Category: RoketKiNi

  • Yang menang tulis sejarah, yang kalah lompat parti

    Yang menang tulis sejarah, yang kalah lompat parti

    Penghijrahan adakalanya menjadi puncak kepada sesebuah perjuangan. Mereka yang bergelumang dengan pelbagai sebab dan kepercayaan untuk membuat perubahan sentiasa menuntut hasil yang seperti ini. Berhijrah kepada yang lebih baik adalah apa yang kita imani di atas pelantar perjuangan ini. Malah dalam konteks politik pendemokrasian – pergelutan untuk mengeluarkan rakyat ke kedudukan yang lebih baik mempunyai cabarannya yang tersendiri. Inilah cabaran ketika kita mengajak manusia yang merosakkan menjadi manusia yang membawa kebaikan.

    Penghijrahan itulah idealnya. Itulah tujuannya asalnya. Kita mahu memperbaiki negara dan menjaga kebajikan rakyat. Maka apabila berbondong-bondong pemimpin pembangkang dari UMNO yang mula mengisytihar diri menjadi blok Bebas lalu memberi sokongan kepada blok Pakatan Harapan (PH) dan kemudian menyertai Bersatu – maka kita mula mempersoal mengapa penghijrahan seperti ini mahu pula dihalang? Mengapa kita terjentik dengan fenomena aneh ini? Semacam kita sedang berlanggar dengan idea kita sendiri – mengajak orang berubah dan bila ada yang mahu berubah, kita menjadi gusar. Betulkah begitu? Ayuh kita imbas semula mengapa kemenangan PRU-14 yang lalu menjadi begitu signifikan buat rakyat Malaysia dan saling berkait rapat dengan isu melompat ini.

    Dari kisah yang berada di luar negara dinafikan mengundi melalui undi pos, logo Pakatan Harapan yang dinafi untuk digunakan, pendaftaran parti Bersatu cuba diharamkan, pemilihan parti DAP sengaja dipertikaikan, hari pilihanraya dijalankan pada hari Rabu – ya, PRU pada hari bekerja -, gambar calon Perdana Menteri diturunkan dari poster kempen serta pelbagai percubaan lain untuk menggagalkan kemenangan PH; semuanya tidak lain hanya bertujuan mengekalkan mereka yang hari ini mahu dan telah pun melompat menyertai Pakatan Harapan dan Bersatu. Berasa terhina. Kesemua tindakan tersebut hanya bertujuan untuk mengekalkan satu-satunya pemimpin yang memalukan negara dan bertujuan mempertahankan segerombolan mereka yang membiarkan dana awam dirompak di siang hari di depan batang hidung. Tidak ada tujuan lain. Malah mereka yang melompat ini dahulunya tidak sedikit pun bersuara membantah tindak tanduk pemimpin mereka ketika itu. Puji-pujian melambung ada lah!

    Tidakkah kita berasa begitu hina untuk menerima mereka yang seperti ini? Jika anda tidak, saya akui, sebagai pengundi yang benar-benar mengharapkan perubahan dari kerosakan yang dilakukan oleh mereka ini, saya benar-benar terhina. Maruah dan harga diri saya bagai disiat-siat apabila melihat dengan mudahnya kita menerima mereka yang melompat ini. PH sepatutnya memperbaiki negara akibat kerosakan yang dibuat oleh mereka yang disokong oleh pemimpin-pemimpin yang melompat ini dan bukannya menerima mereka. PH mendapat sokongan termasuk dari kalangan mereka yang tidak berparti. Mereka memberi kita kemenangan bukan untuk kita terima pemimpin yang melompat ini. Pendirian kita harus keras dan tegas. Anda boleh nyatakan sokongan – namun cukup sekadar di luar gelanggang dahulu. Takkanlah mereka boleh dengan tiba-tiba menjadi insaf dan baru menyedari segala durjana dibawa oleh Najib kepada negara walaupun berbuih mulut pemimpin PH melaungkannya sewaktu menjadi pembangkang dulu? Garis pemisah antara hak dan batil masih sama sebelum dan selepas pilihanraya.

    Bersangka baik itu baik? Polisi ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat tidak pula dibantah oleh mereka ini ketika itu. Mencebik pun tidak! Takkanlah waktu itu mereka tidak membaca laporan-laporan media mengenai presiden mereka atau tidakkah mereka tahu lebih awal salah laku bekas presiden mereka dan memilih untuk mendiamkan diri sebelum kerajaan PH datang membongkarnya? Atau adakah mereka sebenarnya menjadi cemas menyaksikan siri pendakwaan dan penangkapan ke atas bekas pemimpin mereka dan mula mencari dahan baru untuk berpaut bagi menyelamatkan diri? Takkanlah kita menjadi terlalu naif untuk memahami ‘penghijrahan’ ini? Bagaimana jika BN kekal di Putrajaya? Inilah persoalan besarnya. Jangan ditanya mereka yang melompat akan persoalan asas ini – tanyalah diri anda sendiri. Apakah mereka yang melompat ini akan ‘hilang kepercayaan kepada Najib dan UMNO’ jika BN menang PRU14 tempoh hari?

    Adakah mereka akan beramai-ramai menyertai Bersatu seperti hari ini jika BN masih kekal dan berkuasa di Putrajaya? Malang buat Bersatu jika mereka gagal memahami sifir mudah ini. Adakah kuasa telah menjadikan Bersatu begitu naif atau DNA UMNO masih kuat membalut urat nadi parti Bersatu sehingga lupa hasrat pengundi pada PRU yang lalu? Agenda perubahan yang kita peluk bukan sekadar menyebut-nyebut supaya kuat bekerja walhal cara bekerja yang kuat itu dibuat dengan cara membelakangi mereka yang memberi kemenangan kepada kita. Jika mereka boleh mengkhianati parti lama mereka yang sudah dikalahkan, tidak mustahil mereka akan mengkhianati kita di kemudian hari. Mereka perlu belajar menerima erti kekalahan dan kita pula perlu memberi pengajaran supaya rakyat akan benar-benar faham kesungguhan kita untuk membuat perubahan dan menawarkan pilihan siapa yang lebih baik di masa hadapan.

