Blog

  • ‘Maafkan kami rakyat Malaysia, kami juga tersepit’

    ‘Maafkan kami rakyat Malaysia, kami juga tersepit’

    PETALING JAYA – Tular di media sosial satu hantaran video memaparkan seorang petugas ambulans memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas mendakwa mereka ‘tersepit’ dengan sistem baharu panggilan kecemasan, Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).

    Perkara tersebut diluahkan menerusi satu hantaran dimuat naik seorang penolong pegawai perubatan di akaun TikTok @Dressamodern.u5.

    Dia mendakwa, banyak kesusahan berlaku apabila beralih ke sistem baharu sehingga pesakit terpaksa menunggu ambulans terlalu lama.

    “Sejak berubah ke sistem NG999 semua serba tak kena. Bila sampai rumah pesakit rupanya dah tiga jam lebih pesakit menunggu ambulans tiba. Rasa bersalah dan sedih lihat keadaan pesakit.

    “Maafkan kami rakyat Malaysia. Jika kami lewat respons bila kalian memerlukan perkhidmatan ambulans. Kami juga tersepit diantara sistem baru yang diperkenalkan,” tulisnya sambil menyertakan tanda pagar #NG999 #ambulansberdua #kkm #burnout.

    NG999 atau Next Generation 999 merupakan sistem panggilan kecemasan baharu yang diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan platform lama MERS999.

    Ia berasaskan teknologi rangkaian generasi baharu yang membolehkan maklumat lokasi dan data tambahan seperti teks, gambar atau video dihantar bersama panggilan kecemasan, selain menyelaras respons pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Sementara itu tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati seorang pengguna TikTok menggunakan nama @Are-Ngah–93 mendakwa berdepan insiden tragik apabila menelefon talian 999 berkali-kali.

    “Aku dah kena semalam. Kesian ‘aunty’ India tu. Sampai meninggal ibunya dekat rumah. Berpuluh kali telefon 999 tak angkat. Akhirnya dia telefon ambulans swasta. Kami sampai ibunya dah meninggal,” komennya.

    Selain itu, seorang lagi lelaki yang menggunakan nama Miki mendakwa kakitangan di bawah KKM sendiri turut bergelut dengan NG999.

    Katanya, masalah muncul khususnya di kawasan Sabah dan Sarawak yang berdepan masalah liputan rangkaian untuk mengakses sistem, selain dakwaan berlaku kesilapan lokasi panggilan.

    “Jangan kan rakyat, yang kerja bawah KKM pun pening guna NG999 ni, terutama kawasan Sabah Sarawak, guna aplikasi kena ada talian, tapi kebanyakan kawasan tiada talian untuk akses sistem.

    “Kadangkala tersalah lokasi, pesakit telefon dari Sabah tapi ‘call card’ sampai Sarawak suruh respon kes. Sepatutnya kena ada pendedahan awal sebelum buat,” komen lelaki tersebut. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/maafkan-kami-rakyat-malaysia-kami-juga-tersepit/

  • Kanak-kanak warga Russia maut disengat ubur-ubur di Langkawi

    Kanak-kanak warga Russia maut disengat ubur-ubur di Langkawi

    ALOR SETAR – Percutian suami isteri warga Russia di Langkawi berakhir dengan kisah menyedihkan apabila anak lelaki mereka yang berusia dua tahun meninggal dunia setelah disengat ubur-ubur, Sabtu lepas.

    Kanak-kanak itu, Vladimir Lakubanets, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pukul 9.46 pagi tadi setelah menerima rawatan sejak 16 November lepas.

    Bapa kanak-kanak itu, Nikita Lakubanets, 32, dari Khabarovsk berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi ketika dia dan isteri membawa anak mereka berjalan-jalan di pantai berdekatan Dataran Pantai Chenang. “Ketika anak mandi di pantai, tiba-tiba dia menjerit dan menangis. Isteri terus mendapatkan anak kami dan mendapati ubur-ubur besar menyengat kedua-dua belah kakinya. Isteri saya juga terkena sengatan ketika menanggalkan cengkaman ubur-ubur itu dari kaki anak saya.

    “Saya berusaha memberikan CPR (bantuan pernafasan) kepada anak saya sebelum menghantarnya ke klinik dan kemudian kami dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, hari ini.

    Menurut jurutera teknologi maklumat itu, anaknya kemudian dirujuk ke HSB keesokan harinya setelah keadaannya memburuk walaupun telah menerima rawatan awal pada hari kejadian.

