Blog

  • ‘Aleesya masih malu-malu, ada berlian dalam mulut dia’

    ‘Aleesya masih malu-malu, ada berlian dalam mulut dia’

    SHAH ALAM – Anak diintai syarikat pengeluar produk, pelakon Erra Fazira mengakui belum berani ‘melepaskan’ Engku Aleesya Engku Emran untuk bergelar duta mahu pun wajah jenama.

    Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, tiada halangan buat puteri tunggalnya itu untuk menceburi sebarang bidang termasuk hiburan asalkan berminat serta melakukan persediaan rapi.

    “Memang ada beberapa wakil jenama bertanyakan tentang Aleesya jika dia berminat menjadi duta atau sebagai wajah produk, tetapi saya tengok dia belum bersedia lagi.

    “Aleesya masih malu-malu. Mungkin bukan sekarang, kena buat persediaan dulu. Jika dia minat ceburi hiburan pun saya lebih galakkan jadi pengacara. Cuma, sekarang ini macam ada berlian dalam mulut dia, ‘introvert’.

    “Malah jika dia minat menyanyi saya akan hantar ke kelas vokal,” katanya selepas pelancaran buku kanak-kanak pertama Little Nina and The Adventure of Fatimah Az Zahra, nukilan Engku Aleesya Engku Emran di sini, hari ini.

    Menurut Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu, buat masa ini Aleesya lebih cenderung terhadap penulisan sehingga terhasilnya buku kanak-kanak yang disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan.

    “Penulisan memang minatnya. Saya tiada halangan untuk Aleesya menjadi penulis tetapi lebih galakkan dia jadikan bidang ini sebagai pendapatan sampingan.

    “Kalau boleh saya mahu dia belajar lagi dan terokai bidang lain. Jika mahu jadi veterinar, pakar psikologi atau terbabit dalam bidang hiburan sekali pun, penulisan sebagai sampingan,” ujarnya.

    Selain itu, Erra juga meluahkan rasa bangga dengan bakat dimiliki anaknya itu yang mendapat kepercayaan untuk tampil dengan sebuah buku sulung pada usia muda.

    “Saya bukan mahu memuji anak, cuma saya kagum dengan ideanya yang saya sifatkan di luar kotak. Sejak kecil dia sudah tunjukkan bakat menulis. Saya beri buku, bapanya bagi galakan.

    “Sebagai seorang yang pemalu, Aleesya curahkan segala perasaan dalam penulisan, macam saya dulu sebelum adanya gajet kerana saya suka menulis dan membaca.

    “Bahkan karangan saya dahulu sering menjadi contoh kepada rakan sekelas,” katanya.

    Sementara itu, bapa Aleesya, Engku Emran berkata, dia juga memberi galakkan kepada anaknya itu untuk menulis buku dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami kanak-kanak.

    “Waktu dia menulis buku ini, dia baru berusia 14 tahun dan ketika itu tidak sesuai lagi dia untuk dia menulis kisah cinta remaja. Saya mahu dia menulis buku yang mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak.

    “Saya tak mahu letak sasaran tinggi, cukup untuk menulis buku yang mudah difahami walaupun dia sendiri membaca buku untuk pembaca dewasa,” kongsinya.

    Cetakan pertama buku di bawah terbitan Tertib Publishing sebanyak 1,000 naskhah itu kini telah terjual sebanyak 50 peratus. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/aleesya-masih-malu-malu-ada-berlian-dalam-mulut-dia/

  • Imej ISS papar Sungai Kelantan dari angkasa

    Imej ISS papar Sungai Kelantan dari angkasa

    PETALING JAYA – Gambar aliran sedimen pekat Sungai Kelantan di Malaysia yang dikongsi Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) baru-baru ini menarik perhatian orang ramai.

    Menerusi satu hantaran di Facebook ISS, turut dipaparkan kepelbagaian hidrosfera bumi di tiga lokasi utama iaitu beting pasir di Bahamas, perairan kaya biologi di Teluk California, serta Tasik Pyramid di Nevada, Amerika Syarikat.

    Salah satu imej yang dikongsi menunjukkan Sungai Kelantan mengalir merentasi dataran banjir paling padat penduduk di Malaysia sebelum berakhir di Laut China Selatan.

    “Di tebing timurnya, tempat sungai bertemu dengan laut, terletaknya Kota Bharu, sebuah bandar yang diasaskan pada akhir abad ke-19 dan didiami kira-kira 570,000 orang.

    “Gambar ini diambil dari Stesen Angkasa Antarabangsa ketika ia mengorbit 260 batu di atas Bumi,” tulis hantaran itu.

    Katanya, gambar yang direkodkan pada 2 Oktober 2025 itu menonjolkan proses semula jadi yang membentuk muka bumi, termasuk pola aliran air, pemendapan dan perubahan landskap.

