Blog

  • Remaja 15 tahun hilang, polis minta bantuan orang ramai

    Remaja 15 tahun hilang, polis minta bantuan orang ramai

    SUNGAI BULOH 15 Nov – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 9 bulan yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa daripada seorang wanita tempatan kira-kira pukul 1.13 pagi semalam.

    Beliau berkata, orang hilang (OH) berkenaan, Wan Adriana Qaisara Wan Azim, dilaporkan tidak berada di rumah sejak 13 November 2025 pada pukul 3 petang di Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh.

    “OH berusia 15 tahun 9 bulan, memiliki ketinggian kira-kira 1.49 meter dan berkulit sawo matang. Ketika hilang, OH dipercayai memakai baju hitam, seluar hitam, tudung sarung hitam serta membawa beg galas berwarna biru muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, polis merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai remaja terbabit supaya menghubungi balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Rais Azmi di talian 016-9495707.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12509

  • Kebocoran bumbung KLIA berpunca kecuaian kontraktor – MAHB

    Kebocoran bumbung KLIA berpunca kecuaian kontraktor – MAHB

    SEPANG 15 Nov – Kebocoran bumbung akibat ribut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 didapati berpunca daripada kesilapan dan kecuaian kontraktor yang tidak mematuhi prosedur kerja ketika menjalankan kerja pemulihan.

    Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, semakan mendapati kontraktor terlibat gagal menanggalkan penutup papan lapis yang merupakan sebahagian prosedur keselamatan, sehingga menyebabkan kebocoran serius.

    Insiden itu berlaku ketika kerja penyelenggaraan infrastruktur kalis air dan pemulihan bumbung sedang dijalankan pada bangunan terminal utama.

    “KLIA sedang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor. Ia kecuaian tidak boleh diterima dan tidak menepati standard yang dijangkakan bagi kerja melibatkan infrastruktur kritikal lapangan terbang.

    “Ketika kejadian, kontraktor sedang menutup titik saliran sebelum ribut kilat berlaku. Mengikut protokol, kerja dihentikan serta-merta dan pasukan diminta beredar dari bumbung.

    “Dalam keadaan tergesa-gesa, kontraktor gagal menanggalkan papan lapis yang digunakan menutup titik saliran. Ini menyebabkan saliran tersumbat,” kata MAHB dalam kenyataan.

    Semalam, tular video berdurasi 26 saat memaparkan kebocoran air di balai pelepasan KLIA Terminal 1.

    MAHB menjelaskan, hujan lebat luar biasa selepas itu menyebabkan air bertakung di atas bumbung sebelum menembusi siling terminal.

    “Pasukan maklum balas berjaya membersihkan kawasan terjejas dalam satu jam setengah dan operasi kembali normal.

    “Kami bekerjasama dengan kontraktor untuk menambah baik prosedur kerja, termasuk kewajiban menyemak ramalan cuaca sebelum kerja bumbung dimulakan serta memperkukuh protokol penggantungan kerja ketika cuaca buruk,” katanya.

    Menurut MAHB, kerja pemulihan bumbung terminal utama bermula sejak April lalu dan merupakan komponen penting dalam program pembaharuan infrastruktur Malaysia Airports.

    MAHB menegaskan KLIA memikul standard tinggi di mata pengembara dan kontraktor wajib mematuhi standard tersebut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12506

  • Iran rampas kapal tangki minyak

    Iran rampas kapal tangki minyak

    DUBAI – Iran merampas sebuah kapal tangki minyak di Selat Hormuz yang sempit semalam, demikian menurut seorang pegawai Amerika Serikat (AS) seperti laporan laman berita Arab News.

    Timbalan Presiden firma pengurusan risiko maritim, Vanguard Tech, Ellie Shafik berkata, kapal bernama Talara itu dipintas oleh anggota-anggota Pengawal Revolusi Iran (IRGC) sebelum ditahan.

    “Tidak jelas sebabnya.

    “Tehran mungkin akan menggambarkan rampasan ini sebagai tindakan berlandaskan undang-undang Iran sedangkan ia mungkin hanya rampasan strategik,” katanya.

    Iran tidak segera mengesahkan rampasan itu, namun insiden tersebut berlaku ketika Tehran kerap memberi amaran bahawa ia mampu melakukan serangan balas selepas berperang selama 12 hari pada Jun lalu dengan Israel.

    Dalam peperangan itu, tentera udara AS kemudian menyerang tapak nuklearnya.

    Talara yang mengibarkan bendera Kepulauan Marshall, dalam perjalanan dari Ajman, Emiriah Arab Bersatu menuju Singapura apabila dipintas oleh Iran, kata pegawai pertahanan AS yang enggan namanya didedahkan.

