Tag: JNJ-MEDIA

  • Rangkuman 2025: 6 momen utama, terbesar Malaysia tahun ini

    Rangkuman 2025: 6 momen utama, terbesar Malaysia tahun ini

    1- Kejayaan Malaysia terajui ASEAN

    Tahun 2025 penuh warna dan Malaysia juga melalui pelbagai cerita suka dan duka yang pasti akan diingati dalam lipatan sejarah negara.

    Antara memori manis yang pastinya mentakrifkan pencapaian negara tahun ini ialah kecemerlangan yang ditonjolkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi edisi 2025.

    Malaysia dilihat menyerlah sebagai penggerak utama ASEAN apabila kepengerusiannya mencatat kejayaan membanggakan di persada serantau dan global. Bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik dengan anggota ASEAN, malah diperhebat kerjasama dengan kuasa besar dunia.

    Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober lalu menjadi medan utama perbincangan strategik serantau dan antarabangsa. Ia mencatatkan kehadiran lebih 20 pemimpin dunia.

    Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN juga menganjurkan pelbagai persidangan serantau, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, ASEAN-India ke-27 dan ASEAN-Amerika Syarikat ke-13. Langkah ini memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai penghubung kerjasama antara Timur dan Barat.

    Salah satu pencapaian paling bersejarah ialah pengiktirafan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN selepas penantian 14 tahun. Penyertaan Timor-Leste memperkukuh Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan membina kerjasama serantau lebih strategik.

    Sidang kemuncak itu turut menyaksikan usaha perdamaian serantau antara Thailand dan Kemboja.

    Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dengan keseda­ran mengenai amanah besar yang perlu digalas negara.

    Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan masa depan ASEAN dibentuk melalui tindakan semasa. Beliau juga menyeru anggota untuk memperbaharui hala tuju blok serantau dan memastikan kerjasama yang berterusan.

    2- Kehadiran dua pemimpin kuasa besar dunia

    Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 26 hingga 27 Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

    Lawatan ini merupakan kunjungan sulung Trump ke rantau Asia Tenggara sejak beliau dipilih sebagai Presiden ke-47 AS pada Januari lalu. Konvoi rasmi Presiden Trump ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut menarik perhatian netizen luar negara apabila keadaan lebuh raya yang bersih dan teratur.

    “Lebuh raya itu kelihatan bersih berbanding negara lain tetapi masih ramai menganggap Malaysia sebagai negara dunia ketiga,” kata seorang netizen.

    Trump bahkan memuji Malaysia sebagai negara hebat dan sangat bertenaga.

    Kejayaan Malaysia menguruskan lawatan pemimpin dunia menarik perhatian antarabangsa, termasuk kumpulan pelaburan terbesar dari New York yang kagum dengan infrastruktur dan keupayaan negara.

    Terdahulu, negara turut dikunjungi Presiden China, Xi Jinping yang mengadakan lawatan selama tiga hari ke Malaysia dari 15 hingga 17 April lalu.

    3- Sumud Flotila ditahan Israel

    GLOBAL Sumud Flotilla (GSF), misi kemanusiaan antarabangsa yang melibatkan sukarelawan dari lebih 40 negara menarik perhatian dunia selepas pesertanya termasuk 23 rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel.

    Misi GSF bertujuan memecah sekatan laut ke atas Gaza dan menghantar bekalan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta barangan penting kepada rakyat Palestin.

    Ia dipimpin aktivitis dunia, Greta Thunberg.Antara peserta Malaysia ialah golongan pempengaruh dan selebriti yang menyertai kapal-kapal berbeza. Kapal-kapal flotila berlepas dari Barcelona pada 31 Ogos lalu dan bergabung dengan kumpulan antarabangsa lain sebelum menuju ke perairan Gaza. Pada 1 Oktober lalu, kapal-kapal flotila dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa Laut Mediterranean. Semua 23 sukarelawan Malaysia ditahan dan dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

    Kejadian itu menyebabkan seluruh negara cemas. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan umat Islam menunaikan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di masjid dan surau seluruh negara. Kesemua rakyat

    Malaysia yang terlibat akhirnya kembali dengan selamat hasil usaha diplomatik rentas sempadan kerajaan melibatkan rundingan bersama pemimpin Qatar dan Turkiye.

