Tag: JNJ-MEDIA

  • Alexander Nanta Linggi ganti Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

    Alexander Nanta Linggi ganti Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

    KUALA LUMPUR 2 Dis – Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan memegang jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa esok.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan perkara itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 November lalu.

    “Kerajaan merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan serta khidmat bakti yang diberikan oleh Datuk Ewon Benedick sepanjang tempohnya memegang jawatan tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan.

    Untuk rekod, Ewon Benedick, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Ahli Parlimen Penampang, meletakkan jawatan sebagai menteri bulan lalu, ketika parti bersiap menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12872

  • Empat pemimpin utama DAPSY Johor letak jawatan

    Empat pemimpin utama DAPSY Johor letak jawatan

    JOHOR BAHRU 2 Dis – Empat pemimpin utama sayap pemuda DAP Johor, Democratic Action Party Socialist Youth (DAPSY), termasuk ketuanya, Loh Wei Jian mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta berikutan peningkatan komitmen dalam urusan kerja dan peribadi mereka.

    Wei Jian berkata, beliau bersama Setiausaha DAPSY Johor, Suweeta Lam Xiao Wei; Setiausaha Penganjur, Lee Jia Hau dan Ahli Jawatankuasa, Lee Wan Chian telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Sekretariat DAPSY Kebangsaan pada jam 7 pagi Isnin.

    Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mereka mendapati semakin sukar untuk menyeimbangkan tanggungjawab parti dengan komitmen kerja, keluarga serta kehidupan peribadi.

    “Johor satu-satunya negeri yang mana parti ini bukan sebahagian daripada kerajaan negeri.

    “Selepas pertimbangan yang teliti, kami secara sukarela berundur bagi memastikan sayap negeri dapat terus berfungsi dengan baik dan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, keempat-empat pemimpin itu merupakan tulang belakang kepimpinan negeri dan beliau menggesa Sekretariat Kebangsaan mempercepatkan proses pemilihan semula kepimpinan baharu.

    Menurut Wei Jian, barisan pengganti perlu ditentukan segera supaya mereka mempunyai masa mencukupi merangka hala tuju organisasi serta memperkukuh usaha mendekati pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum akan datang.

    Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa dirinya dan Suweeta Lam yang turut memegang jawatan dalam Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan akan terus berkhidmat di peringkat pusat, manakala peletakan jawatan yang diumumkan hanya melibatkan peranan mereka di peringkat negeri Johor.

    Wei Jian turut menzahirkan sokongan penuh terhadap Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong serta empat keutamaan dasar sayap pemuda itu, iaitu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), penyelarasan kemasukan universiti, pengembalian pendidikan politik dan pengambilan bakat muda.

    “Sebagai Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Kah Leong bagi memperkasa pendidikan politik dalam parti,” katanya lagi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12876

  • ‘Yang nak marah pegawai kerajaan kenapa?’ – Anwar tegaskan projek Kota MADANI tidak guna wang kerajaan

    ‘Yang nak marah pegawai kerajaan kenapa?’ – Anwar tegaskan projek Kota MADANI tidak guna wang kerajaan

    KUALA LUMPUR 2 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa projek pembangunan Kota MADANI di Putrajaya tidak menggunakan dana kerajaan, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH).

    Beliau berkata, dakwaan pembangkang bahawa kos projek berkenaan wajar disalurkan untuk pembinaan lebih banyak sekolah adalah tidak berasas kerana sumber pembiayaan itu tidak melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.

    “Kota MADANI ini Putrajaya Holdings yang buat, bukan dana kerajaan. Kedua, yang nak marah kepada pegawai kerajaan mengapa? Kota MADANI itu untuk 10,000 rumah penjawat awam di sekitar Putrajaya kerana ketika ini kita tidak dapat menampung,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rosol Wahid, Anwar menegaskan Kota MADANI bukan projek mega semata-mata untuk imej, sebaliknya keperluan asas bagi menyelesaikan isu perumahan penjawat awam di Putrajaya.

