Blog

  • Safee Sali gesa FAM selamatkan bola sepak negara dahulu

    Safee Sali gesa FAM selamatkan bola sepak negara dahulu

    PETALING JAYA 20 Nov – Bekas pemain kebangsaan dan bekas Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya “menyelamatkan bola sepak negara terlebih dahulu” ketika badan induk itu membawa kes berkaitan pemain kacukan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

    Safee menyuarakan kebimbangan terhadap kesan buruk yang mungkin menimpa bola sepak negara di pentas antarabangsa sekiranya keputusan lebih berat dikenakan.

    “Kita tidak boleh ‘membunuh’ bola sepak begitu sahaja,” katanya.

    Beliau menegaskan bahawa sebarang penggantungan atau krisis tambahan akan memberi kesan kepada ramai pihak di luar isu utama tersebut.

    Safee, yang membantu skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, berkata para pemain tempatan sebenarnya sudah mula terkesan sejak sebelum FIFA campur tangan secara rasmi, dan sebarang komplikasi lanjut hanya akan “menambah lebih banyak masalah” kepada pemain.

    “Kita mesti cintakan bola sepak dan sukan ini, dan semuanya adalah untuk negara,” katanya.

    Safee turut mengulangi gesaannya agar semua pihak bertanggungjawab susulan keputusan penuh (“motivated decision”) yang dikeluarkan FIFA, yang memperincikan isu melibatkan pemain, FAM dan ejen.

    “Sebagai rakyat Malaysia, saya tentunya kecewa dengan keputusan ini,” katanya.

    Beliau menggesa keluarga bola sepak negara mengambil pengajaran, menekankan perlunya “bangun dan jangan ulangi kesilapan sama”.

    “Kita mesti perbetulkan perkara ini, siapa yang melakukannya perlu bertanggungjawab,” katanya sambil menekankan keperluan menangani isu sistemik yang didedahkan dalam keputusan tersebut.

    Safee turut menyentuh mengenai dapatan yang menyatakan bahawa pemain dilaporkan menyerahkan sepenuhnya urusan kepada ejen tanpa melaksanakan tanggungjawab profesional mereka sendiri.

    Bekas penyerang itu melahirkan rasa hairan bahawa terdapat pemain profesional yang tidak membaca dan memahami kontrak mereka.

    Beliau menegaskan, pemain perlu menjalankan tanggungjawab dan semakan yang sewajarnya sebagai profesional kerana “anda mesti berhati-hati dan tahu apa yang anda tandatangani”.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12607

  • Penjawat awam ditangkap selepas rakam wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh

    Penjawat awam ditangkap selepas rakam wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh

    TEMERLOH 20 Nov – Seorang penjawat awam lelaki ditangkap orang awam selepas tindakannya merakam seorang wanita tanpa keizinan di Pekan Sehari Temerloh tular di media sosial, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan pada 19 November 2025 sebelum suspek berjaya diberkas.

    “Kejadian sebenar berlaku pada 9 November lalu kira-kira jam 12.45 tengah hari apabila seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa dirinya dirakam secara curi ketika berada di lokasi berkenaan.

    “Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam serta merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk merakam mangsa tanpa keizinan,” katanya dalam kenyataan.

    Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit suspek menemui beberapa video mangsa yang dirakam secara curi dalam galeri telefon berkenaan, selain sejumlah video dan gambar lucah.

    Susulan itu, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 509A dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang serta memiliki bahan lucah.

    Sekiranya sabit kesalahan, Seksyen 509A memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 292 membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mohd Nasyim turut menasihatkan orang awam agar tidak melakukan perbuatan sama serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi mengenai kes yang masih dalam siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12606

  • Premis tanpa tandas bersih tidak lagi layak dapat lesen perniagaan mulai tahun hadapan

    Premis tanpa tandas bersih tidak lagi layak dapat lesen perniagaan mulai tahun hadapan

    KUALA LUMPUR 20 Nov – Bermula tahun hadapan, hanya premis yang memiliki tandas bersih dan memenuhi standard minimum kebersihan akan layak menerima kelulusan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu akan dilaksanakan secara berfasa sebagai usaha mengangkat imej serta standard tandas di negara ini.

