Tag: JNJ-MEDIA

  • Polis benarkan perhimpunan sokong Indira Gandhi asalkan aman

    Polis benarkan perhimpunan sokong Indira Gandhi asalkan aman

    KUALA LUMPUR 22 Nov – Polis tidak menghalang penyokong M. Indira Gandhi daripada berkumpul dan mengadakan bantahan di hadapan pintu masuk Bukit Aman selagi ia berlangsung secara aman serta tidak menjejaskan kelancaran lalu lintas.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seramai 60 anggota dikerahkan untuk memantau keadaan sepanjang perhimpunan itu.

    “Kita tidak menghalang kehadiran mereka, namun mereka perlu memastikan tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang lalu lintas dan tidak menjejaskan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi hari ini.

    Menurut Sazalee, peserta turut diberikan kelonggaran bergerak sehingga ke tengah jalan kerana tiada tindakan yang mengancam keselamatan awam.

    Terdahulu, perhimpunan aman berlangsung di ibu kota bagi mendesak polis mempercepatkan usaha mengesan Prasana Diksa, yang dilarikan bekas suami Indira hampir 17 tahun lalu.

    Pada 2009, Muhammad Riduan atau K. Pathmanathan melarikan Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan dan menukar agama dua lagi anak mereka — Tevin Darsiny, 12, dan Karan Dinish, 11 — kepada Islam tanpa pengetahuan Indira.

    Namun pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama ketiga-tiga anak tersebut adalah tidak sah.

    Perarakan hari ini bermula di hadapan Sogo KL, Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum bergerak ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dipimpin Indira yang tetap menuntut keadilan selepas penantian lebih 16 tahun.

    Sementara itu, Indira meluahkan rasa kecewa apabila melihat seolah-olah tiada tindakan sewajarnya diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Kami hanya mahu tahu di mana anak saya. Kami tidak kisah bagaimana bentuk kerjasama, kami sentiasa terbuka.

    “Namun apa yang berlaku amat mengecewakan. PDRM seolah-olah tidak mengambil tindakan, dan ini benar-benar menghampakan,” katanya.

    Sebagai seorang ibu, katanya lagi, sukar menerima alasan bahawa Ketua Polis Negara tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu dengannya.

    “Mustahil untuk saya terima alasan bahawa KPN tidak boleh meluangkan lima minit walau sesibuk mana pun beliau.

    “Saya sudah nyatakan saya fleksibel. Disember tidak boleh, Januari tidak boleh… jadi bila? Sekurang-kurangnya berilah satu tarikh. Mengapa begitu sukar?” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12666

  • Kanak-kanak lapan tahun ditemukan maut dalam kereta ditinggalkan di Labuan

    Kanak-kanak lapan tahun ditemukan maut dalam kereta ditinggalkan di Labuan

    LABUAN 22 Nov – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan maut di dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di kawasan perindustrian Kampung Muslim, di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.10 pagi daripada seorang mekanik yang menghidu bau busuk ketika mahu mengalihkan kereta Proton Gen-2 terbabit sekitar 8.45 pagi.

    Menurutnya, kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Budin Jimsalim daripada suku Bajau dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

    “Mekanik itu menghidu bau busuk semasa mahu mengalihkan kereta Proton Gen-2 yang ditinggalkan berhampiran bengkel sejak Jun 2025,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

    Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat, dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Siasatan lanjut dijalankan oleh pegawai penyiasat Balai Polis Rancha-Rancha dan polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.

    Beliau turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak, terutama mereka yang mempunyai keperluan khas atau cenderung keluar tanpa pengawasan, bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12665

  • Konsert Dolla ‘Good Girls Gone Bad’ dibatalkan selepas ditegur agamawan

    Konsert Dolla ‘Good Girls Gone Bad’ dibatalkan selepas ditegur agamawan

    KUALA LUMPUR 22 Nov – Konsert kumpulan Dolla, Good Girls Gone Bad Live In Concert yang dijadual berlangsung pada 6 Disember di Idea Live, Petaling Jaya, terpaksa dibatalkan selepas penganjur mendapati persiapan akhir tidak dapat diselesaikan mengikut jadual.

