Tag: JNJ-MEDIA

  • Warga Australia bangga pencapaian Malaysia di Sukan SEA

    Warga Australia bangga pencapaian Malaysia di Sukan SEA

    KUALA LUMPUR – Kontinjen negara akhirnya menutup tirai temasya Sukan SEA Thailand 2025 dengan mengutip 231 pingat keseluruhan, melepasi sasaran 200 pingat yang ditetapkan sebelum ini.

    Membawa pulang 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, Malaysia sekali gus memperbaiki prestasi di Kemboja dua tahun lalu di mana kontinjen negara hanya meraih 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa.

    Pencapaian itu bukan sahaja diraikan seluruh rakyat Malaysia, malah turut menjadi kebanggaan Matthew Barsing, iaitu seorang warga Australia yang sudah menetap di negara ini selama 25 tahun.

    Beliau yang merupakan Pengarah dan Ketua Pegawai Komersial EPS Consultants mengakui bangga dengan pencapaian diraih kontinjen negara, lebih-lebih lagi melakar sejarah kutipan pingat terbanyak pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur.

    “Malaysia sudah pun memecahkan rekod kutipan pingat Sukan SEA di luar Malaysia menerusi catatan 231 pingat. Ini merupakan sejarah dan ia bukan mengenai nasib ataupun kisah seorang bintang.

    “Ini merupakan pencapaian yang lahir daripada disiplin serta keyakinan dalam seluruh sistem sukan itu, termasuk atlet, jurulatih serta pasukan sokongan. Tidak siapa tahu pengorbanan mereka selama ini.

    “Saya sebagai seseorang yang berasal dari Australia tetapi sudah menetap di sini selama 25 tahun dan boleh memanggil Malaysia sebagai laman sendiri. Saya sangat bangga dan tahniah pasukan Malaysia,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman sosial.

    Pencapaian itu turut dianggap hasil daripada sentuhan mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang banyak memberikan sumbangan dalam persiapan kontinjen ke arah temasya sukan dwitahunan berkenaan.

    Dengan berakhirnya edisi ke-33 di Bangkok itu, ‘baton’ penganjuran diserahkan kepada Malaysia selaku tuan rumah bagi temasya Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung dua tahun lagi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/warga-australia-bangga-pencapaian-malaysia-di-sukan-sea/

  • Pengsan ternampak hantu hisap ‘pad’

    Pengsan ternampak hantu hisap ‘pad’

    DALAM masyarakat Melayu tradisional, terdapat banyak pantang larang yang diwarisi turun-temurun, termasuk yang berkaitan dengan tuala wanita atau ‘pad’. Orang Melayu percaya bahawa tuala wanita yang dibuang merata-rata boleh menarik roh atau makhluk halus kerana masih ‘mempunyai tenaga hidup’ daripada wanita yang menggunakannya. Biarpun perkara itu sudah tidak begitu diendahkan oleh masyarakat masa kini, Ayu (bukan nama sebenar) tidak menyangka bahawa kepercayaan lama itu akan muncul secara nyata dalam kehidupannya sendiri. Berkongsi kepada CitaRasa, Ayu berkata, suatu hari, ibunya lewat……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/pengsan-lihat-hantu-hisap-pad/

  • Wanita, anak angkat maut terbakar, polis tahan anak lelaki

    Wanita, anak angkat maut terbakar, polis tahan anak lelaki

    BUTTERWORTH 19 Dis – Polis menahan seorang lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan kejadian kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar, pada 10 Disember lalu, yang dipercayai mempunyai unsur jenayah.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata suspek yang juga anak kepada wanita terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Disember bagi membantu siasatan.

    “Siasatan awal mendapati kebakaran yang mengorbankan dua mangsa itu mempunyai unsur jenayah. Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan yang mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurut beliau, suspek kini masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Datuk Azizee memaklumkan, mayat kedua-dua mangsa masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) dan belum boleh dituntut ahli keluarga kerana menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan rasmi.

    Dalam kejadian berkenaan, wanita dikenali sebagai Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an, dan anak angkat perempuannya, Andra, lima tahun, maut selepas terperangkap dan rentung di dalam rumah. Anak lelaki mangsa pula cedera selepas dihempap struktur bumbung yang runtuh.

    Media sebelum ini melaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.41 pagi, dengan mayat kedua-dua mangsa ditemui di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala anak lelaki mangsa ditemui di kawasan pintu dapur sebelum dikejarkan ke HSJ untuk rawatan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13207

  • Lelaki hunus pisau serang stesen metro, 4 maut di Taipei

    Lelaki hunus pisau serang stesen metro, 4 maut di Taipei

    TAIPEI 20 Dis – Sekurang-kurangnya empat individu dilaporkan maut manakala lima lagi cedera dalam satu serangan pisau yang turut melibatkan penggunaan bom asap di bandar Taipei, wilayah Taiwan, China pada Jumaat.

    Menurut laporan media tempatan, suspek serangan turut disahkan antara mereka yang terkorban dalam kejadian berkenaan.