    Dron Tentera Laut AS, MQ-4C Triton berlegar di kawasan kapal Talara berada selama beberapa jam semalam untuk memantau rampasan itu, demikian menurut data penjejakan penerbangan.

    Firma keselamatan swasta, Ambrey menggambarkan serangan itu melibatkan tiga bot kecil yang menghampiri Talara.

    Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom di bawah tentera Britain turut mengesahkan insiden itu. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/iran-rampas-kapal-tangki-minyak/

  • Mangsa kemalangan dibiar meninggal dunia, penduduk sibuk kebas diesel

    Mangsa kemalangan dibiar meninggal dunia, penduduk sibuk kebas diesel

    JAKARTA – Berpuluh-puluh penduduk di Purworejo, wilayah Jawa Tengah menerima kecaman orang ramai kerana menadah dan mengambil minyak diesel yang tumpah daripada sebuah lori tangki yang terbalik akibat kemalangan, lapor portal berita Tribun Tipkor.

    Lori tangki itu dilaporkan terbabas lalu melanggar kereta jenis Suzuki Carry sekitar pukul 5.15 petang (waktu tempatan) di hadapan Pasar Kalijambe, Selasa lalu.

    Rakaman video kejadian yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @manutdawuh86 menunjukkan orang ramai berpusu-pusu menadah diesel yang keluar daripada tangki bocor.

    Lebih mengejutkan, mereka sanggup mengambil diesel yang bertakung di tepi jalan.

    Ada yang meletakkan bahan api itu di dalam botol, besen, jag dan baldi yang dibawa dari rumah.

    Netizen menuduh penduduk setempat bersikap tamak dan tidak menghiraukan nasib pemandu serta salah seorang penumpang yang meninggal dunia dalam kemalangan itu.

    “Ini bukan rompakan tetapi memanfaatkan diesel yang tumpah daripada membazir,” kata seorang netizen.

    “Sepatutnya tolong! Bukan mencuri!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/mangsa-kemalangan-dibiar-meninggal-dunia-penduduk-sibuk-kebas-diesel/

  • Punca lelaki tinggal dalam gua lebih 20 tahun masih misteri

    Punca lelaki tinggal dalam gua lebih 20 tahun masih misteri

    JAKARTA – Seorang lelaki di Jombang, wilayah Jawa Timur mengundang perhatian pengguna media sosial kerana tinggal di dalam gua selama lebih 20 tahun, lapor portal berita INews Jatim.

    Lelaki dikenali sebagai Sudarmaji itu tinggal di Gua Anggas Wesi yang terletak di Gunung Anjasmoro.

    Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @doraemonjowo05 menunjukkan gua tersebut dipenuhi barang dan botol berisi air.

    Selain tiada elektrik dan liputan internet, perjalanan ke gua tersebut mengambil masa selama hampir dua jam.

    Sudarmaji berkata, rutin hariannya sama seperti orang lain.

    Dia akan keluar dari gua untuk membeli makanan daripada warga setempat dengan menggunakan wang yang diberikan oleh pengunjung.

    Sudarmaji bagaimanapun enggan mengulas sebab dia tinggal di dalam gua tersebut. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/punca-lelaki-tinggal-dalam-gua-lebih-20-tahun-masih-misteri/

  • Selangor FC dihukum beraksi tanpa penonton, denda RM100,000

    Selangor FC dihukum beraksi tanpa penonton, denda RM100,000

    PETALING JAYA – Selangor FC bagai jatuh ditimpa tangga selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman keras terhadap Selangor FC susulan insiden membabitkan penyokong pada Piala FA menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium MBPJ, 29 Oktober lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan itu diambil selepas meneliti semua laporan dan bukti yang dikemukakan bagi memastikan integriti perlawanan dan keselamatan penyokong dipelihara.

    “Dalam perlawanan terbabit, penyokong Selangor FC telah melakukan pembakaran mercun dan dua letupan telah dilihat serta didengari, dibaling ke arah penyokong NSFC.

    “Insiden ini jelas menunjukkan kegagalan pihak tuan rumah untuk mengawal kelakuan penonton, sekali gus mencetuskan suasana tidak selamat di dalam stadium.

    “Kami perlu mengambil tindakan tegas bagi mengekang kejadian sebegini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Baljit Singh turut menjelaskan penyokong Selangor FC juga merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk serta botol air ke arah penyokong Negeri Sembilan FC sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua penyokong.

    “Perbuatan ini bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi juga menjejaskan imej bola sepak negara. “Setiap pasukan bertanggungjawab memastikan penyokong mereka tidak mencederakan penonton lawan.