    SAH Entertainment dan Universal Music Malaysia dalam kenyataan bersama di Instagram berkata, keputusan itu sukar namun perlu dibuat bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

    “Selepas meneliti persiapan menyeluruh termasuk aspek keselamatan, teknikal, kelulusan dan operasi, kami mendapati persiapan akhir tidak dapat disiapkan mengikut jadual asal.

    “Jika diteruskan, ia mungkin mengundang risiko seperti gangguan pada saat akhir dan mengecewakan pemegang tiket.

    “Keutamaan kami adalah keselamatan artis, kru, pasukan lokasi dan terutama sekali peminat. Kami tidak mahu mempersembahkan sesuatu yang kurang daripada standard terbaik Dolla,” menurut kenyataan itu.

    Pengarah SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko secara komprehensif melibatkan semua aspek penting penganjuran.

    “Kami percaya pada penganjuran persembahan yang memenuhi piawaian tertinggi dari segi keselamatan, kualiti dan pengalaman.

    “Selepas pertimbangan rapi, kami dapati meneruskan acara boleh menjejaskan kualitinya. Justeru, semua bayaran balik akan diproses segera,” katanya.

    Penganjur turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan peminat dan berjanji untuk kembali dengan persembahan lebih mantap pada masa hadapan.

    Semua pemegang tiket dijamin menerima bayaran balik penuh secara automatik melalui kaedah pembayaran asal, tanpa memerlukan tindakan lanjut. Proses pemulangan dijangka mengambil masa tiga hingga empat minggu, bergantung kepada bank atau penyedia kad.

    Sementara itu, anggota Dolla, Tabby, meninggalkan komen di media sosial menzahirkan penghargaan kepada iDollas (peminat mereka).

    “Kami terlalu menyayangi iDollas. Percayalah kami sedang cuba sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik, walaupun ada halangan seperti ini.

    “Tiada perkataan boleh gambarkan betapa bersyukurnya kami apabila iDollas tetap ada bersama waktu senang dan susah,” tulisnya.

    Selain Tabby, Dolla turut dianggotai Sabronzo dan Angel.

    Baru-baru ini, penampilan Dolla dalam video muzik single baharu berjudul Question mencetuskan kontroversi apabila dikritik mencolok mata hingga menimbulkan sensitiviti penonton tempatan, sehingga menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan pendakwah A’sma Harun.

    Berikutan itu, Universal Music Malaysia menarik turun muzik video tersebut daripada semua platform digital.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12663

  • Jurufoto jalanan ‘hilang’ lepas nampak pihak berkuasa, 22 dikompaun DBKL

    Jurufoto jalanan ‘hilang’ lepas nampak pihak berkuasa, 22 dikompaun DBKL

    KUALA LUMPUR 22 Nov – Sekumpulan jurufoto jalanan yang menawarkan perkhidmatan di sekitar KLCC bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam satu operasi membanteras aktiviti tanpa lesen malam tadi.

    Bagaimanapun, taktik mereka tidak berjaya mengaburi pasukan Kuala Lumpur Strike Force apabila semua individu terbabit berjaya dikesan semula dalam pusingan kedua pemeriksaan, selepas mereka berpura-pura meninggalkan kawasan berkenaan.

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 22 individu dikenakan kompaun kerana menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen.

    “Kami turut merampas peralatan mereka. Pemilik boleh menuntut semula peralatan itu selepas bayaran kompaun dijelaskan,” kata jurucakap DBKL.

    Operasi selama dua jam itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    “Pemeriksaan JPN mendapati semua jurufoto terlibat adalah warga tempatan dan memiliki kad pengenalan yang sah,” katanya.

    DBKL berkata, tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), yang memperuntukkan kompaun maksimum RM2,000.

