Tag: JNJ-MEDIA

  • Hati Umisya remuk, netizen doa anak warisi sifat ‘poligami’ Aslam

    Hati Umisya remuk, netizen doa anak warisi sifat ‘poligami’ Aslam

    PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial Umisya Mazlan menegaskan tidak pernah mencipta sebarang syarat dalam rumah tangga sehingga mengenepikan peranan suaminya iaitu Ahmad Aslam sebagai ketua keluarga.

    Menurut Misya, dia tidak pernah campur tangan dalam hal berkaitan suaminya termasuk urusan poligami bersama madunya, Marissa Dania Hakim.

    “Di sini, nak tegaskan, saya tak pernah meletakkan syarat, tidak menyuarakan itu atau ini sebagai isteri atau mengarah segala kejadian dalam rumah tangga.

    “Beberapa hari ni, memang saya diam sahaja tetapi kali ini tak boleh. Macam mana saya terduduknya sebelum ini, tiada siapa tahu.

    “Entah apa salah, silap dan dosa saya sampai dipersalahkan begini sekali ya?” katanya dalam Instagram.

    Dia bahkan memberitahu tidak suka berkongsi perihal rumah tangga dalam media sosial namun terkilan apabila wujud pihak yang terus melemparkan dakwaan negatif mengenai kehidupannya.

    “Saya sendiri dah tak suka nak bercerita hal rumah tangga dan tidak pernah berbangga dengan apa yang jadi malah lagi malu dengan dikenali sebagai asbab (isu poligami Aslam bersama Marissa).

    “Tetapi saya ambil positif dengan hal-hal yang terjadi sekarang ni, kalau boleh tak mahu toleh belakang lagi dengan peristiwa lama, sebelum atau selepas poligami.

    “Saya terima semua keadaan ini, cuba untuk tunjuk kehidupan yang baik kepada anak-anak supaya bila mereka tengok masa hadapan nanti, ummi dan papa baik-baik sahaja,” jelasnya.

    Antara komen diterima daripada netizen adalah ada yang mendoakan agar anak-anaknya mewarisi sifat Aslam iaitu berpoligami.

    “Dalam banyak-banyak hentaman dan cacian diterima ini salah satu antara yang buat saya sedih sebab anak saya yang tak kenal dunia lagi pun boleh dikatakan macam ini?

    “Saya diam untuk kebaikan semua pihak dan tak suka nak tunjukkan kesedihan atau perkara yang beri impak negatif pada orang lain.

    “Semoga Allah SWT membuka mata semua pihak untuk lebih padang meluas dan positif. Saya manusia biasa, ada hati dan perasaan,” katanya lagi.

    Menerusi tangkap layar komen netizen yang dikongsi, Umisya dikecam kerana dikatakan mengambil kesempatan menumpang populariti kes poligami suaminya dengan Marissa.

    Dia juga turut dikatakan sengaja membiarkan orang ramai terus mengecam Marissa selain menuduhnya mengawal segala gerak-geri suaminya.

    Terdahulu, Umisya mula mencuri perhatian selepas Aslam menjadi topik bualan hangat ramai apabila bernikah Marissa di Songkhla, Thailand pada Disember 2023.

    Umisya mendirikan rumah tangga bersama Aslam pada tahun 2020 dan pernah berpisah pada September 2023. Namun, pasangan ini kembali rujuk dalam tempoh idah.

    Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Hud,4, Nuh,3 dan seorang bayi perempuan yang kini berusia sembilan bulan. – HIBGLAM

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/hati-umisya-remuk-netizen-doa-anak-warisi-sifat-poligami-aslam/

  • Ringgit naik, ramai serbu tukar duit nak bercuti ke Indonesia

    Ringgit naik, ramai serbu tukar duit nak bercuti ke Indonesia

    PETALING JAYA – Pengukuhan nilai ringgit berbanding rupiah Indonesia sejak beberapa hari ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia berhajat untuk melancong ke negara jiran itu.

