Category: RoketKiNi

  • ‘Kalau PH salah guna kuasa, saya dah naik helikopter’

    ‘Kalau PH salah guna kuasa, saya dah naik helikopter’

    Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membidas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) melakukan “rompakan di siang hari” dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands. “Jika Pakatan Harapan salah guna kuasa dan salah guna sumber kerajaan, saya tidak akan terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang Tahun Baharu, kerana sudah pasti akan dihantar sebuah helikopter untuk membawa keluar saya dari kampung tersebut.

    “Bayangkan jika Najib masih perdana menteri dan terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi lama pada ambang Tahun Baharu, terputus dari dunia luar? Tidak dapat dibayangkan! “Namun, tidak ada helikopter yang mengangkut saya keluar dari Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang Tahun Baharu, sekaligus bukti paling kukuh bahawa Pakatan Harapan tidak seperti Umno atau Barisan Nasional,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini. Sebelum ini, Kit Siang berkata, PH melakukan “keajaiban” jika menang PRK Cameron Highlands kerana kerusi itu sekian lama menjadi deposit tetap BN. Namun, Annuar Musa memperkecilkan kenyataan itu dengan mendakwa kononnya PRK itu diadakan di atas “padang yang tidak rata” dan mendakwa PH melakukan “rompakan siang hari” dalam PRK itu.

    Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

  • Pemimpin muda DAP rayu PTPTN tangguh laksana skim potongan gaji berjadual

    Pemimpin muda DAP rayu PTPTN tangguh laksana skim potongan gaji berjadual

    Kami terkejut dengan pengumuman dasar pembayaran balik pinjaman yang diumumkan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan semalam di mana beliau telah memperkenal skim potongan gaji di antara 2% sehingga 15% berdasarkan pendapatan peminjam atau dikenali sebagai PGB. Dasar ini telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan anak muda dan peminjam PTPTN kerana potongan gaji ini jelas membebankan para peminjam. Skim PGB ini secara langsung mengganggu pelan pembayaran PTPTN sedia ada dan bakal membebankan mereka yang patuh membayar PTPTN secara konsisten selama ini.

    Kadar yang diperkenalkan itu hanya bersandarkan kepada gaji semata-mata. Skim PGB ini tidak mengambil kira komitmen lain peminjam antaranya potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan kos pendidikan anak-anak dan lain-lain. Tambahan pula, kebanyakan mereka yang mendapat gaji sebanyak RM5,000 ke atas, mempunyai keluarga yang perlu diambil kira dalam menetapkan kadar optimum pembayaran semula PTPTN. Perlu diingatkan bahawa kebanyakan peminjam ini adalah mereka yang tinggal di bandar dan berada dalam kumpulan M40. Mereka ini adalah golongan yang tidak mendapat subsidi bersasar dan pada masa yang sama terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Skim PGB ini bakal mengurangkan pendapatan boleh guna (disposable income) mereka dan membawa malapetaka kepada kewangan mereka. Skim PGB ini jelas bermasalah dan perlu dikaji semula. Kadar pembayaran sebanyak 5% ke atas adalah terlalu tinggi dan bakal membebankan pembayar.

    Kumpulan gaji yang ditetapkan juga terlalu sempit. Setelah menjanjikan penangguhan bayaran PTPTN bagi yang berpendapatan RM4,000 ke bawah di dalam Manifesto Pakatan Harapan, golongan ini sepatutnya sekurang-kurangnya dikenakan kadar bayaran balik yang lebih rendah sebanyak 2%. Skim PGB juga perlu mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak menghukum pembayar patuh PTPTN selama ini. Kita memahami kewangan semasa negara dan hutang yang tinggi ditanggung oleh PTPTN, namun ia bukan alasan untuk mereka dipaksa membayar lebih. Hal ini jelas bercanggah dengan manifesto asal PH yang mahu memastikan pembayaran balik dilunaskan tanpa menzalimi peminjam. Sekiranya kita tidak mampu melaksanakan janji PTPTN seperti di dalam manifesto, sekurang-kurangnya kita mestilah berpegang kepada semangat dan tujuan janji kita. Kami faham bahawa setiap hutang perlu dibayar semula. Namun pinjaman PTPTN bukanlah seperti pinjaman lain. Ia adalah pinjaman pendidikan yang perlu diambil oleh pelajar jika mereka tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Pinjaman PTPTN bukanlah satu pilihan tetapi satu keperluan.