    Beliau turut menolak tanggapan bahawa pembangunan itu bersifat terlalu mewah, sebaliknya direka sebagai bandar pintar berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mesra alam.

    “Kota ini bukan ‘twin tower’. Ia bandar pintar dan mesra AI. Apa salahnya?” kata Perdana Menteri lagi.

    Kota MADANI dijangka merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menempatkan lebih 30,000 penduduk, selain sekolah menegak dan pelbagai kemudahan awam. Pembangunan itu turut merangkumi integrasi teknologi AI, infrastruktur digital pintar serta sistem mobiliti hijau.

    Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.

    Anwar berkata, fasa pertama projek itu dijangka bermula pada September ini dan siap menjelang akhir 2027.

    Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan pendekatan pembangkang yang mempertikai Kota MADANI dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang, namun tidak membangkitkan kos tinggi projek Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link) yang menelan belanja sehingga RM50 bilion.

    “Ini contoh fakta dipusingkan. Mengapa tidak dipersoalkan ECRL yang kosnya RM40 bilion hingga RM50 bilion, yang memberi manfaat kepada Kelantan dan Terengganu?

    “Kita tidak persoal kerana kita faham ia projek nasional. Bezanya, kerajaan sekarang berjaya mengurangkan kos dan memastikan subkontraktor tempatan dilibatkan,” katanya.

    Beliau turut menegaskan projek LRT Pulau Pinang perlu difahami sebagai pelaburan jangka panjang dan bukan semata-mata perbelanjaan pembangunan, sebaliknya turut melibatkan pembiayaan melalui bon serta mekanisme bayaran balik.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12877

  • Lelaki Pakistan cedera diserang 25 individu di Bukit Ampang

    Lelaki Pakistan cedera diserang 25 individu di Bukit Ampang

    AMPANG 2 Dis – Seorang lelaki warga Pakistan dan dua rakannya cedera selepas diserang sekumpulan individu di Ampang Lookout Point, Bukit Ampang, pada 14 November lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam ketika kenderaan dinaiki mangsa berhenti di lampu isyarat.

    “Tiba-tiba datang seorang suspek tidak dikenali menjerit dan bertindak agresif dengan cuba menahan kereta pengadu.

    “Suspek kemudian mengejar serta menghalang kereta dinaiki mangsa, sebelum mendakwa dirinya anggota Kementerian Pertahanan dan cuba menunjukkan kad kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

    Menurut Khairul Anuar, insiden itu bertambah tegang apabila 25 lelaki lain muncul dan mengelilingi mangsa serta dua rakannya, sebelum menyerang mereka secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada kenderaan.

    Berikutan laporan polis dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menahan empat lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun antara Rabu hingga Jumaat.

    “Siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau, manakala tiga lagi tiada rekod jenayah,” katanya.

    Katanya, seorang suspek direman enam hari, manakala tiga yang lain direman tiga hari bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12880

  • Lelaki warga emas ditemui mati selepas beli basikal baharu

    Lelaki warga emas ditemui mati selepas beli basikal baharu

    KOTA BHARU 2 Dis – Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di kawasan kaki lima sebuah premis di Kampung Tapang, di sini, selepas pulang daripada membeli basikal baharu, hari ini.

    Anak mangsa, Lim Hon Shian, 20-an, berkata bapanya, Lim Lai Tiong, 63, ditemui terbaring kira-kira pukul 10 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran basikal baharu yang dibeli pada harga RM900.

    Menurut Hon Shian, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari selepas dihubungi ibu saudaranya.

    “Mendiang bapa akan keluar rumah awal pagi setiap hari. Kami tidak sedar dia keluar pagi tadi.

    “Apabila saya tiba di lokasi kejadian, saya menjumpai resit pembelian basikal bersamanya. Dia menunggang basikal baharu itu dan saya tidak tahu di mana dia tinggalkan basikal lamanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

    Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, untuk pemeriksaan lanjut.