    Sehingga kini, hantaran tersebut telah mendapat lebih 1,000 tanda suka. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/imej-iss-papar-sungai-kelantan-dari-angkasa/

  • Pemandu Range Rover hadir ke balai, alasan tayar pecah langgar lubang

    Pemandu Range Rover hadir ke balai, alasan tayar pecah langgar lubang

    KUALA LUMPUR – Polis membuka siasatan berhubung video tular memaparkan sebuah kereta dipandu dalam keadaan berbahaya dan didakwa pemandunya berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Taman Naga Emas.

    Video berdurasi satu minit itu memaparkan sebuah Range Rover Velar bergerak dengan tayar belakang kanan dalam keadaan pecah dan hancur, sebelum tular di media sosial pada semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, hasil semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi.

    “Pergerakan berbahaya kenderaan berkenaan turut dirakam oleh seorang penunggang motosikal sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pemandu kereta merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi, hari ini bagi membantu siasatan.

    “Pemandu memberi alasan tayar pecah terlanggar lubang dan memandangkan kediamannya dekat maka pemandu memandu terus kenderaannya untuk pulang ke rumah” ujarnya.

    Jelasnya, tangkapan terhadap pemandu akan dilakukan dan siasatan berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan oleh pihaknya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.

    Pihaknya turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    Semalam, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki tetap memandu kenderaannya walaupun bahagian tayar belakang telah pecah dan hanya bergerak menggunakan rim sahaja.

    Kejadian yang berlaku di ibu kota itu menyaksikan seorang pemandu bersama dua lagi temannya memandu kenderaan utiliti sukan mewah dengan hanya menggunakan tiga roda bertayar lengkap. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/pemandu-range-rover-hadir-ke-balai-alasan-tayar-pecah-langgar-lubang/

  • ‘Makin teruk di Hatyai, nak ke lapangan terbang pun tak boleh’

    ‘Makin teruk di Hatyai, nak ke lapangan terbang pun tak boleh’

    PETALING JAYA – Pelawak Shahrol Shiro mendedahkan isterinya, Nor Farhanah Syamimi dan anak lelakinya, Iskandar Rizqi merupakan antara rakyat Malaysia yang kini terkandas di Hatyai, Thailand susulan banjir kilat melanda daerah tersebut sejak beberapa hari lalu.

    Menurut Shahrol atau nama lengkap Shahrol Azizie Azmi, 41, keadaan di Hatyai kini bertambah teruk dan mengakui bimbang dengan keadaan isterinya yang masih tidak dapat pulang ke tanah air selepas beberapa laluan ditutup kerana paras air meningkat.

    “Dapat khabar berita daripada isteri saya yang sedang bercuti di Hatyai. Menurutnya, hujan semakin lebat dan beberapa tempat dilanda banjir serta jalan dah ditutup.

    “Nak ke lapangan terbang untuk pulang pun dah tak boleh dan saya terlihat di Facebook keadaan semakin teruk di sana.

    “Saya di Sabah, hati seorang suami sangat risaulah, memandangkan isteri bersama dengan anak kami, Iqi dan juga keluarga adiknya di sana,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

    Dalam pada itu, dia meminta semua pihak dapat menitipkan doa buat keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang kini terkandas di Hatyai agar dapat segera pulang ke tanah air dengan selamat.

    “Mohon titipkan doa kepada semua banjir yang terlibat, semoga situasi banjir di sana kembali pulih.

    “Terima kasih kepada sahabat yang membantu. Kepada isteri saya, sayang saya tahu awak mampu harungi.

    Terdahulu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.

    Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.

    Difahamkan, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terkandas berikutan banjir di Hatyai dan beberapa kawasan sekitar selatan Thailand dilaporkan berada dalam keadaan selamat .

    Kerajaan juga sedang mempergiat usaha menyelamatkan mereka yang terkandas agar dapat pulang ke tanah air secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/makin-teruk-di-hatyai-nak-ke-lapangan-terbang-pun-tak-boleh/

  • Amaran hujan tahap bahaya di Kelantan sehingga Rabu

    Amaran hujan tahap bahaya di Kelantan sehingga Rabu

    PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan tahap bahaya iaitu sangat lebat (merah) berterusan di lima daerah di Kelantan sehingga Rabu ini.

    MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, daerah yang terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

    “Sementara itu, hujan lebat tahap buruk (jingga) dijangka melanda Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai.

    “Keadaan sama dijangka berlaku di seluruh Perlis, Kedah membabitkan daerah Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan Perak di Hulu Perak sehingga Selasa ini,” katanya.

