PETALING JAYA 29 Dis – Naratif ‘kekal atau keluar kita yang tentukan’ seperti dilontarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh semalam disifatkan sebagai kenyataan yang sangat berat dan berisiko menimbulkan persepsi negatif terhadap parti.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, kenyataan sedemikian memberi gambaran seolah-olah keputusan strategik parti boleh ditentukan melalui tekanan emosi dan mobilisasi segera, bukannya melalui struktur serta proses parti yang sah.
Menurutnya, dalam sebuah organisasi besar seperti UMNO, hala tuju parti tidak boleh ditentukan oleh satu sayap, apatah lagi melalui tekanan awam yang boleh ditafsir sebagai ugutan politik dalaman.
“Apabila isu hala tuju parti dibawa terus ke ruang awam dengan nada ultimatum, ia membuka ruang persepsi bahawa UMNO sedang berpecah dari dalam.
“Keadaan ini bukan sahaja melemahkan presiden dan kepimpinan tertinggi, malah memberi kelebihan kepada pihak lawan dan pemerhati politik,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Semalam, Dr Muhamad Akmal memaklumkan Pemuda UMNO akan menganjurkan konvensyen khas bagi memberi peluang kepada ahli parti menyuarakan pendirian serta isi hati berkaitan hala tuju UMNO dan Barisan Nasional dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata, pemimpin muda perlu memahami bahawa keberanian bersuara harus seiring dengan kebijaksanaan dalam menjaga maruah parti.
Katanya, pemimpin muda yang benar-benar menyayangi UMNO seharusnya memilih untuk menguatkan kepimpinan sedia ada, bukannya melemahkannya walaupun dengan niat yang baik.
Beliau bagaimanapun mengakui konvensyen untuk berbincang adalah wajar, namun mesej yang disampaikan bersama penganjurannya amat menentukan kesan kepada parti.
“Jika tujuan sebenar adalah untuk memperkukuh UMNO, maka perbahasan perlu dibuat dengan bahasa membina, bukan bahasa menghina atau menekan.
“Berbahaslah dengan hujah, bukan emosi. Dengan adab, bukan populariti. UMNO bukan milik satu generasi, satu sayap atau individu yang paling lantang.
“UMNO adalah amanah perjuangan panjang yang menuntut kesabaran, kebijaksanaan serta kesetiaan kepada struktur parti walaupun kita tidak bersetuju dengan semua keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, Nurulhidayah menjelaskan bahawa kenyataan Ketua Pemuda UMNO tersebut lahir daripada rasa sayang dan kegelisahan yang tidak boleh dinafikan.
Menurutnya, kegelisahan akar umbi merupakan realiti dalam politik dan Pemuda UMNO sememangnya berperanan sebagai suara semak dan imbang, namun dari sudut disiplin organisasi, pendekatan yang digunakan perlu dinilai dengan lebih matang.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13349