    4- Segamat dilanda gempa

    Dianggap negara yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, Malaysia gempar apabila beberapa siri gempa melanda Johor bermula 24 Ogos lalu. Gempa pertama berlaku pada magnitud lemah 4.1 Skala Richter yan melanda kawasan 5 kilometer (km) barat Segamat dengan kedalaman kira-kira 10km pada pukul 6.13 pagi.

    Tidak sampai tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 9 pagi pula, gegaran kedua berukuran 2.8 magnitud direkodkan di Yong Peng.

    Pada 27 Ogos pukul 8.59 pagi, gempa 3.2 magnitud dikesan di selatan Segamat, menandakan kejadian ketiga dalam tempoh empat hari.

    Keesokan harinya, pada 28 Ogos pukul 7.56 malam, gegaran 2.5 magnitud berlaku di utara Segamat. Satu lagi gempa bumi 3.4 magnitud kemudian direkodkan pada 29 Ogos pukul 4.24 pagi, menjadikan kejadian kelima dalam masa lima hari.

    Pada 30 Ogos pukul 7.29 pagi, berlaku lagi gegaran 2.7 magnitud di Segamat. Gegaran susulan berlaku di Semerah, Batu Pahat pada pukul 1.57 tengah hari, 31 Ogos lalu dengan magnitud 3.0.

    Terbaharu, pada 3 November lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan satu kejadian gempa bumi lemah direkodkan dengan magnitud 2.7 Skala Richter di Segamat dan pada 28 Disember lalu berskala 3.4 Skala Richter di Bukit Kepong, Pagoh.

    Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesahkan kejadian tersebut bukannya berpunca daripada aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam.

    JMG berkata, Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil, namun menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.

    “Kejadian ini menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan. Kedalaman gempa cetek (+/-10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” kata JMG menerusi satu kenyataan.

    Walaupun gempa bumi di Johor termasuk jarang berlaku dan kebanyakannya berskala lemah, siri gegaran ini menjadi peringatan bahawa aktiviti tektonik di Semenanjung Malaysia masih wujud, khususnya di zon sesar lama seperti Mersing Fault Zone. Pakar geologi menyatakan bahawa walaupun risiko kejadian besar masih rendah, ia tidak boleh diabaikan sepenuhnya.\

    5- Nahas UPSI: Fenomena Nurly Shahirah

    Pada 9 Jun lalu, negara diselubungi duka dengan kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang sedang dalam perjalanan menuju ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Gerik, Perak.

    Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi itu telah meragut nyawa 15 pelajar.

    Salah seorangnya adalah pelajar berusia 23 tahun, Nurly Shahirah Azman yang meninggal dunia di lokasi kejadian dalam keadaan sedang memegang senaskhah al-Quran. Mencuri perhatian adalah apabila ada yang memberitahu bahawa lokasi kematian dan juga kubur arwah dikatakan sangat wangi.

    Menurut perkongsian keluarga Nurly, arwah sememangnya seorang yang tidak pernah meninggalkan al-Quran walau ke mana sahaja dia pergi, selain sering meminta gurunya untuk menguji bacaan hafazannya.

    Begitu pun, kematian arwah telah menyebabkan ada yang membawa pulang tanah kubur selepas menziarahi pusara arwah yang terletak di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, Jerteh.

    Terdahulu tular dakwaan berlaku perbuatan khurafat seperti mengambil dan menyapu muka dengan tanah kubur Nurly kononnya untuk berubat serta mengambil berkat.

    Bapa Nurly, Azman Mohamad, 63, berkata, keluarganya dan penduduk kampung kesal apabila segelintir pengunjung dikatakan melakukan perkara khurafat membawa pulang cebisan tanah dari kubur arwah anak bongsunya itu.

    6- Gema nama Zara Qairina seluruh negara

    Pada 16 Julai lalu, negara dikejutkan dengan berita pilu melibatkan seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira pukul 3 pagi.

