Blog

  • Isu pemandu mabuk perlu pencegahan berkesan, bukan hukuman mati – Kasthuri

    Isu pemandu mabuk perlu pencegahan berkesan, bukan hukuman mati – Kasthuri

    KUALA LUMPUR 31 Mac – Pendekatan berasaskan pencegahan dan penguatkuasaan menyeluruh perlu diberi keutamaan dalam menangani isu pemanduan mabuk, tanpa dipolemikkan mengikut garis kaum atau agama.

    Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, insiden terbaharu membabitkan pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga meragut nyawa seorang lelaki tidak berdosa wajar dijadikan pengajaran serius kepada semua pihak.

    Menurutnya, tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa yang kehilangan suami dan bapa.

    “Ini bukan isu kaum atau agama, sebaliknya melibatkan aspek pencegahan, tanggungjawab bersama, hukuman lebih tegas dan penguatkuasaan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Kasthuri tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengesyorkan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

    Beliau berpendapat cadangan tersebut tidak menyelesaikan punca sebenar masalah selain tidak disokong bukti empirikal.

    “Polisi awam perlu berasaskan data, standard antarabangsa dan amalan terbaik, bukan reaksi spontan,” katanya lagi.

    Kasthuri berkata, walaupun hukuman lebih berat diperlukan, aspek penguatkuasaan, pendidikan awam dan langkah pencegahan harus diperkasa.

    “Hukuman hanya berkesan selepas jenayah berlaku, tetapi pencegahan perlu diberi keutamaan sama, jika tidak lebih penting,” katanya lagi.

    Beliau turut mencadangkan Malaysia mencontohi pendekatan negara luar seperti penggunaan alat ‘alcohol interlock’ yang memerlukan pemandu lulus ujian pernafasan sebelum kenderaan boleh dihidupkan.

    Selain itu, beliau mencadangkan pelaksanaan sekatan lesen serta kempen pemandu berhemah secara lebih meluas dengan kerjasama industri dan premis hiburan.

    Kasthuri turut menggesa kerajaan merangka pelan nasional jangka panjang antara lima hingga 10 tahun melibatkan pelbagai pihak termasuk komuniti dan sektor swasta.

    Beliau juga mencadangkan pelaksanaan sekatan jalan raya secara berkala tanpa notis serta penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa bagi meningkatkan integriti bukti.

    Dalam masa sama, beliau mengkritik sikap segelintir pihak yang berkongsi lokasi sekatan jalan raya di media sosial kerana ia menjejaskan usaha penguatkuasaan.

    “Ini bukan perang terhadap alkohol, tetapi terhadap pemandu tidak bertanggungjawab. Setiap nyawa yang terkorban adalah tragedi bersama,” katanya lagi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14989

  • Berang ditegur ‘bawa motor macam nak jatuh’, lelaki amuk guna topi keledar di Jasin

    Berang ditegur ‘bawa motor macam nak jatuh’, lelaki amuk guna topi keledar di Jasin

    JASIN 31 Mac – Pihak polis kini sedang memburu seorang lelaki yang bertindak agresif merosakkan sebuah kereta dan mencederakan pemandunya dalam satu kejadian perselisihan faham di tepi jalan Kampung Bukit Senggeh, Selandar, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 26 Mac lalu sekitar jam 3.34 petang melibatkan seorang pengadu lelaki berusia 35 tahun.

    Siasatan awal mendapati ketegangan bermula apabila pengadu menyedari sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru di belakang kenderaannya berada dalam keadaan mencurigakan seperti hampir terjatuh.

    “Apabila suspek memotong di sebelah kanan, pengadu bertindak membuka tingkap untuk menegur lelaki berkenaan. Bagaimanapun, suspek berpatah balik dalam keadaan marah sebelum menendang pintu bahagian pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Suspek kemudiannya bertindak lebih luar kawalan dengan memukul pintu dan cermin tingkap kereta menggunakan topi keledar sebanyak tiga hingga empat kali sehingga menyebabkan kerosakan.

    Situasi bertukar cemas apabila pengadu yang keluar dari kenderaan turut terkena hayunan topi keledar pada lengan kanan sehingga mengalami luka melecet.

    “Isteri pengadu yang berada di dalam kereta bersama anak-anak sempat merakam video kejadian, namun rakaman tersebut tidak begitu jelas kerana mereka berada dalam keadaan ketakutan,” jelas beliau.

