Blog

  • Sukan SEA: Thailand kena libas, Malaysia tamat kemarau 34 tahun

    Sukan SEA: Thailand kena libas, Malaysia tamat kemarau 34 tahun

    NAKHON PATHOM – Penantian panjang selama 34 tahun untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki di Sukan SEA akhirnya terlerai di bumi Thailand selepas pasukan sepak takraw negara menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-1 pada aksi final yang penuh dramatik, hari ini.

    Kejayaan bersejarah itu lebih manis apabila dilakar di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang memenuhi Gimnasium Nakhon Pathom, sekali gus menyaksikan Malaysia merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1991 di Manila.

    Thailand terlebih dahulu berada di hadapan menerusi regu pertama yang diwakili Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa (Varayut Jantarasena) dan Marukin Phanmakon apabila menewaskan gandingan Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir 15-9 pada set pertama.

    Regu negara bagaimanapun bangkit dengan permainan lebih kemas untuk menguasai set kedua 15-11 sebelum aksi penentuan menyaksikan pertarungan sengit apabila kedua-dua regu terikat 13-13. Namun, Thailand bernasib baik untuk mencuri kemenangan 15-13 sekali gus meraih mata pertama.

    Tekanan itu tidak mematahkan semangat kem negara apabila regu kedua, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam membuktikan status mereka sebagai regu terbaik dunia ketika ini selepas mengatasi trio Thailand, Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan bagi mengikat kedudukan keseluruhan 1-1.

    Sorakan penyokong Malaysia terus bergema apabila regu ketiga negara, Zulkifli Razak (Zarif Marican Ibrahim Marican), Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi turun dengan misi menamatkan kemarau emas.

    Berhadapan tekanan hebat apabila ketinggalan 0-7, regu negara kekal tenang untuk bangkit mencuri kemenangan 15-13 pada set pertama sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan set kedua 15-11, sekali gus memadam dominasi panjang Thailand dan menghadiahkan emas paling dinanti buat kem sepak takraw Malaysia.

    Kejayaan itu bukan sahaja mencatat sejarah baharu, malah skuad kendalian Ahmad Jais Baharun menjadi simbol kebangkitan skuad negara di pentas Sukan SEA selepas lebih tiga dekad penantian untuk mencipta kemenangan. -KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/14/sukan-sea-thailand-kena-libas-malaysia-tamat-kemarau-34-tahun/

  • Wanita bersuami dua tampil beri keterangan kepada Jaheaik

    Wanita bersuami dua tampil beri keterangan kepada Jaheaik

    KOTA BHARU – Seorang wanita yang dikatakan mempunyai dua suami di Tanah Merah dekat sini sudah tampil dan memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) hari ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, proses mengambil keterangan itu berlangsung di Pejabat Agama Tanah Merah.

    “Keterangan tersebut perlu diambil daripada wanita itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia mempunyai dua suami.

    “Segala keterangan wanita itu akan diteliti sebelum sebarang tindakan dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Kosmo! Online kelmarin melaporkan, seorang wanita mendakwa abang kandungnya ditipu oleh kakak ipar apabila mendapati isteri abangnya itu berkahwin dengan seorang lagi lelaki sejak lebih setahun lalu.

    Tembelang wanita dari Terengganu itu terbongkar selepas Nur, 35, bersama dua anggota polis dan penduduk menyerbu ke rumah suami keduanya di Batu 11 di sini pada 6 Disember lalu.

    Susulan daripada kejadian itu, Mohd. Asri berkata, Jaheaik membuka siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang dikatakan mempunyai dua suami.