    Sementara itu, saksi kejadian, Tuan Mazli Tuan Yaacob, 49, berkata dia berada di kawasan kedai berkenaan sekitar pukul 10 pagi sebelum dimaklumkan oleh pemilik premis mengenai seorang lelaki yang terbaring di atas kaki lima.

    “Kami melihat mangsa sudah meninggal dunia dengan wajah pucat kebiruan dan terdapat darah keluar dari hidungnya,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata laporan lanjut akan menyusul.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12882

  • Amaran ribut petir sehingga 8 malam melibatkan beberapa negeri

    Amaran ribut petir sehingga 8 malam melibatkan beberapa negeri

    PETALING JAYA 2 Dis – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka berterusan sehingga pukul 8 malam ini, melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

    Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk dijangka melanda Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu, selain turut menjejaskan daerah Kuantan di Pahang.

    “Selain itu, cuaca buruk bertumpu di Hulu Langat, Selangor serta Kuala Lumpur, manakala Jelebu dan Jempol di Negeri Sembilan turut terjejas,” menurut kenyataan itu.

    Di Sarawak, hujan serta ribut petir diramal berlaku di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan (Samarahan dan Simunjan), Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat), Kapit (Kapit) serta Bintulu.

    Bagi Sabah, amaran sama dikeluarkan untuk kawasan Tawau, melibatkan daerah Tawau, Kunak dan Semporna.

    MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan memantau perkembangan terkini amaran cuaca melalui laman web serta saluran rasmi jabatan berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12883

  • Kematian kadet Palapes UTM, Syamsul Haris diklasifikasikan kes bunuh – AGC

    Kematian kadet Palapes UTM, Syamsul Haris diklasifikasikan kes bunuh – AGC

    KUALA LUMPUR 2 Dis – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia, Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu siasatan berkaitan jenayah membunuh.

    Arahan itu dikeluarkan selepas AGC mendengar taklimat hasil laporan siasatan yang dibuka oleh pihak polis berhubung kematian mangsa.

    Terdahulu, media melaporkan hasil penemuan forensik daripada bedah siasat kedua ke atas mayat Syamsul mengesahkan kecederaan leher traumatik sebagai punca kematiannya.

    Peguam keluarga mangsa, Naran Singh, berkata laporan tersebut menunjukkan kecederaan berkenaan dialami ketika Syamsul masih hidup.

    Menurut beliau, pemeriksaan bedah siasat kali kedua dijalankan bersama-sama analisis gambar serta bahan histopatologi daripada pemeriksaan bedah siasat pertama.

    Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara supaya mengambil tindakan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan tersebut serta membawa pelaku ke muka pengadilan.

    Syamsul, 22, meninggal dunia semasa latihan Palapes di Ulu Tiram, Johor. Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, berkata beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada 28 Julai lalu.

    Pada 1 Ogos, Ummu menyatakan kepada sidang media bahawa beliau mengesyaki wujud unsur jenayah selepas melihat lebam dan mata berdarah pada mayat anaknya sebelum dikebumikan.

    Susulan itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos bagi mendapatkan perintah penggalian mayat, bedah siasat kedua serta inkues kematian, yang kemudiannya dibenarkan oleh Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada 26 Ogos lalu.

    Mayat Syamsul digali semula tiga hari kemudian dan bedah siasat kedua dilakukan serta-merta.

    Pada 26 Ogos, Unit Siasatan Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengesahkan telah mengambil alih keseluruhan siasatan kes berkenaan.

    Seterusnya, pada 18 September, Dusuki Mokhtar selaku Peguam Negara berkata sebarang keputusan sama ada inkues akan diadakan hanya akan dibuat selepas pihaknya menerima laporan penuh siasatan daripada polis, termasuk laporan bedah siasat kedua yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

    Pada 30 Oktober, Ummu sekali lagi memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad serta empat pihak lain bagi mendapatkan salinan laporan bedah siasat pertama.