    Walaupun wajah suspek dipercayai kelihatan dalam rakaman, semakan melalui sistem pengecaman wajah setakat ini mendapati tiada padanan diperoleh. Pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Jasin bagi kecederaan yang dialami.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Ainul Shahirah Shaharuddin di talian 012-467 1531 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14988

  • Berang mangsa ‘buat pekak’, kumpulan bersenjata serang lelaki di kedai makan Kapar

    Berang mangsa ‘buat pekak’, kumpulan bersenjata serang lelaki di kedai makan Kapar

    KLANG 31 Mac – Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan individu bersenjata tajam hanya kerana dipercayai tidak melayan atau “buat pekak” terhadap kata-kata kumpulan berkenaan dalam satu kejadian di sebuah kedai makan di Kapar, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, insiden berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa sedang menjamu selera bersama dua rakan sebelum didatangi empat lelaki yang cuba mencetuskan provokasi.

    Menurut beliau, perselisihan faham bermula apabila mangsa dikatakan sengaja tidak mengendahkan apa yang diperkatakan oleh kumpulan suspek tersebut sehingga mencetuskan kemarahan melampau mereka.

    “Salah seorang suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menghayunkannya ke arah rakan pengadu, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan dada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum melarikan diri, kumpulan suspek turut mengeluarkan ugutan jenayah untuk menembak pengadu dalam masa terdekat.

    Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

    Susulan laporan tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan secara berasingan pada hari kejadian dan Selasa. Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).

    “Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan dadah,” ujar Vijaya Rao.

    Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dayang Siti Aishah Awang Ramli di talian 010-5825382 bagi membantu siasatan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14987

  • Indonesia kekal harga petrol bagi April, beri jaminan bekalan cukup

    Indonesia kekal harga petrol bagi April, beri jaminan bekalan cukup

    JAKARTA 31 Mac – Kerajaan Indonesia mengesahkan harga bahan api bagi bulan April dikekalkan, selain memberi jaminan bekalan minyak adalah mencukupi di sebalik kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.

    Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara kerajaan dan syarikat minyak milik negara, Pertamina, selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto yang mengutamakan kepentingan rakyat.

    “Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api adalah mencukupi dan harga akan kekal tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Di Indonesia, penyelarasan harga bahan api biasanya dilakukan pada setiap awal bulan, bergantung kepada perubahan harga minyak mentah dunia serta polisi subsidi kerajaan.

    Sementara itu, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Sufmi Dasco Ahmad menggesa orang ramai supaya bertenang dan mengelakkan pembelian panik (panic buying).

    “Orang awam tidak perlu beratur panjang atau menyorok bekalan minyak secara berlebihan. Stok sedia ada adalah mencukupi dan kerajaan fokus sepenuhnya dalam mengekalkan kestabilan bekalan serta harga,” jelas beliau.

    Beliau berharap penjelasan tersebut dapat memberikan maklumat tepat kepada masyarakat sekali gus mengelakkan penyebaran berita palsu mengenai kenaikan harga minyak.

    Sufmi turut menambah bahawa kerajaan akan terus memantau situasi semasa bagi memastikan kebajikan rakyat terus dilindungi.

    Untuk rekod, bahan api bersubsidi jenis Pertalite (RON 90) di Indonesia dijual pada harga tetap Rp10,000 (kira-kira RM2.98) seliter, manakala diesel bersubsidi (Biosolar) dihadkan pada Rp6,800 (kira-kira RM2.03) seliter dengan kos perbezaan ditanggung kerajaan.

    Bagi bahan api tidak bersubsidi pula, harganya ditentukan mengikut mekanisme pasaran dengan Pertamax (RON 92) berada pada paras RM12,300 (RM3.67) seliter dan Pertamax Turbo (RON 98) sekitar Rp13,100 (RM3.91) seliter bagi bulan Mac.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14986

  • Lebih 10,000 akaun palsu guna identiti YDPA, Raja Permaisuri dipadam

    Lebih 10,000 akaun palsu guna identiti YDPA, Raja Permaisuri dipadam

    KUALA LUMPUR 31 Mac – Sebanyak lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong serta ahli keluarga diraja telah diturunkan sejak awal tahun ini.

    Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan tegas itu dilakukan oleh platform media sosial hasil pemantauan berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 1 Januari hingga 28 Mac lalu.

    Beliau menjelaskan bahawa trend penyalahgunaan identiti melibatkan Sultan Pahang, Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Sultan Johor juga dikesan berlaku hampir setiap hari.