    Ya, keinsafan selalunya datang selepas malapekata yang menundukkan nafsu. Namun, keinsafan ini juga datang seperti air hujan banjir, walaupun ia hadir membersihkan tanah gersang yang kering kontang, tetapi ia datang bersekali sampah sarap yang hanyut bersama-samanya! – Roketkini.com

  • Lemah sangatkah akidah perjuangan para pelompat UMNO?

    Lemah sangatkah akidah perjuangan para pelompat UMNO?

    Apa sudah jadi pada laungan “Hidup UMNO”?. Laungan ini nampaknya kian sirna daripada arena politik Malaysia. Bukan pemimpin kecil – kecil yang melompat keluar dari UMNO, tetapi pemimpin senior berpengalaman juga kecut lari menyelamat diri. Mungkin mereka ini khuatir dengan contoh – contoh yang ditunjukkan depan mata mereka. Najib Razak yang dulunya mereka ampu puji kini kerjanya masuk lokap dan keluar lokap. Azeez Rahim yang dulu singa garang kini menjadi tikus yang tertambat dengan kemelut Tabung Haji. Presiden UMNO sendiri, Zahid Hamidi pula nampaknya hanya menunggu masa. Maka bergetarlah hati – hati para pemimpin UMNO yang merasakan giliran mereka juga sudah berada di hujung simpang.

    Beranilah Kerana Benar, Takut Kerana Salah. Pesan saya kepada pemimpin UMNO yang sedang khuatir ini, beranilah kerana benar dan takutlah kerana salah. Teruslah berjuang sebagai pembangkang yang jujur, ikhlas dan berani. Setiap pemerintah memerlukan pembangkang yang berkesan. Pembangkang yang kuat akan menjadi agen semak dan imbang yang penting dalam memastikan urustadbir negara sentiasa terpandu mengikut kepentingan rakyat. Jika pembangkang benar – benar berkerja jujur, tekad, ikhlas dan konsisten, lambat laun pihak pembangkang yang baik akan menjadi kerajaan juga seperti yang diperolehi Pakatan Harapan hari ini. Tapi kerjanya tidak mudah. Pihak Pembangkang suatu ketika dahulu terpaksa menempuh lokap, berbaring di atas jalan raya, badan dipijak, baju dikoyak, pedih mata dek gas pemedih mata, diaibkan melalui media – media arus perdana, malah ada yang dipenjara bertahun – tahun.

    Kerja Pembangkang Hari Ini Lebih Mudah. Bukan niat untuk bernostalgia dengan romantisme lama, tetapi ingin memberitahu kepada para pemimpin UMNO betapa beruntungnya mereka. Kerja mereka sebagai Pembangkang hari ini sangat mudah hasil usaha Pembangkang terdahulu. Rakyat sudah cukup matang dan kritikal dalam menilai. Kebijaksanaan rakyat ini menjadikan tidak terlalu susah untuk Kerajaan bertukar tangan. Pembangkang juga hari ini ada ruang seluas – luasnya untuk tampil menerusi media arus perdana. Berdemonstrasi juga bebas tanpa ada provokasi daripada pihak Kerajaan. Lalu apa sebenarnya yang ditakutkan pemimpin UMNO yang melompat ini? Apa Yang Pelompat Risaukan ? Jika alasannya mereka tidak biasa menjadi pembangkang, maka inilah masanya untuk mereka menerima hakikat yang rakyat telah memilih Kerajaan baharu dan meletakkan UMNO sebagai pembangkang.

    Jika alasannya mereka ingin menyumbang tenaga sebagai Kerajaan, mereka perlu tahu bahawa Malaysia baharu ini tidak lagi seperti Kerajaan terdahulu yang meminggirkan Pembangkang. Mereka boleh pada bila – bila masa terlibat, memberi pandangan dan sumbang saran untuk memantapkan agenda rakyat. Atau sebenarnya para pelompat UMNO ini gelisah kehilangan elaun beribu-ribu ringgit sebulan?, atau mereka terlalu janggal untuk hidup tanpa kuasa untuk meluluskan projek dan menerima lobi – lobi para kontraktor?, atau mereka tak biasa hidup tanpa menggunakan aset – aset Kerajaan yang digunakan seperti harta peribadi sebelum ini? Atau yang paling mungkin adalah, mereka – mereka ini sedang merayu untuk tidak diberi nasib yang serupa seperti Najib Razak, Azeez Rahim dan Zahid Hamidi.

    Pembangkang Yang Kuat Perlu Lebih Dihormati Berbanding Para Pengecut Yang Melompat. Sewajarnya jika pemimpin dan anggota UMNO merasakan UMNO tidak lagi kuat seperti dahulu, maka mereka perlu berusaha untuk membawa kembali UMNO ke landasan perjuangan yang lebih relevan. Bukannya masing – masing melompat untuk menyelamatkan nasib sendiri. Betapa palsunya kesetiaan yang dicanang sebelum ini apabila begitu mudah para pelompat ini meninggalkan bahtera lama mereka yang sedang diuji. Justeru, saya merakam setinggi – tinggi rasa hormat kepada rakan – rakan UMNO yang masih setia dalam UMNO. Saya merasakan UMNO akan tampil lebih kuat setelah gelombang ini berlalu. UMNO yang kuat bermakna pihak pembangkang juga akan lebih kuat. Pembangkang yang kuat akan membawa banyak manfaat untuk rakyat.