    Serangan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang memakai topeng gas telah membaling beberapa bom asap di Stesen Utama Metro Taipei, menyebabkan kepulan asap tebal dan seorang orang awam mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.

    Suspek kemudiannya menyerang seorang individu di lokasi berkenaan yang disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, menurut pihak hospital.

    Selepas itu, suspek melarikan diri ke kawasan perniagaan sibuk berhampiran Stesen Metro Zhongshan dan menyerang beberapa orang awam lain. Seramai enam mangsa dilaporkan cedera, dengan dua daripada mereka kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

    Media tempatan melaporkan suspek dikenal pasti sebagai lelaki berusia 27 tahun. Ketika dikepung polis di sebuah pusat beli-belah, suspek dipercayai terjatuh dari bangunan berkenaan dan meninggal dunia.

    Motif serangan masih dalam siasatan pihak berkuasa. – Agensi

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13210

  • Makmal dadah antarabangsa di sebalik banglo mewah terbongkar, PDRM rampas 18,537kg dadah bernilai RM1.53 bilion

    Makmal dadah antarabangsa di sebalik banglo mewah terbongkar, PDRM rampas 18,537kg dadah bernilai RM1.53 bilion

    KUALA LUMPUR 20 Dis – Polis membongkar makmal haram pemprosesan dadah jenis ketamin serta menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis kokain dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di sekitar Lembah Klang dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.53 bilion, antara yang terbesar tahun ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kejayaan itu hasil beberapa serbuan yang dijalankan pada 16 Disember lalu berdasarkan maklumat risikan.

    Beliau berkata, operasi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

    “Serbuan pertama dijalankan di kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan serta tiga wanita warga asing.

    “Pemeriksaan lanjut di sebuah rumah menemui enam botol cecair disyaki mengandungi dadah jenis MDMA dengan anggaran berat tiga kilogram (kg),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

    Beliau berkata, serbuan kedua di Taman Taynton View, Cheras membawa kepada rampasan serbuk putih disyaki dadah jenis kokain seberat 738kg serta cecair disyaki kokain dengan anggaran berat 3,303kg, selain pelbagai peralatan memproses dadah.

    Katanya, serbuan ketiga di sebuah premis di kawasan Perindustrian Sungai Chua, Kajang, Selangor pula menemui serbuk putih disyaki ketamin seberat 3,024kg serta cecair disyaki ketamin dengan anggaran berat 10,067kg bersama peralatan memproses dadah.

    “Serbuan keempat di sebuah premis di Taman Industri Mega, Bandar Technology, Kajang berjaya merampas 28 guni berwarna putih mengandungi 1,400 bungkusan plastik kuning berisi serbuk putih disyaki ketamin dengan anggaran berat 1,402kg,” katanya.

    Hussein berkata, jumlah keseluruhan rampasan bahan terlarang itu 18,537kg masing-masing membabitkan MDMA seberat 3kg, kokain (4,041kg) dan ketamin (14,493kg) dianggarkan bernilai RM1.53 bilion serta mampu merosakkan 68.5 juta pengguna.

    Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan rumah banglo tiga tingkat sebagai makmal haram memproses dadah serta premis perniagaan sebagai stor simpanan dadah.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak April lalu dengan memfokuskan pasaran antarabangsa terutama di negara timur.

    Siasatan awal mendapati, sindiket ini sudah beberapa kali menyeludup dadah dihasilkan ke negara sasaran.

    “Makmal dadah yang dibongkar kali ini adalah makmal terbesar pernah diserbu pihak polis setakat ini,” katanya.

    Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif ketamin, manakala suspek keempat dan keenam positif methamphetamine serta ketamin.

    “Semua suspek direman tujuh hari bermula 17 Disember lalu dan semakan rekod mendapati hanya suspek pertama mempunyai satu rekod kes dadah di bawah Seksyen 39B akta sama.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

    “Tindakan sitaan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan sitaan RM389,000 termasuk tiga kereta, dua forklift dan sebuah lori,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13211

  • Budak perempuan dua tahun maut digilis kereta mengundur dipandu bapa di Tangkak

    Budak perempuan dua tahun maut digilis kereta mengundur dipandu bapa di Tangkak

    TANGKAK 20 Dis – Tragedi menyayat hati berlaku di Taman Kesang Baru, Parit Bunga, apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas parah dilanggar kereta yang dipandu bapanya sendiri ketika mengundurkan kenderaan, pagi kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 malam hari yang sama selepas hampir 12 jam bertarung nyawa.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim, berkata siasatan awal mendapati pemandu yang juga bapa mangsa berusia lingkungan 30-an sedang mengalihkan kenderaan dengan cara berundur.

    Menurutnya, bapa mangsa merasakan seolah-olah terlanggar sesuatu di bahagian belakang kenderaan sebelum memberhentikan kereta.

