Tag: JNJ-MEDIA

  • 57 ‘scammer’ di tahan, polis tumpas 8 sindiket penipuan dalam talian di Kuala Lumpur

    57 ‘scammer’ di tahan, polis tumpas 8 sindiket penipuan dalam talian di Kuala Lumpur

    KUALA LUMPUR 28 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan lapan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di sekitar ibu negara menerusi beberapa operasi khas yang dijalankan minggu lalu.

    Operasi tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur dengan kerjasama polis daerah dan kontinjen, bermula 10 hingga 14 November lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil serbuan ke atas beberapa lokasi yang dijadikan pusat operasi haram itu membawa kepada penahanan 57 individu, terdiri daripada 52 warga asing dan lima warga tempatan.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati semua individu ditahan berperanan sebagai ‘pekerja’ sindiket yang terlibat dalam pelbagai jenis penipuan termasuk tawaran pekerjaan palsu dan penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

    “Sindiket ini dipercayai menyasarkan mangsa dalam kalangan warga asing sama ada di dalam atau di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau menjelaskan, kesemua suspek telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan dengan pihak berwajib sebelum membuat sebarang transaksi kewangan, khususnya yang melibatkan tawaran pekerjaan dan pelaburan melalui platform dalam talian.

    Sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah boleh disalurkan menerusi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12803

  • Tak bayar gaji, kurung lepas kerja, lapan ejen didakwa eksploitasi 43 pekerja Indonesia

    Tak bayar gaji, kurung lepas kerja, lapan ejen didakwa eksploitasi 43 pekerja Indonesia

    KLANG 28 Nov – Lapan ejen sebuah syarikat pembersihan termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 174 pertuduhan memperdagangkan dan mengeksploitasi 43 wanita warga Indonesia untuk tujuan buruh paksa, bulan lalu.

    Dua beradik terbabit, Ng Thir Ngin, 45, dan kakaknya Ng Ser Wei, 48, bersama Mohd Syakir Hanin Mohd Wazer, 39; Ng Chun Hou, 44; Lim Xin Jie, 30; dan Lim Wei Jian, 28, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

    Turut mengaku tidak bersalah ialah dua tertuduh warga Indonesia, Ismaidah, 38, dan Siti Nurjanah Menah, 36.

    Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa memperdagangkan 43 wanita Indonesia berusia antara 20 hingga 44 tahun dengan tujuan eksploitasi kerja melalui penyalahgunaan kedudukan mangsa yang terdedah kepada ancaman pemerdagangan manusia.

    Pertuduhan dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 dan 11 Oktober lalu di beberapa lokasi sekitar Klang termasuk Bandar Bukit Tinggi 2, Bandar Bestari dan Bandar Botanik.

    Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta memohon syarat tambahan ke atas dua tertuduh warga asing iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

    Peguam Harpal Singh merayu jaminan secara kolektif bagi semua anak guamnya.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan sebanyak RM470,000 bagi kesemua tertuduh dan membenarkan syarat tambahan terhadap dua tertuduh warga asing terbabit. Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Januari tahun depan.

    Bulan lalu, polis dilaporkan menyelamatkan 49 wanita Indonesia dalam serbuan ke atas lima premis kediaman di sekitar Klang.

    Mangsa dipercayai dipaksa bekerja sebagai pekerja pembersihan harian tanpa menerima gaji, malah dikawal ketat dan dikurung selepas waktu kerja.

    Operasi menyelamat dijalankan oleh Bahagian D3 Bukit Aman bersama Pejabat Strategik Nasional MAPO (NSO MAPO) menerusi Ops Pintas Tip (Buruh Paksa) dari 10 hingga 13 Oktober lalu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12804

  • SPRM tahan tiga individu termasuk Shamsul Iskandar, bantu siasatan dakwaan rasuah babit Albert Tei

    SPRM tahan tiga individu termasuk Shamsul Iskandar, bantu siasatan dakwaan rasuah babit Albert Tei

    PUTRAJAYA 28 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemberian wang oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes berkepentingan awam dan tindakan pantas diambil bagi mengelakkan sebarang manipulasi atau spekulasi pihak tertentu.

    “Kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan atas faktor itu SPRM menjalankan siasatan segera supaya tidak dimanipulasi mana-mana pihak.

    “Ketiga-tiga individu iaitu Shamsul Iskandar, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong, telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Azam, Sofia Rini ditahan pada 27 November 2025, jam 10.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

    Beliau berkata, Mahkamah Majistret Putrajaya melalui Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan Sofia Rini direman selama empat hari sehingga 1 Disember ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Azam memaklumkan Albert Tei yang pada asalnya dijadual hadir memberi keterangan pada 1 Disember, kemudian diminta tampil lebih awal namun didakwa enggan berbuat demikian.

    “Albert Tei ditahan pada 28 November 2025 jam 10.15 pagi di kediamannya. Beliau merupakan individu paling penting dalam membantu siasatan kes ini,” katanya.

