Tag: JNJ-MEDIA

  • Lelaki rambut perang rakam wanita dalam tandas diburu

    Lelaki rambut perang rakam wanita dalam tandas diburu

    KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki sedang diburu polis kerana disyaki menceroboh tandas untuk mengintai seorang wanita di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini kelmarin.

    Perbuatan itu dipercayai berlaku pada 6.12 petang di tandas wanita yang terdapat di tingkat satu pusat beli-belah tersebut.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang merupakan seorang jurujual wanita ternampak sebuah telefon bimbit sedang merakam dari celahan pintu tandas yang sedang digunakannya.

    “Mangsa segera keluar dari tandas itu sebelum ternampak lelaki tidak dikenali yang memegang telefon bimbit berkenaan.

    “Dia sempat mengejar dan merakam visual dari arah belakang sewaktu lelaki tersebut bergegas melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

    Azli berkata, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pusat membeli-belah tersebut mengesahkan suspek telah melarikan diri keluar mengguna pintu utama premis terbabit sebelum menghala ke arah Dataran Shahbandar, di sini.

    Beliau berkata, sewaktu kejadian, suspek yang dipercayai berusia awal 20-an memakai baju T berwarna putih dan berseluar jean gelap, memakai beg silang berambut perang. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/lelaki-rambut-perang-rakam-wanita-dalam-tandas-diburu/

  • ‘Air makin naik, elektrik dimatikan dan kami cuma ada mineral botol kecil’

    ‘Air makin naik, elektrik dimatikan dan kami cuma ada mineral botol kecil’

    MELAKA – Keadaan semakin cemas untuk rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, termasuk 10 sekeluarga dari Melaka apabila situasi banjir dilaporkan terus memburuk dengan kini mencecah paras pinggang.

    Kebanyakan hotel di bandar itu juga dilaporkan telah memutuskan bekalan elektrik susulan bencana tersebut.

    Salah seorang mangsa, Muhammad Hazwan Zammizi, 29, ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan, dia bersama sembilan ahli keluarga yang lain terkandas di sebuah hotel di tengah bandar Hatyai dan tidak dibenarkan untuk turun ke lobi bagi memantau keadaan semasa.

    Katanya, pihak hotel juga telah memutuskan bekalan elektrik beberapa kali dipercayai bagi menjaga keselamatan para tetamu.

    “Kami tiba di Hatyai pada pukul 11 pagi semalam dan ketika itu hujan tidak begitu lebat, situasi bertukar buruk pada pukul 1 pagi tadi apabila air mula naik pada paras lutut dan pihak hotel minta kami alihkan kereta dari parkir bawah tanah ke kawasan lebih tinggi.

    “Mujur ada keluarga yang bawa pacuan empat roda jadi saya pandu Honda Jazz harung air banjir di belakang pikap untuk ke kawasan lebih tinggi,” katanya.

    Tambahnya, dia sekeluarga merancang untuk bermalam di Hatyai bagi satu malam sahaja dan sepatutnya kembali ke Malaysia hari ini.

    Jelasnya, apa yang membimbangkan keluarganya ketika ini adalah bekalan minuman yang terhad kerana pihak hotel hanya memberikan dua botol mineral kecil bagi setiap bilik.

    “Saya bersama isteri, ayah dan ibu serta adik-beradik dengan pasangan masing-masing, kami ambil lima bilik jadi setiap kami dapatlah air mineral botol kecil.

    “Bekalan air itu dihantar pada pukul 8 pagi tadi dan selepas itu kami ada minta tapi tak dapat, kami bimbang kerana air banjir semakin naik dan terkandas di negara asing. Jadi, saya mohon pertolongan pihak berwajib untuk bantu kami,” ujarnya.

    Jelasnya, ibu dan bapanya yang masing-masing berumur 51 serta 59 tahun turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, namun setakat ini bekalan ubat masih mencukupi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/air-makin-naik-elektrik-dimatikan-dan-kami-cuma-ada-mineral-botol-kecil/

  • Pesawat terhempas dalam sawah padi

    Pesawat terhempas dalam sawah padi

    JAKARTA – Semua lima penumpang dan seorang juruterbang selamat selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas ketika mendarat cemas di kawasan penanaman padi di Karawang, wilayah Jawa Barat, lapor portal berita Jakarta Globe.

    Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat Karawang dikenali sebagai Sigit berkata, pesawat jenis Cessna itu terhempas sekitar pukul 2.20 petang (waktu tempatan) di Desa Kertawaluya semalam.

    “Kami dimaklumkan pesawat itu berlepas dari Sekolah Penerbangan Curug dan menuju ke Lapangan Terbang Cakrabuana di Cirebon.

    “Ia mengalami masalah enjin, namun pengesahan akan dibuat selepas Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT) menjalankan siasatan,” kata Sigit.

    Menurutnya, pesawat tersebut menghantar isyarat kecemasan semasa kejadian, manakala maklumat lanjut mengenai mangsa dan keadaan kapal terbang akan diberitahu selepas penilaian dilakukan.

    Pasukan SAR kelihatan di lokasi nahas untuk memastikan kawasan itu kekal selamat.

    Kesemua lima penumpang dan seorang juruterbang dilaporkan selamat.

    Seorang penduduk dikenali sebagai Hasan berkata: “Pesawat itu berlegar-legar di ruang udara sebelum mendarat cemas dan terhempas di kawasan sawah, seolah-olah mencari tempat untuk mendarat.” – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/pesawat-terhempas-dalam-sawah-padi/

  • Terbuka Australia: Juara dunia tempah aksi final

    Terbuka Australia: Juara dunia tempah aksi final

    KUALA LUMPUR – Aksi konsisten terus dipamerkan beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila berjaya melangkah ke final pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney.

    Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Olympic Boulevard sebentar tadi, mereka berjaya membenam cabaran Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 21-16, 21-14.

    Turun sebagai pilihan utama kejohanan, Tang Jie-Ee Wei yang merupakan juara dunia mempamerkan aksi cukup baik apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum memenangi set pertama.

    Momentum itu berjaya diteruskan di set kedua apabila berjaya mendahului 12-3, namun rentak mereka sedikit terganggu apabila pemain lawan mengutip mata demi mata dan mengikat kedudukan 13-13.

    Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei berjaya mendapatkan semula fokus untuk kembali berada di depan sebelum memastikan kemenangan muktamad dalam tempoh 50 minit.

    Menjelang perlawanan akhir esok, mereka dijadualkan bertemu sama ada beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu ataupun satu lagi wakil Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/terbuka-australia-juara-dunia-tempah-aksi-final/

  • 7 daerah Selatan Thai zon bencana banjir

    7 daerah Selatan Thai zon bencana banjir

    BANGKOK – Wilayah Songkhla mengisytiharkan zon kecemasan di tujuh daerah selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banjir besar, menjejaskan hampir 18,000 isi rumah, lapor akhbar Bangkok Post semalam.

    Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.

    Hujan lebat berterusan dan monsun timur laut menenggelamkan kawasan luas di wilayah selatan Thailand itu sejak 19 November lalu.

    Daerah terjejas ialah Rattaphum, Muang Songkhla, Khlong Hoi Khong, Ranot, Krasae Sin, Sathing Phra dan Hatyai.

    Pihak berkuasa berkata, banjir menjejaskan 159 kampung di 28 daerah melibatkan 17,886 isi rumah atau 44,958 penduduk.

    Sebuah rumah musnah sepenuhnya dan tiga lagi rosak teruk.

    Sebuah hospital dan enam jalan raya turut ditenggelami air.

    Bencana itu menyebabkan banjir kilat dan angin kencang sejak kelmarin.

    Gabenor Songkhla, Ratthasart Chidchoo mengarahkan semua 16 ketua daerah untuk bekerjasama dengan pejabat lebuh raya tempatan bagi memasang papan amaran dan kon lalu lintas.

    Katanya, ketua-ketua daerah digesa memohon pam air tambahan daripada organisasi pentadbiran tempatan, pejabat pencegahan dan mitigasi bencana serta agensi pengairan untuk mengeringkan air selain membuka semula jalan raya secepat mungkin.

    Sementara itu, banjir di Pattani menyebabkan Hospital Sai Bur melakukan persiapan untuk memindahkan pesakit-pesakit dialisis.