    Menurutnya, siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 38 dan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

    “Seksyen 38 itu berkait akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan dan Seksyen 40 merujuk kepada kesalahan berhubung akad nikah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/14/wanita-bersuami-dua-tampil-beri-keterangan-kepada-jaheaik/

  • Polis Melaka beri kelonggaran peserta RXZ, tindakan tegas jika langgar undang-undang

    Polis Melaka beri kelonggaran peserta RXZ, tindakan tegas jika langgar undang-undang

    AYER KEROH 13 Dis – Polis Melaka memberi kelonggaran kepada peserta RXZ Members Ride Edition 3.0 untuk berhimpun di negeri ini, namun menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam lumba haram atau tunggangan berbahaya.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, seramai 150 anggota polis digerakkan bagi mengawal keselamatan sepanjang penganjuran program itu yang dijangka menghimpunkan antara 100,000 hingga 150,000 peserta.

    Menurut beliau, tumpuan utama polis adalah memastikan keamanan serta keselamatan awam sepanjang acara berlangsung.

    “Walaupun kelonggaran diberikan, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan melanggar undang-undang.

    “Jika melibatkan lumba haram, tunggangan berbahaya atau perbuatan yang boleh membahayakan orang lain, tindakan tegas akan diambil.

    “Bagi kesalahan lain, polis menggunakan budi bicara. Peserta datang dari jauh, biarlah semua pihak pergi dan balik dalam keadaan gembira,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dataran MITC, di sini, malam Jumaat.

    Dzulkhairi berkata, tiada sebarang penutupan jalan dilakukan sempena penganjuran program berkenaan, selain persiapan keselamatan telah dibuat sejak dua minggu lalu bagi memastikan kelancaran acara.

    “Kita mahu memastikan tahap disiplin peserta, keselamatan diri dan kenderaan menjadi keutamaan.

    “Peserta yang menginap di hotel atau penginapan sekitar Melaka juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan motosikal, aksesori kenderaan serta barangan peribadi bagi mengelakkan kejadian kecurian,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat ini satu kes kemalangan maut membabitkan peserta RXZ telah direkodkan, namun kejadian tersebut berlaku di Negeri Sembilan berhampiran sempadan Melaka.

    Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapan perasmian turut mengingatkan semua peserta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya.

    “Kalau boleh, kita mahu pastikan sifar kemalangan dan sifar masalah dalam penganjuran ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua peserta diharap mematuhi undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

    “Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus menyantuni komuniti peminat motosikal dan menjadikan acara ini sebagai acara tahunan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13074

  • Polis siasatlori treler bawa helikopter halang laluan di Subang Jaya

    Polis siasatlori treler bawa helikopter halang laluan di Subang Jaya

    SUBANG JAYA 13 Dis – Polis membuka siasatan berhubung video tular memaparkan sebuah lori treler membawa muatan helikopter yang didakwa menghalang laluan kenderaan awam di daerah ini.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman video kejadian itu pada jam 8.06 malam tadi selepas ia dimuat naik di aplikasi TikTok menerusi akaun ‘Black Lifestyle’.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang pada 4 Disember lalu apabila sebuah lori treler panjang yang membawa muatan sebuah helikopter gagal melalui susur jalan dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke arah Persiaran Kewajipan kerana muatan yang terlalu panjang.

    “Keadaan itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pergerakan pengguna jalan raya lain.

    “Dalam kejadian sama, sebuah ambulans turut dilihat terjejas perjalanannya akibat kesesakan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Wan Azlan berkata, setakat ini polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Kaedah Rule 9(2) LN 166/59.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495.

    “Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13075

  • Ketiadaan Figueiredo jejaskan jentera serangan JDT jelang final Piala FA

    Ketiadaan Figueiredo jejaskan jentera serangan JDT jelang final Piala FA

    KUALA LUMPUR 13 Dis – Jentera serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat agak tempang sejak bintang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus terlepas aksi final Piala FA menentang Sabah FC, malam esok.

    Sebagai rekod, Figueiredo merupakan antara tujuh pemain warisan yang digantung FIFA susulan isu pemalsuan dokumen sejak September lalu, bersama Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

    Ketiadaan penyerang kelahiran Brazil itu jelas memberi kesan kepada skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz, khususnya sejak dua bulan kebelakangan ini apabila pasukan itu dilihat bergelut untuk mengekalkan prestasi konsisten, terutama dalam kejohanan antarabangsa.

    Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Figueiredo sebagai tonggak penting dan pemain kunci yang membantu rakan sepasukan mencipta serta menjaringkan gol.

    “Dia (Figueiredo) yang saya rindukan, tetapi buat masa ini dia digantung. Kita perlu tunggu proses perbicaraan kerana dia adalah kunci yang membolehkan pemain sekelilingnya bermain dengan lebih baik.

    “Macam Diogo (Luis Santo) dulu, dia memang boleh jaringkan gol, tetapi lihat berapa banyak gol Arif Aiman dan Gonzalo Cabrera hasilkan ketika itu, semuanya kerana peranan Diogo. Saya lebih suka penyerang seperti itu.

    “Saya tidak gemar hanya bergantung kepada target striker sahaja. Itu pandangan saya. Kita perlu ada dua penyerang dengan karakter berbeza.

    “Macam Bergson (da Silva) lain karakternya dan (Fernando) Forestieri pula berbeza gaya permainan,” katanya dalam sesi wawancara bersama peminat JDT baru-baru ini.

    JDT kini berada di landasan terbaik untuk mencipta sejarah sebagai kelab pertama menjulang kejuaraan Piala FA sebanyak empat kali berturut-turut selepas mendominasi trofi berprestij itu sejak edisi 2022.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13076

  • Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati rupanya kekasih, ada 10 rekod jenayah

    Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati rupanya kekasih, ada 10 rekod jenayah

    MELAKA 13 Dis – Wanita yang mendakwa sebagai isteri kepada penjenayah yang ditembak mati polis di Durian Tunggal bulan lalu sebenarnya hanyalah kekasih si mati dan memiliki 10 rekod jenayah lampau.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita terbabit tinggal serumah dengan penjenayah berkenaan di Durian Tunggal sejak lebih tiga tahun lalu.

    “Isteri sebenar penjenayah itu berada di Johor dan sudah lama ditinggalkan,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Dataran MITC, malam tadi.

    Menurut Dzulkhairi, pihak polis kini sedang memburu bapa kepada wanita berkenaan yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh.

    Katanya, pendedahan itu dibuat bagi menjawab persoalan wartawan berhubung kesahihan dakwaan membabitkan dua beranak tersebut selepas isu berkenaan tular di media sosial.

    “Memang benar kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau. Wanita itu mempunyai rekod kes curi kenderaan, samun serta cubaan bunuh, selain terlibat dalam kes samun pada Julai lalu di Jasin.

    “Bapanya pula mempunyai 24 rekod jenayah antaranya curi kenderaan, samun, cubaan bunuh dan bunuh, selain kini diburu polis bagi membantu siasatan kes curi kenderaan serta curi dalam bangunan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13077

  • Paras air Sungai Klang lepasi tahap bahaya susulan hujan lebat

    Paras air Sungai Klang lepasi tahap bahaya susulan hujan lebat

    KUALA LUMPUR 13 Dis – Hujan lebat yang melanda ibu kota sejak awal pagi tadi menyebabkan Sungai Klang merekodkan bacaan paras air melepasi tahap bahaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan risiko banjir kilat di beberapa kawasan rendah.

    Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal Public InfoBanjir setakat jam 10.40 pagi, stesen aras air di Saluran Keluar Kolam Takungan Flat Sri Johor mencatatkan bacaan 33.04 meter (m), melepasi tahap bahaya iaitu 32.66m.

    Selain itu, stesen aras air Sungai Slim di Slim River, daerah Muallim, Perak turut merekodkan paras air melepasi tahap bahaya apabila bacaan mencapai 25.44m berbanding paras bahaya 25.40m.

    Di Sarawak, dua stesen aras air di Miri iaitu Long Teru dan Marudi turut menunjukkan bacaan melepasi tahap bahaya. Lembangan Batang Baram di stesen Long Teru merekodkan paras air 8.52m, melebihi tahap bahaya 8m, manakala stesen Marudi mencatatkan bacaan 3.86m berbanding paras bahaya 3.25m.