    Kami mendesak PTPTN mengkaji semula keseluruhan skim PGB ini agar ia lebih komprehensif dan tidak membebankan anak muda dan golongan M40. Kami menyeru pertimbangan wajar dari Pengerusi PTPTN untuk mengambil langkah segera untuk menangguhkan skim ini dan berbincang dengan pemegang-pemegang taruh sebelum mengumumkan polisi baru yang lebih adil.

  • Masalah kewangan Utusan Malaysia, UMNO perlu bertanggungjawab  kata Kit Siang

    Masalah kewangan Utusan Malaysia, UMNO perlu bertanggungjawab kata Kit Siang

    Majlis Tertinggi UMNO perlu memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah kewangan lidah rasminya, Utusan Malaysia. Gesaan tersebut dibuat Lim Kit Siang, sebagai reaksi terhadap pelantikan Aziz Sheikh Fadzir sebegai pengerusi eksekutif Utusan Melayu Bhd, bagi memulihkan syarikat milik UMNO itu. “Tiada siapa tahu kalau pulangnya Aziz ke Utusan akan dapat memulihkan akhbar itu. Tetapi saya bersetuju dengan Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Basir Abu Bakar, yang juga seorang wartawan Utusan; bahawa siapa sahaja yang mempengerusikan syarikat tersebut, harus komited untuk menyelamatkan Utusan,” jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataannya.

    Kit Siang menegaskan bahawa wartawan Utusan Malaysia tidak boleh dijadikan kambing hitam akibat ketidakcekapan dan kleptokrasi alaman UMNO. “Majlis Tertinggi UMNO tidak boleh dibiar melarikan diri daripada tanggungjawabnya ke atas wartawan Utusan Malaysia,” tegas beliau. Tambahnya, kekalahan UMNO dalam PRU14 tidak boleh dijadikan alasan untuk memecat wartawan Utusan, kecuali jika UMNO sendiri mahu dibubarkan. Kit Siang menyatakan sokongan jelas kepada tuntutan Gerakan Media Merdeka (Geramm) kepada pengurusan Utusan Malaysia agar membela nasib wartawan dan bekas stafnya yang telah banyak berkorban demi akhbar Bahasa Melayu tertua itu. Aziz sebelum ini telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi eksekutif Utusan, selepas hanya enam bulan berkhidmat.

    Utusan dijangka menyelesaikan pembayaran skim pembenhetian sukarela (VSS) kepada sejumlah pekerjanya menjelang hujung minggu ini, setelah dilaporkan gagal berbuat demikian kepada 700 pekerja pada 25 Disember. Utusan dilaporkan menghadapi masalah kewangan semenjak UMNO tewas dalam pilihanraya Mei tahun lalu. UMNO memiliki 51% pegangan dalam Utusan Melayu Bhd.

  • DAP berdepan laluan sukar tawan Cameron Highlands, kata Kit Siang

    DAP berdepan laluan sukar tawan Cameron Highlands, kata Kit Siang

    DAP berdepan laluan sukar untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata pemimpin veteran parti, Lim Kit Siang. Ini kerana, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, kerusi tersebut sejak sekian lama menjadi “deposit tetap” Barisan Nasional. Pun begitu, katanya, peluang untuk DAP merampas kerusi tersebut cerah sekiranya parti mampu mengekalkan sokongan kaum Cina dan India, serta meningkatkan lagi undi dari kaum Melayu dan Orang Asli.