    Mereka yang dijadualkan untuk mendapatkan rawatan di hospital awam di daerah Sai Buri pula dinasihatkan untuk pergi ke Hospital Pattani. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/7-daerah-selatan-thai-zon-bencana-banjir/

  • Tolong adil, ‘polis’ syariah jangan fokus Dolla sahaja

    Tolong adil, ‘polis’ syariah jangan fokus Dolla sahaja

    SEJAK ditubuhkan pada 2019, nama kumpulan Dolla tidak pernah sepi daripada dihimpit pelbagai kontroversi lebih-lebih lagi berkaitan hal pemakaian yang dianggap ‘tidak cukup kain’.

    Kali ini, isu menjadi lebih besar apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata di depan khalayak ramai, boleh dikenakan tindakan bawah undang-undang jenayah syariah.

    Mohd. Naim juga meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan menyemak semula garis panduan sedia ada berkaitan aspek pemakaian selebriti beragama Islam.

    Ceritanya, isu tersebut bermula selepas pendakwah Ustazah Asma’ Harun secara terbuka menegur mengenai video muzik terbaharu trio terbabit berjudul Question yang dianggap keterlaluan.

    Tidak menunggu lama, syarikat rakaman Dolla iaitu Universal Music Malaysia serta-merta bertindak menurunkan video muzik tersebut.

    Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan dibuat selepas meneliti semula seluruh kandungan produksi serta maklum balas ramai.

    “Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan.

    “Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan menurunkan video muzik tersebut adalah langkah wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

    Universal Music Malaysia juga menegaskan pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat, melibatkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sebegini berulang.

    Pendakwah selebriti Imam Muda Asyraf turut menyambut baik tindakan berkenaan, namun berharap pelaksanaan harus dilakukan secara teliti agar tidak melanggar hak privasi mana-mana pihak.

    “Kalau nak laksana, pihak kerajaan perlu teliti sebab dalam pelaksanaan sebegini, pasti dilakukan secara berperingkat.

    “Nak suruh orang tutup terus pun mungkin ada peringkat-peringkat tertentu dan kita faham. Tak semudah yang mungkin kita boleh cakap.

    “Insya-Allah kita doakan yang terbaik semoga pelaksanaan tindakan untuk meletakkan prosedur operasi standard (SOP) itu berlaku dengan baik,” katanya.

    Melihat ramai yang melemparkan pelbagai respons mengenai cadangan pihak kerajaan, dia berkata, segala persoalan orang ramai hanya boleh terjawab selepas garis panduan mengenai isu tersebut diumumkan.

    “Cumanya sekarang kita berbincang tentang isu negara yang nak menetapkan satu undang-undang, menetapkan sesuatu yang bila kita panggil sebagai ruang awam.

    “Berbincang tentang hak peribadi dan adakah kita ingin menjadi polis syariah? Ini persoalan-persoalan yang selalu orang bincanglah.

    “Jadi mungkin kalau kerajaan nak buat garis panduan, saya rasa bagus. Kita menunggu juga garis panduan yang lebih objektif, mudah difahami dan ada sukatan kadarnya.

    “Cuma dari segi pelaksanaannya itu, saya serah pada pelaksana undang-undang sebab memang ada peruntukan Undang-undang Jenayah Syariah mengenai etika pemakaian dan sebagainya,” katanya lagi.

    Selain itu, peminat juga mencadangkan agar Dolla melebarkan sayap ke luar negara bagi memastikan potensi kumpulan itu tidak terbantut akibat kritikan masyarakat tempatan.

    Selepas keputusan menurunkan video muzik di semua platform digital, ramai yang memuji tindakan kumpulan wanita itu termasuk Ustazah Asma’ dan Mohd. Naim.

    “Terima kasih kerana memilih jalan yang menghormati sensitiviti masyarakat dan imej negara.

    “Keputusan ini bukan mudah, namun syarikat memilih mendengar suara ramai dan bertindak dengan penuh integriti.

    “Tindakan ini mencerminkan profesionalisme, kematangan dan rasa hormat terhadap sensitiviti masyarakat serta nilai negara,” kata Ustazah Asma’.

    Benar kata Ustazah Asma’, keputusan untuk menurunkan video muzik sememangnya tidak mudah memandangkan segala penat lelah ditaburkan sepanjang proses pembikinan lagu tersebut.

    Namun, pujian harus diberikan kepada Dolla dan syarikat rakamannya yang sanggup menurunkan ego, sekali gus menunjukkan kepekaan terhadap komen dibangkitkan.

