengumumkan pelancaran album studio terbaharu berjudul Flight Mode, sekali gus menandakan fasa evolusi paling signifikan dalam karier mereka.

    Album tersebut menjadi simbol kematangan bunyi, keberanian bereksperimen serta kejujuran emosi, disokong penuh oleh Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran Domestik 2.0 sebagai pemangkin utama penerbitan naskhah terbabit.

    Pesawat kini dianggotai Jipie selaku vokalis, gitaris, pemain piano serta synthesizer, disokong Mie (gitar, vokal latar), Mann (bes) dan Jun (dram), sebuah barisan mantap yang menjadi nadi perjuangan.

    Diterbitkan Jipie bersama anggota lain, Flight Mode hadir sebagai album dwibahasa Bahasa Melayu dan Inggeris dengan 14 buah lagu sekali gus mengangkat konsep sebuah ‘penerbangan’ lengkap.

    Single pertama berbahasa Inggeris, Levitation, diikuti Burung Besi sebagai single kedua, memperlihatkan identiti Pesawat kekal melankolik serta atmosferik, namun disulami pendekatan produksi lebih luas dan kemas.

    Menurut Jipie, album tersebut akhirnya berjaya disempurnakan selepas melalui tempoh panjang pembinaan material serta proses rakaman pantas meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan.

    “Flight Mode adalah hadiah buat penantian panjang peminat setia PSWT, atau Passengers, selain menjadi perayaan ulang tahun ke-20 Pesawat. Banyak hal perlu kami tempuhi sebelum album ini benar-benar bersedia untuk dilepaskan.

    “Apapun tanpa sokongan kerajaan melalui dana, perjalanan album ini mungkin tidak sampai ke destinasi. Kami sangat bersyukur kerana kini Flight Mode boleh diperdengarkan kepada semua,” katanya kepada HibGlam.

    Album tersebut turut diperkaya dengan kolaborasi istimewa bersama Emmett daripada Butterfingers menerusi Levitation, Black Hanifah dalam Burung Besi, Joanna Renisa (Joanna & Co.) menerusi Gravity serta Mann XIII dari Electric Funeral (G-Force).

    Tidak ketinggalan sumbangan pemuzik Pa’ang (perkusi), Killah Z (scratcher) dan Anderson Kalang yang memperdengarkan alunan sapé pada lagu terpilih, menjadikan keseluruhan karya lebih bertekstur dan berjiwa Nusantara.

    Dalam pada itu, Pesawat turut membuka ruang kepada kolaborasi masa depan, termasuk impian besar bekerjasama dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

    “Saya memang meminati Siti dan hasrat itu sudah lama tersimpan. Beliau kekal relevan merentasi generasi dan itu sesuatu yang sangat kami hormati,” jelasnya.

    Tidak terhenti di situ, kumpulan tersebut turut menyatakan minat terhadap pengaruh muzik K-pop serta potensi gabungan rentak moden bersama elemen rock tempatan.

    “Kami meminati muzik K-pop dan melihat elemen ‘catchy’ serta pantas dalam muzik kumpulan seperti Dolla. Pesawat juga memiliki elemen serupa. Jika bergandingan, kami boleh menggabungkan rock dan K-pop.

    “Kami terbuka bekerjasama dengan pelbagai jenis penyanyi, tetapi kolaborasi itu mesti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, bukan sekadar menyanyi di bahagian korus,” jelasnya.

    Single Flight Mode akan dilancarkan pada awal dan pertengahan bulan ini, manakala album penuh dijadualkan menemui para pendengar pada 30 Januari 2026.

    Bagi meraikan pelancaran tersebut, Pesawat akan memulakan Jelajah Showcase Flight Mode bermula di Johor Bahru pada 31 Januari diikuti Ipoh (7 Februari 2026) dan kemudian disusuli lokasi lain termasuk Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Miri, Kota Kinabalu dan kemuncak jelajah di Kuala Lumpur.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/09/flight-mode-pesawat-sudah-aktif-sedia-terbang-tinggi/

  • Man. City belum layak menang EPL

    Man. City belum layak menang EPL

    MANCHESTER – Pep Guardiola mengakui kegagalan Manchester City menyudahkan peluang menjadi punca utama mencatat tiga keputusan seri berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk terikat 1-1 menentang Brighton di Etihad awal pagi semalam.