    “Jika kita mampu melakukannya (menang PRK Cameron Highlands), maka jentera pilihan raya DAP/Pakatan Harapan di Cameron Highlands melakukan satu ‘keajaiban’,”katanya. Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

  • Solidariti Dengan Ketua ARMADA  Tegas Tolak Budaya Ambil Kontrak

    Solidariti Dengan Ketua ARMADA Tegas Tolak Budaya Ambil Kontrak

    Kenyataan Media Bersama Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP (AJK DAPSY) Leong Yu Sheng, Tan Tiong Yih dan Woo Kah Leong pada 30.12.2018. Kami menyokong penuh kenyataan Ketua ARMADA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menegur perwakilan PPBM yang meminta kontrak daripada kerajaan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ke-2. Saudara Syed Saddiq telah mengecam sesetengah perwakilan PPBM yang telah menggunakan pentas perhimpunan agung untuk meminta kontrak daripada kerajaan. Malah saudara Syed Saddiq turut menyentuh bahawa dahulunya UMNO pun tidak pernah membangkitkan isu kontrak di khalayak ramai dan beliau turut bertanyakan di manakah maruah mereka.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/291452761715576/

    Sesungguhnya budaya kontrak dan amalan kronisme merupakan sebab utama kejatuhan rejim UMNO BN dalam PRU yang lepas. Dahulunya kebanyakan pemimpin UMNO mengejar kekayaan melalui wadah perolehan kontrak dan inilah yang menyebabkan rakyat jelata secara umumnya membenci akan UMNO dan seterusnya menolak UMNO BN apabila tibanya hari pengundian. “Pemimpin Pakatan Harapan, tidak kiranya daripada parti apa mahupun pemimpin peringkat mana-manapun, harus menunjukkan perbezaan mereka dengan rejim UMNO BN dalam berpolitik. Pemimpin kerajaan baharu tidak seharusnya mengulangi kesilapan rejim terdahulu yang telah terjerumus dalam budaya pemberian kontrak kepada kroni-kroni,” ujar ketiga-tiga AJK DAPSY tersebut.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/2069427609790499/

    Kami menyeru semua pemimpin Pakatan Harapan untuk menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan memastikan bahawa tiadanya budaya pengambilan kontrak untuk kepentingan diri sendiri ataupun pemberian kontrak kepada kroni untuk sebarang projek kerajaan lantaran rakyat sedang menilai dan kerajaan Pakatan Harapan tidak harus membiarkan barah ambil kontrak yang merebak dalam kalangan UMNO BN untuk sesekalipun wujud dalam Pakatan Harapan.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/2254733994784324/

  • YB Nga Kor Ming menjaga semua sekolah di bawah parlimen Teluk Intan

    YB Nga Kor Ming menjaga semua sekolah di bawah parlimen Teluk Intan

    Teluk Intan – YB Nga Kor Ming merupakan seorang wakil rakyat yang amat mementingkan aspek pendidikan lantaran pendidikan merupakan teras utama pembangunan negara dan pendidikan bolehlah mengubah nasib seseorang untuk menjadi lebih baik serta menyumbang kepada masyarakat. Sehubungan dengan itu, YB Nga Kor Ming menjaga semua sekolah di bawah parlimen Teluk Intan dengan baik sekali. Sejak kemenangan pada 9 Mei lalu, pasukan khidmat YB Nga Kor Ming telah menjejaki hampir kesemua sekolah untuk meninjau keadaan sekolah.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/427180931151787/

    Daripada SJK (T) Ladang Sungai Timah yang berlokasi di luar bandar kepada SJK (T) Ladang Batak Rabit di Kampung Banjar serta kedua-dua sekolah Nova Scotia sehinggalah SJK (T) Ladang Selaba dan SJK (T) Ladang Sussex, YB Nga Kor Ming telah memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah tersebut sebaik sahaja menerima surat permohonan. Untuk SJK (T) Natesa Pillay, YB Nga Kor Ming telah memberikan sumbangan sebanyak RM20,000.00 kepada sekolah tersebut selepas mengetahui bahawa sekolah ladang tersebut yang berlokasi di Batu 12 memerlukan bantuan untuk membaikpulih sekolah yang usang.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/372128470228948/

    Bagi SJK (T) Thiruvalluvar yang memerlukan sebuah tabika serta SJK (T) Sithambaram Pillay yang memerlukan sebuah dewan tertutup, YB Nga Kor Ming turut memberikan bantuan segera RM10,000.00 kepada kedua-dua sekolah tersebut. Bukan sahaja peruntukan parlimen, malah YB Nga Kor Ming turut berjaya memperoleh RM5,000.00 daripada Kerajaan Negeri Perak kepada SJK (T) Thiruvalluvar baru-baru ini. YB Nga Kor Ming turut menyerahkan bantuan khas kerajaan negeri Perak yang berjumlah sebanyak RM18,045 kepada 5 sekolah bantuan kerajaan Tamil parlimen Teluk Intan pada 23.11.2018.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/2254733994784324/

