DALAM kepelbagaian masyarakat Malaysia, komuniti India Muslim terkenal dengan warisan budaya yang kaya, nilai kekeluargaan yang kuat dan pegangan tradisi yang mendalam. Namun bagi ramai wanita muda dalam komuniti tersebut, ruang untuk tampil sebagai pemimpin atau menjadi suara masyarakat sering kali terhad dek kerana norma sosial, persepsi konservatif dan kekangan budaya yang telah lama wujud. Pun begitu, bagi Shameera Nasreen Ahamed Noordeen, 26, batasan tersebut menjadi pendorong dan peluang untuknya melangkah lebih jauh. Dilahirkan di Pulau Pinang, gadis yang mesra……
Tag: JNJ-MEDIA
-

Sukar bantu nenek, gaji cukup untuk belanja dapur
JERANTUT – Walaupun berdepan kesulitan hidup, tiga beradik dari Felda Kota Gelanggi Dua di sini, tetap tabah menjaga dan merawat nenek mereka, Noriah Keria, 79, yang kini menderita penyakit angin ahmar atau strok sejak Ogos lalu.
Nik Nurliana Nik Razi, 29, berkata, dia dan dua lagi beradiknya perlu menyediakan perbelanjaan mencecah RM2,000 sebulan termasuk bagi menyediakan susu khas, lampin pakai buang serta kos berulang alik ke hospital.
Katanya, seorang adiknya yang merupakan ibu tunggal hanya mencari rezeki sebagai peniaga kecil-kecilan dan seorang lagi bekerja sebagai pembantu kedai makan di Felda ini.
“Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak seberapa.
“Keadaan ini menyukarkan kami memenuhi kebajikan nenek kerana hasil pendapatan cuma cukup untuk belanja dapur dan persekolahan anak,” katanya yang juga suri rumah.
Menceritakan penyakit yang menimpa nenek mereka, Nik Nurliana berkata, warga emas itu mengalami penyakit kelenjar di leher sebelum dibawa ke Hospital Bandar Pusat Jengka untuk rawatan dan kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Doktor beritahu nenek mengalami pendarahan di bahagian otak ekoran serangan angin ahmar yang dialaminya sehingga dia tidak mampu bangun.
“Dua minggu berada di hospital, nenek mengalami sedikit perubahan, namun masih terlantar sehingga kini dan hanya mampu bersuara perlahan, manakala pergerakan ke bilik air perlu gunakan kerusi roda,” katanya.
Nik Nurliana berkata, neneknya yang mempunyai enam orang anak, empat cucu dan 15 cicit sudah menjalani rawatan fisioterapi sebanyak lima kali di hospital dan keadaannya masih tidak berubah dan hanya terlantar di atas katil.
Sementara itu, seorang lagi cucu Noriah, Nik Addymar Fahana, 32, berkata, neneknya minum susu khas yang berharga RM130 setin dan perlu sekurang-kurangnya empat tin sebulan termasuk pembelian lampin.
“Kami sangat sayang kepada nenek, tetapi tidak mampu menyediakan kewangan yang mencukupi untuk perbelanjaan rawatannya,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nik Nurliana Nik Razi di talian 013-325 9557 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Noriah Keria bernombor 06037023262380.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/sukar-bantu-nenek-gaji-cukup-untuk-belanja-dapur/
-

Rimas homestay jadi ‘dewan kahwin’
PETALING JAYA – Penduduk di kawasan perumahan mula meluahkan rasa tidak puas hati apabila kediaman inap desa (homestay) yang terletak di taman mereka kini seolah-olah bertukar fungsi menjadi ‘dewan kahwin’. Menurut penduduk dikenali sebagai Muizzah, 45, hampir setiap minggu ada tiga buah inap desa yang berada sebaris dengan rumahnya di Manjung, Perak disewa untuk tujuan majlis perkahwinan sehingga menjejaskan privasi mereka. “Kalau sekali-sekala kami faham, tapi ini hampir setiap minggu. Bukan sebuah, tapi tiga buah (inap desa) sekali gus. Nak…
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/rimas-homestay-jadi-dewan-kahwin/
-