    Menurutnya lagi, SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert Tei, yang memberi kuasa kepada penyiasat untuk menafikan hak berhubung peguam atau mana-mana pihak sepanjang proses tertentu siasatan.

    Sementara itu, Shamsul Iskandar ditahan pada jam 12.51 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12805

  • ‘Tiada siapa terkecuali dari undang-undang’ – Anwar tidak lindung Shamsul Iskandar jika terbabit rasuah

    ‘Tiada siapa terkecuali dari undang-undang’ – Anwar tidak lindung Shamsul Iskandar jika terbabit rasuah

    PUTRAJAYA 28 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan melindungi mana-mana individu, termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sekiranya terbukti terbabit dalam salah laku atau rasuah.

    Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata pendirian tegas itu disuarakan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada Jumaat.

    “Tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

    Menurut Fahmi, Perdana Menteri turut mengingatkan semua anggota Jemaah Menteri supaya sentiasa memantau pegawai masing-masing dan tidak melindungi sesiapa sekiranya berlaku sebarang salah laku.

    Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi mengesahkan Shamsul Iskandar telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada Selasa lalu, dipercayai susulan pendedahan oleh ahli perniagaan, Albert Tei yang mendakwa memberi lebih RM600,000 kepada bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.

    Dakwaan itu dikaitkan dengan alasan kononnya Shamsul Iskandar diyakinkan boleh mendapatkan semula wang yang sebelum ini disalurkan kepada beberapa ahli politik di Sabah.

    Selain itu, tular di media sosial berhubung sepucuk surat bertarikh 6 Mei 2024 yang didakwa ditandatangani oleh seorang setiausaha politik Perdana Menteri, yang ditujukan kepada pembantu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

    Surat itu dikatakan meminta pertimbangan terhadap enam kontraktor bagi satu projek hospital di Muar.

    Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada Khamis lalu menamakan Shamsul Iskandar sebagai individu yang menulis surat sokongan tersebut.

    Sementara itu, pada 18 November lalu, Perdana Menteri mendedahkan dalam Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya itu dan menegaskan bahawa tindakan seumpama itu tidak selaras dengan prinsip serta peraturan Kerajaan Perpaduan.

    Sehubungan itu, beberapa pihak termasuk pembangkang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera dan telus terhadap semua dakwaan yang dikemukakan.

    Mengulas mengenai masa depan politik Shamsul Iskandar, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan dibuat di peringkat parti.

    “Belum ada perbincangan lanjut mengenai sebarang jawatan politik beliau. Kita mungkin perlu menunggu sehingga mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang akan datang,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12806

  • Lelaki ceroboh tandas wanita untuk merakamditangkap selepas seminggu diburu

    Lelaki ceroboh tandas wanita untuk merakamditangkap selepas seminggu diburu

    KUALA TERENGGANU 28 Nov – Seorang lelaki yang disyaki menceroboh dan cuba merakam video seorang wanita dalam tandas sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini akhirnya diberkas polis selepas seminggu diburu.

    Suspek berusia 24 tahun itu ditahan dalam satu operasi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kira-kira jam 11 pagi, pada Jumaat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata tangkapan dibuat di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Merbau, Kampung Bukit Kecil, Setiu.

    “Siasatan awal mendapati suspek mengaku memasuki tandas wanita untuk merakam video wanita di dalam tandas, namun tidak sempat berbuat demikian kerana telefon bimbitnya disimbah air oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

    Sebelum ini, pada 22 November lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa polis sedang memburu seorang lelaki memakai kemeja-T putih tertera tulisan ‘Aku Kuat, Aku Ultraman’ yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut. Lelaki itu dilihat melarikan diri dari lokasi kejadian berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    Azli berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada Sabtu bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan, dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan mengaibkan kehormatan,” ujarnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12809

  • SPRM nafi dakwaan pegawai acu senjata pada ahli perniagaan

    SPRM nafi dakwaan pegawai acu senjata pada ahli perniagaan

    KUALA LUMPUR 28 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa pegawainya mengacukan senjata ke kepala ahli perniagaan, Albert Tei, ketika melakukan tangkapan terhadap individu tersebut.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tangkapan yang dilakukan di rumah ahli perniagaan itu hari ini dijalankan sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat pada hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap fitnah yang dibuat ke atas pegawai SPRM berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Azam menjelaskan, laporan polis itu juga dibuat bagi memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan kes sedang dijalankan oleh SPRM.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12810

  • Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan

    Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan

    BANGKOK 28 Nov – Sebilangan penduduk di Hatyai, wilayah Songkhla, dilihat mengambil barangan tanpa membuat bayaran dari sebuah kedai serbaneka yang rosak akibat banjir besar, lapor portal berita Thaiger hari ini.

    Tindakan itu mencetuskan perbualan di media sosial mengenai sama ada perbuatan berkenaan boleh diterima dalam situasi kecemasan.

