Tag: JNJ-MEDIA

  • Lebih 10,000 akaun palsu guna identiti YDPA, Raja Permaisuri dipadam

    Lebih 10,000 akaun palsu guna identiti YDPA, Raja Permaisuri dipadam

    KUALA LUMPUR 31 Mac – Sebanyak lebih 10,000 akaun palsu yang menyalahgunakan identiti Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong serta ahli keluarga diraja telah diturunkan sejak awal tahun ini.

    Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan tegas itu dilakukan oleh platform media sosial hasil pemantauan berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 1 Januari hingga 28 Mac lalu.

    Beliau menjelaskan bahawa trend penyalahgunaan identiti melibatkan Sultan Pahang, Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Sultan Johor juga dikesan berlaku hampir setiap hari.

    “Semalam, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai beberapa perkara yang membimbangkan. MCMC mendapati lebih 10,000 akaun palsu yang menyamar sebagai Seri Paduka Baginda dan ahli keluarga diraja telah dipadamkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan Simposium Penyiaran Digital Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) 2026 (DBS 2026) di sini, hari ini.

    Susulan itu, Sultan Ibrahim telah menitahkan Kementerian Komunikasi dan MCMC untuk mengambil tindakan segera dan tegas, termasuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Onsa) 2025 bagi memastikan platform media sosial mematuhi undang-undang negara.

    Fahmi turut melahirkan rasa kesal terhadap penyedia platform Meta yang disifatkan sangat lambat dan tidak serius dalam menangani isu tersebut, sehingga mencetuskan kekecewaan pihak kementerian.

    “Kami akan menguatkuasakan Onsa dengan tegas. Dijangkakan dalam tempoh beberapa minggu lagi, selepas beberapa instrumen subsidiari digazetkan oleh Jabatan Peguam Negara, penguatkuasaan penuh dapat dimulakan,” tegasnya.

    Langkah ini dianggap kritikal bagi mengelakkan identiti diraja dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan dan pelbagai aktiviti skam.

    Selain itu, satu mesyuarat bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh usaha menangani penipuan melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), termasuk penipuan ‘deepfake’.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14985

  • MCMC beri amaran keras, organisasi media dilarang siar kandungan tragis demi ‘view’

    MCMC beri amaran keras, organisasi media dilarang siar kandungan tragis demi ‘view’

    PUTRAJAYA 31 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan peringatan tegas kepada semua organisasi media agar mengamalkan pertimbangan editorial yang tinggi serta mematuhi standard etika dalam mengendalikan kandungan sensitif.

    Peringatan itu merujuk kepada pelaporan membabitkan kes kemalangan, tragedi, dan insiden kehilangan nyawa yang sering kali dieksploitasi di platform digital.

    MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyebaran imej atau video bersifat eksplisit yang memaparkan mangsa meninggal dunia adalah tindakan tidak sensitif serta tidak menghormati maruah mangsa dan perasaan ahli keluarga.

    “Usaha mendapatkan tontonan (views) tidak boleh mengatasi nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. Kandungan sedemikian dianggap tidak beretika dan tidak seharusnya dikongsi semata-mata untuk meningkatkan capaian dalam talian,” menurut kenyataan itu.

    Susulan itu, MCMC menegaskan bahawa kegagalan mematuhi garis panduan etika pelaporan boleh mengakibatkan tindakan pengawalseliaan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

    Antara tindakan yang boleh dikenakan termasuklah penggantungan akaun media sosial berkaitan sekiranya didapati melanggar standard yang ditetapkan.

    “Semua organisasi media perlu memastikan penyiaran kandungan dilakukan secara bertanggungjawab dan berhemah. Semua pihak diharap terus bertindak secara profesional serta menghormati sensitiviti masyarakat pada setiap masa,” tambahnya lagi.

    Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan pihak berkuasa untuk membendung trend perkongsian kandungan ‘ngeri’ yang semakin berleluasa demi mengejar populariti di media sosial.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14984

  • Bantuan Budi Diesel kekal RM300 bulan April, mula dibayar 8 April ini

    Bantuan Budi Diesel kekal RM300 bulan April, mula dibayar 8 April ini

    KUALA LUMPUR 31 Mac – Kerajaan akan mengekalkan bantuan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) pada kadar RM300 sebulan bagi bulan April ini bagi membantu mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran tenaga global.

    Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bantuan interim tambahan sebanyak RM100 akan diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan untuk kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi kekal RM300.

