KUALA LUMPUR 20 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa proses lantikan dan kenaikan pangkat dalam pasukan keselamatan itu bebas daripada sebarang unsur diskriminasi terhadap kaum bumiputera, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Shamsul menjelaskan bahawa PDRM tidak menetapkan sebarang kuota khusus bagi bumiputera atau bukan bumiputera. Sebaliknya, pengambilan dibuat berdasarkan merit, kelayakan akademik, kecergasan fizikal serta kelulusan proses tapisan keselamatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa PDRM melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan penyertaan bukan bumiputera, termasuk memberi kelonggaran terhadap syarat lantikan fizikal dan akademik serta mempergiatkan promosi dan libat urus di institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti setempat.
“Langkah ini bertujuan memberi maklumat dan membuka lebih banyak ruang penyertaan tanpa menjejaskan tahap profesionalisme serta integriti pasukan. PDRM sentiasa menggalakkan lebih ramai bukan bumiputera menyertai pasukan supaya komposisinya mencerminkan kepelbagaian rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai jumlah individu baharu yang diserap sejak 2022, peratusan bukan bumiputera dalam pasukan PDRM, serta ketetapan kuota bagi individu bumiputera dan bukan bumiputera pada masa kini.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12616









