Tag: JNJ-MEDIA

  • 12 kakitangan Perhutanan cedera lori terbabas masuk gaung di Tapah

    12 kakitangan Perhutanan cedera lori terbabas masuk gaung di Tapah

    TAPAH 24 Nov – Seramai 12 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan malim gunung cedera selepas lori dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Gunung Batu Putih–Hutan Lipur Kuala Woh, di sini pada Ahad.

    Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lori yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an membawa 11 penumpang dalam perjalanan pulang selepas memasang papan tanda di sekitar Gunung Batu Putih.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika hujan lebat dengan keadaan laluan menuruni bukit yang sempit serta licin, menyebabkan tayar kiri lori dipercayai tergelincir ke bahu jalan.

    “Lori itu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan berpusing beberapa kali sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam lima meter. Semua mangsa berjaya keluar dengan bantuan orang awam dan anggota bomba,” katanya.

    Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

    Johari turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati serta merancang perjalanan dengan baik terutama pada musim tengkujuh bagi mengurangkan risiko kemalangan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12685

  • Banjir di Perlis semakin buruk, 850 mangsa dipindahkan ke enam PPS

    Banjir di Perlis semakin buruk, 850 mangsa dipindahkan ke enam PPS

    KANGAR 24 Nov – Situasi banjir di Perlis terus meruncing apabila jumlah mangsa meningkat kepada 850 orang daripada 254 keluarga yang ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Arau, Kangar dan Padang Besar setakat pagi ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, empat PPS beroperasi di Padang Besar, manakala masing-masing satu dibuka di Kangar dan Arau.

    Menurutnya, di Padang Besar, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Sireh menempatkan 123 mangsa, SK Felda Mata Ayer (304), Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer (105) dan SK Batu Bertangkup, Chuping (77).

    “Satu lagi PPS di Padang Besar iaitu SK Titi Tinggi yang dibuka jam 12 tengah hari semalam terpaksa ditutup jam 7 malam selepas dinaiki air dan mangsa dipindahkan ke SK Felda Mata Ayer,” katanya.

    Rahimi berkata, PPS di Kangar yang dibuka di Dewan Warisan kini menempatkan 76 mangsa, manakala di Arau, SK Guar Nangka menempatkan 165 orang.

    Beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa susulan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12684

  • Lelaki maut ditikam, dipukul dalam pergaduhan kumpulan di pusat hiburan di Seremban

    Lelaki maut ditikam, dipukul dalam pergaduhan kumpulan di pusat hiburan di Seremban

    SEREMBAN 24 Nov – Suasana di sebuah pusat hiburan di Taman AST bertukar kecoh apabila seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam dan dipukul dalam satu pergaduhan berkumpulan awal pagi tadi.

    Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa dikejar sekumpulan lelaki sebelum dipukul menggunakan kerusi dan kotak ketika cuba menyelamatkan diri.

    Video berdurasi satu minit 26 saat itu turut menunjukkan mangsa berlari ke arah kaunter untuk mendapatkan perlindungan, namun dikepung dan dibelasah bertubi-tubi sehingga dia rebah tidak sedarkan diri. Seorang kakitangan premis turut dilihat cuba menghalau kumpulan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital akibat kecederaan parah.

    “Kami sedang mengenal pasti jumlah individu terbabit dan meneliti rakaman CCTV untuk mengesan identiti suspek serta punca kejadian,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau turut meminta saksi atau sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12682

  • Anwar puji komitmen Kenya dalam tangani kemiskinan dan perumahan mampu milik

    Anwar puji komitmen Kenya dalam tangani kemiskinan dan perumahan mampu milik

    NAIROBI 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji komitmen tinggi Kenya dalam usaha membasmi kemiskinan dan menyediakan perumahan mampu milik, menyifatkannya sebagai contoh kepimpinan yang ‘cukup mengagumkan’.

    Berucap pada majlis santapan negara yang dihoskan Presiden Kenya, William Samoei Ruto malam tadi, Anwar berkata program besar-besaran negara Afrika Timur itu untuk membina lebih 150,000 unit rumah bagi komuniti berpendapatan rendah merupakan model kepimpinan yang luar biasa.

    Anwar berkata, komitmen itu turut selari dengan pendekatan Malaysia dalam menangani isu kemiskinan tegar.

    “Saya, seperti anda, sangat memandang serius soal pembasmian kemiskinan dan penyediaan perumahan untuk golongan miskin serta masyarakat umum,” katanya.

    Perdana Menteri turut menzahirkan inspirasi terhadap fokus Kenya yang menggunakan kuasa dan tadbir urus bagi mengangkat martabat rakyat miskin, selaras dengan semangat perjuangan Presiden pertama Kenya, Jomo Kenyatta, yang memperjuangkan kebajikan rakyat sejak era kemerdekaan.

    Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa Malaysia dan Kenya mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

    Katanya, Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik, selain turut ingin belajar daripada pembangunan pesat serta iltizam tinggi Kenya.

