Blog

  • Perak kekal peruntukan RM300,000 untuk semua DUN, tiada dana khas untuk pembangkang

    Perak kekal peruntukan RM300,000 untuk semua DUN, tiada dana khas untuk pembangkang

    IPOH 1 Dis – Kerajaan negeri Perak menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan peruntukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana peruntukan sedia ada sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program komuniti dan pembekalan.

    Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata peruntukan berkenaan diuruskan oleh beberapa entiti kerajaan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan serta Pejabat Menteri Besar.

    Menurut beliau, peruntukan yang diluluskan melalui Pejabat Menteri Besar akan diuruskan oleh ADUN kerajaan di kawasan masing-masing, manakala bagi kawasan pembangkang, pengurusan dilaksanakan oleh pegawai khas Menteri Besar yang dilantik.

    “ADUN pembangkang tidak meluluskan peruntukan, tetapi pelaksanaannya tetap dibuat atas jumlah dan kaedah yang sama. Bezanya cuma pada individu yang menguruskan, bukan nilai peruntukan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Akmal Kamarudin (Pas–Selama) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

    Beliau turut menjelaskan, untuk ADUN kerajaan, sebarang permohonan seperti sumbangan peralatan sekolah akan dinilai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berdasarkan kriteria tertentu sebelum diluluskan.

    “Jika sesuatu permohonan melibatkan kepentingan parti politik, seperti membaiki pejabat parti, ia tidak akan diluluskan kerana peruntukan ini hanya untuk kebajikan rakyat,” katanya.

    Bagi kawasan pembangkang pula, Saarani menegaskan semua permohonan tetap diproses melalui mekanisme sama, hanya dikendalikan oleh pegawai khas Menteri Besar.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan bulanan sama rata sebanyak RM10,000 kepada semua pusat khidmat ADUN, termasuk pembangkang.

    Daripada jumlah tersebut, RM7,000 diperuntukkan bagi tujuan pengurusan pusat khidmat manakala RM3,000 boleh digunakan untuk urusan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

    Saarani berkata, kerajaan negeri berusaha memastikan keadilan dalam pengagihan peruntukan, namun pelaksanaan di peringkat kawasan bergantung kepada pengurusan wakil rakyat masing-masing agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12844

  • Pekerja kontrak sesak nafas akibat terhidu gas bertoksik

    Pekerja kontrak sesak nafas akibat terhidu gas bertoksik

    KEMAMAN 1 Dis – Sembilan pekerja kontrak mengalami sesak nafas selepas terdedah kepada gas bertoksik ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kilang memproses makanan haiwan di Taman Perindustrian Biopolimer Kerteh (KBP), semalam.

    Kesemua mangsa berusia 23 hingga 40-an dipercayai terhidu gas ammonia atau methyl mercaptan pada kira-kira pukul 6.51 petang.

    Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Rohaya Jamil berkata, ketika kejadian, sebahagian mangsa yang terdiri daripada warga tempatan dan Bangladesh sedang menjalankan kerja pembersihan tangki reaktor berterusan di kilang tersebut.

    “Mereka tiba-tiba mengalami gangguan pernafasan selepas terhidu sisa gas bertoksik yang terdapat dalam tangki berkenaan.

    “Pekerja lain segera membantu menyelamatkan mangsa sebelum mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Paka oleh pihak pengurusan kilang,” katanya.

    Menurutnya, seramai 18 pegawai dan anggota bomba termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai insiden itu.

    Pasukan bomba kemudiannya berjaya menurunkan bacaan gas berbahaya tersebut pada pukul 1.05 pagi.

    “Enam mangsa dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, manakala tiga lagi menerima rawatan pesakit luar,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12845

  • Tengku Zafrul serah kepada kerajaan berkaitan peranan baharunya

    Tengku Zafrul serah kepada kerajaan berkaitan peranan baharunya

    KUALA LUMPUR 1 Dis – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi bayangan bahawa beliau akan terus berkhidmat dalam kerajaan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kemungkinan peranan baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Nampaknya saya diberi peluang untuk terus berkhidmat. Dalam kapasiti apa, saya juga masih menunggu,” katanya sambil menegaskan bahawa segala keputusan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan negara.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri berhubung kedudukan Tengku Zafrul ketika berucap melancarkan kereta elektrik (EV) pertama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), QV-E di sini, hari ini.

    Tengku Zafrul dilantik sebagai Senator pada 10 Disember 2022 sebelum menerajui MITI sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar. Tempoh jawatan Senator yang disandang beliau akan berakhir esok.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri MITI, Ketua Setiausaha dan seluruh warga kementerian atas sokongan sepanjang tiga tahun mengetuai MITI.

    “Esok adalah hari terakhir saya di MITI. Saya amat menghargai amanah dan kerjasama yang diberikan. Sudah tentu ada rasa sedih untuk meninggalkan kementerian, namun saya yakin pasukan MITI berada dalam landasan kukuh untuk terus memacu sektor pelaburan dan perindustrian negara,” katanya.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan mengekalkan semua insentif pemasangan tempatan (CKD) bagi EV sehingga akhir 2027 dalam usaha memastikan harga EV kekal mampu milik kepada pengguna.