    MetMalaysia turut memaklumkan hujan tahap waspada (kuning) di Kedah membabitkan kawasan Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

    “Amaran sama turut dikeluarkan di seluruh Pulau Pinang manakala Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak sehingga esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/amaran-hujan-tahap-bahaya-di-kelantan-sehingga-rabu/

  • 5 negara pembaca buku tegar

    5 negara pembaca buku tegar

    SEJAK dahulu anak-anak dididik untuk mencintai buku kerana membaca merupakan jambatan ilmu. Namun, dengan arus teknologi moden yang mendampingi generasi muda dan orang dewasa, populariti buku semakin menurun.

    Kehadiran gajet berupa telefon, tablet dan juga pelbagai permainan video memberi saingan sengit kepada buku. Jika dahulu buku menjadi teman pada masa lapang tetapi kini telah diambil alih oleh pelbagai gajet teknologi moden.

    Pun begitu, ada beberapa negara yang masih lagi mengekalkan budaya ilmu dengan membaca buku dan menyediakan fasiliti lengkap untuk memastikan kecintaan itu terus mekar. Sehubungan itu, pada minggu ini, CitaRasa kongsikan lima negara paling banyak pembaca buku dan meluangkan masa paling lama dengan buku menurut data dikongsikan oleh World Population Review dan dilaporkan oleh Times Of India.

    DI kedudukan pertama adalah Amerika Syarikat (AS) dengan purata pembaca meluangkan masa 357 jam setiap tahun untuk membaca pelbagai genre buku dan majalah. Rangkaian perpustakaan awam yang meluas, populariti e-buku yang semakin meningkat dan inisiatif yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat telah mengukuhkan budaya membaca di negara itu.

    Daripada pembaca muda yang meneroka platform digital kepada generasi ‘lama’ menggunakan buku untuk menyemarakkan lagi budaya membaca di AS yang disesuaikan lagi dengan gaya hidup moden dengan sangat baik. Oleh itu, tidak hairanlah setiap seorang di AS membaca kira-kira 17 buah buku setahun.

    SECARA purata, setiap seorang di India menghabiskan masa membaca sebanyak 16 buah buku setahun. Ini sekali gus meletakkan India di tangga kedua negara paling banyak orang membaca buku dengan habiskan 352 jam dalam setahun.

    Perkara ini dipacu oleh warisan sastera negara yang mendalam, industri penerbitan pelbagai bahasa dan akses mampu milik kepada kandungan digital, semua ini jadi penyumbang kedudukan yang mengagumkan ini. Daripada kesusasteraan serantau kepada buku terlaris Inggeris, pembaca India terlibat dengan gabungan genre yang pelbagai, menjadi petanda betapa rancaknya budaya membaca negara itu.

    DI tempat ketiga, pembaca di United Kingdom (UK) menghabiskan masa sekitar 343 jam setahun bersama buku. Tradisi sastera Britain dari Shakespeare hingga J.K. Rowling masih mempengaruhi pembaca moden. Setiap seorang penduduk di UK membaca kira-kira 15 buah buku setahun. Selain itu, rekod jualan buku di negara ini juga telah mencecah sekurang-kurangnya 212 juta.

    Perpustakaan awam, festival sastera dan kelab buku kekal sebagai pusat landskap budaya. Walaupun peralihan digital, buku bercetak terus memegang daya tarikan istimewa untuk pembaca di UK.

    SETERUSNYA, Perancis menduduki tempat keempat dengan purata 305 jam masa membaca dalam setahun. Dikenali dengan tradisi intelektualnya, pembaca Perancis sering mengimbangi fiksyen, esei dan karya falsafah.Dianggarkan sebanyak 14 buah buku dibaca dalam setahun oleh seorang penduduk di Perancis.

    Kafe dan kedai buku di negara itu, khususnya di Paris masih berfungsi sebagai titik pertemuan untuk perbincangan dan kreativiti, mengekalkan imej global Perancis sebagai negara pemikir dan pembaca.

    DI tempat kelima adalah Itali dengan rakyat di negara itu dilaporkan membaca kira-kira 278 jam setiap tahun, mencerminkan semangat sastera yang mantap. Pembaca Itali menunjukkan penghargaan yang mendalam terhadap puisi, kritikan seni dan kesusasteraan klasik, manakala pengarang moden terus mendapat perhatian di dalam dan luar negara. Kecintaan untuk bercerita yang diwarisi dari budaya dan seni berabad-abad, kekal sebagai asas kehidupan Itali. Untuk rekod, purata pembaca di Itali membaca 13 buah buku setahun.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/5-negara-pembaca-buku-tegar/

