Tag: JNJ-MEDIA

  • Ustaz serang 13 pelajar madrasah dengan topi keledar didenda RM18,200

    Ustaz serang 13 pelajar madrasah dengan topi keledar didenda RM18,200

    KOTA KINABALU 22 Dis – Lelaki yang tular selepas rakaman video memaparkan dirinya menyerang sekumpulan pelajar di sebuah madrasah dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM18,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

    Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

    Mahkamah mengenakan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan atau hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, Saifur didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas 13 mangsa lelaki berusia antara 14 hingga 20 tahun di hadapan premis Gaming Zone di Bandar Sierra, di sini, pada 14 Disember lalu antara jam 11.55 malam hingga 11.58 malam.

    Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

    Dalam mitigasi, peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh bekerja sebagai ustaz dengan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan kes itu merupakan kesalahan pertamanya.

    “Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendapati mangsa ‘melarikan diri’ dari asrama sekitar jam 11.30 malam, dan itu menyebabkan dia berang.

    “Walaupun itu bukan alasan untuk memukul mereka, ia menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan. Dapatan kes juga menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis dibuat oleh pihak berkuasa dan bukannya oleh mangsa atau ibu bapa mereka.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta tahap keseriusan kesalahan.

    Menurutnya, niat baik tertuduh tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan perbuatan yang melanggar undang-undang.

    “Hukuman ini perlu menjadi pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama serta memberi mesej jelas bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap kesalahan sedemikian,” katanya.

    Terdahulu, mahkamah dimaklumkan satu laporan polis dibuat pada 15 Disember jam 7.07 malam susulan penularan video yang memaparkan tertuduh menyerang mangsa.

    Siasatan mendapati pada 14 Disember sekitar jam 11.55 malam, tertuduh menyerang 13 pelajar lelaki yang berada di sebuah kedai Gaming Zone di Bandar Sierra dengan menggunakan topi keledar, tanpa menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis berkenaan.

    Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut.

    Hasil siasatan lanjut mengesahkan tertuduh menyebabkan kecederaan ke atas semua mangsa dengan memukul mereka menggunakan topi keledar.

    Tertuduh membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13238

  • Budak lelaki 12 tahun lemas dalam tali air ketika cari ikan di Pekan

    Budak lelaki 12 tahun lemas dalam tali air ketika cari ikan di Pekan

    PEKAN 22 Dis – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun lemas dalam tali air sawah ketika mencari ikan di Kampung Permatang Tepung, Merchong, Nenasi di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah yang juga murid tahun enam.

    Katanya, berdasarkan laporan, mangsa bersama ibu serta tiga adiknya ke kawasan tali air sawah untuk mencari ikan sebelum pulang jam 6 petang.

    “Bagaimanapun, mangsa bersama adik lelaki berusia sembilan tahun serta dua rakan kembali ke tali air tanpa pengetahuan bapa dan ibu mangsa.

    “Ketika mencari ikan di tali air itu, mangsa dihanyutkan arus sebelum rakan meminta bantuan penduduk kampung dan pencarian dilakukan.

    “Mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira dua meter di dalam air iaitu kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pegawai perubatan Klinik Kesihatan Nenasi membuat pemeriksaan dan mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Pekan untuk bedah siasat.

    “Hasil laporan bedah siasat mengesahkan bahawa sebab kematian mangsa adalah berpunca daripada lemas,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13237

  • Penunggang motosikal cedera parah dirempuh ambulans PBSM di Setapak

    Penunggang motosikal cedera parah dirempuh ambulans PBSM di Setapak

    KUALA LUMPUR 22 Dis – Seorang penunggang motosikal cedera parah manakala beberapa individu lain turut mengalami kecederaan dalam kejadian rempuhan melibatkan sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Jalan Usahawan 6, Setapak, pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan kira-kira jam 8.10 pagi itu membabitkan sebuah van ambulans PBSM, dua buah kereta dan empat buah motosikal.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta dari arah Wangsa Maju sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, manakala van ambulans PBSM yang datang dari arah Jalan Kilang telah memasuki persimpangan semasa lampu isyarat merah walaupun siren dan lampu kecemasan diaktifkan.