    Katanya, kesinambungan insentif tersebut penting memandangkan majoriti model EV CKD yang ditawarkan ketika ini dijual bawah RM100,000, sekali gus lebih mudah dicapai rakyat.

    “Langkah ini membantu mengekalkan harga EV yang berpatutan. Kita berharap selepas 2027, masih ada ruang untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mempertimbangkan lanjutan tempoh insentif EV, khususnya kerana banyak model bawah RM100,000 dan pada masa sama menjadi buatan Malaysia,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12846

  • SPRM nafi dakwaan rampas barangan Albert Tei tanpa prosedur

    SPRM nafi dakwaan rampas barangan Albert Tei tanpa prosedur

    PUTRAJAYA 1 Dis – Semua barangan milik ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, yang disita pada hari penahanannya direkodkan mengikut prosedur yang ditetapkan serta disahkan sendiri oleh beliau.

    Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata senarai lengkap rampasan telah ditandatangani Albert, dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 turut diserahkan kepadanya pada 28 November lalu.

    “Antara barangan yang disita terdiri daripada telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti.

    “SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barangan Albert Tei tanpa mengikut prosedur,” menurut kenyataan itu.

    Menurut SPRM, pihaknya sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan yang ditetapkan dalam bidang kuasa.

    Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan peguam mewakili isteri Albert Tei mendakwa SPRM telah merampas barangan suaminya secara tidak sah.

    Peguam berkenaan turut memberikan tempoh tiga hari kepada SPRM untuk mengeluarkan inventori harta yang didakwa dirampas ketika penahanan Albert tiga hari lalu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12847

  • Hannah Yeoh akui isu ketagihan dalam kalangan belia e-sukan

    Hannah Yeoh akui isu ketagihan dalam kalangan belia e-sukan

    KUALA LUMPUR 1 Dis – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui wujud masalah ketagihan dalam kalangan belia yang terlibat dalam permainan e-sukan di negara ini.

    Sehubungan itu, kementeriannya mengambil pendekatan berhati-hati terhadap sukan tersebut, termasuk dalam aspek penyaluran dana kepada pihak yang memerlukan bantuan kewangan.

    “E-sukan ialah sukan yang industrinya mempunyai banyak duit. Industri e-sukan, pembangun permainan, semuanya ada sumber kewangan dan pengikut yang ramai. Jadi masalah tajaan tidak wujud dalam e-sukan.

    “Kita mahu memberi tumpuan kepada sukan yang tidak mendapat tajaan supaya mereka dapat dibantu. Kerana bagi e-sukan, jika kita tidak berhati-hati, isu ketagihan gajet itu memang ada.

    “Inilah yang berlaku apabila belia tidak tahu mengimbangi masa belajar dan bermain e-sukan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Hannah menjelaskan, banyak masalah sosial dalam kalangan belia berkait rapat dengan isu ketagihan seperti dadah, gajet dan perjudian dalam talian, didorong oleh akses gajet yang semakin mudah.

    “Disebabkan itu, kita perlu memperkenalkan ketagihan yang positif, ketagihan baharu iaitu aktiviti bersukan.

    “Sebab itu juga kita membenarkan dana sukan komuniti disalurkan dan diakses oleh pertubuhan belia yang berdaftar dengan ROY,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12848

  • Bantuan kerajaan untuk individu 30 tahun ke atas diteruskan – Hannah Yeoh

    Bantuan kerajaan untuk individu 30 tahun ke atas diteruskan – Hannah Yeoh

    KUALA LUMPUR 1 Dis – Pemberian bantuan kerajaan kepada individu berusia 30 tahun dan ke atas akan terus diteruskan meskipun had umur baharu keahlian pertubuhan belia ditetapkan antara 15 tahun hingga sebelum 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

    Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membentangkan satu memorandum Jemaah Menteri pada 28 November lalu bagi penyelarasan sokongan dan bantuan kerajaan kepada golongan belia selepas penguatkuasaan penurunan had umur tersebut.

    Langkah itu dibuat selepas Majlis Belia Malaysia memaklumkan bahawa masih terdapat individu berusia 30 tahun dan ke atas yang memerlukan intervensi dan sokongan kerajaan.

    “Kabinet baru membincangkan dan meluluskan kertas ini. Antara langkah yang akan diambil adalah memastikan semua bantuan kerajaan kepada golongan berumur 30 tahun dan ke atas diteruskan, walaupun mereka tidak lagi dipanggil belia, sebaliknya anak muda.

    “Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mempunyai pelbagai geran yang dibuka kepada golongan muda 30 tahun dan ke atas. Mereka masih boleh memohon dana kerajaan untuk membantu perniagaan mereka.

    “Dalam sektor pertanian pula, geran khas petani akan dikekalkan kerana kita tahu ramai anak muda kurang berminat bekerja di luar. Maka sokongan kepada petani muda akan diteruskan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Hannah berkata, pelbagai program lain melibatkan kementerian berbeza turut dikekalkan bagi memastikan golongan muda berusia 30 tahun dan ke atas terus menerima bantuan kerajaan.

    Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah peralihan bagi memastikan golongan berisiko dan rentan berumur 31 hingga 40 tahun tidak terlepas daripada sokongan kerajaan.

    Pada November 2023, Hannah memaklumkan bahawa penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 akan bermula 2026, melibatkan penetapan had umur ahli pertubuhan belia antara 15 hingga sebelum 30 tahun, had umur ketua atau pemegang jawatan antara 18 hingga sebelum 30 tahun serta mengehadkan tempoh jawatan ketua pertubuhan belia kepada empat tahun.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12849

  • ‘Tinggal setahun lebih sahaja, tak sesuai rombakan kabinet besar-besaran’ – Anwar

    ‘Tinggal setahun lebih sahaja, tak sesuai rombakan kabinet besar-besaran’ – Anwar

    KUALA LUMPUR 1 Dis – Kerajaan tidak akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran dalam masa terdekat, sebaliknya hanya menumpukan kepada pengisian beberapa kekosongan sedia ada, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI yang berbaki sekitar setahun setengah menjadikan rombakan menyeluruh tidak sesuai buat masa ini.

    “Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Namun rombakan besar tidak sesuai kerana Kabinet ini hanya akan berfungsi untuk tempoh setahun lebih atau setahun setengah.

    “Jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan. Walau bagaimanapun, saya sedang meneliti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengisi kekosongan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik (EV) pertama Perodua di sini, hari ini.

    Kenyataan itu dibuat susulan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet yang kembali menjadi tumpuan selepas beberapa menteri dan timbalan menteri berstatus Senator dijangka menamatkan penggal perkhidmatan mereka awal bulan ini.

    Antara yang terlibat ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

    Anwar menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kelangsungan pentadbiran kekal stabil dan fokus kepada pelaksanaan dasar serta agenda pembangunan negara, termasuk pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12851

  • Wanita maut ditikam suami di Tanah Merah

    Wanita maut ditikam suami di Tanah Merah

    TANAH MERAH 1 Dis – Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai ditikam oleh suaminya sendiri dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Gual Ipoh, di sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

    Menurut sumber, suspek yang juga suami mangsa berusia 63 tahun ditahan polis sejurus kejadian dan senjata disyaki digunakan dalam serangan itu turut dirampas bagi membantu siasatan.

    “Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Mohd. Haki Hasbullah, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa jenazah mangsa baru sahaja dihantar ke Hospital Tanah Merah bagi tujuan siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan polis akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12853

  • Mara tegas ambil tindakan terhadap pegawai terlibat aktiviti songsang

    Mara tegas ambil tindakan terhadap pegawai terlibat aktiviti songsang

    SHAH ALAM 1 Dis – Tindakan tegas termasuk dibuang kerja akan dikenakan terhadap pegawai dan kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta institusi pendidikannya yang didapati terbabit dengan aktiviti songsang.

    Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendirian itu telah dimaklumkan dengan jelas kepada seluruh pengurusan agensi berkenaan.

    “Pengurusan Mara tahu pendirian tegas saya. Jika ada pegawai atau staf Mara, termasuk di mana-mana Institusi Pendidikan Mara, terlibat dalam aktiviti songsang, tindakan keras sehingga dibuang kerja wajib diambil,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

    Penegasan itu dibuat susulan penahanan 201 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Kuala Lumpur, disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang pada Jumaat lalu.

    Daripada jumlah itu, 17 adalah penjawat awam termasuk doktor bedah, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.

    Asyraf Wajdi turut mendedahkan bahawa tindakan sama pernah diambil terhadap beberapa pegawai yang dikesan terlibat dalam perbuatan tidak bermoral tersebut.

    “Saya pernah mempengerusikan Jawatankuasa Majlis Mara berkenaan tatatertib pegawai. Pernah beberapa kes membabitkan pegawai berperangai songsang dan melakukan aktiviti songsang diputuskan untuk dibuang kerja tanpa kompromi atau kasihan belas.

    “Mana mungkin anak bangsa yang sedang dididik dan dibimbing oleh Mara dicorakkan oleh guru, pensyarah dan pegawai berpekerti songsang,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12856

  • Perang Ukraine hanya umpan

    Perang Ukraine hanya umpan

    Perang Ukraine sudah berlarutan hampir empat tahun, mengorbankan ribuan anggota tentera Kyiv dan Russia, namun angka kematian sebenar berkemungkinan besar jauh lebih tinggi dan menjadi rahsia kedua-dua negara. Banyak paparan di media sosial menceritakan bagaimana perang ini berlaku dan antara teori popular termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mahu meluaskan pengaruhnya di Eropah Timur hingga ke sempadan Russia sekali gus mencetuskan tindak balas Moscow. Satu lagi teori membayangkan Presiden Vladimir Putin memulakan perang ini kerana mahu mengekalkan status quo Russia…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/01/perang-ukraine-hanya-umpan/