    “Semalam, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai beberapa perkara yang membimbangkan. MCMC mendapati lebih 10,000 akaun palsu yang menyamar sebagai Seri Paduka Baginda dan ahli keluarga diraja telah dipadamkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan Simposium Penyiaran Digital Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) 2026 (DBS 2026) di sini, hari ini.

    Susulan itu, Sultan Ibrahim telah menitahkan Kementerian Komunikasi dan MCMC untuk mengambil tindakan segera dan tegas, termasuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Onsa) 2025 bagi memastikan platform media sosial mematuhi undang-undang negara.

    Fahmi turut melahirkan rasa kesal terhadap penyedia platform Meta yang disifatkan sangat lambat dan tidak serius dalam menangani isu tersebut, sehingga mencetuskan kekecewaan pihak kementerian.

    “Kami akan menguatkuasakan Onsa dengan tegas. Dijangkakan dalam tempoh beberapa minggu lagi, selepas beberapa instrumen subsidiari digazetkan oleh Jabatan Peguam Negara, penguatkuasaan penuh dapat dimulakan,” tegasnya.

    Langkah ini dianggap kritikal bagi mengelakkan identiti diraja dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan dan pelbagai aktiviti skam.

    Selain itu, satu mesyuarat bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh usaha menangani penipuan melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), termasuk penipuan ‘deepfake’.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14985

  • MCMC beri amaran keras, organisasi media dilarang siar kandungan tragis demi ‘view’

    MCMC beri amaran keras, organisasi media dilarang siar kandungan tragis demi ‘view’

    PUTRAJAYA 31 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan peringatan tegas kepada semua organisasi media agar mengamalkan pertimbangan editorial yang tinggi serta mematuhi standard etika dalam mengendalikan kandungan sensitif.

    Peringatan itu merujuk kepada pelaporan membabitkan kes kemalangan, tragedi, dan insiden kehilangan nyawa yang sering kali dieksploitasi di platform digital.

    MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyebaran imej atau video bersifat eksplisit yang memaparkan mangsa meninggal dunia adalah tindakan tidak sensitif serta tidak menghormati maruah mangsa dan perasaan ahli keluarga.

    “Usaha mendapatkan tontonan (views) tidak boleh mengatasi nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. Kandungan sedemikian dianggap tidak beretika dan tidak seharusnya dikongsi semata-mata untuk meningkatkan capaian dalam talian,” menurut kenyataan itu.

    Susulan itu, MCMC menegaskan bahawa kegagalan mematuhi garis panduan etika pelaporan boleh mengakibatkan tindakan pengawalseliaan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

    Antara tindakan yang boleh dikenakan termasuklah penggantungan akaun media sosial berkaitan sekiranya didapati melanggar standard yang ditetapkan.

    “Semua organisasi media perlu memastikan penyiaran kandungan dilakukan secara bertanggungjawab dan berhemah. Semua pihak diharap terus bertindak secara profesional serta menghormati sensitiviti masyarakat pada setiap masa,” tambahnya lagi.

    Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan pihak berkuasa untuk membendung trend perkongsian kandungan ‘ngeri’ yang semakin berleluasa demi mengejar populariti di media sosial.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14984

  • Bantuan Budi Diesel kekal RM300 bulan April, mula dibayar 8 April ini

    Bantuan Budi Diesel kekal RM300 bulan April, mula dibayar 8 April ini

    KUALA LUMPUR 31 Mac – Kerajaan akan mengekalkan bantuan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) pada kadar RM300 sebulan bagi bulan April ini bagi membantu mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran tenaga global.

    Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bantuan interim tambahan sebanyak RM100 akan diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan untuk kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi kekal RM300.

    Bayaran tersebut akan mula disalurkan pada 8 April depan yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 340,000 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM102 juta.

    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api global.

    “Langkah ini memastikan pengguna diesel, khususnya individu dan mereka dalam sektor agri-komoditi, terus menerima sokongan dan terlindung daripada kesan penuh kenaikan harga global,” menurut kenyataan itu.

    Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, program Budi Diesel telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.12 bilion bagi meringankan beban kewangan rakyat.

    Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa pendekatan bersasar ini memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sambil mengekalkan disiplin fiskal negara.

    Selain bantuan interim ini, kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan memberi manfaat terus kepada rakyat.

    “Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran tenaga global dengan teliti dan bersedia mengambil tindakan lanjut bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan mencukupi.