    Pakatan Harapan Perlu Berhati – hati Menerima Sang Pelompat. Kerajaan Pakatan Harapan juga perlu berhati – hati dalam menerima kehadiran bertali arus para pelompat ini. Jika mereka ini benar – benar mahu membantu Kerajaan, mereka boleh saja berperanan daripada meja pembangkang. Kerajaan baharu juga perlu sentiasa bermuhasabah. Apakah layanan yang sewajarnya telah diberikan kepada pihak Pembangkang ?. Jangan sampai Pembangkang hari ini merasakan perkara yang sama seperti yang dilakukan Kerajaan terdahulu. Suara Pembangkang tidak didengari dan kehadiran di Parlimen sekadar untuk mendengar pengumuman – pengumuman sebelah pihak Kerajaan. Malah para pelompat ini perlu melalui proses tapisan yang ketat. Majoriti rakyat telah menghukum UMNO pada Pilihan Raya Umum yang lepas, lalu bagaimana Pakatan Harapan boleh mudah – mudah menerima pelompat ini dengan anggapan mereka sudah ‘bertaubat’. – Roketkini.com

  • Timbalan Menteri DAP temui Menteri Wilayah, muzakarah isu semasa

    Timbalan Menteri DAP temui Menteri Wilayah, muzakarah isu semasa

    Ketika negara sedang dilanda pelbagai isu-isu kulitan seputar pertembungan politik perkauman sempit, dua orang timbalan menteri mengambil peluang bermuzakarah tentang isu-isu yang lebih penting dan membumi. Bukan muzakarah biasa, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Hannah Yeoh, serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; berkunjung ke pejabat Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. “Kami berdiskusi berkenaan isu-isu kebajikan kanak-kanak, perkahwinan,perceraian dan lain-lain yang berkaitan portfolio kementerian.

    “Saya mengharapkan hubungan kerjasama ini akan berterusan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik,” tulis Dr Zulkifli di laman Facebook rasminya, berkenaan kunjungan hormat terbabit. Pertemuan tertutup yang berlangsung lebih sejam itu menyaksikan perbincangan antara seputar isu buang bayi, penderaan kanak-kanak, penyalahgunaan dadah serta masalah-masalah sosial yang berakar dalam masyarakat. Hannah sempat membentangkan angka-angka membimbangkan hasil dapatan kementeriannya tentang isu-isu terbabit, dalam rangka mendapatkan maklumbalas dan nasihat pihak mufti tentang bagaimana langkah-langkah sesuai boleh diambil bagi menjalankan proses pemulihan dan kaunseling. Bercakap kepada media selepas pertemuan tersebut, Dr Zulkifli menyatakan komitmen jabatannya untuk membantu kerajaan melalui nasihat dan saranan bagi menangani isu-isu masyarakat. “Sekarang sudah bukan masa untuk bercakap, sebaliknya bertindak,” ujar beliau.

    Usai pertemuan terbabit, kedua-dua timbalan menteri dihadiahkan satu set tiga jilid naskhah Bayan Linnas, kompilasi tulisan mufti terbabit yang memberi pelbagai penjelasan isu-isu semasa. – Roketkini.com

  • Sibuk larang ucap Krismas, tapi berdamping dengan perasuah

    Sibuk larang ucap Krismas, tapi berdamping dengan perasuah

    Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menempelak golongan agamawan yang mempergunakan agama demi tujuan politik seperti yang timbul dalam isu ucapan Krismas baru-baru ini. Beliau merujuk amaran Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi agar orang Islam tidak membuat ucapan Krismas kerana berpendapat ia bertentangan dengan akidah Islam. Pun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan tetap membuat ucapan perayaan yang disambut penganut agama Kristian tersebut meskipun Khalil mengeluarkan amaran berkenaan. Bagi mengalihkan perhatian terhadap isu kontroversi itu, sekutu Khalil, Ahli Parlimen Fadhli Shaari menuduh bahawa ‘Amanat Kit Siang’ lebih bahaya daripada ‘Amanat Hadi’.

    “Agamawan PAS kata tak boleh ucap Krismas kepada orang ramai kecuali jiran yang terdekat, tapi golongan professional PAS seperti Takiyuddin pula ucap ‘Marry Christmas’. “Untuk mempertahan hujah hujah Ini agamawan PAS pun bersandarkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi. Menurut Tengku Zulpuri yang juga timbalan menteri sumber air, tanah dan sumber asli tidak ada gunanya memainkan isu seperti ucapan Krismas, jika pemimpin PAS sendiri tidak mengendahkan isu salah guna kuasa kerajaan terdahulu. “Agamawan PAS kata ‘Amanat Kit Siang’ lagi bahaya daripada ‘Amanat Hadi’, tapi dalam isu seperti salah guna kuasa, integriti, kleptokrasi, penindasan kaum minoriti serta kemusnahan alam sekitar tidak dititikberatkan kononnya mengucapkan kalimat perayaan hari Krismas itu satu dosa besar yang boleh membawa kepada kemuradatan,” ujarnya. Perselisihan pendapat ulama berhubung ucapan Krismas juga, katanya, tidak harus diperbesarkan atas dasar keharmonian kaum dan agama di negara ini, selagi ia tidak melanggar Perlembagaan.

