KUALA LUMPUR 8 Dis: Polis menahan seorang wanita dan anak lelakinya selepas mereka dipercayai mendera pembantu rumah warga tempatan dalam kejadian di Gombak, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kedua-dua suspek berusia 57 dan 30 tahun itu direman sehingga 11 Disember bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja di rumah berkenaan sejak September kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan bagi memastikan keselamatannya.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa stabil namun mempunyai kesan luka pada beberapa bahagian badan serta kesan melecur pada lengan. Mangsa turut mendakwa tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa membuat laporan polis pada jam 8.38 malam Sabtu selepas berjaya melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.
Noor Ariffin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi ASP Ikhwanizam Ismail di talian 019-600 0468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-6126 2222.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12971









