Tag: JNJ-MEDIA

  • Ingatkan gastrik, remaja 16 tahun hamil dirogol lelaki Bangladesh sebanyak empat kali

    Ingatkan gastrik, remaja 16 tahun hamil dirogol lelaki Bangladesh sebanyak empat kali

    NILAI 9 Dis – Hancur hati seorang ibu apabila mengetahui anaknya berusia 16 tahun yang disangka hanya sakit perut biasa rupa-rupanya sedang mengandung.

    Perkara itu diketahui suri rumah terbabit ketika membawa anaknya mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sini.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Johari Yahya berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu mangsa pada Mei lalu.

    “Sebelum itu, wanita berkenaan membawa anaknya yang mengadu sakit perut ke klinik, namun ketika itu doktor mengesyakinya mengalami gastrik.

    “Beberapa bulan kemudian, mangsa telah buat rawatan susulan selepas perutnya dilihat makin membesar dan ibunya terkejut apabila pihak hospital mengesahkannya hamil,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

    Menurutnya, ibu remaja itu kemudiannya telah membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya telah dirogol di tempat kerja oleh rakan sekerja mangsa, warga Bangladesh.

    Beliau berkata, susulan daripada itu, polis telah menahan suspek berusia 31 tahun di Balai Ketibaan KLIA lebih kurang jam 11.44 pagi pada Isnin.

    “Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kes rogol dengan mangsa yang merupakan rakan sekerjanya.

    “Selepas kejadian, suspek telah melarikan diri dengan pulang ke Bangladesh dan suspek mengaku melakukan perbuatan rogol tersebut sebanyak empat kali,” katanya.

    Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban esok untuk permohonan reman.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12999

  • Majikan terbeban, Guan Eng gesa kerajaan mansuh penalti RM10,000 SIP

    Majikan terbeban, Guan Eng gesa kerajaan mansuh penalti RM10,000 SIP

    KUALA LUMPUR 9 Dis – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan memansuhkan penalti RM10,000 di bawah Seksyen 45F pindaan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu, kerana dianggap membebankan majikan dan tidak praktikal.

    Ahli Parlimen Bagan itu berkata, pindaan berkenaan mewajibkan majikan memaklumkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengenai sebarang kekosongan atau pewujudan jawatan baharu dalam tempoh tujuh hari, dan kegagalan berbuat demikian boleh membawa implikasi kewangan besar.

    Menurutnya, penalti RM10,000 bagi setiap pelanggaran mampu menyebabkan jumlah keseluruhan melonjak tinggi sekiranya beberapa kekosongan berlaku pada masa berbeza.

    “Sekiranya ada lima kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu yang berlaku dalam masa berlainan dalam tempoh lima minggu, majikan mungkin dikenakan penalti sebanyak RM50,000 sekira gagal mematuhinya.

    “Jumlah penalti ini hanya akan tambah berlambak sekiranya jawatan kosong berlipat ganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Guan Eng berkata, Seksyen 45F wajar dimansuhkan ketika pindaan itu dibahaskan di Dewan Negara kerana Dewan Negara mempunyai kuasa untuk membuat pindaan sebelum ia dirujuk kembali kepada Dewan Rakyat.

    Beliau yakin Ahli Parlimen akan bersetuju memansuhkannya sekiranya ia dibawa semula untuk kelulusan.

    “PERKESO nampaknya melakukan kesilapan dengan tidak mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum pindaan SIP diluluskan pada 2 Disember 2025.

    “Dalam kenyataan bertarikh 4 Disember 2025, PERKESO cuba meredakan kemarahan majikan dengan mengumumkan moratorium penguatkuasaan selama dua tahun dan menjaminkan penguatkuasaan penalti sebanyak RM10,000 hanya akan dilaksanakan selepas sesi libat urus dijalankan dengan wakil majikan dan pihak berkepentingan,” katanya.

    Guan Eng turut mempersoalkan tindakan PERKESO yang hanya merancang mengadakan libat urus selepas pindaan diluluskan, sedangkan Ahli Parlimen kerajaan sebelum ini beranggapan proses itu sudah dilaksanakan sebelum pembentangan.

    “Soalannya ialah mengapa PERKESO hanya bercadang membuat libat urus pada 4 Disember 2025 selepas pindaan SIP diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 Disember 2025 dan bukan sebelum 2 Disember 2025.