    Menurutnya, pelaksanaan berfasa itu akan bermula di Majlis Bandaraya pada 2026, diikuti Majlis Perbandaran pada 2027 dan Majlis Daerah pada 2028.

    “Langkah ini bagi memastikan standard tandas ‘BMW’ (Bersih, Menawan dan Wangi) menjadi norma nasional, selain meningkatkan imej perkhidmatan awam dan pengalaman pengguna menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada Majlis Penganugerahan Tandas Terbaik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 (TOTYA 2025) di sini, hari ini.

    Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu turut menetapkan nisbah minimum kemudahan tandas di premis perniagaan dan bangunan awam, iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan, selaras dengan keperluan pengguna serta aliran trafik pelanggan.

    “Mulai tahun depan, tandas awam yang dibina perlu mematuhi garis panduan KPKT supaya dalam tempoh 10 tahun, budaya beratur panjang ketika musim perayaan tidak lagi berlaku.

    “Saya sendiri melihat wanita memerlukan lebih masa menggunakan tandas. Perkara ini turut dibuktikan melalui dapatan saintifik daripada kerajaan Jepun,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Kor Ming memaklumkan TOTYA 2025 mencatat sejarah dengan 744 penyertaan, meningkat berbanding 625 penyertaan pada 2024 dan 345 penyertaan pada 2023.

    “Peningkatan ketara ini membuktikan bahawa TOTYA kini menjadi penanda aras kebangsaan dalam penilaian standard kebersihan dan kualiti tandas awam,” ujarnya.

    Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM180 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2024 untuk tujuan pembaikan dan naik taraf tandas awam di seluruh negara.

    Pada majlis itu, pemenang bagi lapan kategori menerima hadiah RM20,000 beserta trofi dan sijil.

    Antara pemenang termasuk Masjid Tepian Putra, Kuantan (kategori rumah ibadat), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwok, Kuala Lumpur (kategori sekolah), dan Tandas Awam Terminal Putrajaya Sentral (kategori PBT).

    Kategori restoran dimenangi Sushi Tie, Bintulu; kategori stesen minyak dimenangi Shell Jalan Hospital, Ipoh; manakala kategori Rehat dan Rawat (R&R) pula dimenangi R&R Tapah (Arah Selatan), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS Berhad).

    NU Hotel, Bintulu memenangi kategori hotel, manakala Pavilion Bukit Jalil muncul pemenang kategori pusat beli-belah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12603

  • Kanak-kanak warga Rusia maut disengat obor-obor di Pantai Cenang

    Kanak-kanak warga Rusia maut disengat obor-obor di Pantai Cenang

    ALOR SETAR 19 Nov – Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun meninggal dunia pagi ini setelah mengalami komplikasi serius dipercayai akibat sengatan obor-obor ketika mandi di kawasan Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu lalu.

    Mangsa, Vladimir Iakubanets, yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), disahkan meninggal dunia pada pukul 9.46 pagi selepas beberapa hari bertarung akibat kesan sengatan haiwan beracun itu.

    Bapanya, Nikita, 32, berkata kejadian berlaku sangat pantas ketika anak mereka bermain di kawasan air cetek.

    “Dalam kejadian Sabtu lalu, ketika mandi di kawasan air cetek, tiba-tiba dia menjerit kesakitan. Isteri saya terus mengangkatnya, serahkan kepada saya dan kami bawa dia naik ke pantai.

    “Dalam beberapa saat saja, dia berhenti bernafas. Saya cuba buat CPR secepat mungkin. Ada pelancong lain datang membantu dan bawa kami kepada penyelamat pantai.

    “Mereka hanya cuci luka dengan cuka sebelum hantar ke klinik dan kemudian ke hospital,” katanya ketika ditemui di HSB hari ini.

    Menurut Nikita, pasukan perubatan di Langkawi dan di Alor Setar telah melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan Vladimir.