    Sementara itu di Selangor, stesen Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang merekodkan paras air melepasi tahap amaran apabila mencatatkan bacaan 10.93m berbanding tahap amaran 10.70m.

    Dalam perkembangan sama, JPS memaklumkan beberapa stesen aras air di Kedah, Johor dan Pahang turut mencatatkan bacaan melepasi tahap waspada.

    Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, memantau perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13078

  • ‘Teringin menang macam Mak Iti’ – Umairah pecah rekod ABPBH

    ‘Teringin menang macam Mak Iti’ – Umairah pecah rekod ABPBH

    KUALA LUMPUR – Penyanyi Umairah melakar sejarah tersendiri dalam kerjaya seninya apabila diumumkan pemenang kategori Artis Baharu Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) hari ini.

    Kemenangan tersebut sekali gus menjadikan Umai atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 14, sebagai pemenang termuda sepanjang penganjuran ABP.

    Dia juga memadamkan rekod milik ibu saudaranya yang juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sebelum ini memegang gelaran pemenang termuda dalam sejarah ABP.

    “Saya berterima kasih kepada semua yang mengundi. Pada usia 14 tahun, ini anugerah paling indah pernah saya dapat, memang tak pernah jangka pun.

    “Tanpa sokongan semua, saya takkan berada di sini.

    “Sebenarnya ini impian sejak kecil sebab saya memang minat menyanyi dan anugerah ini juga penghargaan untuk keluarga saya,” katanya.

    Dia juga menjadikan Siti sebagai inspirasinya dalam mengejar pelbagai kejayaan sebagai anak seni.

    “Tengok Mak Iti (panggilan Siti) menang dulu buatkan saya terinspirasi.

    “Saya memang teringin nak menang anugerah sama seperti dia,” katanya lagi.

    Dalam kategori tersebut, Umai menewaskan sembilan pencabar lain iaitu Aqeesh Aleeya, Arabella Ellen, Arena Wan, Auni Yusri, Marygrace, Qila Shahirah, Qistina Rania, Saidah Kamarudin dan Wanie Ooi.

    Terdahulu, Siti memenangi gelaran Bintang Paling Popular 1996 ketika berusia 17 tahun yang merupakan pemenang termuda pada ketika itu. – HIBGLAM

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/teringin-menang-macam-mak-iti-umairah-pecah-rekod-abpbh/

  • Ernie Zakri bintang paling popular, raih lebih 124 juta undian

    Ernie Zakri bintang paling popular, raih lebih 124 juta undian

    KUALA LUMPUR – Melakar sejarah baharu, penyanyi Ernie Zakri diumumkan sebagai bintang paling popular pada Anugerah Bintang Paling Popular ke-37 di sini semalam.

    Pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, itu meraih undian tertinggi berjumlah lebih 124 juta sepanjang tempoh undian dibuka bermula September lalu.

    Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Ernie membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

    “Ya Allah, saya tak pernah jangka, terima kasih kepada semua yang mengundi.

    “Jauh dari sudut fikiran nak dapat ini, saya hargai semua dan doakan agar dapat lakukan lebih baik,” katanya sebak yang tidak pernah menjangkakan kemenangan tersebut.

    Dalam acara sama, pelantun lagu Masing Masing itu juga memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular yang sememangnya diimpikan sejak dahulu.

    Sweet Qismina dan Fattah Amin pula menggondol trofi Aktres serta Aktor Filem Popular.

    Manakala, Haiza pula merangkul trofi pertama iaitu Penyampai Radio Popular mengalahkan DJ Lin, AG, Cik Piah dan DJ Sonic.

    Kemenangan kumpulan KRU menerusi kategori Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular mengenepikan saingan terdekat seperti Dolla selain membuktikan penyanyi senior masih kekal relevan selepas lebih tiga dekad.