    Seorang jurufoto, Marjan, 32, berkata mereka hanya menyediakan perkhidmatan kepada pelancong asing.

    “Kami ambil gambar dengan cantik, ramai pelancong suka. Kami tak kacau sesiapa. Semua di sini orang tempatan, dari Sabah.

    “Tiada warga Indonesia, Bangladesh atau Filipina. Mungkin ada keturunan, mungkin warisan Sulu, tapi kami semua lahir di Malaysia dan ada MyKad.

    “Saya kerja di sini sejak datang ke Semenanjung pada 2008. Masa itu bujang, sekarang dah ada empat anak. Saya tak tahu buat kerja lain,” katanya.

    Menurut Marjan, ini kali pertama dia dikenakan kompaun sepanjang bekerja sebagai jurufoto jalanan, namun tidak menyalahkan pihak berkuasa kerana memahami mereka hanya menjalankan tugas.

    Katanya, kebiasaannya mereka mengenakan bayaran RM5 bagi satu gambar untuk pelanggan tempatan, manakala pelancong asing dikenakan RM10.

    Beliau mengakui pernah timbul salah faham mengenai harga, namun kebanyakannya diselesaikan kerana pelanggan dimaklumkan lebih awal.

    Operasi itu dijalankan di dua lokasi iaitu kawasan KLCC yang menyaksikan 15 individu dikompaun, manakala tujuh lagi dikompaun berhampiran Laluan Saloma.

    DBKL memaklumkan pemantauan dan rondaan berkala akan terus dipertingkatkan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12662

  • Kanak-kanak tiga tahun maut kemalangan dua kereta di Jalan Kuala Pilah–Melang

    Kanak-kanak tiga tahun maut kemalangan dua kereta di Jalan Kuala Pilah–Melang

    KUALA PILAH 22 Nov – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 3 Jalan Kuala Pilah–Melang, berhampiran sebuah stesen minyak, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan kira-kira pukul 3.55 petang itu membabitkan dua Perodua Bezza masing-masing dipandu lelaki berusia 34 dan 25 tahun.

    Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

    “Tindakan itu menyebabkan pemandu berusia 34 tahun yang turut membawa isteri, anak perempuan berusia tiga tahun dan anak saudara berusia 16 tahun dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Seremban gagal mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut,” katanya.

    Impak pelanggaran menyebabkan kanak-kanak terbabit yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

    “Pemandu lelaki bersama isterinya berusia 28 tahun, anak perempuan mereka serta pemandu berusia 25 tahun turut cedera dan masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12661

  • Cadangan Amirudin lantik Nurul Izzah MB Selangor tidak dibincang dengan saya – Anwar

    Cadangan Amirudin lantik Nurul Izzah MB Selangor tidak dibincang dengan saya – Anwar

    JOHANNESBURG 22 Nov – “Itu pandangan dia. Dia tidak bincang dengan saya,” demikian reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas cadangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari agar Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilantik menggantikannya sebagai Menteri Besar.

    Cadangan itu dinyatakan Amirudin dalam program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan baru-baru ini, dengan menyatakan perkara tersebut pernah disuarakan kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk menerima atau tidak.

    Amirudin menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Nurul Izzah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya akan datang dan seterusnya diangkat sebagai Menteri Besar.

    Ditanya pula mengenai kesediaan Amirudin – yang juga Ahli Parlimen Gombak – untuk memegang peranan di peringkat Persekutuan, Anwar berseloroh sebelum memberikan jawapan ringkas.

    “Ini baru satu nama, saya ada beberapa kekosongan lagi. Kena beri lebih nama,” katanya sambil tersenyum.

    Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Afrika Selatan pada Jumaat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12660

  • Amirudin akui cadang Nurul Izzah ganti beliau sebagai MB Selangor

    Amirudin akui cadang Nurul Izzah ganti beliau sebagai MB Selangor

    KUALA LUMPUR 22 Nov – Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan bahawa beliau pernah mencadangkan nama Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan di negeri itu.

