Blog

  • Dua pelajar UiTM Rembau maut, motosikal terbabas langgar penghadang jalan di Melaka

    Dua pelajar UiTM Rembau maut, motosikal terbabas langgar penghadang jalan di Melaka

    SEREMBAN 4 Jan – Perjalanan pulang dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau berakhir tragedi apabila mereka terkorban dalam kemalangan motosikal di Jalan Chengkau–Panchang–Lubok Cina, petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, Ismawanie Husna Ismail dan Nur Ain Zulaisya Zahrain, kedua-duanya berusia 19 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius pada bahagian kepala.

    “Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media itu sedang dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina. Keadaan cuaca dilaporkan baik ketika itu.

    “Setiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

    Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13462

  • Trump dakwa Venezuela kini ‘tanggungjawab’ AS, akui berurusan kepimpinan baharu

    Trump dakwa Venezuela kini ‘tanggungjawab’ AS, akui berurusan kepimpinan baharu

    WASHINGTON 4 Jan – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Ahad mencetuskan kontroversi apabila menyatakan bahawa AS memikul tanggungjawab terhadap situasi di Venezuela susulan penahanan Presiden Nicolas Maduro, sambil mengesahkan Washington kini berurusan dengan kepimpinan sementara baharu di Caracas.

    Trump berkata, pihaknya kini berhubung dengan pemimpin yang baru mengangkat sumpah bagi menerajui pentadbiran Venezuela.

    “Kami berurusan dengan orang yang baru sahaja mengangkat sumpah.

    “Jangan tanya saya siapa yang bertanggungjawab kerana saya akan memberikan anda jawapan dan ia akan menjadi sangat kontroversi,” kata Trump kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One apabila ditanya sama ada beliau sudah bercakap dengan pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez.

    Apabila ditekan lanjut mengenai maksud kenyataannya itu, Trump menjawab ringkas.

    “Ini bermakna kami yang bertanggungjawab.”

    Kenyataan itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai peranan sebenar Amerika Syarikat dalam perkembangan politik terkini Venezuela serta hubungan Washington dengan kepimpinan sementara negara Amerika Latin itu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13469

  • Pegawai, anggota polis IPD Bachok disiasat peras ugut RM6,000 daripada ibu suspek dadah

    Pegawai, anggota polis IPD Bachok disiasat peras ugut RM6,000 daripada ibu suspek dadah

    KOTA BHARU 4 Jan – Polis Kelantan sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang pegawai dan beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok susulan dakwaan memeras wang daripada keluarga seorang suspek kes dadah, membabitkan jumlah RM6,000 pada 30 Disember lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata satu siasatan dalaman telah dilancarkan serta-merta pada hari berkenaan ke atas semua individu terbabit.

    “Ia berikutan pegawai dan anggota terbabit didakwa meminta wang serta mengugut ibu suspek itu untuk menyerahkan duit berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mohd Yusoff berkata, siasatan masih dijalankan dan tindakan lanjut ke atas pegawai serta anggota berkenaan akan ditentukan selepas itu.

    Beliau menekankan bahawa pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku, dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

    Sementara itu, menurut sumber, wanita terbabit mendakwa anak lelakinya ditahan oleh beberapa anggota polis di Bachok kerana disyaki memiliki dadah pada hari kejadian.

    Ibu berkenaan mendakwa anggota terbabit meminta wang RM6,000 daripadanya dan mengugut bahawa anaknya akan dimasukkan ke lokap serta dikenakan pertuduhan di mahkamah pada keesokan hari sekiranya bayaran tidak dibuat sebelum tengah malam.

    Wanita yang berasal dari Terengganu itu kemudiannya meminta bantuan seorang rakan sebelum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13470

  • Dikejar anjing, lelaki maut dirempuh lori, isteri dan bayi parah di Kluang

    Dikejar anjing, lelaki maut dirempuh lori, isteri dan bayi parah di Kluang

    KLUANG 4 Jan – Tragedi menyayat hati berlaku di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap apabila seorang lelaki maut manakala isteri serta anak lelakinya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori, kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, mangsa Muhammad Amirul Azim Hamdan, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya Noor Haidah Mohd Basri, 28, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata anak pasangan terbabit, seorang bayi lelaki berusia 20 bulan, turut cedera dan kini dirawat di hospital sama.

    Katanya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TNT300 yang ditunggang mangsa dengan membonceng isteri serta anaknya sedang dalam perjalanan dari Tasik Machap menghala ke Taman Murni.

    “Semasa tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan akibat dikejar anjing lalu memasuki laluan bertentangan.

    “Motosikal itu kemudiannya melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan. Akibatnya, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

    “Isteri dan anak mangsa juga cedera di kepala dan mereka kini dirawat di zon merah hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurut beliau, susulan kemalangan itu, polis turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pemandu lori berusia 42 tahun, namun hasilnya didapati negatif dadah.

