Blog

  • Bandar Hatyai lumpuh, bagai dilanda tsunami

    Bandar Hatyai lumpuh, bagai dilanda tsunami

    BUKIT KAYU HITAM – Bandar Hatyai kini lumpuh selepas kawasan tersebut terjejas teruk seolah-olah dibadai tsunami akibat banjir besar yang melanda minggu lalu.

    Semua premis perniagaan dan hotel mengalami kerosakan serius berikutan banjir yang menenggelamkan keseluruhan tingkat bawah bangunan selain arus deras.

    Sementara itu, ribuan kenderaan termasuk milik pelancong Malaysia diselaputi lumpur dengan sebahagiannya terbalik dan bertindan antara satu sama lain.

    Difahamkan, kira-kira 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia terkandas di sana.

    Menurut Pegawai Perhubungan Antarabangsa Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini, keadaan di Hatyai selepas banjir amat teruk dan dijangka mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya.

    “Saya baru balik dari Hatyai kelmarin, keadaan di sana sangat menyedihkan seperti dilanda tsunami. Hampir semua kedai dan hotel rosak, kenderaan terbalik di sana sini.

    “Dilaporkan terdapat ratusan kematian, namun setakat ini tidak membabitkan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

    Beliau berkata, kedai makan yang diusahakannya di Hatyai turut terjejas apabila tingkat bawah ditenggelami air sehingga paras siling selain sebuah kereta dan dua motosikal rosak terendam.

    “Rumah saya pula dinaiki air hampir mencecah tingkat dua. Saya bersyukur isteri saya yang berada di sana semasa kejadian selamat,” katanya yang juga Exco Majlis Belia Negeri Kedah.

    Menurutnya lagi, penduduk belum dapat membersihkan premis dan kediaman masing-masing berikutan ketiadaan bekalan air serta elektrik.

    “Hatyai sekarang memang tak ada apa untuk dikunjungi rakyat Malaysia, semua hotel terjejas dan mungkin ambil masa lebih sebulan untuk pulih,” jelasnya.

    Tambahnya, proses untuk membawa keluar kenderaan milik rakyat Malaysia yang tersadai di kawasan terjejas sedang dijalankan.

    “Kebanyakan kenderaan berkemungkinan tidak dilindungi insurans bencana banjir, jadi pemilik perlu menanggung sendiri kos pembaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/bandar-hatyai-lumpuh-ambil-masa-pulih-sepenuhnya/

  • ‘Rezeki mencurah tapi seorang diri, semua terasa berat’

    ‘Rezeki mencurah tapi seorang diri, semua terasa berat’

    KUALA LUMPUR – Meskipun rezeki seni terus melimpah-ruah, pelakon Kamal Adli mengakui 2025 bukan tahun mudah buat dirinya, sebaliknya penuh cabaran peribadi.

    Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, rezeki yang datang membantu mengurangkan sedikit tekanan, namun tidak menutup rasa kosong dalam diri.

    “Ramai ingat tahun ni tahun saya. Tahun depan pun konon tahun saya juga. Tapi jujur, bukan. Tahun ni sebenarnya tahun Abang Jamil (Que Haidar). Saya cuma menumpang.

    “Alhamdulillah, cuma tahun ini tahun duka saya sebenarnya. Tahun berat untuk saya. Saya terus bekerja tanpa henti. Dalam saya melalui tempoh sukar, Allah bagi juga sedikit rezeki untuk buat saya senyum.

    “Tapi saya tetap perlu teruskan. Saya seorang-seorang di rumah, itu yang buat semuanya terasa berat,” katanya dalam Kosmo! Online.

    Tambah pelakon Dia Imamku itu, ada perkara peribadi yang tidak perlu dikongsikan kepada umum, namun cukup untuk memberi kesan mendalam pada rutin hariannya.

    “Susah sebenarnya sebab saya seorang. Saya seorang kat rumah dan perkara itu tak seronok.

    “Kalau tak shooting saya rasa habis saya kat rumah tu kan. Mungkin saya akan mula melukis gambar kat dinding kan. Saya tiba-tiba belajar memasak ke.

    “Ada benda orang tak tahu dan saya tak perlu kongsi. Memang susah sebenarnya. Walaupun rezeki masuk, jiwa tetap kosong. Ini soal hati,” ujarnya pada Meet and Greet duta Jakel 2026, di sini, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Kamal diumumkan sebagai duta raya Jakel untuk tahun hadapan bersama pelakon Que Haidar dan Elly Mazlein.