    Tinjauan mendapati kadar semasa menunjukkan RM1 kini bersamaan kira-kira 4,000 hingga 4,050 rupiah, menjadikan 1,000,000 rupiah hanya bernilai sekitar RM248.56 sahaja hari ini.

    Sebagai perbandingan, pada bulan September lalu, kadar pertukaran masih berada sekitar RM1 bersamaan 3,600 hingga 3,700 rupiah.

    Situasi itu menyebabkan ramai pengguna media sosial berkongsi kesempatan mereka untuk menukar wang ringgit ke rupiah bagi persediaan untuk bercuti ke Indonesia.

    Ada juga yang menyifatkan kini masa paling sesuai untuk melancong ke negara tersebut kerana kos penginapan, makanan serta barangan di sana menjadi lebih murah apabila ditukar kepada ringgit.

    “Dekat Malaysia jadi B40. Dekat Indonesia jadi T20. Salam RM1 bersamaan 4,020 rupiah,” komen Mustapha.

    “Bulan depan nak pergi Indonesia. Lebih baik bercuti masa ringgit tengah naik sekarang. Tukar siap-siap supaya tak kalut,” komen Ahmed.

    “Sebagai orang Malaysia yang setiap bulan bercuti ke Indonesia saya sangat gembira ya, untung tukar duit sekarang,” kata Sulaiman pula.

    Terdahulu, nilai ringgit terus mengukuh kepada RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia.

    Setakat pukul 8.01 pagi ini, ringgit meningkat ke paras 4.1540/1660 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1555/1635, semalam.- KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/11/ringgit-naik-ramai-serbu-tukar-duit-nak-bercuti-ke-indonesia/

  • Dari Myanmar ke Bukit Malut, kisah Rohingya terbongkar

    Dari Myanmar ke Bukit Malut, kisah Rohingya terbongkar

    LANGKAWI – Penempatan Bu­kit Malut di sini memang menjadi destinasi utama pela­rian Rohingya yang datang dari Myan­mar sejak dulu untuk memulakan kehidupan lebih baik di negara ini. Penempatan itu sebelum ini pernah menjadi kontroversi beberapa tahun lalu kerana dikatakan jumlah penduduk terdiri daripada pelarian Rohingya bertambah setiap masa dan jumlah mereka dikatakan mencecah puluhan ribu orang dan ada yang didakwa menceroboh ta­nah rizab hutan paya bakau untuk dijadikan penempatan. Pelarian etnik Rohingya yang berada di perkampungan itu bia­sanya bekerja sebagai…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/dari-myanmar-ke-bukit-malut-kisah-rohingya-terbongkar/

  • ‘Satu beban, tanggungjawab besar untuk saya pikul’

    ‘Satu beban, tanggungjawab besar untuk saya pikul’

    SETIAP anak seni pasti ada impian besar untuk menggenggam trofi dalam mana-mana acara tetapi cepat atau lambat rezeki itu tidak dapat dijangka.

    Dan, sudah tertulis rezeki itu buat pelakon Qismina pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) baru-baru ini.

    Dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM34 menerusi lakonan hebatnya dalam filem Babah, aktres berusia 28 tahun itu mengakui seakan-akan bermimpi apabila namanya diumumkan pada malam tersebut.

    “Alhamdulillah, benda yang tak pernah saya terfikir akan dapat. Ini anugerah sulung selepas dua dekad berlakon.

    “Berada dalam senarai top 5 bersama lima finalis lain iaitu Nabila Huda, Khatijah Tan, Maya Karin dan Sofia Jane yang semua orang tahu bakat mereka luar biasa sudah cukup bernilai untuk saya

    “Ini rezeki di luar jangkaan, dari awal saya tak pernah letak harapan tinggi untuk menang. Pertama kali hadir ke FFM dan menang,” kata Sweet ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.

    Mengakui kemenangan tersebut disertai dengan tanggungjawab besar, pemilik nama penuh Farhanna Qismina Supandi itu enggan menabur sebarang janji sebaliknya berazam menambah baik kualiti kerja pada masa akan datang.

