Blog

  • Pemandu Range Rover disyaki mabuk rempuh van dinaiki enam penumpang di Kajang

    Pemandu Range Rover disyaki mabuk rempuh van dinaiki enam penumpang di Kajang

    KAJANG 31 Mac โ€“ Enam individu cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk melanggar sebuah van dalam kejadian di Jalan Pintasan Kajangโ€“Semenyih, awal pagi Selasa.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, SUV jenis Range Rover Velar yang dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang van jenis Mazda E1800 Wagon.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, akibat pelanggaran tersebut, van terbabit terbalik di bahu kiri jalan.

    “Akibat pelanggaran tersebut, van terbabit terbalik di bahu kiri jalan, pemandu bersama lima penumpang berusia antara tujuh hingga 51 tahun mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kajang serta Hospital Serdang.

    “Manakala, pemandu Range Rover tidak mengalami sebarang kecederaan, lelaki itu direman dua hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

    Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nurul Shaffika Mohd Shair di talian 013-2091766 bagi membantu siasatan.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14979

  • Mahkamah perintah Najib bayar AS$1.3 bilion kepada SRC International

    Mahkamah perintah Najib bayar AS$1.3 bilion kepada SRC International

    KUALA LUMPUR 31 Mac โ€“ Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak membayar ganti rugi berjumlah AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd selepas didapati terlibat dalam pecah amanah dan salah guna kuasa.

    Keputusan itu dibuat Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin selepas membenarkan saman sivil yang difailkan syarikat berkenaan.

    Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar ganti rugi konspirasi, faedah sebanyak lima peratus setahun, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Melalui penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam itu, Ahmad Fairuz berkata mahkamah mendapati defendan sebagai penasihat emeritus syarikat memegang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting membabitkan SRC, bermula daripada penubuhan sehingga usaha menutup penyelewengan.

    “Defendan memainkan peranan penting dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011. Beliau mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 2012, sekali gus mengeluarkannya daripada pengawasan lembaga 1MDB dan meletakkan SRC secara langsung di bawah kawalannya sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

    “Beliau juga secara peribadi berhubung dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat dan perbincangan bagi mendapatkan pinjaman pertama, membuktikan bahawa pinjaman itu adalah inisiatif beliau.

    “Beliau menyebabkan pindaan perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham.

    “Beliau turut mengarahkan penyaluran dana kepada SRC BVI serta anak syarikat BVI, iaitu struktur yang tidak mempunyai tujuan pelaburan yang sah, sebaliknya direka untuk memudahkan penyelewengan, sekali gus menerima AS$120 juta daripada dana yang diselewengkan ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam prosiding itu.

    Prosiding berkenaan dihadiri peguam yang mewakili SRC selaku plaintif iaitu Lim Chee Wee, manakala defendan diwakili Muhammad Shafee Abdullah.

    Dalam pada itu, Ahmad Fairuz berkata, tindakan Najib bukan kecuaian atau kesilapan pertimbangan, sebaliknya perbuatan penipuan yang disengajakan dan dirancang demi kepentingan diri.

    Justeru, katanya, Najib bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif ke atas aset SRC yang diselewengkan melalui penipuannya dan dikehendaki mengembalikan akaun dana terbabit dan keuntungan yang diperoleh.

    Mahkamah turut mendapati defendan bertanggungjawab untuk membayar semula dana syarikat dan pampasan masing-masing berjumlah AS$1.18 bilion serta AS$120 juta.

    Sementara itu, tuntutan Najib terhadap pihak ketiga membabitkan lima individu termasuk bekas pengarah SRC International ditolak mahkamah.

    Mahkamah mendapati tuntutan itu pada asasnya satu percubaan menggunakan hujahan sama seperti dalam pembelaannya, dengan tujuan memindahkan liabiliti kepada Lembaga Pengarah SRC.

    Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman AS$1.18 bilion terhadap Najib serta enam bekas pengarah syarikat itu, dengan mendakwa beliau menyalah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat.

    Najib, 72, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14980

  • Generasi tanpa UPSR, PT3 berjaya bukti ketahanan tinggi, pencapaian SPM 2025 meningkat – Fadhlina

    Generasi tanpa UPSR, PT3 berjaya bukti ketahanan tinggi, pencapaian SPM 2025 meningkat – Fadhlina

    KAJANG 31 Mac โ€“ Pencapaian memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan keupayaan pelajar terus cemerlang walaupun tanpa melalui peperiksaan utama di peringkat awal persekolahan.

    Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan calon SPM 2025 sebagai generasi yang mempunyai daya tahan tinggi, meskipun merupakan kohort pertama yang tidak menduduki peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata peningkatan pencapaian keputusan SPM 2025 membuktikan bahawa ketiadaan peperiksaan berkenaan tidak menjejaskan keupayaan pelajar, sebaliknya membentuk kekuatan dan ketahanan diri yang lebih kukuh.

    “Ini adalah generasi yang sering dibincangkan sebelum ini kerana mereka tidak melalui UPSR dan PT3.

    “Namun, kita mengambil pendekatan yang positif dan hari ini keputusan yang dicapai membuktikan bahawa mereka merupakan kohort yang mempunyai daya tahan yang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan sempena Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Tinggi Kajang, di sini pada Selasa.

    Fadhlina turut berbangga dengan pencapaian calon SPM 2025 yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, selain membuktikan keupayaan mereka melalui prestasi akademik yang memberangsangkan.

    Mengulas lanjut, beliau berkata KPM melaksanakan pelbagai langkah intervensi secara berterusan dan konsisten bagi menyokong pelajar di semua peringkat.

    Katanya, pendekatan akauntabiliti telah diperkenalkan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, khususnya melibatkan peranan pengetua dalam memastikan kehadiran pelajar sentiasa dipantau.

    “Fokus utama adalah kehadiran pelajar, selain menyediakan sistem sokongan termasuk bantuan dari segi sosioekonomi kepada pelajar yang memerlukan, serta sokongan akademik melalui pelbagai program,” katanya.

    Beliau menjelaskan antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Tuisyen Rakyat Madani, kerjasama dengan Kementerian Kewangan serta program ziarah cakna yang melibatkan guru turun padang ke rumah pelajar bagi memastikan mereka terus kekal dalam sistem pendidikan.

    Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM akan terus memperkukuh usaha menangani isu ketidakhadiran calon SPM, walaupun terdapat penurunan jumlah pelajar yang tidak hadir pada 2025 berbanding sebelum ini.

    “Walaupun dari segi kehadiran itu dapat dikurangkan berbanding daripada awal kita mengambil kali alih kerajaan ini sehingga hari ini, intervensi itu harus terus diperlukan.

    “Jadi, kita sudah ada Dasar Pendidikan Wajib, yang saya pasti ia akan memberikan kesan secara keseluruhan,” jelasnya lagi.

    Keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024.

    Seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, berbanding 13,827 calon pada 2024.

    Sementara itu, jumlah calon yang tidak hadir menduduki SPM 2025 menurun kepada 7,099 orang berbanding 8,108 pada 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan kadar kehadiran pada tahun berkenaan.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14978

  • SPM 2025: Prestasi Bahasa Melayu merosot, 29 lagi subjek catat penurunan

    SPM 2025: Prestasi Bahasa Melayu merosot, 29 lagi subjek catat penurunan

    PUTRAJAYA 31 Mac – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan terdapat beberapa mata pelajaran utama yang merekodkan kemerosotan prestasi, termasuk Bahasa Melayu yang turut tersenarai antara subjek terjejas.

    Secara keseluruhan, sebanyak 29 daripada 95 mata pelajaran mencatatkan penurunan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), berbanding 63 mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan, manakala tiga lagi kekal tidak berubah berbanding SPM 2024.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata bagi tujuh mata pelajaran teras, tiga daripadanya menunjukkan peningkatan prestasi manakala empat lagi mencatatkan penurunan.

    “Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.79 mata, iaitu 3.20 mata pada SPM Tahun 2025 berbanding 3.99 mata pada SPM Tahun 2024.

    “Bahasa Melayu pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata, iaitu 3.85 mata pada SPM 2025 berbanding 3.72 mata pada SPM 2024,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14975

  • Gaji tidak dibayar, legenda import bola sepak Kedah terpaksa mengemis di sosial media

    Gaji tidak dibayar, legenda import bola sepak Kedah terpaksa mengemis di sosial media

    ALOR SETAR 31 Mac โ€“ Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nelson San Martin, mendedahkan situasi terdesak yang dihadapinya melalui media sosial selepas mendakwa tidak menerima bayaran gaji sejak Januari lalu serta diabaikan oleh pihak pengurusan kelab.

    Legenda bola sepak kelahiran Chile itu menyatakan bahawa beliau kini berada dalam keadaan buntu kerana tidak mempunyai sumber kewangan untuk menyara keluarga serta menghadapi masalah perundangan yang serius di negara asalnya.

    Menurut kenyataan beliau, tuntutan gaji tersebut melibatkan kontrak baharu yang ditandatangani pada November 2025 serta tunggakan daripada kontrak terdahulu yang masih belum diselesaikan sepenuhnya oleh majikan.