Mahu lawat pak long sakit, mereka pula yang ‘pergi’
BENTONG – Hasrat seorang lelaki bersama isteri untuk melawat bapa saudaranya yang sedang sakit di Pulau Pinang berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Kuala Lumpur berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman di sini pada Rabu. Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu menyebabkan Mohd. Nazri Md. Salleh, 51, yang berada di tempat duduk hadapan dan Karmilawati Muhamad Yaakob, 51, yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia di lokasi kejadian. Ibu Mohd. Nazri, Latifah Ahmad, 71,……
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/mahu-lawat-pak-long-sakit-mereka-pula-yang-pergi/
-

Kemboja tarik diri daripada Sukan SEA susulan konflik dengan Thailand
BANGKOK 10 Dis – Kemboja menarik diri sepenuhnya daripada Sukan SEA 2025 hari ini, menurut seorang pegawai temasya, ketika konflik sempadan dengan tuan rumah Thailand kembali memuncak hingga mencetuskan pemindahan besar-besaran penduduk dari kedua-dua garisan pertikaian.
Sekurang-kurangnya 11 anggota tentera dan orang awam terbunuh di kedua-dua pihak, menurut pegawai, ketika pertempuran baharu menggagalkan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS).
Kemboja sebelum ini sudah menarik diri daripada lapan acara pada temasya yang dianjurkan Thailand, dengan ketua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan negara itu, Vath Chamroeun memberi alasan faktor “keselamatan”.
Namun hari ini, pegawai kanan Sukan SEA, Akarin Hiranprueck mengesahkan Kemboja tidak lagi akan mengambil bahagian: “Kemboja sudah menarik diri,” katanya kepada AFP.
Sukan SEA berlangsung hingga 20 Disember ini di Bangkok dan wilayah pantai berdekatan Chonburi, membabitkan ribuan atlet Asia Tenggara dalam pelbagai acara termasuk bola sepak, lawan pedang, papan luncur, pelayaran dan sukan tempur.
Bagaimanapun, pertempuran terbaharu minggu ini antara Thailand dan Kemboja berhubung pertikaian sempadan lama itu jelas menenggelamkan temasya sukan itu.
Keselamatan turut diperketat pada upacara pembukaan di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok malam tadi, yang dihadiri kerabat diraja Thailand dan menampilkan idola K-Pop Thailand, BamBam.
Delegasi kecil Kemboja turut menyertai perarakan atlet.
Pertempuran minggu ini adalah yang paling buruk sejak lima hari pertempuran pada Julai yang meragut puluhan nyawa sebelum gencatan senjata dicapai, sebahagian besarnya hasil campur tangan Presiden AS, Donald Trump.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan pertempuran baharu, yang mana semalam merebak ke lima wilayah Thailand dan Kemboja, menurut kiraan AFP berdasarkan laporan rasmi.
Lebih 500,000 penduduk sudah melarikan diri ke kawasan selamat di Thailand dan Kemboja sejak konflik sempadan kembali tercetus, menurut kedua-dua kerajaan semalam, angka yang melepasi jumlah pelarian ketika ketegangan serupa awal tahun ini.
Pertikaian antara Thailand dan Kemboja berakar daripada perbalahan berusia lebih satu abad mengenai peta sempadan era pemerintahan kolonial Perancis, dengan kedua-dua negara mendakwa beberapa kawasan kuil di sepanjang garisan berkenaan menjadi milik mereka. – AFP
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13024
-

