Blog

  • Lumpur di Aceh boleh dijual – Prabowo

    Lumpur di Aceh boleh dijual – Prabowo

    JAKARTA – Presiden Prabowo Subianto menyatakan bahawa pihak swasta berminat untuk membeli lumpur yang menenggelamkan beberapa kawasan di Pulau Sumatera, khususnya wilayah Aceh, lapor laman berita Tribun hari ini.

    Prabowo berkata, perkara itu diketahui berdasarkan laporan oleh ketua daerah-daerah yang terjejas.

    Menurutnya, tiada masalah sekiranya mereka mahu menjual sisa lumpur itu.

    “Gabenor wilayah melaporkan kepada saya ada pihak swasta yang tertarik (untuk membeli lumpur), tidak hanya di sungai, tapi yang di sawah dan sebagainya.

    “Silakan, perkara ini saya kira bagus sekali. Justeru, tolong ini didalami dan kita laksanakan,” kata Prabowo di Aceh Tamiang semalam.

    Menurutnya, pemanfaatan lumpur tersebut bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan sungai, tetapi turut memberikan manfaat langsung kepada pemerintah daerah.

    “Nanti juga bermanfaat jika lumpurnya boleh dijual dan jika ada pihak swasta mau membeli, manfaatnya boleh dinikmati oleh daerah-daerah,” kata Prabowo.

    Beliau berkata demikian ketika menyokong usul membersihkan sungai selepas bencana banjir dahsyat yang melanda baru-baru ini, bermula dari muara hinggalah ke laut. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/02/lumpur-di-aceh-boleh-dijual-prabowo/

  • Avaa Vanja bantu jemaah terkandas, rayu RM90,000 beli tiket pulang

    Avaa Vanja bantu jemaah terkandas, rayu RM90,000 beli tiket pulang

    PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah dilaporkan terkandas di Madinah selepas didakwa belum mendapat tiket penerbangan pulang ke Malaysia daripada pihak agensi, merayu sumbangan mana-mana pihak bagi membantu kepulangan mereka ke tanah air.

    Jemaah tersebut memerlukan kira-kira RM90,000 untuk pembelian tiket pesawat dijangka berlepas pada 8 Januari, manakala tambahan RM20,000 bagi kos hotel yang perlu dipanjangkan tempoh serta logistik termasuk pengangkutan bas.

    Pelakon Avaa Vanja yang juga mutawifah serta berada di Madinah ketika ini, turut bertemu jemaah tersebut bagi menghulurkan bantuan selain berbincang perancangan untuk urusan kepulangan mereka.

    “Mereka memerlukan RM90,000 itu untuk pembelian tiket penerbangan pulang serta tambahan RM20,000. Harga tiket RM90,000 pun memang ‘ngam-ngam’ berdasarkan kiraan kami.

    “Saya bertemu jemaah hari ini dan bagi bantuan yang mana ia juga daripada pihak lain. Dari segi tiket penerbangan, harga itu sangat murah (pada 8 Januari), namun bagi jemaah umrah ini, mereka tiada jumlah wang yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

    Avaa berkata, mana-mana pihak yang prihatin adalah dialu-alukan bagi membantu kepulangan 36 jemaah tersebut ke tanah air.

    “Sebab itu kita perlu tambahkan lebih sikit (tempoh) untuk jemaah ini dapatkan wang menerusi sumbangan bagi membeli tiket pesawat,” katanya.

    Wakil jemaah, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, mendakwa, mereka sekeluarga mengeluarkan banyak perbelanjaan sepanjang di sana, sedangkan bayaran dibuat sebelum ini kepada pihak agensi adalah meliputi pakej lengkap.

    “Kami kena keluarkan duit untuk hotel, makan dan apa sahaja sedangkan (dijanjikan) full board (pakej lengkap).

    “Selain itu, kami pun tidak dapat nak minta bantuan keluarga memandangkan kesemua adik-beradik sama-sama (terkandas) di sini. Jadi kami memerlukan bantuan untuk membeli tiket penerbangan pada 8 Januari.

    “Kami fikir tempoh beberapa hari ini diharap dapat mengumpulkan wang darmenerusi sumbangan itu untuk membeli tiket tersebut,” katanya.