    Zara kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada 17 Julai akibat kecederaan serius yang dialaminya.

    Insiden ini terus mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan dalam kalangan masyarakat apabila kematian Zara tular di media sosial termasuk dakwaan yang mengaitkan kejadian itu dengan elemen buli di asrama. Perkara itu menjadi perbualan hangat dan mendapat perhatian bukan sahaja di Sabah, tetapi juga seluruh negara bahkan dikatakan menular hingga ke negara jiran.

    Hasil siasatan lima remaja kemudian didakwa di Mahkamah Kanak-klanak pada 20 Ogos lalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara.

    Pada masa sama prosiding inkues telah berlangsung sejak 3 September lalu bagi menyiasat secara terperinci semua aspek termasuk keadaan sebelum kejadian serta faktor yang membawa kematian pelajar itu.

    Prosiding inkues dimulakan di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu dikendalikan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan. Begitu pun, pada 5 Disember lalu, Mahkamah Koroner menangguhkan inkues yang telah berjalan selama 52 hari dan mengumumkan bahawa perbicaraan akan disambung semula pada 21 Januari depan.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/rangkuman-2025-6-momen-utama-terbesar-malaysia-tahun-ini/

  • Danish pikul tugas lonjak maruah pelumba Asia

    Danish pikul tugas lonjak maruah pelumba Asia

    KEJUARAAN Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan pastinya menjadi lebih menarik untuk diikuti peminat-peminat sukan tanah air apabila pelumba negara, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal bakal bersaing dalam kelas Moto3.

    Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu bakal menyarung sut pasukan MT Helmets MSI selepas menampilkan aksi cukup baik sepanjang saingan musim ini, termasuk menamatkan aksi JuniorGP di kedudukan kelapan keseluruhan.

    Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berkongsi nasihat buat Danish menjelang penampilan sulungnya sebagai pelumba tetap bagi saingan musim depan selepas beraksi menerusi tiket wildcard pada Grand Prix (GP) Malaysia Oktober lalu.

    Hafizh yang pernah beraksi bersama pasukan Tech3 Yamaha pada musim 2018 berharap Danish dapat menunjukkan kemampuan sebenar, sekali gus menutup mulut pihak-pihak yang memandang rendah pelumba Asia.

    “Nasihat saya kepada Danish adalah untuk menampilkan aksi yang konsisten kerana itu merupakan perkara paling penting. Kita pelumba Asia sering dipandang rendah oleh orang Eropah, jadi kita perlu lawan perasaan itu.

    “Selain itu, sentiasa percaya kepada diri sendiri, kekal merendah diri selain cuba memahami maklum balas daripada pasukan. Kalau ada yang tidak kena, cuba sesuaikan dengan gaya tunggangan sendiri,” katanya.

    Dalam pada itu, Hafizh turut menjelaskan, setiap kejuaraan menawarkan cabaran yang berbeza, sekali gus menuntut setiap pelumba untuk memiliki pendekatan tersendiri sepanjang minggu perlumbaan.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/danish-pikul-tugas-lonjak-maruah-pelumba-asia/

  • Rangkuman 2025: Tragedi/bencana, tragis dan mengejutkan

    Rangkuman 2025: Tragedi/bencana, tragis dan mengejutkan

    Selain daripada nahas yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu di Gerik, Perak yang telah dirangkumkan dalam momen utama tahun ini, berikut antara tragedi serta bencana melibatkan rakyat Malaysia tahun ini yang mengejutkan dan memilukan.

    1- Letupan paip gas Putra Heights di Aidilfitri

    Pada 1 April lalu, negara dikejutkan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada pagi raya kedua Aidilfitri. Api yang menjulang setinggi 30 meter dengan suhu 1,000 darjah Celsius itu menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 rumah separa musnah, manakala 57 buah terjejas melibatkan Taman Putra Harmoni, Kampung Tengah, Kampung Kenangan dan Kampung Sungai Baru. Pada 30 Jun lalu, polis sahkan tiada unsur khianat, sabotaj atau kecuaian yang menyebabkan kerosakan pada saluran gas sehingga meletup.