    “Saya diberitahu doktor anak meninggal dunia akibat keracunan daripada sengatan ubur-ubur tersebut yang mengakibatkan keadaannya kritikal,” katanya.

    Bercerita lanjut, katanya walaupun amat bersedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka, mereka reda dengan ketentuan itu.

    “Kami tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, cuma berharap pihak berkenaan melakukan sesuatu bagi mengelak insiden sama menimpa orang lain, seperti meletakkan papan tanda amaran tentang ubur-ubur ini. Itu termasuklah tindakan yang harus dilakukan apabila ada pengunjung disengat,” harapnya.

    Sementara itu, menurut isterinya, Olga Lakubanets, 32, anaknya sangat teruja dan gembira apabila mereka tiba di Langkawi pada Jumaat lepas.

    “Kami bertiga memang seronok sangat apabila dapat bercuti di Langkawi, apatah lagi anak saya yang tidak sabar untuk bercuti di sini,” katanya.

    Tambahnya, mereka berharap dapat membawa pulang abu mayat anak mereka pada 26 November ini, iaitu tarikh sepatutnya mereka pulang ke negara asal. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/kanak-kanak-warga-russia-maut-disengat-obor-obor-di-langkawi/

  • 9 negeri berdepan cuaca buruk petang sehingga malam

    9 negeri berdepan cuaca buruk petang sehingga malam

    PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

    MetMalaysia menerusi satu kenyataan berkata, amaran cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 7 malam ini.

    “Antara kawasan yang dijangka terjejas di Perak ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Terengganu melibatkan Dungun serta Kemaman.

    “Selain itu, di Pahang membabitkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan dan Bera, manakala keadaan cuaca buruk itu turut dijangka melanda Lembah Klang termasukl Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelas MetMalaysia.

    Amaran cuaca buruk itu juga dikeluarkan membabitkan Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Johor meliputi daerah Tangkak, Segamat serta Muar.

    Seterusnya, hujan lebat petang ini dilaporkan tertumpu sekitar Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sibu (Sibu), Mukah (Daro dan Matu), Kapit (Belaga), Miri (Telang Usan) dan Limbang di Sarawak turut terjejas.

    Bagi negeri Sabah, hujan berterusan melanda Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) dan Sandakan (Tongod) serta Labuan. –KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/9-negeri-berdepan-cuaca-buruk-petang-sehingga-malam/

  • Penduduk jumpa King Cobra eram 32 telur

    Penduduk jumpa King Cobra eram 32 telur

    JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Tabanan, wilayah Bali terkejut apabila menemui seekor ular tedung selar (king cobra) gergasi mengeram 32 biji telur ketika dia keluar mencari buluh, lapor laman berita Detik.

    Penemuan itu dibuat di Desa Gadungan pada pagi semalam.

    Yayasan Reptil Asih Tabanan (RAT) berkata, warga setempat menemukan induk tersebut ketika mencari buluh untuk perayaan Galungan bagi masyarakat Hindu.

    “Kami telah menyelamatkan reptilia sepanjang 266 sentimeter itu. Semasa operasi menyelamat, induk tersebut sedang mengeramkan 32 telur.

    “Kami segera menangkap dan membawanya ke pusat perlindungan haiwan,” kata Ketua Yayasan RAT, Ni Putu Astridayanty. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/18/penduduk-jumpa-king-cobra-eram-32-telur/

  • ‘Saya lemah, tidak lagi mampu bekerja’

    ‘Saya lemah, tidak lagi mampu bekerja’

    PONTIAN – Hidup seorang pemandu van bertukar sekelip mata apabila tubuh yang dahulunya kuat mencari rezeki kini semakin lemah susulan penyakit kanser Synovial Sarcoma yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

    Mohamed Hafiz Mohamed Tahar, 49, mengakui kehidupannya juga semakin tidak terurus selepas kanser tisu lembut yang jarang berlaku itu menyebab ketumbuhan sebesar bola tenis pada tangan kanannya sebelum merebak ke bahagian paru-paru.

    Bapa empat anak itu berkata, pada awalnya dia menyangka masalah bengkak itu hanya­lah perkara biasa, namun telah merebak sehingga dia tidak lagi mampu untuk bekerja bagi menyara keluarga.

    “Ketumbuhan itu bukan saja melemahkan tangan, malah membawa ke paru-paru. Berat badan pun jatuh mendadak, saya bukan lagi seperti dulu.

