Tag: JNJ-MEDIA

  • ‘Berundur bukan tanda lemah, tapi…’ – Muhyiddin

    ‘Berundur bukan tanda lemah, tapi…’ – Muhyiddin

    KUALA LUMPUR 2 Jan – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa parti itu akan terus kekal sebagai rakan gabungan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasional (PN) meskipun beliau tidak lagi memegang jawatan Pengerusi gabungan tersebut.

    Muhyiddin, yang melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa semalam, berkata kerjasama antara parti komponen dalam gabungan itu akan terus dipelihara demi memastikan kestabilan serta kekuatan PN secara keseluruhan.

    “Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.

    “Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun serta mampan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Pada Selasa lalu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas lima tahun menerajui gabungan itu, susulan krisis politik di Perlis.

    Susulan keputusan tersebut, empat pemimpin kanan PN turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing iaitu Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi PN Selangor; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal serta Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menyeru semua ahli BERSATU supaya terus memperkukuh kerjasama, memperteguhkan perpaduan dan menutup rapat sebarang ruang perpecahan dalam parti.

    “Saya ingin menegaskan bahawa saya masih menerajui kepimpinan BERSATU sebagai Presiden.

    “Saya menuntut supaya seluruh ahli BERSATU kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13430

  • PAS sahkan bakal terajui PN, calon baharu Pengerusi diputus minggu depan

    PAS sahkan bakal terajui PN, calon baharu Pengerusi diputus minggu depan

    MARANG 2 Jan – PAS mengesahkan parti itu akan menerajui kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan berkenaan yang berkuat kuasa semalam.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat bagi membincangkan calon Pengerusi PN yang baharu akan diadakan minggu depan dan dijangka turut melibatkan kepimpinan BERSATU.

    “Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, PAS mempunyai ramai calon berpotensi sama ada dalam kalangan agamawan atau teknokrat, namun beliau enggan mendedahkan identiti calon yang akan dikemukakan pada mesyuarat tersebut.

    Ditanya mengenai kemungkinan beliau sendiri dilantik sebagai Pengerusi PN seperti dicadangkan beberapa pihak, Ahli Parlimen Marang itu memaklumkan keadaan kesihatannya menjadi pertimbangan utama.

    “Kita dalam keadaan keuzuran, tetapi calon yang akan dipilih untuk memimpin PN akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan, yang pasti pengerusi gabungan itu adalah kalangan pemimpin PAS,” katanya.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan hubungan antara PAS dan BERSATU kekal baik meskipun Muhyiddin serta beberapa pengerusi PN di peringkat negeri mengumumkan peletakan jawatan masing-masing.

    Selasa lalu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas lima tahun menerajui gabungan itu, susulan krisis politik di Perlis.

    Berikutan keputusan tersebut, empat pemimpin kanan PN turut melepaskan jawatan iaitu Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi PN Selangor; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal serta Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13431

  • Suri rumah, teman lelaki mengaku tidak bersalah cuba bunuh suami tekap muka dengan bantal

    Suri rumah, teman lelaki mengaku tidak bersalah cuba bunuh suami tekap muka dengan bantal

    JOHOR BAHRU 2 Jan – Seorang suri rumah bersama teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan cuba membunuh suami wanita berkenaan dalam kejadian di sebuah kediaman di bandar raya ini, bulan lalu.

    Tertuduh, N Egavalli, 46, dan R Kamala Sarna, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama pada jam 9.30 malam, 22 Disember 2025 di sebuah rumah di sini, telah melakukan cubaan membunuh Kumaresan Ganapathy, 48, dengan cara menutup muka mangsa menggunakan sebiji bantal yang boleh menyebabkan kematian.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Bharathi.

    Mahkamah turut dimaklumkan bahawa mangsa yang juga suami kepada tertuduh wanita bekerja di sebuah gudang di Changi, Singapura dengan pendapatan kira-kira SG2,500 (RM7,900) dan hanya pulang ke rumah pada waktu malam.

    Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mohd Zamir Suhaimee membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh, selain mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran.

    Mahkamah menetapkan 3 Februari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu penyerahan dokumen berkaitan.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan polis Johor menahan dua individu termasuk seorang wanita dan teman lelakinya bagi membantu siasatan kes cubaan bunuh suami wanita berkenaan di kediaman keluarga mereka di Taman Ehsan Jaya di sini.

    Kedua-dua suspek ditahan sehari selepas kejadian pada 22 Disember lalu dan kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan wang tuntutan insurans.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13432

  • Sabri Zali nafi tuduhan salah guna kuasa, anggap dakwaan Chegubard jejas institusi pertahanan

    Sabri Zali nafi tuduhan salah guna kuasa, anggap dakwaan Chegubard jejas institusi pertahanan

    PUTRAJAYA 2 Jan – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang dikaitkan dengan beliau, sambil menegaskan tuduhan berkenaan bersifat fitnah serta berpotensi mencemarkan nama institusi pertahanan negara.

    Penafian itu dibuat susulan dakwaan yang dilemparkan oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, yang mengaitkan Sabri dengan isu salah laku termasuk pendedahan beberapa dokumen yang didakwa berkaitan siasatan pihak berkuasa.

    Dakwaan tersebut turut mengheret nama PUSPAHANAS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Penasihat perundangan Sabri, Mohd Firdaus Jumaludin berkata, semua tuduhan yang dibuat adalah tidak benar, mengelirukan dan bersifat fitnah serius terhadap individu serta institusi strategik negara.

    Menurutnya, dakwaan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti institusi pertahanan yang menjadi tunjang keselamatan negara.

    “Datuk Sabri Zali tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa,” katanya dalam sidang media di PUSPAHANAS, hari ini.

    Dalam sidang media sama, Mohd Firdaus turut menafikan kesahihan dokumen-dokumen yang didakwa dimiliki oleh Chegubard termasuk yang dikatakan sulit atau berasal daripada agensi penguatkuasaan.

    “Datuk Sabri Zali tidak mengiktiraf kesahihan, ketulenan, mahupun sumber dokumen-dokumen tersebut,” tegasnya.

    Tambah beliau, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks atau dimanipulasi tidak boleh dijadikan bukti untuk menyokong dakwaan salah laku.

    “Dokumen sedemikian terbuka untuk diubah suai, direka-reka atau dimanipulasi,” katanya.

    Mohd Firdaus turut memaklumkan bahawa Sabri mengekalkan sepenuhnya hak undang-undang termasuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.

    Bagaimanapun, katanya, sebarang isu berkaitan hanya akan dijawab secara rasmi dan mengikut lunas undang-undang.

    “Datuk Sabri Zali tidak bertanggungjawab serta tidak akan memberi respons terhadap tuduhan tanpa identiti, spekulasi atau naratif sensasi,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, beliau turut menggesa Chegubard supaya menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas yang boleh mencemarkan reputasi individu serta menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi keselamatan negara.

    Sebelum ini, pada Disember lalu, Badrul Hisham Shaharin mendakwa Sabri terbabit dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang didakwa merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (PETA) pada Mei 2024.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13433

  • Anggota polis cedera, papan tanda terpelanting dilanggar warga asing ketika ‘roadblock’ di Bukit Gambir

    Anggota polis cedera, papan tanda terpelanting dilanggar warga asing ketika ‘roadblock’ di Bukit Gambir

    GEORGETOWN 2 Jan – Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah sempena Ambang Tahun Baharu 2026 di Jalan Bukit Gambir, Gelugor, awal pagi tadi bertukar cemas apabila seorang anggota polis cedera dalam insiden kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang warga asing.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku apabila motosikal Yamaha ditunggang lelaki berusia 31 tahun hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang diperiksa polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) berkenaan.