    “Itulah sebenarnya Islam, “Rahmatan lil alamim” untuk alam semester sesuai sepanjang zaman dan waktu dan Allah menjadikan manusia itu berbilang kaum dan kepercayaan supaya kita kenal antara satu sama lain,” ujarnya. – Roketkini.com

  • Universiti perlu banyak benda, tapi bukan stesen minyak

    Universiti perlu banyak benda, tapi bukan stesen minyak

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) memeterai perjanjian untuk membina 5 buah stesen minyak Petronas di 5 buah universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tunku Abdul Rahman pada 15 Disember 2018. Ini adalah satu perkembangan yang sangat membimbangkan dan Kementerian Pendidikan bersama Dr. Maszlee Malik yang juga turut hadir menyaksikan perjanjian itu digesa untuk membatalkan perjanjian tersebut. Dalam minggu yang sama, satu perhimpunan tahunan Conference of the Parties (COP) yang ke-24 di bawah naungan United Nation Framework Convention on Climate Change sedang diadakan di Katowice, Poland di mana semua negara-negara sedang sibuk berunding untuk menyelesaikan masalah eksistensial yang sudahpun mula menggugat kehidupan dan peradaban manusia.

    Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin juga sempat mewakili Malaysia di COP24 untuk menerangkan langkah-langkah, aspirasi dan komitmen negara untuk memastikan Malaysia memainkan peranan penting di peringkat negara mahupun antarabangsa dalam menentang fenomena perubahan iklim. Antara persoalan fundamental yang mencapai konsensus para saintis adalah perubahan iklim secara umumnya merupakan kesan anthropological atau berpunca dari aktiviti manusia. Dari era revolusi industri, tahap karbon menggunung secara mendadak dibandingkan dengan zaman sebelumnya. Ini kerana kemajuan teknologi dan pembangunan adalah asas kepada perkembangan tamadun manusia. Oleh itu, falsafah “sustainable development” digunapakai untuk mengimbangi keperluan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

    Salah satu perincian yang diperhalusi, dipersetujui dan terus diusahakan komuniti antarabangsa adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga tidak boleh baru seperti gas asli dan minyak dan menumpukan usaha dan pelaburan kepada tenaga boleh baru seperti angin dan solar. Untuk pengetahuan Dr. Maszlee, universiti-universiti dunia telah sekian lama mengkaji dan melakukan projek-projek di dalam bidang tenaga boleh baru. Universiti-universiti di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Banyak pelajar kita yang terdorong untuk mengkaji dan membuat projek-projek tenaga solar, biomas dan lain-lain. Ramai juga yang telah mencipta aplikasi baru menggunakan teknologi yang berinovasi tinggi dan bermanfaat untuk semua. Buka saja buku-buku projek tahun akhir pelajar-pelajar kita, gah sungguh namun malang ideanya ditinggalkan atas rak perpustakaan.

    Benar sekali seperti yang dikatakan CEO PDB, memang penting untuk menyemai sifat keusahawanan ataupun “entrepreneurial instinct” dan terdapat 1001 cara lain untuk mencapai itu selain menempatkan stesen minyak Petronas dalam kampus. Pihak Petronas boleh bekerjasama dengan universiti untuk mengadakan pitching session, memberikan geran kepada idea bisnes lestari yang bernas ataupun inovasi teknologi terkini dan memberi ruang pelajar untuk berkecimpung secara terus dalam “start-up environment” di kampus seperti yang telahpun dijalankan dibeberapa universiti di Malaysia. Pihak universiti juga boleh mula menggali semula thesis-thesis dan projek-projek tahun akhir yang boleh dikongsikan dengan industri untuk menjana pendapatan. Sebagai CSR pula, Petronas dengan RM50 juta mereka boleh terus membantu pihak universiti dalam menaiktaraf fasiliti dan kemudahan universiti, melanggan jurnal-jurnal akademik yang berprestij, membina bumbung untuk pejalan kaki, menyediakan laluan khas untuk basikal, belanja universiti feeder-bus percuma dan macam-macam ikhtiar lagi mengikut keperluan universiti.

    Pastinya, komuniti akademia dan pelajar-pelajar akan lebih berterima kasih. Universiti pada asasnya merupakan satu platform untuk menyediakan anak-anak muda kita untuk masa hadapan. Apakah membawa masuk stesen minyak Petronas dapat menjamin itu? Dr. Maszlee, Universiti Oxford juga tak punya stesen minyak didalam kawasannya. Laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang dikeluarkan pada bulan Oktober menyatakan bahawa komuniti global perlu menurunkan kadar pengeluaran gas rumah hijau sebanyak 45% untuk mengekalkan kadar kenaikan suhu dunia pada 1.5°C. Gagal mematuhi aturan ini bakal mendatangkan musibah iklim berskala global – kemarau yang lebih panjang menggugat pengeluaran makanan dan bencana alam yang lebih teruk. Yeo Bee Yin juga menegaskan komitmen kerajaan pusat untuk meningkatkan peratusan tenaga boleh baru dari 2% kepada 20% selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan.

    Apakah membina stesen minyak Petronas di dalam kampus langkah efektif yang dapat membantu kemelut ini? Pelajar-pelajar seharusnya mempertahankan falsafah pembangunan lestari dan mencari alternatif yang dapat menjamin masa depan yang lebih cerah tanpa karbon. Banyak sudah stesen minyak diluar universiti, cukuplah jangan sampai masuk pintu universiti. Akhir sekali, kesemua pemegang taruh bertanggungjawab untuk menjamin keselesaan semua tapi harus diingati, tanggungjawab itu juga mesti dilanjutkan kepada alam sekitar. – Roketkini.com

  • Senator Lim Hui Ying, dari mana mahu ke mana?

    Senator Lim Hui Ying, dari mana mahu ke mana?