    2- Nahas trak FRU ragut nyawa 9 anggota

    Pada 13 Mei lalu, sebuah trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) membawa 18 anggota yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak terlibat dalam kemalangan sehingga meragut sembilan nyawa.

    Trak itu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Teluk Intan. Lapan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan

    Susulan nahas ngeri itu, pemandu lori Rudi Zulkarnain Mat Radi didakwa pada 19 Mei lalu atas sembilan pertuduhan kerana memandu secara berbahaya.

    3- Enam beranak lemas di Sungai Korok

    Kehilangan sepasang suami isteri dan empat anak terjawab apabila jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta Proton Iswara dalam Sungai Korok, Jitra. Lebih memilukan ketika kejadian pada 7 Julai lalu, enam beranak itu saling berpelukan.

    Mereka ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adri ana Nur Izzat, 8, Annayla Humai ra Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

    4- 30 mayat terapung di perairan Langkawi

    5- 10 korban tragedi bot karam di Sibu

    TRAGEDI bot karam yang berlaku di Pantai Belawai, berhampiran Kampung Belawai di Sibu, Sarawak pada 5 Julai lalu menyebabkan 10 terkorban. Terlebih muatan dikenal pasti menjadi punca tragedi bot karam karam tersebut. Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, siasatan dapati saiz bot fiber yang kecil itu tidak sepatutnya bawa penumpang seramai 17 orang, ditambah lagi muatan barangan.

    6- Hatyai lumpuh, 4,000 rakyat Malaysia terkandas

    7- Ribut Senyar di Selat Melaka

    Ribut Senyar adalah nama bagi ribut atau siklon tropika yang jarang berlaku dan telah terbentuk di Selat Melaka pada 26 November lalu. Ia bermula apabila berlakunya pembentukan sistem tekanan rendah yang berkembang di Selat Melaka sebelum bertukar menjadi ribut tropika apabila kelajuan angin bertambah. Fenomena ini dikatakan bawa hujan luar biasa, namun kemudian didapati melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah.

    8- Murid maut jatuh lubang kumbahan

    Seorang murid, Abdul Fattah, 9, maut selepas terjatuh dalam lubang kumbahan sedalam 1.8 meter ketika menyertai kejohanan sukan olahraga di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai 27 September lalu. Difahamkan, mangsa terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 sebelum diklasifikasi tiada tindakan lanjut (NFA).

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/rangkuman-2025-tragedi-bencana-tragis-dan-mengejutkan/

  • Musang king Balik Pulau ‘king’ sebenar

    Musang king Balik Pulau ‘king’ sebenar

    GEORGE TOWN – Walaupun durian musang king di negeri-negeri lain ‘turun takhta’ apabila har­ganya merudum, namun durian kayangan itu di Balik Pulau di sini, masih kekal berada di ‘ran­king’ teratas. Malah, harga jualan musang king Balik Pulau tetap tinggi antara RM45 hingga RM65 sekilogram berbanding negeri-negeri lain yang mengalami kejatuhan harga sehingga RM10 sekilogram. Seorang peniaga durian Balik Pulau, Johan Abu bakar, 42, berkata, rata-rata peniaga di daerah itu kini berdepan dengan fenomena ‘perang harga’ musang king dari Perak dan…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/musang-king-balik-pulau-king-sebenar/

  • Rangkuman 2025: 10 momen menggelegak dunia anak seni

    Rangkuman 2025: 10 momen menggelegak dunia anak seni

    TAHUN 2025 menjadi pentas hangat membara dan menyala dari setiap sudut dunia hiburan. Dari kisah cinta tersimpul indah, kontroversi menggoncang dada peminat hinggalah drama viral, semuanya menjadikan industri seni tempatan mengalir bagai lahar mendidih.

    HibGlam menghimpunkan barisan selebriti dan isu panas meledak yang menjadi bahan bualan seantero negara sepanjang tahun ini.

