Blog

  • Beri autonomi lebih besar kepada kepimpinan pelajar

    Beri autonomi lebih besar kepada kepimpinan pelajar

    Oleh DR. ABDUL HADI SAMSI KESATUAN mahasiswa atau lebih dikenali sebagai student union merupakan badan yang dianggotai oleh sekumpulan pelajar universiti dan berfungsi sebagai wakil rasmi suara pelajar serta menjadi platform untuk mengurus kebajikan, aktiviti sosial, budaya, akademik dan advokasi hak pelajar. Dalam konteks universiti di Malaysia, selepas beberapa kali pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dilakukan, maka kesatuan mahasiswa telah diperkasakan dengan memberi ruang dan peluang kepada semua mahasiswa melibatkan diri dalam tadbir urus kampus. Selain itu,……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/24/beri-autonomi-lebih-besar-kepada-kepimpinan-pelajar/

  • Kemarau Tang Jie-Ee Wei temui noktah

    Kemarau Tang Jie-Ee Wei temui noktah

    BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengekalkan aksi konsisten bagi kempen 2025 apabila merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia yang berlangsung di Sydney.

    Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Olympic Boulevard semalam, gandingan No. 4 dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.

    Menggalas status sebagai pilihan utama kejohanan, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan aksi cukup baik sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan straight-set 21-16, 21-11 dalam tempoh 42 minit.

    Gelaran itu pastinya menjadi tonik terbaik buat juara dunia berkenaan sebelum memikul tanggungjawab pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 serta saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China bulan depan.

    Menerusi kemenangan itu, Tang Jie-Ee Wei akhirnya berjaya menamatkan kemarau gelaran dalam saingan Jelajah Dunia musim ini selepas percubaan mereka pada China Masters September lalu berakhir dengan naib juara.

    Sebagai rekod, gelaran Terbuka Australia menjadi kejuaraan kedua mereka sepanjang kempen 2025 selepas turut melakar sejarah memenangi Kejohanan Dunia yang berlangsung di Paris, Perancis Ogos lalu.

    Terbuka Australia merupakan kejohanan pertama buat gandingan tersebut selepas kali terakhir beraksi pada Terbuka Perancis bulan lepas kerana terpaksa berehat akibat kecederaan bahu dialami Tang Jie.

    Selaku juara, Tang Jie-Ee Wei berjaya membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM156,385), pingat serta trofi manakala Jafar-Felisha berpuas hati dengan AS$18,050 (RM75,223) dan pingat.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/24/kemarau-tang-jie-ee-wei-temui-noktah/

  • Gelombang banjir bermula

    Gelombang banjir bermula

    PETALING JAYA – Hujan lebat sejak beberapa hari lalu selain tempias daripada banjir besar di selatan Thailand menyebabkan lima negeri khususnya di Pantai Timur dan Utara mula dilanda banjir musim tengkujuh.

    Lima negeri yang kini berdepan banjir gelombang pertama ialah Kelantan dan Terengganu di Pantai Timur, manakala negeri yang terjejas di Utara Semenanjung ialah Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

    Setakat pukul 5.30 petang semalam, seramai 7,650 mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan Kelantan paling terjejas dengan jumlah 7,040 mangsa.

    Di Kelantan, Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd. Farid Ishak berkata, antara jajahan yang terjejas ialah Bachok, Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

    Katanya, setakat ini hujan masih berterusan melibatkan semua jajahan kecuali Gua Musang, manakala jumlah aset telah digerakkan melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    “Kita sentiasa bersiap sedia kerana hujan masih berterusan dan dijangka lebih ramai penduduk yang terjejas banjir.

    “Operasi menyelamat ­mangsa untuk ke PPS berterusan memandangkan keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/24/gelombang-banjir-bermula/

  • Tekanan di Selat Melaka punca hujan berterusan dalam tempoh 36 jam

    Tekanan di Selat Melaka punca hujan berterusan dalam tempoh 36 jam

    PETALING JAYA – Satu sistem tekanan rendah telah terbentuk di Selat Melaka dan kini berada di kedudukan 5.4°U 98.3°T berhampiran kawasan perairan utara Semenanjung menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di beberapa negeri pada hari ini hingga Selasa.

    Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Datuk Mohd Hisham Mohd Anip, berkata, posisi sistem ini hampir pegun dan dijangka bergerak ke arah barat laut menuju ke Teluk Benggala selepas tempoh 36 jam.

    “Kemungkinan intensiti sistem ini untuk meningkat ke tahap sikion tropika lemah (lekukan tropika) adalah rendah.

    “Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di negeri-negeri utara dan barat Semenanjung pada hari ini hingga Selasa ini,” katanya dalam kenyataan.

    Sehubungan itu katanya, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori bahaya, buruk dan waspada berkuat kuasa sehingga Selasa.

    “Serta amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor berkuat kuasa sehingga esok,” ujarnya.

    Jelasnya, MetMalaysia akan mengemaskini nasihat dan amaran tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini.