    Ceritakan tentang latar belakang saudari dan sejarah penglibatan dalam politik. Saya dilahirkan pada tahun 1963, di Singapura. Ketika itu ayah saya bekerja sebagai wartawan di New Straits Times. Tiga tahun kemudian, kami sekeluarga pulang ke tanah air dan menetap di Petaling Jaya; apabila beliau membuat keputusan untuk menjadi setiausaha politik Devan Nair. Tiga tahun berikutnya, ketika tragedi 13 Mei tercetus dan beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di kem tahanan Muar; kami sekeluarga memutuskan untuk kembali ke Batu Pahat, kampung halaman ibu bapa saya. Di sana, sanak saudara ibu saya ramai, dan jarak ke Muar tidak begitu jauh. Sekitar 45 minit. Maka lebih mudah untuk ibu saya dengan empat orang anak yang masih kecil untuk bertemu dengan ayah saya yang berada dalam tahanan. Pakcik saya akan membawa kami ke Muar setiap hujung minggu untuk melawat ayah.

    Jadi selama lima tahun saya menetap di Batu Pahat, saya mendapat pendidikan awal di sana. Tahun 1975, kami berpindah ke Melaka apabila ayah saya menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka. Di sini saya menyambung persekolahan di peringkat menengah, dan kami terus menetap di sana selama 15 tahun. Sementara itu saya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya sehingga graduasi pada tahun 1987. Pada pilihanraya tahun 1986, ayah saya telah berjanji dengan pengundi di Tanjong (Pulau Pinang) bahawa beliau akan berpindah ke sana. Takdir menentukan Ops Lalang berlaku dua tahun kemudiannya, kedua-dua ayah dan abang saya ditahan di Kamunting. Memandangkan Pulau Pinang terlalu baharu untuk ibu saya, maka kami tak jadi pindah dan terus menetap di Melaka. Kami hanya berpindah ke Pulau Pinang apabila kedua-duanya bebas pada tahun 1989. Kami masih menetap di sana sehingga sekarang. Saya membesar dalam suasana politik. Ketika meningkat usia dan memahami persekitaran, ayah saya sudah pun giat berpolitik. Pun begitu, saya hanya menyertai parti pada tahun 1999.

    Kenapa hanya buat keputusan untuk menyertai parti pada tahun itu? Ketika Guan Eng menyertai politik, beliau berdepan masalah dilabel sebagai anak lelaki Lim Kit Siang. Jadi saya sedikit tertahan-tahan. Saya tak kisah membantu tapi sebenarnya saya hanya membantu ayah saya. Saya betul-betul terlibat dalam politik pada pilihanraya umum tahun 1999, di mana ayah saya bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera dan DUN Kebun Bunga; dan beliau tewas di kedua-duanya. Selepas dikaji, parti mendapati bahawa kekalahan yang berlaku adalah disebabkan kurangnya gerakerja organisasi. Ketika itu saya buat keputusan untuk terjun dan bergiat secara aktif. Mendiang Karpal Singh juga tewas dalam PRU itu, lalu meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP negeri Pulau Pinang. Beliau digantikan Sdr Chow Kon Yeow, yang ketika itu menjadi setiausaha. Perubahan itu memberi ruang untuk saya ditarik masuk ke dalam jawatankuasa negeri. Selain mengepalai program-program mencari dana untuk parti, saya mulakan ‘Rocket Taskforce’ untuk menjual akhbar parti di rumah-rumah pangsa, pasar-pasar, di medan selera; menjual The Rocket dari meja ke meja. Ketika itu memang ada banyak tentangan. Kita cuma ada satu kerusi DUN. Pada pilihanraya tahun 2004, saya ikut berkempen di Ipoh Timur.

    Ketika tsunami pertama melanda pada Mac 2008 dan kemudian 2013, apa yang saudari lakukan? Ketika Lim Guan Eng membuat keputusan untuk bertanding di Pulau Pinang, kewangan parti tidak begitu kukuh. Saya menghabiskan masa untuk membantunya berkempen di DUN Ayer Putih, sebuah kawasan kubu kuat parti Gerakan. Dalam keadaan kewangan yang mencabar, dan berhadapan kubu kuat Gerakan; kita berjaya mengambil alih kerajaan di Pulau Pinang. Pada PRU 2013 pula, saya menjadi pengarah pilihanraya. Bagi saya, itu suatu pengalaman yang amat menyeronokkan. Saya menerima banyak sokongan daripada jawatankuasa negeri, yang ketika itu saya menjadi setiausahanya sehingga kini. Dan meskipun ketika itu, Guan Eng adalah ketua menteri dan juga setiausaha agung; beliau tidak masuk campur dalam urusan jawatankuasa negeri. Apa sahaja keputusan parti di peringkat negeri akan dituruti oleh ketua menteri, tanpa bantahan.

    Apa sebenarnya yang mendorong saudari untuk menyertai politik? Adakah sebab semua orang pun sudah masuk politik, maka saudari tidak mahu ketinggalan? Saya cuma mahu membantu parti. Ketika Lim Kit Siang tewas pada tahun 1999, saya terus buat keputusan untuk membantu parti. Bukan sahaja kita memerlukan calon yang kuat, tetapi juga pasukan yang kuat, untuk menang pilihanraya. Kalau seorang ikon seperti Lim Kit Siang juga boleh tewas, dan bukanlah kerana faktor peribadinya sendiri; maka harus disedari bahawa kita tewas kerana kelemahan dari sudut organisasi. Dari situ, kita terus bekerja. Saya cuba untuk tidak terlalu terampil, tetapi akar umbi rasanya sudah kenal benar dengan saya hasil kerja saya mengatur konvensyen negeri, majlis makan malam dan acara-acara lain. Namun akar umbi tidak memandang saya sebagai anak Kit Siang atau adik Guan Eng. Mereka melihat saya sebagai seorang individu, setiausaha DAP negeri Pulau Pinang. Mungkin mereka yang di luar Pulau Pinang tidak melihat sudut pandang itu. Saya tidak boleh mengubah identiti diri. Sokongan padu daripada Sdr Chow juga mendorong saya untuk maju terus ke platform seterusnya, setelah parti berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya bersama rakan-rakan Pakatan Harapan. Saya sedikit bergelut, saya tahu apa orang akan kata, tetapi apa yang penting ialah prestasi. Jadi saya teruskan sahaja.