    Kejutan amang seksual Naim Daniel

    Naim Daniel pula menggemparkan seluruh industri hiburan tahun ini dengan dakwaan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Pada 17 Jun, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim. Dia dibenarkan ikat jamin dengan beberapa syarat ketat termasuk menyerahkan pasport dan dilarang menghampiri saksi.

    Naim sebelum itu ditahan pada 3 Jun untuk membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis sekali gus menjadikan kes tersebut kekal antara episod paling hangat dalam dunia seni sepanjang 2025.

    Shila Amzah vs Amy Search

    Pertelagahan antara dua bintang muzik tanah air iaitu Shila Amzah dan Amy Search menjadi satu lagi episod panas dalam industri hiburan.

    Shila mendakwa diserang secara lisan oleh seorang bintang rock legenda ketika sesi latihan di Stadium Merdeka dan bertindak melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa.

    Beberapa hari kemudian, Shila mendedahkan lelaki dimaksudkannya adalah Amy Search, malah vokalis kumpulan Search itu turut dipanggil polis bagi melengkapkan siasatan. Difahamkan punca pertelingkahan bermula dengan rasa tidak puas hati Amy terhadap penyanyi lagu Patah Seribu itu yang didakwa mencampuri urusan keluarganya. Insiden membabitkan dua nama besar itu antara paling hangat dalam kalendar hiburan 2025.

    Fenomena BASS masih ‘menggila’

    BUKAN perkara baharu tetapi kegilaan ramai terhadap Bella Astillah dan Syed Saddiq sehingga menerima gelaran BASS membuatkan fenomena mereka masih lagi panas dalam media sosial. Sepanjang tahun ini, Bella dan Syed Saddiq kerap digandingkan bersama sebagai duta beberapa jenama dan produk tempatan.

    Walau dilihat akrab dan saling menemani ke beberapa acara, mereka masih belum mengesahkan status hubungan sama ada sedang menjalin hubungan cinta atau sekadar teman rapat.Hubungan Syed Saddiq dengan dua anak Bella iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna juga antara yang sering mencuri tumpuan serta menjadi bahan bualan ramai.

    Fattah, Amira akhirnya bersatu

    Tidak ketinggalan dalam carta meledak mendidih 2025 adalah pasangan sensasi Fattah Amin dan Amira Othman.

    Sejak kemunculan mereka dalam muzik video Bila Nak Kahwin, aura keserasian kedua-duanya mengundang gelombang tular, ditambah pula jenama besar mula memadankan mereka sebagai duta bersama.

    Namun, setiap kali diajukan persoalan hati, kedua-duanya tetap teguh menyatakan hubungan mereka sekadar rakan sekerja.

    Ternyata jodoh tidak pernah salah alamat. Pada 14 September lalu, pasangan itu selamat disatukan dalam majlis tertutup di sebuah resort mewah di Sepang.

    Mulut ‘bocor’ penyampai 3 pagi Era

    TIGA penyampai Era FM, Nabil Ahmad, Radin, dan Azad Jasmin (Pak Azad) digantung tugas pada Mac lalu susulan video kontroversi didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu. Selepas dikecam hebat dan mencetuskan kemarahan ramai, mereka membuat permohonan maaf secara terbuka dan siasatan dalaman dilakukan Astro sebelum merehatkan tiga deejay radio itu selama sebulan.

    Question Dolla panas

    Kumpulan Dolla meletup hangat bak mercun tahun baru apabila video muzik (MV) terbaharu mereka berjudul Question mencetus spekulasi tanpa henti. Paparan provokatif MV tersebut menjadi perdebatan hangat dalam media sosial sehingga mencetuskan perang budaya moden dan konservatif.

    Ketegangan memuncak selepas seorang pendakwah terkenal menegur penampilan seksi kumpulan tersebut, disusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang meneliti semula garis panduan pemakaian selebriti Islam.

    Isu itu berkembang pantas, bahkan menimbulkan perbincangan luas mengenai kebebasan berkarya dan sensitiviti penonton.

    Akhirnya, Universal Music Malaysia membuat keputusan memadam muzik video tersebut dari YouTube.

    Begitupun, isu itu meninggalkan ‘parut’ yang sukar dilupakan dan terus menjadi sebutan hingga kini.

