Tag: JNJ-MEDIA

  • Shamsul Iskandar dan Albert Tei tiba di mahkamah untuk proses reman

    Shamsul Iskandar dan Albert Tei tiba di mahkamah untuk proses reman

    PUTRAJAYA – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama ahli perniagaan, Albert Tei tiba di Mahkamah Putrajaya sebentar tadi bagi mendapatkan permohonan reman.

    Kedua-dua mereka berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba kira-kira pukul 9 pagi sambil diiringi pegawai SPRM selain tangan bergari.

    Mereka kemudian di bawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan permohonan reman.

    Sebaik di bawa keluar dari van SPRM, Tei kemudian menjerit dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penahanannya itu.

    Bagaimanapun, Shamsul Iskandar dilihat tenang dan mendiamkan diri ketika di bawa masuk ke dalam mahkamah.

    Terdahulu, peguam Shamsul Iskandar dan Tei dilihat turut tiba dan mereka tiba lebih awal di mahkamah bagi mengikuti proses reman itu.- KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/shamsul-iskandar-dan-albert-tei-tiba-di-mahkamah-untuk-proses-reman/?fbclid=IwZXh0bgNhZW0BMQBzcnRjBmFwcF9pZAo2NjI4NTY4Mzc5AAEelmks3XsCVag2_jYs3fjtZuVco1YdMxdykb1FqdnNUmB58rBl734-V0DXJyY_aem_8rQ5CFTqvvEDofoPSSFD6Q

  • He-Man Of Bollywood benar-benar telah pergi

    He-Man Of Bollywood benar-benar telah pergi

    SELURUH industri perfileman Bollywood kini berduka dengan pemergian bintang legenda Dhamendra yang menghembuskan nafas terakhir Isnin lalu pada usia 90 tahun di kediamannya di Mumbai.

    Dharmendra atau nama sebenarnya Dharmendra Kewal Krishan Deol meninggal dunia selepas dua minggu berita palsu kematiannya tersebar.

    Awal November lalu, aktor yang mendapat julukan He-Man Of Bollywood itu dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.

    Selepas berita palsu mengenai kematiannya tular, Dharmendra dibenarkan pulang dari hospital dan berehat di rumah.

    Pemergian bintang legenda itu merupakan satu kehilangan besar buat industri perfileman Bollywood kerana telah bergiat aktif selama enam dekad sebagai anak seni.

    Sepanjang penglibatannya, Dharmendra telah membintangi lebih 300 filem antaranya Yaadon Ki Baaraat, Sholay dan Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani.

    Dharmendra bukan sahaja dikenali kerana bakatnya, tetapi juga kerana ketampanan serta sifat maskulinnya sebagai hero filem.

    Sejarah penglibatan Dharmendra dalam industri perfileman Bollywood bermula pada 1960 apabila memenangi pertandingan pencarian bakat.

    Ketika itu dia sudah berkahwin dan memiliki empat zuriat termasuklah Sunny Deol dan Bobby Deol yang kini merupakan aktor terkenal Bollywood.

    Selepas bergandingan dengan aktres jelita, Hema Malini mereka jatuh cinta dan berkahwin. Mahligai bahagia itu diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata termasuk Esha Deol.

    Pemergian Dharmendra dianggap pengakhiran sebuah era dalam dunia perfileman Bollywood. Ramai selebriti dan tokoh ternama berkongsi ucapan takziah dan penghormatan atas jasa dan warisannya.

    Antara yang memberi penghormatan ialah rakan pelakon, penerbit serta tokoh politik. Mereka menggambarkan betapa besar pengaruh dan penghargaan terhadap beliau bukan sahaja dalam bidang seni tetapi juga dalam kalangan masyarakat.

    Amitabh Bachchan menerusi hantarannya dalam aplikasi X meluahkan rasa sedih di atas pemergian sahabatnya itu dan menyifatkan industri Bollywood kehilangan permata hebat.

    “Seorang lagi bintang besar telah meninggalkan kita. Dharmendra merupakan pelakon hebat yang dikenali bukan sahaja kerana fizikalnya tetapi kebesaran hati dan sikap sederhananya.

    “Dia membawa sifat membumi dari kampung halamannya di Punjab dan kekal bersama jati dirinya biarpun diulit kemahsyuran,” tulisnya.