    Bagaimanapun, diharapkan isu ini bukan sahaja tertumpu kepada kumpulan Dolla, malah terhadap selebriti wanita lain yang sering menggayakan pakaian mencolok mata lebih-lebih lagi semasa acara pertunjukkan fesyen.

    Jangan hanya tunding salah kepada satu pihak tetapi yang lain diabaikan semata-mata disebabkan isu sedang panas.

    Diharapkan selebriti lain juga terus peka dengan cara pemakaian terutama apabila perlu berhadapan khalayak mahupun semasa muncul di mana-mana platform.

    Buat Sabronzo, Tabby dan Angel, dengarlah teguran kerana ramai sayangkan kalian. Jika lagu kalian sememangnya bagus cukup-cukuplah menggunakan ‘seksi’ sebagai modal memancing mata khalayak.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/tolong-adil-polis-syariah-jangan-fokus-dolla-sahaja/

  • Barista maskulin tolak gaji RM10,000 demi kopi

    Barista maskulin tolak gaji RM10,000 demi kopi

    SEREMBAN – Demi minat dan mengejar cita-cita membina per­nia­gaan sendiri, seorang lelaki sang­gup meninggalkan kerjayanya dengan gaji RM10,000 sebulan untuk menjadi seorang barista dan menceburi bidang keusahawanan. Mohammad Aliff Ridduan, 36, nekad meninggalkan jawatan sebagai Pengurus Operasi Logistik di Port Klang dan mengusahakan bisnes kopi dikenali 1: 2 Brew, selepas empat tahun me­nim­ba pe-ngalaman secara sambilan. “Ramai kata saya gila. Majikan pun pujuk berkali-kali. Tapi hati saya cuma pada kopi,” katanya yang juga bapa kepada dua anak itu ketika ditemui…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/barista-maskulin-tolak-gaji-rm10000-demi-kopi/

  • Wicked 2: Lebih ‘dark’, pengakhiran epik membocor emosi

    Wicked 2: Lebih ‘dark’, pengakhiran epik membocor emosi

    LEBIH permainan emosi, pengarahan serta sinematografi luar biasa dan semestinya, terjemahan karakter hebat daripada dua pemain utama karakter kesayangan dunia, Elphaba lakonan Cynthia Erivo dan Glinda (Ariana Grande).

    Itu yang ‘bocor’ dari fikiran penulis usai melangkah keluar panggung menonton filem Wicked: The Good arahan sutradara Jon M. Chu selain naskhah terbabit meneruskan kecemerlangan dari segi runut bunyi.

    Berdurasi 2 jam 18 minit, Wicked: For Good menjadi pengakhiran yang dinanti-nanti ramai tidak wajardilepaskan di panggung.

    Pertama sekali, dari sudut terjemahan karakter, Cynthia dan Ariana masing-masing memberikan persembahan lakonan dan nyanyian sangat menakjubkan.

    Hubungan persahabatan antara kedua-dua watak itu turut memberikan sentuhan emosi yang kuat, sekali gus menjadikan perjalanan mereka lebih menyentuh hati pada sekuel kali ini.

    Penulis bukan peminat nombor satu jenama Wicked, namun sinergi emosi yang dilantunkan kedua-dua pelakon terbabit kadangkala membuatkan air mata bercucuran.

    Persahabatan adalah antara elemen terpenting dalam kehidupan, begitulah yang ditunjukkan Elphaba dan Glinda bahawa sejauh mana dunia mengkhianati, akan ada jalan damai walaupun sakit ditelan.

    Keduanya, pengarahan Jon M. Chu untuk sekuel kali ini lebih memuaskan berbanding yang pertama.

    Dunia Oz dibina dengan lebih luas dan terperinci, visual yang lebih memukau berbanding filem pertama, serta skala penceritaan yang terasa kian besar dan matang.

    Secara peribadi, penulis menyifatkan Wicked: For Good lebih ‘gelap’ daripada filem pertama yang sebelum ini menerima percikan kritikan kononnya tona dan visual terlalu ‘terang’ untuk sesebuah filem muzikal.

    Selain itu, runut bunyi kali ini menggabungkan lagu-lagu ikonik daripada Wicked bersama beberapa lagu baharu.