    “Akibat perlanggaran itu, van ambulans terbabas lalu melanggar beberapa buah motosikal serta sebuah kereta lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dalam kejadian itu, seorang penunggang motosikal lelaki Melayu berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah selepas patah tulang paha kaki kanan. Mangsa lain, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, hanya mengalami kecederaan ringan seperti luka dan sakit badan.

    “Seorang pemandu kereta wanita Melayu berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohd Zamzuri berkata, semakan terhadap rakaman video kejadian yang tular di media sosial mengesahkan ambulans berkenaan memasang siren dan lampu kecemasan, namun pemandunya sepatutnya memperlahankan kenderaan ketika menghampiri dan memasuki persimpangan lampu isyarat.

    Beliau berkata, van ambulans PBSM terbabit tidak membawa pesakit dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil pesakit di kawasan PPR Gombak Setia ketika kejadian berlaku.

    Tambahnya, dua penunggang motosikal yang terlibat masih belum membuat laporan polis kerana sedang mendapatkan rawatan, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13242

  • ‘Mungkin dah tiba masa UMNO nilai semula kerjasama dengan kerajaan Perpaduan’ – Asyraf Wajdi

    ‘Mungkin dah tiba masa UMNO nilai semula kerjasama dengan kerajaan Perpaduan’ – Asyraf Wajdi

    KUALA LUMPUR 22 Dis – UMNO disaran supaya menilai semula hubungan kerjasama politiknya dalam Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan seorang pemimpin DAP yang didakwa keterlaluan dan menyinggung perasaan ahli serta penyokong parti itu.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata gesaan itu dibuat susulan hantaran Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, yang dikaitkan dengan keputusan mahkamah membabitkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

    “Kenyataan Yeo Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP ini adalah amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan.

    “Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekali pun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.

    “Apatah lagi yang dihina adalah bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Terdahulu, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran berbunyi ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) dengan berkongsi pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

    Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

    Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, turut menyuarakan pendirian sama apabila mengecam kenyataan Bee Yin yang disifatkannya sebagai tidak beradab.

    “Kalau tiada benda baik hendak dikata, lebih baik diam. Ini bukan masa untuk jadi kurang ajar,” katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13239

  • Sukan SEA: CDM dedah kunci kejayaan

    Sukan SEA: CDM dedah kunci kejayaan

    BANGKOK – Kunci utama kejayaan kontinjen negara mencipta pencapaian luar biasa pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 adalah persediaan yang rapi dilakukan oleh para atlet sebelum saingan bermula.

    Perkara itu didedahkan oleh ketua kontinjen (CDM), Nurul Huda Abdulla yang mengakui persiapan yang dilakukan kali ini jauh lebih teratur apabila atlet dihantar menyertai lebih banyak pertandingan kompetitif sebelum ke Thailand.

    Menurutnya, persiapan fizikal dan mental yang benar-benar cukup menyaksikan atlet negara berjaya membina keyakinan diri yang tinggi untuk bersaing sekali gus berjaya membawa pulang 231 pingat.

    “Atlet kita, seperti yang anda lihat sepanjang dua minggu lalu, telah bertanding dengan azam dan semangat yang tinggi merentasi kedua-dua pertandingan di Bangkok dan di Chonburi. Ia mencerminkan bukan sahaja prestasi atlet, tetapi juga kedalaman bakat untuk semua sukan, daya tahan di bawah tekanan dan kepercayaan dalam kalangan kita semua.

    “Kita menang dalam sukan teras, mencipta kejutan dalam beberapa disiplin baharu dan jumlah 231 pingat keseluruhan mencerminkan kekuatan persediaan dan pelaksanaan kita.

    “Apabila kami melawat atlet sebelum Sukan SEA, maklum balas yang kami terima adalah persediaan menuju ke temasya ini adalah jauh lebih baik kali ini.