    Shah Rukh Khan pula menganggap Dhamendra seperti bapa kandungnya dan mengakui pemergian legenda hebat cukup berbekas di hati.

    “Bersemadilah dengan tenang. Anda ibarat bapa kepada saya. Terima kasih kerana sentiasa menyayangi dan merahmati saya. Kehilanganmu tiada ganti bukan sahaja buat keluarga tetapi juga industri filem Bollywood dan pencinta filem seluruh dunia. Anda akan kekal abadi dalam ingatan kami semua. Sentiasa menyayangi anda,” tulisnya dalam X.

    Sementara itu, Priyanka Chopra pula berterima kasih kepada mendiang Dhamendra kerana mempercayai bakatnya apabila menjadi penerbit pertama yang menawarkan tawaran filem kepadanya.

    “Pada 2001, saya menandatangani filem pertama di bawah syarikat produksi milik Dharmendra dan anaknya.

    “Mendiang dan keluarganya sangat baik. Mereka buat saya rasa diterima dalam industri Bollywood meski ketika itu belum dikenali sesiapa. Saya masih mentah dan tercari-cari arah ketika itu.

    “Saya mengenali keluarga Deol sejak awal pembabitan dalam bidang lakonan. Saya banyak berlakon dengan Sunny dan Bobby. Mereka telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya dan kerana itu saya dapat merasakan apa yang mereka rasa apabila kehilangan mendiang.

    “Dharmendra ibarat magnet. Dia mengisi setiap bingkai layar dengan senyuman dan karisma. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar. Tetapi warisannya tetap kekal,” coret Priyanka dalam hantarannya.

    Filem terakhir lakonan mendiang iaitu Ikkis bakal ditayangkan di pawagam pada 25 Disember depan.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/he-man-of-bollywood-benar-benar-telah-pergi/

  • Anak yang SPM, Bell Ngasri pula macam budak sekolah

    Anak yang SPM, Bell Ngasri pula macam budak sekolah

    BELL Ngasri sekali lagi berjaya mencuri perhatian netizen selepas memuat naik foto anak lelakinya, Nasfazril yang kini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    “Gambar sebelum dan selepas SPM.

    “Jangan hempas telefon bimbit masing-masing. Kalau tak mahu jadi sebelah itu, buat yang terbaik dan selamat menduduki SPM. (Gambar betul, bukan kecerdasan buatan (AI)),” katanya.

    Susulan perkongsian tersebut, ramai memuji ketampanan Nasfazril selain Bell diusik masih kelihatan seperti remaja berusia 17 tahun, seumur dengan anak lelakinya.

    “Sampai tak tahu beza yang mana satu umur 17 tahun, Bell nampak sebaya dengan anak.

    “Tengok pun sudah gelak sampai sakit perut. Ini macam dua-dua

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/anak-yang-spm-bell-ngasri-pula-macam-budak-sekolah/

  • Anggota polis disahkan mangsa lemas di Giching, Sepang

    Anggota polis disahkan mangsa lemas di Giching, Sepang

    SEPANG – Polis mengesahkan mangsa yang dikhuatiri lemas berhampiran Klinik Desa Giching, di sini malam tadi adalah seorang anggota polis.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. “Mangsa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai,” katanya.

    Katanya, kejadian berlaku kira-kira 10.20 malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan. Berdasarkan maklumat dikongsi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa dikenali Muhammad Rahimi Amirudin, 23.

    Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pemandu kereta dipercayai lemas selepas kereta Perodua Bezza yang dinaikinya terbabas ke dalam parit berhampiran Klinik Desa Giching, malam tadi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/anggota-polis-disahkan-mangsa-lemas-di-giching-sepang/

  • Puluhan ribu ikan timbul di permukaan laut

    Puluhan ribu ikan timbul di permukaan laut

    JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di Demak, wilayah Jawa Tengah terkejut apabila menemui berpuluh-puluh ribu ikan timbul di permukaan laut dalam keadaan perut mengembung, lapor laman berita Detik.

    Rakaman video kejadian dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infodemakraya, menunjukkan bangkai ikan-ikan itu terapung di permukaan air di tepi pantai.

    Setiausaha Badan Lingkungan Hidup (DLH) Demak dikenali sebagai Sudarwanto berkata, kejadian itu berlaku di Desa Bedono semalam.

    “Saya mengerahkan sebuah pasukan untuk memeriksa sampel di lokasi berkenaan.

