Tag: JNJ-MEDIA

  • Kanak-kanak warga Rusia maut disengat obor-obor di Pantai Cenang

    Kanak-kanak warga Rusia maut disengat obor-obor di Pantai Cenang

    ALOR SETAR 19 Nov – Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun meninggal dunia pagi ini setelah mengalami komplikasi serius dipercayai akibat sengatan obor-obor ketika mandi di kawasan Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu lalu.

    Mangsa, Vladimir Iakubanets, yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), disahkan meninggal dunia pada pukul 9.46 pagi selepas beberapa hari bertarung akibat kesan sengatan haiwan beracun itu.

    Bapanya, Nikita, 32, berkata kejadian berlaku sangat pantas ketika anak mereka bermain di kawasan air cetek.

    “Dalam kejadian Sabtu lalu, ketika mandi di kawasan air cetek, tiba-tiba dia menjerit kesakitan. Isteri saya terus mengangkatnya, serahkan kepada saya dan kami bawa dia naik ke pantai.

    “Dalam beberapa saat saja, dia berhenti bernafas. Saya cuba buat CPR secepat mungkin. Ada pelancong lain datang membantu dan bawa kami kepada penyelamat pantai.

    “Mereka hanya cuci luka dengan cuka sebelum hantar ke klinik dan kemudian ke hospital,” katanya ketika ditemui di HSB hari ini.

    Menurut Nikita, pasukan perubatan di Langkawi dan di Alor Setar telah melakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan Vladimir.

    Mereka tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada orang ramai mengenai risiko sengatan obor-obor di kawasan pantai.

    “Kami percaya kejadian menimpa Vladimir adalah untuk selamatkan orang lain, untuk elakkan tragedi sama berulang.

    “Vladimir sangat baik dan bijak, kami keluarga yang bahagia,” katanya dalam nada sebak.

    Ibu mangsa, Olga, 32, berkongsi bahawa anak kecil itu sentiasa menunjukkan keperibadian lembut dan suka membantu sejak kecil.

    “Dia wira kami… malaikat kecil kami. Setiap hari kami beritahu kami sayang dia dan dia selalu balas dia sayang kami,” katanya.

    Pasangan itu merancang membawa abu Vladimir pulang ke Rusia sebaik proses pembakaran mayat diselesaikan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12601

  • Perlanggaran boom skylift punca runtuhan binaan projek ECRL di MRR2, menteri turun melawat kawasan kejadian

    Perlanggaran boom skylift punca runtuhan binaan projek ECRL di MRR2, menteri turun melawat kawasan kejadian

    GOMBAK 19 Nov – Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati insiden runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Batu Caves semalam berpunca daripada perlanggaran ‘boom’ jentera skylift yang digunakan ketika kerja pemeriksaan.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata perlanggaran itu berlaku ketika subkontraktor Wuhan Construction Sdn. Bhd. menjalankan kerja pemeriksaan ketebalan cat pada struktur berkenaan.

    “Selain itu, kerja berisiko tinggi berkenaan dijalankan tanpa kebenaran bertulis (permit kerja) daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn Bhd.

    “Susulan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR ) sudah mengarahkan baki struktur ‘steel canopy’ yang masih ada di lokasi dibuka serta-merta bagi mengelakkan risiko kejadian berulang.

    “Siasatan awal JKKP mendapati struktur binaan yang runtuh itu adalah struktur perlindungan sementara bagi mengelakkan objek jatuh ke jalan raya dan tidak direka untuk menampung beban hentakan,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya dihempap struktur runtuhan sebelum berjaya diselamatkan orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

    Abdul Rahman berkata, JKKP telah mengeluarkan Notis Larangan terhadap kontraktor utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, bagi menghalang kerja pemeriksaan ketebalan cat diteruskan sehingga satu sistem kerja selamat diwujudkan dan disahkan pihak berkuasa.

    “Semua kontraktor dan subkontraktor mesti mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, terutama dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan seawal peringkat reka bentuk dan diteruskan secara berterusan sepanjang tempoh projek.

    “Pendekatan ini penting bagi mengenal pasti bahaya, mengambil langkah pencegahan yang sesuai serta seterusnya mengelakkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan,” katanya.

    Beliau berkata siasatan terperinci akan diteruskan bagi menentukan punca sebenar insiden selain memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi aspek keselamatan.

