Blog

  • Trump mungkin serang Greenland esok – Pakar sains politik

    Trump mungkin serang Greenland esok – Pakar sains politik

    PARIS – Amerika Syarikat (AS) mungkin menyerang Greenland seawal esok hari, lapor portal berita Daily Express, memetik kenyataan seorang pakar sains politik di Perancis.

    Pakar institut Sciences Po Bordeaux, Profesor Dario Battistella berkata: “Kita tidak boleh menolak kemungkinan Presiden Donald Trump menyerang Greenland.”

    Amaran tersebut dibuat susulan pengeboman AS ke atas Venezuela Sabtu lalu yang menghidupkan semula kebimbangan mengenai pengambilalihan Amerika terhadap Greenland, wilayah milik Denmark.

    Walaupun Trump berjanji menamatkan peperangan melibatkan Amerika, tindakan beliau di Venezuela menunjukkan sebaliknya.

    Battistella berhujah bahawa slogan ‘No More Forever Wars’ atau ‘Tiada Lagi Perang’ hanya merupakan caraTrump untuk mencapai matlamat ‘Amerika Didahulukan.’

    Ini bermakna Trump akan terus menggunakan kekuatan tentera apabila beliau merasakan cara tersebut perlu bagi melindungi kepentingan nasional AS.

    Battistella berkata: “Jika, menurut tafsirannya (Trump), ‘Amerika Didahulukan’ memerlukan kekuatan bersenjata, seperti yang berlaku di Venezuela dan mungkin esok di Greenland, Trump akan melancarkan perang yang beliau harapkan dapat dimenangi dengan cepat.”

    Presiden AS itu berkata kelmarin bahawa Amerika memerlukan Greenland demi keselamatan negara, pendirian yang dipegangnya sejak menduduki White House buat kali kedua.

    Profesor itu menjelaskan: “Itu hanya alasan. Objektif sebenar adalah merampas kawalan ke atas sumber galian semula jadi (Greenland).” – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/06/trump-mungkin-serang-greenland-esok-pakar-sains-politik/

  • MyDigital ID jadi log masuk tunggal mulai 15 Januari

    MyDigital ID jadi log masuk tunggal mulai 15 Januari

    PUTRAJAYA- Platform MyDigital ID akan digunakan sebagai log masuk tunggal bagi warga Malaysia yang menggunakan aplikasi mudah alih Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk melalui pintu masuk negara bermula 15 Januari depan.

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan berkata, ia berfungsi untuk mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa menyimpan data peribadi pengguna.

    Menurutnya, pendekatan ini meningkatkan keselamatan transaksi digital serta memudahkan pengalaman pengguna melalui satu log masuk tunggal tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan.

    “Warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas adalah disarankan untuk memuat turun dan mendaftarkan diri ke aplikasi MyDigital ID sebelum menggunakan MyNIISe.

    “Bagi pengguna warganegara asing, kaedah log masuk sedia ada ke aplikasi MyNIISe akan terus digunakan tanpa sebarang perubahan,” katanya hari ini.

    KDN berkata, aplikasi MyNIISe ini telah mula digunakan bermula 22 September 2025 untuk memasuki pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru, Johor.

    Katanya, aplikasi ini akan diperluaskan secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 1 dan 2; Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu.

    “Sehingga 30 Disember 2025, MyNIISe telah mencatatkan 599,967 muat turun dengan 287,258 pengguna berdaftar.

    “Pelaksanaan MyDigital ID dalam MyNIISe mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan yang selamat, cekap dan berfokuskan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/06/mydigital-id-jadi-log-masuk-tunggal-mulai-15-januari/

  • ‘Terima kasih rakyat Malaysia menyumbang kepada kami’

    ‘Terima kasih rakyat Malaysia menyumbang kepada kami’

    SEPANG – “Terima kasih, syukur alhamdulillah selamat sampai. Terima kasih rakyat Malaysia menyumbang kepada kami,” kata Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, wakil daripada 36 jemaah umrah Malaysia terkandas di Madinah.

    Ahmad Fauzi bersama jemaah tersebut termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pukul 10.45 pagi hari ini dari Jeddah, Arab Saudi.