    “Keadaan ini menunjukkan bahawa pengurusan penganjuran perlawanan gagal mengawal keselamatan di kawasan orang kenamaan.

    “Kami tidak boleh membiarkan tingkah laku sebegini berlaku tanpa tindakan tegas,” katanya.

    Susulan itu, Selangor FC diarahkan beraksi tanpa penonton bagi dua perlawanan Piala FA seterusnya, membabitkan aksi separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 30 November ini dan satu perlawanan pertama di gelanggang sendiri pada musim berikutnya.

    “Selangor FC turut dikenakan denda RM100,000 kerana kesalahan berulang.

    “Kami juga memberi amaran keras bahawa hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya insiden sama berulang pada masa akan datang,” katanya.

    Badan induk bola sepak negara turut menegaskan bahawa keputusan ini boleh dirayu mengikut prosedur yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/selangor-fc-dihukum-beraksi-tanpa-penonton-denda-rm100000/

  • ‘Belum bersara, cuma tiada tawaran berlakon’

    ‘Belum bersara, cuma tiada tawaran berlakon’

    KUALA LUMPUR – Hampir dua tahun tidak diajukan sebarang tawaran lakonan, pelakon Syanie Hisham mengakui berasa pelik dengan situasi itu.

    Syanie atau nama lengkapnya Syaniza Hisham, 51, berkata, kadangkala dia tertanya-tanya sama ada keadaan fizikal bertubuh besar serta bertudung menjadi antara penyebab tiada pihak berminat memanggilnya.

    “Sebenarnya jika dihitung sehingga Januari tahun depan genap dua tahun, saya tidak berlakon. Tiada drama atau filem, langsung tiada tawaran.

    “Saya bukan berhenti berlakon, cuma memang tiada (tawaran). Pelik jika difikirkan, takkan langsung orang tak teringat kita.

    “Mungkinkah kerana saya berbadan sebegini dan pakai tudung, jadi susah nak bagi watak tertentu. Itu saya tak tahu, saya cuma positif sahaja,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran buku P Ramlee Kisah Tanpa Noktah, baru-baru ini.

    Menurut Syanie yang berhijab sejak empat tahun lalu, dia mencari rezeki dengan berniaga selain aktif membuat siaran langsung di TikTok untuk mendekati peminat.

    “Saya buat ‘live’ di TikTok berkongsi aktiviti harian kerana dari situ orang tahu saya masih berlakon. Ikutkan rindu nak ke set penggambaran, duduk beramai-ramai, berlatih dialog.

    “Saya tak kejar watak utama, cukuplah sebagai sampingan. Apa pun saya bersyukur naskhah lakonan saya masih disiarkan sampai sekarang,” ujarnya.

    Memulakan kerjaya lakonan sejak 1991, kali terakhir pelakon filem Senario The Movie, Laila Isabella, Buli Balik dan Apa Kata Hati itu beraksi di layar perak adalah menerusi Budak Flat.

    Begitupun, peserta musim kedua program realiti MasterChef Selebriti itu tetap berlapang dada apabila masih dikurniakan rezeki melalui bisnes makanan.

    “Rezeki tak salah alamat, kalau tak dapat tawaran berlakon saya fokus pada perniagaan. Ada juga buat ulasan produk, dapatlah tambah pendapatan,” katanya yang menjaga ibunya, juga penerbit Ruhani Abd Rahman. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/belum-bersara-cuma-tiada-tawaran-berlakon/

  • ‘Nubhan bapa yang baik, takkan jauhkan dia dengan anak-anak’

    ‘Nubhan bapa yang baik, takkan jauhkan dia dengan anak-anak’

    PUTRAJAYA – “Saya tak nak jauhkan anak-anak dengan sesiapa tak kira Nubhan, datuk nenek atau keluarga dia.”

    Itu penegasan isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah yang tetap akan mengekalkan hubungan baik anak dan bapa mereka.

    Menurut pemilik nama lengkap Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, anak-anak kini berada di bawah jagaannya, namun dia sama sekali tidak menghalang Nubhan berjumpa mereka.

    “Saya akan cuba cakap abah sibuk, ada persembahan dan tunjuk abah mereka dalam televisyen.

    “Dia pun banyak keluar buat siaran langsung. Jadi anak-anak banyak bersama saya. Kalau Nubhan ada masa terluang, saya tak halang dia jumpa anak supaya tiada rasa kehilangan di situ.