    Dalam masa sama, JKKP turut diarahkan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas jajaran ECRL yang berdekatan jalan raya bagi memastikan semua kontraktor mematuhi peraturan ditetapkan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12600

  • Wanita maut dirempuh lori ketika tukar tayar di lorong kecemasan PLUS

    Wanita maut dirempuh lori ketika tukar tayar di lorong kecemasan PLUS

    SEREMBAN 19 Nov – Hasrat seorang wanita untuk ke tempat kerja berakhir tragedi selepas dia maut dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar keretanya di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, pagi tadi.

    Mangsa berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat penapis air itu difahamkan dalam perjalanan ke pejabatnya di Senawang sebelum keretanya mengalami kerosakan kira-kira jam 9.20 pagi.

    Rakan sekerja mangsa, Nur Affiqah Jamran, 30, berkata mereka pada awalnya menunggu kehadiran mangsa ke mesyuarat pagi sebelum menerima panggilan mengejutkan daripada rakan serumah arwah.

    “Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, namun dia tidak muncul di pejabat membuatkan kami pelik sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.

    “Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia, mayatnya ditutup dengan kain putih,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Proton X50 dari arah Gadong menghala ke Senawang berhenti di lorong kecemasan selepas tayar belakang kanan kenderaan pancit.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Proton X50, iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.

    “Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan, tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya dikatakan memberhentikan motokar di lorong kecemasan.

    “Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu,” katanya.

    Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

    “Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12598

  • 50 peratus jemaah haji tolak tawaran kerana faktor kewangan

    50 peratus jemaah haji tolak tawaran kerana faktor kewangan

    KUALA LUMPUR – Separuh daripada keseluruhan jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini terpaksa menolak tawaran tersebut disebabkan masalah kewangan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, rekod Tabung Haji (TH) turut mendapati 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit TH mempunyai simpanan kurang RM1,300.

    “Pada masa ini juga, sebanyak 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit hanya mempunyai simpanan kurang RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.

    “Manakala, 50 peratus jemaah haji bagi 2025 yang terpilih menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini semalam.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan projek itu.

    Terdahulu, Mohd. Na’im berkata, TH ditubuhkan dengan dua matlamat utama iaitu sebagai institusi penabungan haji dan organisasi memudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.

    Katanya, hasil komitmen dan usaha keras setiap tahun meletakkan TH sebagai penyedia perkhidmatan haji yang diiktiraf terbaik di dunia melalui penganugerahan ‘Diamond Award Labaytum’ oleh kerajaan Arab Saudi.

    Bagaimanapun, katanya, peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan kerana kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik.

    TH antaranya perlu berasing dengan unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta, maka inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan agensi itu sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam Malaysia.

    “Matlamat inisiatif ini untuk menyusun semula strategi bagi meningkatkan kembali paras simpanan pendeposit yang amat rendah. Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan, bukan secara organik,” katanya.

    Justeru, katanya, TH mengambil langkah strategik peremajaan jenama bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

    Jelasnya, peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding bagi inisiatif peremajaan jenama adalah RM5.9 juta atau RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.

    Katanya, TH setakat ini membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa selari dengan tempoh masa yang dipersetujui.

    “TH masih memperhalusi kerja-kerja lanjutan yang diperlukan bagi inisiatif peremajaan jenama dan ia masih belum dimuktamadkan.

    “Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai setakat ini. Peruntukan ini juga mengguna pakai peruntukan bajet tahunan sedia ada bagi

    aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/50-peratus-jemaah-haji-tolak-tawaran-kerana-faktor-kewangan/

  • ‘Kalau tiba-tiba beremosi, marah, saya mandi air garam’

    ‘Kalau tiba-tiba beremosi, marah, saya mandi air garam’

    PETALING JAYA – Bercakap daripada pengalaman sendiri, pelakon Datuk Remy Ishak mendedahkan amalan mandi garam sebenarnya berupaya membantu menyingkirkan aura negatif dalam badan.

    Ujar Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, amalan berkenaan sememangnya memberi banyak manfaat terutama buat dirinya yang sering dihantui kebimbangan berhubung penyakit ain atau penerimaan khalayak.

    “Saya cakap berdasarkan pengalaman, kita pernah melalui penyakit ain kalau muncul di khalayak awam atau terlibat dengan dunia luar.