    Konsert GenKRU mendunia

    JIKA dinilai semula semua penganjuran konsert sepanjang tahun ini, konsert GenKRU yang berlangsung selama empat hari di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei lalu antara yang paling sukses. Konsert ‘comeback’ kumpulan trio yang popular dengan lagu Awas itu turut menerima pengiktirafan ‘Most Shows in a Single Concert Series’ (4 malam di Axiata Arena) dan ‘Most Concert Tickets Sold Out in an Hour’ (8,000 tiket terjual dalam sejam).Pada November lalu, mereka sekali lagi muncul dengan konsert penutup GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil.

    Juang artis Global Sumud Flotilla

    SIAPA sangka, tekad 23 delegasi Malaysia termasuk empat selebriti tanah air iaitu Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) menjadi satu fenomena luar biasa pada Oktober lalu. Meski perjuangan mereka yang mahu menghantar bekalan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan terkandas selepas dipintas, ditahan dan menerima layanan teruk tentera Israel, usaha murni mereka terus diangkat serta menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kepulangan mereka ke tanah air selepas berlayar selama sebulan disambut meriah termasuk diraikan dalam sebuah acara gilang-gemilang yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    11 tahun solo, Erra Fazira temui jodoh

    Tidak kurang panas membara kisah aktres Erra Fazira dan ahli perniagaan Ezwan Zain, dua nama yang mencuri tumpuan sejak tular klip video mereka ketika siaran langsung dalam media sosial. Kesudian Erra, atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, mempromosikan kafe Ezwan menambah ‘rempah’ pada desas-desus hubungan istimewa mereka.

    Dalam satu tempoh, media sosial kecoh selepas Erra memuat naik ucapan berbaur romantis sehingga ramai mendakwa dia sedang dilamun cinta malah pemain industri seakan-akan tahu sesuatu bakal terjadi, cuma menunggu masa. Tepat 2 Disember lalu, Erra menitiskan air mata ketika mengumumkan tarikh hari bahagianya. Menamatkan teka-teki, pada 12 Disember lalu, Erra dan Ezwan sah bergelar suami isteri dalam majlis gilang-gemilang sehingga digelar sebagai ‘Wedding of the Year’.

    Uqasha, Kamal berantakan

    PALING menggegarkan industri hiburan tahun ini apabila Uqasha Senrose memfailkan perceraian terhadap suaminya, Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu.

    Uqasha memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan menjaga kesihatan mentalnya.

    Sementara Kamal pula tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak November 2021. Dalam kemelut rumah tangga, muncul pelbagai isu lain termasuk Uqasha mempersoal mengenai kekeliruan tarikh nikah dan menggunakan khidmat ‘coach cerai’.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/rangkuman-2025-10-momen-menggelegak-anak-seni/

  • ‘Bedah atau nyawa Arash dalam bahaya’

    ‘Bedah atau nyawa Arash dalam bahaya’

    PENDANG – Tiada apa yang diharapkan daripada sepasang suami isteri selain melihat anak kecil mereka pulih seperti biasa daripada penyakit kanser yang menyebabkan kerosakan hati dikenali Langerhans’ Cell Histiocytosis (LCH).

    Bagaimanapun, harapan itu hanya dapat direalisasikan sekiranya Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi, 3, dapat menjalani pembedahan pemindahan hati di Renji Hospital, Shanghai, China dengan kos mencecah RM185,000.

    Ibu kanak-kanak tersebut, Nor Syatirah Zairenor, 31, berkata, setakat ini dana yang terkumpul cuma RM2,000 walaupun pembedahan itu dijadualkan pada Januari depan.

    “Hanya pembedahan mampu menyelamatkan nyawa Arash. Doktor sarankan Arash dibedah secepat mungkin atau nyawanya dalam bahaya.

    “Saya akan menjadi penderma hati untuk Arash. Setakat ini saya dan suami berusaha sedaya upaya mencari dana untuk pembedahan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Sena di sini semalam.

    Nor Syatirah berkata, kesihatan anak keduanya itu juga sering terganggu apabila perutnya semakin berbesar sehingga menyukarkannya bernafas.

