BUKIT MERTAJAM 30 Dis – Kira-kira 7,200 ekor ayam mati selepas sebuah reban milik sebuah syarikat penternakan di Jalan Juru Estate, di sini, terbakar dalam kejadian lewat malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.39 malam itu, kebakaran melibatkan sebuah reban ayam kelas B berkeluasan kira-kira 1,486 meter persegi yang terletak di Lot 1441, Jalan Juru Estate, Juru, Mukim 12.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.39 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi pada jam 11.01 malam.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati telah berjaya dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Bagaimanapun, kebakaran itu menyebabkan kerosakan dalaman reban termasuk ruang ternakan ayam, manakala struktur luar tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan ayam dalam reban berkenaan adalah 9,000 ekor, namun hanya kira-kira 1,800 ekor atau 20 peratus berjaya diselamatkan.
Kebakaran berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.05 malam dan operasi ditamatkan pada jam 11.58 malam selepas pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Operasi melibatkan enam anggota termasuk seorang penyelia dengan bantuan sebuah jentera FRT dari BBP Bandar Perda,” katanya.
Beliau menambah, beberapa PBS turut membantu di lokasi kejadian termasuk PBS Juru, PBS Padang Lalang, PBS Taman Merak, PBS Permatang Tinggi, PBS Cross Street, PBS Kota Permai dan PBS Taman Sukun.
“Komander operasi telah membuat penilaian awal dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap bagi memastikan kebakaran benar-benar padam dan tiada bahaya lain.
“Lokasi kejadian kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat kebakaran untuk tindakan lanjut,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13374