    “Perkara itu biasa, secara saintifik, kalau kita banyak ion negatif, garam dapat membantu, sama ada kita minum atau mandi.

    “Mineral garam memang perlu dalam badan dan secara saintifik pun terbukti,” katanya ditemui Kosmo! Online dilokasi penggambaran drama Sumpah Ibuku baru-baru ini.

    Tambahnya lagi, amalan tersebut sering dilakukan bergantung kepada keperluan terutama ketika berada dalam tekanan, sama ada dalam pekerjaan atau masalah peribadi.

    “Itulah amalan saya bila rasa stres. Kadang-kadang dalam media sosial orang tengok gambar bersangka tak baik pun boleh buat kita terkena benda-benda negatif.

    “Buat rasa badan tak selesa tiba-tiba beremosi dan marah. Rasa tak menentu, bermakna ada sesuatu tidak kena. Cara terbaik adalah saya mandi garam.

    “Saya tidak tahu orang lain, kalau saya ya, tenang. Lain orang lain cara, setengah orang telan panadol pun dah okey. Kalau saya sendiri, memang terbukti,” jelasnya.

    Mengulas mengenai bagaimana mempelajari kaedah tersebut, Remy menjelaskan cara tersebut diberikan pakar ketika dirinya berdepan episod kemurungan sewaktu pandemik Covid-19.

    “Dahulu ada satu masa waktu pandemik, saya mengalami kemurungan dan berjumpa dengan pakar psikiatri dan psikologi. Saya dapat tips ini daripada mereka,” tuturnya.

    Sebelum ini, pelakon Zara Zya memuat naik hantaran dalam Threads berkaitan kewujudan aura negatif yang membuatkan seseorang terasa jauh dan sukar didekati.

    Gara-gara hantaran terbabit, Remy menulis komen dengan mencadangkan agar rakan seperjuangannya itu mengamalkan mandian garam atau ais untuk membersihkan atau menjauhkan diri daripada anasir-anasir luar yang boleh menjejaskan kualiti hidup. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/kalau-tiba-tiba-beremosi-marah-saya-mandi-air-garam/

  • Pearly-Thinaah tak boleh ‘lari’ ke final

    Pearly-Thinaah tak boleh ‘lari’ ke final

    BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah perlu bersedia berdepan jangkaan tinggi dalam setiap kejohanan disertai berdasarkan prestasi semasa dipamerkan ketika ini.

    Tujuh final, tiga gelaran pada Terbuka Thailand, Terbuka Arctic dan Kumamoto Masters selain naib juara Kejohanan Badminton Dunia menjadikan musim 2025 sebagai kempen terbaik buat gandingan No. 2 dunia itu.

    Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, dua anak buahnya itu tidak boleh ‘lari’ daripada jangkaan tinggi ke atas mereka menjelang kejohanan-kejohanan akan datang.

    “Untuk Pearly dan Thinaah, mereka tidak boleh ‘lari’ daripada mencatat keputusan terbaik dalam setiap kejohanan. Apabila mereka pergi kejohanan, setiap orang sentiasa meletakkan sasaran tinggi.

    “Memang inilah yang kami perlu terima sekarang. Sekiranya kami tidak dapat menerima sasaran tinggi seperti itu, bermakna kami seperti tidak mahu untuk berada di tahap tersebut,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

    Ahad lalu, Pearly-Thinaah meraih gelaran ketiga musim ini selepas memenangi kejohanan Kumamoto Masters di Jepun selepas menewaskan beregu tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19.

    Sementara itu, Rosman masih berwaspada dengan ancaman pemain-pemain lain kerana menganggap kelompok lapan terbaik dunia ketika ini memiliki peluang untuk mencatat kemenangan ke atas satu sama lain.

    “Pada ketika ini, mana-mana beregu yang berada dalam kelompok lapan terbaik boleh menang antara satu sama lain. Sesiapa yang menampilkan aksi lebih baik pada hari tersebut akan memenangi perlawanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/pearly-thinaah-tak-boleh-lari-ke-final/

