Tag: JNJ-MEDIA

  • Wartawan antara 10 lelaki ditahan dakwa ceroboh tapak kilang di Kulim

    Wartawan antara 10 lelaki ditahan dakwa ceroboh tapak kilang di Kulim

    ALOR SETAR 31 Mac – Pihak polis mengesahkan penahanan 10 lelaki termasuk seorang wartawan portal berita bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menceroboh masuk ke tapak pembinaan sebuah kilang di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Rabu lalu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lapan daripada suspek ditahan pada Sabtu lepas manakala dua lagi individu ditahan hari ini.

    Kesemua suspek yang berusia antara 20-an hingga 40-an itu disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menceroboh harta benda atau tanah persendirian secara jenayah.

    “Dalam kejadian sekitar jam 3.15 petang pada 26 Mac lalu, dianggarkan 10 hingga 12 individu yang menaiki lapan buah kereta telah menerjah masuk ke tapak kilang berkenaan yang sedang dalam pembinaan.

    “Dua pengawal keselamatan yang bertugas telah menghalang mereka daripada memasuki kawasan tersebut, namun arahan itu tidak diendahkan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Menurut Adzli, kumpulan tersebut dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dan mempertikaikan tindakan pihak pengurusan mengambil pekerja luar sedangkan masih ramai pekerja tempatan yang layak.

    Lapan individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua lagi suspek yang ditahan hari ini akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman.

    Terdahulu, media melaporkan seorang wartawan portal berita Tamil, Thinathanti, Kalidas Subramaniom telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berhubung dakwaan menceroboh ketika sedang membuat liputan berkaitan isu pendatang tanpa izin.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14962

  • ADUN Duyong kumpul RM90,000 dalam tempoh sejam bantu mangsa kebakaran

    ADUN Duyong kumpul RM90,000 dalam tempoh sejam bantu mangsa kebakaran

    MELAKA 31 Mac – Nasib seorang wanita warga emas bersama tujuh ahli keluarganya yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran Sabtu lalu mendapat pembelaan pantas daripada pelbagai pihak.

    Penderitaan keluarga Fatimah Ahmat, 69, dari Jalan Duyong Tengah, Kampung Duyong itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang segera menggerakkan usaha mengumpul dana bantuan.

    Menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini, beliau memaklumkan sumbangan berjumlah RM90,000 berjaya dikumpulkan hasil kerjasama pelbagai agensi dan individu dalam tempoh hanya satu jam.

    “Rumah dikategorikan sebagai musnah sepenuhnya (total lost) dan kos baik pulih dianggarkan mencecah RM80,000 dengan menggunakan khidmat tukang kampung bagi menjimatkan kos,” katanya.

    Beliau menjelaskan bahawa strategi mengumpul dana secara “keroyok” atau gandingan bersama itu dilakukan kerana kos baik pulih yang tinggi sukar ditanggung oleh satu agensi sahaja dalam masa yang singkat.

    Daripada jumlah RM90,000 yang dikumpulkan itu, sebanyak RM85,000 diperuntukkan khas untuk pembinaan semula rumah tersebut, manakala baki RM5,000 dijadikan rizab persediaan sekiranya terdapat peningkatan kos pembinaan.

    Antara penyumbang utama yang memberikan respon segera termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (RM20,000), Majlis Agama Islam Melaka (RM20,000), Lembaga Perumahan Melaka (RM20,000) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (RM10,000).

    Sumbangan lain turut diterima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Bank Rakyat Melaka serta Persatuan Automotif Melaka.

    Selain bantuan kewangan untuk kediaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan keperluan asas manakala Sekolah Kebangsaan Duyong menyediakan buku teks serta baju sekolah untuk anak-anak keluarga berkenaan yang terjejas.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14961

  • Harimau Malaya akui Vietnam ‘kebal’

    Harimau Malaya akui Vietnam ‘kebal’

    PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya ‘tutup buku’ kempen kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah sumbang selepas tewas 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Thien Trưong, Nam Dinh, sebentar tadi.

    Pada aksi sebentar tadi, Vietnam selaku tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Do Duy Mạnh meledak gol pembukaan seawal minit keenam selepas menanduk masuk bola yang berpunca daripada sepakan sudut Truong Tien Anh.