    “Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

    “Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/tekanan-di-selat-melaka-punca-hujan-berterusan-dalam-tempoh-36-jam/

  • Banjir Hatyai: Ramai cuba balik terkandas semula, kanak-kanak kelaparan

    Banjir Hatyai: Ramai cuba balik terkandas semula, kanak-kanak kelaparan

    MELAKA – Ramai rakyat Malaysia yang cuba keluar dari Hatyai, Thailand terpaksa berhenti dan berlindung di sebuah stesen rehat dan rawat, kira-kira 40 kilometer dari pintu sempadan, selepas laluan keluar kembali dinaiki air.

    Keadaan dilaporkan semakin tertekan apabila bekalan makanan termasuk di kedai serbaneka 24 jam di hentian berkenaan habis, menyebabkan keluarga terkandas terutama kanak-kanak dan warga emas letih serta kelaparan.

    Menurut salah seorang mangsa, Muhammad Hazwan Zammizi, 29, laluan itu pada mulanya masih boleh dilalui tetapi paras air sungai berhampiran meningkat dengan cepat sehingga melimpah ke jalan.

    “Ikutkan tadi air boleh dilalui, tapi sungai tiba-tiba deras, semua patah semula sampai nampak kawasan rehat ini.

    “Air laju sangat naik. Kami cuba bertahan sejak pukul 3 petang tadi, ramai yang lapar termasuklah kanak-kanak di sini. Tak sangka benda macam ni berlaku, lagi-lagi di negara orang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

    Katanya, sehingga kini cuaca masih hujan dan rakyat Malaysia yang terkandas hanya menunggu masa sesuai untuk meneruskan perjalanan keluar dari Thailand.

    “Kami tunggu tengah pagi kalau hujan reda sikit dan kami boleh teruskan perjalanan.

    “Setakat ini belum ada bantuan rasmi yang tiba untuk membawa rakyat Malaysia keluar dari kawasan berisiko termasuk daripada pihak tempatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/banjir-hatyai-ramai-cuba-balik-terkandas-semula-kanak-kanak-kelaparan/

  • Pasangan suami isteri sesat dua jam di Bukit Astro Rock

    Pasangan suami isteri sesat dua jam di Bukit Astro Rock

    GEORGE TOWN 23 Nov – Sepasang suami isteri yang dilaporkan sesat hampir dua jam di Bukit Astro Rock, Tanjung Bungah, malam tadi, berjaya ditemukan selamat oleh pasukan penyelamat.

    Mangsa, Mohamad Nazrin Basir, 34, dan Zati Nazirah Yusuf, 29, ditemukan dalam keadaan stabil tanpa kecederaan pada pukul 8.59 malam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera diaktifkan berpandukan koordinat lokasi dikongsi mangsa melalui WhatsApp.

    “Kami turut menerima bantuan polis (PDRM) dan hasil pencarian di kawasan berbukit, pasukan berjaya menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat.

    “Pasangan itu ditemukan pada ketinggian kira-kira 186 meter dari aras laut, hampir setengah jam selepas laporan kehilangan dibuat,” katanya di sini, hari ini.

    Menurut beliau, enam anggota termasuk seorang penyelia serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal terlibat dalam operasi tersebut.

    John turut menasihati orang awam, terutama pendaki, supaya menyemak keadaan cuaca sebelum memulakan sebarang aktiviti mendaki.

    Terdahulu, JBPM Pulau Pinang menerima maklumat mengenai dua individu sesat di Bukit Astro Rock pada 7.08 malam.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12673

  • Mangsa banjir di Kelantan meningkat, 1,970 dipindahkan ke PPS

    Mangsa banjir di Kelantan meningkat, 1,970 dipindahkan ke PPS

    KOTA BHARU 23 Nov – Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,970 orang daripada 794 keluarga setakat jam 9.56 pagi, hari ini.

    Bagi menampung pertambahan mangsa, sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di tiga daerah terjejas.

    Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatat jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 812 mangsa daripada 358 keluarga yang kini ditempatkan di empat PPS.

    Di Bachok, seramai 646 individu daripada 198 keluarga dipindahkan ke tiga PPS.

    Kota Bharu turut menunjukkan peningkatan apabila 522 mangsa daripada 242 keluarga kini berlindung di tujuh PPS.

    Sementara itu, di Terengganu, seramai 353 mangsa daripada 82 keluarga dipindahkan melibatkan satu daerah.

    Di Kedah pula, tiga PPS dibuka bagi menempatkan 36 mangsa daripada 14 keluarga yang terjejas.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12670

  • Wanita Malaysia terkandas di Hatyai terima bantuan, mohon maaf atas kekecohan tular

    Wanita Malaysia terkandas di Hatyai terima bantuan, mohon maaf atas kekecohan tular

    KUALA LUMPUR 22 Nov – Wanita Malaysia yang tular selepas terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand memaklumkan bahawa dia dan keluarganya kini sudah menerima bantuan keperluan asas, termasuk susu, lampin pakai buang dan makanan.

    Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Lily Suraini mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin serta tampil menghulurkan bantuan.

    “Assalamualaikum semua, terima kasih atas bantuan. Kami dah dapat bantuan susu, lampin dan makanan. Terima kasih banyak kepada hamba Allah yang sangat ramai membantu kami. Tak dapat nak sebut sebab ramai. Saya pun dah dapat mengecas telefon,” katanya.