  • Rumah PPR berubah bagaikan hotel mewah

    Rumah PPR berubah bagaikan hotel mewah

    DI sebalik ruang yang terhad, semakin ramai penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini memilih gaya moden minimalis sebagai identiti kediaman mereka. Trend ini bukan sahaja menjadikan rumah kelihatan lebih kemas dan luas, malah juga menonjolkan rasa tenang dan praktikal, sesuai untuk keluarga kecil yang mahukan kediaman ringkas tanpa sarat dekorasi. Walaupun unit PPR kebiasaannya mempunyai keluasan antara 55 hingga 65 meter persegi, gaya minimalis membuktikan bahawa ruang kecil bukan halangan untuk menghasilkan rumah yang selesa dan sedap mata memandang. Bagi……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/rumah-ppr-berubah-bagaikan-hotel-mewah/

  • Terokai keenakan tradisi Turkiye

    Terokai keenakan tradisi Turkiye

    SETIAP suapan kebab begendili menghadirkan keseimbangan tekstur yang lembut, berasap dan sedikit berlemak. Ia menghidupkan kembali asal usul hidangan istana Ottoman atau Uthmaniyyah Turkiye yang dikenali sebagai makanan untuk sultan. Terung bakar yang dilenyek halus membentuk lapisan dasar berkrim, diserlahkan dengan sos putih yang lembut dan beraroma. Proteinnya, sama ada ayam atau daging lembu, dipanggang perlahan, menyerap dengan sempurna manis asli sayur-sayuran yang dimasak bersama. Hidangan penuh warisan kebanggaan Turkiye itu boleh didapati di Turks KL, Taman Tunku, Bukit Tunku,……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/terokai-keenakan-tradisi-turkiye/

  • Taktik paling licik seludup RON95

    Taktik paling licik seludup RON95

    KOTA BHARU – Individu dipercayai mempunyai dua kerak­yatan dikenal pasti menggunakan alasan menghantar anak-anak bersekolah di kawasan sempadan di negara ini dengan kereta untuk menyeludup petrol ke wilayah selatan Thailand. Kereta yang dipandu penyeludup itu juga menggunakan jalan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) untuk masuk dan keluar dari negara ini sebanyak lebih dua hingga tiga kali sehari. Selain itu, penyeludup juga menggunakan kuota 300 liter pengisian RON95 menerusi Budi Madani RON95 (Budi95) untuk menjual petrol kepada……

    Hak cipta terpelihara © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H)Satu lagi produk Media Mulia Sdn. Bhd.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/taktik-paling-licik-seludup-ron95/

  • Dua ejen nama ‘dipetik’ FIFA miliki reputasi

    Dua ejen nama ‘dipetik’ FIFA miliki reputasi

    DUA ejen yang dikatakan membuat ‘onar’ dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya, Frederico Moraes dan Nicolas Puppo boleh dianggap ‘orang tengah’ yang cukup terkenal di rantau Amerika Selatan.

    Hasil semakan Kosmo! di laman sukan transfermrket.com, Moraes antara ejen bola sepak prolifik di rantau terbabit apabila menjadi pengarah urusan syarikat Pro Manager Sports & Marketing.

    Hampir sebahagian besar pemain yang berada di bawah agensi tersebut adalah tonggak bola sepak kelahiran Brazil termasuk dua tonggak kebangsaan skuad Selecao seperti Joao Pedro, Savinho dan Roger Ibanez.

    Tiga pemain berbakat ini bukan ‘calang-calang’ kerana memiliki tanda harga yang lumayan seperti Pedro yang mewakili kelab Chelsea yang bernilai €65 juta (RM310.8 juta), Savinho (Manchester City) bernilai €50 juta (RM239.1 juta), Ibanez (Al Ahli) bernilai €17 juta (RM81.2 juta).

    Selain itu, penyerang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo yang kini mewakili skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berada di bawah agensi yang seliaan Moraes.

    Sementara itu, Puppo turut menjadi ejen bola sepak yang berdaftar dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang berkerja dengan agensi Elite Sports Management.

    Agensi ini tidak memiliki tonggak yang memiliki nama besar seperti syarikat Moraes dengan kebanyakannya lahir di sekitar Argentina, Venezuela, Colombia dan Chile.

    Antara pemain yang berada dalam agensi ini adalah seorang lagi pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado yang mewakili kelab America de Cali selain bekas penyerang Newcastle United, Solomon Rondon.

    Namun, apa yang menarik perhatian adalah agensi Puppo turut mengendalikan bekas bintang import JDT, Leandro Velazquez dan jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora.

    Sebagai rekod, keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA telah menyatakan nama dua ejen terbabit disebut yang mungkin berdepan siasatan selepas terpalit isu pemalsuan dokumen selain operasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

    “Sebagai fokus awal, siasatan mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) serta dua ejen yang disebut dalam prosiding ini – Nicolas Puppo dan Frederico Moraes.

    “Pembabitan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh,” kata jawatankuasa berkenaan dalam laporan itu.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/23/dua-ejen-nama-dipetik-fifa-miliki-reputasi/