    Tersentak dengan gol tersebut, jentera serangan Harimau Malaya yang diketuai Faisal Halim memiliki peluang terbaik pada minit ke-11, tetapi sepakan yang dilakukan tidak menepati sasaran.

    Pada penghujung babak pertama, Malaysia hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Paulo Josue selepas menerima hantaran tepat Faisal sedikit tersasar.

    Bersambung pada separuh masa kedua, penyokong tuan rumah terus bersorak apabila penyerang naturalisasi, Rafaelson meledak dua gol pada minit ke-50 dan m-58 untuk memberi keselesaan berganda buat skuad Golden Star Warriors.

    Bagaimanapun, perancang tengah, Endrick Dos Santos merapatkan kedudukan menjadi 1-3 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-77.

    Cuma, hasrat Malaysia untuk meraih keputusan seri tidak kesampaian apabila beberapa peluang keemasan menerusi Faisal dan pemain gantian, Safawi Rasid sedikit tersasar dengan keputusan kekal hingga wisel penamat.

    Kekalahan tersebut menyaksikan Peter Cklamovski turut mengalami kekalahan pertama ‘di atas padang’ sejak membimbing pasukan negara pada tahun lalu.

    Harimau Malaya sebelum ini diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi tiga aksi persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin serta dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam dan Nepal oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana menurunkan pemain yang tidak berkelayakan.

    Keputusan itu juga melunaskan dendam Vietnam yang kini mengumpul 18 mata maksimum dan mengesahkan kelayakan ke Piala Asia 2027 selaku juara kumpulan F. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/harimau-malaya-akui-vietnam-kebal/

  • Cemerlang tak abai pelajaran, Alyssa Dezek raih 9A SPM

    Cemerlang tak abai pelajaran, Alyssa Dezek raih 9A SPM

    PETALING JAYA – Penyanyi muda sensasi, Alyssa Dezek, 18, membuktikan bahawa kejayaan dalam akademik dan kerjaya seni boleh dicapai seiring apabila berjaya meraih keputusan cemerlang ‘Straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.

    Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan peminat, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa komitmen terhadap pendidikan tidak harus diketepikan walaupun bergelar figura awam.

    Alyssa yang juga Ikon PTTI berkongsi bahawa antara faktor utama kejayaannya adalah konsistensi dalam mengikuti pembelajaran secara tersusun melalui platform digital.

    Sepanjang tempoh persediaan menghadapi SPM, dia mengikuti kelas dalam talian PTTI bagi kesemua sembilan mata pelajaran, yang disifatkan sangat membantu dalam memahami subjek dengan lebih mendalam serta mengurus masa dengan lebih efektif di tengah jadual seni yang padat.

    “Saya sangat bersyukur dengan keputusan ini. Sejujurnya, perjalanan ini bukan mudah kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran. Tapi saya percaya, kalau kita ada disiplin dan sistem pembelajaran yang betul, insya-Allah kita boleh capai apa yang kita impikan,” katanya.

    Alyssa yang cukup dikenali menerusi lagu Raya Gen Z turut menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya, guru-guru serta pihak PTTI yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.

    “PTTI banyak membantu saya kekal fokus, terutamanya dengan kelas yang fleksibel dan teknik pembelajaran yang mudah faham. Saya memang ikut semua kelas untuk sembilan subjek, dan itu antara kunci utama saya dapat ‘straight’ A,” tambahnya lagi.

    Kejayaan Alyssa ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi peranan pembelajaran digital sebagai alternatif berkesan dalam membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik, khususnya dalam era yang menuntut fleksibiliti dan akses pembelajaran tanpa sempadan.

    Sebagai figura muda yang berjaya dalam kedua-dua bidang hiburan dan akademik, Alyssa Dezek kini dilihat sebagai contoh terbaik kepada remaja Malaysia untuk terus mengejar ilmu tanpa mengabaikan potensi diri dalam bidang lain. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/cemerlang-tak-abai-pelajaran-alyssa-dezek-raih-9a-spm/

  • Trump sanggup tamatkan perang walau Selat Hormuz ditutup

    Trump sanggup tamatkan perang walau Selat Hormuz ditutup

    WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu pembantu-pembantunya bahawa beliau sanggup menamatkan perang dengan Iran meskipun sebahagian besar Selat Hormuz masih ditutup, lapor agensi berita Xinhua hari ini.

    Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) ketika memetik pegawai pentadbiran Trump melaporkan, Presiden itu dan pembantu-pembantunya baru-baru ini menilai bahawa misi untuk membuka laluan air tenaga global penting tersebut akan mendorong perang dengan Iran melangkaui tempoh masa dari empat menjadi enam minggu.

    Justeru, Trump memutuskan bahawa AS akan menghentikan permusuhan semasa dengan Iran selepas mencapai matlamat utamanya untuk melumpuhkan tentera laut dan stok peluru berpandu Iran, lapor WSJ.

    Katanya, Washington kemudian akan memberi tekanan diplomatik kepada Tehran untuk membuka semula selat itu. Jika gagal, ia akan mendesak sekutu-sekutu di Eropah dan Teluk untuk menerajui pembukaan semula selat tersebut.

    Trump turut mencadangkan dalam satu temu bual semalam bahawa White House akan mengetahui sama ada Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf sanggup bekerjasama dengan AS dalam masa kira-kira seminggu.

    “Kita akan mengetahuinya. Saya akan memberitahu anda perkara itu dalam masa kira-kira seminggu,” kata beliau kepada akhbar New York Post dalam satu temu bual eksklusif.

    Trump sebelum itu mengancam untuk memusnahkan hab eksport minyak Iran di Pulau Kharg, telaga minyak, loji kuasa dan infrastruktur awam lain jika Tehran tidak segera bersetuju dengan perjanjian untuk menamatkan perang.

    “Jika atas apa-apa sebab perjanjian tidak dicapai dengan segera dan jika Selat Hormuz tidak dibuka serta-merta untuk perniagaan, kami akan menamatkan penginapan yang indah di Iran dengan meletupkan dan memusnahkan sepenuhnya semua loji penjanaan elektrik, telaga minyak serta Pulau Kharg (dan mungkin semua loji penyahgaraman!),” tulis Trump di platform Truth Social. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/trump-sanggup-tamatkan-perang-walau-selat-hormuz-ditutup/

  • Pejuang kanser berjaya peroleh 8A 1B, ibu doa anak sembuh

    Pejuang kanser berjaya peroleh 8A 1B, ibu doa anak sembuh

    PETALING JAYA – Tekad seorang pejuang kanser tulang meneruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ternyata membuahkan hasil apabila remaja berkenaan berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A 1B, yang diumumkan hari ini.

    Aaron Darwisy Fakrulrazi, pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau, membuktikan bahawa penyakit bukan penghalang untuk berjaya meskipun terpaksa melalui fasa rawatan kemoterapi yang perit sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

    Menurut ibunya Norfardilawati, Aaron mula dikesan menghidap kanser tulang (Osteosarcoma) pada September 2025 selepas keputusan biopsi menunjukkan terdapat ketumbuhan pada bahagian bahu kanannya.

    “Doktor ortopedik sebenarnya mencadangkan supaya dia menangguhkan SPM, tetapi Aaron sendiri yang bertegas mahu meneruskannya walaupun sudah diterangkan mengenai risiko dan kesan rawatan.

    “Sebagai ibu, saya sangat sebak melihat dia belajar sendiri di rumah kerana tidak dibenarkan berada di tempat sesak akibat antibodi yang lemah selepas kemoterapi,” katanya.

    Menceritakan cabaran sepanjang peperiksaan, ibunya berkata, Aaron terpaksa melalui rawatan kemoterapi selama empat hari berturut-turut ketika jadual SPM sedang berjalan.

    Lebih mencabar, anaknya pernah dimasukkan ke hospital selama enam hari akibat jangkitan kuman dalam darah ketika peperiksaan kertas Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain mengalami jangkitan mata semasa menduduki kertas akhir Matematik Tambahan.

    “Dia juga beberapa kali pengsan semasa ujian lisan di sekolah. Malah, sebaik sahaja tamat kertas terakhir, Aaron terus menjalani pembedahan besar memakan masa selama 12 hingga 13 jam.