    DAP tertubuh ketika saudari berusia tiga tahun. Apakah perubahan paling ketara dari pendapat saudari sepanjang tertubuhnya DAP sehingga sekarang? Saya membesar mengenali pemimpin-pemimpin veteran parti, termasuk Lee Lam Thye, Fan Yew Teng dan apatah lagi Dr Chen Man Hin. Mereka sangat hampir dengan keluarga kami. Mesyuarat parti pun berlangsung di rumah. Sudah banyak perubahan berlaku dari segi kepimpinan parti, dan sudah banyak krisis yang dilalui, termasuk gerakan menjatuhkan Kit Siang sendiri. Namun impian yang digambarkan oleh Kit Siang adalah antara faktor kenapa saya masih lagi bergiat cergas di dalam parti. Impian itu tidak pernah berubah. Setiap kali kita mengeluh keletihan, saya selalu mengajak rakan-rakan agar memikirkan tentang Lim Kit Siang. Beliau tiada alasan untuk berhenti daripada perjuangan panjang ini. Keazaman yang beliau tunjukkan adalah antara perkara yang amat saya kagumi. Beliau tidak kenal erti putus asa. Kini, nampaknya impian itu sedang menjadi nyata. Pastinya masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan. Ini baru permulaan kepada banyak lagi tugas yang harus dipikul. Sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Pulau Pinang, saya pastinya akan membawa isu-isu negeri dan rakyat. Selain itu saya juga sangat berminat dengan isu-isu berkenaan wanita dan kanak-kanak, dan perkara-perkara ini pasti akan saya bangkitkan di Dewan Negara.

    Quo vadis DAP dalam masa 10 ke 20 tahun lagi? Kita sedang bergerak di landasan yang betul. Namun supaya gabungan Pakatan Harapan dapat berfungsi dengan baik, pastinya jalan itu tidak mudah, tidak lancar dan banyak dugaannya. Namun bagi saya, DAP dengan barisan kepimpinannya yang unik; ramai daripadanya datang dari latar yang tiada apa-apa; sekiranya DAP harus kembali ke asalnya yang tiada apa-apa, kita masih boleh melakukannya. Jika satu hari nanti, rakyat menolak kita, dan DAP kembali menjadi parti pembangkang, kita akan mampu bertahan. Kita akan terus berjuang. Kerana itulah asal-usul kita. Kerana itulah juga kita memahami derita yang ditanggung rakyat. Kita di sini hanyalah untuk memastikan negara menjadi lebih baik untuk semua. – Roketkini.com

  • Kesan gempa politik UMNO

    Kesan gempa politik UMNO

    Saya amat tersentuh apabila mengetahui ahli-ahli DAP dari Triang sanggup menempuhi perjalanan jauh dan berjam-jam ke Ayer Hitam, Johor pada 18 Mac 2018 untuk menyaksikan pengumuman diri saya sebagai calon PakatanHarapan untuk kawasan Ayer Hitam oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng, yang disertai Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin tertinggi lain. Walaupun saya tidak menang kerusi tersebut, persaingan di Ayer Hitam telah membantu kami memberi satu pesanan kepada penyokong iaitu: Tidak mustahil untuk mengalahkan kerajaan Barisan Nasional.

    Apa yang kita belajar? Jika kita hanya mengikut “pandangan awam” yang dihasilkan oleh media arus perdana Bahasa Melayu dan Cina secara membuta tuli, kita mungkin akan hilang harapan, kemas barang, dan menggantung kasut kita. Sebaiknya, kita pemimpin Pakatan Harapan di peringkat nasional dan akar umbi, perlu memimpin pandangan awam dan bersedia untuk membuat keputusan sukar, berpandukan kepercayaan dan prinsip kita. Kini, media hanya berfokuskan kepada isu pemimpin UMNO yang melompat parti. Perhatian dan perspektif sedemikian rupa terhadap isu initelah menimbulkan sentimen negatif dalam penyokong Pakatan. Salah satu contoh ialah ahli politik yang tidak beretika seperti Rahim Thamby Chik memohon untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Beliau merupakan liabiliti dan tidak memberi nilai tambah kepada perjuangan Pakatan. Persoalan utama kita sekarang ialah bagaimana kita, sebagai Pakatan, masyarakat dan sebuah negara akan menangani keretakan UMNO.

    Kita perlu menerima hakikat bahawa 9 Mei 2018 ialah gempa dan tsunami politik yang begitu besar, dan sudah tentu implikasi besar yang lain akan menyusul. Selagi Najib Razak dan orang kanannya Zahid Hamidi mengetuai UMNO, maka orang Melayu akar umbi dan pertengahan serta pengundi Malaysia yang lain tidak akan kembali untuk menyokongnya. Reputasi kleptokrasi mereka telah mencemarkan kepemimpinan mereka. Jika Zahid terus mengetuai UMNO, perpecahan akan berlaku, dan pemimpin akan melompat keluar parti sebelum kapal tenggelam. Gempa politik terkini iaitu perhimpunan anti-ICERD pada 8 Disember 2018 merupakan satu alamat berakhirnya UMNO di Sabah. Bagi rakyat Sabah termasuk ahli UMNO Sabah, kerjasama di antara UMNO dan PAS ialah satuidea yang kurang bijak. Pengundi Sabah terdiri daripada pelbagai etnik darisegi luaran berbanding kebanyakan pengundi di Semenanjung. Zahid dan Najib hanya tahu politik kotor bangsa dan agama, dan mereka sememangnya tidak mewakili masa depan.