    “Penguatkuasaan juga akan diperkasakan bagi mengekang ketirisan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar yang ditetapkan,” tambahnya lagi.

    Individu yang layak boleh memohon bantuan Budi Diesel sepanjang tahun melalui laman web rasmi di https://budidiesel.gov.my.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14983

  • Iran bagi ‘laluan percuma’, kapal Malaysia tak payah bayar tol di Selat Hormuz

    Iran bagi ‘laluan percuma’, kapal Malaysia tak payah bayar tol di Selat Hormuz

    SHAH ALAM 31 Mac – Kerajaan mengesahkan kapal-kapal milik Malaysia yang melalui Selat Hormuz ketika konflik di Asia Barat tidak akan dikenakan sebarang caj tol oleh pihak berkuasa Iran.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keistimewaan itu diberikan hasil hubungan diplomatik yang sangat kukuh antara Malaysia dan Iran, di mana Malaysia dianggap sebagai sebuah negara sahabat.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pagi tadi.

    “Perdana Menteri telah berkongsi maklumat ini dalam mesyuarat MTEN. Tiada caj tol dikenakan terhadap kapal Malaysia yang melalui laluan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian cek cura kepada SMJK Chan Hwa, di sini hari ini.

    Mengulas mengenai kesan konflik terhadap sektor penerbangan domestik, Loke memaklumkan setakat ini tiada cabaran besar dikesan melainkan kenaikan kos bahan api yang mendadak.

    Sehubungan itu, beberapa syarikat penerbangan berkemungkinan akan melakukan rasionalisasi operasi termasuk menggabungkan penerbangan atau mengurangkan kekerapan di laluan tertentu yang mempunyai faktor muatan rendah.

    “Langkah ini bersifat sementara bagi meningkatkan kecekapan berikutan kos bahan api yang amat tinggi pada masa ini,” tambahnya.

    Bagi sektor perkapalan pula, kerajaan sedang berbincang dengan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) untuk memperkenalkan mekanisme surcaj yang lebih bersusun dan seragam bagi memastikan penetapan harga yang adil.

    Dalam pada itu, Loke menegaskan tiada projek di bawah kementeriannya akan dihentikan atau mengalami pemotongan belanjawan, namun keutamaan pelaksanaan akan diselaraskan mengikut manfaat terbesar kepada rakyat dan ekonomi.

    Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan kini berada dalam “mod krisis” dengan mesyuarat MTEN diadakan pada setiap hari Selasa bagi memantau kestabilan bekalan tenaga negara.

    “Walaupun Malaysia negara pengeluar minyak, kita masih bergantung kepada pasaran global. Fokus utama sekarang adalah memastikan bekalan bahan api kekal stabil sepanjang tempoh konflik ini yang dijangka memberi kesan ekonomi antara enam hingga 24 bulan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14982

  • Akta Pekerja Gig 2025 berkuat kuasa hari ini, lebih 1.64 juta pekerja terima perlindungan

    Akta Pekerja Gig 2025 berkuat kuasa hari ini, lebih 1.64 juta pekerja terima perlindungan

    PUTRAJAYA 31 Mac – Lebih 1.64 juta individu dalam sektor ekonomi gig kini menikmati perlindungan lebih menyeluruh apabila Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) mula berkuat kuasa secara rasmi hari ini.

    Akta berkenaan meliputi pelbagai aspek penting termasuk perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian perkhidmatan, larangan diskriminasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta jaminan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

    Selain itu, mekanisme penyelesaian pertikaian turut diperkemas menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Tribunal Pekerja Gig.

    Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata, pekerja gig kini tidak perlu khuatir kerana akta menyediakan perlindungan perundangan yang holistik tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan sedia ada.

    Menurutnya, Malaysia mengambil pendekatan tersebut selepas meneliti amalan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan India sebelum memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi melindungi pekerja gig secara komprehensif.

    Beliau turut menjelaskan takrif pekerja gig dalam akta berkenaan merangkumi tiga kriteria utama iaitu individu mestilah warganegara atau pemastautin tetap (PR), mempunyai perjanjian dengan entiti kontrak sama ada melalui platform atau tanpa platform, serta menerima bayaran bagi setiap perkhidmatan.