    “Moratorium dua tahun ini tidak bermakna langsung kerana akhirnya penalti RM10,000 akan dikuatkuasakan juga.

    “Kenyataan PERKESO bertarikh 4 Disember 2025 ini mengejutkan kerana tanggapan Ahli Parlimen Kerajaan selama ini ialah bahawa PERKESO telah menjalankan libat urus dan mendapat persetujuan pemegang taruh sebelum ia dibentangkan dan diluluskan,” katanya.

    Beliau menegaskan, keadaan itu mencemarkan proses kelulusan pindaan SIP dan perlu diperbetulkan sama ada dengan memansuhkan Seksyen 45F sepenuhnya, mengecualikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), atau mengurangkan penalti bagi syarikat besar kepada hanya RM100.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13000

  • JPN Kedah siasat ‘influencer’ TikTok rasmi majlis anugerah akademik di sekolah

    JPN Kedah siasat ‘influencer’ TikTok rasmi majlis anugerah akademik di sekolah

    ALOR SETAR 9 Dis – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menjalankan siasatan berhubung tindakan sebuah sekolah di negeri ini yang menjemput seorang pempengaruh media sosial untuk merasmikan majlis anugerah akademik, baru-baru ini.

    JPN negeri memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pentadbir sekolah yang didapati melanggar peraturan sedia ada.

    “JPN Kedah memandang serius isu jemputan seorang pempengaruh media sosial merasmikan majlis anugerah akademik di sebuah sekolah di negeri ini.

    “Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya di sini, hari ini.

    Katanya, JPN negeri mengingatkan semua pentadbir sekolah untuk memastikan jemputan kepada pihak luar mematuhi garis panduan.

    “Tetamu yang dijemput perlu menjadi contoh yang baik selari dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara,” tambahnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13001

  • Pemandu ambulans maut, tiga cedera termasuk pesakit dalam nahas di Kluang

    Pemandu ambulans maut, tiga cedera termasuk pesakit dalam nahas di Kluang

    KLUANG 9 Dis – Seorang pemandu ambulans maut manakala tiga lagi termasuk dua pembantu perubatan cedera selepas ambulans dinaiki mereka dari Hospital Segamat terbabas sebelum terbalik di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), tengah hari tadi.

    Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, pemandu berusia 43 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, M Nasir A Shah berkata, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama enam anggota digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 1.27 tengah hari.

    Menurutnya, kemalangan membabitkan empat mangsa iaitu pemandu ambulans, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.

    “Hasil pemantauan mendapati pemandu dan seorang penumpang hadapan tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa di bahagian belakang tidak tersepit.

    “Bagaimanapun, pemandu ambulans terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Pasukan Keluar Operasi (PKO) juga mengalihkan mangsa cedera ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13002

  • Kelayakan subsidi BUDI95 tidak terjejas akibat saman tertunggak – Anthony Loke

    Kelayakan subsidi BUDI95 tidak terjejas akibat saman tertunggak – Anthony Loke

    KUALA LUMPUR 9 Dis – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa dakwaan kononnya kegagalan menjelaskan saman trafik akan menyebabkan seseorang kehilangan kelayakan subsidi petrol BUDI95 adalah tidak benar.

    Menurut beliau, saman tertunggak dan kelayakan BUDI95 adalah dua perkara berbeza yang beroperasi secara berasingan tanpa sebarang kaitan automatik.

    “Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan langsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

    Jelas Anthony, berdasarkan dasar semasa, mana-mana individu yang ingin memohon atau terus menerima subsidi petrol BUDI95 perlu memenuhi syarat tertentu termasuk merupakan warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad serta memiliki lesen memandu yang aktif.

    “Lesen memandu yang aktif merujuk kepada lesen yang masih tempoh sahnya berjalan, atau yang telah tamat tetapi tidak melebihi tempoh tiga tahun,” katanya.

    Beliau dalam masa sama menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13003

  • Pasangan suami isteri dipenjara sehari, denda RM800 kerana curi barangan RM70.69

    Pasangan suami isteri dipenjara sehari, denda RM800 kerana curi barangan RM70.69

    MELAKA 9 Dis – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM800 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk ikan cencaru dan kicap, dua tahun lalu.

    Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman terhadap Siti Nurulaini Johari, 40, dan suaminya Tengku Azman Tengku Jalal, 46, selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah mereka.

    Menurut pertuduhan, pasangan itu mencuri 12 keping WC precut (1.6 gram), lima ekor ikan cencaru, deodoran, kicap manis dan empat tin minuman keras dengan nilai keseluruhan RM70.69 dari sebuah pasar raya di Taman Paya Rumput Utama, Melaka, pada 6.30 petang, 27 September 2023.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Kejadian dikesan jurujual pasar raya berkenaan sebelum memaklumkan kepada pengurus. Siti Nurulaini ditahan ketika cuba keluar tanpa membuat pembayaran, manakala Tengku Azman yang melarikan diri berjaya ditahan polis bersama barangan yang dicuri.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib, manakala pasangan itu diwakili peguam SS Amritpal Singh.

    Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. Namun, pihak pembela merayu hukuman ringan dengan alasan pasangan itu sudah insaf dan kesalahan dilakukan akibat kekangan kewangan, selain menanggung tiga anak bersekolah.

    Mahkamah turut diberitahu bahawa Tengku Azman bekerja sebagai penghantar barangan, manakala Siti Nurulaini yang menghidap penyakit buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala.

    Mahkamah akhirnya memerintahkan kedua-duanya dipenjara sehari dan denda RM400 setiap seorang, dan jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara dua bulan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13007

  • Henti sebarremaja 17 tahun hidu gam – ADUN Bayan Lepas

    Henti sebarremaja 17 tahun hidu gam – ADUN Bayan Lepas

    BAYAN LEPAS 9 Dis – Orang ramai diminta menghentikan penularan klip video memaparkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ditemui menghidu gam di bangunan lama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz, berkata pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sudah mengambil tindakan segera termasuk membawa remaja terbabit untuk menjalani proses pemulihan.

    “Terima kasih kepada rakan-rakan media sosial yang memaklumkan isu ini. Namun saya mohon agar video-video yang ditularkan dikaburkan terlebih dahulu kerana ia memberi kesan negatif kepada ahli keluarga remaja berkenaan.

    “Moga adik ini dapat dipulihkan dan menjalani kehidupan lebih baik pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Sebelum itu, tular sebuah video menunjukkan seorang lelaki mendakwa hampir diserang remaja berkenaan ketika memasuki bangunan lama sekolah tersebut.

    Dalam rakaman sama, remaja itu dilihat memegang plastik hitam dan berdiri dalam keadaan tidak stabil.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13008

  • Asyraf Wajdi akan panggil Rita Rudaini, MRSM Sungai Besar selesai isu saman fitnah

    Asyraf Wajdi akan panggil Rita Rudaini, MRSM Sungai Besar selesai isu saman fitnah

    KUALA LUMPUR 9 Dis – Isu saman fitnah membabitkan pelakon Rita Rudaini dan Yang Dipertua Muafakat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, terus menjadi perhatian apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil campur tangan bagi meredakan ketegangan.

    Melalui satu kenyataan di Facebook, Asyraf Wajdi berkata, beliau mengambil maklum tindakan saman yang difailkan terhadap Rita dan menegaskan MARA tidak boleh berdiam diri kerana konflik berlarutan itu memberi kesan kepada imej institusi serta pelajar.

    “Peringkat awal saya tidak mahu campur isu perbalahan antara ibubapa pelajar MRSM.

    “Namun atas rasa tanggungjawab saya akan panggil kedua-dua pihak bagi menjernihkan keadaan tidak sihat; bahkan tauladan yang tidak baik buat pelajar,” katanya.

    Terdahulu, dua tokoh akademik nekad memfailkan saman terhadap Rita selepas mendakwa pelakon itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah melalui Instagram, WhatsApp dan platform komunikasi lain.

    Peguam mereka, Datuk Adnan Seman, berkata tindakan itu diambil selepas notis tuntutan RM1 juta yang dikeluarkan sebelum ini tidak dipatuhi.