    Ramai orang percaya bahawa kepimpinan UMNO hanya menjadi sebuah sayap Dewan PAS di bawah kepimpinan Zahid. Terdapat sekurang-kurangannya dua kumpulan dalam UMNO yang tidak serasi, satu menyokong Hishamuddin Hussein dan satu lagi menyokong Khairy Jamaluddin. Kedua-dua kumpulan ini tidak bertembung antara satu samalain, tetapi kedua-duanya menolak kepimpinan Najib dan Zahid. Mungkinkah wujudnya kumpulan pemimpin UMNO yang meninggalkan parti dan menubuhkan parti pelbagai kaum yang baru? Jika ia berlaku, apakah langkah yang perlu diambali Pakatan? Jika berlaku sebaliknya, bagaimanakah Pakatan dapat menangani situasi tersebut? Kita berada di pengalaman peralihan yang pertama – politik, ekonomi dan sosial – dalam sejarah negara kita. Kejatuhan bekas rejim autokratik bukanlah satu kerja yang mudah. Saya memohon penyokong DAP dan Pakatan Harapan untuk bersabar dalam fasa gempa politik hari ini.

    Benar, kita harus bersuara tanparasa takut dan berpihak, tetapi kita perlu bekerjasama dengan rakan kongsi Pakatan dalam meneliti fasa peralihan ini. Daripada melemparkan tuduhan, sebaliknya kita harus komited dengan matlamat untuk membangunkan Malaysia Baharu di manarakyat sama-sama berkongsi manfaat keamanan, kesaksamaan dan negara yang lebih makmur. Perpecahan UMNO hari ini sebenarnya satu pencapaian hebat bagi demokrasi di Malaysia. Memandangkan UMNO tidak lagi meneruskan perjuangan asal seperti tahun 1946, lebih baik sebuah platform baru diwujudkan demi manfaat untuk semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu. (Ucapan Pengarah Pendidikan Politik Nasional DAP, Liew Chin Tong bersempena lawatan ke bahagian DAP Triang, Bera, Pahang pada 17 Disember 2018)

  • Rahim Thamby Chik adalah ‘Bapa Segala Skandal Melaka’

    Rahim Thamby Chik adalah ‘Bapa Segala Skandal Melaka’

    Saya merujuk kepada pengumuman Rahim Thamby Chik dan pengikut-pengikutnya untuk keluar dari parti UMNO. Keputusan untuk keluar parti adalah hak mereka, tetapi saya menolak sebarang cadangan untuk menerima Rahim Thamby Chik dan pengikut-pengikutnya ke dalam mana-mana parti Pakatan Harapan (PH) Melaka. Jelas bahawa baru-baru ini, UMNO sedang mengalami krisis dalaman di mana pemimpin demi pemimpin berpusu-pusu untuk keluar parti. Perkara ini dilakukan bukan untuk agenda reformasi tetapi untuk kepentingan diri mereka.

    Untuk peringatan, Rahim Thamby Chik merupakan bekas Ketua Menteri Melaka yang terlibat dalam pelbagai skandal. Pada tahun 1994, beliau terlibat dalam kejadian rogol statutory terhadap seorang pelajar sekolah, yang kemudiannya kes ini ditutup oleh Peguam Negara. Sebaliknya, Lim Guan Eng, yang merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, dipenjarakan di bawah Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan apabila beliau tampil membela nasib dan menuntut keadilan untuk mangsa. Pada tahun 1994, menurut sebuah laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar pada tahun 1999, Peguam Negara dan Badan Pencegah Rasuah mendapati terdapat bukti prima facie bahawa Rahim Ramby Chik terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kes Syarikat Dayamik. Peguam Negara sekali lagi menutup kes tersebut dan tiada tindakan diambil.

    Pada tahun 2011 juga, Rahim Thamby Chik merupakan dalang yang menyiarkan video seks palsu untuk menganiayai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu, Rahim Thamby Chik bukanlah “Bapa Pembangunan Melaka” sepertimana yang diuar-uarkan, tetapi merupakan “Bapa Segala Skandal Melaka”. Saya menyeru agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak sekeras-kerasnya sebarang permohonan keahlian oleh Rahim Thamby Chik dan pengikut-pengikutnya. Jika tidak, kemasukan Rahim Thamby Chik akan merosakkan integriti Kerajaan Negeri dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap PH Melaka.
    Di peringkat nasional, saya menyeru agar Majlis Presiden PH membicarakan isu lompat parti ini secara menyeluruh dan membuat keputusan tegas untuk menolak dan menghentikan perkara ini daripada terus merebak.

    Penerima bekas pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam PH juga merupakan suatu pengkhianatan kepada rakyat dan ahli-ahli PH yang telah bertungkus-lumus melawan rejim Barisan Nasional untuk bertahun-tahun. Parlimen dan Kabinet juga harus membincangkan isu ini untuk mengambil langkah mereformasikan undang-undang supaya kelakuan lompat parti yang tidak beretika dapat dielakkan, kerana perkara ini telah banyak kali menggugat integriti sistem demokrasi negara. – Roketkini.com

  • Apa pendirian sebenar PAS berhubung isu ucapan Krismas?

    Apa pendirian sebenar PAS berhubung isu ucapan Krismas?

    Adakah peringatan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS merangkap anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, supaya orang Islam tidak membuat ucapan Krismas di Facebook kerana sambutan penganut agama Kristian itu bertentangan dengan akidah Islam merupakan pendirian rasmi PAS atau sekadar pandangan peribadi anak presiden parti itu semata-mata? Soalan ini timbul selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan membuat ucapan Krismas, meskipun Khalil mengeluarkan peringatan tersebut.