    “Impak kemalangan berkenaan menyebabkan motosikal terbabit terlanggar papan tanda SJR sebelum terpelanting dan mengenai kaki kiri seorang anggota polis lelaki berusia 37 tahun yang sedang bertugas ketika itu.

    “Susulan kejadian, penunggang motosikal warga asing dan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurut Lee, pemandu kereta Perodua Myvi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13434

  • ‘Kami mahu pulang ke Malaysia’

    ‘Kami mahu pulang ke Malaysia’

    PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah Malaysia di Madinah yang masih belum mempu-nyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia esok, mendesak pihak agensi terlibat bertanggungjawab supaya menyegerakan urusan tersebut. Wakil jemaah, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, berkata, ke­semua mereka tetap mahu pu­lang pada hari berkenaan memandangkan banyak perbelanjaan tambahan telah dikeluarkan termasuk bayaran penginapan hotel. “Hari ini (semalam) kami perlu daftar keluar hotel pukul 2 petang (waktu tempatan). Kami pakat adik-beradik usaha untuk tambahkan dua hari lagi sebab tak ada……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/02/kami-mahu-pulang-ke-malaysia/

  • Pas mahu ambil alih kepimpinan PN

    Pas mahu ambil alih kepimpinan PN

    MARANG – Pas mengesahkan akan mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) berikutan peletakan jawatan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa semalam.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan barisan kepimpinan baharu PN akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi gabungan pembangkang tersebut pada masa terdekat.

    “Kita (Pas) sudah buat keputusan akan ambil alih (kepimpinan) PN. Akan bincang (pengerusi baharu) secepat mungkin, mungkin minggu depan.

    “Mesyuarat (Majlis Tertinggi PN) itu akan dihadiri kepimpinan yang masih tinggal. Yang sudah meletak jawatan, terpulang kepada mereka,” katanya ketika ditemui di Masjid Rusila di sini hari ini.

    Terdahulu Muhyiddin yang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN diikuti beberapa pemimpin-pemimpin parti itu di peringkat pusat dan negeri termasuk Setiuasaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Abdul Hadi bagaimanapun membayangkan keberatan untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi PN baharu berikutan tahap kesihatannya pada masa ini yang sedikit uzur.

    Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, pemimpin kanan Pas lain akan dicadang untuk menyandang jawatan tertinggi PN tersebut.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan hubungan Pas dan Bersatu yang merupakan parti politik utama dalam gabungan PN masih utuh di sebalik peletakan jawatan Muhyiddin. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/02/pas-mahu-ambil-alih-kepimpinan-pn/

  • Ulama PAS anggap Sanusi sesuai pimpin PN selepas Muhyiddin

    Ulama PAS anggap Sanusi sesuai pimpin PN selepas Muhyiddin

    Cadangan bahawa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sesuai memimpin Perikatan Nasional (PN) selepas pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan daripada pimpinan ulama PAS, sekali gus menguatkan isyarat penerimaan terhadap kepimpinan baharu dalam gabungan itu.

    Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, secara terbuka menyatakan persetujuannya terhadap cadangan agar Menteri Besar Kedah itu dilantik sebagai Pengerusi PN, menyifatkannya sebagai satu cadangan yang menarik dan bertepatan dengan keperluan semasa gabungan berkenaan.

    Ahmad Yahaya menerusi hantaran di media sosial memaklumkan beliau melihat semakin ramai pihak mencadangkan nama Sanusi, khususnya selepas jawatan Pengerusi PN dikosongkan berkuat kuasa 1 Januari 2026 susulan peletakan jawatan Muhyiddin.

    Sokongan daripada sayap ulama PAS itu dilihat signifikan kerana ia mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan Sanusi, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, untuk memikul tanggungjawab lebih besar di peringkat gabungan.