    Pasukan YB Nga Kor Ming di bawah pimpinan Penyelaras Parlimen Teluk Intan Woo Kah Leong turut sentiasa berada di padang untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya masyarakat India. Sumbangan telah disalurkan kepada golongan tersebut dari semasa ke semasa untuk meringankan beban kehidupan mereka. Walaupun negara kita menghadapi kekangan ekonomi akibat rasuah rejim UMNO BN, namun kerajaan baharu Pakatan Harapan khususnya YB Nga Kor Ming tidak pernah melupai warga Teluk Intan khususnya masyarakat India yang menyokong penuh Pakatan Harapan pada 9 Mei yang lalu dan kerajaan Pakatan Harapan akan terus membela semua tanpa berbilang kaum, agama dan latar belakang.

    Gambar 1: YB Nga Kor Ming telah menyerahkan cek peruntukan kepada guru besar SJK (T) Thiruvalluvar.
    Gambar 2: Woo Kah Leong (kanan) telah mewakili YB Nga Kor Ming untuk menghulurkan bantuan kepada golongan warga emas di Teluk Intan
  • UMNO janganlah jadi parti lembik

    UMNO janganlah jadi parti lembik

    Asas prinsip demokrasi adalah pertarungan di antara pihak mana yang memiliki undi terbanyak. Hanya beberapa bulan selepas kekalahan PRU 14, kita dapat lihat segerombolan pihak lawan menyertai Pakatan Harapan. UMNO tak usah membuang masa berbincang dengan pelbagai pihak demi ‘survival’ parti tersebut. Terimalah hakikat dengan rela hati dan kerjalah dengan kuat untuk rakyat supaya mendapat kepercayaan semula.

    Umum mengetahui bahawa 52 tahun DAP menjadi parti pembangkang. Namun kami mampu memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat tanpa mengira bilangan kerusi di Parlimen atau DUN mana-mana negeri atau keupayaan kewangan. Selama ini UMNO cuba menimbulkan momokan bahawa Sdr. Lim Kit Siang adalah seorang rasis yang jahat khususnya kepada orang Melayu sekaligus menimbulkan naratif bahawa beliau ingin menjadi Perdana Menteri namun beliau tidak berminat untuk memasuki jemaah menteri dan cuma ingin menjadi ahli parlimen sahaja. Sekarang Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menyatakan sokongan UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bersama beberapa syarat. Siapakah Nazri untuk membuat syarat dengan bilangan Ahli Parlimen yang semakin mengecil?

    Sebelum PRU ke 14 lagi perjanjian di antara parti-parti Pakatan Harapan telah dimuktamadkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri ke-8 pada tahun 2020 nanti. Sokongan dari PH sudah memadai. Kami tidak perlukan UMNO. Kami juga ingin menyatakan bahawa DAP tidak akan sesekali bekerjasama dengan UMNO. Kami tidak akan melupakan kesusahan yang
    ditimbulkan oleh UMNO kepada parti DAP selama ini. Pengalaman ini hanya akan membuatkan parti DAP lebih kuat dan memastikan kami tidak mengikut jejak langkah UMNO. Adalah lebih baik jika UMNO mulai cerminkan diri sendiri dan insaf akan keburukan yang dilakukan sepanjang tempoh di tampuk kuasa. Jika tidak ingin sedar diri maka biarlah UMNO dikuburkan dengan sendiri.

    (Muhammad Shakir Ameer ialah Naib Ketua Pemuda DAP Kebangsaan)

  • Lompat parti: PH harus tunjuk contoh, buktikan komitmen pulihkan integriti negara

    Lompat parti: PH harus tunjuk contoh, buktikan komitmen pulihkan integriti negara

    Tindakan empat Ahli Parlimen, dua Senator dan sembilan ADUN serta beberapa ketua bahagian UMNO Sabah pada hari Rabu telah mencetuskan gelombang di seluruh negara. Timbul persoalan sama ada sudah tiba musim lompat parti, kali ini dari UMNO ke parti-parti lain. Tapi persoalan paling penting bukanlah tentang UMNO, tapi Pakatan Harapan; sama ada ia telah hilang komitmen membanteras rasuah dan segala jenis salahguna kuasa yang telah semakin memburuk di zaman pentadbiran Najib sehinggakan Malaysia menjadi bahan ketawa dunia, dan dikutuk sebagai sebuah kleptokrasi global.