    Sebelum ini, rumah tangga Kamal berdepan ujian apabila isterinya, Uqasha Senrose, memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman.

    Pasangan itu berkahwin pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 19 bulan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/rezeki-mencurah-tapi-seorang-diri-semua-terasa-berat/

  • Ramai panas isu Jamilah, Que cuma nak nikmati hidup

    Ramai panas isu Jamilah, Que cuma nak nikmati hidup

    KUALA LUMPUR – Enggan ambil pusing, pelakon Que Haidar memilih untuk kekal tenang meskipun trend ‘Jamilah’ yang dilakukannya mencetuskan rasa kurang senang ramai pihak.

    Ujar Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, pada usianya kini, fokus hidupnya lebih terarah kepada ketenangan dan bukan lagi memikirkan komen sinis netizen.

    “Sejujurnya ramai saja buat. Tapi bila saya buat, terus nampak salah.

    “Bukan saya nak kata saya besar, cuma saya memang tak ada keinginan pun nak beri reaksi atau respons terhadap perkara itu.

    “Saya sudah lebih 20 tahun dalam industri, sekarang saya cuma mahu nikmati hidup,” katanya kepada Kosmo! Online.

    “Kalau mengutuk atau memandang rendah tindakan saya boleh bagi mereka sedikit perhatian dan rezeki, alhamdulillah.

    “Sesetengah orang akan hentam kita untuk rasa diri lebih bagus.

    “Saya tak begitu. Biarlah orang nak cakap apa pun. Kalau itu menggembirakan mereka, alhamdulillah,” ujarnya pada sesi Meet and Greet duta Jakel 2026, di sini, hari ini.

    Paling penting kata bapa dua anak itu, dirinya seorang lelaki ringkas yang hanya mahu menjaga batas kehidupan agar kekal seimbang malah seronok apabila ada pihak membuat parodi mengenai dirinya.

    “Saya simple saja. Saya nak hidup tenang dan jaga diri.

    “Saya bangga sebab perkara kecil macam itu pun saya anggap satu bentuk sokongan rakan industri.

    “Itu juga jadi kekuatan untuk saya bangkit semula dalam industri,” jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, Que diumumkan sebagai duta Jakel 2026 bersama Kamal Adli dan Elly Mazlein.

    Sebelum ini, kemunculan Que dalam acara Jakel Crazy Sale Terpaling Murah mencuri perhatian ratusan pengunjung yang hadir khusus untuk bertemunya.

    Fenomena video tular ‘Jamilah’ turut melonjakkan kembali namanya sebagai antara figura paling disebut di media sosial minggu ini.

    Menurut Que, dia terkejut dengan sambutan pembeli yang hadir semata-mata untuk menyokongnya.

    Dia turut berterima kasih kepada pihak Jakel atas peluang mendekati peminat dalam suasana penuh meriah.

    “Saya hargai setiap sokongan mereka. Jakel beri ruang untuk saya bertemu peminat dengan lebih dekat, dan hari ini benar-benar luar biasa,” tambahnya.

    Video yang asalnya hanya gurauan bertukar menjadi trend nasional, sekali gus mendorong peminat untuk melihat sendiri ‘Jamilah’ versi sebenar dalam sesi bertemu peminat tersebut. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/ramai-panas-isu-jamilah-que-cuma-nak-nikmati-hidup/

  • Calvin Chong mendahului di DUN Elopura

    Calvin Chong mendahului di DUN Elopura

    PETALING JAYA – Calon Warisan, Calvin Chong Ket Kiun kini mendahului saingan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan memperoleh 1,392 undi setakat ini.

    Setakat pukul 6.30 petang ini, pesaing terdekatnya, Vivian Wong Shir Yee daripada Pakatan Harapan (PH) meraih 936 undi, manakala calon KDM, Liau Fui Fui, memperoleh 566 undi.

    DUN Elopura mempunyai seramai 39,004 pengundi berdaftar. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/calvin-chong-mendahului-di-dun-elopura/

  • Orang kampung beli nombor plat HR88B8888, harga lebih RM500,000

    Orang kampung beli nombor plat HR88B8888, harga lebih RM500,000

    NEW DELHI – Kegilaan India kepada nombor plat kenderaan mencapai kemuncak baharu selepas negeri Haryana menjual nombor pendaftaran HR88B8888 pada harga mengejutkan 11.7 juta rupee (RM541,000), lapor portal berita Gulf News semalam.

    Ia menjadikannya nombor plat paling mahal yang pernah dilelong di negara itu.