    Ahmad Fauzi turut mengucapkan syukur kepada Allah SWT serta berterima kasih kepada Avaa, pihak-pihak lain serta akhbar Kosmo! yang tampil membantu mereka di sana.

    Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membawa pulang kumpulan tersebut boleh menghubungi wakil jemaah, Ahmad Rifaei (013-2223027) atau Avaa Vanja (012-3861199).

    Kelmarin Kosmo! Online melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.

    Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada esok juga belum mendapat tiket tersebut. – KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/02/video-avaa-vanja-bantu-jemaah-terkandas-rayu-rm90000-beli-tiket-pulang/

  • Abdul Hadi calon paling logik terajui PN

    Abdul Hadi calon paling logik terajui PN

    Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dilihat sebagai calon paling munasabah untuk dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa semalam. Pandangan itu dizahirkan BERSATU Kelantan yang menilai realiti kekuatan parti dalam gabungan berkenaan.

    Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, dalam struktur PN ketika ini hanya PAS dan BERSATU yang memiliki kekuatan besar berbanding parti komponen lain. Justeru, menurutnya, secara logik kepimpinan tertinggi PN wajar datang daripada PAS sekiranya parti itu memimpin gabungan.

    Beliau turut menjelaskan, mengikut perlembagaan PN, jawatan Pengerusi biasanya disandang ketua parti yang menerajui gabungan. Jika PAS mengambil peranan itu, maka Abdul Hadi adalah tokoh paling sesuai.

    🔗 Source: https://thereporter.my/abdul-hadi-terajui-pn/

  • 3.2 Tan sampah dikutip malam sambutan ambang Tahun Baharu

    3.2 Tan sampah dikutip malam sambutan ambang Tahun Baharu

    Alam Flora Sdn Bhd memaklumkan sebanyak 3.2 tan sampah berjaya dikutip di tiga lokasi utama sekitar ibu negara sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, menunjukkan pengurangan kira-kira 11 peratus berbanding 3.6 tan yang direkodkan pada tahun 2025.

    Menurut kenyataan Alam Flora, penurunan jumlah sampah itu mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaran.

    “Antara lokasi tumpuan yang terlibat dalam operasi pembersihan tersebut ialah Dataran Merdeka, kawasan sekitar KLCC dan Bukit Bintang.

    “Bagi memastikan operasi berjalan lancar, seramai 152 petugas Alam Flora terdiri daripada pekerja pembersihan, penyelia dan eksekutif operasi telah digerakkan bermula jam 10 malam dan menamatkan tugasan sekitar jam 8 pagi,”jelas kenyataan itu.

    Alam Flora turut menempatkan 36 unit tong sampah mudah alih berkapasiti 660 liter serta 25 unit tong sampah berkapasiti 240 liter di lokasi-lokasi strategik bagi memudahkan proses pelupusan sampah secara lebih teratur dan efisien.

    Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama dan komitmen berterusan petugas Alam Flora Sdn Bhd yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sepanjang tempoh operasi, sekali gus memastikan kebersihan kawasan bandar raya kekal terpelihara selepas sambutan berakhir.

    🔗 Source: https://thereporter.my/3-2-tan-sampah-dikutip-malam-sambutan-ambang-tahun-baharu/

  • ‘Satu langkah ke belakang bukan tanda lemah’ — Muhyiddin Yassin

    ‘Satu langkah ke belakang bukan tanda lemah’ — Muhyiddin Yassin

    Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa mengambil “satu langkah ke belakang” bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah strategik bagi mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan memastikan kelangsungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Dalam kenyataan sempena Tahun Baharu yang dimuat naik di media sosial rasminya hari ini, 2 Januari 2026, Muhyiddin menegaskan beliau masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden, walaupun tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, Bersatu kekal sebagai rakan gabungan yang berprinsip, konsisten dan setia, serta komited untuk terus memelihara kerjasama demi kestabilan dan kekuatan PN.

    🔗 Source: https://thereporter.my/satu-langkah-ke-belakang-bukan-tanda-lemah-muhyiddin/

  • Kerajaan Perpaduan kekal utuh, gesaan hidupkan semula MN belum serius – Anwar

    Kerajaan Perpaduan kekal utuh, gesaan hidupkan semula MN belum serius – Anwar

    PETALING JAYA 2 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan landskap politik negara kekal stabil apabila Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya masih utuh, sekali gus menyifatkan gesaan segelintir pemimpin supaya Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula sebagai belum berada pada tahap serius.