    Sementara, kumpulan legenda Alleycats yang popular menerusi lagu Sampaikan Salam Cintaku menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi menghargai sumbangannya sebagai anak seni sejak lima dekad lalu.

    Bertemakan Satu Keunggulan, ABP37 yang berlangsung di Hotel Premiera dihoskan Raja Azura dan Shiha Zikir.

    Senarai pemenang ABP37:

    Bintang Paling Popular ABPBH 37: Ernie Zakri

    Artis Baharu Lelaki Popular: Jazmy Juma

    Artis Baharu Wanita Popular: Umairah

    Penyanyi Lelaki Popular: Hael Husaini

    Penyanyi Wanita Popular: Ernie Zakri

    Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: KRU

    Aktor Filem Popular: Fattah Amin

    Aktres Filem Popular: Sweet Qismina

    Aktor Pembantu Filem Popular: Adam Lee

    Aktres Pembantu Filem Popular: Heliza Helmi

    Aktor TV Popular: Zahiril Adzim

    Aktres TV Popular: Emma Maembong

    Aktor Pembantu TV Popular: Nazim Othman

    Aktres Pembantu TV Popular: Raja Azura

    Penyampai Radio Popular: Haiza

    Pengacara TV Popular: Fiza Sabjahan

    Artis Komedi Popular : Joey Daud

    5 kategori sampingan Ekstra Tonton Paling Popular:

    Gandingan Serasi Drama Popular: Anna Jobling & Shukri Yahaya

    Gandingan Serasi Filem Popular: Emma Maembong & Iedil Putra

    Lagu Paling Boom Popular: Nurcinta – Amir Masdi

    Artis Kontroversi Popular: Fattah Amin

    Seller Terpaling Popular: Datuk Seri Aliff Syukri

    Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Kumpulan Alleycats

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/ernie-zakri-bintang-paling-popular-raih-lebih-124-juta-undian/

  • Ritma Kinabalu 2025 angkat warisan muzik Sabah

    Ritma Kinabalu 2025 angkat warisan muzik Sabah

    KOTA KINABALU – Program Ritma Kinabalu 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di Tapak Dataran, Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini berlangsung dengan meriah baru-baru ini.

    Program yang dikenali sebagai Rhythms of Kinabalu (ROK) itu dilaksanakan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Produksi Seni Kreatif bermula 5 sehingga 8 Disember lalu.

    JKKN dalam kenyataannya berkata, objektif program edisi ke-11 adalah untuk memartabatkan seni muzik tradisional dan mengu­kuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.

    “Bertemakan ‘Irama & Alam’, ia menekankan integrasi seni tradisional dan kontemporari melalui persembahan instrumen warisan seperti kulintangan, sompoton, gong, seruling dan tagunggu digabungkan dengan instrumen moden serta teknologi muzik terkini.

    “Pendekatan ini menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan warisan muzik Sabah terus hidup dan relevan dalam landskap kreatif masa kini,” katanya.

    Majlis Perasmian Ritma Kinabalu 2025 disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai Mei Sing dan dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd. Radzi Omar.

    Antara yang menjadi tumpuan ialah Malam Lestari Ritma Kinabalu, Kampung ROK Cultural Village Experience, Tamu Seni (Borneo Art Bazaar & Creative Market), Pertandingan Ekstravaganza Seni Muzik, Miss ROK 2025, Ratu Kebaya Cilik dan Madodong Food Festival ROK.

    Program turut dimeriahkan dengan Carshow Borneo Festival@ROK 2025 yang berjaya menarik kehadiran lebih 200 pe­nyertaan pemilik kenderaan.

    Buat pertama kali­nya, ROK turut memperkenalkan Kampung ROK Cultural Village Experience yang menampilkan kehidupan kampung etnik Kadazan, Dusun, Murut, Bajau dan Rungus melalui demonstrasi masakan tradisi, permainan alat muzik, adat resam, pembuatan Linangkit, permainan rakyat dan persembahan. -KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/ritma-kinabalu-2025-angkat-warisan-muzik-sabah/