    “Mereka dihantar untuk lebih banyak pertandingan, mereka rasa lebih bersedia, semangat berpasukan sangat tinggi, dan kami tahu aura positif serta tenaga dalam kalangan atlet dan pegawai itu ada.

    “Jadi kami tahu ini adalah permulaan kepada sesuatu yang istimewa terutama sekali sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 nanti,” ujarnya.

    Nurul Huda turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya Hannah Yeoh atas sokongan padu dan peruntukan sumber yang menjadi pemangkin kepada setiap kejayaan yang dituai di bumi Thailand.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/22/sukan-sea-cdm-dedah-kunci-kejayaan/

  • PSM mula ada rancangan baharu

    PSM mula ada rancangan baharu

    BANGKOK – Selepas berjaya melakar sejarah gemilang menamatkan penantian 34 tahun merangkul pingat emas acara berpasukan di bumi Thailand, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini mengalihkan fokus dalam acara kuadran yang dilihat masih ketinggalan.

    Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan menyifatkan kejayaan merangkul dua emas menerusi acara regu berpasukan dan regu di Sukan SEA Thailand 2025 yang berakhir semalam sebagai pencapaian paling manis.

    Bagaimanapun, Sumali mengakui kegagalan dalam acara kuadran perlu diperbaiki segera memandangkan acara tersebut kini menjadi acara wajib dalam setiap kejohanan antarabangsa.

    “Saya tak fikir pasal keletihan kita tidak berjaya meraih emas dalam acara kuadran, saya fikir puncanya adalah ‘klimaks awal’ apabila acara berpasukan itu kita bergelar juara dan lebih manis mengatasi Thailand.

    “Itu adalah ibu segala pingat emas. Apabila dah dapat (emas berpasukan) dulu, ia jadi sedikit mengacau mood untuk acara-acara yang lain. Pemain cuba untuk bangkit, tetapi akhirnya tidak berjaya, manakala negara lain dilihat lebih bersedia dari segi taktikal untuk kuadran,” jelasnya.

    Bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan dalam acara tersebut, Sumali mendedahkan perancangan PSM untuk mewujudkan gandingan pemain yang dikhususkan untuk acara kuadran.

    Jelasnya, acara kuadran memerlukan taktikal yang berbeza serta kajian yang mendalam berbanding acara regu atau berpasukan ketika Vietnam, Laos dan Thailand mula menemui rentak terbaik dalam acara itu..

    “Kita perlu buat sesuatu sebab kita tak boleh elak, kuadran ada di mana-mana kejohanan. Jadi, suka atau tidak, kita kena capai tahap terbaik supaya ia seiring dengan prestasi acara regu,” katanya.

    Tahun depan, PSM bakal berdepan jadual padat seperti Piala Dunia Sepaktakraw di Kuala Lumpur pada Mei, Piala Raja Thai (Julai), Sukan Asia di Nagoya (September), serta Piala Dunia Belia di Filipina (November).

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/22/psm-mula-ada-rancangan-baharu/

  • Dua dunia berbeza, Amilesny minat biologi dan protokol

    Dua dunia berbeza, Amilesny minat biologi dan protokol

    BERGELAR pelajar sains dan pada masa sama aktif dalam dunia protokol mungkin kelihatan seperti dua dunia yang berbeza. Namun, bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Sel dan Molekul (Dengan Kepujian), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Amilesny Perumal, kedua-duanya merupakan ruang penting yang membentuk jati diri, keyakinan dan profesionalisme dirinya hari ini. Amilesny, 22, yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan dibesarkan di Johor, memulakan perjalanan akademiknya dengan mengikuti Diploma Perikanan di Universiti Putra Malaysia……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/22/dua-dunia-berbeza-amilesny-minat-biologi-dan-protokol/