    Ketika Elphaba dan Glinda bertembung menyanyikan lagu For Good, ada bahagian dalam diri yang ‘berkaca’ dan hati seperti dirobek-robek. Semestinya dua perihal tersebut membuatkan mata ‘berhabuk’ dan hati berbolak-balik dengan makna sebuah persahabatan yang setia.

    Pengakhiran tak sama

    Filem ini bukan sekadar mengulangi pentas muzikal asal. Watak-watak tertentu diberi latar lebih mendalam malah dunia Oz diteroka dengan lebih luas.

    Ada juga kejutan kecil yang pasti menggembirakan peminat tegar Wicked dan Broadway. Bagaimana kisah Elphaba dan Glinda dinoktahkan.

    Juga bagaimana Glinda berpegang kuat pada janji yang dipateri kepada Elphaba untuk menjadikan dunia Oz aman dan damai.

    Bagaimanapun, dalam banyak pujian, ada perkara yang secara peribadinya buat penulis kurang terkesan dengan Wicked: For Good.

    Kalau dalam filem pertama, koreografi antara perihal yang menguatkan jalan cerita, namun untuk sekuel kali ini hal terbabit tidak diperkasakan dengan selumatnya.

    Mungkin memang tujuan pengarah untuk lebih memberikan dampak emosi kepada audiens.

    Itu memang dapat dilihat apabila antara ‘faktor x’ utama Wicked: For Good adalah perjalanan emosinya.

    Apapun, Wicked: For Good masih antara filem yang wajib ditonton menjelang penutup tahun 2025.

    Ada sedikit perubahan berbanding versi teater atau broadway, namun itulah keindahan apabila seni teater beralih kepada layar perak.

    Markah peribadi buat Wicked: For Good andai kisah ini sebuah lembaran kertas peperiksaan adalah 80/100. Tetap menghiburkan.

    Sinopsis: Mengisahkan Elphaba, bakal Penyihir Jahat dari Barat, dan hubungannya dengan Glinda, Penyihir Baik dari Utara. Filem ini merupakan bahagian kedua daripada adaptasi filem dua bahagian berdasarkan muzikal Broadway terkenal.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/wicked-2-lebih-dark-pengakhiran-epik-membocor-emosi/

  • Hatyai banjir, rakyat Malaysia terkandas di hotel

    Hatyai banjir, rakyat Malaysia terkandas di hotel

    PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang bercuti ke Hatyai, Thailand terkandas di dalam hotel, susulan hujan lebat seterusnya mengakibatkan banjir di kawasan tersebut.

    Menerusi hantaran pengguna Thread Nabilah Norhisham memberitahu, dia kini terkandas bersama keluarganya sehingga terpaksa mencatu makanan.

    “Korang yang nak pergi Hatyai tolong batalkan dulu. Keluarga aku terkandas kat hotel. Mana-mana semua air dah naik.

    “Sis mengenangkan kena catu makanan kat hotel. Ada bawa bayi dan budak kecil, jadi duduk diam-diam jela sampai surut,” katanya.

    Seorang lagi pengguna Thread Atiqah Syazwani berkata, kawasan hotel di tempat dia dan keluarga menginap turut dinaiki air.

    “Hatyai hujan tak berhenti kelmarin seharian hingga Jumaat. Hari ni kawasan hotel semua dah naik air. Dengar cerita area jalan utama air dah makin tinggi. Doakan kami satu keluarga semua selamat. Risau sebab dekat tempat orang,” katanya.

    Seorang lagi rakyat Malaysia, Minz Hj Nezam turut berkongsi suasana banjir di kawasan sekitar Hatyai pukul 4 pagi tadi waktu tempatan.

    “Semoga dipermudahkan urusan kami 4 pagi waktu Hatyai banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/22/video-banjir-hatyai-rakyat-malaysia-terkandas-di-hotel/

  • 【印裔子女改教案】警:逾百人参与正义之行 静坐路中是否违法待研究

    【印裔子女改教案】警:逾百人参与正义之行 静坐路中是否违法待研究

    金马警区主任沙扎礼助理总监指出,“正义之行”共有约百名民众参与,约60名警察维持秩序,活动顺利进行,没有引发不愉快事件。

    他强调,警方的职责是确保公共秩序、交通及民众安全不受干扰。

    对于静坐于马路中央是否违反相关法令,他说,警方将进一步研究处理。

    🔗 Source: https://www.kwongwah.com.my/?p=1718541