    Mereka tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada orang ramai mengenai risiko sengatan obor-obor di kawasan pantai.

    “Kami percaya kejadian menimpa Vladimir adalah untuk selamatkan orang lain, untuk elakkan tragedi sama berulang.

    “Vladimir sangat baik dan bijak, kami keluarga yang bahagia,” katanya dalam nada sebak.

    Ibu mangsa, Olga, 32, berkongsi bahawa anak kecil itu sentiasa menunjukkan keperibadian lembut dan suka membantu sejak kecil.

    “Dia wira kami… malaikat kecil kami. Setiap hari kami beritahu kami sayang dia dan dia selalu balas dia sayang kami,” katanya.

    Pasangan itu merancang membawa abu Vladimir pulang ke Rusia sebaik proses pembakaran mayat diselesaikan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12601

  • Perlanggaran boom skylift punca runtuhan binaan projek ECRL di MRR2, menteri turun melawat kawasan kejadian

    Perlanggaran boom skylift punca runtuhan binaan projek ECRL di MRR2, menteri turun melawat kawasan kejadian

    GOMBAK 19 Nov – Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati insiden runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Batu Caves semalam berpunca daripada perlanggaran ‘boom’ jentera skylift yang digunakan ketika kerja pemeriksaan.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata perlanggaran itu berlaku ketika subkontraktor Wuhan Construction Sdn. Bhd. menjalankan kerja pemeriksaan ketebalan cat pada struktur berkenaan.

    “Selain itu, kerja berisiko tinggi berkenaan dijalankan tanpa kebenaran bertulis (permit kerja) daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn Bhd.

    “Susulan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR ) sudah mengarahkan baki struktur ‘steel canopy’ yang masih ada di lokasi dibuka serta-merta bagi mengelakkan risiko kejadian berulang.

    “Siasatan awal JKKP mendapati struktur binaan yang runtuh itu adalah struktur perlindungan sementara bagi mengelakkan objek jatuh ke jalan raya dan tidak direka untuk menampung beban hentakan,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya dihempap struktur runtuhan sebelum berjaya diselamatkan orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

    Abdul Rahman berkata, JKKP telah mengeluarkan Notis Larangan terhadap kontraktor utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, bagi menghalang kerja pemeriksaan ketebalan cat diteruskan sehingga satu sistem kerja selamat diwujudkan dan disahkan pihak berkuasa.

    “Semua kontraktor dan subkontraktor mesti mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, terutama dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan seawal peringkat reka bentuk dan diteruskan secara berterusan sepanjang tempoh projek.

    “Pendekatan ini penting bagi mengenal pasti bahaya, mengambil langkah pencegahan yang sesuai serta seterusnya mengelakkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan,” katanya.

    Beliau berkata siasatan terperinci akan diteruskan bagi menentukan punca sebenar insiden selain memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi aspek keselamatan.

    Dalam masa sama, JKKP turut diarahkan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas jajaran ECRL yang berdekatan jalan raya bagi memastikan semua kontraktor mematuhi peraturan ditetapkan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12600

  • Wanita maut dirempuh lori ketika tukar tayar di lorong kecemasan PLUS

    Wanita maut dirempuh lori ketika tukar tayar di lorong kecemasan PLUS

    SEREMBAN 19 Nov – Hasrat seorang wanita untuk ke tempat kerja berakhir tragedi selepas dia maut dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar keretanya di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, pagi tadi.

    Mangsa berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat penapis air itu difahamkan dalam perjalanan ke pejabatnya di Senawang sebelum keretanya mengalami kerosakan kira-kira jam 9.20 pagi.

    Rakan sekerja mangsa, Nur Affiqah Jamran, 30, berkata mereka pada awalnya menunggu kehadiran mangsa ke mesyuarat pagi sebelum menerima panggilan mengejutkan daripada rakan serumah arwah.

    “Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, namun dia tidak muncul di pejabat membuatkan kami pelik sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.