    Pendedahan itu dibuat Amirudin, yang juga Naib Presiden PKR, ketika muncul sebagai tetamu dalam program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

    Menurut Amirudin, cadangan tersebut pernah disampaikan secara langsung kepada Nurul Izzah dan terpulang kepada beliau untuk mempertimbangkannya.

    “Saya boleh katakan itu mungkin satu formula yang baik untuk letakkan Nurul Izzah supaya tidak ada persepsi atau stigma berkenaan nepotisme dan sebagainya.

    “Secara jujurnya, saya dah kemukakan kepada Izzah sendiri. Terpulang kepada beliau untuk ambil cadangan itu atau tidak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya Khairy sama ada terdapat kemungkinan untuk Nurul Izzah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya akan datang, seterusnya diangkat sebagai Menteri Besar.

    Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut menyuarakan kesediaannya untuk mengambil peranan lebih besar di peringkat Persekutuan.

    “Kalau tanya saya adakah sudah bersedia… ya, saya sudah mempertimbangkan untuk ke Persekutuan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12659

  • ‘Mohon maaf, kami akan kembali dengan konsert besar tahun depan’

    ‘Mohon maaf, kami akan kembali dengan konsert besar tahun depan’

    PETALING JAYA – Enggan membiarkan peminat tertanya-tanya, kumpulan Dolla mendedahkan pembatalan konsert Good Girls Gone Bad berpunca daripada kegagalan penganjur melengkapkan permit dan kelulusan penting sebelum tarikh acara.

    Turut terkesan, kumpulan dianggotai tiga ahli itu mengakui keputusan berkenaan bukan mudah apatah lagi seluruh pasukan sudah bekerja keras selama berbulan-bulan.

    “Kami mohon maaf setulus hati kepada semua iDollas. Ramai menanti konsert ini, kami pun sama.

    “Kami tak sanggup berdepan keadaan di mana konsert dibatal dua atau tiga hari sebelum berlangsung. Itu lebih memalukan. Jadi keputusan ini walaupun pahit, terpaksa kami terima,” katanya dalam Instagram.

    Pelantun lagu Question itu turut memaklumkan persiapan konsert sebenarnya sudah hampir siap termasuk visual, koreografi, muzik dan latihan intensif sejak beberapa bulan lalu.

    Pun begitu, bagi menghargai peminat mereka mengumumkan sesi pertemuan pada 6 Disember depan selain menjanjikan sebuah konsert penuh pada tahun hadapan.

    “Kami sudah curahkan tenaga dan jiwa untuk pastikan pentas itu jadi yang terbaik. Tapi keadaan tak mengizinkan.

    “Kami rindu nak jumpa peminat. Tahun depan, kami akan kembali dengan persembahan besar yang benar-benar berbaloi ditunggu.

    “Jangan risau. Penganjur akan pulangkan semua bayaran secepat mungkin. Kami pastikan prosesnya lancar,” jelas kumpulan itu

    Sebelum ini, nama Dolla meledak selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun secara terbuka menegur penampilan seksi anggota kumpulan tersebut iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel dalam video muzik (MV) terbaharu mereka, Question.

    Teguran itu turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang kini sedang menilai keperluan tindakan syariah terhadap selebriti Islam berpakaian mencolok mata.

    Beliau turut mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti Islam dalam sektor hiburan.

    Universal Music Malaysia, selaku label, dalam kenyataan sebelum ini mengakui memahami keresahan masyarakat serta sentiasa mengambil kira sensitiviti penonton. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/mohon-maaf-kami-akan-kembali-dengan-konsert-besar-tahun-depan/

  • Hujan berterusan Pantai Timur, Kelantan bawah amaran ‘buruk’

    Hujan berterusan Pantai Timur, Kelantan bawah amaran ‘buruk’

    PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan melibatkan beberapa negeri dengan Kelantan menjadi kawasan paling terjejas apabila diletakkan di bawah kategori Buruk sehingga Isnin, 24 November 2025.