    Bayaran tersebut akan mula disalurkan pada 8 April depan yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 340,000 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM102 juta.

    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api global.

    “Langkah ini memastikan pengguna diesel, khususnya individu dan mereka dalam sektor agri-komoditi, terus menerima sokongan dan terlindung daripada kesan penuh kenaikan harga global,” menurut kenyataan itu.

    Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, program Budi Diesel telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.12 bilion bagi meringankan beban kewangan rakyat.

    Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa pendekatan bersasar ini memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sambil mengekalkan disiplin fiskal negara.

    Selain bantuan interim ini, kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan memberi manfaat terus kepada rakyat.

    “Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran tenaga global dengan teliti dan bersedia mengambil tindakan lanjut bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan mencukupi.

    “Penguatkuasaan juga akan diperkasakan bagi mengekang ketirisan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar yang ditetapkan,” tambahnya lagi.

    Individu yang layak boleh memohon bantuan Budi Diesel sepanjang tahun melalui laman web rasmi di https://budidiesel.gov.my.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14983

  • Iran bagi ‘laluan percuma’, kapal Malaysia tak payah bayar tol di Selat Hormuz

    Iran bagi ‘laluan percuma’, kapal Malaysia tak payah bayar tol di Selat Hormuz

    SHAH ALAM 31 Mac – Kerajaan mengesahkan kapal-kapal milik Malaysia yang melalui Selat Hormuz ketika konflik di Asia Barat tidak akan dikenakan sebarang caj tol oleh pihak berkuasa Iran.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keistimewaan itu diberikan hasil hubungan diplomatik yang sangat kukuh antara Malaysia dan Iran, di mana Malaysia dianggap sebagai sebuah negara sahabat.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pagi tadi.

    “Perdana Menteri telah berkongsi maklumat ini dalam mesyuarat MTEN. Tiada caj tol dikenakan terhadap kapal Malaysia yang melalui laluan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian cek cura kepada SMJK Chan Hwa, di sini hari ini.

    Mengulas mengenai kesan konflik terhadap sektor penerbangan domestik, Loke memaklumkan setakat ini tiada cabaran besar dikesan melainkan kenaikan kos bahan api yang mendadak.

    Sehubungan itu, beberapa syarikat penerbangan berkemungkinan akan melakukan rasionalisasi operasi termasuk menggabungkan penerbangan atau mengurangkan kekerapan di laluan tertentu yang mempunyai faktor muatan rendah.

    “Langkah ini bersifat sementara bagi meningkatkan kecekapan berikutan kos bahan api yang amat tinggi pada masa ini,” tambahnya.

    Bagi sektor perkapalan pula, kerajaan sedang berbincang dengan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) untuk memperkenalkan mekanisme surcaj yang lebih bersusun dan seragam bagi memastikan penetapan harga yang adil.

    Dalam pada itu, Loke menegaskan tiada projek di bawah kementeriannya akan dihentikan atau mengalami pemotongan belanjawan, namun keutamaan pelaksanaan akan diselaraskan mengikut manfaat terbesar kepada rakyat dan ekonomi.

    Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan kini berada dalam “mod krisis” dengan mesyuarat MTEN diadakan pada setiap hari Selasa bagi memantau kestabilan bekalan tenaga negara.

    “Walaupun Malaysia negara pengeluar minyak, kita masih bergantung kepada pasaran global. Fokus utama sekarang adalah memastikan bekalan bahan api kekal stabil sepanjang tempoh konflik ini yang dijangka memberi kesan ekonomi antara enam hingga 24 bulan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14982

  • Akta Pekerja Gig 2025 berkuat kuasa hari ini, lebih 1.64 juta pekerja terima perlindungan

    Akta Pekerja Gig 2025 berkuat kuasa hari ini, lebih 1.64 juta pekerja terima perlindungan

    PUTRAJAYA 31 Mac – Lebih 1.64 juta individu dalam sektor ekonomi gig kini menikmati perlindungan lebih menyeluruh apabila Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) mula berkuat kuasa secara rasmi hari ini.

    Akta berkenaan meliputi pelbagai aspek penting termasuk perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian perkhidmatan, larangan diskriminasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta jaminan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

    Selain itu, mekanisme penyelesaian pertikaian turut diperkemas menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Tribunal Pekerja Gig.

    Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata, pekerja gig kini tidak perlu khuatir kerana akta menyediakan perlindungan perundangan yang holistik tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan sedia ada.