  • Dulu guru tadika, sekarang mekanik bengkel

    Dulu guru tadika, sekarang mekanik bengkel

    MELAKA – Berbekalkan minat dan keberanian, seorang wanita berusia 24 tahun memilih untuk menceburi kerjaya sebagai mekanik sekali gus membuktikan bidang automotif bukan hanya untuk golongan lelaki. Nurliana Asrul Effendi yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu kini menjadi antara tulang belakang operasi Hafa-X Aut yang beroperasi di Kampung Sungai Putat, di sini sejak 21 tahun lalu. Graduan Pengurusan Perniagaan dari Politeknik Mara Bangi itu memberitahu, sebelum ini pernah bekerja sebagai guru tadika di Kajang, Selangor selama setahun. “Saya……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/dulu-guru-tadika-sekarang-mekanik-bengkel/

  • ‘Saya macam Joker versi perempuan, wanita penuh dendam’

    ‘Saya macam Joker versi perempuan, wanita penuh dendam’

    BUKAN sahaja berjaya sebagai usahawan, Datuk Seri Vida juga tidak ketinggalan mahu menjual bakat dalam industri seni apabila mengeluarkan beberapa single sendiri.

    Tahun ini, Vida mengembangkan sayap dalam aktiviti seninya menerusi lakonan apabila terlibat dalam filem Jibrail arahan Azlan Norani.

    Pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu kini sedang sibuk menyiapkan karya tersebut yang dijangka ditayangkan pada Januari 2026.

    “Saya sebenarnya pelakon utama karya seterusnya Azlan Norani yang kini sudah menjalani penggambaran sebanyak 80 peratus.

    “Cerita ini sedih dan saya berlakon sebab mahu menyokong Azlan. Setahun dia tunggu jawapan daripada saya kerana saya tak boleh hafal skrip dengan sempurna serta tidak mahu susahkan orang.

    “Tapi dia mahu ikut masa saya. Saya akan pegang watak sebagai ibu Jibrail yang melalui halangan dan rintangan dalam perjalanan hidup dibuli, ditipu dan dizalimi masyarakat,” katanya kepada HibGlam.

    Berkongsi lanjut, usahawan berusia 54 tahun itu memaklumkan menerima tawaran berlakon disebabkan mahu membantu Azlan selaku rakannya selain karya tersebut dibikin khas untuk dirinya.

    “Saya terima filem ini apabila diberitahu pihak produksi bahawa karya ini khusus dibuat untuk saya. Saya hargai dan orang akan tengok sisi berbeza saya.

    “Sebelum ini saya seorang yang happy go lucky tapi dalam cerita ini sangat lain. Orang tak sangka saya pelakon air mata yang hebat. Watak saya macam Joker versi perempuan. Seorang wanita yang penuh dengan dendam,” ujarnya lagi.

    Mengulas soal persediaan, Vida mengakui tidak sempat mengikuti kelas lakonan kerana jadualnya terlalu padat.

    “Saya tak ambil kelas dan belajar sendiri masa dekat set saja. Saya ada bermain dengan senjata juga. Tapi latihan kami buat sejam sebelum menjalani penggambaran sebab tak sempat.

    “Itu yang terbaik saya boleh hasilkan dan bakal mengejutkan masyarakat dengan menonjolkan sisi berbeza. Sayalah pelakon hebat tahun hadapan,” jelasnya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/saya-macam-joker-versi-perempuan-wanita-penuh-dendam/

  • ‘Tak mampu tanggung dugaan ini’

    ‘Tak mampu tanggung dugaan ini’

    PETALING JAYA – Kehilangan anak tersayang seminggu sebelum majlis konvokesyen akibat kemalangan membuatkan hati seorang lelaki luluh hingga dia menangis seperti budak kecil pada hari dia dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa mangsa.

    Lebih menyedihkan apabila Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim, 22, pergi menghadap Ilahi seminggu sebelum dia menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi Isnin depan.

    Bapanya, Wan Nasrul Hakim dalam satu hantaran di Facebook menceritakan kronologi kejadian dengan penuh perasaan sehingga meruntun hati netizen.

    “Ini gambar kami dalam perjalanan pulang ke Mentakab, Pahang selepas mengambil jubah konvokesyen di UKM Khamis lalu (13 November). Ketika itu dia tidak tidur walaupun kebiasaannya dia akan tidur bila aku memandu.

    “Dia suka memandu dan waktu itu aku suruh dia memandu dari Plaza Tol Karak ke Mentakab. Seronok aku lihat dia memandu waktu itu,” katanya.

    Menurut Wan Nasrul Hakim, keesokan harinya dia bersama isteri dan anak keempat, Yusuf pergi membersihkan rumah mereka di Balok, Kuantan tanpa Allahyarham kerana dia bersama adik dan saudara-maranya mahu mengambil gambar prakonvokesyen pada Sabtu.