    Siapakah yang mempunyai kuasa lebih besar dalam PAS – Setiausaha Agung PAS atau Ketua Pemuda PAS yang juga anak Presiden PAS? Apakah pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dan Dewan Syura PAS berhubung isu ini? Semalam, saya menarik perhatian tentang ucapan Krismas yang ditujukan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Permaisuri Johor Raja Zarith Sultan Idris Shah; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di luar Malaysia, antaranya Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Raja Jordan Abdullah II dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas. Adakah mereka bukan orang Islam sejati kerana membuat ucapan Krismas?

    Sekutu Muhamad Khalil Hadi, dalam cubaannya untuk mengalihkan perhatian daripada kontroversi tersebut, mendakwa kononnya “Amanat Kit Siang” lebih bahaya daripada Amanat Hadi. Saya berbangga dengan kenyataan itu atas dua alasan, pertama, saya sendiri tidak tahu akan kewujudan “Amanat Kit Siang”; dan kedua, kira-kira 15 tahun selepas Hadi menyifatkan saya sebagai “ubat habis tempoh”, saya masih berdiri di sini dan dikatakan membawa “Amanat Kit Siang”. Adakah Pemimpin PAS tersebut ada terlebih dahulu meminta nasihat daripada Hadi sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang mana boleh membuatkan Presiden PAS berkenaan dilihat dungu kerana pernah mengatakan yang saya tidak lagi relevan pada 15 tahun lalu! Namun, muslihat sedemikian tidak boleh menutup hakikat bahawa kepimpinan PAS gagal menjawab banyak persoalan penting yang berbangkit. Antara soalannya adalah:

    Presiden PAS Hadi berkata semua orang Islam harus menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana mendakwa ia adalah agenda Freemason dengan niat untuk memusnahkan agama, negara dan masyarakat Islam. Pun begitu, kira-kira 99 peratus daripada 1.3 bilion orang Islam di dunia tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), seperti Arab Saudi, Indonesia, Turki, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Palestin, Algeria, Maghribi, Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan. Adakah PAS mahu menjadi penyelamat orang Islam di dunia, termasuk orang Islam di negara Arab Saudi, dan melancarkan kempen antarabangsa bagi mendesak 1.3 bilion orang Islam menentang ICERD?

    Adalah mengecewakan apabila begitu ramai pemimpian PAS menunjukkan set minda primitif – seperti Ulama PAS Selangor yang berkongsi video kugiran pop Indonesia sejurus sebelum bencana tsunami membadai negara itu. Pemimpin PAS sepatutnya belajar daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang berucap pada resepsi minum petang sempena sambutan Krismas semalam dan berkongsi pengalamannya menuntut di sekolah convent, sambil berterima kasih kepada guru biarawati beliau kerana mengajarkannya nilai-nilai murni yang membentuk jati dirinya atau daripada artikel yang ditulis oleh Fa Abdul dan disiarkan di Malaysiakini bertajuk “My first Sunday mass before Christmas”, kerana jelas apa yang kurang dalam kalangan pemimpin PAS adalah kasih sayang.

    Sebelas tahun lalu, pada Disember 2007 di Amman, 129 intelektual Islam terkemuka dari serata dunia mengucapkan Krismas kepada seluruh warga dunia, sebagai seruan perpaduan antara kedua-dua agama tersebut melalui dialog yang diadakan pada Oktober tahun itu. Kenyataan ucapan tersebut, turut menyelitkan ucapan terima kasih kepada penganut Kristian yang menyambut baik seruan Oktober tersebut yang diberikan tajuk “A Common Word”. Inisiatif “Common Word” itu disokong oleh Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought, yang diketuai oleh Putera Jordan Ghazi bin Muhammad bin Talal. Pemimpin “Common Word” memahami prinsip moral yang dikongsi oleh “agama Ibrahim”, termasuk tekad untuk mengangkat kesucian kehidupan manusia. Ucapan Krismas itu juga turut merayu agar penganut Kristian dan Islam bersatu untuk “menyelamatkan, mengangkat dan menghargai setiap kehidupan manusia, terutamanya kehidupan setiap kanak-kanak”.

    Adakah wujud Amanat Kit Siang? Jika ada, ia akan membawa seruan ini: Seruan supaya seluruh rakyat Malaysia, tidak kira yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau agama lain, bertekad dengan satu objektif Malaysia Baharu iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai persefahaman agama dan toleransi yang kukuh. Adakah PAS akan menyokong objektif ini?

  • Kunjung Hormat Ahli MPTI ke JKR, TM & TNB

    Kunjung Hormat Ahli MPTI ke JKR, TM & TNB

    Pimpinan ahli MPTI Pakatan Harapan telah mengunjung hormat ke JKR, TM & TNB pagi tadi dan disambut baik oleh Tuan Haji Rani (JKR), Tuan Masliy (TM) serta Puan Azian (TNB). Dalam sesi interaksi tersebut, pihak JKR, TM & TNB telah memberikan penerangan yang menyeluruh mengenai skop kerja mereka dan para ahli MPTI turut bertukar pandangan serta bertanyakan soalan bagi rakyat Teluk Intan.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/2254733994784324/

    Pimpinan ahli MPTI akan terus mengunjung hormat ke agensi kerajaan yang lain dari semasa ke semasa untuk memudahkan urusan antara semua. Sekali lagi rakaman penghargaan & terima kasih diucapkan kepada pihak JKR, TM & TNB yang memberikan kerjasama serta layanan terbaik kepada para ahli MPTI.
    https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub/videos/372128470228948/