    “Kemunculan ikan itu dipercayai berkait dengan pembinaan tol berhampiran perairan tersebut. Kita akan semak tahap kemanisan dan suhu air,” kata Sudarwarnto.

    Rakaman itu mencatatkan lebih 7,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.

    “Tinggal ambil untuk dijadikan ikan masin,” kata seorang netizen. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/puluhan-ribu-ikan-timbul-di-permukaan-laut/

  • ‘Kau bukan brader, tinggal kami semasa perang bermula’

    ‘Kau bukan brader, tinggal kami semasa perang bermula’

    PETALING JAYA – Menyempurnakan ulang tahun empat dekad dengan bergaya, kumpulan rock ikonik Wings menzahirkan perasaan berkaitan setia kawan dan pengkhianatan menerusi segmen khas di Konsert Wings 40 Tahun, malam tadi.

    Vokalisnya, Datuk Awie memaklumkan seleksi lagu jiwa luka itu didedikasikan buat mereka yang mengkhianati.

    “Lagu seterusnya buat mereka yang telah pergi, pergi mengkhianati peperangan dan perjuangan ini, hukum karma. Segala perbuatan pasti ada kifarahnya.

    ‘Kau bukan brader, tinggalkan kami semasa perang bermula. Pergi seperti lipas kudung tanpa berita, meninggalkan harapan. Kini harapan telah berubah. Bukan Gunung Ledang yang kami kejar tapi puncak Everest mahu kami jajahi.

    “Pergilah, pergilah, biarkan ianya berlalu. Mari kita nyanyian bersama rangkaian lagu jiwa luka,” katanya penuh makna tersirat yang kemudian disambut sorakan lebih 5,000 penonton.

    Menegaskan Wings tetap ampuh berdiri, Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman bersama Edrie dan Syam mengakui reda untuk terus mempertahankan band tersebut meski berdepan pelbagai cabaran.

    “Biar dihiris, ditiris, digilis oleh binasa bazooka penaka. Biar dicekik, dipukul, diherdik, kami takkan menangis. Wing tetap akan terbela,” ujarnya lagi.

    Pada segmen berkenaan, Wings yang beraksi di Idea Live Arena Damansara, membawakan lagu Kau Bukan Brader, Lipas Kudung, Harapan serta Mabuk 7 Lautan yang setiap satu menterjemah mesej tersendiri.

    Malam tadi, selain Edrie dan Syam selaku pemain gitar utama, konsert berkenaan dimantapkan pemain dram, Pae daripada Dragon Malaya serta pemain gitar bes, Ilham Ishak, menggantikan Black dan Eddie.

    Kedua-dua anggota asal Wings tersebut meninggalkan posisi mereka secara mengejut pada 8 Oktober lalu iaitu ketika persediaan akhir Konsert Wings 40 Tahun tanpa menghebahkan punca pengunduran.

    Sementara itu, band berkenaan memulakan aksi tepat pukul 8.30 malam sekali gus merealisasikan keraian 40 tahun penubuhan mereka bersama hampir 40 lagu sejak album Belenggu Irama yang diterbitkan pada tahun 1987.

    Antara dendangan termasuk Jerangkung Dalam Almari, Sekeping Kertas Bermaruah, Taming Sari, Kota Kemusnahan, Ingat kan Dia, Tirai Horizon, Bazooka Penaka, Romania, Rantai, Potret Monalisa dan Awang Thrasher.

    Wings yang ditubuhkan pada 1985 itu turut memotong kek ulang tahun mereka pada pertengahan aksi untuk menyambut detik bersejarah bersama peminat tegar iaitu Sayap Sayap Wings

    Mereka juga diiringi kumpulan vokal harmoni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketika menyampaikan lagu Taman Rashidah Utama, Perhentian serta Bernafas Dalam Lumpur. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/buat-yang-pergi-segala-perbuatan-pasti-ada-kifarahnya-awie/

  • Sebelum marah, pastikan fakta betul – Aisha Retno dikecam isu batik

    Sebelum marah, pastikan fakta betul – Aisha Retno dikecam isu batik

    KUALA LUMPUR – Penyanyi Aisha Retno tidak menyangka dikecam teruk selain mencetuskan perbalahan hangat antara netizen Malaysia dan Indonesia hanya kerana tindakannya berkongsi informasi batik Malaysia kepada Ariana Grande dan Cynthia Erivo

    Ujar Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, dia terkilan apabila momen manis bertemu bintang Hollywood itu bertukar menjadi medan perdebatan budaya hingga ada pihak mempertikai asal-usul seni tekstil berkenaan.