    “Jujurnya, saya tidak meletakkan sebarang jangkaan tinggi kerana hanya mahu dia sembuh. Namun melihat keputusan 8A dan 1B ini, saya rasa segala kesakitan dan keazamannya sangat berbaloi,” ujarnya.

    Walaupun tidak dapat menyertai bengkel latihan di sekolah, Aaron tetap berusaha mengikuti kelas dalam talian melalui platform MCPlus selain mendapat sokongan moral dan bantuan daripada guru-guru sekolahnya.

    Bagi ibunya, kejayaan tersebut adalah kekuatan luar biasa seorang anak muda yang enggan menyerah kalah kepada takdir.

    “Keputusan ini sangat bermakna. Doa saya cuma satu, agar Aaron diberikan kesembuhan sepenuhnya dan berjaya dunia akhirat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/pejuang-kanser-berjaya-peroleh-8a-1a-ibu-mohon-anak-sembuh/

  • Saya tak dapat hak sebagai seorang isteri seadilnya – Marissa Dania

    Saya tak dapat hak sebagai seorang isteri seadilnya – Marissa Dania

    PETALING JAYA – Drama kian berpanjangan, anak kepada pelakon Abby Abadi, Marissa Dania Hakim mempersoalkan tindakan yang dipercayai buat madunya, Umisya yang membangkitkan sejarah lama sebelum pernikahannya dengan Ahmad Aslam.

    Marissa, 20, mengakui segala kesilapan yang pernah dilakukan selain menegaskan tidak pernah melakukan tindakan bersifat provokasi sejak bergelar isteri.

    “Adakah wajar untuk terus membangkitkan perkara-perkara sebelum perkahwinan sedangkan saya tidak melakukan apa-apa selepas itu?,”

    “Saya mengakui salah dan khilaf. Saya tidak mengganggu atau melakukan sebarang provokasi selepas bernikah,” katanya dalam Threads.

    Lebih mengejutkan, Marissa mendakwa tidak menerima hak sebagai seorang isteri yang sepatutnya tetapi memilih untuk berdiam diri dan tak menuntut apa-apa.

    “Malah, saya tidak mendapat hak sebagai seorang isteri seperti yang sepatutnya, seadilnya dan saya juga tidak menuntut apa-apa mahupun berkata apa-apa,” ujarnya.

    Dia turut menyuarakan kekesalannya terhadap segelintir pihak yang menggunakan kelemahan dirinya sebagai umpan untuk meraih sokongan ramai.

    “Adakah kita benar-benar perlu mencari sokongan dengan mendedahkan kelemahan seseorang?,” soalnya.

    Sebelum ini, Umisya mendedahkan sudah melakukan segala usaha dan tanggungjawab sebagai isteri termasuk memberi teguran kepada suami serta menasihati pihak ketiga agar tidak meneruskan hubungan sulit.

    Dia juga pernah meminta keluarga pihak wanita untuk membuat laporan polis bagi menghalang suaminya daripada terus mengganggu anak mereka.

    Semalam, Aslam dan Marissa hadir di mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang dibuat sebanyak dua kali, iaitu pada September 2024 sebelum kembali rujuk dalam bulan sama dan sekali lagi melafazkan cerai pada April 2025 dan difahamkan rujuk sekitar Jun tahun sama.

    Marissa Dania merupakan isteri kedua Aslam selepas mereka bernikah di Thailand pada 27 Disember 2023 yang ketika itu sudah pun bergelar suami Umisya pada Julai 2020.

    Pasangan itu juga pernah bercerai pada September 2023 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula dalam tempoh idah. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/saya-tak-dapat-hak-sebagai-seorang-isteri-seadilnya-marissa-dania/

  • 13,779 calon SPM dapat keputusan cemerlang A+,A,A-

    13,779 calon SPM dapat keputusan cemerlang A+,A,A-

    PUTRAJAYA – Seramai 13,779 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 atau 3.55 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, sementara itu, seramai 376 calon pula mendapat gred A+ untuk semua mata pelajaran yang mana angka itu meningkat berbanding 2024.

    “Bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2025 turut menunjukkan peningkatan iaitu seramai 92,347 calon berbanding 86,040 pada 2024,” katanya pada sidang akhbar pengumuman SPM 2025 di Kementerian Pendidikan di sini tadi.