    Dalam perkembangan terbaharu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M. Kumar dalam satu kenyataan petang ini berkata siasatan kes berkenaan akan diteruskan bagi mengenal pasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab, sebelum kertas siasatan dirujuk semula kepada AGC untuk arahan lanjut mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

    “Masyarakat diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara pihak polis melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12885

  • Pembeli berang, bayar RM3 dapat karipap ‘oksigen’

    Pembeli berang, bayar RM3 dapat karipap ‘oksigen’

    SINGAPURA – Seorang netizen kecewa apabila sebiji karipap yang dibeli pada harga SGD$1 (RM3) mempunyai inti yang sangat sedikit di Singapura, lapor portal berita Stomp hari ini.

    Dia membeli karipap tersebut di kedai Makan Melaka, Pusat Beli-Belah Boon Lay pada 28 November lalu.

    “Saya beli saiz besar seperti biasa tetapi lihatlah intinya. Tidak sampai separuh pun dan kebanyakannya bawang,” katanya.

    Pengguna berkenaan menjelaskan mengapa dia tidak memberitahu tentang karipap itu kepada kedai tersebut.

    “Saya sudah biasa dengan kejadian seperti ini, di mana mereka hanya buat tidak tahu, masuk telinga kiri keluar telinga kanan apabila kita beri maklum balas.

    “Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, saya rasa tiada gunanya bercakap dengan mereka dan lebih baik saya kongsi di Stomp supaya orang tahu apa yang mereka bayar,” ujarnya.

    Sebagai respons kepada pertanyaan Stomp, kedai Makan Melaka berkata, mereka menghargai maklum balas tersebut dan menambah: “Kami akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk memperbaiki perkhidmatan kami.” – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/01/pembeli-berang-bayar-rm3-dapat-karipap-oksigen/

  • Wanita Malaysia ditangkap bersama jongkong emas lebih RM600,000

    Wanita Malaysia ditangkap bersama jongkong emas lebih RM600,000

    SINGAPURA – Polis Singapura merampas beberapa jongkong emas bernilai kira-kira SGD$200,000 (RM638,000) daripada seorang wanita Malaysia berusia 73 tahun, lapor portal berita VnExpress semalam.

    Dia disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes penipuan menyamar sebagai pegawai kerajaan.

    Wanita itu ditangkap Isnin minggu lalu selepas seorang kakitangan peruncit emas dan perak, BullionStar, membuat laporan kerana dia berdiri secara mencurigakan di luar kedai mereka di New Bridge Road, demikian menurut kenyataan polis semalam.

    Siasatan awal menunjukkan bahawa wanita itu didakwa telah mengutip wang tunai dan emas daripada mangsa-mangsa penipuan di seluruh bandar raya tersebut, kata polis.

    Polis turut merampas SGD$200 (RM638) dalam bentuk tunai daripada suspek.

    Siasatan terhadap suspek masih dijalankan. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/01/wanita-malaysia-ditangkap-bersama-jongkong-emas-lebih-rm600000/

  • BMW tenggelam banjir Hatyai, kos baiki cecah RM30,000

    BMW tenggelam banjir Hatyai, kos baiki cecah RM30,000

    BUKIT KAYU HITAM – Seorang peniaga memaklumkan kos membersihkan kereta BMW 5 Series miliknya yang tenggelam sepenuhnya dalam banjir di Hatyai baru-baru ini mencecah kira-kira RM4,000, manakala kos pembaikan pula dianggarkan RM30,000. Kata Khairie Mohd. Sallehuddin, 37, kos menunda keretanya dari Hatyai ke sebuah bengkel di Kajang, Selangor pada Jumaat lalu sudah cecah RM2,800. “Kereta saya antara yang awal dikeluarkan sebelum ditunda ke Kajang. Saya dimaklumkan bahawa kos cuci saja RM4,000 kerana semua bahagian perlu dibuka untuk buang lumpur dan…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/02/bmw-tenggelam-banjir-hatyai-kos-baiki-cecah-rm30000/