    Tawaran itu, yang ditutup pada 26 November lalu dibuat melalui proses bidaan di internet di portal khas Kementerian Pengangkutan Jalan dan Lebuh Raya India.

    Seorang ahli perniagaan dari sub-bahagian Badhra di Charkhi Dadri membida 11. 7 juta rupee untuk nombor kenderaan unik tersebut, lapor agensi berita PTI.

    Menurut laporan itu, ahli perniagaan yang enggan namanya didedahkan itu berasal dari kampung Bhiwani.

    Beliau berkata bahawa harga rizab atau harga asas bagi nombor ‘fancy’ tersebut ialah 50,000 rupee (RM2,300).

    Ahli perniagaan itu tidak menyangka bidaan akan meningkat setinggi itu dengan lebih 40 pembida. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/orang-kampung-beli-nombor-plat-hr88b8888-harga-lebih-rm500000/

  • ‘Alhamdullilah, terbuktilah apa yang saya nampak’ – Laporan bedah siasat kedua Syamsul Haris sahkan firasat ibu

    ‘Alhamdullilah, terbuktilah apa yang saya nampak’ – Laporan bedah siasat kedua Syamsul Haris sahkan firasat ibu

    KUALA LUMPUR 29 Nov – Penantian seorang ibu untuk mendapatkan jawapan mengenai kematian anak lelakinya akhirnya terjawab apabila keputusan laporan bedah siasat kedua mendedahkan kewujudan kecederaan pada bahagian leher, sekali gus menguatkan firasatnya sejak awal.

    Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata laporan itu seiring dengan rasa curiganya ketika proses bedah siasat pertama dilakukan di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada 28 Julai lalu, apabila beliau mendakwa tidak dibenarkan melihat dengan jelas bahagian leher kanan anaknya, Syamsul Haris Shamsudin.

    “Kira terbuktilah apa yang saya nampak, apa saya rasa masa itu. Laporan bedah siasat kedua ini menunjukkan banyak kecederaan pada leher seperti apa yang saya sangat curiga ketika itu (bedah siasat pertama).

    “Alhamdulillah dapat dibuktikan. Sedih memang sedih,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.

    Menurut Ummu Haiman Bee, beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut berdasarkan dapatan laporan terkini itu dan menjalankan siasatan secara menyeluruh.

    Katanya, keluarga menuntut keadilan untuk arwah anaknya dan mahu tindakan sewajarnya diambil mengikut lunas undang-undang.

    “Tolonglah adili kes anak saya ini dengan telus,” katanya.

    Sebelum ini, Ummu Haiman Bee menuntut siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya ketika menjalani latihan di PALAPES UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, Johor.

    Beliau turut mempersoalkan punca kematian yang dikatakan akibat sawan kerana pemerhatiannya terhadap keadaan jenazah anaknya ketika bedah siasat pertama di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor, mendapati terdapat kecederaan teruk pada tubuh yang tidak selari dengan penjelasan awal diberikan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12813

  • Albert Tei direman enam hari, bantu siasatan klipdakwaan rasuah

    Albert Tei direman enam hari, bantu siasatan klipdakwaan rasuah

    PUTRAJAYA 29 Nov – Ahli perniagaan, Albert Tei direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung klip video yang memaparkan perbualannya dengan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong, yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

    Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Fatin Muneerah Sofian selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam prosiding di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

    Perkara itu disahkan peguam Albert, Mahajoth Singh ketika ditemui pemberita di luar kompleks mahkamah.

    Terdahulu, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing dibawa ke mahkamah bersama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan menaiki van SPRM untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

    Bagaimanapun, permohonan terhadap Shamsul Iskandar masih dalam proses pendengaran di mahkamah.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Albert merupakan individu paling penting dalam siasatan dakwaan berkaitan pemberian wang yang dikaitkan dengan Shamsul Iskandar.

