Ahli politik Singapura dari People’s Power Party (PPP), Derrick Sim, memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menyifatkan beliau sebagai antara Perdana Menteri terbaik yang pernah dimiliki Malaysia sejak sekian lama.
Pujian itu dinyatakan dalam satu hantaran Facebook yang turut menyentuh prestasi ekonomi Malaysia, khususnya lonjakan pelaburan langsung asing (FDI) serta pengukuhan nilai Ringgit berbanding Dolar Singapura (SGD).
“Pada pandangan saya, Datuk Seri Anwar benar-benar antara Perdana Menteri terbaik yang pernah dimiliki Malaysia sejak sekian lama,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Derrick Sim turut berseloroh meminta Perdana Menteri agar tidak bekerja terlalu keras.
“Baru dua minggu lalu, kadar pertukaran SGD kepada Ringgit sekitar 3.18, sekarang sudah 3.15. Kalau Ringgit terlalu kuat, nanti orang Singapura datang Malaysia pesan roti canai kosong sahaja, lepas itu terus balik. Ramai antara kami masih berjimat cermat,” katanya secara berseloroh.
Mengulas lanjut, Derrick Sim berkata meskipun kurang diberi perhatian oleh media arus perdana, FDI Malaysia meningkat sebanyak 47 peratus sepanjang tahun ini, melibatkan aliran masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit.
Menurutnya, dekad ini merupakan peluang besar buat Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan ekonominya di rantau ini.
Katanya, syarikat multinasional global kini sedang memindahkan rantaian bekalan mereka secara besar-besaran keluar dari China dan Malaysia muncul sebagai destinasi pelaburan yang seimbang serta strategik.
“Malaysia tidak semahal Singapura, tetapi lebih stabil dan boleh dipercayai dari segi institusi berbanding Vietnam. Ditambah pula dengan ekosistem semikonduktor yang sudah matang, Malaysia menjadi destinasi yang sangat menarik,” katanya.
Beliau berkata potensi kejayaan Malaysia adalah tinggi, khususnya jika hala tuju dasar semasa terus dikekalkan secara konsisten.
Mengulas prestasi mata wang, Derrick Sim menjangkakan Ringgit berpotensi terus mengukuh berbanding Dolar Singapura, termasuk kemungkinan bergerak ke paras 3.0X atau menembusi bawah paras psikologi 3.0 dalam tempoh 18 bulan akan datang.
Katanya, situasi itu turut dipengaruhi oleh langkah Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang kini melonggarkan dasar monetari, sekali gus memberi tekanan ke atas nilai SGD.
“Dengan kedua-dua faktor ini bergerak serentak, Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding Dolar Singapura,” katanya.
Sebagai perbandingan, beliau mengingatkan bahawa pada September tahun lalu, kadar pertukaran masih berada sekitar 3.3 Ringgit bagi satu Dolar Singapura.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa perubahan besar kadar pertukaran mata wang adalah mustahil, sambil merujuk sejarah di mana pada era 1990-an, nilai Pound Sterling pernah diniagakan pada kadar tiga kali ganda berbanding Dolar Singapura.
“Kadar pertukaran bukan sesuatu yang statik. Apabila asas ekonomi berubah, mata wang juga akan berubah,” katanya.
Hantaran yang dibuat oleh beliau turut tular di media sosial dan meraih perhatian netizen.
🔗 Source: https://thereporter.my/ahli-politik-singapura-puji-kepimpinan-pm-anwar/