    Atas sebab ini, kepimpinan Pakatan Harapan mesti memberi contoh bagi Malaysia Baharu untuk membuktikan komitmen kepada tujuan mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global menjadi sebuah negara berintegriti tidak pernah luntur, setelah tujuh bulan keputusan bersejarah PRU ke-14 pada 9 Mei 2018. Ini sebabnya kenapa mana-mana parti dalam gabungan Pakatan Harapan tidak boleh melakukan sesuatu yang menjejaskan persepsi umum terhadap komitmen, stamina dan iltizamnya untuk mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global ke arah sebuah negara berintegriti, suatu pencapaian yang belum berjaya dilakukan mana-mana negara di dunia. Baru-baru ini, majlis anugerah International Anti-Corruption Excellence Award yang ketiga anjuran Sheikh Tamin Hamad Al-Thani dari Qatar telah diadakan di Malaysia, dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijemput sebagai tetamu kehormat.

    Ini jauh berbeza dengan persidangan International Anti-Corruption Conference (IACC) ke-16 yang dianjurkan di Putrajaya pada September 2015 – di mana seorang demi seorang pemidato antarabangsa telah mengutuk Malaysia dalam hal skandal 1MDB. Presiden Transparency International, Jose Ugaz membuka tirai IACC ke-16 dengan serangan ke atas skandal 1MDB, sambil mendesak kejujuran dan integriti daripada pentadbiran Najib, meminta beliau mengembalikan keyakinan dan kepercayaan dengan menjawab persoalan mengenai wang berjumlah US$700 juta di dalam akaun peribadinya – 1) siapa yang membuat bayaran itu dan kenapa, serta 2) ke mana wang itu pergi. Ini diikuti pada hari berikutnya oleh pengasas bersama TI yang juga bekas penasihat Najib dalam hal-ehwal anti-rasuah, Michael J. Hershman, yang memberitahu Najib supaya berlaku jujur tentang ‘derma’ berjumlah RM2.6 bilion yang diterimanya.

    Pada hari terakhir IACC, pengarah eksekutif Global Investigative Journalism Network, David Kaplan berkata bahawa mereka yang cuba menyembunyikan hal terbabit adalah terpisah daripada realiti dan kerajaan tidak boleh menyembunyikan maklumat tentang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib di zaman digital ini. Setiausaha Agung Amnesty International, Salil Shetty pula bertanya sama ada RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Najib boleh dianggap sebagai “grand corruption”. Pengarah Urusan Transparency International, Cobus De Swardt pula memberi amaran bahawa dalam ketiadaan jawapan mahupun siasatan bebas, ‘syakwasangka bahawa rasuah, ketidakpercayaan dan andaian melampaui undang-undang akan menguasai’. Pengerusi gabungan UN Convention Against Corruption (UNCAC), Manzoor Hasan pula mahu Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri bagi memberi laluan kepada siasatan ke atas derma RM2.6 bilion, tanpa sebarang gangguan.

    Ketika Indeks Persepsi Rasuah Transparency International diperkenalkan pada tahun 1995, Malaysia berada di tangga ke-23 daripada 41 negara, atau negara kenam tertinggi di rantau Asia Pasifik selepas New Zealand -1, Singapura -3, Australia – 7, Hong Kong -17, dan Jepun – 20; dengan skor CPI 5.28. (10, sangat bersih, 0, sangat korup). Qatar hanya tersenarai buat pertama kali dalam CPI tersebut pada tahun 2003, pada tangga ke-32 daripada 177 negara dengan skor 5.6, manakala Malaysia berada di kedudukan 37 dengan skor 5.2. Dalam tempoh sembilan tahun Najib menjadi perdana menteri dari 2009 hingga 2018, jurang antara kedudukan dan skor berbanding Qatar dalam siri CPI ini melebar daripada kedudukan Qatar di tangga ke-22 dengan skor 7.0 pada tahun 2009 ke tangga ke-29 dengan skor 63/100 pada tahun 2017; berbanding Malaysia yang berada di tangga ke 56 dengan skor 4.5 pada tahun 2003 ke kedudukan nombor 62 dengan skor 47/100 pada tahun 2017.