    Seorang pengguna TikTok, @naruponnut, semalam memuat naik klip video yang memaparkan keadaan dalam kedai berkenaan yang dinaiki air dengan tingkap hadapan pecah.

    Orang ramai kelihatan memasukkan snek dan minuman ke dalam beg masing-masing selepas banjir yang melanda bandar pelancongan Hatyai sejak 21 November lalu mula surut semalam.

    Klip video tersebut turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.

    Sebahagian netizen berpendapat barangan itu mungkin akan dibuang akhirnya, justeru mengambil makanan dan minuman dalam situasi banjir boleh dianggap wajar bagi mangsa yang memerlukan.

    Ada juga yang menyatakan bahawa ketika kecemasan, orang ramai seharusnya dibenarkan mengambil bekalan asas demi kelangsungan hidup.

    Namun, beberapa pengguna lain menegaskan bahawa tanpa mengira keadaan, mengambil barangan dari premis tanpa kebenaran tetap merupakan perbuatan mencuri.

    Setakat ini, pengendali kedai serbaneka berkenaan, CP All, serta pihak polis di Thailand masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12811

  • Masalah Liverpool semakin kritikal

    Masalah Liverpool semakin kritikal

    LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak mahu terlalu memikirkan mengenai masa depannya di Anfield selepas merekodkan kekalahan kesembilan apabila kali ini diaibkan 1-4 oleh PSV Eindhoven di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.

    Slot menjelaskan beliau tiada ‘kuasa’ menutup mulut pengkritik memandangkan situasi pasukan ketika ini berada pada tahap terendah, tewas tiga kali berturut-turut sejak menang ke atas Real Madrid awal bulan ini.

    “Sama ada adil atau tidak (berbicara tentang masa depan), saya tidak fikir ia adalah perkara penting kerana itu adalah normal dan saya dapat memahaminya.

    “Ia adalah satu perkara biasa jika orang memberikan pendapat apabila pasukan mencatatkan jumlah kekalahan seperti kami hadapi sekarang.

    “Adil atau tidak, biar orang yang menilai. Jika ada pasukan sering kalah seperti kami, orang pasti akan mula bercakap mengenainya,” katanya.

    Couhaib Driouech meledak dua gol buat PSV diikuti dua lagi daripada Ivan Perisic dan Guus Til, manakala gol tunggal Liverpool di Anfield dihasilkan oleh Dominik Szoboszlai.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/masalah-liverpool-semakin-kritikal-2/

  • Terkedu kebun cili tenggelam

    Terkedu kebun cili tenggelam

    MARANG – Seorang petani termenung kesedihan selepas 600 batang pokok cilinya musnah ditenggelami banjir di Kampung Binjai Rendah di sini kelmarin.

    Mohd. Faizul, 39, berkata, pokok-pokok cili yang diusahakannya secara fertigasi tersebut sepatutnya mampu mengeluarkan hasil keseluruhan kira-kira 1.2 tan apabila tiba masa me­nuai.

    “Air naik dengan cepat sehingga tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan pokok-pokok cili tersebut.

    “Saya berdoa sekurang-kurangnya sebahagiannya masih bertahan selepas banjir surut nanti,” katanya.

    Menurut Mohd., dia mula mengusahakan kebun cili secara fertigasi itu pada bulan September lalu dengan modal RM15,000.

    Tambahnya, kampung itu tidak pernah dilanda banjir seteruk itu, namun dia reda de­ngan ujian tersebut.

    “Musibah ini pengalaman berharga saya untuk terus gigih bertani pada masa hadapan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/terkedu-kebun-cili-tenggelam/

  • Mayat budak hanyut ditemui tersangkut dahan pokok

    Mayat budak hanyut ditemui tersangkut dahan pokok

    ALOR GAJAH – Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat di Taman Bidara Permai semalam ditemui lemas kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.

    Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 8.35 malam dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok yang tersekat di dalam longkang berkenaan.

    “Satu mayat kanak-kanak lelaki dipercayai mangsa ditemui tersangkut pada dahan pokok yang tersekat di dalam longkang pada jarak 600 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

    “Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk pengesahan identiti,” katanya kepada pemberita malam tadi.

    Mengulas lanjut beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat selama dua jam setengah itu dilakukan 10 anggota Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dan Melaka Tengah.

    “Kita menggunakan kaedah penggerakan pantas untuk pasukan PPDA disebabkan paras air tinggi dan deras.

    “Pencarian perlu dimulakan di permukaan air untuk mengelakkan mangsa bergerak lebih jauh, sekali gus radius pencarian bertambah luas,” jelasnya.

    Terdahulu, Kosmo! malam tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Taman Bidara Permai, di sini kira-kira pukul 5.45 petang.

    Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan pasukan bomba meliputi kawasan tadahan air berhampiran.- KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/28/mayat-budak-hanyut-ditemui-tersangkut-pada-dahan-pokok/