    Berkongsi perasaannya, bapa kepada lapan anak itu berkata, kesemua jemaah dalam keadaan sihat dan mereka sudah ternanti-nanti untuk pulang ke tanah air selepas menempuh pelbagai ujian di sana.

    “Persatuan mutawif di Madinah, Ustaz Abu Adam, Ustaz Mukram Faiz, pihak Kosmo!, Puan Avaa Vanja, KRS Travel, Tuan Abu Hannan, Tuan Afiz Ayub, Tuan Shah dan isteri, Puan Yasmin selain yang membantu secara langsung atau tak langsung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, mereka telah melaporkan perkara itu kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebaik sahaja tiba di KLIA Terminal 2 hari ini.

    Katanya, mereka juga akan melaporkan perkara tersebut kepada polis dalam masa terdekat.

    Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.

    Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada 3 Januari juga belum mendapat tiket tersebut.

    Berikutan itu, pelbagai pihak turut menghulurkan bantuan termasuk pelakon, Avaa Vanja yang juga mutawifah serta berada di Madinah bertemu jemaah untuk urusan kepulangan mereka.

    Malah, sumbangan turut dibuka bagi membantu pembelian tiket penerbangan pulang ke Malaysia, sebelum ia ditutup selepas jumlah itu mencukupi untuk membawa pulang semua jemaah ke tanah air. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/06/terima-kasih-rakyat-malaysia-menyumbang-kepada-kami/

  • Amirrulmukminin derma mata, tulang dan buah pinggang

    Amirrulmukminin derma mata, tulang dan buah pinggang

    KOTA BHARU – Seorang bapa menunaikan hasrat anak ketujuhnya, Allahyarham Amirrulmukminin Mohd. Zain, 27, untuk mendermakan organ.

    Amirrulmukminin yang terlibat dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur 2, Kemaman dekat Terengganu kira-kira pukul 7 pagi pada 25 Di­sember lalu meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas lapan hari bertarung nyawa.

    Mohd. Zain Daud, 64, berkata, hasrat arwah sudah ditunaikan dan berharap pendermaan organ itu menjadi amalan yang menjadi saham akhirat buatnya.

    Katanya, selepas lapan hari bertarung nyawa di Hospital Kemaman, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami situasi mati otak.

    “Arwah kemudian menjalani pembedahan derma organnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.

    “Hanya bahagian mata, tulang dan buah pinggang Amirrulmukminin yang sesuai untuk didermakan.

    “Semoga ia menjadi amal jariah dan saham buat arwah di akhirat kelak,” katanya ketika ditemui pemberita di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumboh di sini semalam.

    Mohd. Zain yang merupakan pesara polis berkata, sebagai bapa, dia reda dan seluruh ahli sekeluarga sepakat menunaikan permintaan Allahyarham.

    Menurutnya, hasrat murni Amirrulmukminin hanya diketahui selepas salah seorang kakak arwah menjumpai kad ikrar penderma organ di dalam dompetnya.

    “Ahli keluarga membuat pemeriksaan sebelum mendapati ada kad tersebut di dalam dompetnya.

    “Allahyarham Amirrulmukminin pernah menyuarakan hasrat itu semasa mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak.

    “Kami pada awalnya ingat ia satu gurauan dan tidak sangka ikrar tersebut benar,’’ kata beliau.

    Dalam pada itu, pihak HSNZ memaklumkan buah pinggang arwah sudah ada penerimanya dan akan penerima akan segera menjalani pembedahan.

    Sementara itu, kakak kepada arwah, Annurfatinah, 31, berkata, keluarganya terharu melihat penghormatan terakhir yang te­lah dibuat oleh kakitangan hospital HSNZ kepada arwah sehingga video dimuat naik tular di media sosial.

    Video berdurasi 1 minit 12 saat yang memaparkan warga HSNZ berbaris panjang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Amirrulmukminin selepas dia mendermakan organ.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/06/amirrulmukminin-derma-mata-tulang-dan-buah-pinggang/

  • Doktor bedah adik Medina di China rupanya orang Johor

    Doktor bedah adik Medina di China rupanya orang Johor

    PETALING JAYA – Doktor pakar yang berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan hati ke atas Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq yang menghidap penyakit Biliary Atresia, merupakan rakyat Malaysia.

    Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika beliau melawat kanak-kanak berusia dua tahun tersebut di sebuah hospital di Shanghai, China hari ini.

    Menerusi video yang dimuat naik di media sosial Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, Medina dilihat menunjukkan perkembangan positif dan dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

    Dr. Muhamad Akmal turut meluangkan masa bersama kanak-kanak tersebut yang dianggap sebagai ‘buah hati’ beliau.

    “Alhamdulillah berkat doa daripada semua, adik Medina insya-Allah akan discaj dari hospital esok setelah 21 hari di sini (Shsnghai). Terima kasih atas doa daripada anda semua untuk adik Medina,” katanya.

    Dalam kunjungan tersebut, Dr. Muhamad Akmal turut bertemu dengan doktor pakar yang menjalankan pembedahan ke atas kanak-kanak berkenaan.

    “Saya nak bagitahu kepada semua orang dekat Malaysia, progress (perkembangan) adik Medina sangat baik dan tangan yang bedah adik Medina ini adalah seorang doktor yang berasal dari Johor,” ujarnya.

    Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal menyerahkan wang simpanan sebanyak RM120,000 yang sepatutnya digunakan untuk menunaikan haji bagi membantu Medina yang memerlukan rawatan pemindahan hati segera di China. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/06/doktor-bedah-adik-medina-di-china-rupanya-orang-johor/

  • Muhyiddin jumpa Ahmad Samsuri cetus spekulasi kepimpinan baharu PN

    Muhyiddin jumpa Ahmad Samsuri cetus spekulasi kepimpinan baharu PN

    KUALA LUMPUR 6 Jan – Dinamika kepimpinan Perikatan Nasional (PN) kembali menjadi perhatian apabila tular foto pertemuan antara bekas pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai calon pengganti jawatan tertinggi gabungan itu.

    Foto pertemuan berkenaan dimuat naik Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi Facebook hari ini, dengan kapsyen ‘Alhamdulillah, insya-Allah’, yang menguatkan lagi tanggapan bahawa Menteri Besar Terengganu itu antara nama tersenarai sebagai Pengerusi PN.

    Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok, ketika dihubungi BH, mengesahkan pertemuan antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri dibuat atas mandat diberikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Ya, Dr Sam bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin atas mandat daripada Tuan Guru Presiden.

    “Ia ‘casual meeting’ (mesyuarat biasa) memandangkan Tan Sri Muhyiddin baru pulang dari luar negara,” katanya kepada BH.

    Bagaimanapun, Mohd Syahir tidak mengesah atau menafikan sama ada pertemuan itu berkait secara langsung dengan spekulasi pencalonan Ahmad Samsuri untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.

    Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat, namun tidak memperincikan butiran lanjut.

    Sebelum ini, Abdul Hadi mengesahkan PAS akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi berkuat kuasa Khamis lalu.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, mesyuarat membincangkan calon Pengerusi PN yang baharu dijangka diadakan tidak lama lagi dan turut dihadiri pemimpin BERSATU.

    Setakat ini, dua nama dicadangkan PAS iaitu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Samsuri.

    Selain PAS, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut disebut sebagai antara calon berpotensi untuk mengetuai PN.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13493

  • ‘Semua saya lakukan, Lillahi ta‘ala’ – Chegubard dakwa diugut, ditawar jutaan ringgit ketika dedah isu ATM

    ‘Semua saya lakukan, Lillahi ta‘ala’ – Chegubard dakwa diugut, ditawar jutaan ringgit ketika dedah isu ATM

    KUALA LUMPUR 6 Jan – Pendedahan berkaitan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa mengundang tekanan hebat terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, termasuk ugutan dan tawaran wang bernilai jutaan ringgit.

    Menurut Chegubard, semua tekanan itu bagaimanapun tidak menggoyahkan pendiriannya kerana beliau berpegang teguh kepada sumpah yang pernah dilafazkan kepada Allahyarham bapanya, Shaharin Sharif, yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

    “Saya diugut, saya diancam, malah saya ditawarkan sehingga ke tahap jutaan ringgit.”