    “Kanak-kanak itu dipercayai secara tiba-tiba keluar dari rumah dan berada di belakang kereta tanpa disedari bapanya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jamellulkamal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836 bagi membantu melengkapkan siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13212

  • Ibu Dr Zaliha Mustafa meninggal dunia

    Ibu Dr Zaliha Mustafa meninggal dunia

    KUALA LUMPUR 20 Dis – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, kehilangan ibu tercinta apabila Halimah Yaacob meninggal dunia malam ini pada usia 77 tahun.

    Arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.23 malam di kediaman Dr Zaliha di Putrajaya.

    Jenazah akan diuruskan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kulai, Johor bagi urusan pengebumian.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr Zaliha menyifatkan pemergian ibunya sebagai satu kehilangan besar dan amat menyedihkan buat dirinya serta seluruh ahli keluarga.

    “Hari duka buat kami sekeluarga. Mak telah pergi buat selama-lamanya pada jam 8.23 malam tadi. Tiada lagi gurau senda dan doa Mak. Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini,” katanya.

    Beliau turut memohon orang ramai mendoakan agar roh ibunya dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa serta diterima segala amal kebaikan arwah.

    “Saya mohon doa daripada semua agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Mak, mengampunkan segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya dan menempatkan Mak dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Dr Zaliha juga berharap beliau dan ahli keluarga dikurniakan ketenangan serta kekuatan untuk menghadapi detik sukar berikutan pemergian insan tersayang itu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13214

  • Sampai bila Kuantan asyik ‘tenggelam’

    Sampai bila Kuantan asyik ‘tenggelam’

    SETAKAT semalam, seramai 13,245 mangsa banjir direkodkan di Pahang melibatkan enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Lipis dan Jerantut. Tahun ini Kuantan paling teruk terjejas apabila merekodkan mangsa tertinggi sebanyak 10,913 mangsa daripada 3,638 keluarga. Kejadian banjir besar pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dilihat memberi kesan paling teruk di Kuantan yang menyaksikan ramai penduduk terpaksa berpindah dan jalan-jalan ditutup. Kesannya, bandar Kuantan mengalami kesesakan teruk dan hampir lumpuh selepas banyak tempat termasuk laluan utama ditenggelami air. Boleh…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/sampai-bila-kuantan-asyik-tenggelam/

  • Datang ke Hatyai enam bulan lagi

    Datang ke Hatyai enam bulan lagi

    BUKIT KAYU HITAM – Puluhan ribu rakyat Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti di Hatyai, Thailand apabila destinasi pelancongan popular itu masih belum bersedia menerima kunjungan sepanjang musim cuti sekolah, Krismas dan sambutan tahun baharu ini. Keadaan itu boleh dilihat daripada penurunan aliran pelancong di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis yang semalam dilaporkan luar biasa lengang. Tiada lagi pemandangan orang ramai berpusu-pusu ­masuk dan beratur panjang di kompleks ICQS tersebut, mahupun……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/datang-ke-hatyai-enam-bulan-lagi/

  • Ketukan pintu misteri pukul 4 pagi ‘hantui’ penduduk Bertam

    Ketukan pintu misteri pukul 4 pagi ‘hantui’ penduduk Bertam

    PETALING JAYA – Penduduk di Bertam, Pulau Pinang mendakwa kediaman mereka diganggu dengan ketukan misteri di pintu rumah semalam.

    Melalui beberapa perkongsian televisyen litar tertutup (CCTV) daripada penduduk mendapati ketukan misteri tersebut berlaku selepas pukul 4 pagi.

    Dalam beberapa rakaman yang berlegar di media sosial mendapati, ketukan tersebut berlaku kira-kira pukul 4.57 pagi dan serentak dengan satu sama lain.

    Menurut perkongsian @azmeerzabidee di Threads, beliau mendakwa rumahnya terkena ketukan misteri tersebut kira-kira pukul 4 pagi.

    “Siapa warga Bertam, Penang kat sini? Semalam ada kena gangguan ketuk pintu tak? Rumah aku kena. Pukul 4 pagi. Dia ketuk dua kali dia berhenti, dua kali ketuk lepas itu berhenti. Bila selak langsir tengok tak ada siapa pun, lepas itu terus senyap,” katanya.

    Dia yang tinggal di sebuah taman perumahan di Bertam itu turut berkongsi rakaman CCTV penduduk tamannya dalam untaian Threads tersebut.

    Sementara itu, @adimuhaiminhakim pula mendakwa, melalui pemeriksaan di CCTV rumahnya mendapati, kediamannya di kawasan sama juga turut ‘menangkap’ bunyi ketukan misteri tersebut.

    “Sajalah periksa semula CCTV di rumah pukul 4.57 pagi tadi (semalam). Rupanya memang ada dengar ketuk-ketuk pintu ini,” katanya selain turut berkongsi rakaman CCTV dengan bunyi ketukan tersebut.

    Seorang lagi pengguna Threads dikenali sebagai @dayaahhhhhh pula berkongsi sebuah video yang dikongsi daripada TikTok.

    “Heboh dah satu Bertam, dengar kata masuk Sungai Dua dah,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/video-ketukan-pintu-misteri-pukul-4-pagi-ganggu-penduduk-bertam/