    Dalam masa sama, Lily memohon maaf atas segala kesulitan susulan perkongsian terdahulunya yang mengundang pelbagai reaksi di Malaysia dan Thailand.

    “Saya memohon maaf kepada seluruh ‘page’ Malaysia dan Thailand dan orang-orang pelancongan yang ditekan-tekan oleh netizen untuk membantu saya. Saya tak jangka perkara ini berlaku,” katanya.

    Lily turut mengakui menerima kecaman, termasuk dituduh sebagai penipu dan mencari pengikut, namun memilih untuk memohon maaf dan meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.

    “Ramai yang maki saya sebab menyusahkan orang, kata saya scammer mencari pengikut… saya mohon maaf atas segalanya. Saya tak sangka seramai ini akan kongsi status saya.

    “Saya akan berhenti untuk kemaskini apa-apa dan menunggu di sini sehingga semuanya baik dan dapat balik ke Malaysia. Saya mohon untuk semua kongsi status ini dan kes tutup,” ujarnya.

    Terdahulu, Lily dan keluarganya dilaporkan terperangkap di sebuah hotel di Hatyai selepas banjir besar melanda daerah itu semalam berikutan hujan berterusan.

    Dia sebelum ini meminta bantuan kedutaan serta orang ramai untuk mendapatkan bekalan susu dan lampin bagi dua anaknya berusia dua dan empat tahun, selepas bekalan elektrik terputus dan bateri telefon hampir habis.

    Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand termasuk Hatyai, susulan keadaan hujan lebat dan banjir yang semakin memburuk.

    Katanya, situasi itu menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia terkandas di beberapa hotel di sekitar Hatyai.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12669

  • SPRM siasat tiga tender UKM bernilai RM58.45 juta

    SPRM siasat tiga tender UKM bernilai RM58.45 juta

    KUALA LUMPUR 22 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung tiga tender perolehan bernilai RM58.45 juta di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada Julai 2025.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini lima individu telah dipanggil bagi membantu siasatan jenayah rasuah, manakala penelitian dokumen berkaitan masih giat dijalankan.

    “Selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas siasatan tatakelola bagi meneliti aspek pengurusan dan kepatuhan tatakelola dalam perolehan tersebut,” katanya.

    Isu itu turut mendapat perhatian apabila dibangkitkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semasa Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi, hari ini.

    Zainul menegaskan komitmen SPRM untuk memastikan integriti serta tadbir urus negara diperkukuh, sejajar usaha meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12667

  • Polis benarkan perhimpunan sokong Indira Gandhi asalkan aman

    Polis benarkan perhimpunan sokong Indira Gandhi asalkan aman

    KUALA LUMPUR 22 Nov – Polis tidak menghalang penyokong M. Indira Gandhi daripada berkumpul dan mengadakan bantahan di hadapan pintu masuk Bukit Aman selagi ia berlangsung secara aman serta tidak menjejaskan kelancaran lalu lintas.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seramai 60 anggota dikerahkan untuk memantau keadaan sepanjang perhimpunan itu.

    “Kita tidak menghalang kehadiran mereka, namun mereka perlu memastikan tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang lalu lintas dan tidak menjejaskan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi hari ini.

    Menurut Sazalee, peserta turut diberikan kelonggaran bergerak sehingga ke tengah jalan kerana tiada tindakan yang mengancam keselamatan awam.

    Terdahulu, perhimpunan aman berlangsung di ibu kota bagi mendesak polis mempercepatkan usaha mengesan Prasana Diksa, yang dilarikan bekas suami Indira hampir 17 tahun lalu.

    Pada 2009, Muhammad Riduan atau K. Pathmanathan melarikan Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan dan menukar agama dua lagi anak mereka — Tevin Darsiny, 12, dan Karan Dinish, 11 — kepada Islam tanpa pengetahuan Indira.

    Namun pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama ketiga-tiga anak tersebut adalah tidak sah.

    Perarakan hari ini bermula di hadapan Sogo KL, Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum bergerak ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dipimpin Indira yang tetap menuntut keadilan selepas penantian lebih 16 tahun.

    Sementara itu, Indira meluahkan rasa kecewa apabila melihat seolah-olah tiada tindakan sewajarnya diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Kami hanya mahu tahu di mana anak saya. Kami tidak kisah bagaimana bentuk kerjasama, kami sentiasa terbuka.

    “Namun apa yang berlaku amat mengecewakan. PDRM seolah-olah tidak mengambil tindakan, dan ini benar-benar menghampakan,” katanya.

    Sebagai seorang ibu, katanya lagi, sukar menerima alasan bahawa Ketua Polis Negara tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu dengannya.

    “Mustahil untuk saya terima alasan bahawa KPN tidak boleh meluangkan lima minit walau sesibuk mana pun beliau.

    “Saya sudah nyatakan saya fleksibel. Disember tidak boleh, Januari tidak boleh… jadi bila? Sekurang-kurangnya berilah satu tarikh. Mengapa begitu sukar?” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12666