    Katanya, Selasa merupakan ulang tahun ketiga pemergian bapanya yang menjadi titik tolak kepada perjuangan yang digerakkan hari ini.

    “Saya bersumpah di hadapan arwah bapa saya ketika saya memegang tangannya selama 20 hingga 30 minit sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

    Badrul Hisham berkata, ketika detik itu beliau berjanji kepada arwah bapanya bahawa dirinya ‘diwakafkan’ sepenuhnya untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

    “Segala yang saya lakukan, insya-ALLAH adalah ibadah dan amal. Semua ini menjadi peneman untuknya di sana. Lillahi ta‘ala.

    “Kami orang miskin. Bapa saya bekerja memanjat tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala ibu saya pula seorang pencuci di hospital,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ATM termasuk anggota yang sedang berkhidmat, pegawai serta veteran tentera yang disifatkan tidak putus-putus menyalurkan sokongan dan maklumat berkaitan isu yang didedahkannya.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota tentera, pegawai dan veteran yang menghantar sokongan serta pelbagai maklumat.

    “Saya memberi jaminan bahawa tiada sesiapa pun akan mengetahui identiti sumber. Walau digantung terbalik sekalipun, saya tidak akan mendedahkan siapa sumber tersebut,” tegasnya.

    Mengulas lanjut, Chegubard berkata pendedahan yang dibuat bukan bersifat peribadi, sebaliknya lahir daripada keprihatinan terhadap nasib anggota bawahan dan veteran ATM yang didakwanya terhimpit dengan tekanan hidup.

    “Ia menjadi lebih pedih apabila kita menziarahi rumah-rumah veteran dan keluarga anggota tentera yang hidup dalam keadaan sangat terhimpit dan bergelut dengan tekanan hidup.

    “Mereka berdepan pelbagai cabaran tugas, keluar bertugas, pulang seketika untuk makan dan melihat anak-anak, kemudian keluar bertugas semula,” katanya.

    Menurutnya, situasi itu amat bertentangan dengan apa yang didakwanya berlaku di peringkat atasan apabila terdapat pihak tertentu hidup mewah dan menyalahgunakan kedudukan.

    “Dalam masa yang sama, ada pihak di atas yang sedang berseronok menyakau, menjual kedudukan dan menggunakan pelbagai cara demi kepentingan peribadi,” katanya.

    Beliau menegaskan akan terus bersuara dan membuat pendedahan berkaitan sebarang salah laku demi menjaga kebajikan anggota ATM serta memelihara maruah institusi pertahanan negara.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13494

  • Enggan ‘tebuk atap’, Zahid Hamidi tegaskan UMNO-BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal

    Enggan ‘tebuk atap’, Zahid Hamidi tegaskan UMNO-BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal

    PUTRAJAYA 6 Jan – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmen untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sehingga tamat penggal pentadbiran, sekali gus menepis spekulasi parti itu akan menarik diri dan menjadi pembangkang dalam masa terdekat.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu selari dengan keputusan awal UMNO dan BN ketika bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan pada Disember 2022.

    Katanya, isu berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO semalam, termasuk cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya parti itu menarik diri daripada kerajaan dan mengambil peranan sebagai pembangkang.

    Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan berkenaan.

    “Saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

    “…dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan,” katanya.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, segala perbincangan dalam mesyuarat Biro Politik melibatkan keputusan besar parti dan memerlukan penelitian rapi sebelum sebarang pengumuman dibuat.

    Beliau turut memaklumkan pandangan wakil Perhubungan Negeri telah didengar dan akan diteliti secara menyeluruh.

    “Kita membincangkan soal untuk kerjasama dijalin semula antara UMNO – BN dan pihak pembangkang terutama kerjasama antara UMNO dan PAS.

    “Sebagaimana diketahui mereka juga menyarankan kita mencari waktu yang sesuai untuk meninggalkan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

    Sabtu lalu, Dr Muhamad Akmal ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) berkata, Pemuda UMNO menolak sebarang usaha merampas kuasa atau ‘menebuk atap’ sehingga menjatuhkan kerajaan sedia ada.