    Perbincangan antara kedua-dua negara akan diteruskan hari ini melibatkan aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih luas sempena mesyuarat dua hala pemimpin.

    Anwar, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.

    Dalam rekod perdagangan, Kenya muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika pada 2024 dengan jumlah dagangan RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.

    Anwar dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi lewat hari ini, menandakan tamatnya lawatan tiga negara beliau ke benua Afrika.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12683

  • Pemandu disyaki sawan rempuh kereta di Jalan Hang Tuah

    Pemandu disyaki sawan rempuh kereta di Jalan Hang Tuah

    MELAKA 24 Nov – Seorang pemandu dipercayai mengalami sawan sebelum merempuh sebuah kereta lain di hadapannya dalam kejadian di Jalan Hang Tuah, di sini semalam.

    Kemalangan kira-kira jam 1.50 petang itu berlaku ketika sebuah Honda Civic dipandu lelaki berusia 26 tahun sedang membelok ke kanan dari arah Jonker Walk menghala ke Jalan Tun Ali.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pada masa sama sebuah Honda Jazz dipandu seorang mekanik dari arah belakang tiba-tiba melanggar bahagian belakang Honda Civic berkenaan.

    “Akibat rempuhan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang melibatkan bumper, bonet, ekzos, tayar, fender dan pintu.

    “Siasatan awal mendapati pemandu Honda Jazz, seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai mengalami sawan ketika memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu Honda Jazz dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

    “Setakat ini tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh di kawasan berkenaan dan kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59,” katanya.

    Terdahulu, kejadian tersebut tular di media sosial apabila pemandu Honda Jazz dilihat tidak sedarkan diri selepas kemalangan sebelum dikejutkan orang ramai, dan kemudian memberi reaksi seolah-olah baru mengalami serangan sawan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12681

  • METMalaysia keluar amaran ribut petir, hujan lebat di Lembah Klang, 3 negeri

    METMalaysia keluar amaran ribut petir, hujan lebat di Lembah Klang, 3 negeri

    KUALA LUMPUR 24 Nov – Cuaca tidak menentu terus melanda beberapa negeri apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku pada pagi ini.

    Menerusi kenyataan MetMalaysia, keadaan cuaca buruk itu melibatkan kawasan sekitar Lembah Klang, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

    “Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Bera, Pahang; manakala Selangor membabitkan kawasan Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

    “Situasi sama turut dijangka berlaku di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan pagi ini.

    Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) bagi kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

    Keadaan angin kuat serta laut bergelora itu dianggap berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan air.

    MetMalaysia turut memaklumkan paras air laut dijangka meningkat di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan sehingga esok.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12680

  • Pekerja farmasi digigit ular sawa ketika guna tandas di Setia Alam

    Pekerja farmasi digigit ular sawa ketika guna tandas di Setia Alam

    SHAH ALAM 24 Nov – Seorang pekerja wanita sebuah farmasi berdepan detik cemas apabila digigit ular sawa ketika menggunakan tandas premis terbabit di Setia Alam, petang semalam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 3.46 petang.

    Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi.

    “Komander operasi melaporkan seorang wanita berusia 23 tahun digigit ular sawa ketika menggunakan tandas di premis terbabit.

    “Anggota bertugas berjaya melepaskan mangsa dari gigitan ular dari kawasan yang digigit dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan selanjutnya.

    “Ular sawa sepanjang dua meter itu kemudian dilepaskan di tempat selamat,” katanya melalui kenyataan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12679

  • Hujan lebat tak henti-henti, bumbung LRT bocor masuk air

    Hujan lebat tak henti-henti, bumbung LRT bocor masuk air

    PETALING JAYA – Bumbung salah sebuah tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengalami masalah kebocoran sehingga menyebabkan air hujan menitis masuk ke dalam ruangan penumpang susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

    Menerusi video tular di media sosial, kejadian tersebut dikatakan berlaku pagi tadi namun setakat ini pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit.

    Sementara itu, di ruangan komen beberapa pengguna mendakwa kejadian bumbung tren LRT bocor sudah kerap berlaku terutaka ketika hujan lebat.

    “Pihak berwajib perlu lebih cakna isu ini. Asyik berulang masalah sama. Hujan lebat sikit, tren bocor. Tak ada pemantauan kah? Tak akan jadi insiden luar jangka baru nak bertindak,” tegur seorang pengguna.

    “Memang patut tukar baru dah semua tren aliran ringan ni dah daif sangat dah, macam-macam masalah. Bahaya untuk pengguna,” kata @Becky. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/24/video-hujan-lebat-tak-henti-henti-bumbung-lrt-bocor-masuk-air/

  • ‘Andai kurang senang, pedih mata, saya minta maaf’

    ‘Andai kurang senang, pedih mata, saya minta maaf’

    KUALA LUMPUR – Selamba tampil ber’boxer’ atau hanya mengenakan seluar dalam peninju dan tidak berbaju menerusi filem terbaharunya, Klepet, pelakon Aedy Ashraf mengakui tindakan tersebut dilakukan bagi menampilkan realiti sebenar kehidupan watak lakonannya.