    Menurutnya, Malaysia mengambil pendekatan tersebut selepas meneliti amalan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan India sebelum memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi melindungi pekerja gig secara komprehensif.

    Beliau turut menjelaskan takrif pekerja gig dalam akta berkenaan merangkumi tiga kriteria utama iaitu individu mestilah warganegara atau pemastautin tetap (PR), mempunyai perjanjian dengan entiti kontrak sama ada melalui platform atau tanpa platform, serta menerima bayaran bagi setiap perkhidmatan.

    “Contoh pekerja gig yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan penyedia platform ialah pekerja e-hailing dan p-hailing, manakala pekerja gig tanpa platform merujuk kepada golongan dalam sektor lakonan, aktiviti perfileman serta muzik, terjemahan, kewartawanan dan lain-lain seperti disenaraikan di bawah jadual Akta 872.

    “Saya ambil maklum ada pihak yang mempersoalkan tentang takrifan pekerja gig di dalam akta ini turut meliputi PR di Malaysia.

    “Ingin saya tegaskan yang Akta 872 bukan cuma melindungi pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing sahaja, tetapi juga pekerja gig tanpa platform yang berada di dalam sembilan sektor perkhidmatan ini.” katanya ketika sidang media di Menara PERKESO.

    Ramanan menegaskan tiada isu berbangkit yang menunjukkan akta itu bercanggah dengan dasar atau perundangan sedia ada.

    Dalam masa sama, beliau memaklumkan penubuhan Majlis Perundingan Gig (MPGIG) sebagai platform triparti melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak.

    Majlis itu berperanan menasihati kerajaan berhubung kadar pendapatan minimum, formula serta standard perkhidmatan berdasarkan sektor, wilayah dan jenis pekerjaan gig.

    “Saya faham isu kadar pendapatan pekerja gig antara masalah utama yang sering dibangkitkan kelompok ini.

    “Justeru, ini memang menjadi agenda awal yang akan dirunding dan dibincangkan secara bersama melalui MPGIG bagi mendapatkan jalan penyelesaian tuntas,” ujarnya.

    Tambah beliau, seramai 26 anggota MPGIG telah dilantik berkuat kuasa 1 April dan mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada 3 April ini.

    Sementara itu, kerajaan turut meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan penyelaras tunggal bagi industri berkenaan, merangkumi aspek penggubalan dasar, pelaksanaan dan pemantauan.

    Menurut Ramanan, langkah itu selari dengan pelaksanaan Akta 872 yang menjadi asas perlindungan hak dan kebajikan pekerja gig.

    Beliau berkata, pekerja gig kini boleh membuat aduan berkaitan isu seperti bayaran, penggantungan akaun atau pelanggaran kontrak melalui sistem e-Aduan yang disediakan oleh kementerian.

    “Sistem ini boleh dilayari melalui laman web kementerian di pautan https://eaduan-gig.mohr.gov.my/ mulai 1 April.

    “Selain itu, selaras dasar ‘No Wrong Door Policy’, pekerja gig juga boleh datang ke mana-mana jabatan atau agensi di bawah Kesuma untuk buat aduan dan proses memakan masa maksimum 21 hari bekerja,” jelasnya.

    Mengimbas proses penggubalan akta tersebut, kementerian telah mengadakan 37 sesi libat urus sejak 2024 melibatkan 3,873 peserta daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, kesatuan sekerja, majikan, penyedia platform, pekerja gig serta ahli akademik di seluruh negara.

    Pandangan pelbagai pihak turut diambil kira termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kementerian Digital Malaysia dan Kementerian Ekonomi Malaysia.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14981

  • SPM 2025: Lima calon Orang Asli cemerlang, lebih ramai layak terima sijil

    SPM 2025: Lima calon Orang Asli cemerlang, lebih ramai layak terima sijil

    PUTRAJAYA 31 Mac – Pencapaian calon daripada komuniti Orang Asli dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai layak menerima sijil, termasuk lima calon yang mencatat keputusan cemerlang.

    Lima calon Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran SPM 2025.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata seramai 133 calon Orang Asli memperoleh sekurang-kurangnya kepujian gred B+, B, C+ dan C.

    “Selain itu, seorang calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney memperoleh semua A manakala 24 calon memperoleh sekurang-kurangnya kepujian dan 63 calon sekurang-kurangnya mendapat lulus.