    “Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia, mayatnya ditutup dengan kain putih,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Proton X50 dari arah Gadong menghala ke Senawang berhenti di lorong kecemasan selepas tayar belakang kanan kenderaan pancit.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Proton X50, iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.

    “Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan, tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya dikatakan memberhentikan motokar di lorong kecemasan.

    “Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu,” katanya.

    Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

    “Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12598

  • 50 peratus jemaah haji tolak tawaran kerana faktor kewangan

    50 peratus jemaah haji tolak tawaran kerana faktor kewangan

    KUALA LUMPUR – Separuh daripada keseluruhan jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini terpaksa menolak tawaran tersebut disebabkan masalah kewangan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, rekod Tabung Haji (TH) turut mendapati 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit TH mempunyai simpanan kurang RM1,300.

    “Pada masa ini juga, sebanyak 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit hanya mempunyai simpanan kurang RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.

    “Manakala, 50 peratus jemaah haji bagi 2025 yang terpilih menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini semalam.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan projek itu.

    Terdahulu, Mohd. Na’im berkata, TH ditubuhkan dengan dua matlamat utama iaitu sebagai institusi penabungan haji dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.

    Katanya, hasil komitmen dan usaha keras setiap tahun meletakkan TH sebagai penyedia perkhidmatan haji yang diiktiraf terbaik di dunia melalui penganugerahan ‘Diamond Award Labaytum’ oleh kerajaan Arab Saudi.

    Bagaimanapun, katanya, peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan kerana kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik.

    TH antaranya perlu berasing dengan unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta, maka inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan agensi itu sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam Malaysia.

    “Matlamat inisiatif ini untuk menyusun semula strategi bagi meningkatkan kembali paras simpanan pendeposit yang amat rendah. Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan, bukan secara organik,” katanya.

    Justeru, katanya, TH mengambil langkah strategik peremajaan jenama bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

    Jelasnya, peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama adalah RM5.9 juta atau RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.

    Katanya, TH setakat ini membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa selari dengan tempoh masa yang dipersetujui.

    “TH masih memperhalusi kerja-kerja lanjutan yang diperlukan bagi inisiatif peremajaan jenama dan ia masih belum dimuktamadkan.

    “Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai setakat ini. Peruntukan ini juga mengguna pakai peruntukan bajet tahunan sedia ada bagi

    aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/50-peratus-jemaah-haji-tolak-tawaran-kerana-faktor-kewangan/

  • ‘Kalau tiba-tiba beremosi, marah, saya mandi air garam’

    ‘Kalau tiba-tiba beremosi, marah, saya mandi air garam’

    PETALING JAYA – Bercakap daripada pengalaman sendiri, pelakon Datuk Remy Ishak mendedahkan amalan mandi garam sebenarnya berupaya membantu menyingkirkan aura negatif dalam badan.

    Ujar Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, amalan berkenaan sememangnya memberi banyak manfaat terutama buat dirinya yang sering dihantui kebimbangan berhubung penyakit ain atau penerimaan khalayak.

    “Saya cakap berdasarkan pengalaman, kita pernah melalui penyakit ain kalau muncul di khalayak awam atau terlibat dengan dunia luar.

    “Perkara itu biasa, secara saintifik, kalau kita banyak ion negatif, garam dapat membantu, sama ada kita minum atau mandi.

    “Mineral garam memang perlu dalam badan dan secara saintifik pun terbukti,” katanya ditemui Kosmo! Online dilokasi penggambaran drama Sumpah Ibuku baru-baru ini.

    Tambahnya lagi, amalan tersebut sering dilakukan bergantung kepada keperluan terutama ketika berada dalam tekanan, sama ada dalam pekerjaan atau masalah peribadi.

    “Itulah amalan saya bila rasa stres. Kadang-kadang dalam media sosial orang tengok gambar bersangka tak baik pun boleh buat kita terkena benda-benda negatif.

    “Buat rasa badan tak selesa tiba-tiba beremosi dan marah. Rasa tak menentu, bermakna ada sesuatu tidak kena. Cara terbaik adalah saya mandi garam.