    “Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13471

  • Lelaki mati ditembak ketika makan di restoran makanan segera di Banting

    Lelaki mati ditembak ketika makan di restoran makanan segera di Banting

    BANTING 5 Jan – Suasana tenang di sebuah restoran makanan segera di sini bertukar kecoh apabila seorang lelaki maut ditembak dalam satu kejadian mengejutkan pada malam Ahad.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dipercayai sedang makan di restoran berkenaan sebelum ditembak oleh individu tidak dikenali. Pasukan polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan segera mengawal kawasan kejadian bagi tujuan siasatan.

    Tinjauan di lokasi mendapati kawasan berkenaan dikawal ketat oleh pihak polis bagi membolehkan pasukan forensik menjalankan pemeriksaan terperinci. Kawasan kejadian turut menjadi tumpuan orang awam apabila ramai memberhentikan kenderaan untuk mengetahui perkembangan insiden terbabit.

    Turut berada di lokasi ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din serta Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi bagi memantau perjalanan siasatan.

    Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dikerahkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan mengesan sebarang petunjuk berkaitan kejadian tembakan itu.

    Difahamkan, suspek dipercayai seorang lelaki yang menunggang motosikal dan kini masih diburu polis. Insiden berkenaan turut tular di media sosial, khususnya Facebook, dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

    Pihak polis memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan bagi menjelaskan butiran lanjut berhubung kejadian tersebut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13472

  • Kerajaan salur RM200 juta baik pulih sekolah agama rakyat dan tahfiz

    Kerajaan salur RM200 juta baik pulih sekolah agama rakyat dan tahfiz

    KUALA LUMPUR 5 Jan – Kerajaan menyediakan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi menambah baik kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah tahfiz dan institusi berkaitan susulan laporan keadaan sekolah-sekolah tersebut yang disifatkan antara paling daif di negara ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun SAR tidak berada di bawah skim Dasar Pendidikan Kebangsaan, lebih 300,000 pelajar sedang menuntut di institusi berkenaan dan kebajikan mereka tidak boleh terus dipinggirkan.

    “Dulu semua bantuan kepada sekolah agama rakyat ini dibatalkan sama sekali. Keadaan itu sebenarnya mendera anak-anak kita,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang disiarkan secara langsung hari ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya bekerjasama rapat dengan SAR bagi menambah baik kurikulum, meningkatkan mutu pembelajaran serta memperkukuh tahap profesionalisme guru melalui latihan yang lebih tersusun.

    Menurut Anwar, langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan institusi pendidikan agama terus diperkasa selaras dengan keperluan semasa, selain menjamin kebajikan dan masa depan para pelajar.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13476

  • Pencapaian pendidikan negara sepanjang 2025 hanya gred B, banyak isu asas belum selesai – Pakar

    Pencapaian pendidikan negara sepanjang 2025 hanya gred B, banyak isu asas belum selesai – Pakar

    KUALA LUMPUR 5 Jan – Sistem pendidikan negara perlu memberi tumpuan serius kepada keberkesanan pelaksanaan dasar, isu salah laku serta kesihatan mental murid, selain kemerosotan enrolmen aliran Sains Tulen bermula tahun 2026 bagi memastikan kualiti pendidikan Malaysia kembali berdaya saing di peringkat antarabangsa.

    Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, pencapaian pendidikan negara sepanjang 2025 hanya layak diberi penarafan ‘Gred B’, memandangkan banyak isu asas masih gagal diselesaikan secara menyeluruh walaupun peruntukan kewangan pendidikan negara antara yang tertinggi di rantau ini berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Menurut beliau, keputusan Programme for International Student Assessment (PISA) sejak 2007 membuktikan pencapaian Malaysia kekal di bawah purata antarabangsa dan tidak menunjukkan peningkatan ketara sejak lebih 15 tahun lalu.

    “Ini menunjukkan masalah sebenar bukan terletak pada dasar atau peruntukan, tetapi pada penyampaian dan pelaksanaan pendidikan yang kurang berkesan,” katanya.

    Beliau membandingkan situasi itu dengan Singapura yang walaupun memperuntukkan peratusan KDNK lebih rendah untuk pendidikan, namun berjaya mencapai tahap kecemerlangan tertinggi dalam PISA sejak 2009.

    Mengulas isu sosial, Dr Anuar berkata peningkatan kes salah laku murid serta masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja semakin membimbangkan, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    Katanya, garis panduan disiplin, prosedur hukuman, kaunseling serta kerjasama antara ibu bapa dan guru perlu kepada kerangka baharu yang lebih berkesan dan bersifat pencegahan.