    Meskipun beraksi dalam keadaan separuh bogel begitu, Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 32, memohon maaf sekiranya tindakan tersebut kurang menyenangkan sesetengah pihak.

    “Bagi saya dalam filem kami cuba sebaik mungkin untuk tonjolkan realiti sebenar. Saya di luar berseluar pendek dan di rumah bersama kawan lelaki memang buka baju.

    “Itu apa saya cuba cerminkan untuk gambarkan realiti untuk audiens.

    “Andai kata ada yang kurang senang dan pedih mata, saya minta maaf awal-awal sebab kami cuba buat kerja untuk jadikan filem nampak ‘real’. Tiada niat lain,” katanya kepada Kosmo! pada majlis tayangan naskhah sentuhan pengarah babaru, Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji tersebut.

    Pada masa sama, bintang Kahar: Projek High Council yakin dengan peranan Lembaga Penapis Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam menilai serta meluluskan adegan termasuk yang mengandungi bahasa kasar.

    “Saya takut juga tapi saya percaya perfileman kita ada tapisan daripada LPF dan Finas.

    “Mereka lebih mahir dan handal, tahu apa yang mereka tapis.

    “Masa penggambaran kita rasa tak patut cakap macam itu tapi pendekatan daripada pengarah biar kami buat apa saja, mereka akan uruskan dalam proses suntingan dan ambil dari sana,” katanya lagi.

    Selain Aedy, Klepet turut dibintangi pelakon Nadhir Nasar, Meerqeen, Joey Daud, Aeril Zafrel, dan Eric Fuzi.

    Filem Klepet bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 27 November depan.

    Dalam filem terbitan Wawa Global Sdn. Bhd, Aedy memegang watak sebagai Paly iaitu yang berseronok menaiki kenderaan ‘motorhome’ bersama dua orang rakannya iaitu Jany (Nadhir Nasar) dan Wady (Meerqeen).

    Namun, pengembaraan tiga sekawan itu bertukar tragedi dengan kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine sehingga mencetuskan keadaan huru-hara. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/24/andai-kurang-senang-pedih-mata-saya-minta-maaf/

  • ‘Kalau tak tersingkir, saya sendiri akan umum tarik diri’

    ‘Kalau tak tersingkir, saya sendiri akan umum tarik diri’

    SHAH ALAM – Penyanyi veteran, Datuk Elaine Kang mendedahkan dia sudah berniat untuk mengumumkan menarik diri daripada Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) sekiranya tidak tersingkir pada konsert minggu keempat, malam tadi.

    Menurut Elaine, 60, faktor kesihatan yang tidak mengizibkab merupakan punca utama dia sanggup melepaskan penyertaan daripada GV12.

    “Kalau tidak tersingkir hari ini (semalam), saya sendiri akan mengumumkan untuk menarik diri dari GV12.

    “Isu kesihatan tidak memberi peluang untuk saya meneruskan perjuangan dalam GV. Doktor pun sudah larang saya teruskan.

    “Niat asal sertai pertandingan ini pun sekadar untuk ubat rindu peminat tetapi tak sangka bertahan sehingga minggu keempat,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

    Akui Elaine, dia mengakui sebak sebelum memulakan nyanyian duet bersama Dia Fadila semalam kerana memikirkan akan menjadi persembahan terakhirnya di pentas GV12.

    “Sebelum menyanyi, air mata saya sudah bergenang kerana saya akan menarik diri dari pertandingan.

    “Sangat sedih tetapi matlamat untuk hiburkan dan ubat rindu peminat sudah tercapai,” katanya lagi.

    Tambahnya, dia berterima kasih kepada sokongan peminat yang tidak berhenti memberi semangat kepadanya sehingga minggu keempat dan tidak menolak sekiranya kembali aktif dalam dunia nyanyian selepas ini.

    “Buat masa sekarang perlu berehat, semangat saya terus di sini ialah daripada para peminat yang doakan terus kuat.

    “Kalau nak cakap tentang aktif kembali, tidak pasti lagi tetapi mnalah tahu kalau tiba-tiba saya buat konsert mini tahun depan,” ujarnya.

    Semalam, Elaine dan seorang lagi penyanyi, Shy8 diumumkan sebagai peserta pertama meninggalkan pentas GV12 pada konsert yang berlangsung di Auditorium MBSA.GV12

    Penyingkiran tersebut susulan meraih markah terendah daripada barisan juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

    Elaine pada konsert semalam turut menjadi perhatian ramai apabila tampil memakai dres yang digantung dengan lebih anak patung Labubu. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/24/kalau-tak-tersingkir-saya-sendiri-akan-umum-tarik-diri/