    “Saya tidak tahu orang lain, kalau saya ya, tenang. Lain orang lain cara, setengah orang telan panadol pun dah okey. Kalau saya sendiri, memang terbukti,” jelasnya.

    Mengulas mengenai bagaimana mempelajari kaedah tersebut, Remy menjelaskan cara tersebut diberikan pakar ketika dirinya berdepan episod kemurungan sewaktu pandemik Covid-19.

    “Dahulu ada satu masa waktu pandemik, saya mengalami kemurungan dan berjumpa dengan pakar psikiatri dan psikologi. Saya dapat tips ini daripada mereka,” tuturnya.

    Sebelum ini, pelakon Zara Zya memuat naik hantaran dalam Threads berkaitan kewujudan aura negatif yang membuatkan seseorang terasa jauh dan sukar didekati.

    Gara-gara hantaran terbabit, Remy menulis komen dengan mencadangkan agar rakan seperjuangannya itu mengamalkan mandian garam atau ais untuk membersihkan atau menjauhkan diri daripada anasir-anasir luar yang boleh menjejaskan kualiti hidup. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/kalau-tiba-tiba-beremosi-marah-saya-mandi-air-garam/

  • Pearly-Thinaah tak boleh ‘lari’ ke final

    Pearly-Thinaah tak boleh ‘lari’ ke final

    BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah perlu bersedia berdepan jangkaan tinggi dalam setiap kejohanan disertai berdasarkan prestasi semasa dipamerkan ketika ini.

    Tujuh final, tiga gelaran pada Terbuka Thailand, Terbuka Arctic dan Kumamoto Masters selain naib juara Kejohanan Badminton Dunia menjadikan musim 2025 sebagai kempen terbaik buat gandingan No. 2 dunia itu.

    Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, dua anak buahnya itu tidak boleh ‘lari’ daripada jangkaan tinggi ke atas mereka menjelang kejohanan-kejohanan akan datang.

    “Untuk Pearly dan Thinaah, mereka tidak boleh ‘lari’ daripada mencatat keputusan terbaik dalam setiap kejohanan. Apabila mereka pergi kejohanan, setiap orang sentiasa meletakkan sasaran tinggi.

    “Memang inilah yang kami perlu terima sekarang. Sekiranya kami tidak dapat menerima sasaran tinggi seperti itu, bermakna kami seperti tidak mahu untuk berada di tahap tersebut,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

    Ahad lalu, Pearly-Thinaah meraih gelaran ketiga musim ini selepas memenangi kejohanan Kumamoto Masters di Jepun selepas menewaskan beregu tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19.

    Sementara itu, Rosman masih berwaspada dengan ancaman pemain-pemain lain kerana menganggap kelompok lapan terbaik dunia ketika ini memiliki peluang untuk mencatat kemenangan ke atas satu sama lain.

    “Pada ketika ini, mana-mana beregu yang berada dalam kelompok lapan terbaik boleh menang antara satu sama lain. Sesiapa yang menampilkan aksi lebih baik pada hari tersebut akan memenangi perlawanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/pearly-thinaah-tak-boleh-lari-ke-final/

  • Dulu guru tadika, sekarang mekanik bengkel

    Dulu guru tadika, sekarang mekanik bengkel

    MELAKA – Berbekalkan minat dan keberanian, seorang wanita berusia 24 tahun memilih untuk menceburi kerjaya sebagai mekanik sekali gus membuktikan bidang automotif bukan hanya untuk golongan lelaki. Nurliana Asrul Effendi yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu kini menjadi antara tulang belakang operasi Hafa-X Aut yang beroperasi di Kampung Sungai Putat, di sini sejak 21 tahun lalu. Graduan Pengurusan Perniagaan dari Politeknik Mara Bangi itu memberitahu, sebelum ini pernah bekerja sebagai guru tadika di Kajang, Selangor selama setahun. “Saya……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/dulu-guru-tadika-sekarang-mekanik-bengkel/