    Malah, di bawah pentadbiran sembilan tahun Najib, Malaysia bukan sahaja lebih korup di bawah dua mantan perdana menteri Mahathir dan dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahkan juga mendapat ‘penghormatan’ sebagai satu-satunya negara Asia Pasifik yang menjunam kedudukan dan markah CPI-nya sejak siri tersebut diperkenalkan pada 1995. Cabaran terbesar negara ialah untuk mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global menjadi negara contoh yang berintegriti, atau menduduki tangga 45 teratas daripada 180 negara. Saya mengharapkan Malaysia dapat menambahbaik skor dan kedudukan dalam CPI 2018 apabila ia diterbitkan dalam masa sebulan lagi, tetapi ia tidaklah begitu substansial kerana kita hanya bermula pada separuh masa kedua tahun ini dari segi usaha membanteras rasuah selepas keputusan bersejarah PRu ke-14 pada 9 Mei lalu.

    Tetapi saya pastinya mengharapkan kemajuan yang substansial dari segi kedudukan dan skor pada CPI 2019 dan seterusnya, apabila program anti-rasuah kerajaan Pakatan Harapan benar-benar memberi kesan. Bagaimanapun, semua kemajuan dalam usaha anti-rasuah ini akan terbatal dan terjejas sekiranya kepimpinan politik sedia ada gagal menunjukkan komitmen kepada tujuan mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global menjadi sebuah negara contoh yang berintegriti, seperti dalam hal keluarnya beramai-ramai Ahli Parlimen, ADUN dan Ketua Bahagian UMNO yang kemudian masuk berjemaah ke dalam Pakatan Harapan, walaupun merekalah sebenarnya yang mesti bertanggungjawab ke atas nasib Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global akibat sokongan membuta-tuli terhadap kleptokrasi Najib dan juga skandal berterusan 1MDB.

    40 tahun lalu, pada 21 Mac 1978, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang diberi nama Akta Ahli-ahli Parlimen (Pencegahan Memaling Tadah) 1978, bagi memastikan integriti politik Ahli Parlimen, yang menuntut seorang Ahli Parlimen mengosongkan kerusinya dalam tempoh 30 hari dan memberi laluan kepada pilihanraya kecil sekiranya beliau meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti yang memberi tiket untuknya bertanding. Saya memberitahu Parlimen bahawa undang-undang sedemikian adalah penting bagi memastikan integriti politik wakil-wakil rakyat yang dilantik, serta bagi menghalang rasuah politik. Dalam ucapan memperkenalkan rang undang-undang ini, saya menyebut:

    “Apa yang menjijikkan rakyat Malaysia ialah apabila mereka melihat Ahli-ahli Parlimen atau Wakil Rakyat yang dipilih atas nama sesuatu partai mengkhianati partai tersebut serta juga kepercayaan rakyat dengan menukar parti. Mereka ini tidak beza dari ‘con-men’. Amalan-amalan seperti ini merendahkan politik dan hanya menguatkan pendapat umum yang ‘politik adalah kotor’ bilamana orang-orang yang kotorlah yang mengambil bahagian dalam politik untuk membuatkan politik kotor. “Perkara defection yang dilakukan oleh Ahli-ahli Parlimen daripada parti atas nama mana ia dipilih pada asalnya adalah tidak senonoh dan tidak beretika kerana mereka ini dipilih bukan kerana sifat-sifat peribadi mereka tetapi kerana parti yang mereka mewakili dan amalan-amalan seumpama ini juga membolehkan ahli-ahli politik yang terpilih dibeli dan dijual seolah-olah mereka ini berada di pasar.