    “Bagi Sekolah Tunas Bakti pula, seorang calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya kepujian untuk semua mata pelajaran,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, seramai 1,768 calon Orang Asli layak dianugerahkan sijil SPM 2025 berbanding hanya 1,527 orang pada tahun sebelumnya.

    Bagi calon Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, beliau berkata seramai 10 calon layak mendapat sijil SPM 2025 berbanding hanya dua pada SPM 2024.

    “Bagi calon Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney pula, seramai 99 calon layak dianugerahkan sijil bagi SPM 2025 berbanding hanya 94 calon pada 2024.

    “Seramai 35 calon Sekolah Tunas Bakti pula layak dianugerahkan sijil SPM 2025 berbanding 20 pada tahun sebelumnya,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14977

  • Pemandu Range Rover disyaki mabuk rempuh van dinaiki enam penumpang di Kajang

    Pemandu Range Rover disyaki mabuk rempuh van dinaiki enam penumpang di Kajang

    KAJANG 31 Mac – Enam individu cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk melanggar sebuah van dalam kejadian di Jalan Pintasan Kajang–Semenyih, awal pagi Selasa.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, SUV jenis Range Rover Velar yang dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang van jenis Mazda E1800 Wagon.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, akibat pelanggaran tersebut, van terbabit terbalik di bahu kiri jalan.

    “Akibat pelanggaran tersebut, van terbabit terbalik di bahu kiri jalan, pemandu bersama lima penumpang berusia antara tujuh hingga 51 tahun mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kajang serta Hospital Serdang.

    “Manakala, pemandu Range Rover tidak mengalami sebarang kecederaan, lelaki itu direman dua hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

    Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nurul Shaffika Mohd Shair di talian 013-2091766 bagi membantu siasatan.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14979

  • Mahkamah perintah Najib bayar AS$1.3 bilion kepada SRC International

    Mahkamah perintah Najib bayar AS$1.3 bilion kepada SRC International

    KUALA LUMPUR 31 Mac – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak membayar ganti rugi berjumlah AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd selepas didapati terlibat dalam pecah amanah dan salah guna kuasa.

    Keputusan itu dibuat Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin selepas membenarkan saman sivil yang difailkan syarikat berkenaan.

    Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar ganti rugi konspirasi, faedah sebanyak lima peratus setahun, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Melalui penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam itu, Ahmad Fairuz berkata mahkamah mendapati defendan sebagai penasihat emeritus syarikat memegang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting membabitkan SRC, bermula daripada penubuhan sehingga usaha menutup penyelewengan.

    “Defendan memainkan peranan penting dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011. Beliau mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 2012, sekali gus mengeluarkannya daripada pengawasan lembaga 1MDB dan meletakkan SRC secara langsung di bawah kawalannya sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

    “Beliau juga secara peribadi berhubung dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat dan perbincangan bagi mendapatkan pinjaman pertama, membuktikan bahawa pinjaman itu adalah inisiatif beliau.

    “Beliau menyebabkan pindaan perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham.

    “Beliau turut mengarahkan penyaluran dana kepada SRC BVI serta anak syarikat BVI, iaitu struktur yang tidak mempunyai tujuan pelaburan yang sah, sebaliknya direka untuk memudahkan penyelewengan, sekali gus menerima AS$120 juta daripada dana yang diselewengkan ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam prosiding itu.

    Prosiding berkenaan dihadiri peguam yang mewakili SRC selaku plaintif iaitu Lim Chee Wee, manakala defendan diwakili Muhammad Shafee Abdullah.

    Dalam pada itu, Ahmad Fairuz berkata, tindakan Najib bukan kecuaian atau kesilapan pertimbangan, sebaliknya perbuatan penipuan yang disengajakan dan dirancang demi kepentingan diri.

    Justeru, katanya, Najib bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif ke atas aset SRC yang diselewengkan melalui penipuannya dan dikehendaki mengembalikan akaun dana terbabit dan keuntungan yang diperoleh.

    Mahkamah turut mendapati defendan bertanggungjawab untuk membayar semula dana syarikat dan pampasan masing-masing berjumlah AS$1.18 bilion serta AS$120 juta.

    Sementara itu, tuntutan Najib terhadap pihak ketiga membabitkan lima individu termasuk bekas pengarah SRC International ditolak mahkamah.

    Mahkamah mendapati tuntutan itu pada asasnya satu percubaan menggunakan hujahan sama seperti dalam pembelaannya, dengan tujuan memindahkan liabiliti kepada Lembaga Pengarah SRC.

    Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman AS$1.18 bilion terhadap Najib serta enam bekas pengarah syarikat itu, dengan mendakwa beliau menyalah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat.

    Najib, 72, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14980

  • Generasi tanpa UPSR, PT3 berjaya bukti ketahanan tinggi, pencapaian SPM 2025 meningkat – Fadhlina

    Generasi tanpa UPSR, PT3 berjaya bukti ketahanan tinggi, pencapaian SPM 2025 meningkat – Fadhlina

    KAJANG 31 Mac – Pencapaian memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan keupayaan pelajar terus cemerlang walaupun tanpa melalui peperiksaan utama di peringkat awal persekolahan.

    Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan calon SPM 2025 sebagai generasi yang mempunyai daya tahan tinggi, meskipun merupakan kohort pertama yang tidak menduduki peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata peningkatan pencapaian keputusan SPM 2025 membuktikan bahawa ketiadaan peperiksaan berkenaan tidak menjejaskan keupayaan pelajar, sebaliknya membentuk kekuatan dan ketahanan diri yang lebih kukuh.

    “Ini adalah generasi yang sering dibincangkan sebelum ini kerana mereka tidak melalui UPSR dan PT3.

    “Namun, kita mengambil pendekatan yang positif dan hari ini keputusan yang dicapai membuktikan bahawa mereka merupakan kohort yang mempunyai daya tahan yang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan sempena Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Tinggi Kajang, di sini pada Selasa.

    Fadhlina turut berbangga dengan pencapaian calon SPM 2025 yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19, selain membuktikan keupayaan mereka melalui prestasi akademik yang memberangsangkan.

    Mengulas lanjut, beliau berkata KPM melaksanakan pelbagai langkah intervensi secara berterusan dan konsisten bagi menyokong pelajar di semua peringkat.

    Katanya, pendekatan akauntabiliti telah diperkenalkan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah, khususnya melibatkan peranan pengetua dalam memastikan kehadiran pelajar sentiasa dipantau.

    “Fokus utama adalah kehadiran pelajar, selain menyediakan sistem sokongan termasuk bantuan dari segi sosioekonomi kepada pelajar yang memerlukan, serta sokongan akademik melalui pelbagai program,” katanya.

    Beliau menjelaskan antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Tuisyen Rakyat Madani, kerjasama dengan Kementerian Kewangan serta program ziarah cakna yang melibatkan guru turun padang ke rumah pelajar bagi memastikan mereka terus kekal dalam sistem pendidikan.

    Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM akan terus memperkukuh usaha menangani isu ketidakhadiran calon SPM, walaupun terdapat penurunan jumlah pelajar yang tidak hadir pada 2025 berbanding sebelum ini.

    “Walaupun dari segi kehadiran itu dapat dikurangkan berbanding daripada awal kita mengambil kali alih kerajaan ini sehingga hari ini, intervensi itu harus terus diperlukan.

    “Jadi, kita sudah ada Dasar Pendidikan Wajib, yang saya pasti ia akan memberikan kesan secara keseluruhan,” jelasnya lagi.

    Keputusan SPM 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024.

    Seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, berbanding 13,827 calon pada 2024.

    Sementara itu, jumlah calon yang tidak hadir menduduki SPM 2025 menurun kepada 7,099 orang berbanding 8,108 pada 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan kadar kehadiran pada tahun berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14978

  • SPM 2025: Prestasi Bahasa Melayu merosot, 29 lagi subjek catat penurunan

    SPM 2025: Prestasi Bahasa Melayu merosot, 29 lagi subjek catat penurunan

    PUTRAJAYA 31 Mac – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan terdapat beberapa mata pelajaran utama yang merekodkan kemerosotan prestasi, termasuk Bahasa Melayu yang turut tersenarai antara subjek terjejas.

    Secara keseluruhan, sebanyak 29 daripada 95 mata pelajaran mencatatkan penurunan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), berbanding 63 mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan, manakala tiga lagi kekal tidak berubah berbanding SPM 2024.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata bagi tujuh mata pelajaran teras, tiga daripadanya menunjukkan peningkatan prestasi manakala empat lagi mencatatkan penurunan.

    “Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.79 mata, iaitu 3.20 mata pada SPM Tahun 2025 berbanding 3.99 mata pada SPM Tahun 2024.

    “Bahasa Melayu pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata, iaitu 3.85 mata pada SPM 2025 berbanding 3.72 mata pada SPM 2024,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14975