    “Anak kami membesar de­ngan normal dan aktif sebelum mendapat simptom penyakit itu ketika berusia setahun enam bulan apabila matanya kelihatan kekuningan.

    “Setakat ini Arash sudah menjalani pembedahan membuang kelenjar dan rawatan kemote­rapi selama 10 minggu, namun rawatan terpaksa dihentikan selepas keadaannya semakin merosot apabila hati dan limpa terus membesar,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak berusia empat tahun.

    Sementara itu, bapanya, Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, berkata, situasi tersebut menuntut mereka sekeluarga terpaksa berpindah dari Melaka ke Kedah bulan lepas, sekali gus menyebabkan dia kehilangan kerjaya sebagai jurutera.

    “Saya akan cari kerja lain di sini dan pada masa yang sama fokus untuk mencari dana bagi pembedahan Arash,” katanya.

    Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyumbang melalui akaun Maybank, 1521 2541 5356 milik Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri atau atau menghubunginya menerusi di talian 010 398 4638.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/bedah-atau-nyawa-arash-dalam-bahaya/

  • Rangkuman 2025: Belasungkawa, mereka dalam kenangan

    Rangkuman 2025: Belasungkawa, mereka dalam kenangan

    1- Perginya negarawan terbilang Pak Lah

    BEKAS Perdana Menteri Malaysia kelima (2003–2009), Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada 14 April lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada usia 85 tahun kerana masalah pernafasan dan faktor usia di samping turut menghidap penyakit demensia untuk tempoh yang lama.

    Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

    Sepanjang era kepemimpinannya, beliau menekankan konsep Islam Hadhari, pembangunan ekonomi dan usaha memperkukuh integriti kerajaan. Beliau melancarkan usaha memerangi rasuah dengan memperkenal Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH). Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, beliau melancarkan lima koridor pembangunan ekonomi utama untuk merangsang pertumbuhan seimbang di seluruh negara.

    2- Bung Moktar sudah tiada

    KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, meninggal dunia pada 5 Disember lalu pada usia 66 tahun.

    Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat kegagalan buah pinggang.

    Pemergian beliau dimaklumkan oleh anaknya, Naim Moktar menerusi hantaran di laman Facebook kira-kira pukul 2 pagi.

    Allahyarham merupakan ahli politik veteran Sabah, Ahli Parlimen Kinabatangan sejak 1999, Ketua Barisan Nasional Sabah dan pernah menjawat Timbalan Ketua Menteri Sabah.

    Sepanjang penglibatan Allahyarham dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh besar.

    3- Tiada lagi Tun Dr. Mohamed Hashim

    BEKAS Panglima Angkatan Tentera, Tun Mohamed Hashim Mohd. Ali, 90, menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami sakit strok di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

    Allahyarham juga merupakan adik kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali.

    Allahyarham merupakan salah seorang wakil kerajaan Malaysia yang menandatangani Perjanjian Damai Hatyai pada 2 Disember 1989, mewakili tentera Malaysia sebagai Panglima Angkatan Tentera ketika itu. Perjanjian ini adalah untuk menamatkan gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya setelah lebih 41 tahun ancaman komunis di negara ini.

    Selain itu Allahyarham juga tokoh utama di sebalik penganjuran Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

    4- G. Palanivel meninggal dunia

    DATUK Seri G. Palanivel Govindasamy yang merupakan bekas presiden kelapan Kongres India Malaysia (MIC) meninggal dunia pada 17 Jun lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 76 tahun.

    Sepanjang hayat, beliau pernah menyandang jawatan Menteri Kabinet iaitu Timbalan Menteri Kebajikan dan Pembangunan Keluarga (2004 hingga 2008), Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (1999 hingga Mac 2008), Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (Jun 2010 hingga Ogos 2011), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ogos 2011 hingga Mei 2013) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (Mei 2013 hingga Julai 2015).