    Perdana Menteri berkata, semua parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan telah memberikan komitmen untuk menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi serta pembelaan nasib rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “(Gesaan kembalikan MN) itu belum serius. Saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan (parti) masing-masing.

    “Tapi yang penting, sekarang Kerajaan Perpaduan masih utuh,” katanya ditemui media selepas solat Jumaat di Masjid Jumhuriah Petaling Jaya di sini, hari ini.

    Terdahulu sebelum menunaikan solat Jumaat, Anwar meluangkan masa kira-kira 25 minit menikmati makan tengah hari bersama penduduk setempat di sebuah kedai makan di kawasan berkenaan.

    Mengulas mengenai kemelut dalaman membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS yang mula mencetuskan reaksi dalam kalangan parti tertentu dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO, Anwar menegaskan situasi itu tidak memberi sebarang kesan kepada kestabilan kerajaan diterajuinya.

    “Soal idaman dan igauan (parti pembangkang ini), soal dia bercerai berai itu bukanlah masalah saya.

    “Itu masalah mereka, (saya) tak campur. Itu masalah PAS dan BERSATU cerai berai bukan masalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

    Susulan kemelut dalaman antara BERSATU dan PAS baru-baru ini, muncul gesaan daripada segelintir pemimpin UMNO dan PAS supaya gagasan MN yang sebelum ini diterajui kedua-dua parti itu dihidupkan kembali.

    Bagaimanapun, setakat ini gesaan berkenaan hanya disuarakan oleh pemimpin tertentu dan belum diputuskan atau menjadi ketetapan rasmi sama ada oleh UMNO mahupun PAS.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13438

  • Sanusi tolak dicalonkan Pengerusi PN, cadang Ahmad Samsuri lebih layak

    Sanusi tolak dicalonkan Pengerusi PN, cadang Ahmad Samsuri lebih layak

    ALOR SETAR 2 Jan – Kemelut kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) terus mencuri tumpuan apabila nama Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mula disebut sebagai calon Pengerusi gabungan itu, namun cadangan berkenaan segera ditolak oleh pemimpin PAS terbabit.

    Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu menegaskan beliau tidak bersetuju dengan usaha mengaitkan namanya sebagai pengganti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya berpandangan masih terdapat tokoh lain yang lebih layak untuk memegang jawatan tertinggi dalam PN.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang kini menerajui Terengganu adalah calon lebih sesuai dan wajar dipertimbangkan untuk mengetuai gabungan berkenaan.

    “Saya tak setuju, ada calon lain yang lebih layak. Saya cadang Menteri Besar Terengganu (Ahmad Samsuri),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Semalam, media melaporkan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya menyatakan persetujuan terhadap pencalonan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN sebagai Pengerusi gabungan itu, selain sokongan turut dizahirkan oleh Pemuda PAS Selangor.

    Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa Khamis lalu susulan krisis politik yang melanda Perlis.

    Bekas Perdana Menteri itu memegang jawatan berkenaan sejak PN didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020.

    Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada PAS termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyuarakan pandangan supaya jawatan Pengerusi PN diberikan kepada PAS.

    Perselisihan hubungan antara PAS dan BERSATU pula dilihat semakin ketara susulan pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13439

  • Remaja 16 tahun mengaku bersalah cederakan bekas OCPD Dang Wangi semasa operasi pengosongan Kampung Sungai Baru

    Remaja 16 tahun mengaku bersalah cederakan bekas OCPD Dang Wangi semasa operasi pengosongan Kampung Sungai Baru

    KUALA LUMPUR 2 Jan – Seorang remaja berdepan prosiding mahkamah selepas mengaku bersalah mencederakan bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru tiga bulan lalu.

    Majistret Nurfarahain Roslan menetapkan 4 Februari ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi remaja lelaki berusia 16 tahun itu, sementara menunggu penyediaan laporan akhlak.