    Menurut Azam, pihak SPRM turut menyerahkan notis di bawah Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert, yang memberi kuasa kepada pihak penyiasat untuk menghadkan hubungan individu disiasat dengan peguam atau mana-mana pihak lain sepanjang tempoh tertentu siasatan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Sofia Rini Buyong telah direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi membantu siasatan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12816

  • Paras air sungai meningkat, Zahid Hamidi ingatkan orang ramai waspada

    Paras air sungai meningkat, Zahid Hamidi ingatkan orang ramai waspada

    KUALA LUMPUR 29 Nov – Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap paras air sungai yang menunjukkan peningkatan di beberapa negeri susulan hujan berterusan sejak kebelakangan ini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa sungai telah mencatatkan paras air pada tahap waspada, amaran dan bahaya membabitkan negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Kelantan, berdasarkan laporan terkini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Menurut beliau, orang awam dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan berisiko terutama berhampiran sungai ketika hujan berterusan, selain sentiasa memantau perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

    “Sekiranya berada berhampiran sungai, elakkan kawasan berisiko, terutama ketika hujan berterusan. Sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, jauhi arus deras dan patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

    “Semoga kita semua dilindungi dan dipermudahkan urusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa berkaitan situasi banjir menerusi portal Public Info Banjir di laman sesawang www.publicinfobanjir.water.gov.my.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, satu fenomena lekukan tropika dikesan di Laut China Selatan namun dijangka tidak memberi kesan signifikan terhadap keadaan cuaca di Malaysia ketika ini.

    Menurut agensi itu, lekukan tropika berkenaan dikesan pada jam 8 pagi dan sedang bergerak ke arah timur-timur laut dengan kelajuan 15 kilometer sejam, dengan kelajuan angin maksimum direkodkan sebanyak 56 kilometer sejam.

    Fenomena itu kini berada kira-kira 213 kilometer ke timur laut Dungun, Terengganu, bagaimanapun orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan cuaca semasa melalui saluran rasmi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12817

  • Malaysia kekal anggota Majlis IMO 2026–2027, catat kemenangan ke-11 berturut-turut

    Malaysia kekal anggota Majlis IMO 2026–2027, catat kemenangan ke-11 berturut-turut

    KUALA LUMPUR 29 Nov – Malaysia sekali lagi dipilih sebagai Ahli Majlis Kategori C International Maritime Organization (IMO) bagi penggal 2026–2027, sekali gus mencatat kejayaan pemilihan kali ke-11 berturut-turut dalam pemilihan yang berlangsung sempena Perhimpunan Agung IMO ke-34 di London, pada 28 November lalu.

    Delegasi negara ke sesi pemilihan tersebut diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Hasbi Habibollah, yang mewakili Malaysia dalam proses pengundian bersama negara-negara anggota lain.

    Kejayaan pemilihan semula itu disifatkan sebagai manifestasi keyakinan berterusan komuniti maritim antarabangsa terhadap peranan konstruktif Malaysia sebagai rakan strategik yang dipercayai, khususnya dalam aspek keselamatan maritim, perlindungan alam sekitar serta usaha pembangunan kapasiti di peringkat global.

    Status sebagai Ahli Majlis Kategori C membolehkan Malaysia terus menyumbang secara aktif terhadap penggubalan dasar serta keputusan penting badan itu, termasuk dalam memperkukuh standard keselamatan perkapalan dan kelestarian alam sekitar marin di peringkat antarabangsa.

    Pemilihan berterusan ini turut mencerminkan komitmen negara dalam memacu agenda maritim global yang selamat, mampan dan berdaya saing, sejajar dengan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab perkapalan serantau.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12818

  • PH cukup kerusi bentuk kerajaan Sabah bersama GRS

    PH cukup kerusi bentuk kerajaan Sabah bersama GRS

    KOTA KINABALU 29 Nov – Pakatan Harapan (PH) mendakwa telah memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri Sabah bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

    Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, rundingan bagi memuktamadkan pembentukan kerajaan sedang dijalankan antara Pengarah Operasi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

    “Insya-Allah, saya dimaklumkan kita sudah mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri malam ini.

    “PH berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar khas di Hotel The Pacific Sutera, di sini, malam ini.

    Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.

    Fuziah berkata, PH menerima keputusan pengundi dengan hati terbuka dan komited menilai semula kekuatan serta kelemahan parti bagi memperbaiki prestasi selepas ini.

    “Sebagai Setiausaha Agung PKR, saya mewakili rakan-rakan dalam PH ingin menyatakan kami menerima keputusan pengundi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penuh rasa tanggungjawab.

    “Kami akan meneliti setiap kelemahan dan kekuatan, dan mengambil pengajaran daripada proses pilihan raya ini,” katanya.

    Sementara itu, perkembangan terkini menunjukkan dua calon PH daripada PKR mendahului persaingan di kerusi DUN Sindumin dan Melalap menurut keputusan tidak rasmi.

    Di Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa, anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, mendahului undi dalam pertandingan 10 penjuru, manakala di Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menewaskan tujuh pencabarnya.

    Keputusan rasmi masih menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12820