    Beliau mendakwa pihak kelab kini tidak lagi berkomunikasi dengannya, malah ketiadaan pejabat fizikal menyukarkan proses untuk beliau memohon penjelasan lanjut atau membela nasib keluarganya.

    Disebabkan keadaan ekonomi yang semakin menghimpit, beliau terpaksa mengetepikan maruah dengan memohon sumbangan orang ramai melalui kod QR Touch ‘n Go bagi menampung kos sewa rumah dan keperluan asas harian.

    Meskipun berdepan situasi memalukan, beliau menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada kelab peminat dan rakan-rakan terdekat yang terus menyokong kelangsungan hidupnya sepanjang berada di Malaysia.

    Beliau turut menyatakan hasrat untuk terus berbakti kepada bola sepak Kedah dan merayu agar pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, tampil mengadakan perbincangan secara terus bagi menyelesaikan kemelut tersebut dengan penuh hormat.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14974

  • DBKL tambah CCTV di KLCC perkasakan keselamatan dan kawalan trafik

    DBKL tambah CCTV di KLCC perkasakan keselamatan dan kawalan trafik

    KUALA LUMPUR 31 Mac โ€“ Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah tiga unit televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan KLCC bagi memperkukuh pemantauan keselamatan serta kawalan trafik yang lebih efektif di kawasan tumpuan pelancong tersebut.

    Pihak DBKL menjelaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan persekitaran bandar raya kekal selamat, teratur, dan lebih responsif terhadap keperluan warga kota serta pengunjung.

    Kesemua unit CCTV berkenaan disambungkan secara terus ke Bilik Gerakan DBKL bagi membolehkan pemantauan masa nyata dilakukan serta tindakan pantas diambil sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

    Langkah ini menyusul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, mengadakan tinjauan terhadap aktiviti ‘ulat foto’ di sekitar kawasan tersebut semalam.

    Hannah Yeoh menegaskan bahawa isu keselamatan merupakan faktor utama yang diberikan keutamaan bagi memastikan pengalaman pengunjung di ibu kota tidak dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Sebelum ini, pihak polis dilaporkan telah menahan 18 lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan dan serangan membabitkan jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ terhadap seorang pelancong warga asing di hadapan KLCC pada 22 Mac lalu.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14972

  • Polis buru lelaki rakam bawah skirt wanita di pusat beli-belah Subang Jaya

    Polis buru lelaki rakam bawah skirt wanita di pusat beli-belah Subang Jaya

    SUBANG JAYA 31 Mac โ€“ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya sedang giat mengesan seorang suspek lelaki yang disyaki merakam gambar atau video di bawah skirt seorang pelanggan wanita di sebuah premis membeli-belah pada 29 Mac lalu.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Bin Wan Mamat, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.16 tengah hari selepas video perlakuan tidak senonoh tersebut tular di media sosial Facebook dan Instagram.

    Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak memegang telefon bimbit dengan niat merakam mangsa secara tersembunyi, namun identiti kedua-dua pihak yang terlibat masih dalam proses pengenalpastian oleh pihak berkuasa.

    Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Orang ramai dinasihatkan agar berhenti menyebarkan rakaman video berkenaan bagi menjaga maruah mangsa serta mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis.

    Pihak polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek atau mangsa untuk segera tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini.

    Maklumat juga boleh disalurkan secara terus kepada Pegawai Penyiasat, ASP Siti Sarah Binti Johari di talian 013-2097958 atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627222.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14971

  • Kos naikย hingga 61 peratus, lebih 3,000 pesawah Kelantan mungkin tak tanam padi musim ini

    Kos naikย hingga 61 peratus, lebih 3,000 pesawah Kelantan mungkin tak tanam padi musim ini

    KOTA BHARU 31 Mac – Kenaikan mendadak kos penanaman padi dijangka menjejaskan pengeluaran hasil apabila lebih 3,000 pesawah di Kelantan berkemungkinan tidak mengusahakan sawah bagi musim pertama Jun depan.

    Menurut laporan Berita Harian, daripada keseluruhan kira-kira 7,000 pesawah di negeri itu, sebahagian besar kini berdepan dilema untuk meneruskan aktiviti penanaman susulan peningkatan kos yang mencecah sehingga 61 peratus.

    Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (PESAK), Zuha Ismail, berkata kenaikan itu berlaku susulan harga diesel yang meningkat mendadak.

    Disebabkan itu, ramai pesawah bimbang untuk mengambil risiko bagi mengusahakan sawah kerana dikhuatiri tidak mampu menampung kos modal.

    “Ramai pesawah kini mengeluh dan menyuarakan kebimbangan untuk berdepan musim penanaman musim pertama padi pada Jun ini susulan kenaikan mendadak.