    “Sejujurnya saya ada darah Indonesia dan Malaysia. Walaupun kad pengenalan saya menunjukkan saya rakyat Malaysia, di rumah kami tetap mengamalkan budaya Indonesia. Ibu saya memang berasal dari sana.

    “Bila isu ini timbul, saya hanya mampu melihat. Setiap orang ada pandangan tersendiri, ada yang boleh diterima, ada juga yang pahit.

    “Apa sahaja yang kasar, saya ambil positif dan jadikan pembelajaran,” katanya kepada Kosmo! Online.

    “Saya ada terima DM agak ekstrem, sampai berbentuk ugutan. Pada mulanya saya rancang nak buat video penjelasan.

    “Namun selepas fikirkan semula, saya rasa respons balas dalam TikTok dan DM sudah cukup,” ujarnya pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular Ke-37 (ABP37), baru-baru ini.

    Inginkan kepastian, Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL28) itu turut mendapatkan pandangan rakan-rakan Indonesia untuk memastikan kenyataannya tidak menyinggung mana-mana pihak.

    “Saya ada tanya rakan-rakan Indonesia, adakah kenyataan saya itu menimbulkan masalah? Mereka kata tiada salah langsung.

    “Mereka memang tahu Malaysia juga ada seni batik tersendiri. Mungkin ini jadi pengajaran pada saya untuk lebih berhati-hati berkongsi informasi selepas ini.

    “Walaupun ramai kata saya tak buat salah, saya tak suka menuding pada sesiapa,” jelasnya.

    Tambahnya, walaupun hari tersebut sepatutnya menjadi kenangan indah bertemu idola, namun Aisha memilih untuk melihat segala yang berlaku sebagai ruang pembelajaran.

    “Walau apa pun orang kata, sama ada negatif atau berbentuk ugutan, saya anggap macam angin lalu walaupun mental sedikit terkesan.

    “Pada hari itu saya bertemu idola yang saya sanjung, tetapi tular isu lain pula. Walaupun ada benda yang baik dan buruk, saya terima sebagai anugerah Allah. Allah Maha Adil. Saya terima semuanya dengan hati terbuka.

    “Nasihat saya, sebelum marah, pastikan fakta betul. Zaman sekarang semua di hujung jari,” tegasnya.

    Terdahulu, Aisha berdepan kecaman susulan tindakannya menghadiahkan batik Malaysia kepada Ariana Grande dan Cynthia Erivo ketika tayangan perdana Wicked: For Good di Singapura.

    Dalam video dikongsinya sebelum ini, Aisha dilihat memperkenalkan batik Malaysia kepada kedua-dua bintang berkenaan, sekali gus mencetuskan perbalahan budaya dalam kalangan netizen serantau. – KOSMO! ONLINE.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/sebelum-marah-pastikan-fakta-betul-aisha-retno-dikecam-isu-batik/

  • MPV boleh muat 42 orang

    MPV boleh muat 42 orang

    BEIJING – Sebuah van mini buatan China menempa nama dalam Guinness World Records selepas kenderaan elektrik jarak jauh (EREV) itu memuatkan seramai 42 orang, lapor portal berita Car News China.

    Geely Galaxy V900 mencatatkan rekod dunia untuk bilangan orang paling banyak yang dimuatkan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV).

    Percubaan memecahkan rekod dunia itu melibatkan kira-kira 42 penari wanita dengan purata ketinggian 170 sentimeter pada 27 Oktober lalu.

    Keluasan kabin Galaxy V900 adalah 8.41 meter persegi dengan jarak antara barisan tempat duduk melebihi 1 meter, manakala kadar penggunaan ruang mencecah 91.8 peratus.

    Model tersebut menampilkan dua varian berbeza iaitu enam tempat duduk dan lapan tempat duduk. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/mpv-boleh-muat-42-orang/

  • Bandar Hatyai lumpuh, bagai dilanda tsunami

    Bandar Hatyai lumpuh, bagai dilanda tsunami

    BUKIT KAYU HITAM – Bandar Hatyai kini lumpuh selepas kawasan tersebut terjejas teruk seolah-olah dibadai tsunami akibat banjir besar yang melanda minggu lalu.