    “Jika sekiranya seorang Ahli Parlimen yang dipilih meletak jawatan atau disingkirkan daripada partai atas nama mana ia dipilih pada asalnya, maka beliau hendaklah mengosongkan kerusinya dan mengakibatkan satu pilihanraya kecil diadakan. Jika perletakan jawatan atau penyingkiran itu disebabkan oleh sesuatu prinsip politik yang mendapat sokongan orang ramai, maka Ahli Parlimen berkenaan tidak patut ragu-ragu yang beliau tidak akan dipilih sekali lagi dalam satu pilihanraya kecil.” Saya berpegang teguh kepada prinsip di sebalik RUU yang saya perkenalkan di Parlimen 40 tahun lalu. Namun, bukan sahaja tidak wujud undang-undang anti-lompat parti di Malaysia, malah terdapat peruntukan perlembagaan bahawa sekiranya seorang Ahli Parlimen atau ADUN meletakkan jawatan untuk sebarang sebab, beliau tidak boleh bertanding semula – suatu pindaan perlembagaan yang saya bantah di zaman 90’an.

    Harus ada undang-undang anti-lompat parti di Malaysia, namun sehingga wujud undang-undang sedemikian, kepimpinan politik tidak kira kerajaan atau pembangkang, harus menunjukkan contoh integriti politik bagi memastikan sebarang tindakan berpaling tadah oleh mana-mana wakil rakyat bukanlah dilakukan dengan alasan peribadi atau oportunistik, yang akan menimbulkan persoalan integriti. Adakah semua Ahli Parlimen, ADUN dan pimpinan politik di Sabah yang telah meninggalkan UMNO untuk menjadi wakil rakyat bebas bersedia untuk memohon maaf secara terbukan daripada rakyat Malaysia bagi menebus kesalahan mereka menyokong Najib dan skandal 1MDB sepanjang beberapa tahun lalu, dan adakah mereka bersedia mengaku untuk menyokong semua usaha untuk mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global menjadi sebuah negara contoh berintegriti sebelum memohon untuk menyertai mana-mana parti Pakatan Harapan?

    Gabungan Pakatan Harapan tidak patut membenarkan mana-mana bekas pemimpin UMNO untuk menyertai parti komponennya sehinggalah mereka telah menebus kesalahan mereka menyokong Najib dan skandal 1MDB untuk beberapa tahun lampau, bersekali dengan ikrar terbuka bahawa mereka kini menyokong tujuan mengubah negara daripada sebuah kleptokrasi global menjadi sebuah negara contoh berintegriti. Sabah telah menghasilkan tiga orang tokoh yang menyokong Najib serta skandal 1MDB selepas “Week of Long Knives” yang berakhir pada Julai 2015 apabila Najib memecat timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, serta membuang mereka yang berpengaruh dari pasukan polis, SPRM, Bank Negara dan PAC di Parlimen yang mungkin mahu menyiasat skandal 1MDB – dua daripada mereka terlibat meninggalkan UMNO Sabah pada hari Rabu lalu.

    Dua tokoh ini adalah dua menteri kanan Najib, Datuk Salleh Keruak dan Speaker 1MDB, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Yang ketiga, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, tidak terlibat meninggalkan parti, walaupun beliau bersyarah panjang tentang bagaimana tiadanya hala tuju parti berikutan kekalahan besar UMNO dalam PRU 9 Mei adalah penyebab wakil-wakil rakyat UMNO Sabah keluar parti beramai-ramai. Adakah Rahman Dahlan bersedia untuk menunjukkan hala tuju kepada UMNO dengan mengutuk tindakan Najib Razak berhubung skandal 1MDB yang telah memalukan nama Malaysia dengan gelaran kleptokrasi global, terutamanya setelah beliau memberitahu dunia pada September 2016 bahawa ‘MO1’ yang disebut dalam tindakan undang-undang kleptokratsi Jabatan Kehakiman Amerika untuk melucuthak aset bernilai US$1.7 bilion terkait 1MDB itu adalah tidak lain, Najib sendiri?

    UMNO hilang arah tuju kerana ia hilang kompas moral, dan tidak ada seorang pun, meskipun selepas kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14, berani untuk menyatakan bahawa Najib dan kleptokrasi 1MDB yang dicetuskannya adalah penyebab utama kemusnahan UMNO. Adakah Salleh dan Pandikar akan bebas daripada kesalahan menyokong Najib dan skandal 1MDB, dan lebih penting lagi, kehinaan negara dicela dunia antarabangsa sebagai sebuah kleptokrasi global, hanya dengan keluar meninggalkan UMNO dan kemudian menyertai parti Pakatan Harapan? Saya telah berada di Parlimen sejak 1969, kecuali untuk satu tempoh antara 1999-2004, tetapi saya tidak pernah merasa begitu malu menjadi Ahli Parlimen dalam sidang ketigabelas dari 2013 hingga 2018, kerana Parlimen Ketigabelas menjadi Parlimen 1MDB, dengan Speaker 1MDB.