    City sebelum itu turut berkongsi mata berdepan Chelsea dan Sunderland, satu situasi yang boleh menjarakkan mereka lebih jauh daripada pendahulu liga, Arsenal meskipun merekodkan 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

    Dalam perlawanan menentang Brighton, City jelas menguasai permainan dengan 22 percubaan berbanding hanya enam milik pelawat, namun dominasi itu gagal diterjemahkan kepada kemenangan, sesuatu yang diakui Guardiola sebagai realiti pahit yang perlu diterima.

    “Ia bukan soal layak atau tidak untuk menang. Keputusan tetap keputusan. Satu mata untuk mereka, satu mata untuk kami. Begitulah keadaannya,” kata Guardiola.

    Pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan corak permainan City memberangsangkan, malah hampir sama seperti perlawanan sebelum ini, namun kegagalan melakukan hantaran terakhir dan penyudah menjadi faktor penentu.

    “Sama seperti separuh masa kedua menentang Sunderland. Menentang Chelsea, kami mungkin kurang peluang jelas, tetapi kami gagal melakukan hantaran tepat ketika situasi dua lawan satu,” katanya.

    Mengulas kesan keputusan seri itu terhadap peluang kejuaraan, Guardiola menegaskan pasukannya tidak boleh terlalu jauh memikirkan gelaran jika gagal memenangi perlawanan.

    “Jika tidak menang, anda tidak boleh bercakap tentang perkara seperti itu. Kami bermain sangat baik, terutama separuh masa kedua dan 15 hingga 20 minit terakhir, kami mempunyai peluang yang luar biasa, tetapi kami gagal menyudahkannya,” katanya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/09/man-city-belum-layak-menang-epl/

  • Kenali wanita pertama Malaysia pandu monorel 4 gerabak

    Kenali wanita pertama Malaysia pandu monorel 4 gerabak

    KUALA LUMPUR – Setiap pagi ketika kebanyakan warga kota masih lena dibuai mimpi, seorang wanita berusia 33 tahun sudah pun berada di kokpit tren monorel untuk menggalas amanah membawa ribuan penumpang ke destinasi masing-masing. Tanggungjawab itu dipikul Fa­ra Umira Abd. Halim dengan statusnya sebagai wanita pertama di Malaysia yang bekerja sebagai pemandu tren monorel empat ge­rabak. Menurut wanita berasal dari Kuala Lumpur itu, kerjaya sebagai pemandu tren monorel kebia­saannya sinonim dengan kaum lelaki, namun dia tetap cekal meneroka bidang tersebut……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/09/kenali-wanita-pertama-malaysia-pandu-monorel-4-gerabak/

  • Ibu bapa mengeluh, wajib beli seluar trek nama sekolah

    Ibu bapa mengeluh, wajib beli seluar trek nama sekolah

    PETALING JAYA- Tular di laman kumpulan WhatsApp sekolah, ramai ibu bapa mengeluh apabila sekolah mewajibkan pelajar memakai seluar sukan atau trek yang mempunyai nama sekolah.

    Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, dia terpaksa menyediakan seluar berkenaan kepada tiga orang anaknya yang bersekolah di tempat yang sama.

    “Masalahnya tak ada notis pemberitahuan awal, sehelai RM28, saya ada tiga orang anak. Seluar trek saya dah belikan sebelum ini. Sehelai tak cukup, kena beli dua helai untuk seorang.

    “Saya tanya sekolah, sekiranya dah ada seluar dan tak pakai yang ada nama sekolah, mereka cakap tak boleh sebab nak seragam.

    “Kalau tak ada, anak saya hanya boleh pakai pakaian seragam sekolah sahaja,” ujarnya.

    Rata-rata ibu bapa sekolah berkenaan turut memgeluh kerana persiapan sudah ada yang buat awal.

    “Habis kita dah beli, banyak nak pakai wang ni. Nak puasa nak raya lagi,” luah seorang penjaga.

    “Memang la orang kata yang dah beli tu boleh pakai bila-bila, tapi kami ibu bapa nak sediakan tu. Saya ada dua anak yang baru naik sekolah menengah, persiapan semua perlu yang baru,” kata seorang lagi penjaga.-KOSMO! ONLINE.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/08/ibu-bapa-mengeluh-wajib-beli-seluar-trek-nama-sekolah/