Lelaki Nepal didenda RM40,000 liwat kucing di pangsapuri di Kota Kemuning
SHAH ALAM 10 Dis – Seorang lelaki warga Nepal didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mendera seekor kucing dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, bulan lalu.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Arman Shah, 33, yang juga bekas pengawal keselamatan. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 15 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Arman didakwa melakukan penderaan kejam terhadap seekor kucing di tingkat empat sebuah blok pangsapuri di Seksyen 31 pada jam 12.30 tengah malam, 15 November lalu. Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, seorang wanita yang baru tiba di kawasan parkir ternampak tertuduh memegang seekor kucing dan membuka seluar sebelum melakukan perbuatan tidak bermoral itu
Wanita itu kemudian menghubungi suaminya untuk menegur perbuatan berkenaan. Setibanya di lokasi, suami pengadu turut melihat tertuduh dalam keadaan bogel.
Selepas ditegur, tertuduh terus memakai semula seluar dan mencampakkan kucing terbabit dari tingkat empat sebelum beredar masuk ke rumah sewanya.
Wanita berkenaan sempat merakamkan video berdurasi 48 saat memaparkan tindakan tertuduh memegang dan mencampak kucing itu.
Siasatan mendapati haiwan tersebut tidak berada di lokasi ketika polis tiba dan dipercayai masih hidup serta bergerak meninggalkan kawasan itu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar denda dikurangkan atas alasan ingin pulang ke Nepal untuk menjaga ibunya yang sakit.
Namun Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal, berkata perbuatan tertuduh adalah keterlaluan, kejam dan tidak boleh dinormalisasikan.
“Kes ini turut mencetuskan kemarahan serta kegusaran masyarakat. Mohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga orang awam,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan tidak berperikemanusiaan tertuduh yang meliwat seekor kucing ketika mabuk sebelum mencampakkannya dari tingkat empat.
Siasatan turut mendapati tertuduh bekerja di pangsapuri itu sejak dua bulan lalu tanpa permit sah.
Arman kini sedang menjalani hukuman penjara empat bulan atas kesalahan berkaitan imigresen dan berpakaian separuh bogel.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13025
-

Sesiapa dakwa perlu bayar wang perlindungan di pasar borong diminta tampil ke SPRM
KUALA SELANGOR 10 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta individu atau peniaga yang mendakwa terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini, supaya tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, isu peniaga mendakwa memberi wang kepada agensi penguat kuasa bukan perkara baharu, namun tuduhan melalui media atau media sosial tanpa maklumat rasmi tidak dapat menyelesaikan masalah.
“Perkara ini timbul dalam media tetapi pada saya, isu wang perlindungan ini sudah lama. Saya berharap mereka yang membuat dakwaan tampil kepada SPRM.
“Kita ada undang-undang dan mereka juga dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Perkara ini telah kita hebahkan berulang kali,” katanya dalam sidang media selepas program SPRM-UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam, hari ini.
Program berkenaan turut menyaksikan Azam menyampaikan syarahan Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang dihadiri Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin; Rektor UiTM Cawangan Selangor, Prof Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman; Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Norli Ali; serta Pemangku Timbalan Pesuruhjaya SPRM merangkap Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli.
Mengulas lanjut, Azam menegaskan dakwaan umum tanpa bukti kukuh adalah tidak adil kepada agensi penguat kuasa yang dituduh.
“Kalau mereka hanya bercakap kepada media atau menularkan di media sosial, perkara ini tidak akan selesai. Menuduh agensi penguat kuasa secara umum adalah tidak adil,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa SPRM perlu berlaku adil kepada semua pihak, termasuk individu atau agensi yang dituduh serta mereka yang membuat dakwaan.
“Isu sebenar yang kita lihat ialah ada peniaga yang berniaga tanpa mengikut proses dan undang-undang, malah ada yang menjalankan perniagaan secara haram dengan pelbagai kesalahan.
“SPRM tidak akan membuka kertas siasatan tanpa maklumat yang benar dan tepat daripada pengadu. Kami tidak akan terus menjalankan siasatan jika tiada maklumat kukuh. Kita perlu berlaku adil,” katanya.
Sebelum ini, tular di media dakwaan bahawa peniaga di Pasar Borong Selayang terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan dijalankan baru-baru ini.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13027
-