    Saman terbabit sekali lagi menghangatkan perdebatan dalam kalangan ibu bapa dan warganet, susulan beberapa isu disiplin dan komunikasi yang dikaitkan dengan MRSM sejak beberapa bulan lalu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13005

  • ‘Selama ni kita bayar melalui aplikasi JPJ tu siapa uruskan?’ – Akmal Saleh persoal pelantikan ejen JPJ

    ‘Selama ni kita bayar melalui aplikasi JPJ tu siapa uruskan?’ – Akmal Saleh persoal pelantikan ejen JPJ

    KUALA LUMPUR 9 Dis – Pelantikan sebuah syarikat sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemimpin politik, khususnya Pemuda UMNO, yang mempersoalkan keperluan melantik pihak luar bagi menguruskan kutipan hasil jabatan itu.

    Perkara itu dibangkitkan selepas syarikat terbabit mengumumkan pada Isnin bahawa ia kini menjadi ejen kutipan sah bagi urusan JPJ, susulan pelantikan rasmi oleh Kementerian Pengangkutan.

    Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata langkah berkenaan menimbulkan persoalan terutama apabila urusan kutipan melalui aplikasi JPJ sebelum ini difahamkan diuruskan sepenuhnya oleh jabatan itu sendiri.

    “Selama ini yang kita bayar melalui apps JPJ itu siapa yang uruskan? Jika pihak JPJ sendiri yang uruskan, apakah keperluan untuk melantik ejen kutipan?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

    Beliau turut menyatakan kebimbangan tentang kecenderungan kerajaan melantik pihak ketiga dalam pelbagai urusan rasmi.

    “Ke memang semua zaman ini nak kena lantik ejen? Tahniah lah yer,” ujarnya.

    Setakat ini, Kementerian Pengangkutan dan JPJ belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung persoalan yang dibangkitkan Pemuda UMNO itu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13009

  • Sukan SEA: Speedy Tigers mahu luaskan kuasa

    Sukan SEA: Speedy Tigers mahu luaskan kuasa

    SKUAD hoki lelaki negara menyertai temasya Sukan SEA 2025 di Chonburi dengan misi yang lebih daripada sekadar mempertahankan kejuaraan apabila berhasrat melebarkan rekod 17 kali juara serta membuktikan status sebagai kuasa utama Asia Tenggara.

    Sejak pertama kali dipertandingkan pada 1971, Malaysia hampir menyapu bersih kesemua edisi acara hoki padang lelaki, hanya terlepas emas sekali pada 1973, menjadikan Speedy Tigers pilihan utama menjelang aksi di Thailand dari 11 hingga 19 Disember ini.

    Aksi dengan format liga sepusingan, lima negara bertanding membabitkan Malaysia, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Singapura, namun hanya empat pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir.

    Ia sekali gus menjadikan setiap perlawanan peringkat kumpulan bersifat hidup-mati dalam usaha memastikan laluan lebih mudah ke pentas final.

    Di atas kertas, Malaysia selaku pasukan ranking ke-13 dunia hadir sebagai pilihan utama, jauh mengatasi Myanmar (69), Thailand (72), Indonesia (75) dan Singapura (81), namun Speedy Tigers enggan dibuai, malah menegaskan kedudukan ranking bukan jaminan kemenangan.

    Ketua jurulatih, Sarjit Singh berkata skuad kali ini dibentuk berasaskan prestasi di Piala Sultan Azlan Shah, dengan tiga muka baharu diserap bagi menambah variasi taktikal dan memperkukuh unit serangan serta pertahanan.

    “Kami mengekalkan skuad yang sama ketika Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini dan membawa masuk tiga pemain baharu. Mereka ialah Najib Hassan, Alfarico Jr dan Amanraj Singh,” katanya.

    Sarjit pada masa sama mengingatkan bahawa landskap hoki ASEAN sudah berubah dengan semua pasukan kini tampil lebih bersedia, agresif dan berani mencabar dominasi Malaysia.

    “ASEAN kini penuh dengan pasukan yang mahu mencabar Malaysia. Kami hormati semua lawan. Fokus kami bukan menilai siapa bukan tandingan, tetapi memastikan kami kekal bermain mengikut standard sendiri dan membawa pulang pingat emas,” jelasnya.

    Speedy Tigers dijadual membuka kempen menentang Myanmar pada 12 Disember sebelum berdepan Indonesia, Singapura dan akhirnya tuan rumah Thailand ketika mereka memburu satu lagi halaman gemilang dalam sejarah hoki negara. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/09/sukan-sea-speedy-tigers-mahu-luaskan-kuasa/