    “Contoh pekerja gig yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan penyedia platform ialah pekerja e-hailing dan p-hailing, manakala pekerja gig tanpa platform merujuk kepada golongan dalam sektor lakonan, aktiviti perfileman serta muzik, terjemahan, kewartawanan dan lain-lain seperti disenaraikan di bawah jadual Akta 872.

    “Saya ambil maklum ada pihak yang mempersoalkan tentang takrifan pekerja gig di dalam akta ini turut meliputi PR di Malaysia.

    “Ingin saya tegaskan yang Akta 872 bukan cuma melindungi pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing sahaja, tetapi juga pekerja gig tanpa platform yang berada di dalam sembilan sektor perkhidmatan ini.” katanya ketika sidang media di Menara PERKESO.

    Ramanan menegaskan tiada isu berbangkit yang menunjukkan akta itu bercanggah dengan dasar atau perundangan sedia ada.

    Dalam masa sama, beliau memaklumkan penubuhan Majlis Perundingan Gig (MPGIG) sebagai platform triparti melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak.

    Majlis itu berperanan menasihati kerajaan berhubung kadar pendapatan minimum, formula serta standard perkhidmatan berdasarkan sektor, wilayah dan jenis pekerjaan gig.

    “Saya faham isu kadar pendapatan pekerja gig antara masalah utama yang sering dibangkitkan kelompok ini.

    “Justeru, ini memang menjadi agenda awal yang akan dirunding dan dibincangkan secara bersama melalui MPGIG bagi mendapatkan jalan penyelesaian tuntas,” ujarnya.

    Tambah beliau, seramai 26 anggota MPGIG telah dilantik berkuat kuasa 1 April dan mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada 3 April ini.

    Sementara itu, kerajaan turut meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan penyelaras tunggal bagi industri berkenaan, merangkumi aspek penggubalan dasar, pelaksanaan dan pemantauan.

    Menurut Ramanan, langkah itu selari dengan pelaksanaan Akta 872 yang menjadi asas perlindungan hak dan kebajikan pekerja gig.

    Beliau berkata, pekerja gig kini boleh membuat aduan berkaitan isu seperti bayaran, penggantungan akaun atau pelanggaran kontrak melalui sistem e-Aduan yang disediakan oleh kementerian.

    “Sistem ini boleh dilayari melalui laman web kementerian di pautan https://eaduan-gig.mohr.gov.my/ mulai 1 April.

    “Selain itu, selaras dasar ‘No Wrong Door Policy’, pekerja gig juga boleh datang ke mana-mana jabatan atau agensi di bawah Kesuma untuk buat aduan dan proses memakan masa maksimum 21 hari bekerja,” jelasnya.

    Mengimbas proses penggubalan akta tersebut, kementerian telah mengadakan 37 sesi libat urus sejak 2024 melibatkan 3,873 peserta daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, kesatuan sekerja, majikan, penyedia platform, pekerja gig serta ahli akademik di seluruh negara.

    Pandangan pelbagai pihak turut diambil kira termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kementerian Digital Malaysia dan Kementerian Ekonomi Malaysia.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14981

  • SPM 2025: Lima calon Orang Asli cemerlang, lebih ramai layak terima sijil

    SPM 2025: Lima calon Orang Asli cemerlang, lebih ramai layak terima sijil

    PUTRAJAYA 31 Mac – Pencapaian calon daripada komuniti Orang Asli dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai layak menerima sijil, termasuk lima calon yang mencatat keputusan cemerlang.

    Lima calon Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran SPM 2025.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata seramai 133 calon Orang Asli memperoleh sekurang-kurangnya kepujian gred B+, B, C+ dan C.

    “Selain itu, seorang calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney memperoleh semua A manakala 24 calon memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dan 63 calon sekurang-kurangnya mendapat lulus.

    “Bagi Sekolah Tunas Bakti pula, seorang calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya kepujian untuk semua mata pelajaran,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, seramai 1,768 calon Orang Asli layak dianugerahkan sijil SPM 2025 berbanding hanya 1,527 orang pada tahun sebelumnya.

    Bagi calon Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, beliau berkata seramai 10 calon layak mendapat sijil SPM 2025 berbanding hanya dua pada SPM 2024.

    “Bagi calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney pula, seramai 99 calon layak dianugerahkan sijil bagi SPM 2025 berbanding hanya 94 calon pada 2024.

    “Seramai 35 calon Sekolah Tunas Bakti pula layak dianugerahkan sijil SPM 2025 berbanding 20 pada tahun sebelumnya,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14977