Warga emas dan anak terlantar maut dalam kebakaran di Muar
MUAR 10 Dis – Dua beranak termasuk seorang lelaki terlantar maut dalam kebakaran di sebuah rumah banglo dua tingkat di Lorong Haji Sulaiman, Sungai Abong di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian dilaporkan pada jam 2.35 petang selepas pihaknya menerima maklumat daripada unit ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Hasil siasatan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat.
“Pemeriksaan menemukan mangsa pertama, lelaki berusia 30 tahun yang merupakan pesakit terlantar akibat kemalangan jalan raya sebelum ini. Mangsa ditemui meninggal dunia di lokasi dengan kesan terbakar pada tubuh.
“Mangsa kedua merupakan bapa kepada lelaki tersebut, berusia 75 tahun, dan disahkan meninggal dunia di hospital akibat sesak nafas ketika cuba memadamkan api,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan punca kebakaran.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HPSF untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.
Raiz Mukhliz turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Komisioner Suhaimi Ahmad di talian 013-3975290.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan I Mohd Fettry Mahat berkata, seramai 14 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua Unit Bermotor Bomba (RIM) dan satu utiliti dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran telah dipadamkan orang awam sebelum bomba tiba. Seorang mangsa iaitu lelaki dewasa ditemui meninggal dunia di atas katil dalam bilik dengan kira-kira 80 peratus kesan terbakar.
“Mayat diserahkan kepada polis. Kebakaran berjaya dikawal dan operasi ditamatkan pada jam 5 petang,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13028
-

Azam Baki beri bayangan kontrak tamat tahun depan
PUNCAK ALAM 10 Dis – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memberi bayangan bahawa tempoh perkhidmatannya akan tamat tahun hadapan, sambil berseloroh bahawa terdapat pihak yang tidak lagi menyukainya.
“Orang sudah tidak suka saya, Rafizi pun tidak suka saya, dia kata jangan sambung Azam Baki,” katanya ketika berucap pada program SPRM–UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam pada Rabu.
Azam berkata, kontraknya telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini, menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan tertentu.
“Insya-ALLAH, tahun depan tempoh perkhidmatan saya akan tamat. Ia telah disambung tiga kali sebelum ini,” katanya.
Namun, Azam menegaskan bahawa persoalan mengenai siapa yang akan menggantikannya bukan isu utama, sebaliknya tumpuan perlu kekal diberikan kepada usaha memerangi rasuah.
“Apa yang penting ialah pengganti saya meneruskan agenda meningkatkan integriti, mempromosikan tadbir urus yang baik dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah tanpa gentar atau pilih kasih,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen memerangi rasuah susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Rafizi menyatakan, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Beliau turut membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, termasuk persoalan sama ada kontrak berkenaan akan disambung untuk kali keempat.
Menurut Rafizi, kontrak Azam sebelum ini bukan sahaja disambung sekali atau dua kali, tetapi sebanyak empat kali. Beliau menegaskan bahawa jika ia disambung lagi, ia hanya akan menjejaskan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.
Tambahnya lagi, dengan pelbagai kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Azam, sudah tiba masanya kontrak berkenaan tidak diteruskan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13029
-

Kod etika pakaian di balai polis akan disemak semula – Fahmi Fadzil
PETALING JAYA 10 Dis – Kod etika pakaian di balai polis serta perkhidmatan barisan hadapan kerajaan akan disemak semula dalam masa terdekat, kata jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berpandangan tidak seharusnya wujud sebarang halangan yang menghalang orang ramai daripada membuat laporan polis.
“Ketua Setiausaha Negara akan meneliti semula Pekeliling 2020 dan membuat beberapa penambahbaikan susulan keputusan Jemaah Menteri supaya perkhidmatan barisan hadapan tertentu, seperti kesihatan dan keselamatan termasuk balai polis, diberikan pengecualian di bawah pekeliling tersebut.
“Perkara ini dipertimbangkan dengan teliti oleh pejabat Ketua Setiausaha Negara. Satu pekeliling yang dikemas kini dijangka dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Perkembangan ini susulan insiden seorang wanita yang didakwa dilarang masuk ke IPD Jasin kerana pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk premis kerajaan. Wanita itu dilaporkan memakai skirt yang sedikit melepasi paras lutut.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, mengingatkan orang ramai supaya mematuhi kod pemakaian rasmi ketika berurusan di mana-mana kaunter aduan.
Beliau menambah, garis panduan berkenaan diperincikan dalam pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara untuk menambah baik hubungan pelanggan di agensi awam, namun pengecualian diberikan dalam situasi kecemasan atau keadaan yang memerlukan tindakan polis serta-merta.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13030