    Remaja terbabit didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan Sulizmie Affendy ketika menjalankan kewajipannya sebagai pegawai pemerintah. Kesalahan itu dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru, antara jam 10.50 hingga 11.14 pagi pada 11 September, mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Selain itu, tertuduh berserta enam individu lain turut dihadapkan di Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang semasa menentang proses notis pengosongan, walaupun telah diarahkan bersurai, mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding hari ini, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau enam bulan penjara terhadap Mohd Sopirman Mohd Yunus, 31; Muhammad Redzuan Kamal Abdul Rahman, 19; Muhammad Fallah Islahudden Shah Abdul Fattah, 20; dan Muhammad Azhar Salleh, 36, selepas mereka mengaku bersalah.

    Seorang lagi tertuduh, Ariffin Abu Bakar, 56, mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin, selain tarikh sebutan seterusnya pada 4 Februari ini.

    Bagi dua lagi tertuduh bawah umur yang turut mengaku bersalah, mahkamah menetapkan 4 Februari ini sebagai tarikh jatuh hukum untuk penyediaan laporan akhlak.

    Remaja berusia 16 dan 17 tahun itu masing-masing dibenarkan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin. Prosiding dijalankan secara tertutup kerana membabitkan remaja bawah umur.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee dan Nurul Farhanah Arul Hisham manakala peguam Farith Emier Farhan Mormi, Muhammad Najib Ahmad, dan Nur Asniqeen Mohd Sultan mewakili pembelaan.

    Pada 11 September lalu, media melaporkan beberapa individu ditahan berhubung kecederaan yang dialami Sulizmie Affendy ketika berlaku rempuhan oleh sekumpulan individu di Kampung Sungai Baru.

    Beliau mengalami kecederaan pada kepala akibat terkena objek yang dibaling ketika mengawal operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah.

    Operasi itu dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13440

  • Sediakan peruntukan segera, Anwar arah bina semula titi gantung Lata Rek yang runtuh

    Sediakan peruntukan segera, Anwar arah bina semula titi gantung Lata Rek yang runtuh

    PUTRAJAYA 2 Jan – Kerajaan mengarahkan tindakan segera diambil bagi menggantikan titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai yang runtuh semalam, susulan insiden itu mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan laluan harian penduduk setempat.

    Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya peruntukan disediakan dan pembinaan jambatan gantian dilaksanakan segera demi keselamatan serta kemudahan rakyat.

    Menurut kenyataan itu, kerja penggantian jambatan berkenaan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi berkaitan.

    Kerjasama tersebut bertujuan memastikan tindakan pantas dan berkesan dapat dilaksanakan selain menjamin keselamatan serta akses penduduk di kawasan terjejas.

    “Perdana Menteri memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai semalam yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.

    “Susulan insiden itu, Perdana Menteri telah mengarahkan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan jambatan berkenaan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan, khususnya pasangan pengantin serta keluarga mereka yang diuji dengan musibah tersebut.

    Semalam, lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki berdepan detik cemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek runtuh ketika mereka dalam perjalanan menghadiri kenduri perkahwinan.

    Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu dipercayai berlaku ketika rombongan pengantin lelaki sedang dalam perjalanan pulang sebelum bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri majlis di atas titi gantung berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13441

  • ‘Kita berjihad, buat apa nak takut’ – Ketua Polis Kelantan sahkan terima ugutan

    ‘Kita berjihad, buat apa nak takut’ – Ketua Polis Kelantan sahkan terima ugutan

    KOTA BHARU 2 Jan – Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan menerima ugutan dipercayai daripada sindiket yang terkesan dengan ketegasan pasukan pimpinannya menangani jenayah di negeri ini.

    Katanya, ugutan itu diterima pada 22 Disember lalu menerusi contengan menggunakan dakwat merah pada dinding Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak gentar dengan ugutan itu dan pihaknya sedang mengenal pasti pasti dalang kejadian berkenaan.

    “Kita berjihad, buat apa nak takut. Saya tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan kerana ada pihak yang berasa tercabar dengan tindakan tegas Polis Kelantan memerangi jenayah membabitkan sindiket along dan sebagainya di negeri ini.

    “Berdasarkan tulisan pada dinding serta ayat yang digunakan, saya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh sindiket dan sudah dirancang lebih awal,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    “Saya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini supaya tampil membantu siasatan polis,” katanya.

    Terdahulu, beberapa foto tular dalam media sosial memaparkan tulisan berbaur ugutan menggunakan dakwat merah di Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13442