    “Ini salah satu anugerah berprestij di Malaysia dan semua pelakon mengimpikannya. Jadi, satu beban dan tanggungjawab besar juga untuk saya pikul.

    “Namun, saya akan beri kualiti kerja yang maksima, menjaga nama baik kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM dan terus harumkan nama Sweet Qismina,” ujarnya yang menceburi dunia lakonan seawal usia sembilan tahun.

    Akui isteri pelakon Adam Lee itu, melihat senarai top 5 Pelakon Wanita Terbaik, dia menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada Nabila Huda yang memberikan persembahan hebat dalam filem Telaga Suriram.

    “Lepas saya tonton lakonannya dalam Telaga Suriram, memang tak boleh dinafikan kualiti kerjanya sangat bagus.

    “Saya fikir dia yang akan berada di atas pentas tapi trofi ini sebenarnya untuk semua pelakon wanita lain juga. Mereka seniwati hebat dan sangat saya hormati,” ujarnya yang anggun menyarung baju kurung rona hijau pada malam tersebut.

    Memenangi trofi menerusi filem bertemakan kekeluargaan dan banyak berendam air mata, aktres berusia 28 tahun itu berbangga diberikan kepercayaan memainkan peranan sebagai Maya dalam Babah.

    Baginya, setiap usaha melakonkan karakter sebagai penghidap Guillain-Barre syndrome (GBS) sehingga perlu menurunkan berat badan sangat berbaloi.

    “Pada awalnya rasa mustahil untuk bawa watak Maya sebab sangat berat tetapi saya terima dan sahur cabaran ini.

    “Kalau tanya adegan paling meninggalkan impak, jawapannya babak saya kahwin dan tak dapat raikan hari bahagia itu bersama bapa. Situasi itu saya lalui dalam kehidupan sebenar ketika berkahwin dengan Adam sebab arwah ayah meninggal dunia pada usia saya 11 tahun.

    “Saya curahkan semua rasa yang tak mampu diluahkan kepada arwah ayah untuk filem Babah,” kongsinya.

    Menurut Sweet lagi, kemenangan filem Babah arahan Mohd Shah Faizul sebagai Filem Terbaik FFM34 juga disebabkan kerja keras seluruh pasukan produksi yang mahu menghasilkan karya terbaik untuk tontonan rakyat Malaysia.

    “Kejayaan naskhah ini sebenarnya disebabkan peranan menyeluruh termasuk skrip, pengarah, kru dan pelakon.

    “Tak lupa juga babah saya iaitu Qi Razali, dia banyak membantu dan buatkan hubungan bapa dengan anak dalam filem ini sangat hebat.

    Gandingan yang orang tidak jangka menjadi.

    “Respons positif penonton turut membuatkan filem ini tular sekali gus menarik lebih ramai orang untuk menontonnya. Terima kasih untuk semuanya,” tuturnya.

    Selain Pelakon Wanita Terbaik dan Filem Terbaik, Babah turut menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

    Menerusi kemenangan besar itu, Sweet membawa pulang wang tunai RM5,000 ringgit sementara kategori Filem Terbaik pula pemenang menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/satu-beban-tanggungjawab-besar-untuk-saya-pikul/

  • KPI baharu Hakim Danish di GP Valencia

    KPI baharu Hakim Danish di GP Valencia

    PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli kini berdepan misi lebih besar apabila dicabar untuk bersaing dalam kelompok hadapan menjelang aksi penutup tirai di Grand Prix (GP) Valencia, hujung minggu ini.

    Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, percaya dengan potensi yang ditunjukkan anak didiknya sewaktu di GP Portugal membolehkan Hakim Danish mencabar pelumba terbaik dunia.

    Katanya, Hakim Danish yang memulakan perlumbaan di petak ke-17 berjaya mengawal tekanan sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, sekali gus meraih empat mata berharga kejuaraan dunia pertamanya.

    “Secara keseluruhan, kami sangat gembira dengan empat mata yang diraih Hakim Danish. Potensi yang ada padanya jelas terserlah.