  • Belanja RM1,000 sebulan beli kopi mahal

    Belanja RM1,000 sebulan beli kopi mahal

    PETALING JAYA – Penangan ketagihan kopi mengakibatkan penggemarnya sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan atas alasan mahu kekal fokus pada kerja atau pelajaran walaupun me­nyedari ia merupakan satu beban yang sangat sukar untuk dielakkan. Rata-rata penggemarnya me­ngakui tidak boleh memulakan hari tanpa kopi dan menjadi satu kewajipan untuk membelinya hing­ga mencecah lima cawan sehari. Muhammad Faiz Nordin, 29, berkata, dia membelanjakan kira-kira RM1,000 bagi memenuhi kehendak menikmati kopi pada setiap bulan, bersamaan RM30 hingga RM40 sehari atau lima cawan kopi di…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/22/belanja-rm1000-sebulan-beli-kopi-mahal/

  • Budaya Jepun pengaruhi hidup masyarakat kita

    Budaya Jepun pengaruhi hidup masyarakat kita

    KEHADIRAN susyi di pasar raya, populariti anime dalam kalangan remaja serta kecenderungan terhadap gaya hidup minimalis menjadi bukti jelas bahawa budaya Jepun semakin mengakar dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Apa yang dahulunya dianggap asing, kini menjadi sebahagian daripada rutin harian. Keupayaan Jepun mengekalkan tradisi sambil memodenkan masyarakatnya menjadikan budaya negara itu mudah diterima, sekali gus memberi kesan mendalam terhadap pelbagai aspek kehidupan kita. Pengaruh paling ketara dapat dilihat melalui perubahan dalam corak pemakanan. Jika dahulu hidangan Jepun hanya dinikmati dalam kelompok……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/22/budaya-jepun-pengaruhi-hidup-masyarakat-kita/

  • Dikesan hidap kanser selepas main bola

    Dikesan hidap kanser selepas main bola

    JITRA – Seorang pelajar sekolah dikesan menghidap kanser otot atau rhabdomyosarcoma (RMS) selepas mata kiri bengkak akibat kecederaan ketika bermain bola.

    Muhammad Danish Akif Muhammad Zulkhaery, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini, menghidap kanser pada April lalu dan kini menjalani rawatan kemoterapi serta radioterapi.

    Menurut ibunya, Nur Hidayah Md. Salleh, 42, anaknya cedera ketika bermain bola sepak dan mendapat rawatan di hospital.

    Bagaimanapun, selepas dua minggu, matanya semakin bengkak dan doktor melakukan Pe­ngimejan Resonans Magnetik (MRI) sebelum mengesan ada ke­tumbuhan sebesar bola pingpong di belakang mata kiri.

    “Pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan itu dan seterusnya Danish menjalani rawatan,” katanya di rumahnya di Taman Cahaya di sini.

    Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang simptom kanser sebelum ini.

    “Dia seorang pelajar aktif dan mewakili sekolah untuk bermain bola sepak. Danish tidak pernah sakit teruk sebelum ini sehingga disahkan menghidap kanser.

    “Danish sudah menjalani se­penuhnya rawatan 28 kali radioterapi dan tujuh daripada 13 kali kemoterapi di Hospital Pulau Pinang. Setakat ini dia menunjukkan perkembangan baik kerana kanser dikesan pada peringkat awal, alhamdulillah,” katanya.

    Katanya, dugaan itu agak berat untuk dirinya yang bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan, manakala suami, Muhammad Zulkhaery A. Rahman, 45, hanya bekerja kampung.

    “Danish telah mendapat bantuan Majlis Kanser Nasional sebanyak RM200 sebulan untuk membeli kelengkapan diri se­perti pad penutup mata,” katanya.

    Ujarnya, Muhammad Danish terpaksa bercuti sekolah sejak Mei lalu dan berharap anaknya itu segera sembuh.

    Terdahulu Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal dan penaungnya, Datuk Mohd. Asri Redha mengunjungi remaja itu untuk menghulurkan sumbangan wang tunai dan bekalan makanan.

    Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Nur Hidayah 7079022520 (CIMB).

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/22/dikesan-hidap-kanser-selepas-main-bola/