    Semua premis perniagaan dan hotel mengalami kerosakan serius berikutan banjir yang menenggelamkan keseluruhan tingkat bawah bangunan selain arus deras.

    Sementara itu, ribuan kenderaan termasuk milik pelancong Malaysia diselaputi lumpur dengan sebahagiannya terbalik dan bertindan antara satu sama lain.

    Difahamkan, kira-kira 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia terkandas di sana.

    Menurut Pegawai Perhubungan Antarabangsa Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini, keadaan di Hatyai selepas banjir amat teruk dan dijangka mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya.

    “Saya baru balik dari Hatyai kelmarin, keadaan di sana sangat menyedihkan seperti dilanda tsunami. Hampir semua kedai dan hotel rosak, kenderaan terbalik di sana sini.

    “Dilaporkan terdapat ratusan kematian, namun setakat ini tidak membabitkan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

    Beliau berkata, kedai makan yang diusahakannya di Hatyai turut terjejas apabila tingkat bawah ditenggelami air sehingga paras siling selain sebuah kereta dan dua motosikal rosak terendam.

    “Rumah saya pula dinaiki air hampir mencecah tingkat dua. Saya bersyukur isteri saya yang berada di sana semasa kejadian selamat,” katanya yang juga Exco Majlis Belia Negeri Kedah.

    Menurutnya lagi, penduduk belum dapat membersihkan premis dan kediaman masing-masing berikutan ketiadaan bekalan air serta elektrik.

    “Hatyai sekarang memang tak ada apa untuk dikunjungi rakyat Malaysia, semua hotel terjejas dan mungkin ambil masa lebih sebulan untuk pulih,” jelasnya.

    Tambahnya, proses untuk membawa keluar kenderaan milik rakyat Malaysia yang tersadai di kawasan terjejas sedang dijalankan.

    “Kebanyakan kenderaan berkemungkinan tidak dilindungi insurans bencana banjir, jadi pemilik perlu menanggung sendiri kos pembaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/bandar-hatyai-lumpuh-ambil-masa-pulih-sepenuhnya/

  • ‘Rezeki mencurah tapi seorang diri, semua terasa berat’

    ‘Rezeki mencurah tapi seorang diri, semua terasa berat’

    KUALA LUMPUR – Meskipun rezeki seni terus melimpah-ruah, pelakon Kamal Adli mengakui 2025 bukan tahun mudah buat dirinya, sebaliknya penuh cabaran peribadi.

    Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, rezeki yang datang membantu mengurangkan sedikit tekanan, namun tidak menutup rasa kosong dalam diri.

    “Ramai ingat tahun ni tahun saya. Tahun depan pun konon tahun saya juga. Tapi jujur, bukan. Tahun ni sebenarnya tahun Abang Jamil (Que Haidar). Saya cuma menumpang.

    “Alhamdulillah, cuma tahun ini tahun duka saya sebenarnya. Tahun berat untuk saya. Saya terus bekerja tanpa henti. Dalam saya melalui tempoh sukar, Allah bagi juga sedikit rezeki untuk buat saya senyum.

    “Tapi saya tetap perlu teruskan. Saya seorang-seorang di rumah, itu yang buat semuanya terasa berat,” katanya dalam Kosmo! Online.

    Tambah pelakon Dia Imamku itu, ada perkara peribadi yang tidak perlu dikongsikan kepada umum, namun cukup untuk memberi kesan mendalam pada rutin hariannya.

    “Susah sebenarnya sebab saya seorang. Saya seorang kat rumah dan perkara itu tak seronok.

    “Kalau tak shooting saya rasa habis saya kat rumah tu kan. Mungkin saya akan mula melukis gambar kat dinding kan. Saya tiba-tiba belajar memasak ke.

    “Ada benda orang tak tahu dan saya tak perlu kongsi. Memang susah sebenarnya. Walaupun rezeki masuk, jiwa tetap kosong. Ini soal hati,” ujarnya pada Meet and Greet duta Jakel 2026, di sini, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Kamal diumumkan sebagai duta raya Jakel untuk tahun hadapan bersama pelakon Que Haidar dan Elly Mazlein.

    Sebelum ini, rumah tangga Kamal berdepan ujian apabila isterinya, Uqasha Senrose, memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman.

    Pasangan itu berkahwin pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 19 bulan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/29/rezeki-mencurah-tapi-seorang-diri-semua-terasa-berat/