    “Dahulu saya ketua keluarga yang mencari nafkah untuk menyuap mulut anak dan isteri. Apabila diuji sebegini, saya tidak lagi mampu berdiri untuk menyara mereka,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Home Visit Laksamana Johor Cancer Foundation (TLJCF) di rumahnya di Kampung Api-Api, di sini kelmarin.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TLJCF, Mohd Ikmal Izam Zaini.

    Menurut Mohamed Hafiz, ekoran penyakit itu, dia kehila­ngan sumber pendapatan sekitar RM3,500 sebulan kerana tidak lagi mampu bekerja.

    “Mujur majikan mencarum dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Atas caruman selama 30 tahun itu, saya dapat Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM1,500 sebulan.

    “Sikit sebanyak bantuan itu meringan­kan beban kami walaupun tidak seperti pendapatan asal,” katanya.

    Katanya, Perkeso turut membantu persekolahan tiga anaknya dengan bantuan RM900 sebulan, namun jauh di sudut hati dia tetap berasa terkilan.

    Mohamed Hafiz mempunyai empat anak berusia antara dua hingga 12 tahun, tiga daripada­ mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Api-Api termasuk prasekolah.

    Sementara itu, isterinya, Jamaliah Ab. Rahman, 41, berkata, dia terpaksa berhenti bekerja demi menjaga suami serta me­nguruskan anak-anak yang masih kecil.

    “Dulu saya kerja di kilang Shimano di Pekan Nanas, tapi saya terpaksa berhenti sebab anak makin membesar, sekarang suami pula sakit, jadi saya kena kuat,” katanya.

    Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamed Hafiz (013-765 1443) atau Jamaliah (010-852 8231) atau menyalurkan sumbangan ke Maybank 101151101735.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/saya-lemah-tidak-lagi-mampu-bekerja/

  • “Bukan ‘terjumpa’, Kamal dah jumpa anak siap ke kedai kopi”

    “Bukan ‘terjumpa’, Kamal dah jumpa anak siap ke kedai kopi”

    KUALA LUMPUR – Peguam syarie kepada pelakon Uqasha Senrose, Muhammad Syazmee Sapian menafikan kebenaran dakwaan anak guamnya menghalang suami, Kamal Adli bertemu anak mereka, Hawra Uqaira.

    Katanya, pertemuan Kamal dengan anak mereka pada 10 November lalu bukan berlaku secara kebetulan seperti didakwa, sebaliknya telah dirancang lebih awal bersama keluarga Uqasha.

    “Bagi isu anak, pihak kami percaya bahawa sebenarnya perjumpaan sudah pun berlaku.

    “Kamal sudah berjumpa anaknya siap pergi ke kedai kopi, bawa berjalan dan sebagainya pada 10 November baru-baru ini.

    “Hakikatnya, perkara itu dibincangkan bersama adik Uqasha jadi mereka dibawa berjumpa di satu kedai kopi.

    “Bukannya terjumpa, bukannya tak sengaja, bukannya tidak dirancang, memang dirancang untuk berjumpa dengan anak tersebut. Jadi, dakwaan bahawa tak bagi jumpa anak itu tidak betul. Hakikatnya, Kamal memang sudah berjumpa anak pada hari itu,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

    Ujarnya lagi, pihak mereka tidak pernah menghalang Kamal daripada bertemu anak selagi dimaklumkan lebih awal bagi memudahkan perancangan kedua-dua pihak.

    “Mengenai perancangan untuk Kamal berjumpa anak, tidak ada masalah.

    “Kalau dia mahu hantar atau dimaklumkan lebih awal, kami boleh berbincang perkara itu sebab kita hormati kedudukannya sebagai bapa.

    “Kami percaya anak perempuan memang ada ikatan dengan bapa, jadi tiada masalah selagi tiada halangan atau isu lain,” katanya lagi.

    Hari ini, Kamal memaklumkan kurang meluangkan masa dengan anak dan merayu agar pihak isteri memberi kelonggaran untuk bersama puteri tunggalnya, Hawra.

    Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.

    Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang berusia 18 bulan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/bukan-terjumpa-kamal-dah-jumpa-anak-siap-ke-kedai-kopi/

  • ‘Alhamdulillah lekat’ – Shuib sahkan Watie kini hamil lima bulan

    ‘Alhamdulillah lekat’ – Shuib sahkan Watie kini hamil lima bulan

    KUALA LUMPUR – Selepas lama membiarkan netizen berteka-teki, akhirnya pelawak Shuib mengesahkan bahawa isterinya, Watie Hanifiah kini sedang hamil lima bulan.

    Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, selepas melalui episod duka apabila Watie mengalami keguguran pada Mei lalu , dia bersyukur dengan kehamilan kali kedua ini.

    “Alhamdulillah seperti mana yang orang nampak dan cuba berteka-teka sebelum ini, Watie kini sedang hamil lima bulan.

    “Untuk kehamilan kedua ini memang kami merancang dan alhamdulillah lekat. Watie pun mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak bekerja terlalu kuat seperti sewaktu kehamilan pertama sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Amad Dayyan, di sini, semalam.

    Tambah Shuib lagi, sewaktu mengetahui bahawa Watie sedang berbadan dua, mereka sepakat untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan anak-anak dan keluarga.

    “Memang saya tak beritahu anak-anak termasuklah ibu saya sendiri. Kami hanya dedahkan berita gembira ini sewaktu malam konsert akhir Talk To My Manager.

    “Saya beritahu Thalita ketika di dalam bilik persalinan sebelum dia membuat persembahan. Saya mahu dia rasa gembira di malam konsert itu. Sebab itulah kalau anda lihat, wajahnya kelihatan berseri-seri pada malam itu,” jelasnya.

    Dijangka bersalin pada April tahun hadapan, bagaimanapun, Shuib dan Watie masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi dalam kandungan.

    Ditanya mengenai pilihan jantina, Shuib mengakui pada awalnya dia berharap mendapat anak lelaki agar Talitha kekal menjadi satu-satunya anak perempuan.

    “Sekarang saya tak kisah, janji bayi sihat, itu sudah memadai,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Watie pada 23 Jun 2023.

    Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 14, Dzahira Thalita Zahra, 12, Ariq Matin, 10 dan Ayash Affan, 4. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/alhamdulillah-lekat-shuib-sahkan-watie-kini-hamil-lima-bulan/

  • ‘Dah dua bulan tak jumpa, anak perlukan ayah dan ibunya’

    ‘Dah dua bulan tak jumpa, anak perlukan ayah dan ibunya’

    KUALA LUMPUR – Setia dengan pendirian, pelakon Kamal Adli tetap mahu mempertahankan rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose.

    Sejak pergolakan rumah tangga, Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, masih tidak berjumpa dan berhubung dengan anak tunggalnya iaitu Hawra Uqaira.

    “Saya sihat hari ini, mohon semua doakan yang terbaik untuk kami. Jika Uqasha dengan pendirian dia (tekad mahu cerai), saya juga dengan pendirian saya (pertahankan).

    “Sudah hampir dua bulan tidak berjumpa dengan dia dan hari ini saya pertama kali jumpa.

    “Saya masih tidak dapat berhubung dengan dia. Anak saya perlukan ayah dah ibunya,” katanya kepada Kosmo! Online, di sini, hari ini.

    Sementara itu, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, enggan mengulas lanjut selain memohon doa ramai agar dipermudahkan urusan.

    “Doakan yang baik-baik ya semua. Terima kasih,” katanya ringkas sambil berjalan menuju ke ruang lobi mahkamah bersama peguam syarienya, Muhammad Syazmee.

    Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.

    Permohonan cerai berkenaan dibuat Uqasha pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.

    Sehubungan itu, prosiding seterusnya untuk kes cerai mereka ditetapkan mahkamah hari ini sebagai tarikh baharu.

    Prosiding sebutan pertama kes perceraian Kamal dan Uqasha di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, berjalan pada 22 Oktober lalu.

    Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang berusia 18 bulan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/dah-dua-bulan-tak-jumpa-anak-perlukan-ayah-dan-ibunya/

  • Sungai Kemaman ‘tenggelamkan’ kebun jagung

    Sungai Kemaman ‘tenggelamkan’ kebun jagung

    KEMAMAN – Seorang wanita terpaksa meredah air hingga paras paha bagi menyelamatkan tanaman jagungnya selepas kebun miliknya di Kampung Seberang Tayor Hilir, di sini ditenggelami banjir sejak kelmarin. Anita Awang, 51, berkata, kebun itu dilimpahi air Su­ngai Kemaman yang meningkat mendadak ekoran hujan lebat di bahagian hulu. Katanya, dia tidak menjangka kebun jagungnya itu ditenggelami banjir memandangkan kampung tersebut tidak hujan. “Terkejut saya dimaklumkan oleh anak air Sungai Kemaman berhampiran kebun sudah mula melimpah. “Saya bersama anak-anak dan adik bergegas…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/sungai-kemaman-tenggelamkan-kebun-jagung/