    Saya digantung dua kali selama enam bulan dalam Parlimen Ketigabelas kerana mahu menyiasat skandal 1MDB, dan pada hari-hari terakhir Parlimen Ketigabelas, saya dianggap sebagai ‘hantu’ oleh Speaker 1MDB apabila beliau memutuskan untuk tidak melihat kehadiran saya di Parlimen! Malaysia Baharu yang ingin kita bangunkan dalam tempoh 10 ke 20 tahun lagi mestilah menjadi sebuah negara yang mempunyai toleransi sifar terhadap rasuah. Adakah Pandikar, Salleh dan Abdul Rahman mampu mencapai standard ini? – Roketkini.com

  • Kementerian Kewangan umum kenaikan kadar tol dibekukan tahun hadapan

    Kementerian Kewangan umum kenaikan kadar tol dibekukan tahun hadapan

    Atas dasar prihatin terhadap rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup, kerajaan Pakatan Harapan hari ini bersetuju untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara untuk tahun hadapan. Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ia adalah sebahagian daripada penambahbaikan kepada pengumuman Belanjawan 2019 yang hanya membekukan kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar sahaja. Pembekuan kadar tol bagi bas turut dilaksanakan di lapan lebuh raya berasingan.

    Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta di Lebuh Raya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Januari 2019. Menurut beliau, langkah untuk memanfaatkan rakyat itu akan melibatkan bayaran pampasan berjumlah RM972.75 kepada syarikat konsesi lebuh raya. “Pembekuan komprehensif ini adalah berasaskan kepada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul oleh rakyat Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

  • Jangan terima permohonan Rahim Thamby Chik masuk PPBM

    Jangan terima permohonan Rahim Thamby Chik masuk PPBM

    Mungkin ada di antara kita telah lupa akan penderitaan yang ditanggung Puan Pendek binti Ahmad yang mengetahui cucu perempuannya, Noryati binti Mohamad Yusop yang ketika itu berumur 14 tahun dirogol. Perogol itu masih bebas berleluasa. Mungkin juga tak ramai yang ingat pemenjaraan Menteri Kewangan Pakatan Harapan ketika beliau masih seorang wakil rakyat pembangkang pada tahun 1998. Beliau yang membela penderitaan Noryati dan Puan Pendek pula dihumban ke penjara. Tetapi keluarga Lim Guan Eng dan keluarga Noryati binti Mohamad Yusop ingat. Rakyat yang prihatin juga ingat. Semua mereka yang berjuang sejak awal masih ingat.

    Rahim Thamby Chik tidak pernah muncul apabila Tun Mahathir membuat keputusan untuk berganding dengan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam menyelamatkan Negara menentang UMNO dan BN. Perjuangan dan pengorbanan telah menghasilkan kemenangan rakyat — dan si Rahim Thamby Chik tidak ada sebarang titik peluh keringat langsung yang menyumbangkan ke arah perjuangan ini. Malah, si politikus inilah yang merupakan salah seorang dari ‘Trio Datuk’ telah menyerang Dato Seri Anwar Ibrahim dengan telatah politik fitnah, menayangkan video lucah yang beliau dakwa merakamkan aksi seorang lelaki mirip Dato Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan pelacur. Permohonan Rahim Thamby Chik untuk memasuki Bersatu, adalah hak beliau sendiri. Tetapi terima atau tidak adalah hak pimpinan parti Bersatu. BERSATU adalah parti yang kami hormati sebagai rakan seperjuangan, yang telah berganding bahu, berputih tulang bersama dengan AMANAH dan KEADILAN, membebaskan negara kita dari cengkaman UMNO BN. Kita punya setiakawan dan persahabatan yang telah teruji dan tetap kukuh.

    Penerimaan Rahim Thamby Chik akan dibaca dan ditafsir oleh rakyat sebagai suatu pengkhianatan kepada setiakawan dan persahabatan yang telah kita jalin sepanjang perjuangan. – Roketkini.com