    “Banyak kenaikan berlaku termasuk kos membajak, diesel, racun dan baja. Jika sebelum ini, kos tanaman padi bagi setiap 0.4 hektar adalah RM1,550, namun kini meningkat antara RM2,300 hingga RM2,500.

    “Walaupun kerajaan memberi subsidi, ia tidak mencukupi dan saya jangkakan lebih 3,000 pesawah tidak akan menanam pada musim akan datang.

    “Sebaliknya ramai dalam kalangan kami menunggu pendekatan yang diambil kerajaan bagi membantu pesawah termasuk dengan menaikkan subsidi serta menaikkan harga pembelian padi,” katanya ketika dihubungi.

    Mengulas lanjut, beliau berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan sektor keselamatan makanan negara.

    “Bayangkan jika sebelum ini pesawah mengusahakan lebih 26,000 hektar sawah di Kelantan, namun sekiranya lebih 3,000 pesawah mengambil keputusan tidak mengusahakan padi, ia akan memberi kesan besar kepada hasil padi pada musim akan datang.

    “Justeru, kita memohon supaya Kerajaan Pusat melakukan sesuatu dengan mengambil kira nasib pesawah yang semakin tertekan.

    “Kita mohon pembelian padi dinaikkan kepada RM2,300 setan berbanding sekarang ini RM1,500. Itu belum dikira pemotongan padi sebanyak 25 peratus bagi setiap tan.

    “Kami pesawah di Kelantan sudah empat musim iaitu dua tahun berdepan kerugian besar berikutan masalah bekalan air, namun kini terbeban dengan kos meningkat,” katanya.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14973

  • Lelaki miliki 31 rekod jenayah ditahan selepas rempuh lima kenderaan di KLIA

    Lelaki miliki 31 rekod jenayah ditahan selepas rempuh lima kenderaan di KLIA

    SEPANG 27 Mac โ€“ Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang mempunyai 31 rekod jenayah lampau bertindak nekad merempuh lima kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

    Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi, mengesahkan bahawa suspek yang memandu sebuah Honda Civic berwarna merah enggan memberhentikan kenderaan apabila diarahkan oleh anggota kereta peronda polis (MPV) semasa rondaan cegah jenayah dijalankan kira-kira jam 4.30 petang.

    Dalam cubaan meloloskan diri ke arah laluan terminal Aras 3, suspek telah merempuh beberapa buah kenderaan awam yang berada di laluan tersebut sebelum berjaya ditahan oleh pihak berkuasa tidak jauh dari lokasi kejadian.

    Hasil semakan lanjut mendapati suspek bukan sahaja memiliki puluhan rekod jenayah lampau, malah turut mempunyai satu rekod kesalahan dadah yang masih dikehendaki oleh pihak polis.

    Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya serta beberapa kesalahan trafik yang berkaitan.

    Suspek dijadualkan dibawa ke Mahkamah Sepang pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut berhubung insiden yang turut tular di media sosial melalui rakaman video berdurasi pendek tersebut.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14970

  • Keputusan SPM 2025 catat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun

    Keputusan SPM 2025 catat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun

    PUTRAJAYA 31 Mac โ€“ Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 melakar sejarah sebagai pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila merekodkan nilai Gred Purata Kebangsaan (GPK) sebanyak 4.42.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad, mengesahkan prestasi tersebut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan pengecilan sebanyak 0.07 mata berbanding pencapaian tahun lalu.

    Sebagai rekod, trend nilai GPK negara menunjukkan penambahbaikan berterusan sejak tahun 2021 yang bermula pada angka 4.86 sebelum terus mengecil sehingga mencecah tahap terbaik pada tahun ini.

    Analisis mengikut lokaliti turut mempamerkan peningkatan kualiti pendidikan apabila calon di kawasan bandar mencatatkan nilai 4.40 berbanding 4.47 pada tahun sebelumnya.

    Bagi calon di kawasan luar bandar pula, nilai GPK yang direkodkan adalah sebanyak 4.81 berbanding 4.92 pada tahun 2024, sekali gus menunjukkan jurang pencapaian yang semakin positif.

    Sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2025 tersebut diadakan di Kementerian Pendidikan bagi memperincikan kualiti keseluruhan prestasi akademik pelajar di seluruh negara.

    Pihak kementerian turut menegaskan bahawa nilai GPK yang lebih kecil merupakan indikator utama yang menunjukkan tahap penguasaan dan prestasi pendidikan yang semakin cemerlang.

    ๐Ÿ”— Source: https://www.mediatelus.com/detail/14969