    Menurut kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, hujan lebat tanpa henti dijangka melanda daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh dalam tempoh dua hari akan datang.

    Sementara itu, di bawah kategori Waspada, beberapa negeri turut dijangka menerima hujan berpanjangan.

    Bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta kawasan Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak, hujan dijangka berterusan sehingga 24 November 2025.

    Turut terjejas adalah bahagian barat dan selatan Kelantan melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, selain seluruh negeri Terengganu, yang dijangka berdepan cuaca basah sehingga Rabu, 26 November 2025.

    MetMalaysia menasihatkan orang ramai, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai, supaya berwaspada terhadap kemungkinan banjir kilat susulan jumlah hujan yang tinggi dalam tempoh berterusan.- KOSMO! ONLINE.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/hujan-berterusan-pantai-timur-kelantan-bawah-amaran-buruk/

  • Tiket percuma, Zoo Negara ‘diserbu’ kanak-kanak

    Tiket percuma, Zoo Negara ‘diserbu’ kanak-kanak

    KUALA LUMPUR – Cuti hujung minggu dan tawaran tiket percuma menyaksikan golongan ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak-anak ‘bersiar-siar’ di Zoo Negara hari ini.

    Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai mula mengunjungi pusat tumpuan itu seawal pukul 8 pagi.

    Seorang eksekutif yang ingin dikenali sebagai Liyana, 32, berkata, kunjungan pada hari ini ibarat rezeki datang bergolek apabila dapat saya dan tiga anak dapat masuk secara percuma hari ini.

    Katanya, lebih menarik apabila Zoo Negara menyediakan pelbagai acara sempena Hari Kanak-Kanak.

    “Saya datang nak tebus tiket hari lahir, dan alang-alang ada tiket percuma untuk kanak-kanak, jadi saya bawa keluarga.

    “Saya pun sebenarnya berharap dapat tengok panda baharu yang viral di media sosial, tapi kalau tak ada pun tak apa. Panda sebelum ni pun sempat saya jumpa Januari lalu sebelum dihantar balik,” katanya.

    Suri rumah, Farah Nurain Zulkifli, 29, pula berkata kunjungannya hari ini adalah untuk memberi peluang anak-anak berseronok dengan aktiviti Hari Kanak-Kanak.

    “Hari ni seronok sebab ada banyak permainan. Sebelum ni kalau datang hanya tengok-tengok haiwan saja. Ini pun saya bawa kawan yang tengah mengandung juga sebab nak tengok panda. Kalau tak dapat tengok panda pun tak apa, yang penting anak-anak gembira,” jelasnya.

    Mohammad Haqkam Zakaria, 40, seorang juruteknik, berkongsi cabaran membawa anak kecil di tengah suasana yang sesak.

    “Suasana agak sesak sebab saya bawa anak kecil dengan ‘stroller’, jadi kena berhimpit sikit untuk bergerak. Tapi anak-anak tetap seronok dan itu yang paling penting,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Presiden Malaysian Zoological Society, Datuk Rosly Lana, berkata, sambutan itu bukan sekadar hiburan, tetapi platform untuk mendidik generasi muda menghargai alam sekitar dan hidupan liar.

    “Kanak-kanak adalah generasi masa depan. Melalui pengalaman sebenar berinteraksi dengan alam, mereka bukan sahaja belajar, tetapi membina nilai tanggungjawab terhadap hidupan liar,” ujarnya.

    Zoo Negara turut menyediakan hadiah menarik termasuk buku cerita, poster haiwan, baucar zoo, aiskrim serta barangan permainan untuk pengunjung.

    Tiket masuk percuma diberikan kepada kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun, sekali gus memastikan lebih ramai keluarga dapat menikmati pengalaman menyeronokkan sambil menimba ilmu tentang alam sekitar dan hidupan liar. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/tiket-percuma-zoo-negara-diserbu-kanak-kanak/