    “Nubhan seorang bapa yang baik, saya tak nak jauhkan dia dan anak. Saya seorang ibu, kita dah mengandung, melahirkan dan menyusukam. Ada ke ibu tak rapat dengan anak?,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier, hari ini.

    Tambahnya, dia akan menjelaskan situasi rumah tangga mereka kepada anak-anak pada waktu yang sesuai.

    “Saya ada cakap dengan Nubhan supaya kita terangkan bersama-sama tentang situasi tapi apa-apa pun kita tunggu dulu kes mahkamah pada 2 Disember nanti.

    “Tengok keputusannya dan nanti baru kita bincang macam mana,” ujarnya.

    Pada masa sama, Afifah yang lebih dikenali sebagai Dr. Fie itu sentiasa berusaha tampil tenang di hadapan anak-anak.

    “Saya mesti nak kena nampak bahagia dan tenang sebab ada anak-anak.

    “Anak-anak nak tengok saya bukan seorang ibu yang lemah dan tak boleh terima. Kalau saya kuat, pasti mereka jadi macam saya.

    “Sebagai seorang ibu, naluri kita mesti nak yang terbaik untuk anak-anak. Kita fikir mereka dulu,” jelasnya.

    “Alhamdulillah, sekarang saya dapat banyak geng usrah yang baik. Allah temukan dengan orang yang baik untuk saya ‘move on’ dan perbaiki diri.

    “Banyaknya anak-anak dengan saya tapi Nubhan ada failkan hadanah penuh di mahkamah. Dalam surat kata hak interim kepada saya,” jelasnya lagi.

    Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

    Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Fie.

    Sementara itu, Pada 5 November lalu Nubhan memfailkan hadanah atau hak penjagaan anak tiga zuriat mereka iaitu Aafiyah, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.

    Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam menetapkan 26 November ini untuk sebutan kedua merekod persetujuan hasil perbincangan plaintif dan defendan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/nubhan-bapa-yang-baik-takkan-jauhkan-dia-dengan-anak-anak/

  • Lelaki beli rumah selepas 7 tahun kutip tin, botol

    Lelaki beli rumah selepas 7 tahun kutip tin, botol

    CANBERRA – Seorang lelaki di Australia mengundang perhatian orang ramai apabila membeli sebuah rumah menggunakan wang hasil daripada mengutip hampir 500,000 tin minuman dan botol plastik, lapor portal berita VNExpress.

    Damian Gordon, 36, membeli kediaman dua bilik tidur di Queensland selepas tujuh tahun mengumpul dan menjual barang kitar semula itu.

    Dia menerima wang AS$46,000 (RM190,118) selepas menjual 450,000 tin dan botol plastik kepada Skim Deposit Kontena Australia yang memberi upah kira-kira AS$0.10 (RM0.41) bagi setiap bekas minuman.

    Biarpun mempunyai pekerjaan tetap, Gordon menjadi sukarelawan di beberapa acara termasuk festival muzik setiap hujung minggu di mana dia mengumpul beribu-ribu tin dan botol plastik pada satu masa.

    “Saya menemui pelbagai barang yang dibuang di acara sebegitu seperti peralatan perkhemahan, lampu dan topi.

    “Saya juga pernah membawa pulang banyak makanan selama beberapa minggu dan barangan yang tidak mudah rosak.” kata Gordon.

    Selain festival, Gordon akan mengumpul barang kitar semula itu di tepi jalan atau pantai. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/lelaki-beli-rumah-selepas-7-tahun-kutip-tin-botol/

  • Kumamoto Masters: DinFei kempunan ke pentas final

    Kumamoto Masters: DinFei kempunan ke pentas final

    KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun tidak kesampaian selepas tewas di separuh akhir.

    Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto sebentar tadi, gandingan No.4 dunia itu terpaksa akur tewas 12-21, 17-21 kepada beregu tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

    Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan yang diberi julukan DinFei itu bagaimanapun berdepan aksi sukar apabila diberi tekanan cukup tinggi oleh Midorikawa-Yamashita sepanjang perlawanan.

    Selepas tewas di set pertama, bekas pasangan No.1 dunia itu cuba melakukan kebangkitan di set kedua, namun pemain lawan yang menerima sokongan padu penyokong sendiri langsung tidak memberikan ruang buat DinFei.

    Walaupun pada awalnya mendahului set kedua 11-8, namun Sze Fei-Izzuddin tidak dapat menghalang kebangkitan beregu lawan sebelum akur dengan kekalahan straight set dalam tempoh 38 minit.

    Menerusi kekalahan itu, peluang mereka untuk melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China bulan depan boleh dianggap hampir tertutup. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/kumamoto-masters-dinfei-kempunan-ke-pentas-final/