    Namun, beliau menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang, sambil menegaskan langkah itu tidak akan menyebabkan kerajaan tumbang kerana masih mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen.

    “Kita tak nak merampas kuasa dari pintu belakang. Kamu pimpinlah negara ini, kita jadilah pembangkang setahun dua tahun ini… kita kuatkan semula orang Melayu,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti pembangkang.

    Tanpa menamakan parti tertentu, beliau berkata UMNO tidak mahu dikhianati buat kali kedua.

    “Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.

    “Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya ketika diminta mengulas kemungkinan menghidupkan semula kerjasama UMNO-PAS di bawah Muafakat Nasional (MN).

    Sebelum ini, Dr Akmal menggesa MN dihidupkan semula susulan perkembangan politik di Perlis, dengan cadangan itu disambut baik Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkannya sebagai kunci kepada kebangkitan semula perpaduan ummah.

    Ahmad Zahid berkata, perkara itu turut menjadi antara topik perbincangan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO semalam.

    RUU had tempoh PM dilihat ‘game changer’

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh sebagai satu langkah pengubah keadaan dalam sistem pentadbiran negara.

    Menurutnya, tempoh terlalu lama memegang jawatan boleh mewujudkan ketepuan walaupun seseorang itu berkelayakan.

    “Ini adalah satu ‘game changer’ yang pada hemat saya, kita tidak mahu supaya seseorang perdana menteri itu terlalu lama, ertinya ‘overstay his or her welcome’,” katanya.

    Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan RUU berkenaan sebagai antara agenda reformasi institusi kerajaan dan hala tuju utama pada sesi Parlimen tahun ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13495

  • Budak parah hingga patah gigi disyaki jadi mangsa dera ibu kandung di Sentul

    Budak parah hingga patah gigi disyaki jadi mangsa dera ibu kandung di Sentul

    KUALA LUMPUR 6 Jan – Kes penderaan kanak-kanak kembali mengejutkan apabila seorang mangsa mengalami kecederaan serius, termasuk gigi hadapan tercabut serta lebam di beberapa bahagian tubuh, selepas dipercayai didera oleh ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di Sentul.

    Dalam kejadian itu, mangsa turut mengalami lebam pada kepala, telinga dan mata selain kecederaan pada badan, tangan serta kaki. Mangsa juga dilaporkan mengalami luka di paha kiri dan kanan, manakala bibirnya kering serta berdarah.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada jam 10.53 malam, Sabtu lalu.

    Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa penderaan berterusan sejak dua minggu lalu sehingga mengalami kecederaan parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

    “Susulan itu, polis menahan ibu mangsa yang berusia 21 tahun dan permohonan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

    Fadil berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Menurutnya, mangsa merupakan anak tunggal kepada suspek yang bekerja sebagai penjual pakaian secara dalam talian. Semakan polis juga mendapati wanita berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13496

  • Tun M disahkan patah pinggul selepas terjatuh di kediaman

    Tun M disahkan patah pinggul selepas terjatuh di kediaman

    KUALA LUMPUR 6 Jan – Insiden terjatuh di kediamannya awal pagi tadi membawa kepada pengesahan kecederaan serius membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, apabila beliau didapati mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan.

    Perkara itu dimaklumkan oleh wakil Pejabat Dr. Mahathir, Sufi Yusoff menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.

    “Selepas menjalani pemeriksaan perubatan, telah disahkan bahawa Tun mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dijangka akan dimasukkan ke hospital untuk tempoh beberapa minggu bagi menjalani rawatan lanjut serta pemerhatian rapi oleh pasukan perubatan.

    Sufi turut memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 7.30 pagi di kediaman Dr Mahathir sebelum beliau dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan sedar.

    “Beliau dimasukkan ke IJN sekitar jam 9.30 pagi,” katanya lagi.

    Untuk rekod, pada 13 Julai 2025, Dr Mahathir yang kini berusia 100 tahun pernah dimasukkan ke IJN akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari sama selepas menerima rawatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13497