    Dalam masa sama, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan ketara enrolmen murid dalam aliran Sains Tulen yang akan memberi kesan langsung kepada penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

    “Negara serantau seperti Laos dan Kemboja kini menunjukkan prestasi lebih baik dalam sains dan matematik, manakala Singapura dan Vietnam sudah lama mendahului kita,” katanya merujuk laporan SEA-PLM 2025.

    Sehubungan itu, Dr Anuar menggesa kepimpinan pendidikan negara menjadikan 2026 sebagai tahun kebangkitan kualiti pendidikan dengan sasaran jelas untuk mencapai kedudukan melebihi purata antarabangsa dalam penilaian PISA dan TIMSS akan datang.

    Beliau turut menegaskan budaya kerja bersendirian tanpa libat urus masyarakat perlu ditamatkan, sebaliknya membuka ruang kepada perkongsian idea dan tenaga demi masa depan pendidikan negara.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13477

  • Inti pati Perutusan Tahun Baharu 2026 PM Anwar

    Inti pati Perutusan Tahun Baharu 2026 PM Anwar

    KUALA LUMPUR 5 Jan – Berikut adalah inti pati Perutusan Tahun Baharu 2026 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

    Pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara adalah undang-undang pertama yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.

    Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat akan dibentang dan diluluskan di Parlimen tahun ini.

    Rang undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentang pada sesi Parlimen ini.

    Pelaksanaan sistem digital akan dipergiatbagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

    Gaji hakim mahkamah dinaikkan selepas 10 tahun tiada kenaikan.

    Peruntukan naik taraf sekolah sebanyak RM80 juta diberikan kepada SJKC, RM50 juta kepada SJKT.

    Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 akan bermula 20 Jan.

    Pemberian SARA RM100 kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Feb.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13478

  • Polis buru tiga suspek samun kedai telefon bimbit, kerugian lebih RM20,000

    Polis buru tiga suspek samun kedai telefon bimbit, kerugian lebih RM20,000

    SUNGAI PETANI 5 Jan – Polis sedang memburu tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai telefon bimbit berhampiran Zon Perindustrian Cendana di sini, awal pagi tadi, dengan kerugian dianggarkan melebihi RM20,000.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

    Menurut beliau, ketiga-tiga suspek dipercayai memakai penutup muka ketika melakukan jenayah tersebut.

    “Pegawai polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek yang terlibat. Kerugian dianggarkan melebihi RM20,000,” katanya.

    Sementara itu, pemilik kedai memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi apabila suspek memecah masuk premis berkenaan sebelum mengugut seorang pengawal keselamatan menggunakan parang.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, pemilik kedai berkata pengawal keselamatan tidak mengalami kecederaan, namun telefon bimbit miliknya turut dilarikan.

    Katanya, suspek melarikan kira-kira RM20,000 stok telefon bimbit pelbagai jenama termasuk iPhone dan peranti Android.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap penjualan telefon bimbit baharu pada harga terlalu murah kerana ia berkemungkinan hasil daripada kegiatan samun tersebut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13479

  • Cadangan UMNO keluar Kerajaan Perpaduan perlu ikut proses parti – Azalina

    Cadangan UMNO keluar Kerajaan Perpaduan perlu ikut proses parti – Azalina

    PUTRAJAYA 5 Jan – Sebarang cadangan berkaitan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk kerjasama dengan PAS, perlu dibincangkan melalui proses dan saluran parti yang betul, bukan berdasarkan pandangan peribadi semata-mata.

    Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang pandangan mesti dibawa ke platform rasmi seperti mesyuarat Biro Politik dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi memastikan keputusan dibuat secara bermusyawarah.

    Menurut beliau, UMNO mempunyai tradisi perbincangan dan kebijaksanaan kepimpinan sejak penubuhannya pada 1946, khususnya dalam membuat keputusan penting melibatkan hala tuju parti.

    “Kalau nak buat keputusan besar, mesti ada proses. Dalam Islam pun ada musyawarah dan sulh. UMNO sentiasa mengamalkan budaya perbincangan dan muafakat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengulas cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan mengambil peranan sebagai pembangkang.

    Dr Muhamad Akmal turut mencadangkan UMNO segera menjalin penyatuan dengan PAS atas dasar menjaga kepentingan agama dan bangsa.

    Bagaimanapun, Azalina mempertikai dakwaan kaji selidik yang dilakukan bagi menyokong cadangan tersebut, dengan mempersoalkan sama ada ia benar-benar mewakili pandangan keseluruhan ahli dan wakil rakyat UMNO serta BN.

    “Adakah kaji selidik itu melibatkan wakil rakyat atau hanya ahli biasa? ADUN dan Ahli Parlimen BN terlibat atau tidak, kita tidak tahu,” katanya.

    Tambah beliau, pandangan itu adalah bersifat peribadi dan perlu dinilai secara menyeluruh melalui mekanisme parti sebelum sebarang keputusan dibuat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13481