    Sebelum menceburi bidang politik, beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai penyelidik di Muzium Negara. Beliau sentiasa mengutamakan kebajikan dan pembangunan masyarakat India di Malaysia.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/rangkuman-2025-belasungkawa-mereka-dalam-kenangan/

  • Dakwaan Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang adalah palsu

    Dakwaan Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang adalah palsu

    Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan dakwaan yang tular di media sosial kononnya Datuk Seri Hamzah Zainudin telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang adalah palsu.

    Memetik laporan Astro Awani, parti berkenaan menyifatkan kenyataan palsu itu sebagai perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan mencetuskan kekeliruan politik dalam kalangan masyarakat.

    “Hakikatnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin kini berada di Mekah bermula 26 Disember hingga 6 Januari 2026 bagi menunaikan ibadah umrah,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap agar semua pihak memberi ruang kepada Hamzah untuk menunaikan ibadah tanpa sebarang gangguan atau spekulasi tidak berasas.

    Sementara itu, Pejabat Ketua Pembangkang pada malam tadi turut mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan Hamzah Zainudin yang tular di media sosial adalah palsu.

    Surat berkenaan mendakwa pelepasan jawatan dibuat susulan pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) serta mengambil kira realiti dan keperluan politik semasa bagi memastikan kesinambungan kepimpinan PN.

    Terdahulu, Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.

    Selain Muhyiddin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa tarikh sama.

    Turut mengumumkan peletakan jawatan ialah Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal; dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker.

    Sumber: Astro Awani, Harian Metro

    🔗 Source: https://thereporter.my/dakwaan-hamzah-letak-jawatan-ketua-pembangkang-adalah-palsu/

  • Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, drama China bertemakan CEO kaya jatuh cinta dengan gadis miskin menjadi fenomena besar di platform digital dan media sosial.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, drama China bertemakan CEO kaya jatuh cinta dengan gadis miskin menjadi fenomena besar di platform digital dan media sosial.

    Jalan ceritanya ringkas tetapi berulang, menampilkan lelaki berkuasa dan berharta sebagai ‘penyelamat’ kepada wanita biasa sebelum kisah cinta bermula.Namun, populariti genre ini mula mencetuskan kritikan kerana dianggap terlalu jauh daripada realiti kehidupan sebenar.

    Naratif yang menjadikan kekayaan sebagai jalan mudah menyelesaikan masalah hidup dikhuatiri membentuk persepsi dan harapan yang tidak sihat, khususnya dalam kalangan generasi muda.Susulan kebimbangan itu, pihak berkuasa di China mengambil langkah menyekat dan mengehadkan penghasilan drama seumpama ini, termasuk kandungan yang terlalu menonjolkan fantasi sosial serta jurang kelas secara tidak realistik.

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/17m9DtrSLN/

  • Ramai isteri menyangka mereka boleh mengeluarkan wang dari akaun bank suami yang telah meninggal dunia terutama jika mempunyai akses nombor PIN atau kata laluan.

    Ramai isteri menyangka mereka boleh mengeluarkan wang dari akaun bank suami yang telah meninggal dunia terutama jika mempunyai akses nombor PIN atau kata laluan.

    Namun Perunding Pewarisan Harta Islam Fazli Mazlan menegaskan bahawa segala simpanan si mati secara automatik menjadi harta pusaka dan bukan hak peribadi isteri sepenuhnya.Izin lisan suami semasa hidup tidak mengubah hukum syariat yang menetapkan harta tersebut perlu digunakan untuk menyelesaikan hutang dan wasiat sebelum diagihkan melalui faraid.

    Tindakan mengeluarkan wang tanpa persetujuan waris lain dianggap mengambil harta secara batil walaupun untuk kegunaan keluarga atau anak anak.Isteri hanya berhak ke atas wang tersebut jika ia adalah bayaran hutang suami kepadanya atau jika wang itu telah disimpan dalam akaun bank isteri sendiri sejak suami masih hidup.

    Para suami dinasihatkan membuat perancangan harta seperti pemberian hibah bagi memastikan kebajikan isteri dan anak anak terjamin tanpa melalui proses pembahagian pusaka yang rumit.Sumber: Threads @fazlimazlan90

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1EQn4HZvzw/