    “Saya berharap dia akan dapat berlumba dalam kelompok hadapan di GP Valencia nanti,” ujar Zulfahmi.

    Sewaktu di Portugal, Hakim Danish yang beraksi bersama FRINSA-MT Helmets – MSI itu

    terpaksa bermula dari petak ke-17 selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi kelayakan sekali gus menyukarkan mana-mana pelumba untuk mengejar podium.

    Mengulas mengenai insiden itu, Zulfahmi menyifatkannya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran penting bagi pelumba berusia 18 tahun tersebut untuk memulakan cabaran lebih getir tahun depan sebagai pelumba sepenuh musim.

    “Saya rasa dia menunjukkan kemajuan yang sangat baik, kecuali pada sesi kelayakan di mana dia terjatuh pada bahagian awal dan terpaksa bermula dari petak ke-17.

    “Namun dalam perlumbaan, dia melakukannya dengan sangat baik. Terdapat beberapa aspek yang masih boleh diperbaiki, tetapi saya tahu dia telah memberikan yang terbaik, begitu juga pasukan yang telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk Hakim Danish.

    “Kita boleh lihat bahawa potensi Hakim memang ada. Tahniah kepada Hakim Danish atas prestasi cemerlangnya,” tambahnya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/kpi-baharu-hakim-danish-di-gp-valencia/

  • ‘Orang panggil saya Ringgit Malaysia’

    ‘Orang panggil saya Ringgit Malaysia’

    TANJUNG MALIM – Seorang pesara guru cukup dikenali dalam kalangan penduduk tempatan ekoran namanya yang unik iaitu Rosni (Malaysia) Buyong, sehingga dia sering disapa dengan panggilan RM atau Ringgit Malaysia. Rosni, 62, berkata, dia bertuah kerana dilahirkan pada tanggal 16 September 1963 di hospital tentera di Padang Tembak, Kuala Lumpur, bersamaan dengan tarikh pembentukan negara Malaysia. Katanya, nama tersebut diberikan oleh arwah bapanya sempena tarikh tersebut. “Ketika kecil, sukar juga untuk menyesuaikan diri dengan nama sebegitu, tetapi lama-kelamaan teruja kerana……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/orang-panggil-saya-ringgit-malaysia/

  • Klinik bola sepak cungkil bakat muda

    Klinik bola sepak cungkil bakat muda

    Dalam dunia moden yang semakin dipenuhi gajet dan hiburan digital, usaha menarik minat kanak-kanak untuk aktif di padang sememangnya menjadi satu cabaran. Namun syarikat telekomunikasi, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) tampil dengan inisiatif segar untuk memastikan generasi muda terus membesar dengan gaya hidup sihat dan aktif menerusi sukan, khususnya bola sepak. Baru-baru ini, CelcomDigi telah mengadakan Klinik Bola Sepak Kanak-kanak CelcomDigi (CelcomDigi Kids Football Clinic) iaitu satu inisiatif untuk memupuk kemahiran bola sepak dalam kalangan kanak-kanak. Inisiatif itu dilaksanakan menerusi platform Arena……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/klinik-bola-sepak-cungkil-bakat-muda/

  • EPL: Liverpool belum mengaku kalah

    EPL: Liverpool belum mengaku kalah

    LIVERPOOL – Ketua pasukan Liverpool, Virgil Van Dijk percaya pasukan itu masih belum bersedia untuk mengakui kalah dalam perjuangan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

    Biarpun berdepan isu prestasi yang serius, pemain antarabangsa Belanda itu melaungkan keyakinan bahawa mereka mampu untuk memberikan saingan dalam perebutan trofi bersama Arsenal dan Manchester City musim ini.

    Awal pagi kelmarin, Liverpool menanggung kekalahan kelima musim ini apabila dimalukan 0-3 oleh Manchester City pada aksi di Etihad sekali gus menyaksikan mereka berada di kedudukan kelapan saingan apabila hanya mengutip 18 mata.