    “Terus aku tarik tangan dan peluk isteri serta Yusuf untuk memaklumkan kejadian itu dan kami menangis lebih dua jam ke­rana terkejut dan tidak mampu menampung dugaan tersebut,” katanya.

    Ujar Wan Nasrul Hakim, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada anak sulungnya, Aishah yang berada di utara pada pukul 7.23 malam dan segera membelikan tiket bas untuk pulang ke Temerloh.

    Katanya, dalam perjalanan pulang dari Balok ke Hospital Temerloh, mereka hanya menangis dan apabila tiba di Jabatan Forensik.

    “Mayat Alin keluar dari Jabatan Forensik pada pukul 12 tengah malam dan kami terus membawanya ke rumah bapa di Mentakab dengan menaiki van jenazah. Sebaik tiba, aku buka kain penutup dan aku lihat tiada apa-apa kecederaan pada mukanya.

    “Doktor kata badan Alin pun tiada kesan cedera tetapi kepalanya terhentak kuat ketika kejadian yang menyebabkan kematiannya. Aku renung muka, cium dahinya dan aku menangis macam budak kecil,” katanya.

    Menurut Wan Nasrul Hakim, dia tidur bersebelahan Alin sehingga Subuh bersama Yusuf. Jenazah kemudian diuruskan dan dikebumikan sebelum zuhur Ahad lalu.

    Katanya, rakaman papan pemuka (dashcam) melibatkan kemalangan anak-anaknya sudah diterima, namun tidak dikongsikan kerana bimbang akan mengganggu siasatan polis.

    “Menurut saksi, dashcam diambil dari kereta jenis Pero­dua Bezza yang dipandu oleh seorang wanita dari arah Mentakab. Saya mohon dan merayu untuk pemilik kenderaan supaya ­menghubungi saya untuk menjadi saksi,” ujarnya.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Wan Nasrul Hakim di talian ­018-384 2805 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/tak-mampu-tanggung-dugaan-ini/

  • EPL: United sanggup singkir Fernandes

    EPL: United sanggup singkir Fernandes

    MANCHESTER – Masa depan ketua pasukan Manchester United, Bruno Fernandes di Old Trafford mungkin sama selepas kelab itu dilapor sedia membuat perubahan besar di posisi tengah pasukan itu.

    Pihak pengurusan United sedang mempertimbangkan untuk menyediakan dana sebanyak £250 juta (RM1.37 bilion) untuk mendapatkan tiga pemain tengah baharu yang dijangka mampu menepati polisi pasukan itu selepas diambil alih oleh INEOS.

    Polisi berkenaan dilapor melibatkan penstrukturan semula kewangan kelab dengan menyingkirkan pemain-pemain berusia dan bergaji mahal sekali gus menyaksikan Fernandes termasuk dalam proses perubahan berkenaan.

    Di bawah kendalian Ruben Amorim, pengendali dari Portugal itu mahukan pasukan yang lebih segar dan memiliki kemampuan jangka panjang berbanding mendapatkan khidmat pemain-pemain berprofil tinggi dengan pendapatan tinggi.

    United berpendapat, mereka perlu melepaskan khidmat pemain-pemain berusia yang memiliki kontrak terlalu mewah seperti juga Casemiro yang mungkin tidak akan disambung kontraknya selepas ia berakhir hujung musim ini.

    Pasukan pemantau bakat United ketika ini sudah mengenal pasti tiga pemain baharu di bahagian tengah untuk dibawa masuk melibatkan Adam Wharton (Crystal Palace), Carlos Baleba (Brighton) dan Elliot Anderson dari Nottingham Forest.

    Ketiga-tiga pemain itu dilihat berpotensi untuk mengukuhkan United bagi tempoh panjang, namun kelab itu memerlukan dana sebanyak £250 juta untuk membawa masuk mereka, tetapi tidak akan ditawarkan gaji yang terlalu tinggi.

    Fernandes yang memiliki kontrak sehingga 2027 kini sudah berusia 31 tahun dan merupakan salah seorang penerima gaji tinggi di Old Trafford menyebabkan United tidak keberatan untuk melepaskannya jika mendapat tawaran munasabah. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/epl-united-sanggup-singkir-fernandes/