    Untuk rekod, calon SPM 2025 merupakan kumpulan pertama yang tidak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

    Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/13779-calon-spm-dapat-keputusan-cemerlang-aaa/

  • ‘Pernikahan Aslam, Marissa sah, berjaya peroleh sijil nikah’

    ‘Pernikahan Aslam, Marissa sah, berjaya peroleh sijil nikah’

    PETALING JAYA – Susulan kekeliruan mengenai status perkahwinan dengan anak kepada pasangan selebriti Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Marissa Dania, pempengaruh Aslam tampil menjawab beberapa persoalan bagi menamatkan tanda tanya orang ramai.

    Dalam sebuah video, Aslam meminta peguam yang mewakili dirinya iaitu Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri menjelaskan isu pendaftaran pernikahan mengikut undang-undang Malaysia.

    “Saya diarahkan anak guam untuk memberikan penjelasan tentang beberapa kekeliruan. Yang pertama mengenai bila Aslam daftar (pernikahan).

    “Adakah daftar lambat? Kalau ikutkan apa Aslam buat inilah proses yang paling cepat kami dapat laksanakan.

    “Kalau ikutkan dia tak boleh failkan apa-apa kes selepas daripada ini tapi kita berjaya,” katanya dalam sebuah video.

    Dalam masa sama, Ammar turut memaklumkan pasangan kontroversi itu sudah memiliki sijil nikah selain mengulas isu pernikahan di Songkhla, Thailand.

    “Yang kedua, nikah berlaku di Thailand dah selesai. Tutup cerita di situ sebenarnya.

    “Pernikahan ini sah mengikut hukum syarak.

    “Ketiga, sijil nikah kita berjaya peroleh. Kalau tiada, kita tak dapat buat proses seterusnya,” katanya lagi.

    Dalam video berdurasi 1 minit 45 saat, Aslam yang berada du sebelah peguamnya hanya mendiamkan diri sepanjang penjelasan dibuat.

    Semalam, pasangan berkenaan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi sebutan pertama kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk di hadapan Hakim Syarie Nadia Khamis.

    Ini berikutan Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

    Ammar berkata, mahkamah belum dapat membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut dan menangguhkan kes ke tarikh yang akan dimakluman kelak.

    Terdahulu, pasangan tersebut mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.

    Perkahwinan tersebut turut didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.

    Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses berkaitan masih berlanjutan sehingga kini. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/pernikahan-aslam-marissa-sah-berjaya-peroleh-sijil-nikah/

  • Kebangkitan magis Hakim Danish

    Kebangkitan magis Hakim Danish

    PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit dari petak terakhir untuk menduduki tempat ke-13 pada perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS), awal pagi semalam.

    Biarpun terpaksa memulakan saingan dari kedudukan ke-25 selepas gagal mencatatkan masa susulan kemalangan pada sesi kelayakan, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu tidak membiarkan insiden tersebut mengganggu fokusnya di litar Circuit of The Americas (COTA).

    Anak jati Terengganu itu mempamerkan tunggangan agresif apabila berjaya memintas tujuh pelumba seawal tiga pusingan pertama untuk kembali bersaing dalam kelompok pertengahan.

    Meskipun bergelut dengan pengurusan tayar lembut dan kesan fizikal akibat insiden terjatuh pada Sabtu, aksi konsisten memintas seorang demi seorang pelumba dihadapannya membolehkan Hakim Danish menamatkan saingan di kedudukan ke-13, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga.

    Hasil keputusan itu, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-14 keseluruhan dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga pusingan perlumbaan.

    “Secara keseluruhan, perlumbaan di COTA ini amat sukar. Saya perlu mencari ruang pada setiap pusingan dan selekoh untuk memintas seorang demi seorang pelumba di hadapan saya.

    “Saya juga sedikit bergelut kerana menggunakan tayar lembut selain hampir terjatuh pada baki lima pusingan terakhir. Saya akan jadikan pengalaman ini sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan di sesi kelayakan pada masa hadapan,” kata Hakim Danish.

    Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin memuji kebangkitan yang dipamerkan anak didiknya itu meskipun menganggap hujung minggu di Austin sebagai cabaran teknikal yang besar buat seorang pelumba baharu seperti Hakim Danish.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/03/31/kebangkitan-magis-hakim-danish/