    “Ia adalah mengenai usaha mendapatkan tahap konsisten, kemudian mengekalkannya. Kami akan ke pasukan kebangsaan dan kembali semula ke kelab dengan keyakinan yang lebih baik.

    “Kami tidak akan berputus asa dan mengaku kalah. Kita masih di bulan November dan musim ini masih panjang. Kami bersedia untuk pertarungan lebih hebat,” katanya.

    Sementara itu, bekas pemain pertahanan Liverpool yang kini bertugas sebagai pengulas, Jamie Carragher menamakan Ibrahima Konate sebagai pemain dianggap gagal beraksi dengan baik dan menjadi punca kekalahan kepada City sebelum ini.

    “Saya tidak faham apa yang dia (Konate) cuba lakukan. Apabila Liverpool bolos atau benteng pertahanan mereka berdepan masalah, Konate berada dalam situasi itu. Ia terlalu kerap berlaku musim ini dan saya anggap dia tidak ada bersama pasukan musim ini,” jelasnya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/12/epl-liverpool-belum-mengaku-kalah/

  • KPM nafi soalan Ujian Bertutur BM, BI SPM 2025 bocor

    KPM nafi soalan Ujian Bertutur BM, BI SPM 2025 bocor

    KUALA LUMPUR, 11 Nov — Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

    Dalam kenyataan hari ini, KPM menjelaskan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat dakwaan berkenaan, termasuk meneliti kandungan sebaran yang dikongsi dalam talian.

    “Hasil siasatan mendapati maklumat yang ditularkan hanyalah senarai tema umum yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Senarai tersebut merupakan ramalan oleh guru dan calon peperiksaan, dan tidak menepati definisi kebocoran seperti yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” kata kenyataan itu.

    KPM menegaskan bahawa semua kertas peperiksaan awam disediakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, sekali gus tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak.

    Justeru, kementerian menasihatkan semua calon SPM 2025 supaya kekal tenang dan terus memberi tumpuan terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung.

    “KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam terpelihara, selain menjamin kepentingan serta keadilan kepada semua calon SPM 2025,” menurut kenyataan itu lagi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12434

  • Dua beranak cedera, putus jari bergelut dengan pembantu rumah di Kuantan

    Dua beranak cedera, putus jari bergelut dengan pembantu rumah di Kuantan

    KUANTAN, 11 Nov — Dua beranak cedera, termasuk seorang daripadanya putus ibu jari tangan kiri, selepas bergelut dengan pembantu rumah warga asing yang bersenjatakan pisau pemotong daging di sebuah rumah dua tingkat di KotaSAS di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi melibatkan seorang wanita berusia 57 tahun yang juga majikan dan anak lelakinya berusia 28 tahun.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati, wanita itu yang berada di bilik tidur tingkat atas terdengar jeritan anaknya di tingkat bawah sebelum bergegas turun dan mendapati anak lelakinya sedang bergelut dengan pembantu rumah di ruang tamu.

    “Ketika cuba meleraikan pergaduhan, suspek bertindak melibas pisau hingga terkena kepala mangsa. Mangsa kemudian berjaya merampas pisau berkenaan sebelum suspek berlari ke dapur dan cuba mengambil pisau lain.

    “Dua beranak itu menghalang tindakan suspek, menyebabkan berlaku pergelutan di ruang dapur. Dalam keadaan cemas, wanita berkenaan mengambil semua pisau di dapur dan mencampakkannya keluar melalui tingkap sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Akibat kejadian itu, wanita terbabit mengalami luka di kepala dan ibu jari tangan kiri, manakala anak lelakinya putus ibu jari tangan kiri serta mengalami luka di kepala dan kaki.

    Suspek berusia 44 tahun pula cedera di pergelangan tangan kiri akibat cubaan membunuh diri selepas kejadian.

    Ashari berkata, polis turut merampas enam bilah pisau dan sebilah gunting di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai mengalami tekanan bekerja di rumah berkenaan yang lebih besar berbanding tempat kerja lamanya. Suspek telah bekerja selama 10 bulan dan difahamkan hanya tinggal bersama majikan di rumah itu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12433