  • Pentas kenangan terindah, tetap satu kecanduan

    Pentas kenangan terindah, tetap satu kecanduan

    MENAKLUK pentas Idea Live Arena Petaling Jaya sepanjang dua jam beraksi pada Ahad lalu, kemunculan kumpulan popular Indonesia Samsons sememangnya mengembalikan nostalgia.

    Kali kedua mengadakan konsert di negara ini bersama vokalis Adrian Martadinata, penampilan band yang ditubuhkan sejak dua dekad lalu itu nyata dinantikan 5,000 peminat setia.

    Apatah lagi apabila lebih 20 untaian dendangan yang mesra di telinga diperdengarkan selain bingkisan dari album terbaharu termasuk Ada Rasa Yang Salah, Kecanduan dan Mentari.

    Memanaskan pentas dengan lagu berhantu mereka Samsons memulakan persembahan dengan lagu Kisah Tak Sempurna dan Akhir Rasa Ini yang disambut tepukan gemuruh.

    Biar baru dua tahun bersatu dengan Irfan Aulia (gitar), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Aldri Dataviadi (gitar bes), keserasian dengan Adrian jelas terserlah.

    Empat tunjang utama itu tampak serasi seakan sudah puluhan tahun sepentas sekali gus menyerlah sisi harmoni Samsons sebagai antara band popular dari seberang.

    Tidak berceloteh panjang, Adrian yang mewakili rakan lain mengucapkan penghargaan dengan sambutan ramai meneruskan aksi dengan lagu Kehadiranmu, Rayu serta Rasa Yang Salah.

    Tepukan semakin gamat apabila Irfan pula mengumumkan vokalis mereka yang juga pencipta lagu Anuar Zain, Ajari Aku bakal menyampaikan dendangan popular itu.

    Sorakan semakin padu apabila beberapa seleksi galau lain bergema di gelanggang tersebut termasuk Luluh, Tuhan Tak Pernah Salah, Masih Mencintainya dan Tak Bisa Memiliki.

    Momentum persembahan terus memuncak sebaik seorang penonton wanita diundang naik ke pentas tatkala lagu Bukan Diriku disampaikan Adrian dengan sepenuh jiwa.

    Seperti dilafazkan, malam itu adalah milik peminat yang tidak berhenti menyuntik semangat sehingga Samsons terus utuh melintasi usia 22 tahun.

    Mereka juga tidak ketinggalan mengimbau memori pada kunjungan tahun 2023 di Zepp Kuala Lumpur yang juga julung kali Adrian beraksi di negara ini.

    “Wow, semangat kalian sangat besar sekali. Satu hal yang buat kami berdebar sebelum konsert adalah tentang kehadiran penonton.

    “Ternyata ramai sekali. Kami rasa sangat istimewa dapat kembali di Malaysia. Pada 2023 kita pernah konsert di sini, sangat nostalgia,” ungkap Adrian lagi.

    Tampil energetik, bingkisan berbahasa Inggeris bersama nuansa rancak, Electrify My Soul yang dirakamkan pada 2019 disusuli Seandainya, Naluri dan Di Penghujung Muda membuatkan penonton tidak senang duduk.

    Selain katalog lagu, keindahan konsert tersebut juga ditata dengan ‘cantik’ seolah-olah seperti pementasan teater dengan mainan cahaya dan visual yang menggandakan elemen dramatik.

    Sebelum berlalu, Samsons memilih karya wajib, Kenangan Terindah daripada album Naluri Lelaki yang dinobatkan Album Terbaik 2006 pada Anugerah Musik Indonesia.

    Apa pun, keakraban terserlah antara mereka biarpun Adrian juga komposer itu baru tiga tahun menyertai Samsons sebaik mengisi ruang kosong ditinggalkan penyanyi asal, Bams.

    Bagai sudah bertahun-tahun bersatu, besar harapan peminat tegar mahu melihat band itu terus gah berdiri dan menghiburkan untuk 20 tahun lagi.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/19/pentas-kenangan-terindah-tetap-satu-kecanduan/