    🔗 Source: https://thereporter.my/sanusi-pengerusi-pn-ulama-pas/

  • Zohran Mamdani angkat sumpah Datuk Bandar New York guna Al-Quran

    Zohran Mamdani angkat sumpah Datuk Bandar New York guna Al-Quran

    Zohran Mamdani mencipta sejarah apabila menjadi Datuk Bandar New York City pertama yang mengangkat sumpah jawatan menggunakan Al-Quran, sekali gus menandakan detik bersejarah buat bandar paling padat penduduk di Amerika Syarikat itu.

    Mamdani, 34, mengangkat sumpah jawatan tepat tengah malam dalam sebuah stesen kereta api bawah tanah lama yang telah ditutup di bawah City Hall, simbolik kepada sejarah panjang dan kepelbagaian New York.

    Beliau turut mencatat beberapa rekod penting apabila menjadi Datuk Bandar Muslim pertama, Datuk Bandar berketurunan Asia Selatan pertama, serta individu kelahiran Afrika pertama memegang jawatan tertinggi pentadbiran bandar tersebut.

    Dalam upacara berkenaan, Mamdani menggunakan Al-Quran berusia ratusan tahun selain naskhah milik ahli keluarganya. Tindakan itu menjadi simbol pengiktirafan terhadap komuniti Muslim yang telah lama menjadi sebahagian daripada landskap sosial dan budaya New York.

    Menurut kurator pengajian Timur Tengah dan Islam di Perpustakaan Awam New York, Hiba Abid, pemilihan Al-Quran tersebut mencerminkan kepelbagaian dan sumbangan masyarakat Muslim di bandar itu.

    “Kecil saiznya, tetapi Al-Quran ini menyatukan unsur keimanan dan identiti dalam sejarah New York City,” katanya.

    Ready to serve the greatest city in the world. See you at the Inauguration of a New Era. pic.twitter.com/QTv0HBUUcT

    Dua naskhah Al-Quran digunakan dalam majlis sumpah di stesen bawah tanah, iaitu Al-Quran milik datuk Mamdani serta sebuah Al-Quran bersaiz poket yang dianggarkan bertarikh akhir abad ke-18 atau awal abad ke-19.

    Naskhah lama itu merupakan sebahagian daripada koleksi Schomburg Center for Research in Black Culture, di bawah Perpustakaan Awam New York.

    Manakala dalam majlis sumpah susulan di City Hall pada hari pertama tahun baharu, Mamdani dijadualkan menggunakan Al-Quran milik datuk dan neneknya.

    🔗 Source: https://thereporter.my/zohran-mamdani-angkat-sumpah-datuk-bandar-new-york-guna-al-quran/

  • Presiden Prabowo Subianto menegaskan kerajaan Indonesia kekal serius menangani bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatra walaupun ia tidak diisytiharkan sebagai bencana nasional.

    Presiden Prabowo Subianto menegaskan kerajaan Indonesia kekal serius menangani bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatra walaupun ia tidak diisytiharkan sebagai bencana nasional.

    Beliau menolak tanggapan kononnya Indonesia menolak bantuan asing kerana berasa mampu, sebaliknya menegaskan bantuan kemanusiaan daripada mana-mana pihak tidak seharusnya ditolak.Menurut Prabowo, kerajaan telah menggerakkan sepenuhnya sumber dan keupayaan negara bagi pemulihan pascabencana, sambil kekal yakin terhadap kapasiti nasional dalam pengurusan bencana.

    Pada masa sama, beliau membuka ruang seluas-luasnya kepada pihak asing dan swasta untuk membantu mangsa di Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat dengan fasilitasi penuh kerajaan pusat serta kerajaan daerah.Kenyataan itu turut mengulas polemik penolakan bantuan dari Emiriah Arab Bersatu oleh Pemkot Medan sebelum ini, yang menurutnya dibuat selepas koordinasi dengan BNPB dan Kementerian Pertahanan.

    Prabowo turut mencontohkan sumbangan ribuan pakaian daripada pihak swasta yang telah disalurkan terus kepada mangsa.Sumber: NowDots

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1AoAtBdC3n/